Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2014 : Novel


Laporan Panel Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2014 (Novel)


PENDAHULUAN

Penerbitan karya novel dalam tempoh penilaian tahun 2014 tidak jauh berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya. Dalam penerbitan novel di Malaysia, agensi penerbitan utama khususnya, Dewan Bahasa dan Pustaka dan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia-PENA, terus menerajui penerbitan karya-karya yang bermutu tinggi seterusnya menyediakan bahan bacaan yang bermanfaat kepada masyarakat di samping dapat memartabatkan bahasa dan kesusasteraan kebangsaan.

Dalam tempoh tahun penilaian ini Panel Penilai telah menerima sebanyak 44 buah novel yang diterbitkan oleh beberapa buah penerbit. Novel-novel itu adalah 13 buah (terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka), 13 buah (ITBM-PENA), 6 buah (Gedebook), 3 buah (Kaki Novel Sdn. Bhd.), 2 buah (Anggun Publishing), 2 buah (JS Adiwarna), 2 buah (NB Kara), dan masing-masing sebuah novel diterbitkan oleh Pustaka Kansun Mahfiyyan, Moka Mocha Ink, Aras Mega, Galeri Ilmu, Karangkraf, Mohd Bakarudden Kader, Budiman dan Hajat Enterprise.

KRITERIA PENILAIAN

Penilaian ditumpukan kepada kekuatan dalam penghasilan aspek penampilan watak positif dan bersifat dinamik dalam lingkungan masyarakat. Penilaian juga diberikan pada aspek persoalan dan penampilan watak dalam novel dengan penerapan nilai pemikiran, etika dan visi hidup yang positif. Pengiktirafan karya yang menggambarkan pencapaian unggul, memuatkan nilai pemikiran tinggi, berupaya memberikan gagasan yang besar dan mencabar daya intelektual pembaca. Persoalan dikemukakan juga relevan dengan masyarakat dan memancarkan semangat zaman dengan nilai dan memberikan petanda aras cenderung kepada isi teks yang memberi manfaat dan tidak sekadar eksperimen estetika dan artistik semata-mata.

Dalam aspek keindahan estetika, karya seharusnya mempunyai nilai kesatuan yang utuh, kompleksiti dan mempunyai keseimbangan yang menjadi dasar ciptaan karya. Sebagaimana tahun-tahun sebelum ini, para ahli panel berpandangan bahawa kompleksiti bukanlah suatu nilai estetika yang mutlak kerana simplisiti juga mempunyai nilai yang baik sekiranya ada sifat organik dengan persoalan dan pemikiran, namun karya yang kompleks tetap dianggap mempunyai kelebihan dengan kewujudan kesatuan secara menyeluruh. Kreativiti pengarang dalam memanfaatkan aspek latar, watak, bahasa, plot, sudut pandangan, dan persoalannya perlu disebatikan antara satu dengan lain. Khalayak tanpa batasan zaman akan dapat pengalaman estetik dan intelektual daripada unsur-unsur ini. Kesan yang diperoleh pula tidak mendatar, sebaliknya dapat mencerakinkan pemikiran pembaca. Di sinilah nilai karya tersebut menjadi amat tinggi. Keupayaan pengarang memanfaatkan penggunaan teknik kepengarangan yang bervariasi bagi menyerlahkan tema dan persoalan yang dikemukakan turut diambil kira. Aspek keseimbangan, keindahan moral dan kemanusiaan antara penilaian yang turut diberi perhatian.

Unsur intelektual yang digarapkan tanpa meninggalkan nilai emosi dalam sastera, di samping aspek makna atau lambang yang diperteguh secara langsung dan tidak langsung akan memberikan kekuatan kepada makna sesebuah karya. Kaedah kajian dan pemerhatian tajam turut menyerlahkan kekuatan karya. Unsur intelektual dalam konteks ini bermaksud keupayaan karya menggugah daya fikir pembaca untuk merenungi pengertian baharu berdasarkan imej dan unsur yang terkandung dalam karya. Ia juga secara tidak langsung dapat berfungsi sebagai medium penyebaran ilmu secara kreatif untuk dinikmati khalayak. Justeru, karya yang kurang ditunjangi aspek pemikiran, mengemukakan kisah yang ringan, simplistik pemikirannya, serta dibumbui unsur-unsur picisan, tidak wajar dijadikan sebagai penanda aras zamannya. Justeru, aspek intelektual dan keseriusan pemikiran dapat menjadikan karya tersebut bersifat indah dan ampuh.

Karya sastera yang baik juga mampu menggugah sifat manusiawi dengan terapan nilai emosi secara halus dan tulus. Aspek ini akan memberikan pengalaman rasa dan jiwa pembaca untuk menelusuri karya dengan mendalam dari aspek kejiwaan dan batiniah. Kejayaan pengarang membawa masuk nilai emosi ke sanubari pembaca akan menghidupkan watak dan peristiwa secara segar. Teknik naratif yang baik akan pasti menguatkan unsur-unsur ini.

Panel Penilai menggunakan asas penilaian tersebut sedapat mungkin bagi memilih karya terbaik dalam kalangannya. Barangkali matlamat tersebut tidak dicapai sepenuhnya, namun itulah harapan yang ditetapkan agar pemilihan karya pemenang nanti dapat diterima secara konsensus oleh khalayak yang celik sastera. Panel Penilai menyedari bahawa keputusan penilaian tidak sepenuhnya objektif, tetapi yang lebih utama daripada keputusan adalah proses pemilihannya yang rapi dan tepat.

PENILAIAN KESELURUHAN

Panel Penilai pada peringkat saringan telah membaca 44 buah novel terbitan daripada pelbagai penerbit pada tahun 2014. Panel Penilai mendapati sebahagian besar novel ini mengemukakan tema yang lazim dikemukakan oleh para penulis. Persoalan yang dikemukanan antaranya adalah diaspora Melayu dan Islam yang berlatar belakang negara China semasa pemerintahan Dinasti Ming, politik Melayu, kasih sayang, dunia kampus, kepercayaan etnik, pensejarahan baharu, cinta tanah air, dan persoalan pergolakan hidup. Kebanyakannya terungkap dalam gaya persembahan atau teknik penulisan yang biasa, kurang terdapat percubaan memperagakan teknik baharu, khususnya pemikiran yang lebih mendalam dan menarik yang sesuai dengan perkembangan minda, pendidikan dan ilmu pengetahuan pembaca zaman kini.

Kebanyakan karya tersebut dihasilkan dengan gaya konvensional dan kurang melakukan eksperimen dalam penciptaan bentuk, manakala karya yang berunsur eksperimen dalam gaya penulisan tidak diimbangi pula dengan isi karya yang memiliki nilai-nilai positif dan negatif. Kecenderungan kurang melakukan pembaharuan seakan-akan sama seperti berlaku dalam penilaian pada tahun-tahun lepas, iaitu kurang usaha pembaharuan pemikiran, subjek, dan teknik seolah-olah kekayaan kebudayaan tanah air kurang berkembang dalam ciptaan genre novel. Kelemahan bahasa juga kadang kala banyak ditemui. Karya yang sarat dengan ideologi tidak pula diikuti dengan gaya kepengarangan yang berkesan.

Terdapat sejumlah pengarang menggunakan sumber sejarah dan kearifan tempatan bagi memperlihatkan sarwajagat acuan tempatan. Aspek-aspek tersebut diolah dengan gaya imaginasi yang tinggi dan daya kreativiti yang wajar dalam mengungkap dan menganyam peristiwa sehingga terasa seperti seolah-olah benar terjadi; karya sebegini memberikan kesan kepada khalayak pembaca kerana pengolahannya yang kelihatan segar dan asli. Terdapat juga sebahagian karya memaparkan aspek kualiti sastera yang dapat dianggap memberikan kesan dalam dunia pemikiran sastera, dengan menggarap persoalan besar dan sarat dengan ilmu pengetahuan. Peragaan karya sebegini memperlihatkan tahap keilmuan dan pengetahuan yang dimiliki oleh pengarangnya. Kelebihan seumpama ini, sebahagiannya dapat dikesan pada enam buah novel yang disenaraipendekkan untuk pertimbangan peringkat akhir. Novel-novel tersebut ialah :

i. Orang-orang Perang karya Ali Jusoh (ITBM).

ii. Lorong karya Othman Hj. Zainudin (DBP)

iii. Igaukan Igau karya Abang Median Abang Said (DBP)

iv. Pulau Tanpa Cinta karya Jasni Matlani (DBP)

v. Nenek karya Razali Endun (ITBM)

vi. Luka Nering karya Malim Ghozali PK (DBP)

vii. Cakerawati Teluki karya Tuah Sujana (ITBM)


ULASAN KARYA KE PERINGKAT AKHIR


1. Orang-orang Perang karya Ali Jusoh

Novel ini mengisahkan seorang lelaki yang bernama Awang Tepoh bermula sejak kematian ayahnya, dia dibawa belayar ke Tanah Arab bersama Pak Cik Ibrahim. Sejak itu, dia dikenali sebagai Dampo oleh isteri Pak Cik Ibrahim. Pak Cik Ibrahim mempunyai anak bernama Siti Raudhah yang berusia 5 tahun. Sewaktu itu Dampo berusia 12 tahun. Askar-askar Laksamana Zheng He datang ke Arab untuk menangkap lelaki yang boleh memberi khidmat kepada raja Zheng He, itu termasuk Dampo. Dampo dimasukkan ke dalam kurungan bersama banduan-banduan lain. Ada yang mati. Sejak itu, dia berkenalan dengan Si Gemuk dan Si Panjang. Mereka bertiga diberi kepercayaan oleh Laksamana Zheng He untuk berkhidmat di bawah Ang Long, adik tirinya. Mereka bertiga belajar bermain kuda, berperang, belajar pelbagai bahasa, termasuk menemani Laksamana Zhu Di meluaskan pengaruh China ke serata Asia selama bertahun-tahun. Dampo berkahwin dengan Siti Raudhah sewaktu di bawah pengawasan Laksamana Zhu Di selama 3 bulan dan dikurniakan seorang anak lelaki. Dia pulang bersama dua orang rakannya setelah khidmatnya bersama Laksamana Zheng He tamat.

Novel ini memaparkan sejarah pemerintahan zaman Dinasti Ming. Pelbagai gambaran dikemukakan oleh pengarang termasuk kisah perebutan kuasa dan kegemilangan kerajaan Melaka. Banyak persoalan yang dikemukakan oleh pengarang termasuk persoalan ketamakan kuasa, kezaliman dan kebijakan dalam permainan politik.

Pengarang kurang berjaya mengolah peristiwa dengan baik dan menarik. Penceritaan agak meleret-meleret menyebabkan pembaca kurang terkesan dengan mesej dan persoalan yang ingin dikemukakan oleh pengarang.


2. Lorong karya Othman Hj. Zainudin

Novel ini mengisahkan Fatimah dan Idrus berkahwin tanpa restu keluarga. Fatimah dibuang oleh keluarganya. Suatu hari, Idrus pergi ke luar negara selama 3 bulan dan sewaktu itu Fatimah sedang mengandung 2 bulan. Idrus berjumpa dengan ayahnya dengan harapan dia dapat menerima Fatimah tetapi ayahnya menipu Idrus dengan memberi surat yang ditulis oleh Fatimah bahawa dia ingin berpisah dengan Idrus. Idrus terus mempercayainya. Setelah bertahun-tahun, Idrus ingin yang sudah tua ingin pulang untuk mencari Fatimah dan anaknya yang kini telah dewasa. Zakir atau Zakaria kini hidup tanpa arah tujuan dan tidah tahu siapa ibu bapanya. Ini kerana sewaktu dia baru dilahirkan, Fatimah menyerahkan Zakir kepada Mahfuz kerana ingin berkahwin dengan Musa. Akhirnya, mereka bertiga berjumpa sewaktu Idrus membuat persembahan bangsawan. Zakir baru dapat tahu selama dia duduk sebumbung adalah ibu kandungnya.

Plot ceritanya agak mudah. Persoalan yang dikemukakan oleh pengarang juga yang lazim ditemui dalam novel-novel lain, iaitu berhubung persoalan diri. Pengarang gagal untuk mencabar minda pembaca untuk menerokai jauh ke dalam. Hal ini kerana mesej yang ingin disampai oleh pengarang agak mudah.

3. Igaukan Igau karya Abang Median Abang Said

Novel ini mengisahkan Igau, lelaki lambang keberanian, semangat yang kental dan bercita-cita tinggi, berbeza dengan adiknya, Musa yang berkerjaya sebagai guru sekolah. Igau seorang adik kepada Musa yang menyara kehidupan mereka dengan hasil hutan. Igau dikatakan seorang yang gagah perkasa kerana menumpaskan babi hutan. Kehidupan Igau berubah apabila kakinya kudung dilibas buaya dan akhinya meninggal dunia di hospital. Ibunya. Miek Sinan mula hilang kewarasan kerana kehilangan Igau. Sejak itu, ibunya sentiasa teringatkan Igau. Ibunya juga hampir maut kerana dibelit oleh ular sawa. Sejak kematian Igau, Musa melakukan perubahan ke atas kampungnya. Dia meneruskan projek memajukan penanaman kelapa sawit. Miek Sinan menganggap Musa adalah Igau. Musa berharap untuk menggembirakan ibunya biar apapun tanggapan terhadapnya.

Novel ini membawa persoalan kegigihan, perjuangan, dan semangat keberanian. Pasa masa yang sama turut memaparkan kepercayaan anamisme dan orang Islam. Kepercayaan Miek Sinan terhadap kewujudan Igau dalam bentuk pelbagai rupa dan dijamu dengan haiwan yang hidup. Bagi Musa, kepercayaan Islam perlu diteruskan dan orang mati tidak akan bangkit kembali kerana dikunci oleh Yang Maha Esa. Pengakhiran cerita yang memaparkan ibunya hampir ditelan ular sawa yang dipercayainya sebagai jelmaan Igau kelihatan kurang menyakinkan. Penerapan keakrifan budaya dalam sastera etnik sewajarnya kurang dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya. Di antara budaya tradisi dan modeniti seharusnya saling melengkapi antara satu sama lain.


4. Pulau Tanpa Cinta karya Jasni Matlani

Novel ini mengisahkan perjuangan menegakkan keadilan disebabkan pemerintah yang zalim. Cerita ini menggunakan simbolik seperti serigala merujuk kepada pengikut raja, Tuan Presiden merujuk kepada pemerintah dan Pulau Pandora merujuk kepada rakyat. Novel banyak mengetengahkan peristiwa yang digarap secara halus yang mengkritik pemerintahan yang zalim, pengikut pemerintah yang sentiasa tunduk sama ada perkara itu betul atau salah, ulama yang tidak layak dipanggil ulama kerana takut bersuara dan penduduk yang terpaksa mengharungi kepayahan hidup kerana pemerintah.

Misalnya, tuan presiden mengaut emas dari pohon walhal pohon itu kepunyaan penduduk Pandora. Cerita ini turut menggarap kezaliman pemerintah yang menghukum orang yang bersalah dan membiarkan maksiat berlaku dalam masyarakat. Misalnya, memandang sebelah mata apabila melihat laki dan perempuan berpelukan. Secara keseluruhan, novel ini menceritakan politik yang berlaku dalam masyarakat kini yang pernah berlaku pada zaman dahulu. Pengajaran di sini menunjukkan sejarah perlu difahami dan dihayati untuk elak perkara sama berlaku pada masa akan datang. Namun perkara sebaliknya berlaku di pulau Pandora apabila pemerintah terlalu mengagungkan kuasa sehingga membunuh orang yang tidak berdosa. Novel ini agak mencabar minda pembaca kerana digarap dengan penuh simbolik. Pembaca terpaksa memahami simbol-simbol yang dikemukakan oleh pengarang. Persoalan yang dikemukakan juga menarik kerana pengarang turut mengkritik kezaliman dan pemerintahan kuku besi. Bagaimanapun struktur ceritanya berlapis-lapis dan di luar logika rasional manusia yang boleh mengelirukan pemahaman pembaca.


5. Cakerawati Teluki karya Tuah Sujana

Novel ini mengisahkan tentang kehidupan pelajar di kampus yang penuh emosi. Watak ‘aku‘ yang berada di kedai gunting rambut teringat kembali jalan kehidupannya sewaktu berada di kampus ketika melanjutkan pelajaran di Jepun. Watak ‘aku‘ menjalankan pelbagai aktiviti bersama rakan-rakannya di kampus. Watak ‘aku‘ semasa itu selalu berada dalam keadaan yang penuh emosional dan semangat ketika mengerjakan apa jua perkara sepanjang berada di kampus; umpamanya, melakonkan babak di atas pentas, berpegang teguh pada falsafah atau lainnya. Jalan ceritanya pula terjalin secara mudah dan kurang mencabar minda pembaca untuk menyelami perutusan dan persoalan yang ingin dikemukakan oleh pengarang.


6. Nenek karya Razali Endun

Novel ini mengisahkan dunia politik secara realiti yang berlaku dalam masyarakat kini. Bermula dengan kisah Mahfus yang bekerja sebagai pegawai pejabat tanah. Kehidupannya sederhana sehinggalah dia diberi rasuah sebanyak RM10,000.00 oleh Tan Sri Dahan untuk membuat pengambilan balik tanah di kampungnya untuk dibuat pembangunan. Kehidupannya bertukar menjadi kaya dan diberi sebuah banglo. Dia mendapat gelaran Dato‘. Megat Dewa membantu Mahfus untuk melaksanakan pengambilan tanah itu. Megat Dewa mempunyai muslihat lain untuk menjadi wakil rakyat, seperti mengumpan RM500 setiap seorang, memberi pakej umrah secara percuma iaitu ditanggung penuh dan sebagainya.

Ibunya, Mak Som membantah tindakan anaknya. Mak Som membuat aduan kepada kerajaan mengenai harga pampasan sebanyak RM25.00 sekaki. Dia dan beberapa orang penduduk kampung hadir di mahkamah dan hakim memutuskan pampasan sebanyak RM4.00 sekaki. Bagi Mak Som, orang yang tidak mempunyai tanah dipanggil bangsat. Mak Som meninggal secara mengejut di atas sejadah yang disedari oleh cucunya, Razlan yang tergerak hati untuk melawat Mak Som. Setelah kematian ibunya, Dato’ Mahfus teringat akan pesan ibunya untuk kembali ke jalan yang betul. Dato’ Mahfus berjumpa dengan Tan Sri Dahan dan berterus terang dengannya, tetapi diperangkap oleh Tan Sri dengan gambar Mahfus menerima rasuah. Dato’ Mahfus terpaksa membayar ganti rugi sebanyak RM5 juta atas melakukan pecah amanah. Dia telah dipergunakan oleh Tan Sri dan Megat Dewa atas kepentingan diri masing-masing. Akhirnya, pembangunan dibangunkan dengan pesat sehingga orang Melayu tidak mampu membeli dan menyewa kerana harga melambung tinggi. Waktu itu Tipah Lawa yang menjadi kegilaan ramai penduduk kampung memilih untuk berkahwin dengan Tan Sri Dalan. Tidak ada sesiapa yang seberani Mak Som untuk mempertahankan kampung tersebut. Tan Sri dan Megat Dewa yang ingin menjadi wakil rakyat tidak kesampaian kerana diambil oleh orang Tionghua, Mr Chu.


7. Luka Nering karya Malim Ghozali Pk

Novel ini mengisahkan tentang seorang pewaris takhta raja bernama TC, yang berada di sebuah rumah sakit jiwa. Ia tidak menceritakan kisah kehidupan awalnya yang membawanya ke rumah sakit jiwa tersebut; juga, tidak dijelaskan watak utama mempunyai sakit mental. Semasa berada di situ, dia memenuhi kehidupannya dengan rakan-rakannya dan pekerja di situ seperti Sister Yuria, Gina dan Arbakyah. Di samping itu dia juga digambarkan sebagai sentiasa mengelamun dan teringat sejarah kehidupan lamanya; umpamanya, dia berdebat dengan seorang pensyarah di London untuk membetulkan fakta sejarah yang seharusnya ditulis oleh bangsa Melayu itu sendiri dan bukannnya bangsa Eropah yang lebih berkecenderungan untuk menghina orang Melayu dan memegang kata-kata “the one who wins will write the history“. TC akhirnya dapat melestarikan hasratnya dengan membina masjid di tapak pertempuran ramai askar-askar dan pahlawan-pahlawan Melayu yang gugur di medan perang.

Novel ini lebih berfokuskan di rumah sakit jiwa untuk menggambarkan diri TC sebagai watak utama yang lebih banyak terimbau kenangan yang berkaitan dengan dirinya dan sejarah-sejarah lampau seperti dia berdebat dengan Osborne, pegawai Inggeris yang mementingkan kuasa dan memanipulasikan orang-orang besar dengan memutarbelitkan cerita yang sebenar kepada orang besar di istana. Novel ini turut memaparkan kisah sejarah lampau; antaranya tentang Perjanjian Pangkor 1874 yang banyak merugikan bangsa dan raja-raja Melayu. Namun, penceritaannya ada ketika turut memperlihatkan ketidaklojikan; misalnya, penceritaan tentang TC yang boleh mengingati kisah lampau sedangkan beliau mengidapi sakit mental. Ini merupakan antara kelemahan paling ketara terlihat pada ciptaan novel yang agak tebal ini.


ULASAN PENILAIAN PEMENANG

Pengarang melakukan kritikan akan landskap pembangunan dan modeniti yang tidak terkawal mengakibatkan masyarakat mereka sendiri terpinggir dalam arus pembangunan. Malah telah mengubahkan bentuk landskap politik Melayu dalam jangka masa panjang. Novel ini memperagakan nilai warisan tradisi Melayu dan aspek kearifan tempatan. Hal ini dihidupkan oleh gambaran betapa pelancong dari luar negara amat menghargai estetika seni anyaman tikar Melayu dan seni bina rumah Melayu, namun selain nenek, orang lain termasuk anaknya sendiri tidak menghargai seni tradisi Melayu. Malah, cuba merendah-rendahkan warisan bangsa mereka sendiri. Aspek gotong royong yang dahulunya merupakan amalan tradisi tradisi kini berubah berbentuk komersil. Hal ini mencerminkan perubahan nilai masyarakat. Kematian watak Nenek merupakan satu simbol kepudaran warisan dan nilai Melayu.

Novel ini memperlihatkan sikap segelintir manusia yang sanggup melakukan apa sahaja demi kepentingan diri sendiri. Sikap rakus ini merupakan gambaran realiti masyarakat kini yang tamak dan sanggup menggadai maruah diri sendiri. Pengarang memperlihatkan kedalaman subjek yang ditulisnya. Aspek penyelewengan, penyalahgunaan kuasa, rasuah yang merupakan realiti politik dalam masyarakat kini diperincikan dalam gaya penceritaan yang terasa hidup dan benar. Novel ini juga menerokai permasalahan-permasalahan politik, ekonomi dan sosial bangsa Melayu, terutama tentang permasalahan-permasalahan kemunduran mereka yang disebabkan oleh sikap buruk mereka sendiri seperti hasad dengki, perpecahan, pentingkan diri, kurang keyakinan diri dan ketandusan visi.

PANEL PENILAI

Prof. Dr. Dato’ Hashim Awang
Prof. Dr. Mohamad Mokhtar Abu Hassan
Prof. Madya Dr. Awang Azman Awang Pawi

dewan sastera 

Comments