MASZLEE (kanan) ketika bertemu Norlisman di Bilik Kunjungan, Bangunan Sementara Parlimen, Khamis lalu. - NSTP/Mohd Yusni Ariffin
'Terima kasih pakcik'
Oleh Veena Rusli
KUALA LUMPUR: Dr Maszlee Malik sukar menahan air mata yang bergenang sambil menatap wajah insan yang menunjangi jati dirinya sejak 36 tahun lalu.
Pertemuan eksklusif Menteri Pendidikan itu bersama Norlisman Abu, 65, di bangunan Parlimen pada Khamis lalu, merakam sejarah tersendiri buat kedua-duanya, selain turut menjadi satu lagi catatan bermakna buat akhbar ini.
Pada 10 Ogos 1982, Norlisman yang bertugas sebagai posmen, terbabit dalam kemalangan di selekoh laluan berhampiran Jalan Parlimen dalam keadaan hujan renyai.
Ketika membrek motosikal bagi mengelak daripada merempuh kereta di hadapan, beliau tercampak ke jalan raya dan cedera parah di kepala.
Dalam keadaan darah mengalir membasahi muka, Norlisman sempat mencapai kunci motosikal bagi membuka peti menyimpan surat dan mencapai beberapa keping surat berdaftar yang sepatutnya dihantar pada hari itu.
“Saya tak ingat sangat siapa yang menghantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL), tapi yang pasti saya dakap erat semua surat berdaftar itu, habis berdarah semuanya.
PERTEMUAN Maszlee bersama Norlisman kira-kira sejam di bangunan Parlimen pada Khamis lalu. - NSTP/Mohd Yusni Ariffin
“Mereka nampak saya diusung sambil memeluk surat berdaftar, keluarlah gambar dan berita saya dalam BH dan New Straits Times (NST) esoknya,” katanya.
Apa kaitan kisah Norlisman dengan Menteri Pendidikan itu?
Maszlee mendedahkan bagaimana kisah posmen jujur itu kerap diceritakan bekas guru besar Sekolah Kebangsaan Temenggong Abdul Rahman 2 (STAR 2), Johor Bahru, Ho Peng Seng, ketika perhimpunan.
“Saya tinggal bersama datuk ketika kecil dan membesar membaca akhbar BH. Saya ingat kisah pakcik Norlisman kerana ia berbeza dengan berita kemalangan yang biasa dibaca.
“Berita dalam BH itu memaparkan sikap amanah pakcik Norlisman, bukannya cerita kemalangan semata-mata. Saya betul-betul kagum dan gambar beliau yang disiarkan itu melekat di ingatan sepanjang kehidupan.
MASZLEE mendakap Norlisman pada pertemuan eksklusif di bangunan Parlimen pada Khamis lalu. - NSTP/Mohd Yusni Ariffin
“Apabila guru besar turut bercerita kisah posmen jujur yang memeluk surat berdaftar walaupun dalam keadaan luka akibat kemalangan, saya rasa teruja... seolah-olah ada yang menghubungkan kami.
“Ingatan paling utama ialah pentingnya kita memiliki amanah dan integriti dalam apa juga yang dilakukan dan pakcik Norlisman menjadi teladan terbaik buat saya,” katanya.
Terharu bertemu idola
Sesekali mengesat air mata kerana terharu dapat bertentang mata dengan idolanya, Maszlee menelefon Norlisman selepas mendapat nombornya daripada anak pesara Pos Malaysia Berhad itu.
Panggilan telefon daripada seorang menteri diakui pesara itu hampir membuatnya kehilangan kata-kata, namun pantas ditangkis Maszlee yang spontan mencapai dan menggenggam tangan Nurlisman.
“Jangan macam tu pakcik. Saya yang patut menghargai, yang patut berterima kasih kerana secara tidak langsung pakcik mendidik saya dengan nilai paling mulia iaitu amanah hingga hari ini,” katanya.
Maszlee berkata, liputan berbeza BH mengenai kejadian itu banyak mencorakkan keperibadiannya, selain mengakui laras bahasa tinggi akhbar berkenaan membantu dalam bidang akademik dan selepas melangkah ke alam pekerjaan.
MASZLEE mendengar cerita Norlisman yang menjadi inspirasi kepada beliau ketika masih di bangku sekolah. - NSTP/Mohd Yusni Ariffin
Katanya, laporan positif sedemikian berupaya membantu mencorakkan pemikiran masyarakat supaya menempatkan nilai murni di tempat sewajarnya.
Kemalangan itu menyebabkan Norlisman dirawat di HKL empat hari tiga malam dan mendapat 14 jahitan. Apa kesudahan surat berdaftar yang didakap erat itu?
“Saya simpan dalam sarung bantal. Saya tak kasi doktor atau misi (jururawat) usik. Itu amanah. Surat berdaftar boleh jadi ada duit, ada dokumen, ada jam... itu amanah Allah buat saya.
“Apabila ketua saya datang melawat di HKL, barulah saya lepaskan surat itu. Kawan saya yang mengganti tugas menghantar surat berkenaan ada bercerita, mulanya penerima marah sebab tengok surat ada kesan darah.
“Apabila dimaklumkan saya kemalangan dan simpan surat sampailah ketua datang, orang tu tak jadi marah, malah simpati pula dengan saya,” katanya.
Kejujuran Norlisman itu mendapat perhatian umum, termasuk Perdana Menteri pada waktu itu, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad (kini Tun) yang mengirim surat penghargaan, sejambak bunga dan buah-buahan.
Kebetulan juga, kerajaan ketika itu baru melancarkan kempen ‘Bersih, Cekap, Amanah’ sebagai dasar utama pentadbiran - bertepatan dengan apa yang dilakukan Norlisman.
MASZLEE menyampaikan cenderahati kepada Norlisman. - NSTP/Mohd Yusni Ariffin
Di akhir pertemuan kira-kira sejam itu, Norlisman yang bersara pada 2006, sekali lagi membuatkan Maszlee gagal menyeka air mata.
“Sejujurnya, saya tidak pernah bermimpi untuk bertemu seorang menteri seperti ini. Saya cuma seorang posmen yang menjalankan tugasnya dan jika ada yang menjadikan peristiwa itu sebagai inspirasi, ia semua milik Allah,” katanya.
Dalam nada penuh hormat, Maszlee membalas:
“Pakcik mungkin tidak tahu tapi apa yang pakcik lakukan itu mendidik masyarakat termasuk saya. Didikan itu membawa saya menjadi Menteri Pendidikan ke hari ini.
“Terima kasih banyak-banyak pakcik, dan terima kasih juga buat BH,” katanya.
Comments
Post a Comment