Utusan Melayu dan ASAS 50

Utusan Melayu pencetus ASAS 50
Slogan ‘Seni Untuk Masyarakat’


KAMALUDIN MOHAMAD (Keris Mas) kanan, memilih gambar-gambar untuk majalah Mastika dan Utusan Zaman ketika bertugas di Cecil Street, Singapura. Di sebelah kirinya Mohd. Dahlan Masoud (HAMDAM) menerima panggilan telefon daripada wakil Utusan di Tanah Melayu.


SAHIDAN JAAFAR dan MOHD. SAIFUL MOHD. SAHAK
17 Januari 2019 3:00 AM


UTUSAN menerusi akhbar Utusan Melayu, Utusan Zaman dan majalah Mastika yang membuka pintu seluas-luasnya kepada penulis untuk berkarya telah mencetuskan gelombang kesusasteraan Melayu sekaligus memberi ilham kelahiran Angkatan Sasterawan 50 atau ASAS 50 di Singapura era 1950-an.

A. Samad Ismail dalam bukunya Memoir A. Samad Ismail di Singapura (1993) menyatakan, ketika generasi muda dalam dekad ASAS 50 sedang berada di kemuncak pengaruhnya, ramai anak muda di Singapura ingin menjadi penulis.

“Mereka ingin terkenal seperti Usman Awang dan Keris Mas. Ketika itu sajak Usman Awang ‘Dimakam Bonda’ sangat diminati oleh masyarakatnya, terutama oleh generasi muda. Mulai itulah Usman Awang tertonjol sebagai penyajak yang mempunyai ramai peminat.


“Peminatnya meningkat hari demi hari terutamanya kalangan gadis. Rombongan pelawat yang berkunjung ke Utusan Melayu di Cecil Street, khususnya guru dan peminat sastera, pertama sekali akan mencari Usman Awang sebaik sahaja menjejakkan kaki mereka di Jabatan Pengarang kami (A. Samad Ismail 1993: 187-188).

Begitulah gambaran suasana dan peranan Utusan Melayu dalam usahanya memar­tabatkan kesusas­te­raan Melayu sehingga menjadi pencetus gelombang kelahiran ASAS 50 di Singapura.

Peranan Utusan Melayu sebagai wahana sastera bangsa berjaya dimainkan dengan begitu berkesan oleh A. Samad Ismail yang bertugas sebagai Penolong Pengarang Utusan Melayu era 1950-an.

Malah cerpen yang ditulis A. Samad Ismail Ingin Jadi Pujangga semasa dalam tahanan turut memberi inspirasi menyuntik penulis-penulis di Si­ngapura untuk menubuhkan ASAS 50 dengan slogan “Seni Untuk Masyarakat”.

Dr. Wan Hashim Wan Teh yang menulis artikel bertajuk: A.Samad Ismail Bapa Kewartawan Malaysia dalam buku A. Samad Ismail Ketokohan dan Kewartawanan (1991) yang diselenggarakan oleh A. Karim Haji Abdullah, menyatakan, A. Samad Ismail adalah penggerak sebenar di belakang tabir penubuhan ASAS 50 di kota Singapura.

“Malah, Samad adalah kuasa penggerak kepada kemunculan ASAS 50 yang menjadikan seni sebagai penyalur jeritan dan penderitaan rakyat marhain yang memerlukan pembelaan dan menuntut keadilan” (Wan Hashim Wan Teh 1991:6).

Selain memberi ruang seluas-luasnya kepada sasterawan ASAS 50 untuk menulis sajak, cerpen dan esei dalam Utusan Melayu, Utusan Zaman dan Mastika, beliau turut mengga­lakkan polemik ‘Seni Untuk Masyarakat’ yang dipelopori ASAS 50 antara Asraf dan Hamzah Hussein yang mempelo­pori ‘Seni Untuk Seni’. Tokoh-tokoh seperti Keris Mas, Tongkat Warrant, Masuri S.N., Ahmad Lutfi, Awam-Il Sarkam, Abdullah Hussain, Asraf, A.Samad Said, Shahnon Ahmad dan lain-lain berjaya kerana bimbingan A. Samad Ismail.

Sejarah ASAS 50 Tercipta

Virginia Matheson Hoo­ker, penulis buku Mencipta Masyarakat Baru: Perubahan Sosial Menerusi Novel Melayu (2003) menyatakan, Singapura selepas perang bukan sahaja merupakan pusat pergolakan politik dan pusat perkemba­ngan sastera Melayu, tetapi juga merupakan pusat ekonomi, perdagangan dan kebudayaan.

Sebagai pusat penyiaran, penerbitan, percetakan dan perfileman yang baru usianya, Singapura menarik perhatian para wartawan, penulis, penyanyi, pemuzik dan bintang filem yang bercita-cita tinggi dalam bidang masing-masing.

Pada tahun 1949, sastera­wan Jymy Asmara menubuhkan kelab yang baru, “Sahabat Pena” bersama Mohammad Ariff Ahmad (Mas) dan memutuskan memilih Kamalu­ddin Muhammad (Keris Mas), seorang penulis cerpen dan wartawan akhbar Utusan Me­layu untuk memimpin kumpulan baru ini.

Pada 6 Ogos 1950, seramai 20 orang sasterawan dengan rasminya melancarkan penubuhan Angkatan Sasterawan 50 (ASAS 50) dan rancak menulis dalam majalah Hiburan, Mutiara, Mastika, Suara Guru dan Utusan Zaman.

“ASAS 50 sering merujuk kekuatan mutu penulisan sasterawan Barat seperti Hemingway, de Maupassant dan Dostoevsky dalam makalah mereka.

“Selain itu mereka juga sedang mencari suatu gaya yang dapat membezakan tulisan mereka dengan penulis sebelum mereka” (Virginia Matheson Hooker 2003: 264).

Suatu hakikat yang tidak dapat dinafikan bahawa pengarang-pengarang ASAS 50 telah berjaya merancak dan mewarnai kehidupan sastera sebagai penanda aras di zaman kegemilangannya.

Peranan Utusan Melayu sebagai wahana sastera bangsa berjaya dimainkan dengan begitu berkesan oleh A. Samad Ismail yang bertugas sebagai Penolong Pengarang Utusan Melayu era 1950-an.

utusan melayu

Comments