Segar Jiwa dan Semangat Karya-Karya Usman Awang

Inilah berita yang pernah disiarkan tentang kepergian seorang seniman negara - Sasterawan Negara Usman Awang :

Usman Awang meninggal dunia
Oleh: AZMAN ISMAIL
30 November 2001

PETALING JAYA 29 Nov. - Sasterawan Negara Datuk Dr. Usman Awang atau nama penanya Tongkat Warrant meninggal dunia di Pusat Perubatan Pantai, di sini malam tadi kerana keracunan makanan dan komplikasi jantung.

Beliau berusia 72 tahun.

Anak sulungnya, Haslina, 57, memberitahu, Allahyarham menghembus nafas terakhir di pusat perubatan itu setelah dua hari menerima rawatan di situ.

``Kerana keracunan makanan itu, keadaan kesihatan bapa saya semakin merosot dan menyebabkan masalah jantungnya yang dihidapinya sejak awal 1970-an kembali menyerang,'' katanya ketika ditemui di rumahnya hari ini.

Selain Haslina, Usman meninggalkan tiga lagi anak, iaitu Iskandar (44 tahun), Mohamad Yamin (40 tahun) dan Mayawati (29 tahun). Isteri Allahyarham, Hasnah Zain telah meninggal dunia pada 5 Februari 1999.

Allahyarham dilahirkan pada 12 Julai 1929 di Kampung Tanjung Sedili, Kota Tinggi, Johor dan mendapat pendidikan awal di Kuala Sedili (1936), Mersing (1937) dan Bandar Maharani Muar (1940) sehingga lulus darjah enam.

Usman yang dianugerahkan gelaran Sasterawan Negara pada 1983, penerima kedua selepas Sasterawan Keris Mas pernah berkhidmat sebagai anggota polis Inggeris (1946-1951), Pengarang Utusan Zaman dan Mastika (1952-1961) serta pengarang bahagian majalah Dewan Bahasa dan Pustaka (1962-1985).

Dalam perkembangan kesusasteraan Melayu moden, Allahyarham terkenal dengan tulisan-tulisan dalam pelbagai genre yang memperjuangkan nilai-nilai kemanusiaan, patriotisme dan moral.

Namun, beliau dalam sejarah kepengarangannya lebih dikenali dalam genre puisi yang mengangkat pelbagai persoalan di sekitar masyarakat kelas bawahan Melayu, khususnya para petani, buruh dan tukang.

Allahyarham mula menghasilkan sajak sejak tahun 1948. Kemudian aktif dalam penulisan cerpen, novel dan drama, dan telah menghasilkan lebih 100 buah buku, artikel, jurnal, puisi dan novel.

Antara sajak-sajak Allahyarham yang terkenal ialah seperti Makam Bonda, Bunga Kopi, Ketam Mengajar Anaknya Berjalan dan Pak Utih.

Turut menziarahi Allahyarham ialah ratusan rakan seangkatannya termasuk Datuk A. Samad Said, Prof. Muhammad Salleh, Datuk Dr. Hassan Ahmad, Prof. Datuk Osman Taib serta Tan Sri Kamarul Ariffin.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Perkuburan Islam Bukit Kiara, di sini selepas solat zuhur hari ini.

utusan online

 Dan terhentilah segala acuan dan jalin tulis dan kata seorang sasterawan negara yang ternama dan tak terbandingkan. Hanya tinggal karya-karya beliau yang bertunas dan bertatih dalam fikir dan rabung jiwa mereka yang masih membacanya. 

Masih bernafas segala itu jika kita masih meladeni dan mencungkil kembali lubuk emosi, kias kata, tamsil dan ibarat, sindir dan pesan, urai falsafah dan bahasa fikiran beliau dalam segenap tulis dan kata yang pernah beliau zahirkan. Tetapi kalaulah ia terpisah dan sayup dari tatap dan pandang, akan mengalir pergilah segala kekuatan dan magis bahasa yang tersimpan dalam baris aksara karyanya.

Kita tidak pernah ada pilihan kedua selain hanya seorang Usman Awang. Marilah menggunakan segala daya upaya untuk terus membaca dan menterjemah fikir dan jiwa Sasterawan Negara Usman Awang. Semangat dan jiwanya masih segar dan sentiasa mendepani musimnya...

Al-Fatihah.



Ibuku 
Usman Awang

IBUKU mempunyai seribu mimpi 
Yang dipikulnya tiap hari
Sambil menimangku ia pun menyanyi: 
Timang tinggi-tinggi,
Dapur tak berasap, 
Bila besar nanti, 
Jangan masuk lokap.

Ibuku tidak mengenal buku dan sekolah
Tiap pagi terbongkok-bongkok di lumpur sawah 
Menggaru betisnya yang dikerumuni lintah. 
Hatinya selalu teringat
Suaminya yang mati melarat 
Setelah dikerumuni lintah darat

Ibuku tangannya kasar berbelulang 
Mengangkat bata-bata bangunan 
Wajahnya dibedaki debu berterbangan. 
Ibu tidak pernah mengenal supermarket 
Tinggal di bilik sempit
Upahnya buruhnya sangat sedikit

Ibuku tidak punya TV
Tidak berpeluang pula menontonnya 
Tak pernah mengikuti laporan parlimen
Atau ceramah bagaimana menambah jumlah penduduk 
Tidak pula tahu adanya forum kemiskinan
Atau pertunjukan masak-masakan 
Dengan resepi yang sangat menakjubkan

Ibuku setiap pagi berulang ke kilang 
Bekerja dengan tekun hingga ke malam
Mikroskop itu menusuk matanya dengan kejam 
kaburlah mata ibu diselaputi logam

Ibuku tidak tahu tentang hak asasi 
Apalagi tentang seni dan puisi.
Jika ditanya makna melabur
Nama-nama saham yang menjanjikan makmur 
Atau tentang dasar pandang ke timur,
Ibu tersenyum menunjukkan mangkuk bubur 
Yang melimpah kanji beras hancur

O ibuku sayang
Di negerimu kau menumpang. 
Sesekali kudengar ibu menyanyi 
Pantun tradisi caranya sendiri: 
Siakap senohong,
Gelama ikan duri, 
Bercakap bohong, 
Tak boleh jadi menteri



Penghargaan Buat Usman Awang
Oleh DATUK DR. AWANG SARIYAN


Dr. Awang Sariyan

IZINKAN saya memulakan penghargaan ini dengan membacakan petikan puisi beliau yang cukup terkenal, “Anak Gadis Tionghoa”:

Lihat mereka tertawa riang
Ah Chen tak punya gigi sebatang
Iskandar mengesat hingus ke baju
Sekarang mereka menunggu aiskrim lalu
Bumi tercinta resapkan wahyumu
Jantung mereka adalah langitmu
Darah mereka adalah sungaimu
Nafas mereka adalah udaramu.
(1962)

Bait-bait puisi ini berisi harapan pada erti kehidupan yang penuh pengertian dan saling memahami. Dengan keupayaan bahasanya yang lembut dan bersahaja tetapi sentiasa segar, Usman merakamkan zaman kanak-kanak yang tidak mengenal erti perbezaan kaum, berkawan tanpa batasan prasangka ras dan usikannya tanpa penghinaan tetapi selalunya mesra. Puisi ini memancarkan sikap, pendirian, harapan dan keyakinan Usman yang sebenar. Beliau tidak menyeru ke arah perpaduan dengan desakan dan slogan politik tetapi dengan kejujuran mengungkapkan perhubungan antara manusia tanpa membezakan kaum dan seringnya merakyatsecara luhur.

Demikianlah Usman atau mesra kita kenali sebagai Tongkat Warrant, simbol keunggulan kesusasteraan kita. Beliau menggunakan sastera dalam upaya memperjuangkan pendirian atau menyatakan sikapnya. Puisi Usman sering menyuarakan suara kemanusiaan, dengan perjuangan yang universal sifatnya. Beliau menentang sebarang penindasan dan ketidakadilan tanpa mengenal sempadan.

Usman penyair yang hidup subur sepanjang zaman. Beliau mula menulis kira-kira pada tahun 1948, dengan puisinya yang pertama “Korban Tanah Air”. Usman datang dengan bakat alam dan hati nuraninya. Alam beserta manusia sekeliling menjadi gurunya yang sebenar. Dalam berkarya, Usman memuliakan tradisi, rantaian sejarah dan urutan pengalaman bangsanya.

Usman selalu percaya akan kemerduan alam pantun dan syair, gaya tradisional yang indah serta gubahan bahasanya yang lembut dan halus tetapi kehalusan bahasanya tidak menghilangkan lapisan maknanya. Dengan keramahan dan kehalusan rasa inilah puisi Usman sering menjadi penghubung antara kaum Melayu dengan kaum Cina serta India. Puisinya melukiskan situasi tanah airnya dengan semua kaum menghadapi masalah dan harapan masa hadapan yang sama. Landasan Usman yang merupakan perasaan kemanusiaan dan kehidupan, menjadi ruang yang menghubungkan kita kepada masalah di dalam negara, peperangan, perpisahan, kematian, malah mangsa pembangunan.

Sesungguhnya Usman sejak zaman awalnya dalam ASAS 50 berpegang teguh kepada konsep “Seni Untuk Masyarakat” – baik melalui karyanya atau pimpinan persatuan. Baginya seniman harus memperjuangkan idea dalam bentuk seni yang seindah mungkin dan pada masa yang sama karya sastera tidak boleh kosong tanpa berfungsi dan bertanggungjawab kepada masyarakatnya. Bagi Usman, sastera tidak harus disempitkan oleh perkauman sebaliknya harus menjadi pernyataan kemanusiaan universal. Kerana itu puisinya terus relevan hingga kini dalam konteks kemanusiaan. Usman tidak melihat ke dalam kandang negaranya sahaja malah kemanusiaannya terbang jauh melampaui batas geografi dan politik. Demikianlah yang terserlah dalam puisinya “Merpati Putih, Jelajahilah Dunia ini” dan “Salam Benua”.

Usman juga dikenali sebagai penulis drama dan tiada siapa antara kita yang tidak mengagumi karya-karya klasiknya seperti Tamu Di Bukit Kenny, Uda dan Dara, Matinya Seorang Pahlawan, Menyerahnya Seorang Perempuan dan Degup Jantung. Bahasa dalam dramanya sentiasa terkawal, berhemah, indah dan sentiasa berwibawa dengan pemilihan perbendaharaan kata dan olahan yang kemas. Keindahan ungkapan yang tiada tandingnya dalam drama tempatan terlihat dalam drama Menyerahnya Seorang Perempuan.


Usman Awang

Drama Usman mengambil kisah klasik untuk menentang amalan feudal dan menuntut keadilan serta kebenaran. Beliau menyeru dan membangkitkan semangat juang orang kecil yang tertindas. Dalam drama modennya Usman mengutarakan persoalan dan konflik masyarakat dengan komentar tajam tabiat masyarakat sezamannya. Hasilnya drama Usman bukan sahaja tidak jemu ditonton malah isu yang diangkatnya sentiasa relevan merentas zaman.

Usman hanya menghasilkan sebuah novel, iaitu Tulang-tulang Berserakan tetapi novel ini umpama menjenguk babak-babak kehidupan Usman sendiri. Watak Leman dikatakan mendekati watak Usman, seorang yang berperasaan halus, mudah terusik oleh keadaan yang tidak menyenangkan, kekerasan, peperangan, ketidakadilan, kepincangan, penipuan dan penindasan. Seperti Usman, watak Leman juga akhirnya meletakkan jawatan sebagai anggota polis. Sebagai anggota polis, Leman berhadapan dengan dilema tugasnya. Memburu dan membunuh pengganas komunis merupakan beban yang amat berat, yang mencabar rasa kemanusiaannya. Dia bersimpati dengan mereka yang tabah dan teguh untuk menegakkan ideologi yang dia sendiri tidak bersetuju.

Usman pernah bertugas di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada ketika DBP berada di puncak perjuangan bahasa dan suara kebangkitan nasionalis Melayu. DBP ketika itu juga menghimpunkan sejumlah besar karyawan sastera dan bahasa terbaik ketika itu, antaranya Keris Mas, Wijayamala, Awam-il Sarkam, Abdullah Hussein, Baha Zain, Kemala, Anwar Ridhwan, Dinsman, Johan Jaaffar dan Sutung Umar RS. Usman bersama-sama Keris Mas merancang dan melancarkan penerbitan majalah Dewan Sastera, satu-satunya wadah karyawan sastera unggul dan terbaik hingga kini. Kemudian Usman dan Keris juga turut merencanakan penerbitan Dewan Budaya, majalah suara seni dan budaya yang masih unggul hingga kini. Dan legasi Usman terus hidup di DBP.

Usman seorang penulis yang cukup versatil. Beliau penyair, penulis novel, penulis cerpen dan penulis esei. Kekuatannya terletak pada puisi, tetapi beliau juga kuat sebagai penulis drama. Namun yang lebih kuat adalah bahasanya yang begitu istimewa, menyindir dengan sinis, mengkritik dengan tajam, marah dalam lembut, mesra tanpa prasangka dan kemanusiaan yang ikhlas melampaui ras.

Sesungguhnya anugerah ini datang tepat pada masanya, ketika negara bergolak dengan prasangka yang cuba mengoyakkan keharmonian perpaduan kaum yang sekian lama damai bersama. Besarnya sumbangan Usman bukan sahaja kepada dunia sastera Melayu, malah kesan harumnya kepada kemanusiaan sejagat. Yang diutamakan oleh Usman adalah nilai keikhlasannya.

Sebagai menutup penghargaan dan mengingati Usman, izinkan saya sekali lagi memetik kata-kata daripada buku Sikap dan Pemikiran Usman Awang:

“…Seorang penulis tidak melihat batas benua. Tidak terikat pada warna kulit dan keturunan bangsa kerana tangis seorang anak di Sungai Kelang adalah juga tangis seorang anak di Sungai Mekong. Air mata seorang ibu di Kuala Terengganu adalah juga air mata seorang ibu di belantara Afrika.”

Maka, sewajarnyalah anugerah ini dinamakan Anugerah Integrasi Nasional Usman Awang.

(Teks ini disampaikan di Majlis Penyampaian Anugerah Integrasi Nasional Usman Awang, Hotel Berjaya Times Square, K. Lumpur, 14 Dis. 2014).

klikweb



Usman Awang yang saya kenal
30 November 2001
Belasungkawa Sasterawan Negara
Oleh JOHAN JAAFFAR

Saya sebenarnya ditemui oleh Usman Awang. Pada tahun 1975, saya mementaskan drama Kotaku! Oh! Kotaku di Panggung Eksperimen, Universiti Malaya. Pementasan itu merupakan acara kemuncak program tahunan Malam Berbunga Sajak anjuran Kumpulan Kesenian Universiti Malaya (KESUMA).

Saya tidak menyangka drama itu menarik perhatian Usman atau lebih dikenal dengan nama Tongkat Warrant yang turut hadir malam itu. Saya tergamam apabila dia menemui saya selepas pementasan untuk memberikan tahniah.

Saya sama sekali tidak menduga bahawa drama itu menjadi fokus majalah Dewan Sastera pada bulan Mac 1976. Bagi seorang penulis baru ketika itu, perihal orang seperti Usman sudi menonton drama saya sudah satu kebanggaan. Apabila drama itu menghiasi kulit depan Dewan Sastera, wajarnya saya berasa sungguh bangga dan beruntung.

Apabila saya menjejakkan kaki di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada bulan Julai 1977 sebagai Pegawai Perancang Bahasa (nama jawatan untuk pegawai bahasa, sastera dan penerbitan ketika itu), Usman mengetuai unit Penerbitan Buku dan Majalah Sastera di bawah Bahagian Pembinaan dan Pengembangan Sastera (BPPS). Baharuddin Zainal menjadi Ketua BPPS ketika itu.

Hasrat untuk bekerja di DBP sebenarnya bersemarak apabila saya bersama rombongan pelajar ahli-ahli persatuan penulis dari Sekolah Menengah Semerah, Batu Pahat, di bawah pimpinan Cikgu Mokhtar Talib (Pak Matlob) menghadiri Malam Memperingati Jymy Asmara pada tahun 1970. Bayangkan perasaan anak-anak sekolah yang pertama kali menjejakkan kaki di Balai Budaya DBP yang bersejarah itu.

Malam itu kami bukan sahaja diasyikkan dengan pelbagai persembahan memperingati Allahyarham Jymy tetapi mengenali banyak kawan Jymy dalam Angkatan Sasterawan 50 (ASAS 50) - termasuk Usman.

Saya pulang dengan semangat dan tekad baru. Kali ini untuk lebih banyak menulis. Dan dalam diari pada hari sekembalinya kami dari Kuala Lumpur itu saya menulis, ``Mahu bekerja di DBP''.

Impian itu menjadi kenyataan tujuh tahun kemudian. DBP ketika itu memang luar biasa hebatnya. Ia menjadi suara kebangkitan nasionalis Melayu dan pejuang bahasa. Ia juga menjadi tempat berhimpunnya karyawan terbaik seperti Kamaluddin Muhammad (Keris Mas), Abu Yazid Abidin (Wijaya Mala), Abdul Wahab Muhammad (Awam-il Sarkam), Abdullah Hussain dan Usman.

Nama-nama lain yang menjadi petugas BPPS ketika itu ialah Baharuddin Zainal (Baha Zain), Ahmad Kamal Abdullah (Kemala), Anwar Rithwan, Che Shamsuddin Othman (Dinsman), Syed Jafar Husin, A.M. Thani, Shamsuddin Jaafar, Wan Omar Ahmad (Sutung Umar RS) dan A. Ghani Abdullah.

Itu merupakan zaman gemilang kegiatan sastera. BPPS dihormati kerana menunjang kegiatan sastera secara meluas. Majalah Dewan Sastera di bawah pimpinan Usman menjadi wadah karyawan terbaik. Buku-buku sastera DBP menandakan kualiti yang tersendiri.

Usman ialah bapa yang baik pada banyak sasterawan muda. Sebagai pengarang Dewan Sastera, entah berapa banyak penulis seperti saya yang ditemuinya - kemudian diselia, dinasihat dan dibina. Banyak penulis muda generasi saya melihat Usman lebih daripada sebagai sasterawan. Beliau bapa dan sekali gus mentor kami.

Usman menjadi tempat penulis muda mengadu nasib. Keterbukaannya memberi ruang untuk penulis berinteraksi secara bebas baik di majlis-majlis sastera atau di pejabat sederhananya di DBP.

Minatnya bukan sahaja pada sastera. Para pelukis juga mendapat tumpahan perhatiannya. Tidak hairanlah kalau Usman menaungi kegiatan Kumpulan Anak Alam yang mulanya didukung oleh pelukis-pelukis muda ketika itu. Di antara anak Alam yang mendapat bimbingan Usman ialah pelukis Latiff Mohiddin.

Apabila Usman dan Keris Mas merancang majalah Dewan Sastera, seorang lagi pelukis muda yang memberikan sumbangan yang bukan kecil ialah Sulaiman Esa. Sketsa Sulaiman muncul sebagai kulit Dewan Sastera yang pertama pada bulan Januari 1971 itu.

Bagi masyarakat di luar, Usman dikenal sebagai jurucakap Asas 50. Tidak dapat dinafikan bahawa Asas 50 merupakan gerakan sastera yang begitu besar pengaruhnya pada dunia kesusasteraan tanah air pada tahun-tahun 50-an dan 60-an. Malah tempiasnya terasa hingga ke hari ini.

Asas 50 berdepan dengan krisis dalaman yang tersendiri. Puncanya: falsafah bersastera. Seperti Keris Mas dan A. Samad Ismail, Usman ialah pendukung aliran `Seni untuk Masyarakat' yang bertentangan dengan aliran `Seni Untuk Seni' yang dibawakan oleh Hamzah Hussein. Perdebatan itu mewarnakan wacana kesusasteraan Melayu selama beberapa ketika.

Bagi Usman dan teman-temannya, sastera harus punya fungsi dan peranan pada masyarakat. Sastera tidak boleh wujud dalam vakum. Sastera tidak boleh ditempatkan di kuil seni semata-mata. Sastera yang gagal menjadi suara bicara dan hati nurani masyarakat tidak banyak gunanya.

Maka itu Usman tidak melihat sastera hanya dari sudut pandangan sempit bangsanya. Dia melihat sastera sebagai pernyataan universal. Baginya, sastera akan hanya menjadi relevan kalau dilihat dalam konteks kemanusiaan yang universal.

Mungkin pendirian ini tidak secocok dengan banyak sasterawan Melayu yang ketika itu obses dengan isu identiti dan survival. Tahun-tahun 60-an misalnya memperlihatkan sastera Melayu yang tepat dilabelkan literature of the underdogs. Sasterawan Melayu menempelak sesiapa sahaja yang berkuasa dan berharta sebagai punca kemunduran dan kelemahan bangsa mereka.

Usman melihat isu Melayu dari perspektif yang lebih luas. Sistem dalam masyarakatlah yang melahirkan politikus boyot, pemimpin korup, pegawai tamak dan peniaga rakus. Maka sistemlah yang harus diperbetulkan.

Pendirian sedemikian dengan mudah boleh disalah tafsir. Malah ada karyawan yang menganggap Usman mengkhianati isu Melayu kerana kesediaannya memeluk fahaman universal. Tetapi Usman mempunyai pendirian jelas mengenai nasib anak bangsanya. Pengalamannya sebagai polis di zaman darurat mengajarnya bahawa menjaga ladang orang putih bukan bukti kesetiaan. Kepentingan siapakah yang harus dipertahankan hingga nyawa rakyat - Cina, Melayu dan lain-lain - menjadi korban?

Usman tidak melihat landas ras dalam memperjuangkan pendiriannya. Ibarat cubit paha kiri, paha kanan terasa sakitnya, itu fahaman Usman mengenai penderitaan manusia. Ambil sahaja perjuangan kaum tani di Teluk Gong yang dirakamkannya dalam antologi berjudul sama. Usman melihatnya sebagai perjuangan kelas yang universal sifatnya. Penderitaan yang berpunca daripada penindasan dan ketidakadilan tidak ada sempadannya.

Ambil sahaja drama Tamu di Bukit Kenny. Usman menggunakan Bukit Kenny sebagai lambang kejayaan sebuah keluarga pegawai Melayu di Kuala Lumpur dalam tahun 60-an. Watak Pegawai dalam drama ini - berbeza daripada pegawai tinggi kerajaan dalam sastera Melayu dekad itu - baik dan berhemah tinggi. Malah Pegawai ini sedia mengambil tahu semua masalah orang kampung dan masyarakat di sekitarnya. Malah krisis terbesarnya ialah untuk menjinakkan anak-anaknya sendiri.

Tulang-tulang Berserakan merakamkan kehidupan keluarga Cina yang ditempatkan di kawasan baru ekoran darurat. Usman melihat mereka tidak lebih sebagai mangsa. Anak-anak tidak bersalah harus menderitai kehidupan baru. Bagi si hero dan kawannya Majid - kedua-duanya anggota polis ketika itu - keadaan itu cukup menginsafkan.

Komitmen Usman terhadap apa yang dianggapnya ketidakadilan memang jelas. Mogok Utusan Melayu 1961 yang tersohor itu meletakkan Usman di tengah-tengah kontroversi. Pimpinan politik mahu menguasai Utusan Melayu. Pengarang Utusan Melayu ketika itu, Said Zahari, dan sebilangan besar wartawan menentang. Usman menjadi suara lantang menyokong mogok itu. Sajak-sajak beliau dalam merakam peristiwa ini terkumpul di dalam koleksi Duri dan Api.

Malah sepanjang hayatnya, Usman bukan sahaja bersedia ke hadapan untuk menyatakan pendiriannya, beliau seringnya sendirian bersama anak-anak muda dan aktivis badan-badan sukarela memegang lilin, menghantar memorandum dan mengambil kisah isu-isu semasa. Sehinggalah kesihatan beliau terganggu.

Usman akan dikenal kerana keupayaannya menggunakan bahasa sebagai wahana sastera. Malah bahasa Melayu di tangan Usman diberikan maruah dan wibawa baru. Memanfaatkan perbendaharaan kata yang baik dan olahan yang kemas, karya-karya Usman ialah studi terbaik mengenai aspek kebahasaan dalam sastera.

Puisi-puisi terbaiknya seperti Pak Utih, Ke Makam Bonda, Gadis di Kuburan, Bunga Popi, Anak Jiran Tionghua, Duri dan Api, Kisah dalam Ribut dan Selat Melaka jelas memperlihatkan bagaimana matangnya bahasa dicanai untuk memberikan kesan sebaiknya. Puisi-puisi ini sentiasa segar dan bertahan sebagai khazanah terbaik puisi moden Melayu.

Usman juga terkenal sebagai penulis drama. Sesiapa yang mengikuti sejarah drama moden negara ini mahu tidak mahu akan mengagumi karya-karya klasiknya seperti Tamu Bukit Kenny, Uda dan Dara, Matinya Seorang Pahlawan, Menyerahnya Seorang Perempuan dan Degup Jantung.

Sebahagian daripada drama ini mengambil bahan daripada hikayat silam dan cerita klasik. Ambil sahaja Menyerahnya Seorang Perempuan, salah sebuah karya terbaiknya. Kisahnya diambil daripada kitab Sejarah Melayu Melaka sedang bergolak dengan konflik kepimpinan yang serius. Dua tokoh - Tun Perak dan Bendahara masa itu, Seri Nara Diraja Tun Ali - sedang berantakan. Sultan Muzafar Shah harus bertindak pantas untuk menyelamatkan Melaka. Tun Ali, si tua miang keladi rela mengundurkan diri sekiranya Tun Kudu, permaisuri Raja Melaka dapat dikahwininya.

Pandangan Tun Ali mengenai kejelitaan Tun Kudu dalam drama itu akan terus diingat sebagai ungkapan paling indah dalam sejarah drama negara ini.

Demikianlah Usman - baik dalam drama atau puisinya - memanfaatkan bahasa Melayu dengan cara yang sebaiknya. Beliau boleh mendesak, marah, kecewa dan dirundung malang. Tetapi bahasanya sentiasa berhemah, terkawal dan kukuh. Beliau seorang tukang terbaik memahatkan kreativitinya menggunakan ungkapan, untaian, frasa dan kata yang tepat dan indah.

Usman dinobat sebagai Sasterawan Negara pada tahun 1983. Panel Anugerah Sastera tahun itu dalam mewajarkan pemilihan itu antara lain menulis, ``Ada semacam tarikan - semacam karisma - yang menjadikan beliau teguh seperti sebuah institusi.'' Bagi saya Usman ialah bukti terbaik keupayaan karyawan negara ini. Penulis muda seperti saya pada zamannya mengagumi dan mengulum setiap karya yang dihasilkannya.

Tetapi Usman bukan Usman kalau bukan kerana kelainannya. Usman mungkin senang didekati tetapi tetap sukar difahami. Enigma yang bernama Usman ini menjadikan beliau personaliti yang sentiasa menarik.

Di DBP - di sebalik kesediaan beliau membuka pintu pejabatnya kepada penulis lama dan baru - Usman tidak pernah kelihatan di kantin. Dia minum dan makan di biliknya atau di majlis-majlis rasmi anjuran DBP sahaja. Demikian juga dalam majlis-majlis sastera yang dihadirinya, Usman membawakan imej seorang yang istimewa maka harus diberi layanan istimewa juga.

Pokoknya Usman pandai membawa diri dan menjaga imejnya.

Beliau bersara dari DBP pada 12 Julai 1983. Pada tahun 1987 Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad datang ke DBP untuk melancarkan dua buah buku beliau, Puisi-puisi Pilihan Sasterawan Negara Usman Awang dan Drama-drama Pilihan Sasterawan Negara Usman Awang. Saya dipertanggungjawabkan mengendalikan aspek persembahan majlis itu.

Saya mengambil fragmen dari drama Menyerahnya Seorang Perempuan dan Matinya Seorang Pahlawan untuk tujuan itu. Kemuncaknya ialah pementasan tarian berdasarkan muzika Uda dan Dara yang dikendalikan oleh pelajar-pelajar Maktab Perguruan Ilmu Khas, Kuala Lumpur.

Selepas majlis itu, kami duduk di satu sudut Balai Budaya. Dia kelihatan lesu sekali. ``Saya puas'', katanya. Dia mengingatkan saya janji bersama kami untuk menulis kisah rakyat terkemuka dari tanah kelahirannya Kota Tinggi. Kisah itu ialah Sultan Mahmud Mangkat Dijulang. Perihal isteri Panglima Bentan yang dibunuh oleh sultan kerana makan nangka raja ialah bahan drama yang baik. Perihal si suami, Laksamana Bentan mengamuk dan membunuh raja dan sumpahan tujuh keturunan ke atas keluarganya sejak sekian lama menarik perhatian saya sejak sekian lama.

Pada tahun 1980, saya pernah mencadangkan beliau menulis kisah itu. Pasti lebih hebat dari Uda dan Dara, kata saya. Dia mempunyai cadangan lain. Kenapa tidak kita tulis bersama? Penghormatan yang luar biasa bagi saya. Saya berjanji akan mengumpulkan bahan berkaitan.

Masa berlalu dan beliau semakin uzur selepas kami bertemu pada tahun 1987 itu. Beberapa pertemuan singkat saya dengan beliau selepas itu tidak mengizinkan beliau menelaah bahan yang saya kumpulkan sejak tahun 1980. Saya juga tidak tergamak untuk membebankan beliau dengan kerja menulis drama dalam keadaan kesihatannya sedemikian.

Tetapi dia masih bersedia bercakap tentang `drama kita' setiap kali saya bercakap melalui telefon atau menemuinya.

Hajat saya tidak kesampaian. Usman Awang menghembuskan nafasnya yang terakhir pada pukul 12.35 malam 29 November 2001 di Pusat Perubatan Pantai.

Saya lantas teringat sebahagian catatan beliau yang terpampang di pintu masuk lama Perpustakaan Universiti Malaya:

Kota Kebenaran Penaung Kebebasan Ucapsuara
Dari Ruang Ini Bersinar-sinar Keagungan Pemikiran
Menghayati Teluk-teluk Zaman Demi Zaman
Tanpa Prasangka Apa Tanpa Batas Benua

Ungkapan ini merakamkan persepsinya terhadap sebuah gapura ilmu. Lebih daripada itu, ungkapan ini juga jelas memancarkan sikap, pendirian dan keyakinan Usman yang sebenar - sebagai sasterawan, humanis dan manusia.Semoga Allah memberkati rohnya. - DATUK JOHAN JAAFFAR pernah berkhidmat selama 15 tahun di DBP sebelum menjadi Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Melayu dari 1992 hingga 1998.

utusan online



Usman Awang terkenang malam kemerdekaan
29 Ogos 1998

Salah satunya naskhah teater Malam Kemerdekaan yang ditulis oleh Sasterawan Negara Datuk Usman Awang setahun selepas negara mencapai kemerdekaan.

Ini antara naskhah terawal yang dihasilkan selepas kemerdekaan dan sarat dengan nilai patriotik.

Malam Kemerdekaan yang kerap dipentaskan tetapi sehingga kini terus dirasakan semangat yang mewakili golongan seniman menganalisis perjuangan mencapai kemerdekaan.

Ketika ditemui di rumahnya baru-baru ini, Usman yang sinonim dengan perjuangan kemerdekaan dan kemanusiaan berkata, naskhah teater itu menitikberatkan proses mencapai dan mengisi kemerdekaan.

Sekalipun Malam Kemerdekaan bukan naskhah sejarah tetapi ia bergerak di atas landasan sejarah dan dikembangkan secara kreatif.

Menurut Usman, watak Engku Bahari dalam Malam Kemerdekaan adalah Bapa Kemerdekaan Tunku Abdul Rahman.

''Saya mencerna idea untuk Malam Kemerdekaan dalam konteks pemikiran dan pengamatan saya dan watak Engku Bahari itu secara tidak langsung menggambarkan proses kemerdekaan yang diperjuangkan oleh Tunku serta nasionalis yang lain,'' jelas Usman yang juga dikenali dengan nama Tongkat Warant.

Usman yang juga dikenali dengan drama sosial, Uda Dan Dara ini memberitahu, pada November depan, Malam Kemerdekaan akan dipentaskan oleh sebuah kumpulan teater tempatan.

''Saya cukup terharu kerana karya saya masih diingati oleh generasi hari ini,'' ujar Usman yang sebelum ini banyak terlibat dalam kegiatan sosial.

Apabila ditanya, adakah beliau tidak menulis lagi setelah usia kemerdekaan mencapai 41 tahun, Usman berkata, beliau mahu berehat secukupnya kerana banyak daripada usianya dihabiskan dengan menulis.

Berpegang kepada prinsip ''seni untuk masyarakat'', sasterawan ini telah mengangkat pelbagai isu rakyat dalam setiap karyanya.

Sebagai orang yang dilahirkan pada zaman sebelum merdeka, Usman memperlihatkan buah fikiran yang menyentuh tentang perjuangan dalam puisi, drama dan novelnya.

Beliau memberitahu, karya pertama yang dihasilkannya ialah puisi Korban Tanah Air pada 1948 sewaktu bertugas sebagai anggota polis di Melaka.

Sebagai seorang sasterawan, Usman yakin bahawa karya-karya yang baik dan jujur harus dapat membuka pemikiran dan menjadi inspirasi kepada rakyat.

''Kita harus memikirkan kemerdekaan itu daripada banyak segi terutamanya kemerdekaan diri, jiwa, fikiran dan juga budaya. Dalam persoalan ini kita masih dijajah lagi,'' jelas Usman.

Semangat perjuangan kemerdekaan dan kemanusiaa tercetus dalam karya-karya seperti Merpati Putih Jelajahi Dunia ini, Kekallah Perdamaian, Khabar Dari Asia dan banyak lagi.

''Saya merasai semangat kemerdekaan itu kerana saya membesar pada zaman sebelum merdeka. Kebanyakan puisi saya pada zaman sebelum merdeka bekisar tentang perjuangan, penentangan terhadap penjajah dan laungan kemerdekaan,'' jelas Usman.

Oleh: ROZI ABDUL RAZAK

utusan online


Usman Awang permata Melayu yang sukar diganti
Februari 12, 2008

Oleh: AZMAN ISMAIL


USMAN Awang. Nama ini tidak hanya sebahagian daripada khazanah keilmuan Melayu. Tetapi ia juga merupakan permata intelektual yang dimiliki oleh masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

Dalam sejarah kepengarangannya, Allahyarham berkarya bukan hanya di atas nama kaum Melayu semata-mata tetapi juga merentas sempadan etnik dan sistem kepercayaan – atas nama kemanusiaan serta kesejagatan.

Persoalan besar yang sentiasa diutarakan olehnya ialah bagaimana pengarang menjadi lidah masyarakat dalam menyuarakan hak, rasa, pandangan dan kepentingan mereka kepada kelompok yang berkuasa.

Bagaimanapun, Allahyarham tidak meletakkan ‘perjuangan’ masyarakat bawahan dalam wacana konflik. Sebaliknya ia disampaikan melalui ketajaman pena dan kehalusan kata.

Sebagai pembaca, kita jangan mengharapkan pemikiran Allahyarham diterapkan dalam karya-karya berbau penentangan dan kekerasan. Sebaliknya, keadilan dituntut melalui kejernihan akal rasional.

Sesekali bila membaca karya-karya Allahyarham sama ada genre puisi, novel mahupun drama pentas, ia akan mengingatkan kita pada Justice is Conflict, karya Stuart Hampshire.

Dalam erti kata, sama seperti Hampshire, Usman berpandangan bahawa kejernihan akal rasional dalam memperjuangkan keadilan adalah cara terbaik untuk mencapai matlamat.

Oleh itu, karya-karya Allahyarham setia mendukung semangat persahabatan sebagaimana jiwa kemelayuan itu sendiri. Menikam dalam kelembutan kata-kata dan kepetahan bermain bahasa.

Seperti yang diungkapkan oleh penulis, Zaen Kasturi, Allahyarham merupakan permata intelektual Melayu yang lahir atas semangat kesedaran untuk memperjuangkan masa depan dan jati diri bangsanya.

“Kata-kata dalam puisinya adalah lambang Melayu sejati yang cinta akan akarnya. Keterpesonaannya tertancap kukuh pada alam yang melahir, membesar dan mendewasakannya.

“Jiwa puisinya adalah jiwa Melayu tulen. Cintanya tidak mengenal batas. Daripada nelayan dan buruh kasar sehinggalah Melayu yang menduduki kepimpinan tertinggi, dia menegur menerusi kata-kata lembut dan menusuk,” katanya.

Zaen berpendapat, membaca karya Allahyarham, terutama puisi-puisinya, kita tidak berasa marah atau terhina akan tegurannya itu.

Malahan seharusnya berterima kasih kerana dia memberikan kita rasa untuk berfikir bahawa kita harus menjadi Melayu yang kenal peribadi sendiri.

Oleh hal yang demikian itu, karya-karya Allahyarham akan tetap subur sebagai khazanah bangsa yang begitu berharga. Memang Allahyarham adalah sebutir permata di dalam kesusasteraan tanah air yang sukar dicari ganti.

Hari ini, setelah enam tahun pemergiannya, perjuangan dan idealismenya dalam memartabatkan bahasa, kesusasteraan dan kemanusiaan sentiasa hidup dan mekar mewangi.

Pensyarah Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya (UM), Prof. Madya Dr. Mohamad Mokhtar Abu Hassan berkata, ‘kekuatan’ utama Allahyarham ialah unsur kritikan sosial dalam karya-karyanya.

Allahyarham dalam beberapa karyanya melontarkan kritikan terhadap kepincangan-kepincangan dalam birokrasi serta terhadap segelintir pemimpin yang tidak jujur.

Namun, teguran tersebut dilontarkan dalam kerangka pemikiran Melayu yang sentiasa berlapik dan bersopan. Kehalusan kata sentiasa menjadi keutamaan kepada Allahyarham.

“Semangat untuk membela nasib orang Melayu dalam karya-karya Allahyarham cukup kuat. Ia ditulis dalam bahasa yang mudah tetapi memadai untuk menyedarkan semua pihak.

“Inilah kelebihan yang ada pada beliau. Dengan bahasa yang mudah, ringkas tetapi padat, karya- karyanya mampu menegur banyak pihak secara halus serta berlapik,” katanya.

Di sisi lain, Mohamad Mokhtar berpendapat karya-karya Usman membuktikan Allahyarham berfikiran jauh dalam melihat pelbagai isu khususnya berkaitan dengan masa depan orang Melayu.

Kebanyakan isu yang diutarakan tidak hanya menggambarkan situasi semasa. Sebaliknya juga idealisme untuk memajukan orang Melayu pada masa depan.

“Pandangan-pandangan seperti ini tidak banyak ditemukan dalam penulis-penulis Melayu yang sezaman dengan Allahyarham. Apa yang diutarakan adalah isu semalam, hari ini dan masa depan.


“Saya rasa ini kekuatan utama dalam karya-karya Allahyarham. Ia membuktikan Usman seorang pengarang yang berpandangan luas meskipun tidak mempunyai pendidikan tinggi,” tambahnya.

Pandangan-pandangan Zaen dan Mohamad Mokhtar sebenarnya hanyalah contoh kecil daripada segudang jasa Allahyarham dalam memartabatkan bahasa, sastera dan masa depan orang Melayu sendiri.

Bagaimanapun, berapa ramai barangkali antara penyanjung, peminat dan pengagum Usman yang terus mengingati makna sebenar 29 November dalam erti kata `pergi sebutir permata keilmuan Melayu?’

Usman tidak hanya sekadar pengkarya besar yang pernah dilahirkan oleh sebuah negara bernama Malaysia tetapi juga seorang pemikir agung yang merentasi zamannya.

Ketika meletus peristiwa permogokan Utusan Melayu pada Oktober 1961, Allahyarham dan teman- teman seperjuangan menunjukkan harga diri yang tinggi demi masa depan bahasa dan orang Melayu.

Di Angkatan Sasterawan 50 (Asas 50), suara Allahyarham begitu lantang memperjuangkan maruah bahasa Melayu. Begitu juga ketika Peristiwa Keranda 152. Peranannya telah membangkitkan kesedaran kepada banyak pihak supaya tidak memperlekehkan bahasa kebangsaan itu.

Ketika kampus universiti di negara ini bergolak, Allahyarham turut meletakkan dirinya dalam peristiwa berkenaan. Beliau menunjukkan keprihatinan sebagai seorang manusia yang hidup dan sedar kepada persekitarannya.

Kesimpulan ringkas, pengkaryaan dan perjuangan Allahyarham sentiasa dekat dengan dunia nyata, dan di mana perlu menyatakan pendirian melalui tulisan yang beralas tetapi tetap mengesankan.

Kini sudah beberapa tahun Allahyarham meninggalkan kita. Namun, ketajaman pena dan kehalusan bahasa beliau tidak pernah mengikuti jasadnya. Ia terus subur, sesubur jasanya yang ditabur demi kelangsungan bangsa Melayu dan negara Malaysia.

esiswa





Serba Sedikit Tentang Usman Awang

Fakta Ringkas Usman Awang
Nama Usman Awang bukan asing dalam dunia kesusasteraan tempatan. Dalam dunia sastera tanah air, Allahyarham Dato’ Dr. Usman Awang adalah nama tersohor bagai bintang yang gemerlapan sepanjang zaman.

Karya seni beliau begitu indah, cukup bersemangat dan benar-benar bermakna sehingga diterima oleh pelbagai kaum di seluruh tanah air. Hasil kerja beliau berkisar tentang realiti kehidupan, prihatin terhadap golongan tertindas serta menentang kuat kolonialisme selain bersifat universal dan patriotik.

Sesungguhnya Usman Awang adalah ikon patriotik yang menerusi karya seni menyatukan pelbagai bangsa di Malaysia serta wajar dikenang dan dimartabatkan. Beliau telah memenangi banyak anugerah kesusasteraan seperti Gelaran Pejuang Sastera (1976), SEA Write Award (1982), Gelaran Sasterawan Negara (1983), Zamalah Sastera untuk kategori Penulis Terkenal (Veteran) (1985) dan Anugerah Penyair Johor (1995)

Lahir pada 12 Julai 1929 di Kota Tinggi, Johor
Seorang penyair, penulis dalam pelbagai genre termasuk cerpen dan drama terkenal di Malaysia
Salah seorang pengasas Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA)
Berpendidikan sekolah rendah sahaja kerana kemiskinan keluarga
Pernah menjadi buruh paksa Jepun dan anggota polis pada zaman British
Kembali ke Rahmatullah pada 29 November 2001

Antara nama-nama pena beliau termasuk Tongkat Warrant, Adi Jaya, Amir, Atma Jiwa, Manis, Pengarang Muda, Rose Murni, Setiabudi, U.A. dan Zaini.

Antara puisi-puisi termasyhur beliau adalah

Salam Benua
Kekasih
Pak Utih
Ke Makam Bonda
Nasib Buruh
Bunga Popi
Gadis di Kuburan
Duri dan Api
Anak Jiran Tionghua
Hadiah
Sahabatku
Merpati Putih, Jelajahilah Dunia Ini

Drama-drama termasyhur beliau termasuk

Muzikal Uda dan Dara
Tamu Di Bukit Kenny
Matinya Seorangan Pahlawan (Jebat)
Malam Kemerdekaan
Serunai Malam

Cerpen-cerpen masyhur beliau:

Degup Jantung
Betisnya Bunting Padi
Matinya Seorang Perempuan
Sebuah Khemah Didirikan
Turunnya Sebuah Bendera

Satu-satunya novel beliau berjuduk “Tulang-tulang Berserakan”

yayasan usman awang

  

Comments