Sinopsis Sulalatus Salatin Bab XIII


Sinopsis Sulalatus Salatin  Bab XIII

Tun Fatimah Anak Bendahara Seri Maharaja

Kecantikan Tun Fatimah tiada taranya di Melaka ketika itu. Rupa parasnya elok dan tiada cacat celanya, sedap manis pantas pangus seperti laut madu, bertasik susu, berpantaikan sakar. Manakala mukanya pula bercahaya berkilat-kilat seperti bulan purnama.. Bendahara Seri Maharaja telah menjodohkan anaknya Tun Fatimah dengan Tun Ali, walaupun dinasihatkan oleh Raja Dibaruh agar Tun Fatimah dipersembahkan kepada Sultan Mahmud Syah. Tindakan Bendahara ini telah menimbulkan kemurkaan dan dendam Sultan Mahmud Syah terhadapnya.

Kekayaan Bendahara Seri Maharaja

Bendahara Seri Maharaja adalah orang yang terkaya di Melaka. Beliau memiliki jumlah emas dan binatang ternakan yang banyak dan tiada tandingannya dan dikatakan tidak habis untuk dimakan.

Tun Hassan Temenggung Cuba Dibeli

Ali Manu Nayan cuba merasuah Tun Hassan Temenggung. Namun beliau tidak tunduk kepada sesiapa untuk merasuahkannya.


Punca Mencetuskan Sekejam-Kejam Hukuman

Peristiwa berpunca dari pertelagahan antara Nina Sura Dewana dengan Raja Mendeliar. Pada waktu malamnya, Bendahara Seri Maharaja telah dirasuah sebanyak sepuluh kati emas oleh Nina Sura Dewana agar berpihak kepadanya. Kitul pula memberitahu hal tersebut kepada Raja mendeliar. Seterusnya Raja Mendeliar telah merasuahkan harta yang banyak kepada Laksamana Khoja Hassan supaya menyampaikan fitnah kepada Sultan Mahmud Syah, kononnya Bendahara Seri Maharaja ingin menderhaka dan merampas kerajaan.

Tamat Riwayat Tiga Orang Besar Negara

Laksamana Khoja Hassan menyampaikan fitnah Raja Mendeliar kepada Sultaan Mahmud Syah.Fitnah tersebut mengatakan Bendahara Seri Maharaja ingin merampas kuasa. Sultan Mahmud Syah yang sedia dendam pada Bendahara Seri Maharaja murka lalu menitahkan supaya Bendahara Seri Maharaja dan keluarganya dibunuh kecuali Tun Fatimah. Titah tersebut dilaksanakan oleh Tun Sura Diraja dan Tun Indera Segara. Tun Fatimah kemudiannya diambil oleh Sultan mahmud Syah sebagai isteri.

Sultan Mahmud Syah akhirnya menyesal dan insaf dengan tindakannya membunuh Bendahara Seri Maharaja tanpa usul periksa. Orang yang terlibat dalam fitnah tersebut menerima hukuman yang setimpal dengan kesalahan yang mereka lakukan. Raja Mendeliar menerima hukuman bunuh. Begitu juga dengan Kitul yang dijatuhkan hukuman sula melintang bersama anak isterinya. Manakala Laksamana Khoja Hassan pula telah dilucutkan jawatannya.



Bendahara Paduka Tuan (Bendahara Tepok)

Selepas kematian Bendahara Seri Maharaja, Paduka Tuan (anak Bendahara Paduka Raja) dilantik sebagai Bendahara Melaka bergelar Bendahara Lubuk Batu. Keadaan fizikal Bendahara Tuan ialah cacat anggota badan (kakinya tepok), uzur dan sudah lanjut usianya. Dia mempunyai ramai anak. Walaupun sudah tua, Bendahara Lubuk Batu masih kuat makan. Dia makan nasi pada pinggan lingkar yang besar dan lauknya satu talam penuh. Jika ibu ayam dimakannya seekor habis. Selain itu, Bendahara Lubuk Batu juga gemar memakai bau-bauan sehingga sepasu minyak wangi disapunya pada tubuhnya.

Tun Biajid Sasar

Kisah Tun Biajid anak Bendahara Lubuk Batu yang jahat pekertinya. Dia bertindak tidak senonoh, seperti merampas harta orang jika ia berkenan. Ini menyebabkan Bendahara Lubuk Batu pernah menyuruh Seri Wak Raja menangkap dan mempersembahkan kepada Sultan Mahmud Syah supaya dibunuh. Tetapi Tun Biajid tidak dibunuh, sebaliknya dilepaskan oleh raja.


Zuriat Bendahara Lubuk Batu

Dikisahkan Bendahara Lubuk Batu yang mempunyai ramai anak cucu dan ada diantaranya yang memegang jawatan penting di istana.

Sultan Mahmud Syah Membuang Kerajaan

Sultan Mahmud Syah menyesal dengan tindakannya membunuh Bendahara Seri Maharaja. Jesteru itu, baginda meletakkan jawatan dan melantik puteranya Raja Ahmad menggantikannya. Baginda kemudiannya tinggal di Hulu Melaka dan ditemani oleh Sang Sura. Tun Fatimah pula digambarkan tidak pernah senyum selama berkahwin dengan Sultan Mahmud Syah dan bertindak membuang zuriatnya dengan Sultan Mahmud. Hal ini berlaku sehingga Sultan Mahmud berjanji akan melantik anaknya dengan Tun Fatimah sebagai raja.


Catatan : Empat siri akhir Sinopsis Sulalatus Salatin diterbitkan secara bersambung (dua siri) Untuk mengikuti siri penuh sila ke bahagian Intisari . admin Mimbar Kata

Comments