12 Feb 2021

pernahkah kau ada

 


yang terindah

 YANG TERINDAH

usah kaubiarkan
yang terindah itu
terlepas pergi
dari menjamah kalbu memugar rasa
inilah damai dari santun alam
menyentuhmu dari kejauhan
dari sudut pandang kilas tatap
terimalah semua itu
paksi pemukau jiwa
kekerdilan dan kehalusan diri
berhadap tafsir maya melebar mata
ia tercipta untukmu
menyembuhkan dan menyegarkan
sanubari dan raga
alam bersabda tentang warna dan ukir
inilah kebesaran maha pencipta
memahat tanda indah semesta
semua itu masih serpih kecil
dari gubuk besar keindahan
yang sempat kautemukan
dalam rangkul waktu
masih ada yang tak sempat
kautemukan
barangkali masih berbaki waktu
untuk berulang datang
alam bernyanyi dan mengukir bentuk
di depanmu menebar sayap indah
atau kalaulah ini
yang penghabisan dalam alur ketika
kau telah menemukan
keajaiban
syukurlah
sekecil manapun tersua
ia begitu indah
menjamah batin jiwa
terindah dalam lakar waktumu



Salina

 

Enam dekad 'Salina' A Samad Said, terus diminati

Oleh Hafizah Iszahanid

13 September 2019



KUALA LUMPUR: Hampir 60 tahun lalu, Datuk Seri A Samad Said yang masih bergelar penulis muda mengusahakan manuskrip dengan hanya satu niat: beliau ingin memenangi hadiah utama dalam Peraduan Penulisan Novel 1958 anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Bagaimanapun, takdir menetapkan naskhah yang dihasilkan dalam dua jilid berjudul Gerhana 1 dan 2 hanya meraih sagu hati.

Namun, naskhah yang kemudian judul diubah kepada Salina kekal diperkatakan khalayak sastera meskipun sudah berusia 60 tahun.

Malah A Samad, masa kini bergelar Sasterawan Negara (SN) ke-4, iaitu pemenang anugerah paling berprestij pada pentas sastera kebangsaan.

“Manuskrip itu diusahakan dengan keinginan untuk merakamkan pengalaman dan persekitaran sezaman, selain misi untuk menyertai sayembara sastera.

“Bagaimanapun saya berhadapan kesukaran untuk menyiapkannya disebabkan saya bekerja di Cecil Street, Singapura pada waktu siang hingga hanya dapat menulis pada waktu malam,” katanya kepada BH di sini.

A Samad berkata, manuskrip itu dihantar pada -saat akhir sebelum tarikh tutup dengan harapan ia mampu memenangi tempat pertama.

Bagaimanapun, naskhah itu hanya mendapat hadiah sagu hati hingga A Samad sendiri mengakui berasa sedikit marah apabila gagal mendapat tempat pertama.

“Waktu itu, saya baru berusia 25 tahun dan biasalah sebagai anak muda, kita mudah marah.

“Namun, saya diberitahu sebab manuskrip itu hanya menang sagu hati, termasuk tema dibawa tidak murni pada ketika itu,” katanya.

A Samad berkata, Salina ditulis ketika Perang Dunia Kedua baru sahaja berakhir hingga terlalu banyak peristiwa era itu yang mencabar norma dan adab kerana setiap orang berusaha meneruskan kehidupan.

“Saya faham novel itu mungkin tidak mengangkat tema murni tetapi zaman selepas perang sangat mencabar dengan saya sendiri sebahagian zaman itu.

“Kehidupan sangat susah dan setiap orang berusaha terus hidup hingga ada wanita menjual maruah. Kita tidak boleh menilai mereka kerana masing-masing ada desakan hidup tersendiri,” katanya.

Tambah A Samad, watak Salina dalam novel itu tidak pernah wujud sebagai manusia, sebaliknya ia watak yang dikutip di Singapura ketika itu.

Biar apapun tanggapan khalayak pada naskhah itu, rezeki Salina sebenarnya muncul tidak disangka apabila kewujudannya kekal bertahan hingga kini.

Ia bermula apabila dibincangkan sarjana Belanda, A Teuw pada 1964, sekali gus menjadikan populariti Salina jauh mengatasi pemenang pertama pertandingan itu.

Bagaimanapun kata A Samad, tajuk asal ditukar daripada Gerhana kepada Salina disebabkan beliau inginkan judul lebih tepat.

Ia disebutnya dalam proses kreatif Salina yang diterbitkan pada 1987, iaitu Gerhana ialah simbolik keseluruhan pengisian karya tetapi ditukar kepada Salina yang juga watak utama dalam novel berkenaan.

Hari ini selepas 60 tahun, Salina masih mendapat tempat dalam kalangan pembaca dan sarjana hingga masih dikaji di universiti, dibaca di sekolah dan masih mampu dijual dengan baik kepada pembaca muda.

Malah anak keduanya, Helmy terus menghidupkan Salina apabila naskhah itu diulang cetak untuk meraikan ulang tahunnya.

Sementara itu, Helmy berkata, penerbitan semula dibuat kerana beliau mendapat banyak pertanyaan mengenai novel berkenaan.

“Hak penerbitan Salina sudah dipulangkan DBP sekitar 2008 atau 2010, jadi tidak ada masalah untuk pihak kami menerbitkannya semula.

“Malah, hampir semua hak cipta karya dipegang beliau sendiri dan saya menguruskannya di bawah Helmy Samad Publications,” katanya.

Justeru, apabila ada permintaan mengulang cetak Salina, adalah pihaknya tidak sukar membuat cetak ulang termasuk sempena ulang tahun ke-60 yang dijual dengan kaedah prapesanan dan setakat ini sudah ditempah sebanyak 200 naskhah.

“Kami sudah terbitkan Salina buat kali ketiga, cuma tidak pasti jumlah edarannya kerana diterbitkan beberapa kali DBP dan Lejen Press pada 2016,” katanya.

Novel Salina yang mengangkat latar zaman 1950-an di Singapura menceritakan watak Salina yang mengharung keperitan hidup zaman selepas perang hingga terjerumus ke jalan berliku.

Menarik sekali watak Salina itu disorot daripada watak Hilmi, iaitu anak muda yang bercita cita tinggi tetapi terkandas disebabkan kemiskinan.


bharian


5 Feb 2021

teruji warna

SEHABIS HUJAN

 SEHABIS HUJAN

sehabis hujan
segala tanda lenyap pergi
di pasir basah hanya air mengalir
begitu mudah tertanggal hilang
kemarau bertahun berakhir jua
hanya ada
titik air mengalir jatuh
kenangan pun terbang melayang hilang
sehabis hujan
semakin hijau melintas pandang
semangat dan warna berbaja harap
semakin indah alam terpandang
kembali berharga garis dan lembayung
menjadi gubah semangat dan dorong
irama baru manja berputaran




1 Feb 2021

tiada

 TIADA

begitu sunyi jalan ini
hanya sendirian berjalan pergi
teman sahabat melintas tiada
semakin ingin mentari pergi
hanya angin menderu bunyi
burung pun tidak terbang lagi
langit bertatah jingga warna
apakah ini suatu tanda
satu persatu sirna tiada
sesudah diri tinggal sendiri
hiduplah pesara di lorong sunyi
apalah lagi meminta minta
begitu ragam putaran masa
terbiar dan sendiri di alam tua
matahari di ufuk sejengkal cuma