7 Mar 2014

Layang-Layang



Seni layang-layang kian hilang ditelan zaman
5 Mac 2014


LAYANG-layang dan wau adalah permainan tradisional yang kian pupus ditelan zaman akibat peredaran masa dan pembangunan teknologi baru sehingga menenggelamkan seni warisan ini.

Kewujudan seni warisan ini sangat sinonim di pantai timur Semenanjung dan menjadi darah daging kepada penduduk di kawasan itu.

Namun, apa yang menyedihkan, seni warisan ini hanya dipelopori oleh golongan warga emas dan sekiranya ia tidak diperturunkan kepada generasi muda, nescaya ia akan terus hilang dari adat resam sebagai permainan tradisi orang Melayu.

Walaupun terdapat layang-layang ‘segera’ di kedai atau pasar raya, buatannya tidak akan sama jika dibandingkan dengan sentuhan hasil tangan sendiri daripada pakar dalam pembuatannya, yang memerlukan sepenuh perhatian dan ketelitian.

Kemahiran untuk membuat layang-layang dan wau bukanlah satu perkara yang mudah untuk dipelajari tetapi ia tidak mustahil jika ada minat yang mendalam untuk mempelajarinya sehingga menampakkan hasil yang membanggakan.

TURUNKAN ILMU KERANA MINAT


Ini dipersetujui oleh Yasok Umat, 73, seorang pengajar dalam pembuatan layang-layang dan wau di kawasan tempat tinggalnya di Kota Baharu, Kelantan.

Beliau menurunkan ilmu pembuatan layang-layang dan wau kepada anak muridnya di kampung. Itupun sekadar suka-suka sahaja kerana bilangan anak muridnya adalah kecil.

"Saya memang suka mengajar kerana nampak kesungguhan mereka ketika belajar dan saya mahukan ilmu ini diturunkan agar dapat diperluaskan kepada generasi akan datang", katanya kepada Bernama dalam satu temubual di sini baru-baru ini.

Menurut beliau, anak muda masa kini memang susah untuk diperturunkan ilmu, tetapi jika ada dan sekalipun jumlahnya kecil, itupun sudah memadai baginya kerana mereka mahu mempelajari seni warisan Melayu.

Ayah kepada enam orang anak ini mempunyai 30 jenis layang-layang dan wau dalam koleksinya yang dibuat sendiri hasil tunjuk ajar arwah ayahnya dahulu.

SERTAI PERTANDINGAN KERANA CINTAKAN SENI WARISAN


Menjadikan bapanya sebagai idola dalam pembuatan layang-layang dan wau ternyata tidak silap kerana bapanya banyak memperturunkan ilmu kepadanya sehinggalah Yasok mahir menghasilkan sendiri layang-layang dan wau.

Beliau dan rakannya tidak akan melepaskan peluang jika ada pertandingan ataupun bengkel membuat layang-layang dan wau di seluruh negara.

"Pertandingan atau bengkel yang sering kami sertai bukanlah semata-mata untuk memenanginya tetapi kerana rasa cinta akan seni warisan ini membuatkan kami sanggup mengembara ke seluruh pelosok negara untuk memartabatkannya kerana ia sudah sebati dalam diri sejak kecil lagi", katanya.

Antara jenis wau yang menjadi koleksi simpanannya sehingga kini ialah wau kucing, wau jala budi dan wau merak.

Bagaimanapun, layang-layang misai kucing yang dihasilkannya sendiri menjadi kegemarannya dan sering dimainkan ketika beriadah pada waktu petang.

Yasok adalah antara peserta yang hampir setiap tahun menyertai Festival Layang-Layang Sedunia Pasir Gudang sejak pertama kali ia diadakan pada tahun 1995.

FESTIVAL PLATFORM TARIK MINAT ANAK MUDA

Festival layang-layang, yang bermula pada 19 Februari dan berakhir 23 Februari lepas, dilihat sebagai satu daripada platform untuk menarik minat generasi muda untuk mempelajari seni warisan itu.

Antara program yang diadakan termasuk bengkel pertandingan membuat layang-layang yang disertai seramai 90 orang dari dalam dan luar negara.

Inisiatif pihak penganjur bagi menyediakan bengkel pertandingan membuat layang-layang ini sangat menggalakkan dan penyertaannya juga sentiasa bertambah sejak bengkel ini pertama kali diadakan pada tahun 2011.

Bagi Lee Yue Jie, 17, ini adalah kali pertama beliau menyertai bengkel pertandingan membuat layang-layang.

Pelajar Sekolah Menengah Seri Kota Puteri 2, Masai, berkata ini adalah peluang yang terbaik baginya mempelajari seni warisan ini agar dapat mengekalkannya.

"Ibu dan bapa juga tidak menghalang saya untuk menyertai bengkel pertandingan ini malah sentiasa memberi sokongan yang menggalakkan. Saya juga tidak meletakkan harapan untuk menang kerana itu bukanlah matlamat saya", katanya yang menambah kata, aktiviti main layang-layang adalah satu aktiviti keluarganya dalam usaha merapatkan hubungan sesama mereka.

WARISAN LAYANG-LAYANG TARIK MINAT WARGA ASING

Sementara itu, pemain layang-layang dari England, Pauline Tayloy, 58, menyatakan sangat teruja dengan festival ini yang disertainya buat pertama kali.

"Saya adalah pengajar membuat layang-layang di tempat saya, tetapi jumlah pelajarnya adalah sedikit tidak melebihi 20 orang. Saya memang berminat dengan pembuatan layang-layang sejak 20 tahun lepas", katanya.

Tayloy, yang mempunyai 50 jenis layang-layang hasil buatannya sendiri sejak 20 tahun itu, sentiasa disimpan dengan rapi di dalam koleksinya di rumah dan sebagai panduan kepada pelajarnya untuk mencari idea.

Di England juga mempunyai festival seperti ini dan beliau tidak akan terlepas setiap festival yang diadakan demi minatnya kepada layang-layang dan festival kali ini adalah peluang yang terbaik untuk bertukar-tukar pandangan
dengan rakan yang lain.

"Sememangnya untuk menghasilkan sebuah layang-layang perlu menghadapi pelbagai cabaran dan ia perlu diatasi dengan bijak kerana untuk permulaan ianya akan gagal berulang kali dan terpaksa membinanya semula berulang kali sehinggalah berjaya dihasilkan", katanya yang mempertaruhkan layang-layang yang diperbuatnya sendiri daripada nilon dalam pertandingan kali ini.

UMUR BUKAN HALANGAN


Tayloy, yang mempunyai tujuh orang cucu, tidak menjadikan umurnya sebagai penghalang untuk terus aktif dalam aktiviti bermain layang-layang kerana merasa tenang dan kagum setiap kali layang-layang miliknya dapat terbang ke atas awan.

"Suatu kepuasan yang luar biasa buat diri saya kerana ia tidak dapat digambarkan, disebabkan itu saya akan terus memperjuangkan seni warisan ini dan terus menyertai festival ini pada masa akan datang," katanya.

Seramai 403 peserta, yang terdiri daripada 169 peserta tempatan dan 234 peserta antarabangsa, menyertai pertandingan kali ini.

Sememangnya usaha Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) sebagai penganjur terbesar acara tahunan antarabangsa ini mestilah diteruskan kerana ia dapat menarik minat semua lapisan masyarakat.

Festival layang-layang kali ini mengetengahkan tema laman angin (wind garden), yang mana layang-layang yang dihasilkan adalah daripada bahan-bahan kitar semula.

Kelainan pada tahun ini juga memperlihatkan layang-layang ini tidak diterbangkan tetapi dipacakkan di atas padang dan dibiarkan ditiup angin secara semula jadi.

Penganjuran pada kali ini turut memperlihatkan banyak layang-layang bermotifkan peralatan muzik tradisional melalui kategori pertandingan layang-layang ciptaan dua dimensi peringkat sekolah Asean, layang-layang rokkaku peringkat sekolah Asean, layang-layang train kite peringkat sekolah Asean dan layang-layang tiga dimensi peringkat terbuka. - Bernama

sinar harian


Jenis-Jenis Koleksi Wau

Wau Bulan


Wau bulan merupakan antara jenis wau yang paling popular di Malaysia. Kepopularannya didominasi oleh rakyat pantai timur diSemenanjung Malaysia. Bentuk jenis wau ini menyerupai bulan sabit pada bahagian hadapan dan separa bulatan pada bahagian ekornya. Justeru, wau tersebut kelihatan seperti bulan yang terbit di angkasa apabila diterbangkan Dari segi saiznya, wau bulan dibentuk dengan saiz yang lebih besar berbanding wau lain. Bidang biasa adalah sepanjang 2.5 meter dengan tinggi 3.5 meter.

Ini untuk memastikan corak yang terdapat pada wau tersebut kelihatan jelas dan menyerlah. Bagi menyerlahkan daya tarikan jenis wau ini, pemilihan warna yang terang dan corak yang lebih besar menjadi pilihan. Wau Bulan dikatakan telah bermula pada zaman kerajaan Srivijaya, yang mengikut legenda, mula digunakan oleh seorang putera bernama Dewa Muda. Corak bunga dan daun pada wau Dewa Muda dikatakan merupakan peta daerah yang telah dikuasainya

Wau Kucing


Wau Kucing merupakan sejenis jenis layang-layang yang popular. Ia merupakan wau tradisional yang telah dimainkan secara turun-temurun di Malaysia.
Wau Kucing dikatakan mendapat nama daripada bentuknya yang menyerupai seekor kucing yang sedang duduk dari sudut belakang, bermula dari bahagian kepala, badan dan seterusnya ekor kucing. Pada kebiasaannya, wau Kucing akan dipasang dengan degung atau busur pada bahagian atasnya.

Ini bertujuan bagi menghasilkan bungi berdengung yang terhasil apabila angin melalui tali busur yang direntang. Ketika diterbangkan ke udara, Busur wau Kucing dikatakan akan mengeluarkan bunyi yang nyaring seperti kucing. Ia dipercayai berfungsi untuk menakutkan roh jahat dan meramalkan keadaan cuaca pada keesokan harinya. Motif ukiran sobek yang digunakan pada wau ini ialah motif bunga dan tumbuh-tumbuhan dan cara hiasannya adalah sama seperti wau bulan.

Wau Jala Budi


Wau Jala Budi merupakan sejenis jenis layang-layang yang popular di negeri Kedah. Ia merupakan wau tradisional yang telah dimainkan secara turun-temurun di Malaysia.
Wau Jala Budi dikatakan mendapat nama daripada bentuknya yang menyerupai daun budi manakala perkataan jala pula wujud dari kerangka ekor Wau Jala Budi. Pada kebiasaannya, wau jala budi akan dipasang dengan degung atau busur pada bahagian atasnya.

Ini bertujuan bagi menghasilkan bungi berdengung yang terhasil apabila angin melalui tali busur yang direntang. Ketika diterbangkan ke udara, Wau Jala Budi dikatakan akan mengeluarkan bunyi berdengung yang agak sederhana garau yang terbit dari busur yang terdapat di bahagian kepala.
Wau Jala Budi ini juga dikatakan memiliki persamaan dengan 'layang-layang Chula' yang berasal dari negara Thailand.

Wau Merak


Wau Merak merupakan sejenis jenis layang-layang yang popular dikalangan keturunan Bugis di Malaysia. Ia juga dikenali sebagai Layang-Layang Kipasdan dipercayai berasal dari Sulawesi, Indonesia. Ia memiliki rekabentuk bercirikan burung Merak dan tidak terikat kepada saiz yang tertentu. Wau merak biasanya mempunyai ekor yang panjang yang membezakannya dengan wau helang.

Pada kebiasaannya, wau Merak akan dipasang dengan degung atau busur pada bahagian atasnya. Ini bertujuan bagi menghasilkan bunyi berdengung yang terhasil apabila angin melalui tali busur yang direntang. Ketika diterbangkan ke udara, busur wau Merak dikatakan akan mengeluarkan bunyi yang nyaring seperti Merak. Keistimewaan Wau Merak ialah pada busurnya yang boleh memainkan tujuh jenis irama atau bunyi bunyian. Pada asalnya, ia dimainkan pada waktu malam kerana ia dapat menghasilkan bunyi yang baik. Jenis hiasan yang menjadi pilihan untuk menghiasi dada Wau Merak pula adalah motif tumbuhan menjalar iaitu lada hitam dan gambir.

Wau Dodo Helang


Wau Dodo Helang merupakan sejenis jenis layang-layang yang popular di Terengganu, Malaysia. Ia tergolong dalam kategori wau burung. Ia mempunyai rupa yang sama dengan wau helang, kecuali hiasan pada dada layang-layang yang berbeza.

Pada kebiasaannya, wau dodo helang akan dipasang dengan degung atau busur pada bahagian atasnya. Ini bertujuan bagi menghasilkan bunyi berdengung yang terhasil apabila angin melalui tali busur yang direntang. Jenis hiasan yang menjadi pilihan untuk menghiasi dada wau dodo helang adalah motif bunga dan kelarai yang menggunakan teknik sobek.

Wau Kangkang


Wau Kangkang merupakan sejenis jenis layang-layang yang popular di Kelantan, Malaysia. Ia merupakan wau tradisional yang telah dimainkan secara turun-temurun di Malaysia.
Wau kangkang menyerupai bentuk wau jala budi tetapi memiliki corak ekor yang mencapah.

Pada kebiasaannya wau akan dimainkan oleh dua orang, iaitu seorang akan memegang wau dan seorang lagi dipanggil juru anjung yang memegang tali. Apabila angin bertiup maka tali akan ditarik melawan arus angin dengan cara menghulur dan menarik talinya sehinggalah wau tersebut tinggi di udara. Kilauan cahaya matahari akan menambah cantik lagi wau yang dihias berwarna-warni.

Wau Seri Bulan


Wau seri bulan merupakan sejenis jenis layang-layang yang popular. Ia merupakan wau tradisional yang telah dimainkan secara turun-temurun di Perak, Malaysia. Ia mempunyai sedikit persamaan dengan Wau bulan yang dimainkan di Kelantan.

Pada kebiasaannya wau akan dimainkan oleh dua orang, iaitu seorang akan memegang wau dan seorang lagi dipanggil juru anjung yang memegang tali. Apabila angin bertiup maka tali akan ditarik melawan arus angin dengan cara menghulur dan menarik talinya sehinggalah wau tersebut tinggi di udara. Kilauan cahaya matahari akan menambah cantik lagi wau yang dihias berwarna-warni.

Wau Seri Negeri


Wau Seri Negeri merupakan sejenis jenis layang-layang yang popular di Negeri Sembilan, Malaysia.
Pada kebiasaannya, wau seri negeri akan dipasang dengan degung atau busur pada bahagian atasnya. Ini bertujuan bagi menghasilkan bunyi berdengung yang terhasil apabila angin melalui tali busur yang direntang.

Ketika diterbangkan ke udara, busur wau seri negeri dikatakan akan mengeluarkan bunyi yang nyaring. Jenis hiasan yang menjadi pilihan untuk menghiasi dada wau seri negeri pula adalah motif tumbuhan menjalar iaitu lada hitam dan gambir.

Wau Puyuh


Wau Puyuh merupakan sejenis jenis layang-layang yang popular di Kelantan, Malaysia. Ia merupakan wau tradisional yang telah dimainkan secara turun-temurun di Malaysia.

Wau Puyuh menyerupai bentuk wau bulan tetapi memiliki corak ekor yang lebih melengkung

wautradisional

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

© 2011 mimbar kata, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena