28 Nov 2018

Anugerah Akademik Negara

SISTEM PENDIDIKAN TINGGI MALAYSIA DIIKTIRAF DUNIA


Sistem pendidikan tinggi negara mendapat perhatian organisasi dalam dan luar negara apabila Malaysia dilantik menjadi ahli Lembaga Eksekutif UNESCO, sehingga tahun 2019.

YAB Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, hal demikian kerana Malaysia memainkan peranan penting dalam menyumbang idea dan amalan terbaik dalam pendidikan yang dijadikan contoh oleh negara lain.

"Institusi pendidikan tinggi (IPT) tempatan mempunyai reputasi kukuh di peringkat antarabangsa dan dinobatkan antara yang terbaik di dunia, sekali gus menjadi pilihan pelajar antarabangsa untuk melanjutkan pelajaran.

"Antara penyumbang kejayaan ini adalah ahli akademik tempatan yang menghasilkan produk dan karya asli, penyelidikan yang memberi impak kepada masyarakat tempatan dan antarabangsa," kata YAB Tun Dr Mahathir semasa berucap pada Majlis Anugerah Akademik Negara ke- 12 di Hotel Marriott Putrajaya sebentar tadi.

Turut hadir, Menteri Pendidikan, YB Dr Maszlee Malik; Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Dato' Dr. Mohd Gazali Abas.

Dalam pada itu, YB Dr Maszlee berkata KPM mahu universiti tempatan bukan hanya dikenali kerana ranking, tetapi juga melalui pengajaran dan pembangunan yang berkesan, 'citation' dan karya ilmiah dalam pelbagai bidang penyelidikan yang berimpak tinggi serta penghasilan produk atau karya kreatif untuk dikomersilkan.

Anugerah Akademik Negara (AAN) ke-12 membariskan tujuh kategori iaitu Anugerah Tokoh Akademik Negara, Anugerah Penerbitan Makalah Jurnal, Anugerah Penerbitan Buku, Anugerah Inovasi dan Pengkomersialan Produk, Anugerah Seni dan Kreativiti, Anugerah Pengajaran dan Anugerah Ahli Akademik Harapan.

'
PROFESOR DR JOMO KWAME SUNDARAM DINOBAT TOKOH AKADEMIK NEGARA


Mantan anggota Majlis Penasihat Negara, Profesor Dr Jomo Kwame Sundaram dinobatkan sebagai Tokoh Akademik Negara pada majlis Anugerah Akademik Negara (AAN) ke-12 yang disampaikan oleh YAB Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.



Profesor Madya Dr Mohd Roslan Mohd Nor, juga dari Universiti Malaya menerima Anugerah Penerbitan Buku.


Anugerah Pengajaran (Kelompok Sains Tulen) pula dianugerahkan kepada Profesor Madya Dr Wan Zuhainis Said dari Universiti Putra Malaysia.



23 Nov 2018

pokok

Kolaborasi Johan dan U-Wei dalam Teater “Pokok”
Oleh NURUL JULIA ALANI HENRY

Johan (kiri sekali) bersama-sama barisan pelakon, Buyung Zasdar, Ebby Saiful, Haliza Misbun dan Rahim Jailani serta pengarah U-Wei.

HASIL produksi Balang Rimbun Sdn. Bhd., “Pokok” diangkat sebagai Teater Perdana Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang bakal dipentaskan di Auditorium DBP pada 7 hingga 16 Disember 2018. “Pokok” merupakan hasil karya Tan Sri Johan Jaaffar, mantan Pengerusi Media Prima Berhad dan juga mantan Pengerusi Lembaga Pengelola DBP dan diarahkan oleh U-Wei Haji Saari, pengarah filem Jogho dan Hanyut. Teater ini merupakan kolaborasi sulung dua nama besar dalam seni pementasan. Dengan membariskan pelakon seperti Buyung Zasdar, Rahim Jailani, Ebby Saiful dan Haliza Misbun, pementasan teater ini melibatkan kerjasama empat penaja, iaitu DBP, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Perusahaan Automobil Kedua (Perodua) dan Institut Terjemahan dan buku Malaysia (ITBM).

“Pokok” berkisar tentang empat watak utama, iaitu Darwis, Mardiah, Tuk Kaya dan Amud yang masing-masing ada kelebihan dan kekurangan, dan juga menghadapi konflik dalam kehidupan mereka. Darwis dan Mardiah sepasang suami isteri yang miskin dan tinggal di sebuah rumah kecil di pinggir hutan. Darwis yang kudung sebelah kaki bekerja dengan Tuk Kaya, orang tua yang biang keladi. Amud pula ialah kawan kepada Darwis dan menjadi telinga yang setia mendengar Darwis meluahkan rasa hati tentang kehidupannya.

U-Wei yakin bahawa “Pokok” begitu istimewa dan bagus daripada pelbagai aspek.

Pokok yang menjadi tajuk teater ini pula merujuk pokok raksasa yang tumbuh berhampiran rumah Darwis dan Mardiah. Dalam teater ini, pokok raksasa itu dimetaforakan sebagai “pelindung” dan “pengancam” kehidupan Darwis dan Mardiah. Maknanya, pokok itu bukan sahaja melindungi malah mengancam keselamatan suami isteri itu. Hal ini disebabkan ada kemungkinan dahan pokok besar itu akan patah.

Yang menariknya, pokok besar itu mempunyai peranan yang sama dengan Tuk Kaya, iaitu boleh menjadi “pelindung” dan pada masa yang sama menjadi “pengancam” kehidupan Darwis dan Mardiah. Tuk Kaya dianggap sebagai “pelindung” kerana mengambil Darwis bekerja dengannya dan membenarkan mereka tinggal di tanah miliknya. Namun begitu, Tuk Kaya dilihat sebagai “pengancam” apabila sering menggoda Mardiah yang cantik tetapi mempunyai jalan hidup yang gelap kerana Mardiah bekas penagih dadah dan terlalu lama hidup bergelumang dengan dosa dan jenayah.

Menurut Johan, teater ini ialah cerminan kehidupan manusia dengan segala keanekaragaman dan keunikannya. Adakah manusia “kerdil” seperti Darwis akan bertahan dengan penderitaannya”? Adakah Mardiah akan mempertahankan “kebaikannya”? Adakah Tuk Kaya mengerti bahawa wang dan kekayaan tidak boleh membeli segala-galanya? Semua persoalan ini akan terjawab apabila menonton teater ini yang berakhir dengan tragedi.

Johan gembira kerana karyanya mendapat tajaan daripada pelbagai pihak.

Bagi U-Wei yang juga pengarah dan penulis skrip drama pentas “Wangi Jadi Saksi”, beliau menerima pelawaan Johan untuk mengarahkan teater “Pokok” kerana “Pokok” karya yang kaya dengan idea “bernilai” yang dihasilkan oleh orang seni yang juga “bernilai” hebat dalam seni pementasan. Menjawab pertanyaan media tentang pelabelan dirinya sebagai pengarah yang gemar menerbitkan filem yang “sensasi”, U-Wei dalam nada berseloroh menyatakan bahawa kolaborasi antara dirinya dengan Johan dalam penghasilan “Pokok” juga sesuatu yang “sensasi” apatah lagi teater ini berjaya meraih tajaan daripada badan korporat seperti Perodua.

Bagi Rahim yang memegang watak sebagai Tuk Kaya, beliau berbangga dapat beraksi dalam teater “Pokok” kerana bekerja dengan pengarah yang hebat seperti U-Wei. Beliau juga menyatakan rasa “rindu” untuk melakonkan skrip drama bermutu seperti yang dihasilkan oleh Johan. Ebby Saiful yang memegang watak Darwis turut menyatakan “kelainan” yang ada pada U-Wei yang tidak ada pada pengarah lain menyebabkan beliau menerima tawaran untuk berlakon dalam teater ini.

Haliza yang memegang watak Mardiah pula menganggap peluang berlakon dalam teater ini sebagai perjalanan menuntut ilmu. Menurutnya yang pernah beberapa kali bekerja dalam arena seni pentas dengan Johan menyatakan proses menuntut ilmu tidak semestinya dilakukan secara formal seperti di dalam kelas tetapi boleh dibuat melalui pelbagai cara dan satu daripadanya adalah melalui berteater. Sebagai orang lama, Buyung Zasdar yang berlakon sebagai Amud menyatakan jaminan beliau akan memberikan persembahan yang terbaik untuk menjayakan “Pokok”. Menurut Buyung, bukan sesuatu yang sukar untuk membawakan watak dalam teater “Pokok” kerana beliau sudah lama mengenal lenggok dan gaya karya Johan.

Majlis pelancaran disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP, Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran (tiga dari kiri).

Tiket bagi menyaksikan teater yang akan berlangsung selama 10 hari ini boleh dibeli mulai 12 November 2018. Tiket yang berharga RM30 dan RM50 boleh dibeli menerusi www.airasiaredtix.com. Bagi yang ingin mendapatkan maklumat lanjut tentang teater “Pokok”, sila layari https://www.instagram.com/teaterperdanapokok/ atau berhubung terus dengan Balang Rimbun Sdn. Bhd.

Sebelum dipersembahkan dalam bentuk teater, skrip drama “Pokok” pernah tersiar dalam majalah terbitan DBP, iaitu Dewan Sastera pada September 2017. Majlis pelancaran dan persidangan media Teater Perdana DBP ini berlangsung pada 8 November 2018 di Sanggar Tun Sri Lanang, Menara DBP, Kuala Lumpur. Yang turut hadir dalam majlis ini ialah Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP, Datuk Haji Abang Sallehuddin Abg. Shokeran, Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP, Dato’ Hajah Padilah Haji Ali, Pengurus Besar merangkap Pemangku Pengarah Urusan ITBM, Sakri Abdullah, wakil daripada JKKN dan wakil daripada Perodua.

klikweb


POKOK karya JOHAN JAAFFAR
(Tersiar dalam Dewan Sastera, September 2017)

SINOPSIS:
DARWIS tinggal bersama isterinya, MARDIAH yang sedang sarat mengandung di sebuah rumah kecil di pinggir hutan. Rumah itu dipayungi oleh pokok raksaksa yang bukan sahaja melindungi tetapi juga mengancam keselamatan mereka. Ada kalanya dahan pokok besar itu akan patah. Pokok itu pasti akan memangsai mereka berdua sekiranya ia tumbang. Pokok besar itu menjadi metafora kehidupan mereka berdua. Pokok itu sekaligus melindungi dan mengugut, seperti juga kehidupan di sekeliling mereka. Manusia seperti TUK KAYA, tuan tanah di mana mereka tinggal, juga menjadi pelindung tetapi juga punca kegelisahan Mardiah.

Darwis yang kudung sebelah kakinya bekerja untuk Tuk Kaya, orang yua biang keladi. Darwis pernah membuat pelbagai kerja termasuk di Singapura dan dia terlibat dalam satu kemalangan yang menyebabkan kakinya tercedera.

Mardiah seorang wanita cantik tetapi hidup malang. Dia bekas penagih dadah malah banyak kali dipenjarakan oleh sebab pelbagai kesalahan termasuk merompak. Terlalu lama dia bergelumang dalam dosa dan jenayah. Entah mengapa pertemuannya dengan Darwis mengubah hidupnya. Dia mengahwini Darwis dengan kerelaan hatinya.

Dia mengakui bahawa sekian lama hidupnya tanpa arah dan tujuan. Hanya dengan Darwis dia menemui dirinya yang baru dan mengenal makna kasih dan sayang.

Darwis terhutang budi dengan Tuk Kaya yang memberikan ruang untuknya bekerja dan tinggal di tanahnya. Tetapi Tuk Kaya sentiasa melihat kecantikan Mardiah dan cuba menggodanya. Mardiah tahu apa yang difikirkan oleh Tuk Kaya. Tetapi Mardinah tahu juga dia tidak mahu lagi kembali ke jalan yang pernah dilaluinya. Kecantikan dirinya menjadi bebanan pada dirinya. Penjara mengajarnya tentang kehidupan yang berbeza. Di bawah pokok besar itu dia menemui kehidupan yang berbeza.

Kepada AMUD, kawan Darwis dia mengakui:
“…Dulu saya hanya rasa selamat di penjara. Di luar saya rasa resah, gelisah, tak tentu arah,. Saya rasa tak selamat. Saya rasa saya kekurangan. Tak diperlukan. Dipandang rendah. Dihina. Tak ada harga diri. Di penjara, saya jumpa diri saya. Saya rasa tenang. Selamat.”

Hanya apabila mengahwini Darwis, dia menemui laluan kehidupan yang berbeza. Kepada Tuk Kaya dia berkata:
“Saya menggunakan kecantikan saya untuk menggoda, menyusahkan orang lain, melakukan maksiat dan akhirnya saya masuk ke penjara. Di penjara saya menggunakan kecantikan saya untuk mencapai matlamat saya. Saya tidak ragu-ragu menggunakannya. Saya memilih untuk jadi hodoh di sini….Sebab saya mahu jadi baik…”

Amud menyedari dilema Mardiah dan lebih faham lagi penanggungan Darwis. Mengenai Darwis dia memberitahu Mardiah:
“Orang macam Darwis selalu fikir pasal kekurangannya, kecacatannya. ..Orang yang serba kekurangan akan berasa orang lain semuanya ada kelebihan.

Tuk Kaya cuba mengambil kesempatan daripada pertolongannya tetapi dia sedar bahawa Mardiah adalah wanita yang cuba menjadi manusia baik. Darwis mengubahnya. Mencorakkan hidup barunya. Darwis sedar bahawa tempat tinggal di bawah pokok besar itu bukan tempat yang sesuai untuk berkeluarga apa lagi untuk membesarkan anak yang bakal lahir. Tetapi dia juga sedar bahawa sekali ini dia perlu berkorban.

Drama ini adalah cerminan kehidupan manusia dengan segala keanekaragaman dan keunikannya. Apakah manusia kecil seperti Darwis akan bertahan dengan penderitaan? Apakah Mardiah akan mempertahankan “kebaikannya”? Apakah Tuk Kaya mengerti bahawa wang dan kekayaan tidak boleh membeli segala-galanya?


tiada kita ada

tiada kita ada


tak ada milik kita
hanya diberi sementara merasa
sampai ketika pemiliknya
akan mengambil segala
tiada kita ada
kosong dan sendiri

20 Nov 2018

seketul jagung

seketul jagung


katamu belantara inilah penyebab
kita lambat menjadi hebat
hari ini bukan lagi memerlukan sang pendaki gunung
atau pandai hutan
kita sedang berlawan dengan teknologti
bijak fikir dan pandai akal
sedang dari manakah segala teknologi itu
berakar
bukankah dari pohon dan banir rimba
ditarah menjadi kota dan lebuh raya
segala zat belantara kita minum
untuk membina teknologi ini
tanpa seketul jagung
tak bisa terlahir kehebatan itu






tangisan rasulullah saw



Nabi saw sentiasa mendahului masalah umat melebihi diri Baginda sendiri (al-ithaar - الإيثار ).

Setiap nabi mempunyai kuasa doa yang akan diperkenankan oleh Allah swt serta merta . Maka setiap nabi telah berdoa semasa di dunia. Namun, Nabi saw telah menyimpan kuasa doa ini untuk berdoa di hari kiamat kelak bagi menyelesaikan masalah umatnya.



عبد الله بن عمرو المحدث: أنَّ النبيَّ صلَّى اللهُ عليهِ وسلَّمَ تلا قولَ اللهِ عزَّ وجلَّ في إبراهيمَ:

{ رَبِّ إِنَّهُنَّ أَضْلَلْنَ كَثِيرًا مِنَ النَّاسِ فَمَنْ تَبِعَنِي فَإِنَّهُ مِنِّي وَمَنْ عَصَانِي فَإِنَّكَ غَفُورٌ رَحِيمٌ } [إبراهيم: 36] الآية

وقال عيسى عليه السلام : (إِنْ تُعَذِّبْهُمْ فَإِنَّهُمْ عِبَادُكَ وَإِنْ تَغْفِرْ لَهُمْ فَإِنَّكَ أَنْتَ الْعَزِيزُ الْحَكِيم)[المائدة: 118]

فرفعَ يديهِ وقال اللهمَّ! أُمَّتي! أُمَّتي! وبكى.

فقال اللهُ عزَّ وجلَّ: يا جبريلُ! اذهب إلى محمدٍ، - وربُّكَ أعلمُ -، فسَلهُ ما يُبكيكَ؟

فأتاهُ جبريلُ عليهِ الصلاةُ والسلامُ فسَألهُ. فأخبرهُ رسولُ اللهِ صلَّى اللهُ عليهِ وسلَّمَ بما قالَ. وهو أعلمُ.

فقال اللهُ: يا جبريلُ! اذهبْ إلى محمدٍ فقلْ: إنَّا سنُرضيكَ في أُمَّتكَ ولا نَسُوءُكَ. رواه مسلم رقم: 202.


Abdullah bin ‘Amru ra meriwayatkan bahawa:

Rasulullah SAW telah membaca ayat al-Quran tentang Nabi Ibrahim yang bermaksud:

{Wahai Tuhanku, sesungguhnya berhala-berhala itu telah menyesatkan kebanyakan daripada manusia, maka sesiapa yang mengikutiku, maka sesungguhnya orang itu termasuk golonganku, dan sesiapa yang menderhakai aku, maka sesungguhnya Engkau, Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.} [Ibrahim: 36]

Baginda kemudian membaca ayat tentang Nabi Isa yang telah berkata:

{Jika Engkau menyiksa mereka, maka sesungguhnya mereka adalah hamba-hamba Engkau, dan jika Engkau mengampuni mereka, maka sesungguhnya Engkaulah yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.} [al-Maidah:118]

Baginda kemudian mengangkat kedua tangannya sambil berkata: “Wahai Tuhanku, Umatku! Umatku!” Sambil menangis.

Allah swt pun berfirman: “Wahai Jibril pergilah kepada Muhammad, beritahu kepadanya: Kami akan berikan apa yang engkau redhai dengan umat-mu dan kami tidak akan menyusahkan-mu.” [HR: Muslim]



19 Nov 2018

puisi

PUISI


puisi adalah kemanisan
dari jantung jiwa kelopak fikir
memahat kata mengadun rasa
bukan untuk mendusta kebenaran
bukan pula menegakkan serong
tapi menyuluh segenap benar
biarlah terang
menggamit hati
membelah segengap kelainan
menjadi keinginan

hanya itu
puisi

15 Nov 2018

Syeikh Nuruddin ar-Raniri

Syeikh Nuruddin ar-Raniri Ulama ahli debat
Oleh: WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH
21 Nov 2005




PADA mukadimah dan penutup tentang Syeikh Hamzah al-Fansuri keluaran yang lalu, telah saya singgung gambar imaginasi. Dalam artikel ini disiarkan gambar imaginasi Syeikh Nuruddin ar- Raniri yang juga tiada siapa yang tahu penciptanya, seperti Syeikh Hamzah al-Fansuri juga. Sebagaimana Syeikh Hamzah al-Fansuri, nama Syeikh Nuruddin ar-Raniri cukup banyak mendapat perhatian dan ditulis orang. Jauh sebelum kedatangan Syeikh Nuruddin ar-Raniri ke Aceh, pada masa pemerintahan Sultan Husein (pengganti Sultan sebelumnya), yang mangkat tahun 975 H/1567 M, di Aceh telah ada seorang ulama yang digelar

Syeikh Nuruddin. Mengenainya disebut dalam Hikayat Aceh.

Perlu dibezakan, apabila kita menulis nama lengkap Syeikh Nuruddin ar-Raniri dengan nama ayah saudaranya yang pernah datang ke Aceh. Syeikh Nuruddin ar-Raniri yang diriwayatkan ini nama lengkapnya berdasarkan kepada karya-karyanya ialah Syeikh Nuruddin Muhammad ibnu 'Ali ibnu Hasanji ibnu Muhammad Hamid ar-Raniri al-Quraisyi. Syeikh Nuruddin ar-Raniri walau pun berasal daripada keturunan Arab di India dari pihak ayahnya dan bangsa Melayu dari sebelah ibu, namun beliau lama tinggal di Pahang dan Aceh, dan banyak mengarang kitab-kitab dalam bahasa Melayu. Sebahagian besar karangannya ditujukan membantah fahaman 'Wahdatul Wujud' yang diajarkan oleh Syeikh Hamzah al-Fansuri dan Syeikh Syamsuddin as-Sumatra-i.

Banyak perkara menarik mengenai ulama ini, di antaranya kitab fikah dalam bahasa Melayu yang pertama sekali berjudul ash-Shirath al-Mustaqim adalah karya beliau. Demikian juga mengenai kitab hadis yang berjudul al-Fawaid al-Bahiyah fi al-Ahadits an-Nabawiyah atau judul lainnya Hidaya al-Habib fi at-Targhib wa at-Tarhib, adalah kitab membicarkan hadis yang pertama sekali dalam bahasa Melayu.

Hampir semua penulis menyebut bahawa Syeikh Nuruddin ar-Raniri dilahirkan di Ranir, berdekatan dengan Gujarat. Asal usul beliau ialah bangsa Arab keturunan Quraisy yang berpindah ke India. Tetapi salah seorang muridnya bernama Muhammad 'Ali atau Manshur yang digelarkan dengan Megat Sati ibnu Amir Sulaiman ibnu Sa'id Ja'far Shadiq ibnu 'Abdullah dalam karyanya Syarab al-'Arifin li Ahli al-Washilin menyebut bahawa Syeikh Nuruddin ar-Raniri adalah "Raniri negerinya, Syafi'ie nama mazhabnya, Bakri bangsanya."

Pendidikan asasnya dipercayai diperolehnya di tempat kelahirannya Raniri atau Rander. Raniri/Rander, sebahagian riwayat mengatakan berdekatan dengan Kota Surat, dan riwayat lain mengatakan dekat Bikanir, kedua-duanya di negeri India. Syeikh Nuruddin ar-Raniri berhasil berangkat ke Mekah dan Madinah dalam tahun 1030 H/1621 M dan di sana beliau sempat belajar kepada Syeikh Abu Hafash 'Umar bin 'Abdullah Ba Syaiban atau nama lain ulama ini ialah Saiyid 'Umar al-'Aidrus. Kepada ulama ini beliau mengambil bai'ah Thariqat Rifa'iyah. Dalam sektor Thariqat Rifa'iyah itu syeikh yang tersebut adalah murid kepada Syeikh Muhammad al-'Aidrus. Selain Thariqat Rifa'iyah, Syeikh Nuruddin ar-Raniri juga pengamal Thariqat Qadiriyah.

Kedatangan Syeikh Nuruddin ar-Raniri buat pertama kalinya ke Aceh diriwayatkan dalam tahun 1577 M, tetapi ada juga ahli sejarah mencatat bahawa beliau sampai di Aceh pada tahun 1637 M. Ini bererti setahun setelah mangkatnya Sultan Iskandar Muda (memerintah dari tahun 1606 M hingga 1636 M). Syeikh Nuruddin ar-Raniri seakan-akan kedatangan pembawa satu pendapat baru, yang asing dalam masyarakat Aceh. Setiap sesuatu yang baru selalu menjadi perhatian dan pengamatan orang, sama ada pihak kawan atau pun pihak lawan. Fahaman baru yang dibawa masuk oleh Syeikh Nuruddin ar-Raniri itu ialah fahaman anti atau penolakan tasawuf ajaran model Syeikh Hamzah al-Fansuri dan

Syeikh Syamsuddin as-Sumatra-i. Kedua-dua ajaran ulama sufi itu adalah sesat menurut pandangan beliau.

Syeikh Nuruddin ar-Raniri mendapat tempat pada hati Sultan Iskandar Tsani, yang walaupun sebenarnya pada zaman pemerintahan Sultan Iskandar Muda beliau tidak begitu diketahui oleh masyarakat luas.

Oleh sebab ketegasan dan keberaniannya ditambah lagi, Syeikh Nu-

ruddin ar-Raniri menguasai berbagai-bagai bidang ilmu agama Islam, mengakibatkan beliau sangat cepat menonjol pada zaman pemerintahan Sultan Iskandar Tsani itu. Akhirnya Syeikh Nuruddin ar-Raniri naik ke puncak yang tertinggi dalam kerajaan Aceh, kerana beliau mendapat sokongan sepenuhnya daripada sultan. Beliau memang ahli dalam bidang ilmu Mantiq (Logika) dan ilmu Balaghah (Retorika). Dalam ilmu Fikah, Syeikh Nuruddin ar-Raniri adalah penganut Mazhab Syafie, walaupun beliau juga ahli dalam ajaran mazhab-mazhab yang lainnya. Dari segi akidah, Syeikh Nuruddin ar-Raniri adalah pengikut Mazhab Ahlus Sunnah wal Jama'ah yang berasal daripada Syeikh Abul Hasan al-Asy'ari dan Syeikh Abu Manshur al-Maturidi. Pegangannya dalam tasawuf ialah beliau adalah pengikut tasawuf yang mu'tabarah dan pengamal berbagai-bagai thariqah sufiyah. Tetapi suatu perkara yang aneh, dalam bidang tasawuf beliau menghentam habis-habisan

Syeikh Hamzah al-Fansuri dan Syeikh Syamsuddin as-Sumatra-i. Walau bagaimanapun Syeikh Nuruddin ar-Raniri tidak pernah menyalahkan, bahkan menyokong Syeikh Muhyuddin ibnu 'Arabi, Abi Yazid al-Bistami, 'Abdul Karim al-Jili, Abu Manshur Husein al-Hallaj dan lain-lain. Perkataan yang bercorak 'syathahiyat' yang keluar daripada ulama-ulama sufi yang tersebut itu tidak pernah beliau salahkan tetapi sebaliknya perkataan yang bercorak 'syathahiyat' yang berasal daripada

Syeikh Hamzah al- Fansuri dan Syeikh Syamsuddin as-Sumatra-i selalu ditafsirkan secara salah oleh Syeikh Nuruddin ar-Raniri. Di dalam karyanya Fath al-Mubin 'ala al-Mulhidin, Syeikh Nuruddin ar-Raniri berpendapat bahawa al-Hallaj mati syahid. Katanya: "Dan Hallaj itu pun syahid fi sabilillah jua." Padahal jika kita teliti, sebenarnya Syeikh Hamzah al-Fansuri dan Syeikh Syamsuddin as-Sumatra-i itu pegangannya tidak ubah dengan al-Hallaj.

Ajaran Syeikh Hamzah al-Fansuri dan Syeikh Syamsuddin as-Sumatra-i berpunca daripada ajaran Syeikh Muhyuddin ibnu 'Arabi, Syeikh Abi Yazid al-Bistami, Syeikh 'Abdul Karim al-Jili dalam satu sektor. Dan bahagian lain juga berpunca daripada ajaran Imam al-Ghazali, Syeikh Junaid al-Baghdadi dan lain-lain, adalah dipandang muktabar, sah dan betul menurut pandangan ahli tasawuf. Bahawa ajaran tasawuf telah berurat dan berakar di kalbi, bahkan telah mesra dari hujung rambut hingga ke hujung kaki, dari kulit hingga daging, dari tulang hingga ke sumsum pencinta-pencintanya, yang tentu saja mereka mengadakan tentangan yang spontan terhadap

Syeikh Nuruddin ar-Raniri. Bahkan kepada siapa saja yang berani menyalah-nyalahkan pegangan mereka. Pengikut-pengikut Syeikh Hamzah al-Fansuri dan Syeikh Syamsuddin as-Sumatra-i menganggap kedua-dua guru mereka adalah wali Allah, yang faham terhadap pengetahuan syariat, tarekat, haqiqat dan makrifat. Mereka beranggapan, walaupun diakui bahawa

Syeikh Nuruddin ar-Raniri sebagai seorang ulama besar, yang dikatakan juga telah mengetahui ilmu tasawuf, namun tasawuf yang diketahui oleh Syeikh Nuruddin ar-Raniri itu hanyalah tasawuf zahir belaka. Bahawa beliau hanyalah mengetahui kulit ilmu tasawuf, tetap tidak sampai kepada intipati tasawuf yang sebenar-benarnya. Bahawa beliau baru mempunyai ilmu lisan sebagai hujah belaka, tetapi belum mempunyai ilmu kalbi, yang dinamakan juga dengan ilmu yang bermanfaat. Oleh itu, wajiblah mereka membela guru mereka yang mereka sanjung tinggi itu.

Selama menetap di Pahang atau pun setelah beliau pindah ke Aceh, ramai penduduk yang berasal dari dunia Melayu belajar kepada ulama besar yang berasal dari India itu, namun sampai riwayat ini saya tulis, belum dijumpai tulisan yang menyenaraikan nama murid-murid Syeikh Nuruddin ar-Raniri. Untuk memulakan penjejakan mengenainya di sini dapat saya perkenalkan hanya dua orang, iaitu: Syeikh Yusuf Tajul Mankatsi/al-Maqasari al-Khalwati yang berasal dari Makasar/tanah Bugis. Tidak begitu jelas apakah Syeikh Yusuf Tajul Khalwati ini belajar kepada Syeikh Nuruddin ar-Raniri sewaktu beliau masih di Aceh atau pun Syeikh Yusuf datang menemui Syeikh Nuruddin ar-Raniri di negerinya, India. Sementara pendapat lain menyebut bahawa Syeikh Yusuf Tajul Khalwati benar-benar dapat berguru kepada Syeikh Nuruddin ar-Raniri sewaktu masih di Aceh lagi, dan Syeikh Yusuf Tajul Khalwati menerima bai'ah Tarekat Qadiriyah daripada Syeikh Nuruddin ar-Raniri. Yang seorang lagi ialah Syeikh Muhammad 'Ali, ulama ini berasal dari Aceh.

Ada yang berpendapat bahawa beliau meninggal dunia di India. Pendapat lain menyebut bahawa beliau meninggal dunia di Aceh. Ahmad Daudi, menulis: "Maka tiba-tiba dan tanpa sebab-sebab yang diketahui, Syeikh Nuruddin ar-Raniri meninggalkan

Serambi Mekah ini, belayar kembali ke tanah tumpah darahnya yang tercinta, Ranir untuk selama-lamanya. Peristiwa ini terjadi pada tahun 1054 H (1644 M)." Bahawa beliau meninggal dunia pada 22 Zulhijjah 1069 H/21 September 1658 M. Tetapi Karel A. Steenbrink dalam bukunya, Mencari Tuhan Dengan Kacamata Barat berpendapat lain, bahawa hingga tahun 1644 M bererti Syeikh Nuruddin masih berada di Aceh. Menurutnya terjadi diskusi yang terlalu tajam antara beberapa kelompok pemerintah: Seorang uskup agung (ar-Raniri) di satu pihak dan beberapa hulubalang dan seorang ulama dari Sumatera Barat di pihak lain. Pihak yang anti ar-Raniri akhirnya menang, sehingga ar-Raniri dengan tergesa-gesa kembali ke Gujarat. Tulisan Karel itu barangkali ada benarnya, kerana secara tidak langsung Syeikh Nuruddin mengaku pernah kalah berdebat dengan Saiful Rijal, penyokong fahaman Syeikh Hamzah al-Fansuri dan Syeikh Syamsuddin as-Sumatra-i, perkara ini beliau ceritakan dalam kitab Fath al-Mubin.

Ada pun tempat meninggalnya, H.M. Zainuddin, berbeza pendapat dengan Ahmad Daudi di atas. Menurut Zainuddin dalam Tarich Atjeh Dan Nusantara, jilid 1, bahawa terjadi pertikaian di istana, dalam perebutan itu telah terbunuh seorang ulama, Faqih Hitam yang menentang tindakan Puteri Seri Alam. Dalam pada itu Syeikh Nuruddin diculik orang, kemudian mayatnya diketemukan di Kuala Aceh. Menurut H.M. Zainuddin pula, bahawa makam Syeikh Nuruddin itu dikenal dengan makam keramat Teungku Syiahdin (Syeikh Nuruddin ar-Raniri) terletak di Kuala Aceh.

Dalam masa pemerintahan Iskandar Muda, kerajaan Aceh maju, ajaran sufi tidak menghalang kemajuan yang berasaskan Islam. Sebaliknya masa pemerintahan Iskandar Tsani, ajaran sufi dianggap sesat, ternyata kerajaan Aceh mulai menurun. Bantahan terhadap sesuatu pegangan yang pernah berkembang di dunia Islam perlulah ditangani dengan penuh kebijaksanaan. Siapa saja yang memegang urusan keislaman janganlah tersalah penilaian, sering terjadi yang benar menjadi salah, atau sebaliknya yang salah menjadi benar.

utusan


6 Nov 2018

usah

usah


usah khuatiri kegelapan
kerana keredupan itu bukan penutup
menuju pintu jauh mencari
kemalapan bukan penyebab
kau tidak berdaya berlari
ia hanyalah masa dan ruang
jangan segala itu mengundurkanmu jauh
dari gapai cita-ctamu
kerana kepayahan
menandakan kau sedang berusaha

1 Nov 2018

pendukung gamelan tradisional Melayu

Pendukung gamelan tradisional Melayu menerima penghormatan
Gamelan

PENGGIAT gamelan tradisional Melayu bersama anugerah yang mereka terima dalam majlis penghormatan buat mereka di Kuala Terengganu hari ini. - UTUSAN ONLINE/AZLAN BAHARUM
Wan Zulkifli Wan Yaacob

KUALA TERENGGANU 30 Okt. -Seramai 17 orang pendukung dan sebuah badan yang membantu mengekal dan menyuburkan seni warisan Terengganu kerana kecintaan mereka, menerima penghormatan negeri dalam Majlis Aspresiasi Lambang Sari Gamelan Tradisional Melayu di sini hari ini.

Tiga daripada mereka, Wan A.Latiff Wan Besar, Wan Salmah Wan Sulaiman dan Zaharah Abdul Hamid yang menjadi rujukan dalam seni tradisi istana itu sehingga kekal dengan identiti tersendiri dan pengenalan bagi negeri, menerima anugerah Tokoh Gamelan Tradisional Melayu.

Seramai tujuh orang lagi menerima anugerah khas berdasarkan pencapaian dan sumbangan membanggakan dalam memulihara, mencetus idea baharu bagi kelestarian, mendokumentasi sejarah dan koleksi bahan rujukan melalui pelbagai medium.

Mereka terdiri daripada Prof. Dr. Siti Zainon Ismail, Dr.Harun Mat Piah, Che Mat Jusoh, Mohd Yusof Abdullah, Sulong Ismail, Othman Abdullah dan Allahyarham Datuk Suhaimi Mohd Zain yang diwakili anaknya Megat Mohd Syahraini.

Penyampaian anugerah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman di Dewan Besar Wisma Darul Iman.

Program dianjurkan oleh kerajaan negeri melalui Jabatan Pelancongan dengan kerjasama Universiti Malaysia Terengganu dan Lembaga Muzium negeri.

Anugerah Adiguru Gamelan Tradisional Melayu pula diberikan kepada Ramli Ibrahim, Hamzah Abdul Hamid, Tun Baharum Tun Abdul Razak, Salwani Shamsuddin, Ahmad Zaki Abdullah, Razali Embong dan Muhammad Shahrul Azmi Hassan.

Sementara itu badan kesenian negeri, SUKTRA Terengganu yang di bawah naungan Pejabat Setiausaha Kerajaan menerima Anugerah Khas Institusi Gamelan Tradisional Melayu.

SUKTRA Terengganu masih berfungsi sebagai payung gamelan dengan corak persembahan yang sentiasa memperlihatkan ekspresi seni yang estetik dalam majlis -majlis rasmi dan sebagai duta seni negeri. - UTUSAN ONLINE



CHE MAT JUSOH TERIMA ANUGERAH KHAS GAMELAN TRADISIONAL MELAYU 2018


KUALA TERENGGANU, 30 Oktober 2018 – Adiguru atau Raja Rebab terkemuka, Che Mat Jusoh, 65, hari ini menerima Anugerah Khas Gamelan Tradisional Melayu 2018 oleh Kerajaan Negeri Terengganu.

Majlis ini telah mengiktiraf sumbangan 17 orang tokoh, penggiat serta aktivis gamelan tradisional Melayu yang telah banyak menabur jasa dan sumbangan kepada seni tradisional ini sejak bertahun dahulu.

Menurut Che Mat di laman sosialnya, beliau berterima kasih kepada Kerajaan Negeri Terengganu, Universiti Malaysia Trengganu (UMT) dan Lembaga Muzium Negeri Trengganu di atas apresiasi ini.

Menyingkap mengenai Che Mat, beliau merupakan seorang yang terkenal dalam kalangan peminat permainan tradisional sebagai Che’ Mat Raja Rebab dan telah berjaya membuat perubahan terhadap sistem penjarian Rebab menggunakan note muzik serta mencipta rebab baharu menggunakan kaedah baharu.

Che’ Mat Jusoh memulakan kerjayanya dengan Universiti Sains Malaysia (USM) pada November 1978 dan kemudiannya dilantik sebagai Jurulatih Kebudayaan pada tahun 1979 sehinggalah bersara pada tahun lalu setelah 37 tahun berjuang sebagai seorang seniman yang mengajar begitu ramai mahasiswa sama ada dalam kuliah rasmi mahu pun sebagai pengajar ko-kurikulum.

Beliau banyak berjasa kepada USM yang amat dekat di hatinya. Beliau banyak membantu bahagian drama teater dan bahagian seni muzik termasuklah kuliah-kuliah yang diajar oleh tokoh seni terkemuka negara Profesor Emeritus Mohamad Ghouse Nasuruddin.

Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah

usm