ajari aku

Blog Mimbar Kata

tulislah

blog mimbar kata

sehelai daun

blog mimbar kata

hujan dalam sukma

blog mimbar kata

kaki memijak

blog mimbar kata

13 Jan 2019

aku antara kalian

AKU ANTARA KALIAN
  

setidaknya aku mengerti sentuh dan geser kalian
mengalirkan rasa kasih dan mesra
hormat dan jujur tanpa batas khuatir dan ragu
aku tahu antara kalian tak mungkin ada rasa ragu
atau cemburu terhadapku
yang kuterima adalah sentuh jiwa
dari bersih jiwa kalian

aku ingin memahmi dunia kalian
kerana dalam duniaku terlalu keras dan kasar
terlalu tidak mengertinya mereka
menghargai persahabatan
menilai cinta
aku pernah terhina kerana berada antr kalian
sedang kalian tidak pernah merasa cemburu
aku berada dalam kalangan bangsaku

aku mencari kejujuran
di mana manusia menguasai curiga
dan binatng memiliki pengertian

biarlah aku antara kalian
hidup ini begitu bererti

kuala terengganu
13012019

12 Jan 2019

Berselawat Di Hari Jumaat








Fadhilat Berselawat Di Hari Jumaat

Perawi: Aus bin Aus RA
Susunan: Sunan Abu Dawud
Kitab: 8. كِتَابُ الصَّلاَةِ - Solat
Bab: باب فضل يوم الجمعة وليلة الجمعة - Pada menyatakan fadhilat hari dan malam jumaat
No. Hadith: 1047

Matan Hadith:
عَنْ أَوْسِ بْنِ أَوْسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ ، قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : " إِنَّ مِنْ أَفْضَلِ أَيَّامِكُمْ يَوْمُ الْجُمُعَةِ ، فِيهِ خُلِقَ آدَمُ ، وَفِيهِ قُبِضَ ، وَفِيهِ النَّفْخَةُ ، وَفِيهِ الصَّعْقَةُ ، فَأَكْثِرُوا عَلَيَّ مِنَ الصَّلَاةِ فِيهِ ، فَإِنَّ صَلَاتَكُمْ مَعْرُوضَةٌ عَلَيَّ " ، قَالُوا : يَا رَسُولَ اللَّهِ ! وَكَيْفَ تُعْرَضُ صِلَاتُنَا عَلَيْكَ وَقَدْ أَرَمْتَ ؟ قال : يَقُولُونَ بَلِيتَ ، قَالَ : " إِنَّ اللَّهَ حَرَّمَ عَلَى الْأَرْضِ أَجْسَادَ الْأَنْبِيَاءِ "

. رَوَاهُ أَبُو دَاوُدَ ، وَالنَّسَائِيُّ ، وَابْنُ مَاجَهْ ، وَالدَّارِمِيُّ ، وَالْبَيْهَقِيُّ فِي " الدَّعَوَاتِ الْكَبِيرِ

[التخريج : سنن أبي داود , كتاب الصلاة , تفريع أبواب الجمعة, باب فضل يوم الجمعة وليلة الجمعة , حديث رقم 1047 , عن أوس بن أوس رضي الله عنه]

Terjemahan:
Daripada Aus bin Aus RA, daripada Nabi SAW, baginda bersabda: "Sesungguhnya hari yang paling utama bagi kamu adalah hari Jumaat kerana pada hari itu Nabi Adam dijadikan, pada hari itu baginda diwafatkan, pada hari itu ditiupnya sangkakala (berlaku kiamat) dan pada hari itu akan ditiupkan sangkakala pertama (dibangkitkan kembali). Maka perbanyaklah selawat kepadaku kerana selawat kamu akan disampaikan kepadaku." Mereka (para sahabat) berkata: "Wahai Rasulullah SAW, bagaimanakah selawat kami boleh sampai kepada kamu, sedangkan kamu telah wafat? (atau) mereka berkata: "Telah hancur (tulangnya)”. Lalu baginda SAW bersabda: "Allah SWT mengharamkan tanah untuk memakan jasad para Nabi AS."

(Hadith riwayat Abu Dawud, No: 1047, 1531, An-Nasaie, No: 1374, Ibn Majah, No: 1085, 1636)

Status Hadith: Sahih
Pengajaran:
Selawat (صلوات) adalah jamak daripada perkataan solat bererti doa atau seruan kepada Allah SWT. Dari segi bahasa pula, selawat bermaksud mendoakan atau memohon berkat kepada Allah SWT dan melimpahkan Rahmat-Nya kepada Nabi melalui ucapan, penyataan dan pengharapan, semoga Nabi SAW sentiasa dalam kesejahteraan.

Selawat kepada Nabi Muhammad SAW bermaksud memperbesarkan, mengagungkan, menambahkan kehormatan dan pujian serta mendukung perjuangannya yang mulia. Disamping itu sebagai tanda melahirkan rasa syukur Nabi SAW penyampai utusan-Nya yang membawa rahmat ke seluruh alam. Malah akan menambahkan keyakinan beramal dengan sunnah baginda SAW sebagai petunjuk sepanjang zaman.

Selawat kepada Nabi Muhammad SAW merupakan perintah daripada Allah SWT dan ibadah yang mulia lagi terpuji, terutamanya dihari jumaat, penghulu segala hari. la mengandungi pelbagai kelebihan dan keistimewaan bagi mendapatkan syafaat daripada Nabi Muhammad SAW sebagai bukti cinta serta memperolehi ganjaran yang besar daripada Allah di hari akhirat kelak.

poertal myhadith



kerbau temanku




KUALA TERENGGANU, 11 Jan (Bernama) -- "Saya bangga dan seronok bila gambar saya bersama Awang, Semek, Baba dan Tongkol tular di media sosial sebab ia telah mengharumkan nama keluarga, kampung dan sekolah," kata Muhammad Syukur Khamis, 14, merujuk kepada empat daripada kerbau peliharaan ayahnya.

Pelajar Tingkatan Dua Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Midin itu popular dalam kalangan jurugambar sejak 2015 kerana kebolehannya berinteraksi dengan lebih 100 kerbau peliharaan bapanya, Khamis Jusoh, 63, di Kampung Kubang Bujuk, kira-kira 13 kilometer dari bandar Kuala Terengganu.

Anak bongsu daripada lapan beradik itu berkata kehidupan seharian beliau dipenuhi aktiviti bersama haiwan peliharaan bapanya iaitu kerbau, kambing, lembu, angsa dan ayam kampung berbanding bermain gajet seperti rakan sebaya yang lain.

bernama



Digelar ‘Mowgli Malaysia’, Syukur impi miliki zoo sendiri
Jumaat, 11 Januari 2019
Oleh: IWAN SHU-ASWAD SHUAIB


Syukur diberikan jolokan 'Mowgli Malaysia'. Foto Facebook Syukor Khamis - Kampung Boy.


TANPA disangka-sangka namanya menjadi perhatian selepas gambar yang memaparkan dirinya bersama sekumpulan kerbau menjadi juara pertandingan foto peringkat Asia.

Gambar hasil karya jurugambar anak tempatan, Mohd Nazri Sulaiman mula tular selepas diangkat sebagai Imej Asia 2018 oleh Asian Geographic, bagi kategori Jalanan/Orang Terbaik.

Gambar bertajuk 'Sharing Emotion' (Berkongsi Emosi) karya Mohd Nazri Sulaiman memenangi anugerah Asia Geographic: Imej 2018 bagi kategori Jalanan/Orang. Foto Facebook Asian Geographic

Gambar tersebut turut juga disenaraikan antara 20 foto terbaik dunia menerusi anugerah berprestij, Anugerah Foto Antarabangsa Siena 2018, sehingga anak muda ini diberikan jolokan 'Mowgli Malaysia', berdasarkan watak daripada filem mengenai seorang budak lelaki yang tinggal di dalam hutan dan begitu menyayangi haiwan seperti sahabatnya.

"Syukur ni, kawan dia bukan hanya kerbau saja, tapi kambing, lembu, angsa, burung semua kawan-kawan dia. Cara dia  bergurau (dengan haiwan) macam kawan sekolah. Saya pernah tulis dahulu yang berbunyi "Syukur ni anugerah Allah pada keluarga dia, sebab dalam sejuta orang pun susah nak jumpa budak macam ni"

Saya pernah jumpa ketika mengembara di Indonesia dan Thailand, seorang budak baik dengan seekor kerbau jinak yang telah dicucuk hidungnya, itu biasa.
Tapi tak pernah saya jumpa seorang budak yang boleh berkawan antara 70 dan 80 kerbau (yang tidak dicucuk hidungnya) dalam satu masa. Mereka dah kenal dah dengan Syukur ni," kata Mohd Nazri di halaman Facebooknya pada malam Khamis.

Muhammad Syukur menganggap kerbau-kerbau seperti sahabat, malah antaranya mempunyai nama panggilan. Foto Dallah Deen Photography

Syukur atau nama sebenarnya Muhammad Syukur Khamis berkata, dia sememangnya tidak menyangka gambar yang memaparkan dirinya itu mendapat anugerah.

Saya bangga dan gembira dengan berita yang baru saya dapat semalam. Kemenangan gambar itu sedikit-sebanyak mengharumkan nama keluarga dan sekolah saya

Apa yang anda lihat pada gambar itu, atau gambar-gambar lain yang diambil oleh mana-mana jurugambar profesional atau sambilan, itulah saya dan kehidupan saya,kata pelajar Tingkatan Dua Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Midin ini ketika dihubungi pada Jumaat.


Selain kerbau, Muhammad Syukur sering menghabiskan masa bersama binatang-binatang lain seperti burung. Foto Dallah Deen Photography

Syukur memberitahu, dia mula menjadi subjek atau model oleh jurugambar-jurugambar, sejak di sekolah rendah lagi semasa di Tahun Empat.

Anak kelahiran Kuala Terengganu ini berkata, kesemua gambar yang diambil adalah mengenai kehidupannya di sekitar kampungnya, dari kadang, kolam, sungai sehingga ke hutan.
“Saya memang sejak kecil menyayangi haiwan sebab ayah bela banyak binatang seperti kerbau, kambing, lembu, angsa. Saya mula ikut ayah ke kandang kerbau masa umur enam tahun.

“Saya dah biasa, tak takut dengan binatang-binatang ni. Semuanya sudah menjadi kawan-kawan saya, dan ada kerbau yang diberi nama macam Awang, Sanat dan Wahab,” katanya yang menetap di Kampung Banggol Katong di Kuala Terengganu.


Haiwan-haiwan seperti begitu jinak dengan Muhammad Syukur. Foto Engku Hisham


Mengakui masa lapangannya lebih banyak dihabiskan dengan haiwan-haiwan berkenaan, anak bongsu daripada lapan beradik ini turut menerima tawaran fotografi daripada jurugambar asing seperti India, selain jurugambar tempatan.

“Setiap kali ada sesi fotografi, saya dapat bayaran, biasanya antara RM50 dan RM100. Syukur alhamdulillah, dapat juga buat belanja sekolah.

“Saya berhasrat untuk bekerja di zoo suatu hari nanti kerana hati saya begitu dekat dengan haiwan. Kalau ada rezeki, saya nak buka zoo sendiri nanti,” kata Syukur sambil menambah turut membela ikan keli di belakang rumah.


mstar





11 Jan 2019

tahajud





10 Jan 2019

#MalaysiaMembaca

Bermulanya gerakan #MalaysiaMembaca
MASZLEE MALIK
Diterbitkan 8 Jan 2019



Ray Bradbury pernah menyebut: “Tidak perlu menghancurkan buku untuk meruntuhkan peradaban, sebaliknya hanya perlu untuk memastikan orang berhenti membaca, runtuhlah segala-galanya.”

Buya Hamka berpesan: “Membaca buku-buku yang baik bererti memberi makanan rohani yang baik.”

Ahli falsafah tersohor, Rene Descartes pernah menyatakan: “Membaca buku yang hebat ibarat mengadakan dialog dengan para cendekiawan yang cemerlang daripada masa lampau. Pemikiran mereka terus hidup dan berpengaruh sehingga kini. Penulis menuangkan gagasan mereka yang terbaik semata-mata.”


Perpustakaan Negara di Kuala Lumpur.


Kajian profil membaca rakyat Malaysia oleh Perpustakaan Negara pada tahun 2005 mendapati masyarakat kita hanya membaca dua naskhah buku setahun. Namun, dalam laporan kajian interim tabiat membaca rakyat Malaysia yang dibuat pada tahun 2014, jumlahnya meningkat kepada 15 naskhah. Sebenarnya, jumlah ini masih rendah jika dibandingkan dengan negara maju. Rakyat mereka membaca buku hampir 40 judul buku setahun.

Kadar celik huruf rakyat Malaysia pula telah hampir ke angka 94.94 peratus, mengikut laporan Adult and Youth Literacy National Regional and Global Trends 1985-2015 terbitan Unesco Institute for Statistics. Namun, secara purata rakyat Malaysia hanya membaca 15 hingga 20 buku setahun. Jika dibandingkan dengan jumlah penduduk negara, kadar literasi rakyat negara ini masih jauh ketinggalan.

Kajian The World’s Most Literate Nation yang dilakukan oleh Central Connecticut State University Amerika Syarikat pada tahun 2016 pula meletakkan Malaysia pada kedudukan yang ke-53 jauh di belakang negara jiran Singapura yang berada di tangga ke-36. Tinjauan tentang tabiat literasi di lebih 60 buah negara di dunia itu mengisytiharkan negara Nordic (Finland, Norway, Iceland, Denmark dan Sweden) sebagai the most literate nations di dunia.

Penerbitan buku pula telah digunakan oleh Unesco sebagai satu daripada kriteria taraf negara maju dengan jumlah penerbitan yang ditetapkan sebanyak satu peratus bagi setiap juta penduduknya. Di Malaysia, kerajaan sedang dalam perancangan untuk menyasarkan penerbitan negara mencapai 31,700 judul setahun menjelang 2020, berbanding 19,713 judul pada tahun 2017.



Pengiktirafan Unesco kepada Malaysia sebagai Kota Buku Dunia 2020 dengan slogan KL Baca — Caring Through Reading sangat bermakna dan seiring dengan hasrat kerajaan untuk menjadikan negara ini sebagai negara membaca pada tahun 2030. Bandar raya yang dipilih sebagai Ibu kota buku dunia oleh Unesco perlu berusaha untuk mempromosikan buku dan pembacaan serta menganjurkan aktiviti sepanjang tahun. Tahun sambutan akan bermula pada 23 April 2020, pada Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia.


Daripada beberapa senario yang saya kongsikan tadi, kita sedar bahawa perjalanan kita ini masih panjang dan memerlukan usaha yang berterusan. Kita perlu menggembleng tenaga dan berganding bahu, biar "lambat laga asalkan menang", maksudnya biar lambat asalkan maksud kita tercapai.

Negara maju tidak akan wujud sekiranya tidak mempunyai generasi muda yang bersahsiah mulia, berfikiran matang dan mempunyai ilmu pengetahuan yang tinggi; dan ciri-ciri ini tidak lain tidak bukan mesti lahir hanya melalui membaca.

Oleh itu, Kementerian Pendidikan berhasrat untuk menjadikan rentang masa sepuluh tahun, iaitu daripada tahun 2021 hingga tahun 2030 sebagai Dekad Membaca Kebangsaan atau ringkasnya DMK. Kita mahu menjadikan Malaysia sebagai Negara Membaca 2030.

Didukung oleh falsafah untuk membentuk masyarakat berilmu bertaraf dunia dengan fokus membaca untuk pengetahuan dan pembudayaan amalan membaca, Kempen Dekad Membaca Kebangsaan digerakkan dengan tujuan: (1) Meningkatkan tabiat membaca untuk tujuan rekreasi dan literasi ilmu bagi melahirkan masyarakat yang berfikiran kritis, (2) memupuk minat membaca serta menyokong pembelajaran sepanjang hayat ke arah mewujudkan masyarakat berbudaya membaca dan cintakan ilmu, (3) mencambahkan tradisi keilmuan dan wacana intelektual dalam kalangan masyarakat.

Slogan dan tagar #MalaysiaMembaca pula dipilih dan mesti dipopularkan agar aspirasi menjadikan Malaysia sebagai negara membaca dan melahirkan masyarakat berilmu bertaraf dunia senantiasa menyelinap dalam sanubari dan denyut nadi masyarakat.

Dari segi program untuk mengisi dan merancakkan dekad bahasa kebangsaan, antara perancangan akitiviti utama yang perlu dilaksanakan termasuklah:

1. Program aktiviti membaca kebangsaan. Antaranya, gerakan membaca seluruh negara; kempen membaca di sekolah, di rumah, kempen membaca kepada golongan kelainan upaya, gelandangan, warga emas dan lain-lain. Selain itu akan diwujudkan juga duta #malaysiamembaca, program satu keluarga satu perpustakaan, satu komuniti satu perpustakaan dan lain-lain lagi.

2. Pembangunan prasarana aktiviti membaca, antaranya seperti pasar buku, lorong e-buku, akademi kota buku, muzium bahasa dan persuratan Melayu.

3. Pesta buku sebagai destinasi perbukuan masyarakat, melalui penganjuran acara ini di pelbagai peringkat kebangsaan, antarabangsa, sektor, negeri dan sebagainya.

4. Pembangunan pembacaan dalam kalangan remaja dan kanak-kanak, antaranya melalui pelbagai program penataran bakat calon penulis baharu dalam pelbagai peringkat umur dengan tujuan untuk memperkaya bahan kesusasteraan kanak-kanak dan remaja.

5. Capaian buku digital atau e-buku: bagi memudahkan akses kepada kandungan untuk kegunaan orang ramai dan menyokong gaya hidup dan komuniti pintar abad ke-21, pelbagai program capaian digital dan e-buku dirancang seperti perpustakaan ubiquitous (u-pustaka), zon e-buku percuma, majalah digital, perpustakaan buku audio dan Braille.

6. Pendidikan sepanjang hayat: program pendidikan yang dapat meningkatkan kehidupan insan melalui peningkatan kemahiran kerja, penambahbaikan sahsiah diri dan peningkatan ilmu, antaranya, program literasi media dan maklumat, kem belia membaca, pembacaan sebagai sasaran kerja tahunan (skt) kepada semua penjawat awam.

Hasrat kerajaan untuk memupuk tabiat membaca dalam kalangan masyarakat memerlukan komitmen yang tinggi dan berterusan serta sumber bersepadu yang merentas pelbagai sektor dan segala penggiat literasi di negara ini.

Dengan adanya kesedaran dan kesatuan usaha ini, akan terjalinlah jaringan literasi dan sekali gus akan muncullah kolaborasi sesama kita untuk menggalas tanggungjawab memandaikan dan mencerdaskan anak bangsa, sekali gus meninggikan harakat peradaban bangsa.

Sudah sampai masanya untuk kita menjadikan negara Malaysia sebagai negara membaca. Dan tahun 2019 ini ialah tahun kita harus bermula.



MASZLEE MALIK bertugas sebagai menteri pendidikan.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

malaysiakini


8 Jan 2019

Adiwira Guru Cikgu Mohd Zakuan

Adiwira Guru Cikgu  Mohd Zakuan

Temerloh- Pengorbanan seorang guru memang luar biasa.Kita biasa membaca kisah pelajar mengambil peperiksaan di Hospital, tapi jarang-jarang guru mengajar di Hospital.

Kisah Pengorbanan Cikgu Mohd Zakuan bin Yusof 49 tahun boleh dipuji. Beliau mengajar subjek Ekonomi dan perniagaan di Sekolah Menengah Agama Chenor.

Beliau tiba-tiba jatuh sakit disyaki bahagian saraf tunjangnya ada masalah dan sekarang sedang dirawat di Hospital Temerloh.

Bayangkan disaat anak murid beliau yang sedang menghadapi peperiksaan SPM perlukan bimbingan , tentu tidak mudah untuknya membiarkan.

Pengorbanan memang patut dipuji, dalam keadaan sakit terbaring beliau memberikan kuliah kepada pelajarnya. Pelajarnya tekun mengambil nota. Pelajar daripada dua kelasnya datang bergilir-gilir ke Hohas.

Moga Allah mencatatkan pengorbanannya sebagai ilmu-ilmu yang memberi manafat kepadanya dan diberikan kejayaan kepada pelajar-pelajarnya.




Dari fb chenor kita wehh

adiwira guru cikgu mohd nasir

Sekarang darjah 3 memang dia tak rasa malu” - Guru sebak murid jalan seret kaki, pakai seluar besar ‘bekas’ abang

Jumaat, 4 Januari 2019
SOFEA SUSAN ALBERT KASSIM


SEBAK.Itulah perasaan seorang guru apabila ternampak seorang murid tetap bersemangat hadir ke sekolah meskipun terpaksa berjalan dalam keadaan menyeret kasut sekolah sambil sebelah tangannya lagi memegang seluar sekolah yang sudah lusuh.

Keadaan pelik budak lelaki darjah tiga di sebuah sekolah rendah di Sungai Petani, Kedah itu disedari Mohd Nasir Mohd Zain yang mengajar di sekolah tersebut pada hari ketiga sesi persekolahan 2019 bermula Selasa lalu.

"Saya tengok dia dari jauh, dia jalan tak angkat kaki dan tangan dia pegang seluar. Saya pun panggil dia dan pergi dekat dia.

"Saya tanya kenapa jalan macam ni. Dia kata saya tak boleh angkat kaki sebab kasut besar, ustaz.

Saya cuba angkat Masya Allah, saya sebak.

"Saiz kasut dia terlalu besar. Kalau besar sikit-sikit dia mungkin boleh jalan elok-elok tapi kasut dia memang besar, saya ingat tiga jari boleh masuk," katanya ketika dihubungi

Menurut Mohd Nasir yang mengajar subjek Pendidikan Islam di sekolah tersebut, seluar yang dipakai kanak-kanak itu juga terlalu besar dan sudah lusuh.


Cikgu Mohd Nasir membawa kanak-kanak tersebut membeli baju, seluar dan kasut sekolah baharu pada Khamis. Foto ihsan Mohd Nasir.

"Saya tengok seluar dia pun besar sangat sampai dia kena sangkutkan cangkuk di bahagian tali tempat letak tali pinggang.

"Dia pakai seluar abang dia yang darjah enam tahun lepas. Saya kenal abang dia, sekarang dah tingkatan satu.

"Dulu saya selalu tanya abang dia bawa duit ke tak ke sekolah? Dia kata bawa RM1, saya pun 'top up' seringgit dua.

"Kadang-kadang bawa lima kupang (50 sen), kadang-kadang tak bawa duit langsung. Kehidupan mereka sekeluarga tahun lepas saya boleh kata susah tapi tahun ni lagi susah," katanya.

Tanpa berfikir panjang, Mohd Nasir berkata dia meminta izin daripada guru besar sekolah tersebut untuk membawa kanak-kanak yang mempunyai empat adik-beradik itu pergi membeli baju dan kasut sekolah baharu.

"Saya pergi pejabat minta izin dengan guru besar untuk bawa dia keluar nak beli semua baharu. Dia (guru besar) bagi tulis nama, izinkan bawa keluar.

"Saya panggil dia dan terus bawa ke Kepala Batas. Saya belikan dia semua yang baharu. Dalam kereta saya tengok dia senyum, dia gembira," katanya.

Mohd Nasir berkata dia terpanggil untuk membantu kanak-kanak itu kerana tidak mahu dia tidak hadir ke sekolah kerana kedaifannya.


Cikgu Nasir kagum dengan semangat kental ditunjukkan kanak-kanak tersebut yang tidak malu ke sekolah dengan keadaan demikian.

"Saya fikir kalau kita tak ambil tindakan, kita abaikan dia, bila dia naik darjah 4, 5, 6 dia dah ada perasaan malu. Jadi bila dia malu dia takkan pergi sekolah. Bila tak pergi sekolah masa depan dia hancur.

"Itu yang saya fikir. Sekarang bila darjah tiga memang dia tak ada perasaan malu kalau kawan-kawan ejek dia. Tapi bila usia dia dah makin meningkat dia dah tahu erti malu.

"Masalah remaja sekarang bila tak pergi sekolah hancur dengan dadah dan macam-macam lagilah.

Jadi ini yang saya lakukan untuk bagi semangat dia mahu terus ke sekolah," katanya yang menyifatkan kanak-kanak itu sebagai seorang yang rajin dan berdisiplin di sekolah.

Sementara itu, Mohd Nasir turut kesal dengan dakwaan segelintir individu yang menganggap dia sengaja memuat naik posting di Facebooknya untuk menunjuk-nunjuk.

"Saya bukan riak ataupun jauh sekali mahu menunjuk-nunjuk. Saya hanya mahu semangat kental kanak-kanak ini menjadi inspirasi kepada orang lain.

"Saya sendiri pun tunjuk video yang saya ambil dekat anak-anak saya. Saya beritahu ini anak murid abah, walaupun kedaaan macam ni dia sanggup pergi sekolah. Kalau anak abah hangpa tak pergi sekolah dah sebab malu.


Kanak-kanak itu gembira mendapat baju, seluar dan kasut baharu

"Saya pun mengajar hampir 20 tahun, dah banyak kali jumpa mereka yang susah dan miskin tapi bagi saya kes ini istimewa sikit. Dek kerana kasut, dia memang tak boleh angkat kaki, angkat kaki kasut dia akan tercabut dari kaki," katanya.

Pada masa sama, Mohd Nasir berkata dia berhasrat untuk menjadikan kanak-kanak tersebut sebagai anak angkatnya.

"Ramai yang PM (private message) saya minta nombor akaun nak bantu, saya cakap tak apa. Saya akan selesaikan perkara ini. Saya dah bincang dengan kawan saya, Insya-Allah saya akan ambil dia jadi anak angkat.

"Mungkin segala perbelanjaan dia saya akan tanggung. Saya pun Allah bagi rezeki lebih, jadi tak salah berkongsi rezeki dengan mereka yang kurang berkemampuan sebab konsep hidup saya, saya mahu membahagiakan seramai mungkin orang," katanya.

Posting Mohd Nasir menjadi tular di media sosial sejak Khamis dan mendapat lebih 4,000 tanda suka dan dikongsi lebih 1,500 kali di Facebook.

mstar

Dari Facebook Mohd Nasir Mohd Zain



7 Jan 2019

berburu ke padang datar

Berburu Ke Padang Datar*

Tuan-tuan dan Puan-puan
Cikgu-cikgu yang sangat berjasa

Izin saya membuka bicara
Dengan mengangkat jari sepuluh
Mohon ampun dan maaf kepada semua
Jika terkurang apa lagi banyak celanya
Anjuran dan sambutan yang kami sedia
Inilah pertama kali dalam sejarah organisasi
Kami mengelola mengendali program begini besar
Kehadiran dan ketibaan cikgu-cikgu
Dari pelusuk jauh dari sudut negeri berbeza-beza
Tanda sokongan dan dukungan
Yang besar makna dan kesannya di hati kami

Terima kasih kepada Cikgu Zahari, Pengarah Negeri
Bermukim di sini bersama kami
Dan sanggup pula berucap kepada khalayak pagi ini
Besar sungguh apungan budi
Tak terbalas oleh kata dan puji
Allah juga balasnya segala bakti

Terima kasih juga buat pembicara utama
Jauh datang di sini kita bersua muka
Berkongsi takungan ilmu membugar bistari akal
Sangat besar harganya buat profesor
Berpayah dan sanggup menjadi pemakalah utama

Terima kasih kepada seluruh khayalak
Pemakalah yang datang dari pelusuk negeri
Bukan senang untuk tiba ke mari
Tetapi demi ilmu dan masa depan pertiwi
Semuanya selangkah menyusun gerak
Berkongsi pengalaman berkongsi kebijakan
Termasuk pameran dan poster terhias indah
Bukan kerja mudah untuk menyiapkan segala
Tetapi di sini di medan kecil kami
Tuan-tuan dan puan-puan berpayah datang
Demikian besarnya bakti guru



Saya juga menyusun jari
Terima kasih kepada Majlis Guru Besar (MGB) Machang dan
Majlis Pengetua (MPSM) Machang
Tidak jemu menjadi rakan kongsi
Menyediakan guru-guru sebagai peserta
Malah ada yang menjadi pembicara pameran dan poster
Bangga saya dengan hadir tuan puan
Dari tanah Machang turut membentang kata
Inilah perkongsian terlalu manis menjadi kenang
Terima kasih kepada semua cikgu-cikgu sekolah dan cikgu-cikgu pegawai
Bersama dalam majlis ini
Terima kasih 239 orang peserta yang hadir pada hari ini

Melangkah Ke Hadapan
Menjadi tema kolokium ini
Tanda bersama kita bergerak
Menuju titik jaya menongkah arus masa
Untuk melaksana tranformasi
Melihat ia berbekas dan menjadi tanda menjadi
Kolaborasi, muafakat, dan kepimpinan
Bergabung untuk masa depan
Menolak kurang yakin memaut pembaharuan minda
Segalanya akan memberi hasil tersendiri

Bukan mudah kerja mendidik
Dikias dalam pantun melayu lama
Berburu ke padang datar
Dapat rusa berbelelang kaki
Berguru kepalang ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi

Amat menakutkan impak sebuah kegagalan
Satu generasi tumbang tanpa tuju dan pedoman
Hanya kerana gagal didik sang guru
Atau kerana guru silap berbagi ilmu
Atau silap menekuni proses didik bimbing
Di ruang kecil bilik darjah

Mendidik memerlukan ketekunan yang tinggi
Bukan mudah berhadapan dengan murid di bilik darjah
Guru bukan sekadar membancuh ilmu buat mereka
Guru turut memain peranan yang berbeza-beza
Sahabat, ibu, bapa, penasihat, pemudahcara
Ada ketikanya harus menjadi kekasih yang setia
Menajamkan cinta insan penuh jujur dan mengerti
Inilah tukang ilmu yang saban ketika mendepani
Karenah dan warna manusia
Memujuk jiwa untuk merasa yakin pada masa depan
Memberi nasihat agar tahu jalan tuju
Menegur dengan tulus
Menangis dan ketawa demi membina manusia
Inilah guru begitu sukar dan rencam tugasnya
Mengelak bunga kembang tak jadi

Kolokium ini adalah bahagian kecil dari tugas guru
Menemukan para pendidik dari seluruh pelusuk negeri
Berbincang dan berkolaborasi
Berkongsi dan saling memberi fikir
Untuk menjadikan segala kerja dan tugas
Berhasil dan memberi bekas
Terutama dalam meningkatkan kualiti guru
Serta kemenjadian murid di bilik darjah
Mendidik bermula dari proses sebegini
Memastikan segala yang dibancuh
Dalam mangkuk ilmu benar memberi zat dan kehebatan
Kepada minda, emosi , kerohanian dan fizikal murid

Adalah diharapkan perkongsian dan pertemuan
Yang kita mulakan pada hari ini
Akan membuahkan semangat dan nafas berani
Untuk bersama kita gerakkan transformasi besar ini
Melangkah Ke Hadapan
Untuk kita susun segala usaha murni
Membina generasi demi negara tercinta
Bermula di ruang kecil di sekolah-sekolah
Bilik darjahlah bermula langkah transformasi



Aduhai guru yang dimuliakan
Kita sudah memilih kerjaya ini
Berat dan payah perlu bersama kita bawa
Dengan pelbagai peranan kita perlu laksana
Kita berhadapan dengan manusia
Yang terbeban oleh kejahilan ilmu
Yang terbenam oleh jaringan kejiwaan
Kitalah yang menjahit layar keyakinan
Menetas baju harapan buat mereka
Kita ajarkan mereka berjalan dan berlari
Mendaki dan menuruni lurah perjuangan
Bermula dari melukis garis
Sehingga menjadi pandai mengadun formula
Gurulah segala pemberi yang setia
Di ruang kecil bilik darjah
Tanpa guru insan ini akan terbeban oleh kejahilan
Akan terbenam dalam kekuakhitan masa depan
Kita harus bangga
Bahawa kita menjadi bahagian penting
Dari sejarah hidup seseorang insan

Sebelum menutup kalam
Terima kasih kepada semua yang terlibat
Dalam acara pada hari ini
Semoga kita semua dalam rahmat dan pedoman
Allah azza wajalla
Semoga kolokium ini bermula dan berakhir penuh rahmat dan keberkatan
Berupaya menjadi cetus ilham dan suara fikir pendidik semua
Marilah kita tekadkan azam di jiwa
Kita sama-sama beriltizam menjadi pendidik yang berjaya
Di depan kita tak akan ada bunga layu

Sekian terima kasih

*Teks Ucapan  Pegawai Pendidikan Daerah Machang. di Majlis Perasmian Kolokium Pendidikan Kebangsaan 2018 bertempat di PPD Machang pada 1 Disember 2018

6 Jan 2019

guruku yang cantik

Guru kacukan Arab, Siam curi tumpuan



GURU penyelaras tahun satu, Nor Shahifa Norlan, 26, yang menjadi tumpuan murid di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Isap di Kuantan, Pahang hari ini. -UTUSAN ONLINE

Mohamad Shofi Mat Isa
02 Januari 2019 


KUANTAN 2 Jan. - Senyuman yang tidak lekang di bibir khususnya apabila disapa membuatkan seorang guru wanita berdarah kacukan Arab dan Siam disenangi murid-murid tahun satu Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Isap di sini yang memulakan sesi persekolahan hari ini.

Setiap kali disapa, Nor Shahifa Norlan, 26, pastinya melemparkan senyuman dan melayan kerenah murid terlibat dengan sabar membuatkannya mudah didekati mereka walaupun baru pertama kali bertemunya.


Guru yang masih bujang dan berasal dari Kota Bharu, Kelantan itu berkata, sebagai guru penyelaras tahun satu, dia sedikit sibuk pada hari pertama pendaftaran persekolahan namun tugas itu digalas dengan baik dan penuh rasa tanggungjawab.

“Sudah tiga tahun saya bertanggungjawab menguruskan murid yang baru memasuki alam persekolahan dan ia sedikit mencabar kerana mereka memerlukan perhatian khusus.

“Namun, saya tetap gembira melayan kerenah mereka dan cuba yang terbaik untuk menguruskan mereka terutama pada hari pertama persekolahan,” katanya ketika ditemui pemberita di SK Sungai Isap di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE


utusanonline









5 Jan 2019

ucapan tahun baru

ucapan tahun baru



mereka menulis ucapan tahun baru
di kuku-kuku senja
sebelum malam menyimpannya
di bawah sayap gelap
hujan malam itu membawa segala
pagi ini hanya beberapa helai bulu kecil
tersangkut di reranting

18 Dec 2018

pemergian seorang adib


Pemergian Adib ditangisi ramai

Nor Azizah Mokhtar
cnews@nstp.com.my



PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menzahirkan rasa sedih dengan berita kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim yang meninggal dunia ketika dirawat di Institut Jantung Negara (IJN) pada 9.41 malam tadi.

Melalui laman Twitter rasminya, @chedetofficial, beliau turut mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham.

“Innalillahiwa innailaihi rajiun.. Saya amat sedih menerima berita ini. Semoga roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan golongan yang beriman.

“Takziah kepada keluarga Allahyarham Muhammad Adib atas pemergian beliau,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail juga turut berkongsi kesedihan melalui laman Twitternya, @drwanazizah.

“Innalillahi wa’inna ilaihi raji’un. Saya cukup hiba mendengar pemergian saudara Muhammad Adib. Takziah diucapkan buat keluarga, sahabat handai dan seluruh warga bomba.

“Saya doakan agar roh beliau dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang soleh. Al-fatihah,” kata beliau.

Ucapan takziah dan rasa sedih turut dikongsikan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak selepas mengetahui berita kematian Muhammad Adib menerusi satu sesi ‘live’ di media sosial.

“Saya berasa amat sedih. Selepas sesi live tadi saya dimaklumkan bahawa anggota bomba kita Muhammad Adib Mohd Kassim telah pulang ke rahmatullah.

“Takziah kepada keluarga Allahyarham dan semoga roh ditempatkan di kalangan mereka yang beriman. Al-Fatihah,” kata beliau menerusi laman Twitternya.

Sementara itu, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari dalam satu kenyataan, turut menzahirkan rasa duka cita dengan berita itu dan berharap Polis Diraja Malaysia (PDRM) membawa pelakunya ke muka pengadilan.

“Saya mengulangi keyakinan akan kemampuan PDRM dan Jabatan Peguam Negara untuk menyempurnakan siasatan terhadap kes ini.

“Sekiranya terbukti wujudnya elemen jenayah maka saya berharap penjenayah terbabit akan segera dibawa ke muka pengadilan dan dihukum sekeras-kerasnya atas tindakan yang tidak berperikemanusiaan ini.,” kata beliau.

Turut berkongsi pendapat sama adalah Mufti Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri mahu pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap pelaku yang menyebabkan Muhammad Adib cedera dalam kejadian itu.

“Hari ini adalah hari berduka bagi seluruh rakyat Malaysia. Kami menuntut supaya tragedi ini tidak tamat di sini sahaja.

“Ianya patut diselesaikan secepat mungkin oleh pihak berwajib dengan seadil-adilnya,” kata beliau di Twitter.

Dalam pada itu, ribuan netizen melalui laman Facebook dan Twitter turut mengucapkan takziah dan memberikan kata-kata semangat kepada keluarga Muhammad Adib selain berkongsi kesedihan masing-masing dengan berita mengejutkan itu.

metro


Mahathir, Wan Azizah ucap takziah pemergian Muhammad Adib
18 DISEMBER 2018


KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau amat sedih atas pemergian anggota bomba Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim di Institut Jantung Negara (IJN) di sini malam ini dan mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham.

“Innalillahi wainna ilaihi rajiun. Saya amat sedih menerima berita ini. Semoga roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan golongan yang beriman.

“Takziah kepada keluarga Allahyarham atas pemergian beliau. Al-Fatihah,” kata Dr Mahathir dalam catatan di akaun Twitternya.

Muhammad Adib, 24, cedera parah susulan rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November lalu ketika bertugas dalam operasi memadam kebakaran di hadapan premis berkenaan.

Allahyarham meninggal dunia pada 9.41 malam ini.

Perasaan hiba turut dikongsi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang menyifatkan Muhammad Adib sebagai wira.

Beliau menegaskan adalah penting buat masa ini untuk seluruh rakyat Malaysia bersatu hati mengecam perbuatan jenayah yang menjurus kepada kematian Allahyarham.

"Kita harus ingat bahawa ini bukan isu agama mahupun soal perkauman akan tetapi merupakan perbuatan jenayah yang dilakukan penjenayah yang tidak berperikemanusiaan," katanya dalam satu kenyataan.

Dr Wan Azizah turut mengingatkan rakyat Malaysia agar tetap tenang dan tidak bertindak mengikut emosi.

"Seluruh rakyat Malaysia berkabung kerana jenayah kejam ini tetapi biarlah proses undang-undang berjalan dengan lancar," kata timbalan perdana menteri yang turut mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang soleh.

Takziah diucapkan buat keluarga termasuk tunang Allahyarham, sahabat handai dan seluruh warga bomba," katanya sambil menjanjikan keadilan pasti terbela dalam kes kematian anggota bomba itu.

Turut meluahkan perasaan sedih atas kematian Muhammad Adib ialah beberapa anggota kabinet termasuk Menteri Kewangan Lim Guan Eng, Menteri Pertahanan Mohamad Sabu, Menteri Wilayah Khalid Abdul Samad, Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik dan Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah.

Perasaan sama turut dikongsi Menteri Sumber Manusia M. Kula Segaran, Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr A. Xavier Jayakumar dan Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Pada Ahad, IJN dalam kenyataan menjelaskan keadaan kesihatan Muhammad Adib semakin merosot dan fungsi paru-parunya mengalami penurunan beransur-ansur.

Berita pemergian Allahyarham disahkan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin​​​​​​. - Bernama

sinarharian

3 Dec 2018

terima kasih cikgu

MASZLEE (kanan) ketika bertemu Norlisman di Bilik Kunjungan, Bangunan Sementara Parlimen, Khamis lalu. - NSTP/Mohd Yusni Ariffin


'Terima kasih pakcik'
Oleh Veena Rusli


KUALA LUMPUR: Dr Maszlee Malik sukar menahan air mata yang bergenang sambil menatap wajah insan yang menunjangi jati dirinya sejak 36 tahun lalu.

Pertemuan eksklusif Menteri Pendidikan itu bersama Norlisman Abu, 65, di bangunan Parlimen pada Khamis lalu, merakam sejarah tersendiri buat kedua-duanya, selain turut menjadi satu lagi catatan bermakna buat akhbar ini.

Pada 10 Ogos 1982, Norlisman yang bertugas sebagai posmen, terbabit dalam kemalangan di selekoh laluan berhampiran Jalan Parlimen dalam keadaan hujan renyai.

Ketika membrek motosikal bagi mengelak daripada merempuh kereta di hadapan, beliau tercampak ke jalan raya dan cedera parah di kepala.

Dalam keadaan darah mengalir membasahi muka, Norlisman sempat mencapai kunci motosikal bagi membuka peti menyimpan surat dan mencapai beberapa keping surat berdaftar yang sepatutnya dihantar pada hari itu.

“Saya tak ingat sangat siapa yang menghantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL), tapi yang pasti saya dakap erat semua surat berdaftar itu, habis berdarah semuanya.



PERTEMUAN Maszlee bersama Norlisman kira-kira sejam di bangunan Parlimen pada Khamis lalu. - NSTP/Mohd Yusni Ariffin

“Kebetulan masa saya sampai di Wad Kecemasan HKL, ada wartawan dan jurugambar akhbar yang berada di situ kerana tugasan lain.

“Mereka nampak saya diusung sambil memeluk surat berdaftar, keluarlah gambar dan berita saya dalam BH dan New Straits Times (NST) esoknya,” katanya.

Apa kaitan kisah Norlisman dengan Menteri Pendidikan itu?

Maszlee mendedahkan bagaimana kisah posmen jujur itu kerap diceritakan bekas guru besar Sekolah Kebangsaan Temenggong Abdul Rahman 2 (STAR 2), Johor Bahru, Ho Peng Seng, ketika perhimpunan.

“Saya tinggal bersama datuk ketika kecil dan membesar membaca akhbar BH. Saya ingat kisah pakcik Norlisman kerana ia berbeza dengan berita kemalangan yang biasa dibaca.

“Berita dalam BH itu memaparkan sikap amanah pakcik Norlisman, bukannya cerita kemalangan semata-mata. Saya betul-betul kagum dan gambar beliau yang disiarkan itu melekat di ingatan sepanjang kehidupan.


MASZLEE mendakap Norlisman pada pertemuan eksklusif di bangunan Parlimen pada Khamis lalu. - NSTP/Mohd Yusni Ariffin

“Apabila guru besar turut bercerita kisah posmen jujur yang memeluk surat berdaftar walaupun dalam keadaan luka akibat kemalangan, saya rasa teruja... seolah-olah ada yang menghubungkan kami.

“Ingatan paling utama ialah pentingnya kita memiliki amanah dan integriti dalam apa juga yang dilakukan dan pakcik Norlisman menjadi teladan terbaik buat saya,” katanya.

Terharu bertemu idola

Sesekali mengesat air mata kerana terharu dapat bertentang mata dengan idolanya, Maszlee menelefon Norlisman selepas mendapat nombornya daripada anak pesara Pos Malaysia Berhad itu.

Panggilan telefon daripada seorang menteri diakui pesara itu hampir membuatnya kehilangan kata-kata, namun pantas ditangkis Maszlee yang spontan mencapai dan menggenggam tangan Nurlisman.

“Jangan macam tu pakcik. Saya yang patut menghargai, yang patut berterima kasih kerana secara tidak langsung pakcik mendidik saya dengan nilai paling mulia iaitu amanah hingga hari ini,” katanya.

Maszlee berkata, liputan berbeza BH mengenai kejadian itu banyak mencorakkan keperibadiannya, selain mengakui laras bahasa tinggi akhbar berkenaan membantu dalam bidang akademik dan selepas melangkah ke alam pekerjaan.



MASZLEE mendengar cerita Norlisman yang menjadi inspirasi kepada beliau ketika masih di bangku sekolah. - NSTP/Mohd Yusni Ariffin

Katanya, laporan positif sedemikian berupaya membantu mencorakkan pemikiran masyarakat supaya menempatkan nilai murni di tempat sewajarnya.

Kemalangan itu menyebabkan Norlisman dirawat di HKL empat hari tiga malam dan mendapat 14 jahitan. Apa kesudahan surat berdaftar yang didakap erat itu?

“Saya simpan dalam sarung bantal. Saya tak kasi doktor atau misi (jururawat) usik. Itu amanah. Surat berdaftar boleh jadi ada duit, ada dokumen, ada jam... itu amanah Allah buat saya.

“Apabila ketua saya datang melawat di HKL, barulah saya lepaskan surat itu. Kawan saya yang mengganti tugas menghantar surat berkenaan ada bercerita, mulanya penerima marah sebab tengok surat ada kesan darah.

“Apabila dimaklumkan saya kemalangan dan simpan surat sampailah ketua datang, orang tu tak jadi marah, malah simpati pula dengan saya,” katanya.

Kejujuran Norlisman itu mendapat perhatian umum, termasuk Perdana Menteri pada waktu itu, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad (kini Tun) yang mengirim surat penghargaan, sejambak bunga dan buah-buahan.

Kebetulan juga, kerajaan ketika itu baru melancarkan kempen ‘Bersih, Cekap, Amanah’ sebagai dasar utama pentadbiran - bertepatan dengan apa yang dilakukan Norlisman.



MASZLEE menyampaikan cenderahati kepada Norlisman. - NSTP/Mohd Yusni Ariffin

Di akhir pertemuan kira-kira sejam itu, Norlisman yang bersara pada 2006, sekali lagi membuatkan Maszlee gagal menyeka air mata.

“Sejujurnya, saya tidak pernah bermimpi untuk bertemu seorang menteri seperti ini. Saya cuma seorang posmen yang menjalankan tugasnya dan jika ada yang menjadikan peristiwa itu sebagai inspirasi, ia semua milik Allah,” katanya.

Dalam nada penuh hormat, Maszlee membalas:

“Pakcik mungkin tidak tahu tapi apa yang pakcik lakukan itu mendidik masyarakat termasuk saya. Didikan itu membawa saya menjadi Menteri Pendidikan ke hari ini.

“Terima kasih banyak-banyak pakcik, dan terima kasih juga buat BH,” katanya.

linus berakhir

Program LINUS dihentikan mulai 2019
Oleh Fardy Bungga

KETUA Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Amin Senin berucap pada majlis Executive Talk Bersama Warga Pendidik Sabah di Kota Kinabalu, hari ini. - Foto Khairull Azry Bidin


KOTA KINABALU: Program Saringan Literasi dan Numerasi (LINUS) yang diperkenalkan Kementerian Pendidikan sejak 2009, akan dihentikan bermula tahun depan.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Amin Senin, bagaimanapun berkata, sekolah akan melaksanakan program sendiri mengikut kesesuaian bagi mengatasi masalah penguasaan kemahiran asas 3M iaitu membaca, mengira dan menulis dalam kalangan murid.

Katanya, pendekatan kementerian ketika ini adalah memberi peluang kepada pihak sekolah untuk mengenalpasti masalah yang dihadapi dan mencari jalan penyelesaiannya.

“Program LINUS tidak akan ada lagi (mulai tahun depan) tetapi program pada peringkat sekolah ada. Kegiatan untuk memastikan murid menguasai literasi dan numerasi peringkat sekolah akan tetap berlaku.

“Pendekatan sekarang, sama ada peringkat kementerian, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) akan memberi sokongan kepada program dirangka pihak sekolah masing-masing.

“Sehubungan itu, setiap sekolah perlu ada inisiatif sendiri merangka program masing-masing yang sesuai dengan keperluan murid di sekolah mereka,” katanya kepada media selepas majlis Executive Talk Bersama Warga Pendidik Sabah di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Amin berkata, langkah menghentikan LINUS antara lain kerana pihaknya tidak mahu lagi menyediakan ‘pakej’ atau modul sesuatu program dari atas ke bawah kementerian turun ke peringkat sekolah, sebaliknya sekolah melaksanakan program mengikut ‘acuan’ sendiri.

Program LINUS yang diperkenalkan pada Ogos 2009 adalah sebahagian daripada Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Pendidikan dalam Program Transformasi Kerajaan, bagi mengatasi masalah penguasaan kemahiran asas 3M dengan lebih sistematik.

Pelaksanaan Program LINUS mensasarkan 100 peratus murid Tahun Tiga menguasai kemahiran literasi dan numerasi sebelum naik ke Tahun Empat, kecuali Murid Berkeperluan Khas (MBK).

Mengenai keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang diumumkan semalam, beliau berkata, penekanan kepada penguasaan minimum dan pembelajaran berkonsepkan didik hibur (fun learning) membuktikan sistem pendidikan negara kini berada di landasan betul.

Tanpa menghuraikan keputusan peperiksaan itu secara terperinci, kata Amir, keputusan UPSR tahun ini mencapai sasaran dengan penurunan peratusan murid gagal dalam semua mata pelajaran (semua E), berbanding sebelumnya.

“Melalui kaedah ini jumlah murid (semua A) juga semakin meningkat, memberikan petanda yang baik. Sebenarnya kaedah ini menyelesaikan banyak masalah dihadapi sebelum ini.

“Kerisauan orang ramai adalah jumlah murid cemerlang akan menurun tetapi ternyata berlaku sebaliknya. Jumlah ‘straight E’ menurun manakala pencapaian ‘straight A’ meningkat dan itu membuktikan kita berada di landasan yang betul,” katanya.

Amin berkata, konsep yang diamalkan itu mendorong murid untuk lebih berinteraksi dan menggalakkan pembelajaran secara cergas, santai dan menarik.

bharian

STATUS

Search This Blog

DAUN