pemergian seorang adib


Pemergian Adib ditangisi ramai

Nor Azizah Mokhtar
cnews@nstp.com.my



PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menzahirkan rasa sedih dengan berita kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim yang meninggal dunia ketika dirawat di Institut Jantung Negara (IJN) pada 9.41 malam tadi.

Melalui laman Twitter rasminya, @chedetofficial, beliau turut mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham.

“Innalillahiwa innailaihi rajiun.. Saya amat sedih menerima berita ini. Semoga roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan golongan yang beriman.

“Takziah kepada keluarga Allahyarham Muhammad Adib atas pemergian beliau,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail juga turut berkongsi kesedihan melalui laman Twitternya, @drwanazizah.

“Innalillahi wa’inna ilaihi raji’un. Saya cukup hiba mendengar pemergian saudara Muhammad Adib. Takziah diucapkan buat keluarga, sahabat handai dan seluruh warga bomba.

“Saya doakan agar roh beliau dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang soleh. Al-fatihah,” kata beliau.

Ucapan takziah dan rasa sedih turut dikongsikan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak selepas mengetahui berita kematian Muhammad Adib menerusi satu sesi ‘live’ di media sosial.

“Saya berasa amat sedih. Selepas sesi live tadi saya dimaklumkan bahawa anggota bomba kita Muhammad Adib Mohd Kassim telah pulang ke rahmatullah.

“Takziah kepada keluarga Allahyarham dan semoga roh ditempatkan di kalangan mereka yang beriman. Al-Fatihah,” kata beliau menerusi laman Twitternya.

Sementara itu, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari dalam satu kenyataan, turut menzahirkan rasa duka cita dengan berita itu dan berharap Polis Diraja Malaysia (PDRM) membawa pelakunya ke muka pengadilan.

“Saya mengulangi keyakinan akan kemampuan PDRM dan Jabatan Peguam Negara untuk menyempurnakan siasatan terhadap kes ini.

“Sekiranya terbukti wujudnya elemen jenayah maka saya berharap penjenayah terbabit akan segera dibawa ke muka pengadilan dan dihukum sekeras-kerasnya atas tindakan yang tidak berperikemanusiaan ini.,” kata beliau.

Turut berkongsi pendapat sama adalah Mufti Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri mahu pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap pelaku yang menyebabkan Muhammad Adib cedera dalam kejadian itu.

“Hari ini adalah hari berduka bagi seluruh rakyat Malaysia. Kami menuntut supaya tragedi ini tidak tamat di sini sahaja.

“Ianya patut diselesaikan secepat mungkin oleh pihak berwajib dengan seadil-adilnya,” kata beliau di Twitter.

Dalam pada itu, ribuan netizen melalui laman Facebook dan Twitter turut mengucapkan takziah dan memberikan kata-kata semangat kepada keluarga Muhammad Adib selain berkongsi kesedihan masing-masing dengan berita mengejutkan itu.

metro


Mahathir, Wan Azizah ucap takziah pemergian Muhammad Adib
18 DISEMBER 2018


KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau amat sedih atas pemergian anggota bomba Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim di Institut Jantung Negara (IJN) di sini malam ini dan mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham.

“Innalillahi wainna ilaihi rajiun. Saya amat sedih menerima berita ini. Semoga roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan golongan yang beriman.

“Takziah kepada keluarga Allahyarham atas pemergian beliau. Al-Fatihah,” kata Dr Mahathir dalam catatan di akaun Twitternya.

Muhammad Adib, 24, cedera parah susulan rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November lalu ketika bertugas dalam operasi memadam kebakaran di hadapan premis berkenaan.

Allahyarham meninggal dunia pada 9.41 malam ini.

Perasaan hiba turut dikongsi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang menyifatkan Muhammad Adib sebagai wira.

Beliau menegaskan adalah penting buat masa ini untuk seluruh rakyat Malaysia bersatu hati mengecam perbuatan jenayah yang menjurus kepada kematian Allahyarham.

"Kita harus ingat bahawa ini bukan isu agama mahupun soal perkauman akan tetapi merupakan perbuatan jenayah yang dilakukan penjenayah yang tidak berperikemanusiaan," katanya dalam satu kenyataan.

Dr Wan Azizah turut mengingatkan rakyat Malaysia agar tetap tenang dan tidak bertindak mengikut emosi.

"Seluruh rakyat Malaysia berkabung kerana jenayah kejam ini tetapi biarlah proses undang-undang berjalan dengan lancar," kata timbalan perdana menteri yang turut mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang soleh.

Takziah diucapkan buat keluarga termasuk tunang Allahyarham, sahabat handai dan seluruh warga bomba," katanya sambil menjanjikan keadilan pasti terbela dalam kes kematian anggota bomba itu.

Turut meluahkan perasaan sedih atas kematian Muhammad Adib ialah beberapa anggota kabinet termasuk Menteri Kewangan Lim Guan Eng, Menteri Pertahanan Mohamad Sabu, Menteri Wilayah Khalid Abdul Samad, Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik dan Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah.

Perasaan sama turut dikongsi Menteri Sumber Manusia M. Kula Segaran, Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr A. Xavier Jayakumar dan Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Pada Ahad, IJN dalam kenyataan menjelaskan keadaan kesihatan Muhammad Adib semakin merosot dan fungsi paru-parunya mengalami penurunan beransur-ansur.

Berita pemergian Allahyarham disahkan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin​​​​​​. - Bernama

sinarharian

Comments