filem dan audiennya

 FILEM DAN AUDIENNYA

Tiada kompromi antara filem dan audiens. Filem bukan bola sepak yang aksinya di padang dan penonton akan datang dengan sokongan. Tiada simpati dan empati dalam filem. Yang lemah akan dilupakan yang baik akan diulas dan dikaji dengan penuh minat,
Filem mensasarkan kepuasan penonton terhadap filem itu. Ia tiada sentimen bahawa jika filem itu tentang suatu tokoh, maka ramai akan menonton dan memuji kerana ketokohan dibawa dalam filem. Lihat sahaja filem Hang Tuah tokoh besar dan dibawa oleh pelakon hebat Tan Sri P Ramlee. Ia masih juga belum memuaskan hati penonton bukan kerana Hang Tuah. Ia berbalik kepada pengarahan, pencitraan filem, lakonan dan cinematografi filem itu sendiri.
Usah mudah menuduh begitu begini kerana filem terkulai jatuh. Usah pula mendabik dada kerana box office sesebuah filem. Ia terkait dengan audiens yang bersetuju dan memahami inti filem yang disaksikan. Mat Kilau dengan kutipan terbaik kerana audiens merasa perlu tonton filem itu sedang pengkritik dan pengkaji keluar dengan beberapa catatan kelam filem itu sendiri.
Tiada paksaan terhadap audiens dalam filem tetapi ada unsur-unsur seni yang perlahan memujuk audiens untuk menyaksikan filem berkenaan. Bagaimana garapan watak, naluri kejiwaan audiens tertusuk oleh naratif filem, kepayahan dan kesulitan dalam menjalani suatu permasalahan hidup dirasai audiens. Kerana itullah Bujang Lapok, Seniman Bujang Lapok dan Do Re Mi berjaya. Audiens dapat menerima apa yang disentuh dalam filem meskipun ia agak keterlaluan atau keras kritikannnya. Tidak bermakna tokoh hidup akan menjamin filem meletup dan berjaya. Barangkali audiens tidak dapat menerima falsafah, prinsip dan naratif yang mahu dibawa dalam filem. Ia persis mengajak penonton mengiyakan apa yang mungkin dirasakan silap oleh audiens.
Kita mencari filem yang jujur dan berani menyatakan kebenaran bukan mempropagandakan peristiwa untuk meraih simpati audiens secara melulu. Filem itu seni dan audiens lebih bijak memilih



Comments