Sejarah Drama Malaysia Bahagian 4




Drama Malaysia Sekitar 1950-an

DRAMA Anak Derhaka (1952) karya Ahmad Murad Nasaruddin bagaimanapun dapat diterima sebagai karya terawal yang membawa dan pengertian drama moden yang sebenar. (Drama ini telah dipentaskan buat pertama kali oleh Kesatuan Persuratan Penuntut-Penuntut Melayu Selangor di Dewan Bandaran, Kuala Lumpur pada tahun 1949). Naskhah yang judul asalnya "Patah Hati" ini jelas mengemukakan pemikiran dan permasalahan masyarakat semasa yang ada pada waktu ia ditulis, mengemukakan konsep realisme yang diterima sebagai dasar kemodenan dalam sejarah perkembangan drama Melayu.

Anak Derhaka berkisar di sekitar keluarga peladang bernama Pak Mat dan isterinya, berserta anak-anak mereka – Yusuf dan Hashim. Yusuf yang sedang belajar di sebuah sekolah tinggi mencintai Zuraida yang juga dicintai oleh abangnya, Hashim. Konflik ditimbulkan awal-awal lagi dengan pertengkaran di antara mereka berdua yang mempersoalkan siapa seharusnya memiliki Zuraida. Pada satu ketika Pak Mat pergi ke sekolah Yusuf untuk menghantar wang yang diminta oleh Yusuf yang telah merancang untuk melawat ke luar negeri. Bagaimanapun Yusuf berasa terhina dengan kedatangan Pak Mat, kerana ayahnya berpakaian 'tidak senonoh' dan meminta supaya Pak Mat tidak mengakui dirinya sebagai ayah kepada Yusuf. Pertembungan nilai di antara masyarakat desa (diwakili watak Pak Mat) dengan golongan terpelajar dan moden (diwakili watak Yusuf) telah pun dicetuskan di awal dekad 50-an oleh Ahmad Murad Nasaruddin. Anak Derhaka ditingkatkan plotnya dengan kematian Pak Mat tidak lama selepas kembali daripada menemui Yusuf di bandar. Atas permintaan Pak Mat sebelum meninggal, Yusuf tidak diberitahu tentang kematiannya itu. Selepas tiga bulan, Yusuf kembali daripada percutiannya dan marah kepada Ha¬shim kerana tidak menyampaikan berita kematian ayahnya. Kebetulan Hashim juga sudah berkahwin dengan Zuraida. Yusuf menuduh Hashim ingin membolot harta dan mengambil peluang menikahi Zuraida. Pada klimaksnya, dua beradik itu telah berkelahi dan pengarang dengan mudahnya menyelesaikan melalui teknik deus ex machina - mematikan Yusuf yang tiba-tiba dilanggar oleh kereta. Suatu 'keadilan impian' (poetic justice) yang lumrah ditemui dalam kebanyakan drama Melayu tahun 50-an dan 60-an.

Sebagai sebuah ciptaan yang jelas membawa suasana realisme dan dibina di atas bentuk realistik, Anak Derhaka ketara memancarkan kritikan-kritikan sosialnya yang tajam. Di zaman karya ini ditulis, penerimaan masyarakat terhadap corak pen¬didikan Barat masih dipertikaikan dan menimbulkan keraguan terutamanya di kalangan masyarakat desa. Penghinaan Yusuf yang mendapat pendidikan tinggi terhadap ayahnya sendiri, semata-mata kerana soal pakaian, membayangkan sikap penga¬rang terhadap situasi tersebut. Generasi baru yang berilmu seperti Yusuf dianggap sudah membelakangi nilai-nilai lama yang menjadi asas kehidupan masyarakat Melayu khususnya. Yusuf juga diibaratkan sebagai 'Si Tenggang Moden' yang sudah tidak dapat dimaafkan lagi. Dari segi struktur penulisan, Anak Derhaka masih mem¬punyai banyak babak dan setiap babaknya pendek-pendek pula. Nyanyian dan tarian juga turut menjadi unsur yang penting, terutamanya dalam adegan majlis perkahwinan. Tidak ketinggalan juga ditimbulkan dua watak komik ala peran dalam makyung atau badut dalam bangsawan.

Kalau melalui Megat Terawis pengarangnya cuba menim¬bulkan semula kepahlawanan wira Melayu dari lipatan sejarah, Shaharom Husain pula ingin merakamkan peranan yang di¬mainkan oleh seorang pengarang Melayu yang terkenal - Tun Seri Lanang. Dengan menghasilkan naskhah Tun Seri Lanang (Singapura: Pustaka Melayu, 1959), Shaharom Husain antara lainnya berhasrat untuk "mengenang, mengingat dan mem¬besarkan jasa dan drama bakti pujangga kita itu" ("Pembuka Babak", Tun Seri Lanang, 1959). Sebagai seorang guru sejarah yang setia pada bidangnya, Shaharom Husain percaya bahawa pengarang/penyusun Sejarah Melayu itu penting dan wajar 'dikenang' serta 'dibesarkan jasanya' oleh generasi yang ke¬mudian. Meskipun Shaharom Husain turut bersetuju bahawa Tun Seri Lanang bukanlah pengarang sebenar Sejarah Melayu, tetapi beliau tidak menafikan bahawa tokoh tersebut adalah seorang "pengarang, sasterawan dan seorang penyusun hikayat atau sejarah kita yang terkenal dalam kurun Masihi ke-XVII" ("Riwayat Hidup Tun Seri Lanang", Tun Seri Lanang, 1959, hal. 5).


Drama Tun Seri Lanang ini bermula dengan peristiwa pengarang mendapat perintah daripada Raja Abdullah supaya “diperbaiki kiranya dengan istiadatnya”, "sebuah hikayat Melayu dibawa oleh orang dari Goa" (Tun Seri Lanang, 1959, hal 20). Selain daripada menyentuh sedikit tentang kehidupan berkeluarga Tun Seri Lanang, Shaharom Husain juga memaparkan kisah pertemuan antara pengarang tersebut dengan Syeikh Nuruddin al-Raniri, pujangga Acheh yang termasyhur. Peristiwa tersebut dikatakan berlaku dalam tahun 1613, apabila kerajaan Johor Lama ditewaskan oleh Acheh dan Tun Seri Lanang turut menjadi salah seorang tawanan yang dibawa pulang ke Acheh. Pertemuan Tun Seri Lanang dengan penulis mistis itu tidak kurang pentingnya kerana ditimbulkan juga isu perbezaan di antara Syeikh Nuruddin al-Raniri dengan seorang ulama dan pujangga terkenal Hamzah Fansuri, tentang konsep wujudiah. Mengikut pengolahan Shaharom Husain, Sejarah Melayu boleh dikatakan disiapkan dan diserah kepada Sultan Abdullah di Acheh, sebelum mereka pulang semula ke Johor.

Sebagai sebuah 'sandiwara', karya empat babak ini ditulis dalam bahasa yang sederhana, tidak terlalu berirama seperti Megat Terawis. Bagaimanapun, Shaharom Husain turut memuatkan sajak, syair dan pantun, di samping menyelitkan acara tarian ada babak-babak tertentu, mengekalkan sebahagian daripada ciri-ciri drama bangsawan. Sebagai sebuah karya drama ciptaan Shaharom Husain ini tentulah tidak begitu berhasil memandangkan struktur dramatiknya yang tidak jelas. Hal ini dapat difahami kerana hasrat penulis tersebut lebih kepada merakamkan sejarah dan mengenang jasa tokoh pengarang Sejarah Melayu yang terkenal itu. Namun demikian, terbitnya Tun Seri Lanang di akhir dekad 50-an itu turut memberikan sumbangan yang bermakna dalam sejarah perkembangan drama Melayu.

Shaharom Husain dapat dianggap sebagai satu-satunya pencinta sejarah yang secara langsung melibatkan diri menghasilkan drama-drama sejarah atau berunsur sejarah. Meskipun beliau sudah mula menulis dan bergiat mementaskan drama sejak di zaman pemerintahan Jepun, Tun Seri Lanang adalah naskhah dramanya yang pertama diterbitkan. Selain daripada drama, Shaharom Husain juga ada menghasilkan novel dan buku-buku sejarah.


Selepas Anak Derhaka, "Malam Kemerdekaan" (Dewan Bahasa, September 1959) karya Usman Awang merupakan antara drama terawal yang 'memasuki' suasana realisme pada tahun tahun akhir dekad 50-an ini. Drama yang ditulis dalam tahun 1958 dalam keghairahan menyambut kemerdekaan negara ini jelas memperkenalkan konsep 'ruang tamu' yang menjadi sifat utama kepada drama-drama realisme tempatan terutamanya. Sebagai sebuah drama sebabak, kesatuan aksi, masa dan tempat (kalau mengikut teori 'tiga kesatuan' Aristotle) ciptaan tersebut cukup meyakinkan, berlaku di satu tempat, pada satu malam dan dengan peristiwa yang terbatas. Secara kasarnya, pencintaan ketara menjadi premis kepada "Malam Kemerdekaan" ini. Dengan latar belakang pengarang¬nya sebagai seorang `penyair romantis', drama tersebut masih belum terlepas daripada gaya dan nada romantis, meskipun lebih terkawal dari segi pilihan katanya. Bagaimanapun, persoalan-persoalan besar tentang perjuangan kebangsaan, kecintaan terhadap tanah air dan pengisian kemerdekaan menuntut kita melihat karya itu dilihat dari sudut yang lebih serius. Affandi, seorang pejuang kebangsaan yang turut melihat kebangkitan revolusi di Indonesia pulang ke tanah air untuk sama-sama merayakan sambutan kemerdekaan Tanah Melayu. Tetapi kcpulangannya memberikan kesan yang cukup pahit, kerana Murni - kekasih yang ditinggalkan sudah pun berumahtangga dengan sahabat karibnya sendiri, Engku Bahri.

Nama Engku Bahri mengingatkan kita kepada golongan bangsawan dan tidak ragu-ragu mengatakan bahawa persoalan perbezaan kelas cuba ditimbulkan oleh Usman Awang lewat drama ini. Hal ini terbukti apabila Affandi menuduh Murni mengahwini Engku Bahri kerana memandang kebendaan dan darjat, untuk jaminan hidup di masa depan. Dalam perbualan dengan Engku Bahri pula, Affandi juga menyebut tentang revolusi di Indonesia yang begitu hebat dan mengagumkannya. Beliau semacam 'menyarankan' supaya kalau mungkin kemerdekaan Tanah Melayu juga dicapai melalui perjuangan revolusi. Jika ini berlaku pastilah kedudukan kaum bangsawan seperti Engku Bahri tidak akan terjamin lagi. Demikian demikian hasrat dan pandangan protagonis, Affandi dalam " Malam Kemerdekaan" :

AFANDI: Engkau takut kepada revolusi, sebab revolusi nasional akan diikuti dengan revolusi sosial. Dan engkau sebagai orang bangsawan tidak terjamin revolusi sosial. Sedangkan Amir Hamzah telah terkorban.("Malam Kemerdekaan", Dewan Bahasa, September 1959, hlm 478)

Kemudian kita seperti diminta melupakan cebisan-cebisan kisah cinta Affandi - Murni yang mulanya menjadi dasar kepada drama ini, apabila pengarang mengajak kita memikirkan cara yang paling baik untuk mengisi kemerdekaan:

IBU: Sekarang bukan waktunya bertengkar lagi, tapi kerjasama dan persefahaman menerima dan mengisi kemerdekaan itu.

Melalui dramanya ini jelas Usman Awang menuntut supaya masyarakat sama-sama menghargai dan memberikan makna kepada kemerdekaan tanah air yang diperolehi secara berpayah oleh para pejuang bangsa. Seperti yang disebutkan sebelum ini, persoalan-persoalan besar yang disuguhkan oleh pengarang itu hampir melupakan kita kepada percikan-percikan kisah cinta dan nada romantis yang telah ditimbulkan pada beberapa tempat. "Malam Kemerdekaan" dapat dianggap seba¬gai skrip realisme terawal diperkenalkan dalam perkembangan genre drama Melayu moden.

Comments

  1. Sastera, sy hampir tak faham@tak tahu menghayati...

    ReplyDelete

Post a Comment