mengenang azmi yusoff

Penyair terkenal meninggal dunia
Oleh Nik Aminah Yazmeen Ramsa


AZMI Yusoff meninggal dunia akibat penyakit buah pinggang di Hospital Machang pada jam 6.30 pagi tadi. - Foto ihsan Facebook Azmi Yusoff

MACHANG: Penyair terkenal, Azmi Yusoff, 63, meninggal dunia akibat penyakit buah pinggang di Hospital Machang pada jam 6.30 pagi tadi.

Azmi meninggalkan seorang balu, Rozaiton Ismail, 47 dan lapan anak.

Rozaiton berkata, Azmi sempat berpesan kepadanya supaya menjaga lapan anak mereka yang berusia lapan hingga 14 tahun.

"Arwah mahu saya mengurus anak-anak dengan baik dan meminta maaf dengan saya.

"Dia sempat melafazkan dua kalimah syahadah sebelum menghembuskan nafas terakhir dengan tenang dan kami reda dengan pemergiannya," katanya ketika ditemui BH di kediamannya di Kedai Labok, di sini, hari ini.

Arwah pernah memenangi Hadiah Sastera Malaysia 1984/85 dan anugerah terbaru yang diterima arwah Anugerah Tokoh Penyair PERADABAN 2017, di Majlis Dialog Penyair Nusantara Sempena Hari Puisi Sedunia 2017, Peringkat Negeri Kelantan di Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Bachok.

bharian



Azmi ibarat permata, sukar dicari ganti
Oleh Nik Aminah Yazmeen Ramsa


GAMBAR kenangan Azmi ketika menyertai acara sastera di Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Tengah, Kota Bharu.NSTP


MACHANG: Berpulangnya penyair kelahiran negeri ini, Allahyarham Azmi Yusoff ibarat hilangnya permata buat semua pengarang kerana jasanya dalam dunia sastera negara cukup bernilai dan sukar dicari ganti.

Penasihat Persatuan Penulis Kelantan (PPK), Norhisham Mustaffa, berkata karya yang dihasilkan Azmi begitu terkesan untuk pembaca kerana mempunyai maksud yang mendalam.

"Sememangnya ada pepatah mengatakan, patah tumbuh hilang berganti, tetapi bagi saya kehilangan beliau tiada gantinya kerana sifatnya yang baik hati dan suka menolong kawan-kawan walaupun keadaan kesihatannya yang tidak baik, beliau tidak pernah berkira.

"Allahyarham adalah junior saya ketika di Universiti Kebangsaan Malaysia. Sejak mengenalinya lebih 40 tahun lalu, apa yang saya tahu beliau seorang yang cintakan dunia sastera.

"Setiap idea dan pemikirannya yang unik dihasilkan, akan diilhamkan melalui puisinya," katanya kepada Sastera&Budaya di sini, semalam.

Azmi, 63, meninggal dunia akibat penyakit buah pinggang di Hospital Machang pada jam 6.30 pagi, Khamis lalu.

Anugerah Tokoh Penyair PERADABAN 2017

Allahyarham pernah memenangi Hadiah Sastera Malaysia (HSM) 1984/85 dan anugerah terbaru yang diterima arwah ialah Anugerah Tokoh Penyair PERADABAN 2017 pada Majlis Dialog Penyair Nusantara Sempena Hari Puisi Sedunia 2017 Peringkat Negeri Kelantan, di Universiti Malaysia Kelantan, Bachok.

Norhisham berkata, ketika di bangku sekolah menengah, Azmi pernah memenangi tempat pertama Pertandingan Mengarang Puisi anjuran GPMS (1972), manakala ketika bergelar pelajar pula, beliau pernah memenangi Hadiah Sastera UKM (1979) dalam genre puisi dan skrip drama.

Beliau yang juga rakan baik Azmi berkata, kali terakhir beliau berjumpa dengan Allahyarham pada Mac lalu ketika Majlis Dialog Penyair Nusantara di UMK.

"Ketika itu sifatnya seperti biasa, hanya berbual mesra dengan semua rakan penyair lain dan tidak menunjukkan apa-apa yang luar biasa.

"Memang kehilangan Allahyarham begitu memberi kesan kepada saya sendiri dan rakan-rakan seangkatan kerana keunikan yang ada padanya sukar dicari ganti," katanya.

Sementara itu, penyair, Rosli K Matari, menyifatkan Azmi sebagai satu-satunya penyair di tanah air yang paling berwibawa dalam konteks penyair lirik.

"Bukan sekadar keterampilan rima akhir dalam pengucapannya, bahkan kehebatan mencipta keindahan jajaran larik asonansi dan aliterasi.

"Kemahiran dan kebijaksanaan menjajar lirik seperti ini tidak ditemui kepada mana-mana penyair lain. Kita kehilangan penyair lirik yang tidak didendangkan oleh kebanyakan pengkritik dan pengkaji," katanya.

bharian

Puisi-Puisi Azmi Yusoff

Azmi Yusoff 
SYAIR KEPADA TUHAN 

Allahuakbar 
maha segala yang sempurna Engkau 

bimbinglah aku ke ladang-hidayahmu 
aku ingin berbaring di ranjang-rahmatmu 


Allahurabbi maha segala yang lengkap Engkau 
iringlah aku ke jalan syufaatmu 
aku ingin berguling di taman-nikmatmu 

Allahuakbar 
Allahurabbi 
padamkanlah bara-raguku 
marakkalah unggun-rinduku 
kepadaMu,  semoga 
jarak akan semakin dekat 
cinta akan semakin hangat 
- aku kepadamu. 
1978.





Comments