30 Oct 2019

menjadi kerdil


menjadi kerdil

datang dari pohon-pohon kecil
wangian semerbak
datang dari rumput-rumput melata
keteguhan dan kecekalan hidup
datang dari burung-burung kerdil
kicau dan lagu melantun jauh
datang dari ranting-ranting kecil
buah ranum menguning indah

menjadi kerdil lebih bermakna
memberi jawab pada banyak tanya
tak mengapa hidup kerdil
jangan besar menjaja pandir



27 Oct 2019

sungai batu


Rahsia Sungai Batu Yang Belum Terungkai
Jumaat, 15 Julai 2016


SUNGAI PETANI: "Pergilah mana-mana sahaja di Kompleks Arkeologi Sungai Batu, pasti akan menjumpai 'tuyere' (peniup angin), iaitu peralatan penting dalam industri kuno peleburan besi.

"Ia berbentuk bulat panjang bersaiz lapan inci dan ada lubang di tengahnya yang digunakan oleh masyarakat purba Sungai Batu ketika itu untuk mengepam udara di relau (furnace) semasa proses peleburan.

"Kami menjumpai lebih dua juta tuyere di sini. Jadi, dengan jutaan tuyere dan 12 tapak peleburan serta kehadiran begitu banyak bijih besi, bayangkan bagaimana sibuknya industri peleburan besi di sini ketika itu," kata Prof Datuk Dr Mokhtar Saidin.

Menurut Pengarah Pusat Penyelidikan Arkeologi Global (PPAG) Universiti Sains Malaysia (USM) ini, ia dipanggil tuyere kerana dijumpai kali pertama di Perancis tetapi jumlahnya tidak begitu banyak, hanya 20 unit sahaja.

Demontrasi menggunakan furnace pada Festival Kedah Tua di Sungai Batu, baru-baru ini.

Berbanding Sungai Batu, yang mana jumlahnya berjuta malah terbukti sebagai industri peleburan besi terawal di Asia Tenggara iaitu pada kurun ke-enam sebelum Masehi ataupun 535 BCE.

"Kalau tidak, ia (peniup angin) sudah dinamakan Sungai Batu bukan tuyere.

Tetapi, disebabkan Perancis memulakan kajian logam lebih awal dan mereka menjumpainya dahulu, ia dinamakan 'tuyere'" katanya sambil berseloroh.

DI MANA PRODUKNYA?

Kajian PPAG USM di kawasan ekskavasi Sungai Batu yang terletak di ladang kelapa sawit di jalan raya baharu Merbok-Semeling ini sejak 2009, telah membuktikan tapak itu adalah tamadun terawal dan tertua di Asia Tenggara.

Ia berdasarkan ujian pentarikhan yang ditemui di tapak jeti, peleburan besi dan syahbandar (monumen pentadbiran), berusia 2,600 tahun berikutan kewujudannya pada 535 sebelum Masehi.

Dengan penemuan itu, Sungai Batu yang menjadi sebahagian daripada tamadun kerajaan Kedah Tua ini didapati sistem ekonominya berteraskan kepada industri peleburan besi. Biarpun demikian, Mokhtar berkata kumpulan penyelidikannya berhadapan kesulitan dalam melengkapkan kajian perusahaan kuno itu.



Mokhtar

"Selepas tiga bulan proses ekskavasi, kami tidak menjumpai produk siap.

Misalnya, pedang, parang atau apa-apa jenis pisau. Kalau ada pun, hanyalah pisau kecil yang kami percaya ia milik persendirian.

"Jadi, di manakah produknya? Sedangkan, kami telah menemui 'pusat peleburan besi' di kawasan itu," ujarnya.

Sesuatu yang sangat mustahil apabila langsung tidak menjumpai satu pun produk besi sedangkan terdapat lebih 10 pusat peleburan, serta jutaan tuyere di situ, sekali gus merungsingkan kumpulan penyelidik PPAG.

JONGKONG BESI

Dalam merungkai kemelut tersebut, Mokhtar bersama pasukan arkeologinya mengambil pendekatan mengkaji balik segala yang berkaitan dengan industri logam lama.

Pelbagai bahan bacaan berhubung topik tersebut telah diselidiki dan mereka mendapati bahawa produk yang dihasilkan oleh masyarakat purba Sungai Batu ketika itu bukanlah sepertimana yang difikirkan selama ini.

"Selepas mengkaji industri besi tamadun awal, kami menyimpulkan produk yang dihasilkan oleh masyarakat zaman tersebut adalah jongkong besi (ingot)," ujarnya.

Biarpun gembira dengan penemuan itu, perjalanan kajian PPAG sekali lagi berdepan masalah apabila gagal menemui satu pun jongkong besi berupa sedemikian semasa proses ekskavasi seluas 4 kilometer (km) dilakukan di ladang itu.

"Seperti biasa, apabila kita memikirkan mengenai 'jongkong', ramai termasuk pakar arkeologi akan menggambarkan ia berbentuk segi empat sempurna," tambahnya.

Walhal, tidak ada satu pun tamadun awal ketika itu yang terlibat dalam perusahaan berkenaan menghasilkan jongkong besi sempurna dan ia berdasarkan kepada bukti-bukti sejarah dunia.

Selain, PPAG mengenalpasti perbezaan jongkong besi semasa tempoh pembinaan awal tamadun Timur Tengah bagi mencari jawapan kepada permasalahan itu," jelas Mokhtar.

"Segala yang terhasil daripada proses peleburan dan mengalir keluar daripada relau, tidak kiralah apa bentuk sekali pun, ia adalah jongkong besi. Biasanya, ia berbentuk seperti sisa besi tetapi selepas dilakukan eksperimen, sah itulah jongkong besi pada zaman tersebut," katanya.

LOKASI PENTING

Dengan penemuan itu, beliau yakin bahawa ia dihasilkan untuk dieksport keluar dari kawasan tersebut. Ini bermakna, Sungai Batu ketika itu sudah pun memainkan peranan cukup besar dalam perkembangan tamadun rantau Asia Tenggara.

Selain, merupakan lokasi amat penting dalam peta dunia suatu ketika dahulu.

Menurut Mokhtar, terdapat beberapa hasil penulisan sejarah yang telah menceritakan akan kepentingan Sungai Batu purba dalam perusahaan besi serta keunggulan kerajaan tamadun Kedah Tua yang pernah wujud di tapak berkenaan.

"Dalam satu puisi Tamil, 'Pattinappalai' ada menyatakan pedagang India telah mengimport besi dari 'Kataram' untuk membuat pedang. Ia berasal daripada perkataan 'kazh' iaitu besi hitam yang merujuk Kedah Tua.

"Sebenarnya, banyak nama yang digunakan oleh pedagang-pedagang bagi merujuk kerajaan purba itu sebagai 'lubuk besi'. Ini termasuklah, Kataha yang bermaksud 'the bowl of iron' di dalam bahasa Sanskrit," katanya.

KEDUDUKANNYA STRATEGIK

Berdasarkan bukti yang ditemui, sekurang-kurangnya Sungai Batu telah menjadi hub mengeksport besi kuno sejak kurun ke-lima sebelum Masehi, tetapi ia masih lagi memerlukan data dan kajian lebih lengkap.

"Inilah menariknya, kerana tidak pernah tercatat dalam sejarah bahawa tanah Melayu ketika itu ada mengeksport besi. Yang kita tahu, hanyalah sebagai pengeluar emas dan timah," katanya.

Kedudukan Sungai Batu yang strategik kerana terletak berdekatan dengan Gunung Jerai, telah membantu para pedagang untuk berlabuh di sini dengan menjadikan puncak gunung tersebut sebagai panduan.

Ini terbukti dengan penemuan 12 buah jeti berhampiran Sungai Batu Kuno yang pernah mengalir di tapak bersejarah itu, lima buah kapal purba yang masih lagi di bawah tanah, sekali gus memberikan gambaran kawasan ini pernah menjadi sebuah pelabuhan sangat pesat.

"Semasa sebelum Masehi dan awal Masehi, aras laut di sini lebih tinggi, menyebabkan Sungai Batu berada di tepi laut ketika itu. Sekarang, lebih kurang 12km ke Tanjung Dawai baharu nampak laut.

"Ia mengecil disebabkan perubahan struktur muka bumi dan alam semulajadi.

Sungai yang dahulunya selebar 100 meter dan sedalam 30 meter semakin cetek setelah ribuan tahun menyebabkan kapal-kapal besar tidak dapat masuk," katanya.

Susulan itu, ia menjadi antara sebab utama kejatuhan Sungai Batu sebagai pusat pelabuhan apabila mereka mula pindah ke kawasan lain yang menghampiri laut seperti Pengkalan Bujang dan Sungai Mas.

SIAPAKAH PEMILIK KERAJAAN INI?

Biarpun demikian, pasukan arkeologi Mokhtar masih lagi belum menjumpai sebarang bukti mengenai manusia dan pemilik kerajaan ini. Namun, beliau yakin masyarakat purba Sungai Batu ketika itu telah pun memulakan satu tamadun yang hebat dan pastinya mereka bukanlah calang-calang orangnya.

"Industri peleburan besi di sini telah wujud sejak kurun ke-enam sebelum Masehi sehinggalah kurun ke-17 Masehi dan kami percaya teknologi yang digunakan mereka adalah lokal.

"Berdasarkan suhu yang digunakan untuk melebur besi iaitu 1,200 darjah celcius, senibina, jeti pelabuhan, bengkel peleburan besi, dan adanya perdagangan di sini, jelas menunjukkan betapa tingginya susunan masyarakat Sungai Batu dan pastinya mereka mempunyai sistem geologi," katanya.

Akan tetapi, siapakah pemilik kerajaan ini? Adakah ia dimulakan oleh orang Melayu, persoalan yang masih misteri dan ini antara misi utama pasukan arkeologi Mokhtar untuk terus merungkai rahsia yang masih tersisip rapi di Sungai Batu.

mstar


RM10mil for ancient secrets
 04 Jan 2019
By ARNOLD LOH


Relic: Visitors looking at an ancient clay furnace (relau), believed to have been made between 5AD and 10AD, in the compound of a kampung house in Kampung Chemara, Jeniang and relocated to the Sungai Batu Archaeological Site at Lembah Bujang, Kedah.

SUNGAI PETANI: The race is on to uncover more secrets from the ruins of the oldest known civilisation in South-East Asia – the Sungai Batu archaeological site in Kedah.

The federal government has approved RM10mil to conduct consultation, conservation and restoration works as well as an archaeological museum.

“The funds were approved under the recent federal budget. It is only for the first phase. The total needed is RM30mil,” said Deputy Tourism, Arts and Culture Minister Muhammad Bakhtiar Wan Chik.

However, Muhammad Bakhtiar said the ministry needed the Kedah government’s assistance to gazette a special area plan for Sungai Batu to ensure that it would be protected.


“Although the National Heritage Department has gazetted Sungai Batu as a heritage site, we need a special area plan to lay down development guidelines and a buffer zone,” he said.

The ministry, he said, had also made progress with Aga Khan Foundation, a global NGO with multiple focus areas including tourism and heritage conservation, to protect Sungai Batu’s historical value.

Muhammad Bakhtiar said his recent trip to view the conservation efforts of ancient sites in India, facilitated by the foundation, made him realise that conservation of vital historic sites was a long, meticulous process.

“It must be about conservation first, not tourism,” he said.

Ever since archaeologists discovered the ruins of an iron-smelting industrial town more than 2,000 years old, the identity of these ancient people has been debated because there is too little cultural evidence of them in the excavated smelting sites.



Sungai Batu is the industrial area of this civilisation, and it is not even one tenth of Kedah Tua, said archaeologist Datuk Dr Mokhtar Saidin, who is Global Archaeological Research Centre director at Universiti Sains Malaysia.

“We haven’t found the places where these ancient people built their homes. They seemed to have had a great sense of organisation. In Sungai Batu, archaeologists keep finding only artefacts used strictly for iron smelting. We haven’t been able to find artefacts of a personal or day-to-day nature, so it seems that this civilisation fully segregated where they worked and lived.

“Archaeologists are still looking for where the residential areas were. Until then, an aura of mystery shrouds the discovery,” he said.

Dr Mokhtar said after the Sungai Batu archaeological site was gazetted as a national heritage late last year, his team designed an archaeo-tourism model to foster public appreciation of the findings.

“We have trained 12 locals and made them licensed tour guides. They are able to conduct guided tours at the site and explain the significance of Sungai Batu to visitors,” he said.

Dr Mokhtar said about 1,500 tourists visit the site each month, and it is crowded on weekends.

He said his team designed a package comprising a guided tour to the ruins of the monument, jetty, iron smelting, administrative sites, and included a chance for visitors to try excavating artefacts, smelting iron and making bricks.

The package costs international visitors US$100 (RM416) for adults and US$50 (RM208) for children. For Malaysians, the charge is RM100 for adults and RM50 for students, senior citizens and those with special needs.

“This is the only way the 12 locals working at the site can earn some money. On days without guided tours, they catalog artefacts found.”

Dr Mokhtar said by using Optically-Stimulated Luminescence (OSL) technology, the date of the jetty ruins was certified as 582BC, sealing Sungai Batu’s ruins as the oldest civilisation in South-East Asia.

A river of about 2km – which is now a stream – once linked Sungai Batu to the expansive Sungai Merbok for traders from as far as India to sail in for the iron.

OSL dating measures the last time quartz sediment was exposed to light.

the star




26 Oct 2019

15 Oct 2019

catatan akhir


Keringat jiwa melampaui raga

Saya pernah ditegur orang rumah (masa belum ada anak) kerana kerap pulang lewat dan banyak masa sepanjang hari dihabiskan di pejabat atau tempat tugasan.

Bukan kerana sayangkan syarikat tetapi bila kerja kena dengan jiwa itu mampu tunjukkan diri kita yang sebenar.

Perkara sama juga saya pernah lakukan ketika di UiTM Shah Alam dahulu. Cuti semester pun tak balik kampung sebab sibukkan diri dengan aktiviti mahasiswa, walhal bukan MPP pun.

Dekat mana-mana pun bila saya mampu fokus, boleh lupa orang sekeliling. Itulah kelemahan diri. Sebab masa itu seolah-olah rasa 'jiwa sedang diberi makan'.

Bila kenang hari terakhir hari ini, baru terasa keluar dari kepompong, minda mula mencari tempat berehat, pintanya sementara sahaja.

Lebih terharu bila keluarga, kawan-kawan muncul memberi kata-kata semangat, bertali arus menyambung harapan.

Ucapan ribuan terima kasih semua atas sokongan sepanjang karier dalam Utusan dan ketika di ambang penyelesaian yang bukan pengakhiran.

Tak mampu di sebut nama satu persatu takut ada yang tertinggal dan tak mahu terlepas doa sama jika musibah datang lagi. Anda semua memang memberi kekuatan.

Dekat mana lagi lepas ini boleh saya sajikan jiwa ini kepada mereka yang perlukan khidmat?

Semoga kita semua dirahmati-Nya sama ada dalam diam ataupun nyata terlihat.

Terima kasih semua



dari fb mohamad athir ismail



Utusan Melayu (Malaysia) Bhd.




1 Oktober 2002 - 1 Mei 2004 - Wartawan kadet, sebulan di meja am dan selebihnya di meja jenayah di Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur.

1 Mei 2004 - 1 Jun 2007 - Wartawan Biro Negeri Sembilan di Taman AST.

1 Jun 2007 - 9 Oktober 2019 - Biro Kelantan. Dari Jalan Che Su ke Jalan Dusun Muda.

Dari awak-awak menjadi nakhoda. Belajar semuanya di sini. Universiti terhebat. Kenal hidup. Faham manusia.

Mendapat pasukan yang hebat di Kota Bharu. Kalian benar-benar ‘awesome’. Saya kesal kerana terlalu cuai sehingga gagal untuk menyelamatkan kalian.

Mohon maaf.
Terima kasih.
Jumpa lagi.
Selamat maju jaya.

DIRGAHAYU UTUSAN MELAYU!

***hidup perlu pandang depan tidak perlu bernostalgia. Cuma gambar-gambar yang dirakamkan pada 9 Oktober 2019 ini hanya untuk diingat bila tua nanti. Manusia selalu lupa.

dari fb azran fitri rahim



TERIMA KASIH UTUSAN
Oleh: MOHD AINUDDIN ALIFF SALEHUDEN

Dari zaman remaja selalu terfikir nak jadi wartawan di Utusan. Boleh menulis. Dapat bersama penulis hebat lain. Lepas habis belajar di Universiti, kebetulan ada iklan pengambilan kerja sebagai wartawan Utusan.

Lantas, saya mohon. Ketika itu masih bekerja di firma guaman di Kelana Jaya. Terus mohon dan hantar permohonan itu ke Jabatan Sumber Manusia Utusan sambil menitipkan kalimah Bismillahirahmanirahim.

Tanpa disangka. Dapat kerja tu. Gembira tak terkata. Tapi, ada keluarga macam tak setuju. Kenapa nak jadi wartawan sedangkan kau graduan undang-undang. Stigma Melayu kononnya jadi wartawan ini bukan kerja bertaraf elit. Tapi, keluarga akhirnya beri sokongan kerana mereka dapat lihat sendiri keseronokkan saya bekerja semasa di Utusan. Siapa tak bangga, kerja dengan akhbar nombor satu negara.

Selama di Utusan, pelbagai benda saya belajar. Pergi ke macam-macam tempat. Dalam hutan, belakang lorong gelap hinggalah ke Istana. Liputan ke luar negara dalam negara semuanya itu adalah kenangan yang tidak akan dilupakan.

Namun, siapa sangka, bangun pagi hari ini, surat khabar yang saya baca dari kecil ini tak ada lagi di pasaran. Surat khabar Utusan yang setia menemani saya selama ini tidak lagi ada untuk menemani kita semua. Kalau dulu, tak sempat beli paper kita akan baca di portal. Tapi hari ini dua-dua dah tak ada.

Malu. Kerana minggu lepas orang Melayu baru sahaja duduk bersama di dalam Kongres Maruah Melayu. Bulan lepas pula, ada perpaduan dua parti Melayu terbesar di Malaysia yang dikenali sebagai Perpaduan Ummah. Berucap bergegar-gegar satu dewan dengan laungan Hidup Melayu.

Malangnya, akhbar warisan bangsa ini tidak ada pula yang mahu selamatkan. Sedangkan, akhbar inilah yang mencetuskan semangat kemerdekaan untuk orang Melayu. Dan akhbar ini jugalah yang memperjuangkan Melayu dari dahulu.

Tapi, dengarnya Utusan akan kembali. Kembali dengan pengurusan dan staff yang baru. Harapnya semua akan berjalan lancar dan saya doakan Utusan terus menjadi Penyebar Fikiran Rakyat di bawah pimpinan baru nanti.

Apa pun, saya doakan yang terbaik kepada semua rakan-rakan di Utusan. Mereka ini tidak ada kerja kerana syarikat tutup. Jangan pula ada yang kata mereka Melayu yang malas. Doakan yang terbaik sahaja buat mereka. Semoga Allah menyebelahi rezeki kepada mereka. Amin.

Tribute penulisan ini untuk sahabat sama batch dengan saya Zainal Aqeel Ku Rizduan Fadzly Bin Izab tetapi dua daripadanya iaitu Azrai Mohammad dan Fitri Affendi Mustafa dah bekerja dengan Kerajaan.

Kepada abang-abang, kakak-kakak dan sahabat di Shah Alam Azian Aziz Norhayati Yahaya Shaharuddin Abdullah Siti Rohaizah Mgt Ramli Razak Idris seoranh lain Shaharani selain Helmi Mohd Foad dan Fatin Ainaa yang dah mcm keluarga. Kejap gaduh kejap baik.

Sempat juga berada di bawah Unit Khas di bawah Tuan Ramli Bin AbdulKarim Hasibuan yang garang macam Singa. Tapi hati pink macam chipmunk. Kawan-kawan ketika itu, sama-sama menyamar ada sampai menyamar jadi pengemis, jadi penumpang bas, sampai masuk kelab dangdut ketika malam bulan puasa hanya untuk secebis berita buat pembaca kami. Terima kasih kawan-kawan M. Amirul Afiq Rosalinda Said kak Aimy.

Apa pun. Akan saya cerita dengan anak cucu saya bahawa saya pernah menjadi sebahagian daripada Utusan.

Terima kasih Utusan.

Nota kaki: Buku Di Depan Api Di Belakang Duri ini adalah pemberian Allahyarham Tan Sri Zam sendiri kepada saya ketika kami bertemu di Putrajaya sekitar 2014. Banyak nasihat dan cerita mengenai Utusan yang Allahyarham ceritakan kepada saya. Al-Fatihah buat semua wartawan Utusan yang telah pergi meninggal kita termasuk sahabat baik saya di Kosmo Shah Alam iaitu Allahyarham Shanizam.

Gambar kulit buku ini adalah gambar Wakil Rasmi Utusan Melayu yang pertama di Kuala Lumpur iaitu Encik Hussein Abdul Hamid (bercangkung), sedang meliputi upacara menaikkan bendera PEKEMBAR (UMNO) oleh Sultan Selangor, Sultan Hishamuddin Alam Shah pada 13 April 1947.



fb ainuddin aliff


utusan melayu


Selamat Tinggal Jiwaku
Utusan Melayu.
2 Mei 2000 – 9 Oktober 2019

Hari kedua bergelar “Penganggur” selepas aku dan rakan-rakan dihalau secara korporat dari Universiti yang aku huni sejak 19 tahun yang lalu. Tiada majlis perpisahan, hanya salam dan pelukan perpisahan sesama rakan yang sama jiwanya.

Tiada perkataan yang dapat mengambarkan bertapa kuatnya perasaan sedih dan kecewa ketika memandu keluar dari intitusi KERAMAT BANGSA MELAYU itu kelmarin.
Syarikat yang ditubuhkan atas air mata keringat Marhaen Melayu, ditutup oleh tangan Bangsawan Melayu.

Apa nasib kami seramai lebih 800 orang ini seterusnya?
Tunggu hingga 30 Oktober 2019 nanti.
Hari itu bakal penentu, adakah kami akan DIZALIMI atau kami akan diberi pampasan yang sewajarnya.

Apa sahaja keputusanya, aku tetap bangga menjadi sebahagian sejarah Utusan Melayu walaupun air mata dan keringat yang gugur untuk syarikat ini dilayan tanpa kasih sayang dipenghujungnya.

Kepada semua rakan-rakan Utusan.
Selamat Maju Jaya, semoga Allah mengantikan rezeki dan tempat yang baik kepada kita selepas ini.

Kepada rakan-rakan yang menghubungi aku bertanya khabar, berkongsi kesedihan.
Terima kasih, itulah sokongan moral bagiku. Allah sahaja yang mampu membalasnya.

Disaat Utusan berakhir hayat operasinya, jiwa 800 dari kami menalkinkannya dengan air mata.

Allah menguji tanda dia sayang.
Selamat Tinggal Jiwaku Utusan Melayu.
Aku tanam sejarah dan namamu jauh didalam hati ini.

Aku tutup nukilan ini tanpa NOKTAH



fb saifol bakhtiar

naskah terakhir ....



6 Oct 2019

bas mini


Nostalgia bas mini ‘raja Jalan Raya’



BEBERAPA buah bas mini melalui Dataran Merdeka dan bangunan Sultan Abdul Samad di Kuala Lumpur pada Julai 1993.

SAHIDAN JAAFAR
22 September 2019 3:00 AM


BAS mini yang memulakan perkhidmatannya di Lembah Kelang sejak 1974 menjadi nadi kehidupan warga kota yang menggunakan perkhidmatan itu berdasarkan faktor antaranya tambangnya yang termurah, cepat dan melalui semua destinasi penting di Kuala Lumpur. Bagi dewasa tambang dikenakan cuma antara 30 sen hingga 50 sen manakala pelajar cuma 20 sen untuk satu destinasi laluan. Bagi rakyat bawahan dan golongan berpendapatan rendah bas mini suatu rahmat yang tidak ternilai yang boleh membawa mereka berjalan-jalan serata ibu kota.

Menurut Utusan Malaysia dalam laporan khas Selamat Tinggal Bas Mini yang disiarkan pada 30 Disember 1996, pada era 1980-an terdapat kira-kira 1,200 buah bas mini di lembah Kelang melibatkan seramai 320 pengusaha yang menyediakan pe­luang pekerjaan kepada 7,000 pemandu dan konduktor tiket bas.

“Sejak awal 1980-an, perkhidmatan bas mini dianggap antara pa­ling berkesan di pusat bandar Kuala Lumpur. Bukan sahaja ia bergerak pantas dan murah tetapi lebih penting ia juga mampu memberi kepuas­an kepada warga kota yang sentiasa kesuntukan masa.


MEMECUT

“Waktu itu perkhidmatan bas mini begitu berjaya kerana jumlah kenderaan dan keada­an lalu lintas agak terkawal di keseluruhan Lembah Kelang” Utusan Malaysia 30 Disember 1996.

Bagaimanapun, perubahan mendadak sistem pengangkutan awam di Kuala Lumpur serta bilangan jumlah kenderaan apabila negara mengeluarkan kereta sendiri (Proton Saga) menyebabkan perkhidmatan bas mini semakin terhimpit dalam kesesakan lalu lintas, pertambahan penduduk dan jumlah kenderaan yang me­ningkat.

Akibat faktor peningkatan kos kehidupan di Kuala Lumpur, mendorong segelintir pemandu bas mini bertindak agak ganas, memecut kenderaan secara melulu dan berbahaya sehingga menyebabkan kemalangan.


SUASANA penumpang dalam bas mini berhawa dingin nombor 12 menuju ke Bangsar, Kuala Lumpur pada 18 Mei 1993.

KEMALANGAN

“Bermula dari 1980 hingga November 1996, kemalangan yang melibatkan bas mini memang tinggi. Perangkaan polis mencatatkan lebih 5,000 kes kemalangan melibatkan 20,000 penumpang sesungguhnya sa­tu jumlah yang tinggi.

“Perangkaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut mencatatkan bagi tempoh yang sama (1980-1996) lebih 10,000 kesalahan lalu lintas dilakukan oleh pemandu bas mini di Lembah Kelang termasuk memandu laju, memotong giliran, melanggar lampu isyarat dan sebagainya.

“Jumlah itu tidak termasuk laporan bertulis dan aduan melalui telefon orang ramai yang tidak senang dengan cara pemanduan para pemandu bas mini.

“Memang diakui tidak semua pemandu berkelakuan se­­demikian tetapi jelas imej bas mini kini semakin menurun dan ada yang mengatakan ‘riwayat bas akan tamat pada bila-bila masa” (Utusan Malaysia 30 Disember 1996).

Utusan Malaysia pada 16 Jun 1996 menyiarkan laporan bertajuk “Permit ganti rugi bas mini” yang memetik kenyataan Menteri Pembangunan Usahawa Datuk Mustapa Mohamed.

Mustapa menjelaskan per­khidmatan bas mini yang telah beroperasi di sejak sekian lama di Kuala Lumpur perlu ditamatkan setelah kajian pihaknya mendapati perkhidmatan itu menimbulkan banyak masalah kepada pengguna jalan raya yang lain.

“Kebanyakan masalah yang ditimbulkan oleh bas mini berpunca daripada persaingan sengit sesama sendiri hingga menyebabkan pemandu bas mini tidak berdisiplin dan menjadi penyebab kesesakan jalan raya di ibu kota, ” jelas Mustapa (Utusan Malaysia 16 Jun 1996).

Permit bas mini mula ditamatkan secara beransur-ansur apabila bas Intrakota yang telah beroperasi pada 1994 mengambil alih perkhidmatan bas mini bagi meningkatkan mutu peng­angkutan awam di bandar raya Kuala Lumpur.

utusan


Kongres Maruah Melayu



Dr Mahathir berkata perhimpunan mengumpulkan orang Melayu itu bukan bermotif politik walaupun dihadiri ramai pemimpin politik. - NSTP/Sairien Nafis


Kongres Maruah Melayu bukan bermotif politik, perkauman - Tun M
Oleh Rafidah Ahmad Ruzki; Rohaniza Idris dan Khairul Azran Hussin
bhnews@bh.com.my


SHAH ALAM: Kongres Maruah Melayu yang berlangsung di sini hari ini bukan perhimpunan bermotif politik dan perkauman, malah tidak dijadikan tempat untuk mengecam bangsa lain.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata perhimpunan mengumpulkan orang Melayu itu bukan bermotif politik walaupun dihadiri ramai pemimpin politik.


Sebaliknya, beliau berkata, kongres itu turut menghimpunkan pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan organisasi mewakili orang Melayu untuk bersama-sama memulihkan maruah dan semangat bangsa berkenaan.

“Ini (kongres) tiada politik kerana yang hadir adalah semua pihak, ada parti politik dan NGO Melayu dan semua pihak yang ada kepentingan Melayu. Kita semua yang datang ini sebagai orang Melayu.

“Mereka sudah tahu apa yang jadi pada maruah Melayu dan kali ini datang untuk mencari jalan bagaimana hendak memulihkan maruah orang Melayu. Ini bukan rasis kerana kita bukannya mengecam orang (bangsa) lain.

“Kita tidak kecam orang Cina, kita tidak kecam orang India, tetapi kita kecam orang Melayu yang tidak buat apa yang harus dilakukan untuk mengembalikan maruah orang Melayu,” katanya.

Dr Mahathir berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan ucapan pada kongres berkenaan bagi mengulas kebimbangan sesetengah pihak dengan perhimpunan itu yang didakwa bermotif politik dan perkauman.


Dr Mahathir menyampaikan ucapan pada Kongres Maruah Melayu di Shah Alam. - Foto BERNAMA

Perdana Menteri menegaskan, kehadiran wakil pelbagai parti politik pembangkang dalam kongres itu adalah kerana mereka rasa bertanggungjawab dengan pemulihan maruah orang Melayu, bukan untuk bercakap mengenai parti.

“Kita datang ke sini untuk bercakap mengenai kedudukan orang Melayu, kedudukan kita dalam bidang sosial, ekonomi dan politik. Kita mahu tahu di mana kesilapan kita sehingga menyebabkan orang Melayu ketinggalan berbanding bangsa lain,” katanya.

Mengenai saranan Ahli Parlimen DAP Iskandar Puteri, Lim Kit Siang yang sebelum ini meminta penganjur tidak meneruskan kongres itu, Dr Mahathir berkata, ada pelbagai kongres dianjurkan selama ini.

Malah, katanya, beliau sendiri pernah menghadiri dan merasmikan perhimpunan Cina Hakka yang mengumpulkan masyarakat itu dari seluruh dunia tanpa kehadiran seorang pun orang Melayu.

“Saya juga pernah hadir dan merasmikan perhimpunan bangsa lain, tidak ada yang menghalang atau membangkitkan (menjadikan isu) mengenai kehadiran saya.

“Malah dalam perhimpunan dengan orang Hakka pun, tiada orang halang dan kata saya tidak patut hadir, kata saya hanya patut hadir majlis anjuran orang Malaysia sahaja.

“Saya menyampaikan mesej yang diterima baik masyarakat Hakka dalam kongres bertaraf dunia itu,” katanya.

Mengenai percanggahan Kongres Maruah Melayu dengan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 yang dilancarkan semalam, Perdana Menteri berkata, perkongsian kemakmuran bermakna semua orang di negara ini berkongsi kemakmuran.

“Jika orang Melayu tidak merebut peluang daripada wawasan itu, maka mereka tidak mendapat kemakmuran bersama itu,” katanya.

Mengenai resolusi hasil kongres terbabit, Dr Mahathir berkata, beliau mengambil maklum semua permintaan, gesaan dan teguran yang dibuat, namun tidak semua akan dipenuhi kerana ia bergantung kepada kemampuan dan keperluan semasa.

Ditanya cadangan mewujudkan sekolah satu aliran, iaitu aliran kebangsaan di negara ini, Perdana Menteri berkata, memang ada permintaan sedemikian, tetapi tidak bermakna ia boleh terima begitu sahaja.

"Kita kena tengok apa boleh dibuat dan tidak boleh di buat," katanya.

Mengulas kandungan ucapannya pada kongres berkenaan mengenai kelemahan dan kurangnya kuasa orang Melayu pada masa ini, beliau berkata, orang Melayu kini bercakaran sesama sendiri.

"Kita berkelahi, itu sebab kita jadi lemah, kita suka sangat berkelahi, sebab itu kita lemah sekarang. Kita terbelah kepada enam (enam parti politik Melayu).

“Jawatan Perdana Menteri hanya satu, ini enam nak jadi Perdana Menteri. Kalau ada enam Perdana Menteri, boleh kongsi seorang satu," katanya dalam nada berseloroh.

bharian


2 Oct 2019

1 Oct 2019

Sasterawan Negara ke-14 Dr Siti Zainon Ismail





Buka akses luas bahan sastera kepada pelajar - Siti Zainon

KUALA LUMPUR: Golongan pelajar perlu diberi peluang untuk mendapat lebih banyak akses kepada bahan sastera, sejajar usaha membudayakan bahan sastera dalam kalangan anak muda.



Penerima Anugerah Sastera Negara ke-14, Dr Siti Zainon Ismail, berkata selama ini pelajar kurang menerima bahan sastera negara yang menjadi satu sumber diperlukan oleh generasi muda yang bakal memimpin.

“Kita perlukan penerus (pewaris) generasi supaya generasi kita yang bakal menjadi pemimpin tahu apa maknanya susastera, iaitu sastera yang indah, penuh adab dan penuh akal fikiran.

“Ia untuk bangsa dan negara kita yang hargai. Tradisi seni sastera tidak bererti ia kuno kerana ada sejarah dan ilmu di sebalik setiap sastera yang boleh dikaji masyarakat,” katanya kepada pemberita apabila ditanya mengenai perancangannya dalam dunia kesusasteraan.

Antara karya nukilan Siti Zainon adalah Rekabentuk Kraftangan Melayu Tradisi (DBP 1986), Percikan Seni (DBP 1989) dan Alam Puisi (DBP 1990), Kasih Bonda dan Kampung Paya Kami terbitan DBP 2008.

Menjadi wanita kedua meraih anugerah itu selepas Datuk Dr Zurinah Hassan, Siti Zainon menjelaskan peranan wanita penting dalam memupuk nilai positif yang terkandung dalam sesebuah karya sastera.

“Sememangnya ramai penulis wanita tetapi karya-karya mereka belum dikaji secara penuh (menyeluruh). Peranan kaum ibu umpamanya (dipaparkan) jika membeli karya Zurinah Hassan... boleh menceritakan nilai dan warisan yang terkandung dengan anak-anak.

“Ini ialah warisan... untuk moden, kita teruskan tapi harus diingat, moden tidak akan ada kalau tiada warisan kerana ia hadir di sekitar kita dan kita perlu menghargainya,” katanya yang pernah merangkul beberapa anugerah sepanjang pembabitannya dalam seni sastera.

Dilahirkan pada 18 Disember 1949 di Gombak, Siti Zainon adalah alumni Sekolah Aminuddin Baki, Kuala Lumpur dan melanjutkan pelajaran di Akademi Seni Rupa Indonesia (ASRI) di Yogyakarta, Indonesia pada 1969-1974 sehingga memperoleh Sarjana Muda Seni Lukis.

Sejak 1985, beliau telah menghasilkan 20 buku kajian yang menjadi rujukan budayawan, pengkaji budaya mahupun pelajar di dalam dan luar negara. – BERNAMA

bharian



Agong sampaikan watikah Sasterawan Negara kepada Siti Zainon
Oleh Nor Afzan Mohamad Yusof


KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyampaikan watikah Sasterawan Negara kepada novelis, Dr Siti Zainon Ismail pada majlis Anugerah Sastera Negara ke-14 di sini, malam ini.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, berkata pemilihan Siti Zainon berdasarkan kepada sumbangan beliau menerusi karya dan pemikiran serta sumbangan terhadap pengembangan sastera.

Katanya, Anugerah Sastera Negara diberikan oleh kerajaan Malaysia kepada sasterawan yang menulis dalam bahasa Melayu yang memberikan sumbangan cemerlang secara berterusan dalam perkembangan kesusasteraan tanah air melalui ciptaan karya kreatif, pemikiran dan kegiatan sastera yang bermutu tinggi.

“Beliau turut terbabit dalam penyebaran ilmu, kepemimpinan dalam persatuan sastera pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa,” katanya dalam sembah kenal majlis berkenaan malam ini.

Turut mencemar duli ialah Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Yang turut hadir Pengerusi, Lembaga Pengelola Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP), Prof Datuk Dr Mohamed Harta Shaharom.

Maszlee yang juga Pengerusi Panel Anugerah Sastera Negara ke-14, berkata dalam proses keputusan untuk memilih Siti Zainon sebagai Sasterawan Negara, beliau turut menghubungi sasterawan negara lain.

Katanya, hampir semua sasterawan mengatakan Siti Zainon pilihan terbaik.

“A Samad Said mengatakan Siti Zainon kaya dengan karya menyentuh kepelbagaian budaya. Kata Prof Muhammad Salleh pula, Siti Zainon sepatutnya sudah lama bergelar Sasterawan Negara,” katanya.

Siti Zainon, 69, ialah anak kelahiran Gombak, Kuala Lumpur dan pernah menghasilkan karya novel (tiga); kumpulan cerpen (10); kumpulan puisi (25); antologi cerpen (tujuh) dan antologi puisi (lima).

Beliau turut menghasilkan 18 kajian ilmiah (buku); esei kajian dalam buku - bab (21) dan esei dalam monograf, jurnal, dokumentasi serta majalah-katalog (21).

Siti Zainon juga pernah menerima pengiktirafan dalam negara dan antarabangsa, termasuk SEA Write Award (1989) dan Tokoh Anugerah Persatuan Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia (PAPTI) - Anugerah Tokoh Seni Budaya 2015.

bharian


Sumbangan sastera Siti Zainon melangkaui sempadan
Oleh Siti Haliza Yusop


KUALA LUMPUR: Pemilihan budayawan dan penyair, Dr Siti Zainon Ismail sebagai Sasterawan Negara (SN) ke-14, tepat berdasarkan sumbangannya menyuburkan sastera tanah air melangkaui ke luar negara.

SN, Prof Emeritus Dr Muhammad Salleh, berkata Siti Zainon bukan setakat membawa sastera tanah air ke Asia Tenggara, bahkan hingga Eropah, Russia dan Jepun.

“Usia kepengarangannya juga lebih lama. Bagi pemilihan tahun ini, saya yakin dan bersetuju Siti Zainon adalah calon yang layak dan tepat,” katanya dalam kenyataan kepada BH di sini, hari ini.

Semalam, Tokoh Sasterawan Perak, Malim Ghozali PK, membuat kenyataan mempertikai pengumuman Siti Zainon.

Beliau mendakwa pemilihan penerima Anugerah Sastera Negara (ASN) sudah dibuat ‘secara sebulat suara’ kira-kira enam bulan lalu.

Muhammad berkata, beliau yang sudah terbabit dalam pemilihan Anugerah Sastera Negara lebih dari 10 kali dan atas kapasiti sebagai pengkaji, penulis dan pengkarya sastera, arif dengan proses pemilihan SN.

“Ia bukanlah sebuah anugerah untuk membuang seseorang dan menaikkan seseorang yang lain,” katanya.


Sasterawan Negara (SN), Dr Siti Zainon Ismail. - Foto Mahzir Mat Isa

Siti Zainon yang juga penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write Award) 1989 menjadi pengarang wanita kedua menerima gelaran SN selepas penyair, Datuk Dr Zurinah Hassan.

Selain menghasilkan novel, cerpen dan kumpulan puisi, Siti Zainon yang juga anak kelahiran Gombak, turut menghasilkan kajian ilmiah berbentuk buku.

Enam kali memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM), ketokohan Siti Zainon dalam ranah sastera tanah air turut diiktiraf di luar negara termasuk menerima Tokoh Anugerah Persatuan Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia (PAPTI) membabitkan Anugerah Seni Budaya 2015.

bharian


Dr Siti Zainon Ismail


Jiwa seni Siti Zainon berputik sejak kecil
Oleh Siti Fatimah Mohamed Anwar



KUALA LUMPUR: Jiwa seni Sasterawan Negara (SN) Ke-14, Dr Siti Zainon Ismail, berputik sejak kecil dengan halaman rumah di kampung kelahiran, Kampung Gombak Batu 4 Suku, menjadi ‘kanvas’ pertamanya, manakala daun pisang menjadi kertas catatannya.

Siti Zainon berkata, beliau suka melukis dan menulis kerana ia menjadi sahabat sejak kecil, apatah lagi sebagai anak tunggal dipelihara nenek selepas ibu bapa berpisah, saya sudah terbiasa membuat kerja sendiri.

“Tanah di halaman rumah menjadi ‘mangsa’ cakaran karya ‘Siti Kecil’, iaitu gelaran saya pada zaman kanak-kanak.

“Karya saya Kasih Bonda: Kampung Paya Kami misalnya, mencatatkan rakaman kenangan lampau Siti Kecil yang penuh keindahan kerana sebagai sarjana, saya perlu membahagi-bahagikan antara menulis dengan melukis dan tidak mungkin hanya menumpukan satu perkara sepenuh masa,” katanya kepada BH di kediamannya di sini.


Sasterawan Negara (SN) Ke-14, Dr Siti Zainon Ismail. - Foto Zulfadhli Zulkifli

Siti Zainon berkata, ada pihak mengkritiknya kerana tidak banyak menghasilkan buku tetapi beliau berasa cukup menghasilkan apa termampu dan penuh jujur.

“Ini kerana setiap karya saya ialah hasil kajian dikutip daripada pengalaman hidup yang rencam,” katanya.

Menyoroti zaman persekolahan, Siti Zainon berkata, beliau mendapat pendidikan asas di Sekolah Rendah Setapak di ibu kota dan Sekolah Rendah Langgar, Kota Bharu sebelum ke Sekolah Menengah Aminudin Baki (SAB) pada 1962 hingga 1968.

“Saya masih ingat peristiwa Hari Pameran Ibu Bapa ketika di Tahun Enam Sekolah Rendah Setapak, saya duduk di tangga kerana sedih ibu bapa tidak hadir ke sekolah sedangkan semua murid lain ditemani orang tua masing-masing.

“Guru seni lukis, Zainudin Lapoh memujuk saya supaya melihat apa yang ada di dinding, rupa-rupanya lukisan saya bertajuk Kampung Saya sudah digantung di dinding sekolah.

“Ia menghilangkan rasa sedih, sunyi dan sepi Siti Kecil kerana lukisan itu turut ada lakaran ibu bapa saya. Sejak itu bakat seni saya digilap perlahan-lahan bermula dari melukis, menulis puisi, bersyair dan menari,” katanya.

Siti Zainon berkata, hanya satu perkara tidak mampu dilakukan, iaitu berbahas kerana sejak dari kecil beliau gagap.

“Saya tidak pandai mengeluarkan perkataan kemas dan tersusun rapi menyebabkan percakapan sering tersangkut-sangkut.

“Disebabkan kekurangan ini, saya sering menyorok di dalam bilik setiap kali sanak-saudara berkunjung ke rumah nenek di hari raya,” katanya.


Sasterawan Negara (SN) Ke-14, Dr Siti Zainon Ismail. - Foto Zulfadhli Zulkifli

Pengkaji seni budaya Melayu, penyair dan pelukis itu berkata, minat mendalam terhadap seni lukis menyebabkan beliau mengambil keputusan melanjutkan pengajian di Institut Seni Indonesia (ASRI), Yogyakarta dalam bidang Seni Lukis antara 1970 hingga 1973 dan menolak tawaran pengajian di Universiti Malaya (UM).

“Ketika di Tingkatan Enam, cikgu seni lukis, Idris Alam menggilap bakat melukis dan membawa saya menyertai Angkatan Pelukis Semenanjung sekitar 1964 dan di situ saya mengenali pelukis, Latiff Mohidin dan Khalil Ibrahim.

“Bapa angkat saya yang juga pelukis dan pengarah filem, Nas Achnaz berusaha menganjurkan pameran lukisan sulung saya sempena pembukaan sebuah motel.

“Hasilnya, sebanyak 30 lukisan batik, pastel dan sketsa hitam putih saya dibeli dengan harga RM2,000. Selepas separuh wang jualan ditinggalkan untuk belanja ibu, mesin taip hadiah bapa tiri dan beg pakaian kecil, saya berangkat ke Indonesia berbekalkan RM1,000,” katanya.

Siti Zainon berkata, semangat dan keberanian menjejak bumi asing disebabkan rasa cinta tinggi terhadap seni lukis walaupun menyedari dunia pendidikan di rantau bukan mudah.

“Di Indonesia, saya menumpang di Sanggar Seni milik Seniman Indonesia, Saptohoedojo dan isterinya.

“Saya ingat pesan ibu, hidup merantau perlu bijak bawa diri dan jangan harap belas orang hingga menyebabkan saya nekad tidak terus menumpang dan berdikari.

“Takdir Allah SWT genap setahun di perantauan, ayah tiri yang mengirimkan wang saku RM100 sebulan kembali menemui Ilahi hingga ibu hanya mampu mengirimkan wang RM50 sebulan,” katanya.

Peristiwa itu menyebabkan, Siti Zainon lincah menghasilkan karya di jalanan dan masjid termasuk memanjat prambanan dan borobudur sebelum menjual karya itu kepada pelancong asing.

Selain itu, beliau mengambil upah menghasilkan rekaan baju untuk rakan sekampus, sekali gus dapat menambah wang saku menampung pengajian.

Ditanya tokoh dan idolanya dalam dunia seni lukis dan sastera, Siti Zainon berkata, beliau tidak mempunyai individu khusus kerana beliau mengagumi karya, bukan individu.

Bagaimanapun, beliau mengakui antara yang sering menjadi perhatian ialah novelis Indonesia, Mochtar Lubis; Sasterawan Negara (SN), Datuk Usman Awang dan seniman Indonesia, WS Rendra.

Bagi Siti Zainon, lukisan ibarat puisi yang dizahirkan bukan dalam penyusunan kata-kata tetapi puisi warna yang menjadikan beliau ghairah untuk melukis.

“Lukisan ialah wadah saya berbicara dan saya tahu ada orang cakap ‘syok sendiri’ tetapi sebagai guru dan pendidik, saya bercakap dari sudut pendidikan seni budaya.

“Oleh itu, saya memilih Yogyakarta kerana saya menemui banyak seniman yang intelektual, manakala bakat seni dan sastera berkembang seiring di sana,” katanya.

Berkongsi mengenai harapan dan impiannya terhadap dunia seni dan kesusasteraan tanah air, ibu kepada dua cahaya mata itu berkata, sebagai individu berlatar pendidikan, beliau mahu melihat dunia ilmu menerusi penghasilan buku tidak sekadar pasif di perpustakaan.

“Jika boleh, kita mahu ada kelab berinisiatif dalam kalangan remaja membicarakan karya, manakala buku SN yang dicetak dan diedarkan tidak boleh pasif di perpustakaan.

“Sudah tiba masanya untuk memperkasa aktiviti yang melincahkan pemikiran anak muda,” katanya.



bharian