10 Jan 2019

#MalaysiaMembaca

Bermulanya gerakan #MalaysiaMembaca
MASZLEE MALIK
Diterbitkan 8 Jan 2019



Ray Bradbury pernah menyebut: “Tidak perlu menghancurkan buku untuk meruntuhkan peradaban, sebaliknya hanya perlu untuk memastikan orang berhenti membaca, runtuhlah segala-galanya.”

Buya Hamka berpesan: “Membaca buku-buku yang baik bererti memberi makanan rohani yang baik.”

Ahli falsafah tersohor, Rene Descartes pernah menyatakan: “Membaca buku yang hebat ibarat mengadakan dialog dengan para cendekiawan yang cemerlang daripada masa lampau. Pemikiran mereka terus hidup dan berpengaruh sehingga kini. Penulis menuangkan gagasan mereka yang terbaik semata-mata.”


Perpustakaan Negara di Kuala Lumpur.


Kajian profil membaca rakyat Malaysia oleh Perpustakaan Negara pada tahun 2005 mendapati masyarakat kita hanya membaca dua naskhah buku setahun. Namun, dalam laporan kajian interim tabiat membaca rakyat Malaysia yang dibuat pada tahun 2014, jumlahnya meningkat kepada 15 naskhah. Sebenarnya, jumlah ini masih rendah jika dibandingkan dengan negara maju. Rakyat mereka membaca buku hampir 40 judul buku setahun.

Kadar celik huruf rakyat Malaysia pula telah hampir ke angka 94.94 peratus, mengikut laporan Adult and Youth Literacy National Regional and Global Trends 1985-2015 terbitan Unesco Institute for Statistics. Namun, secara purata rakyat Malaysia hanya membaca 15 hingga 20 buku setahun. Jika dibandingkan dengan jumlah penduduk negara, kadar literasi rakyat negara ini masih jauh ketinggalan.

Kajian The World’s Most Literate Nation yang dilakukan oleh Central Connecticut State University Amerika Syarikat pada tahun 2016 pula meletakkan Malaysia pada kedudukan yang ke-53 jauh di belakang negara jiran Singapura yang berada di tangga ke-36. Tinjauan tentang tabiat literasi di lebih 60 buah negara di dunia itu mengisytiharkan negara Nordic (Finland, Norway, Iceland, Denmark dan Sweden) sebagai the most literate nations di dunia.

Penerbitan buku pula telah digunakan oleh Unesco sebagai satu daripada kriteria taraf negara maju dengan jumlah penerbitan yang ditetapkan sebanyak satu peratus bagi setiap juta penduduknya. Di Malaysia, kerajaan sedang dalam perancangan untuk menyasarkan penerbitan negara mencapai 31,700 judul setahun menjelang 2020, berbanding 19,713 judul pada tahun 2017.



Pengiktirafan Unesco kepada Malaysia sebagai Kota Buku Dunia 2020 dengan slogan KL Baca — Caring Through Reading sangat bermakna dan seiring dengan hasrat kerajaan untuk menjadikan negara ini sebagai negara membaca pada tahun 2030. Bandar raya yang dipilih sebagai Ibu kota buku dunia oleh Unesco perlu berusaha untuk mempromosikan buku dan pembacaan serta menganjurkan aktiviti sepanjang tahun. Tahun sambutan akan bermula pada 23 April 2020, pada Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia.


Daripada beberapa senario yang saya kongsikan tadi, kita sedar bahawa perjalanan kita ini masih panjang dan memerlukan usaha yang berterusan. Kita perlu menggembleng tenaga dan berganding bahu, biar "lambat laga asalkan menang", maksudnya biar lambat asalkan maksud kita tercapai.

Negara maju tidak akan wujud sekiranya tidak mempunyai generasi muda yang bersahsiah mulia, berfikiran matang dan mempunyai ilmu pengetahuan yang tinggi; dan ciri-ciri ini tidak lain tidak bukan mesti lahir hanya melalui membaca.

Oleh itu, Kementerian Pendidikan berhasrat untuk menjadikan rentang masa sepuluh tahun, iaitu daripada tahun 2021 hingga tahun 2030 sebagai Dekad Membaca Kebangsaan atau ringkasnya DMK. Kita mahu menjadikan Malaysia sebagai Negara Membaca 2030.

Didukung oleh falsafah untuk membentuk masyarakat berilmu bertaraf dunia dengan fokus membaca untuk pengetahuan dan pembudayaan amalan membaca, Kempen Dekad Membaca Kebangsaan digerakkan dengan tujuan: (1) Meningkatkan tabiat membaca untuk tujuan rekreasi dan literasi ilmu bagi melahirkan masyarakat yang berfikiran kritis, (2) memupuk minat membaca serta menyokong pembelajaran sepanjang hayat ke arah mewujudkan masyarakat berbudaya membaca dan cintakan ilmu, (3) mencambahkan tradisi keilmuan dan wacana intelektual dalam kalangan masyarakat.

Slogan dan tagar #MalaysiaMembaca pula dipilih dan mesti dipopularkan agar aspirasi menjadikan Malaysia sebagai negara membaca dan melahirkan masyarakat berilmu bertaraf dunia senantiasa menyelinap dalam sanubari dan denyut nadi masyarakat.

Dari segi program untuk mengisi dan merancakkan dekad bahasa kebangsaan, antara perancangan akitiviti utama yang perlu dilaksanakan termasuklah:

1. Program aktiviti membaca kebangsaan. Antaranya, gerakan membaca seluruh negara; kempen membaca di sekolah, di rumah, kempen membaca kepada golongan kelainan upaya, gelandangan, warga emas dan lain-lain. Selain itu akan diwujudkan juga duta #malaysiamembaca, program satu keluarga satu perpustakaan, satu komuniti satu perpustakaan dan lain-lain lagi.

2. Pembangunan prasarana aktiviti membaca, antaranya seperti pasar buku, lorong e-buku, akademi kota buku, muzium bahasa dan persuratan Melayu.

3. Pesta buku sebagai destinasi perbukuan masyarakat, melalui penganjuran acara ini di pelbagai peringkat kebangsaan, antarabangsa, sektor, negeri dan sebagainya.

4. Pembangunan pembacaan dalam kalangan remaja dan kanak-kanak, antaranya melalui pelbagai program penataran bakat calon penulis baharu dalam pelbagai peringkat umur dengan tujuan untuk memperkaya bahan kesusasteraan kanak-kanak dan remaja.

5. Capaian buku digital atau e-buku: bagi memudahkan akses kepada kandungan untuk kegunaan orang ramai dan menyokong gaya hidup dan komuniti pintar abad ke-21, pelbagai program capaian digital dan e-buku dirancang seperti perpustakaan ubiquitous (u-pustaka), zon e-buku percuma, majalah digital, perpustakaan buku audio dan Braille.

6. Pendidikan sepanjang hayat: program pendidikan yang dapat meningkatkan kehidupan insan melalui peningkatan kemahiran kerja, penambahbaikan sahsiah diri dan peningkatan ilmu, antaranya, program literasi media dan maklumat, kem belia membaca, pembacaan sebagai sasaran kerja tahunan (skt) kepada semua penjawat awam.

Hasrat kerajaan untuk memupuk tabiat membaca dalam kalangan masyarakat memerlukan komitmen yang tinggi dan berterusan serta sumber bersepadu yang merentas pelbagai sektor dan segala penggiat literasi di negara ini.

Dengan adanya kesedaran dan kesatuan usaha ini, akan terjalinlah jaringan literasi dan sekali gus akan muncullah kolaborasi sesama kita untuk menggalas tanggungjawab memandaikan dan mencerdaskan anak bangsa, sekali gus meninggikan harakat peradaban bangsa.

Sudah sampai masanya untuk kita menjadikan negara Malaysia sebagai negara membaca. Dan tahun 2019 ini ialah tahun kita harus bermula.



MASZLEE MALIK bertugas sebagai menteri pendidikan.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

malaysiakini


0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

© 2011 mimbar kata, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena