kehebatan karya Hamka

Karya Hamka tak lapuk dek zaman
Oleh: NURUL FARINA NAZLAN

HAJI Abdul Malik Abdul Karim Amarullah atau lebih dikenali sebagai Buya Hamka adalah sosok sasterawan dan ilmuwan terkenal di nusantara ini, bahkan naskhahnya terus dicari serta diperhalusi semua peringkat usia kerana intipati di dalam setiap karya juga menyimpan pelbagai makna tersirat yang boleh dijadikan iktibar tidak kira zaman.



Setiap karyanya mempunyai nilai tersendiri dalam arena kusasteraan nusantara dan perkembangan Islam. Antara karyanya yang terkenal adalah Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck dan menjadi pilihan pembaca, bahkan sehingga kini berkali-kali diulang cetak. Nyata, kisah berlatarkan Ranah Minang itu mendapat tempat dan terus diangkat sebagai filem yang muncul di layar perak pada Disember 2013.

Buya-HamkaKini, naskhah itu turut dipentaskan dalam teater terbaru arahan Rosminah Mohd Tahir dan diterbitkan dengan kerjasama CTRA Production juga Istana Budaya yang menampilkan pelakon terkenal seperti Amar Baharin, Nabila Huda, Syarul Ridzwan, Amyra Rosli, Karl Shafek serta Liza Abdullah, pada 12 hingga 18 Oktober lalu. Sebelum ini, Rosminah juga pernah mengangkat sebuah lagi karya hebat Hamka di pentas sama iaitu Di Bawah Lindungan Kaabah, pada 9 hingga 18 Mei 2014.


Sememangnya bukan mudah menterjemahkan antara karya hebat Hamka itu ke pentas teater, namun kesungguhan semua pelakon yang menjayakan teater ini dilihat berjaya mencorakkan pementasan dengan baik.

Kisah cinta di Negeri Batipuh Sapuluh Koto yang terletak di Padang berjaya membawa keserasian antara Amar yang memegang watak Zainuddin dan Nabila sebagai Hayati, bahkan turut memberi impak mendalam kepada penonton apabila dua pelakon muda ini berjaya mengolah intipati karya dengan baik terutama dengan gaya penyampaian menggunakan bahasa Indonesia. Latar belakang cerita yang memberi gambaran jelas suasana kehidupan masyarakat Minangkabau juga membuatkan penonton seakan berada di Ranah Minang terutama ketika plot rumah gadang juga perbincangan antara ketua adat.

Kisah tragik antara Zainuddin dan Hayati bermula dengan kisah kepulangan pemuda itu ke kampung asal bapanya, Pendekar Sutan di Batipuh. Zainuddin tidak diterima baik penduduk Batipuh yang terkenal dengan adat juga kekayaan bangsanya ekoran dianggap sebagai orang asing kerana ibunya berketurunan Bugis dan berasal dari Makassar. Zainuddin sangat sedih mengenangkan nasibnya yang dianggap asing sama ada di Batipuh juga Makassar kerana perkahwinan campur antara bapa dan ibunya sehingga pertemuan dengan gadis Minang, Hayati.


Pertemuan itu membuat Zainuddin ingin terus menetap di Batipuh dan bermulalah kisah percintaan mereka melalui surat-menyurat. Namun, keakraban itu menjadi buah mulut masyarakat Batipuh dan hubungan mereka dihalang kerana Hayati berdarjat tinggi dibandingkan dengan Zainuddin yang tidak diiktiraf sebagai Minangkabau. Mamak (pakcik) Hayati kemudian menyuruh Zainuddin meninggalkan Batipuh dan berpindah ke Padang Panjang. Pasangan muda ini terlalu sedih, namun berjanji akan saling setia dan berutus surat.

Di Padang Panjang, Zainuddin mengenali Muluk (Syarul Ridzwan) yang banyak membantunya. Suatu hari, Hayati mengutus surat dan menyatakan berita kedatangannya ke Padang Panjang untuk melihat acara pacuan kuda serta bakal menginap di rumah temannya bernama Khadijah (Amyra Rosli). Namun, pertemuan yang diharapkan tidak menjadi kenyataan apabila terhalang oleh pemuda kaya dan berpengaruh, Aziz (Karl Shafek) yang juga abang Khadijah yang tertarik dengan kecantikan Hayati. Lebih malang, Khadijah dan bondanya (Liza Abdullah) memujuk Aziz untuk berkahwin dengan Hayati.

Pada plot ini, wajar dipuji lakonan Amyra yang nyata berjaya berbahasa Indonesia dengan baik, selain Amar dan Nabila yang seakan masuk ke dalam kisah sebenar karya ini. Namun, adakalanya sistem bunyi yang terlalu kuat mengganggu pendengaran terhadap lontaran suara dan nyanyian pelakon tetapi tidaklah sampai mencacatkan persembahan itu.

Zainuddin kemudian melamar Hayati dengan mengirim surat kepada mamak gadis itu, namun pada masa sama Aziz juga menghantar pinangan. Ketua adat dan ninik mamak kemudian menerima lamaran Aziz yang pada pandangan mereka adalah asli Minangkabau, berharta dan beradab tanpa disedari lelaki itu sebenarnya kaki judi dan kasanova. Zainuddin jatuh sakit selama dua bulan, namun kehadiran Hayati dan Aziz membuatkan dia bangkit selepas merasa terhina dan daripada situlah takdir hidupnya berubah.

Muluk menasihatkan Zainuddin untuk memulakan hidup baru dan mereka berhijrah ke Jakarta. Zainuddin menggunakan kemahirannya dalam bidang penulisan dan mula mendapat tempat dalam kalangan masyarakat hingga menjadi masyhur dengan nama pena ‘Z’. Dia dan Muluk kemudian berpindah ke Surabaya selepas menerima tawaran kerjasama menguruskan syarikat penerbitan di sana.

Pada masa sama, Aziz diarahkan berpindah kerja ke Surabaya dan turut membawa Hayati. Pada suatu hari, mereka menerima jemputan menonton persembahan dan makan malam oleh kumpulan seni yang dipimpin Tuan Shabir atau ‘Z’. Tiba di sana, baru mereka menyedari individu yang sering menjadi perbualan hangat masyarakat itu adalah Zainuddin, pemuda yang pernah dihina masyarakat Batipuh. Namun, Zainuddin menerima mereka dan menganggap Aziz sebagai sahabatnya.

Kehidupan Aziz dan Hayati mula berubah apabila dibebani hutang ekoran sikap kaki judi Aziz yang kemuncaknya mereka dihalau dari rumah sewa. Mereka terpaksa menumpang rumah Zainuddin yang sebenarnya masih menyimpan rasa sakit hati kepada Hayati yang dianggap memungkiri janji. Kerana tidak sanggup menanggung malu, Aziz pergi ke kota lain mencari kerja dan meninggalkan Hayati bersama Zainuddin dan berjanji untuk mengambil isterinya selepas mendapat pekerjaan. Namun, sebaliknya Aziz menghantar surat cerai dan membunuh diri dengan memakan ubat tidur berlebihan.



Hayati meminta maaf kepada Zainuddin, bahkan rela mengabdi kepadanya. Zainuddin bagaimanapun enggan menerimanya dan menyuruh wanita itu pulang ke kampung halaman serta mengungkit perbuatan juga pengkhianatan Hayati atas cinta mereka. Hayati pulang ke Padang dengan menumpang Kapal Van Der Wijck tanpa dihantar Zainuddin. Selepas Hayati pergi, barulah Zainuddin menyedari wanita itu tetap dicintai terutama selepas membaca surat Hayati yang tertulis “aku cinta engkau dan kalau kumati, adalah kematianku di dalam mengenang engkau”. Nyata harapan Zainuddin tidak kesampaian apabila Van Der Wijck yang ditumpangi Hayati tenggelam dan wanita itu terkorban bersama cinta sejatinya.

Keseluruhan penceritaan teater ini menarik terutama Amar dan Nabila sangat menjiwai watak mereka di samping penggunaan kata-kata indah dalam naskhah asalnya yang memberi kesan mendalam kepada penonton. Walaupun pelakon sendiri menyatakan karya itu berat tetapi mereka mengambil tanggungjawab berkenaan dengan sebaik mungkin, bahkan Amar juga menyatakan peluang yang diberi membuatkan beliau dekat dengan karya itu.

IMG_8338“Saya membaca novel Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck ini berkali-kali untuk menjiwai watak Zainuddin dan hanya sekali menonton filemnya. Saya tidak terikat dengan watak Zainuddin versi filem dan cuba menterjemahkannya hasil pembacaan sendiri,” katanya yang ditemui selepas tamat persembahan.

Bagi Amyra, minat mendalam terhadap teater terutama sebagai graduan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) membuatkan beliau teruja untuk memberi penghayatan terbaik melalui watak Khadijah yang dipegangnya.

“Ini memang peluang yang ditunggu dan saya tak mampu menolak saat ditawarkan sebagai salah seorang pelakon dalam karya hebat ini. Saya juga memang penggemar karya Buya Hamka yang sangat dekat dengan masyarakat serta mempunyai nasihat mendalam,” katanya.

Berbeza pula dengan Karl Shafek yang memang menggemari karya Hamka sejak zaman persekolahan, bahkan sanggup terbang ke Indonesia ketika filem Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck mula ditayangkan kerana tidak mahu terlepas peluang menikmati garapan tokoh ilmuwan itu.

“Bagi saya, tawaran berlakon teater memang dinantikan setiap pelakon kerana beraksi di pentas sangat menguji kemampuan kami. Apatah lagi, membawakan salah satu watak di dalam karya Hamka, memang saya gembira kerana amat meminati beliau dan karyanya yang sangat istimewa.

Kenyataan itu disokong pemegang watak Muluk, Syarul Ridzwan yang menyifatkan Hamka dan karyanya bernilai tinggi, bahkan anak muda ini mencari novel Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck hampir dua tahun.

“Memang bersyukur ditawarkan berlakon dalam teater ini. Sebagai penggemar karya Hamka, Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck memang istimewa bukan sahaja kepada diri saya tetapi masyarakat di luar sana. Saya tidak akan menolak jika ditawarkan berlakon dalam teater hasil karya berat seperti ini pada masa akan datang,” katanya.

Nyata, karya Hamka diterima baik generasi muda tidak kira zaman ekoran olahan ceritanya yang mendalam selain mempunyai maksud tersirat juga tersurat yang boleh dijadikan iktibar untuk segenap lapisan masyarakat.

Sementara itu, anak ketujuh Hamka, Fathiyah Hamka yang ditemui turut melahirkan rasa bangga kerana sudah dua kali karya bapanya dipentaskan di Malaysia dan berharap usaha itu akan diteruskan pada masa akan datang,

“Kami waris Hamka amat berbangga dengan usaha produksi di Malaysia yang membawa karya beliau untuk dikongsi bersama masyarakat di sini. Cuma mungkin intonasi bahasanya sedikit berbeza dengan bahasa Indonesia. Saya juga gembira dapat bekerjasama dengan baik dengan pihak penerbitan supaya teater ini dapat menjadi realiti hari ini,” katanya yang diterbangkan khas dari Indonesia bagi menonton teater itu, pada 15 Oktober lalu.

Karya hebat Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck memang sesuai dipentaskan dan mungkin cocok dijadikan drama bersiri supaya generasi muda khususnya dapat menjiwai setipa inci nasihat dan maksud tersirat yang cuba disampaikan Buya Hamka melaluinya. Betapa pentingnya, nilai diri seorang manusia tanpa mengira latar belakang bangsanya kerana kehidupan sesuatu yang sukar dijangka terutama membabitkan rezeki juga kesungguhan individu menggilap mutiara yang ada dalam ruang lingkupnya.

Fathiyah Hamka turut menceritakan sedikit latar belakang bapanya yang dilahirkan dalam keluarga yang kuat berpegang kepada ajaran Islam. Buya Hamka lahir di Sungai Batang Maninjau, Minangkabau, pada 17 Febuari 1908 bersamaan 14 Muharram 1326 hijrah dan mempunyai empat adik-beradik.

Bapa Hamka, Haji Abdul Karim Amrullah adalah ulama terkenal Minangkabau yang dianggap sebagai pemangkin kepada reformasi Islam, manakala ibunya adalah Siti Safiyah Gelanggar yang bergelar Bagindo nan Batuah. Sementara itu, datuknya dikenali sebagai Tuan Kisa-i yang mengamalkan Thariqat Naqsyabandiyah. Prof Dr Hamka mendapat pendidikan awal agama dari Madrasah Tawalib yang didirikan bapanya sebelum berguru dengan Sheikh Ibrahim Musa di Bukittinggi.

Beliau menubuhkan Madrasah Mubalighin pada 1929 sebelum berpindah Makassar, Sulawesi untuk menjadi pemimpin gerakan itu. Ketokohan dan ilmu yang ada dalam diri Hamka menarik perhatian beberapa buah universiti dan beliau dilantik sebagai pensyarah dalam bidang falsafah serta agama. Antara universiti yang pernah mendapat khidmat tokoh ini adalah Universiti Islam Pemerintah Jogjakarta, Universiti Islam Jakarta, Universiti Mohamadiah Sumatera Barat dan Universiti Islam Makassar.

Pada tahun 1958, Universiti Al Azhar, Mesir menganugerahkan Doktor Kehormat kepada Hamka sebagai mengiktiraf keilmuan beliau, bahkan turut menerima ijazah Doktor Persuratan Universiti Kebangsaan Malaysia, pada 7 Jun 1974.

Sisi kejayaan Hamka turut terpalit dengan kenangan duka iaitu perceraian kedua orang tuanya yang membuatkan Hamka merasakan beliau anak terbuang, dan peristiwa itu meninggalkan kesan mendalam hingga tokoh ini bertekad tidak akan berkahwin lebih daripada seorang. Pada 5 April 1929, Hamka bernikah dengan Siti Raham ketika usianya 21 tahun, manakala isterinya baru menginjak angka 15.



Fathiyah Hamka berkata, tokoh terkenal itu mempunyai sepuluh cahaya mata iaitu Zaki Hamka, Rusydi Hamka, Fachry Hamka, Azizah Hamka, Irfan Hamka, Aliyah Hamka, Fathiyah Hamka, Hilmi Hamka, Afif Hamka dan Shaqib Hamka.

Fathiyah Hamka berkata, abangnya Afif Hamka mengikut jejak langkah bapa mereka dalam bidang keagamaan, manakala Irfan Hamka pula mempunyai kemahiran menghasilkan karya dan terbabit dalam dunia kesusasteraan. Fathiyah Hamka juga menyifatkan sikap kasih sayang yang sering ditonjolkan Allahyarham menjadikan mereka berjaya dan mempunyai hubungan akrab antara satu sama lain.

“Setiap hari selepas solat subuh, ayah akan mengajar kami mengaji. Selalunya, kami akan tersengguk dan ayah akan menegur saudara lelaki dengan berkata ‘itu alif tidak kelihatan’ hingga membuatkan anak perempuannya terkejut. Ayah kemudian mengusap tangan kami untuk mengurangkan rasa terkejut itu.

“Dia memang rapat dengan anak-anak mungkin kerana kisah silamnya yang sedikit pahit membuatkan ayah sentiasa melayan kami dengan baik terutama tiga puterinya ini,” kata Fathiyah Hamka sambil tersenyum mengenangkan kenangan indah antara beliau dan bapanya.



Fathiyah Hamka juga berkata, saat ini memang sukar untuk mencari tokoh seperti bapanya, namun menasihatkan generasi muda yang minat berkarya meneruskan usaha itu kerana di alaf baru ini pelbagai kemudahan boleh digapai melalui hujung jari sahaja.

“Saya sokong usaha generasi muda yang minat mengarang walaupun untuk menemui sosok seperti Hamka di zaman ini agak sulit. Mereka banyak peluang kadi gunakan sebaiknya terutama maklumat boleh didapat hanya menekan telefon bimbit atau alat komunikasi terkini yang lain,” katanya.

Hamka pulang ke rahmatullah di Malaysia 1981 yang dipercayai disebabkan serangan penyakit jantung ketika usianya mencecah 73 tahun, pada 24 Julai 1981. Sesungguhnya ketokohan beliau dalam bidang agama dan sastera tidak dapat dicari ganti. Semoga karyanya terus melekat dalam setiap jiwa dan nasihatnya sentiasa menjadi pedoman terutama untuk umat Islam di nusantara ini.

Al-Fatihah.

selangor kini


Comments