2021

26 Sept 2021

sastera dan kuasa


 Sastera di tengah-tengah konflik kekuasaan

MANA SIKANA




ayahanda


 Makna merdeka karya sastera
KAMARIAH KAMARUDIN 
26 September 2021

SETELAH 64 tahun negara menyambut kemerdekaan, bagaimana wajah sastera kita?
Masihkah terbelenggu dengan isu wanita yang menjadi mangsa penindasan, masyarakat yang dihimpit kemiskinan dan kisah berantakan dalam rumah tangga sebagaimana era penjajah?
Rata-rata kisah yang dibentang dalam novel pada era 1930-an dan 1940-an berlegar tentang isu-isu tersebut.
Kisah persahabatan, hubungan kekeluargaan dan konflik alam rumah tangga banyak dituang dalam pengkaryaan.
Berbanding selepas negara mencapai kemerdekaan, kisah yang diungkap pengarang mewakili banyak dimensi kehidupan.
Persoalan tentang agama, ekonomi, pendidikan, budaya dan sosial mula diberikan perhatian oleh pengarang.
Antara novel yang terserlah adalah Ayahanda karya Azizi Haji Abdullah yang telah diadaptasi menjadi drama bersiri di kaca telivisyen baharu-baharu ini.
Sebuah novel malar segar (evergreen) lantaran kisah tentang sosok yang bernama “ayah” merupakan persoalan kemanusiaan sejagat.
Dengan ungkapan tajuk yang sangat signifikan dengan kehidupan masyarakat, novel Ayahanda wajar dimiliki, dihadam dan difahami pembaca.
Novel ini memperihalkan keperibadian seorang ayah yang sarat dengan nilai kasih sayang walaupun tidak diperaga secara tersurat.
Watak ayah digembleng dengan perwatakan yang sukar dimengertikan oleh generasi muda tentang selok-belok nurani warga tua, namun unsur pengajarannya jelas mendidik khalayak dengan nilai keagamaan yang tinggi.
Setelah diadaptasi menjadi sebuah drama, novel ini dapat meruntun perasaan ramai penonton sementelah tatkala musim pandemik yang menyebabkan orang ramai terkurung di rumah.
Hidangan drama bersiri Ayahanda telah membawa masyarakat mulai menghargai makna sesebuah ikatan kekeluargaan dengan lebih akrab.
Lantaran sebelum ini masyarakat terlalu dimomokkan dengan rantaian drama televisyen yang diadaptasi daripada novel popular yang sangat menjengkelkan.
Elemen hedonisme yang dijejerkan dalam novel popular seterusnya diadaptasi menjadi drama televisyen begitu membimbangkan apabila ditonton oleh anak-anak.
Tajuk novel yang menjadi drama kebanyakannya mempamerkan kerancuan bahasa yang begitu ketara.
Wajah sastera yang indah dengan gaya bahasa yang menawan hilang angkara tajuk novel seperti Love You Mr. Arrogant, Rindu Awak 200%, Suri Hati Mr. Pilot, Cinta Si Wedding Planner, Kampung Girl, Bukan Cinta Monyet, Playboy Itu Suami Aku?, Yes, Boss Raya, Projek Memikat Suami dan lain-lain yang menampilkan kepunahan bahasa dan sastera Melayu tanah air.
Kesemua novel terbabit telah diadaptasi menjadi drama bersiri di kaca telivisyen yang ditonton dengan keghairahan masyarakat.

Cintai khazanah bahasa

Berbanding dengan drama Ayahanda yang menawarkan tajuk yang berhemah dan berhikmah sejajar dengan judul novelnya yang digarap oleh salah seorang Pemenang SEA Write Award negara. Ungkapan dialog yang ditutur pelakon disaring terlebih dahulu telah menyuntik semangat penonton khasnya anak muda untuk mencintai khazanah bahasa dan sastera Melayu.
Kemasukan dialek utara turut memberikan penanda bahawa tanah air sarat dengan nilai sejarah dan falsafah yang dapat membangun tamadun dan peradaban bangsa.
Generasi muda wajar diberikan pendedahan tentang rumpun leluhur nenek moyang yang kini kian terpinggir lantaran kerakusan teknologi dan modenisasi.
Petikan kata-kata nasihat, pujangga, terjemahan ayat al-Quran dan hadis yang dikemukakan dalam tulisan jawi di setiap pengakhiran episod drama Ayahanda turut merakamkan keindahan warisan bangsa yang harus dipertahankan.
Malahan tajuk drama Ayahanda yang turut menyerlahkan tulisan Jawi telah menumbuhkan kesedaran kepada penonton tentang keistimewaan keindahan warisan Melayu nusantara yang tidak dimiliki Barat.
Drama ini turut memancing penonton dengan babak yang mengasyikkan di sebuah perkampungan yang sarat dengan nilai tradisi Melayu.
Latar tempat Kedah yang kaya dengan sawah padi dibangunkan pengarang dalam novel Ayahanda jelas menunjukkan tanah air kaya dengan panorama yang mempesona.
Unsur alam yang menjadi nadi kehidupan masyarakat Melayu tanah air telah disuguhkan dengan menarik dalam novel seterusnya drama yang telah diadaptasi.
Drama ini mengajak penonton untuk menghargai institusi kekeluargaan secara hemah dan hikmah kasih sayang.
Hubungan antara manusia dengan Tuhan (habl min Allah), hubungan manusia dengan manusia (habl min al-Nas) dan hubungan manusia dengan alam (habl min al-alam) jelas dikesani dalam novel dan drama ini.
Nilai keagamaan terpancar dalam setiap babak dan episod yang mengajak pembaca dan penonton bermuhasabah.

Mendidik nurani

Sekalung tahniah untuk penulis novel, Allahyarham Azizi Haji Abdullah, penulis skrip drama, Maizura Ederis dan Wan Mahani Wan Hassan, penerbit novel Dewan Bahasa dan Pustaka seterusnya produksi televisyen dan TV3 Berhad.
Ayahanda telah memberi peluang warga Malaysia menyaksikan hidangan yang bukan sahaja dapat mengasuh peribadi mulia bahkan dapat mendidik nurani untuk menyantuni warga tua dengan sebaik-baik budi dan bahasa.
Sementelah “Ayahanda” juga sesuai untuk tontonan lapisan masyarakat yang mempertaruhkan perutusan yang sangat bermakna selain bauran perasaan yang meruntun jiwa.
Kala rakyat resah gelisah berdepan dengan corona yang masih mengganas, arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang masih berterusan dan percakaran politik yang merusuhkan, Ayahanda bertandang merawat segala kegalauan itu.
Setelah 64 tahun negara menyambut kemerdekaan, ternyata wajah karya sastera tanah air masih dapat menyumbang makna yang besar kepada masyarakatnya.
Malaysia memiliki deretan karya sastera dengan judul dan gaya bahasa yang indah untuk dijadikan hidangan kepada khalayak.
Misalnya novel Delima Ranting Senja (Siti Zainon Ismail), Sudara (Arena Wati), Tunggul-Tunggul Gerigis (Shahnon Ahmad), Angin Timur Laut (S. Othman Kelantan), Pujangga Melayu (Mohd Affandi Hassan), Bedar Sukma Bisu (Faisal Tehrani), Dinihari (SM Noor), Warisnya Kalbu (Sri Rahayu Mohd Yusop) dan banyak lagi bersiap siaga menanti para penulis skrip drama untuk dibawa ke skrin layar televisyen.
Lambakan karya sastera popular wajar digantikan dengan wajah sastera Melayu yang lebih bermakna untuk kesempurnaan sahsiah anak bangsa.
Dibimbangi generasi muda sudah tidak mengenali budaya bangsa dengan bahasa yang indah dan berseni.
Barangkali ungkapan Tenas Effendy dalam buku Kesantunan Melayu (2001) ini perlu dijadikan renungan: “berbuah kayu rindang daunnya,-bertuah Melayu terbilang santunnya, elok kayu karena daunnya-elok Melayu karena santunnya”.
Ayuh, bebaskan diri daripada belenggu penjajahan dengan wangian merdeka karya sastera yang berhemah, dan berhikmah menjulang angkasa!

* Profesor Madya Dr. Kamariah Kamarudin ialah Penyelaras Seni Persembahan, Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia







18 Sept 2021

KEINDAHAN NEGERI


KEINDAHAN NEGERI


awak tua bandar terbuka
emas habis,dagangan mudah
kerbau kambing sesak di padang
itik angsa tenang kuala
merpati lindungan langit
rengkiang tujuh sejanjar
teman dengan sekerat kota
emas perak penuh di rumah
tangga rumah emas bertuang
ibu tangga emas bertitik
batuan sawa mengulur
penuh sesak hamba sahaya
ada yang empat senama
ada yang lima senama
dilaung di rumah di tanah menyahut
dilaung di tanah di rumah menyahut
Digurindamkan kemakmuran, kemewahan dan kehebatan negeri bandar Muar. Negeri diperintah oleh Tuanku Gombang Malim Dewa dan permaisuri baginda bernama Tuan Puteri Lindungan Bulan. Baginda sultan dan permaisuri memiliki seorang putera bernama Tuanku Malim Deman.
Tidak ada kata-kata puja sanjung pada duli baginda. Tiada ungkap untuk melonjak nama paduka pemerintah negara. Tetapi ungkap kata tentang mewah dan
hebat
Kata-kata emas habis dagangan mudah sudah menggambarkan daulat dan
hebat
pemerintahan paduka raja. Kemakmuran dirasakan oleh rakyat jelata, kehebatan negeri terasa oleh penghuni negeri. Setiap rakyat terasa mereka memiliki negeri terindah itu

penuh sesak hamba sahaya
ada yang empat senama
ada yang lima senama
dilaung di rumah di tanah menyahut
dilaung di tanah di rumah menyahut

Bandar Muar sebuah negeri yang aman makmur serta penuh dengan kekayaan flora dan faunanya. Selain itu bandar Muar juga memiliki bilangan penduduk yang ramai disebut penuh sesak hamba sahaya.

Citra nama yang senama adalah gambaran ramai dan makmurnya negeri. Sebuah negeri yang memiliki serba kekayaan dan segala kemewahan serta rakyatnya dalam kesatuan dan perpaduan. Yang utama adalah kesetiaan dan kepatuhan rakyat. Bila saja ada panggilan untuk pertiwi mereka akan sentiasa bersedia demi negara :
dilaung di rumah di tanah menyahut
dilaung di tanah di rumah menyahut
Ungkap cinta negara adalah paparan kemakmuran kemewahan dan kedamaian negeri. Kita pun diajak sama cintailah negeri ini




31 Aug 2021

aku harus mencintai negeri ini


 AKU HARUS MENCINTAI NEGERI INI

Aku harus mencintai negeri ini
mendirikan rumah setia dan bahtera semangat
dengan apa diriku
dengan segala ukir sayangku
aku tak pernah berada pada tangga sejarah
mereka membina tugu dan mendirikan menara
aku tak pernah berada di pintu nestapa
nanar mengusung getir mengunyah payah
jalan yang dipenuhi belulang ketakutan
sungai mengalir darah pengorbanan
huma tumbuh padi kemiskinan
dada basah oleh air mata.

Aku harus bertanya lagi
bagaimana segala ini terjadi
jalan terbentang, bangunan menggapai langit
ladang dan jentera makmur
sentosa dan hidup bersama
sedang ibu ayahku
hanyalah seorang petani kerdil
dengan sebidang sawah
mengapa pula nenek dan datukku
tak menerima semua itu
dan ayah ibuku mewarisi genggam kesulitan
tapi aku keluar dari lumpur kejahilan
hidup dalam danau bahagia
limpah sentosa.

Negeri ini telah memberi anugerah bahagia
dan nilam sejahtera
dan tak ada lain dari tanah ini
dapat kupanggil
negeri.




Chow Kit dan Sudirman


 

Malam Sudirman menempa sejarah di Jalan Chow Kit

Orang ramai mula berkumpul sebelum pentas didirikan lagi. (Gambar Facebook peminat Sudirman)

PETALING JAYA: Pada petang 14 April 1986, orang ramai mula berkumpul di Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur, untuk menyaksikan penyanyi pop kesayangan mereka, Sudirman Arshad, membuat persembahan pada konsert jalanan terbesar pernah dibuat di ibu kota.

Konsert percuma itu menyaksikan penyanyi dan penulis lagu itu membuat persembahan sebagai penghormatan kepada kawasan Jalan Chow Kit yang sibuk, kedai-kedai, mekanik, penjaja kecil dan orang kebanyakan yang tinggal bersempit-sempit dengan kelab-kelab malam dan hotel-hotel kecil di tengah ibu kota, berhampiran Kampung Baru.

Beberapa jam sebelum konsert bermula pada 8 malam, polis sudah menutup jalan supaya kru dapat mendirikan pentas dan menyediakan peralatan bagi konsert di tengah-tengah jalan.

“(Pada masa itu) saya tidak fikir konsert ini begitu besar ertinya, tetapi bila difikirkan semula, kami mencipta sejarah.

Sudirman (berbaju kuning) bersama Jenny Chin (di sebelahnya), serta kumpulan pemuzik dan penarinya. (Gambar Facebook peminat Sudirman)

“‘Soundcheck’ kami seolah-olah persembahan langsung,” kata pengarah muzikal Sudirman, Jenny Chin.

Beliau masih ingat segala birokrasi dan permit polis yang diperlukan untuk mengadakan konsert itu.

“Sudirman berterusan berkata beliau tekad mengadakan konsert ini. Jadi kami berusaha berhabis-habisan untuk menjayakannya,” kata Chin.

Menjelang 8 malam, lebih 100,000 peminat Sudirman mula membanjiri jalanan. Ramai yang memanjat pokok dan papan tanda, selain bumbung bangunan-bangunan berhampiran.

Akhirnya, pada 9 malam, penyanyi kecil molek itu “mendarat” di atas pentas menggunakan Skylift bomba dan memulakan persembahan dengan lagunya “Chow Kit Road”.

Orang ramai membanjiri Jalan Chow Kit pada malam bersejarah itu, sehingga ke atas jambatan pejalan kaki. (Gambar Jabatan Penerangan)

Penonton bersorak dengan begitu kuat sehingga para pemuzik tidak dapat mendengar bunyi peralatan muzik mereka sendiri.

Salah seorang yang hadir adalah Navaretnam Vethiya, yang ketika itu berusia 23 tahun.

“Keadaannya seolah-olah seluruh Malaysia hadir sebagai satu keluarga. Orang ramai berkumpul bersama, semua orang mahu melihat beliau (membuat persembahan),” katanya kepada FMT, sambil menambah, ramai yang hadir adalah anak-anak muda.

Sudirman mempersembahkan lagu-lagu hit seperti “Apa Khabar Orang Kampung” dan “Kenali Malaysia Cintai Malaysia” diiringi sorakan penonton, dan mengakhiri malam berkenaan dengan lagu balada “Pertemuan Abadi”, di mana beliau membalut dirinya dengan bendera kebangsaan, yang ketika itu belum lagi dikenali sebagai Jalur Gemilang.

Navaretnam, seorang pekerja di sebuah pusat beli-belah berdekatan, cuti separuh hari untuk menghadiri konsert berkenaan, namun tiba lewat dan tidak dapat mencari tempat yang dekat dengan pentas, dalam kalangan ribuan penonton yang hadir.

Lebih 100,000 orang hadir ke konsert percuma Sudirman pada malam 14 April 1986. (Gambar Jabatan Penerangan)

Katanya, Sudirman menghormati setiap lapisan rakyat Malaysia, dan menjadi simbol perpaduan.

Beliau akan menyanyikan satu lagu Melayu, kemudian lagu Cina dan India, menyanyi dalam sekurang-kurangnya dua bahasa, tambah Navaretnam.

Chin bersetuju, dan menyifatkan Sudirman sebagai artis Malaysia sebenar bagi semua rakyat Malaysia.

Beliau lain daripada yang lain, seorang artis Malaysia sangat unik yang menghiburkan semua orang, kata Chin.

Ada peminat yang memanjat pokok dan bumbung untuk menyaksikan persembahan Sudirman dengan lebih jelas. (Gambar Jabatan Penerangan)

“Pada konsertnya, semua orang duduk bersama dan ikut menyanyi, sama ada lagu Inggeris, Cina, Melayu atau India.”

Beliau turut mengingati sifat rendah diri Sudirman di belakang tabir, namun keletahnya menghiburkan dan kelakar di atas pentas.

“Beliau juga mempunyai pemikiran yang dalam. Kita boleh berborak dengannya berjam-jam tanpa jemu. Apa sahaja yang dibincangkan, beliau sentiasa dapat lebih mendalaminya, atau membuat komen-komen melucukan,” katanya.

“Kadang-kadang, apabila kami tidak bekerja, beliau akan menelefon saya dan kami akan berborak berjam-jam. Dia adalah artis yang sebenar, yang sentiasa bersemangat.”

Dalam gaya ‘superstar’ sebenar, Sudirman ‘mendarat’ ke atas pentas daripada Skylift. (Gambar Jabatan Penerangan)

Kata Jenny, beliau telah bekerja dengan ramai nama-nama besar lain, namun tidak pernah lagi melihat tahap kreativiti setanding Sudirman.

Sudirman jatuh sakit pada lewat 1991 dan meninggal dunia pada 22 Feb 1992, pada usia 37 tahun. Timbul banyak khabar angin mengenai kematiannya, namun punca rasmi kematiannya dicatatkan sebagai radang paru-paru.

Sudirman menghiburkan penonton konsertnya dan berjaya mencetuskan sorakan mereka. (Gambar Jabatan Penerangan)

Namun, lagu-lagunya yang disuntik cinta kepada rakyat Malaysia tetap hidup.

Walaupun berbadan kecil, jiwa Sudirman cukup besar bagi rakyat senegaranya.

FMT


16 Aug 2021

Pencipta Vaksin Covid-19


 

SUAMI isteri warga Jerman keturunan Turki ini yang merupakan saintis dalam dunia perubatan menjadi jutawan selepas berjaya menemui vaksin untuk melawan pandemik Covid-19 menerusi syarikat milik mereka BioNTech.

Pasangan Muslim berketurunan Turki penemu vaksin

ZUBAIDAH IBRAHIM

Share on telegramBERKONGSI kecintaan yang sama dalam bidang perubatan, pasangan suami isteri dari Jerman iaitu Profesor Dr. Ugur Sahin dan Dr. Ozlem Tureci telah mencipta sejarah dalam penghasilan vaksin Covid-19.

Kejayaan menghasilkan vaksin tersebut juga menjadi bukti dedikasi dua orang anak migran dari Turki itu terhadap tugas mereka.

Demi tanggungjawab terhadap tugas yang dipikul, pasangan tersebut yang mendirikan rumah tangga pada 2002 itu terus ke makmal sebaik sahaja selesai upacara perkahwinan mereka.

Kajian mencari vaksin tersebut telah dimulakan oleh pasangan itu sejak Januari tahun lalu menerusi syarikat BioNTech yang ditubuhkan oleh mereka berdua sejak 12 tahun lalu.

Kerjasama antara BioNTech dan syarikat gergasi farmasi Amerika Syarikat, Pfizer telah menghasilkan vaksin yang mempunyai kadar keberkesanan lebih 90 peratus dalam ujian kinikal peringkat akhir.

Kejayaan tersebut meletakkan BioNTech dan Pfizer di hadapan dalam perlumbaan mencari penawar penyakit berjangkit yang telah membunuh lebih 1.2 juta orang di seluruh dunia.
Ekoran kejayaan itu, telah menjadikan pasangan doktor itu antara 100 orang jutawan di Jerman.

Menurut Muslim Mirror, pasangan yang menemui vaksin Covid-19 itu beragama Islam. Mirror.co.uk turut menyatakan ibu bapa mereka adalah warga Turki beragama Islam yang berhijrah ke Jerman.

Biarpun bergelar jutawan, pasangan itu hidup secara sederhana bersama seorang anak perempuan di sebuah pangsapuri berdekatan ibu pejabat BioNTech di Mainz.

Mereka tidak mempunyai kereta dan hanya mengayuh basikal untuk ke pejabat.


VAKSIN Covid-19 yang dibangunkan BioNTech dengan kerjasama syarikat farmasi terkemuka dari Amerika Syarikat, Pfizer.
Sebelum menubuhkan BioNTech, mereka berdua membangunkan Ganymed Pharmaceuticals yang memberi fokus kajian mengenai imunoterapi kanser sebelum menjual firma tersebut pada tahun 2016.

Kedua-dua saintis yang pakar dalam kajian mencari penawar kanser itu kemudian menubuhkan BioNTech bagi membuat penelitian mengenai kod genetik yang diubah atau Messenger RNA (mRNA).

Mereka percaya bahawa mRNA yang diubah suai boleh digunakan untuk ‘menipu’ badan bagi melawan barah.

Siapa sangka, kajian mRNA itu merupakan jawapan kepada pencarian vaksin untuk koronavirus yang ketika itu masih belum wujud.

Dua tahun lalu, ketika persidangan di Berlin, Sahin yang kini berusia 55 tahun berkata, syarikatnya mampu menggunakan teknologi mRNA untuk membangunkan vaksin dengan cepat sekiranya terjadi pandemik global.

Pada ketika itu, Sahin dan syarikatnya, BioNTech tidak dikenali di dunia luar.
Beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif BioNTech berkata, penemuan vaksin tersebut bakal mengakhiri era Covid-19.

“Ketika membaca jurnal perubatan mengenai Covid-19 telah membuatkan saya yakin bahawa koronavirus akan meletus menjadi pandemik apabila ia tersebar dengan cepat di beberapa bahagian di China.

“Sehubungan itu, saya bersama isteri dan pasukan saintis BioNTech telah memulakan Projek Lightspeed dalam usaha menghasilkan vaksin ini,” katanya yang juga professor onkologi.


DR. Sahin (kIri) dan isteri, Dr. Tureci (kanan) lebih berminat bercakap mengenai sains perubatan daripada keusahawanan biarpun kini bergelar antara orang terkaya di Jerman.
Tambahnya, tidak ada banyak syarikat yang memiliki kemampuan dan kompentesi untuk melakukan dengan cepat seperti BioNTech lakukan.
Oleh itu, Sahin berasakan ia bukan kesempatan tetapi sudah menjadi tugas untuk membangunkan vaksin tersebut kerana menyedari kemampuan yang dimiliki untuk menghasilkannya.

Berbicara lanjut mengenai latar belakang pasangan tersebut, Sahin dilahirkan di Iskenderun, Turki.

Ketika berusia empat tahun, keluarganya berpindah ke Cologne, Jerman yang mana ibu bapanya bekerja di kilang Ford.

Sejak kecil Sahin bercita-cita untuk menjadi doktor dan beliau berjaya melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan di University of Cologne.
Beliau menjadikan pemenang hadiah Nobel Jerman, Paul Ehrlich yang menemui penawar sifilis pada tahun 1909 sebagai idolanya.

Pada tahun 1993, beliau memperoleh gelaran Doktor Falsafah (PhD) menerusi kajian mengenai imunoterapi pada sel tumor.

Sahin yang bekerja di makmal Rolf Zinkernagel telah memenangi Hadiah Nobel dalam bidang perubatan pada tahun 1996.

Seterusnya pada tahun 2019, beliau telah dianugerahkan Hadiah Mustafa yang dianugerahkan oleh kerajaan Iran untuk mengiktiraf orang Islam berjasa dalam membangunkan sains dan teknologi.

Sementara itu, Tureci, 53, yang merupakan Ketua Pegawai Perubatan BioNTech dilahirkan di Jerman, manakala ibu bapanya merupakan orang Turki yang berhijrah ke negara berkenaan.

Ayahnya merupakan doktor bedah, manakala ibunya bertugas sebagai ahli biologi.


IBU pejabat BioNTECH di Mainz, Jerman
Sahin dan Türeci mula berkenalan pada tahun 1990, mereka mengimbangi kehidupan peribadi dan tugas untuk mencari penawar kanser.
Pasangan itu pada mulanya memberi fokus kepada penyelidikan dan pada masa yang sama menjadi pengajar di Universiti Zurich.

Pada tahun 2001, Sahin dan Türeci menubuhkan Ganymed Pharmaceuticals yang mengembangkan ubat-ubatan merawat kaser menggunakan antibodi monoklonal.

“Pada tahun 2008, kami menubuhkan BioNTech untuk meneruskan perjuangan dalam mencari penawar kanser menerusi mRNA.

“Kami ingin membina syarikat farmaseutikal Eropah terbesar,” ujar Türeci.

Kini, BioNTech semakin berkembang dengan mempunyai 1,800 orang kakitangan di beberapa cawangan sekitar bandar Berlin, Cambridge dan Mass.
Pada tahun lalu, Yayasan Bill & Melinda Gates telah melabur AS$54 juta (RM222 juta) di BioNTech untuk merawat HIV dan batuk kering.

BioNTech telah menjual saham kepada orang awam pada tahun lepas dan beberapa bulan lalu nilai saham telah melonjak kepada AS$21 bilion (RM85 bilion) sehingga menjadikan pasangan itu antara orang terkaya di Jerman.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Pfizer, Albert Bourla menyifatkan Sahin seorang yang unik.

“Beliau hanya mementingkan sains dan membincangkan perniagaan bukanlah kegemarannya.

“Beliau juga seorang saintis yang mempunyai prinsip dan saya mempercayainya 100 peratus,” ujarnya.

Di Jerman, isu imigran dipandang serius dan kejayaan dua saintis keturunan Turki itu membuka mata banyak pihak.

“Pencapaian pasangan ini memberi contoh kepada kejayaan integrasi kaum di Jerman,” tulis laman web perniagaan konservatif Focus.

Sementara itu, seorang ahli Parlimen, Johannes Vogel, memberi sokongan kepada pasangan tersebut di Twitter dengan mengatakan tidak akan ada BioNTech di Jerman tanpa Özlem Türeci dan Ugur Sahin.

“Tanpa dua doktor hebat ini, tidak akan ada kolaboratif hebat dengan Pfizer. Negara migrasi menjadikan kita kuat, pasaran ekonomi dan masyarakat lebih terbuka,” tulisnya.