Sinopsis Sulalatus Salatin Bab IV

Sinopsis Sulalatus Salatin Bab IV

Singapura DiLanggar Todak



Tuan Jana Khatib dari Pasai yang mahir dalam ilmu khayal Lillah dating di Singapura. Suatu masa, Tuan Jana Khatib berjalan di Pekan Singapura sehinggalah sampai ke pintu peranginan raja. Di sini dia menilik pohon pinan sehingga terbelah dua di hadapan permaisuri Paduka Seri Maharaja, menyebabkan raja murka dan menjatuhkan hukuman bunuh ke atas Tuan Jana Khatib. Apabila Tuan Jana Khatib dibunuh, maka berlakulah peristiwa yang luar biasa, iaitu hanya darahnya titik di Singapura, tetapi badannya ghaib dan terhantar di Lengkawi. Ekoran daripada pembunuhan Tuan Jana khatib, Singapura menerima bencana dilanggar ikan todak.

Ramai rakyat Singapura yang mati ditikam todak dan Singapura menjadi huru-hara. Kemudian Paduka Seri Maharaja menitahkan rakyatnya berkubukan betis untuk menghalang serangan todak. Namun rancangan ini gagal, malah semakin ramai rakyat Singapura terkorban ditikam todak. Kemudian mucul seorang budak cerdik yang memberi cadangan agar berkubukan batang pisang. Akhirnya serangan todak berakhir dan Singapura kembali aman. Tetapi budak cerdik dijatuhkan hukuman bunuh oleh Paduka Seri Maharaja, setelah baginda mendengar hasutan para pembesar yang ada perasaan dengkiu terhadap budak cerdik kerana bimbang kedudukan mereka akan tergugat.


Catatan Penting:

• Mitos alegori/sindiran, iaitu ikan todak langgar Singapura ( menyindir raja yang kejam, mengkritik raja yang jahil/bodoh dan menempelak pembesar yang dengki)
• Perlanggaran waadat oleh Paduka Seri Maharaja yang bertindak zalim terhadap rakyat (bunuh Tuan Jana Khatib dan budak cerdik)- kesannya keamanan negeri Singapura tergugat oleh serangan ikan todak
• Peranan dan kepentingan watak Arab/ulama
• Peranan watak bukan makhluk manusia, iaitu ikan todak.


Akibat Khianat, Singapura Dialahkan Majapahit

Serwaktu pemerintahan Raja Iskandar Syah, Singapura diserang majapahit kerana sikap dan tindakan baginda yang memalukan bendaharinya, iaitu Sang Rajuna Tapa. Baginda menjatuhkan hukuman sula ke atas anak perempuan Sang Rajuna Tapa, gundik raja kerana difitnahkan oleh gundik-gundik lain yang dengki kerana lebih disayangi oleh Raja Iskandar Syah. Sang Rajuna Tapa merasa malu lantas berhasrat untuk menderhaka terhadap Raja Iskandar. Beliau bertindak mengutus utusan/surat ke Majapahit, minta supaya Betara Majapahit menyerang Singapura dan dia sendiri menyatakan ingin belot.

Raja Iskandar Berlepas Ke Darat

Majapahit berjaya mengalahkan Singapura ekoran belotnya Sang Rajuna Tapa. Raja Iskandar lari ke Seletar, kemudian ke hulu Muar. Sang Rajuna Tapa dan isteri menerima balasan bertukar menjadi batu kerana penderhakaannya. Di Muar, Raja Iskandar dan pengikut-pengikutnya cuba membuat penempatan baru, sebagai menggantikan Singapura. Namun berlaku peristiwa aneh, yang mana ribuan ekor biawak datang ke kawasan penempatan mereka. Pada waktu siang biawak tersebut dibunuh. Peristiwa berlaku berulang kali menyebabkan kawasan tersebut dipenuhi dengan bangkai biawak yang busuk baunya. Tempat tersebut dinamakan sebagai “Biawak Busuk”.

Oleh kerana peristiwa tersebut memberi tanda/alamat yang tidak baik, maka Raja Iskandar Syah meneruskan pengembaraannya. Tiba di Simpang Ujung, Raja Iskandar menitahkan pengikut-pengikutnya membina sebuah kota. Tetapi sayangnya kota yang baru siap dibina, bertukar menjadi buruk apabila waktu malam, dan dinamakan “Kota Buruk”.Raja Iskandar terus mengembara hingga sampai di Sungai Ujung.

Catatan Penting:

• Perlanggaran waadat dan implikasi (Raja Iskandar hilang kuasa dan negeri binasa. Manakala Sang Rajuna Tapa dan isteri bertukar menjdi batu).
• Mitos asal-usul nama negeri/tempat(Biawak Busuk dan Kota Buruk)
• Unsur pengembaraan (Raja Iskandar mengembara kerana ingin mencari negeri baru).

Membuka Negeri Melaka

Akhirnya Raja Iskandar Syah tiba di Sg. Bertam. Sewaktu berehat di bawah pokok Melaka, baginda terpandang anjing perburuannya ditewaskan oleh seekor pelandok putih hingga terjatuh ke sungai. Tempat tersebut telah dibuka sebagai negeri baru dan dinamakan “Melaka” sempena pohon Melaka tempat baginda berteduh. Raja Iskandar Syah menjadi raja pertama memerintah Melaka. Baginda memerintah selama tiga tahun. Apabila Raja Iskandar Syah mangkat, takhta kerajaan Melaka diganti oleh anakanda baginda yang bernama Raja Muda. Apabila Raja Muda mangkat, putera baginda Raden Tengah pula menjadi raja Melaka. Selepas Raden Tengah mangkat, putera baginda, Raja Kecil Besar dilantik sebagai raja Melaka.

Pada suatu malam, Raja Kecil Besar bermimpi berpandangan dengan Rasulullah s.a.w. Dalam mimpi tersebut, Raja Kecil Besar diajar mengucap dua kalimah syahadat dan diberi nama Sultan Muhammad Syah. Raja Kecil Besar juga diberitahu bahawa pada waktu asar keesokan harinya akan datang sebuah kapal dari Jeddah,, singgah untuk bersembahyang di pantai Melaka. Apabila baginda bangkit dari beradu, didapati tubuh baginda berbau harum (bau narawastu) dan kalam baginda seperti telah dikhatankan.

Catatan Penting :

• Mitos pembukaan Negeri Melaka.
• Mitos kedatangan Islam ke Melaka (melalui mimpi Raja Kecil Besar)
• Kepentingan peristiwa untuk menunjukkan kemuliaan dan kesucian Islam yang mula diterima oleh raja yang merupakan golongan yang paling tinggi kedudukan/martabatnya dalam sesebuah masyarakat.
• Menunjukkan keagongan Raja Kecil Besar kerana menerima Islam secara terus daripada Rasulullah s.a.w.
• Menunjukkan nama “Muhammad” yang diberikan kepada Raja Kecil Besar adalah suatu nama yang suci kerana nama yang sama dengan Nabi Muhammad s.a.w.
• Menunjukkan kemuliaan Raja Kecil Besar kerana menerima Islam dalam masa yang singkat (bermimpi dan terus menerima Islam).


Kedatangan Islam Ke Melaka


Mimpi Raja Kecil Besar menjadi kenyataan, apabila Syed Abdul Aziz dari Jeddah mengetuai rombongan serta bersolat di pantai Melaka. Kemudian Syed Abdul Aziz dan rombongan di bawa ke istana. Dengan pertemuan itu Syed Abdul Aziz telah mengislamkan kerabat Diraja, diikuti pembesar dan rekyat jelata.

Semasa pemerintahan Sultan Muhammad Syah, beberapa peraturan serta larangan dibuat oleh baginda. Larangan seta peraturan ini merangkumi perkara-perkara yang perlu dipatuhi oleh rakyat. Contoh, larangan kepada rakyat biasa mengamalkan cara hidup masyarakat istana daripada segala aspek kehidupan, pakaian dan lain-lain.

Catatan Penting :

• Watak Arab/ulama dan kepentingannya.


Susunan Tertib Adat Istiadat Diraja

Susunan tertib adat istiadat diraja. Semasa mengadap raja di balairung dikenakan beberapa peraturan bagi pembesar. Aturan kedudukan bedasarkan pangkat dan kedudukan. Bendahara, Temenggung, dan Penghulu Bendahari duduk berhampiran raja. Menteri-Menteri, Orang Besar serta sida-sida duduk ditempat yang telah dikhaskan, diikuti oleh anak-anak raja di kiri kanan balai, sida-sida muda duduk diselang-selang antara Bentara dan hulubalang kelilingi balai.


Dalam peraturan menyambut utusan dari negei-negeri luar berdasarkan taraf kedudukan sesebuah negeri dari mana utusan itu datang. Jika utusan datang dari negeri Haru, Pasai, suratnya disambut secara besar-besaran kerana negeri-negeri tersebut sama taraf dengan kerajaan Melaka.. Manakala utusan dari negeri-negeri lain disambut secara sederhana sahaja.

Adat istiadat menganugeahkan gelaran atau jawatan pula, orang yang akan dianugerahkan gelaran akan dijemput ke istana dengan bergajah, berkuda dan berjalan dengan bingkisan mengikut taraf gelaran yang diperolehnya. Mereka juga dipayungkan dengan payung hijau, biru, merah mengikut pangkat dan gelaran yang diperolehnya. Contoh: payung hijau adalah untuk bentara hulubalang dan sida-sida. Mereka juga akan diiringi dengan alat bunyi-bunyian seperti gendang serunai.. Di balairung, riwayat dan jasa-jasa orang yang menerima anugerah akan dibacakan. Selesai menerima anugerah dan jawatan, maka orang itu akan dikenakan patam dan pontoh. Akhirnya mereka akan dihantar pulang seperti mana mereka dijemput ke istana.

Adat istiadat raja berangkat pula ada dua cara. Pertama, raja berangkat dengan cara berusung. Baginda akan diusung oleh pembesar-pembear dan diringi dengan alat bunyi-bunyian. Kedua, raja berangkat dengan menaiki gajah. Peraturan istiadat juga ditentukan dalam upacara sultan menyambut hari-hari kebesaran seperti bulan puasa dan syawal. Biasanya raja akan berangkat ke masjid dengan menaiki gajah untuk besembahyang terawih dan sembahyang hari raya. Selain itu, Sultan Muhammad Syah juga menetapkan peraturan dan adat istiadat apabila baginda hendak mengadakan majlis jamuan.

Catatan Penting :

• Adat istiadat mengadap/menyembah/menjunjung duli
• Adat menyambut utusan
• Adat istiadat menganugerah gelaran/jawatan
• Adat istiadat raja berangkat
• Peraturan/upacara sultan menyambut hari-hari kebesaran, seperti hari raya dan sembahyang terawih pada bulan puasa dan sembahyang hari raya.
Membuang Diri Kerana Berkecil Hati

Mani Purindam ialah putera Raja Nizamu’l Muluk Akhbar Syah di negeri Pahili benua Keling. Baginda berkecil hati dengan adiknya, Raja Akhbar Muluk Kud Syah kerana berselisih faham mengenai harta pusaka. Peristiwa ini menyebabkan baginda membawa diri ke Melaka. Di Melaka, baginda berkahwin dengan Tun Ratna Sendari anak Seri Nara

Diraja Tun Ali dan memperolehi dua orang anak, iaitu Tun Ali dan Tun Ratna Wati. Sultan Muhammad Syah telah memperisterikan Tun Ratna Wati dan memperolehi seorang putera yang diberi nama Raja Kassim. Sultan Muhammad Syah juga berkahwin dengan Puteri Rekan dan telah dikurniakan seorang putera yang diberi nama raja Ibrahim.

Catatan Penting :

• Pengaruh asing dalam pentadbiran negeri Melaka.

Istana Dibawah Pengaruh Raja Rekan

Setelah Sultan Muhammad Syah mangkat, Raja Ibrahim telah ditabalkan sebagai raja Melaka yang kelima bergelar Sultan Abu Syahid. Namun demikian, semua hal yang berkaitan dengan pentadbiran Melaka dijalankan oleh pemangku raja, iaitu Raja Rekan kerana raja Ibrahim masih kanak-kanak. Raja Kassim pula telah dihalau dari istana dan menjadi pengail ikan di pantai Melaka. Raja Kassim berjumpa dengan Maulana Jalalu’d-din (seorang ulama dan saudagar) yang sedia membantu Raja Kassim merampas kembali takhta kerajaan Melaka. Tetapi Maulana Jalalu’d Din mengenakan syarat, Raja Kassim mestilah menyerahkan Puteri Rekan kepadanya kelak.


Peristiwa Rampas Kuasa

Raja Kassim menyerang istana dengan bantuan Maulana Jalalu’d-in, dan disokong oleh bendahara dan Seri Nara Diraja . Dalam serangan tersebut, Raja Rekan mati dibunuh oleh pengikut-pengikut Raja Kassim. Sebelum mati, raja Rekan telah membunuh Raja Ibrahim. Raja Kassim kemudiannya naik takhta dan bergelar Sultan Muzaffar Syah, memerintah Melaka dengan adil dan saksama. Akan tetapi baginda lebih mengutamakan Seri Nara Diraja daripada Bendahara Seri Wak Raja. Akibatnya, Bendahara Seri Wak Raja membunuh diri dengan cara minum racun, kerana menyangka dirinya dimurkai oleh sultan. Bendahara Seri Wak Raja meninggalkan tiga orang anak, iaitu Tun Kudu, Tun Perak dan Tun Perpatih putih.

Comments