tanah akhirku

Teater 'Tanah Akhirku' Di Istana Budaya Ogos Ini
Oleh Farah Nadhira Zairi



KUALA LUMPUR, 17 Julai (Bernama) -- Teater 'Tanah Akhirku' hasil nukilan pelajar Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) Lim Mei Fen bakal dipentaskan di Istana Budaya bermula 8.30 malam dari 28 Ogos hingga 2 Sept ini sempena bulan Kemerdekaan.

Tanah Akhirku adalah sebuah naskhah yang membawa penonton melihat sendiri pembentukan Malaysia melalui perspektif yang berbeza. Idea pementasan ini diperoleh sendiri oleh Lim sewaktu menuntut di Aswara.

"Persekitaran majmuk di kampus ini memberikan pengalaman sebenar masyarakat Malaysia yang diidami. Di Aswara kepelbagaian budaya diraikan dan setiap pelajar mempunyai peluang untuk memahami budaya asing tanpa meninggalkan akar budaya masing-masing," kata Lim pada sidang media baru-baru ini.

Pelajar tahun akhir Fakulti Seni Teater Aswara yang bertindak sebagai pengolah cerita asal itu berkata, beliau komited dalam memastikan cerita tentang penghijrahan awal masyarakat Tiong Hua ke Tanah Melayu ini dipaparkan dengan teliti melalui naskhah tersebut.

Teater Tanah Akhirku dianjurkan oleh Gold Ray Sdn Bhd dengan kerjasama Istana Budaya dan Aswara. Isteri Perdana Menteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali merupakan penaung pementasan ini.

PELUANG MENYERLAHKAN BAKAT

Ketua Pengarah Istana Budaya Datuk Mohamed Juhari Shaarani berkata menerusi pementasan di Istana Budaya, peluang untuk menyerlahkan bakat mereka akan lebih meluas.

"Mungkin selama ini pementasan teater arahan pelajar hanya di sekitar kampus sahaja namun kali ini kami mahu menarik lebih ramai golongan muda untuk datang menyaksikannya di Istana Budaya.

"Ia sekali gus memberi pengiktirafan kepada mereka untuk menonjolkan bakat kepada masyarakat umum di pentas yang berprestij," katanya.

Beliau berkata naskhah yang penuh dengan suntikan elemen kemerdekaan dan cintakan negara amat bersesuaian untuk dipentaskan pada bulan Ogos dan menambah, elemen yang terkandung dalam teater tersebut bakal menaikkan lagi nilai patriotisme dalam diri penonton.

Teater yang diarahkan oleh Ashraf Zainal ini turut menampilkan barisan pelakon terkenal tanah air seperti Erma Fatima, Izzue Islam, Nina Nadira, Angelina Tan, Nave VJ dan Lim sendiri.

Tanah Akhirku akan dipersembahkan dalam tiga bahasa iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Cina dengan sarikata bahasa. Tiket boleh dibeli melalui http://airasiaredtix.com mulai 13 Julai dengan harga RM40, RM60, RM110, RM150, RM200, RM 250, dan RM350.

-- BERNAMA



Pementasan Teater Tanah Akhirku Sempena Bulan Kemerdekaan
Roni H. Ridwan


Bermula sebagai projek untuk penilaian projek tahun akhir di Aswara, akhirnya teater berjudul Tanah Akhirku bakal dipentaskan di Panggung Sari Istana Budaya pada 28 Ogos hingga 2 September 2018.

Penerbitnya, Mei Fen Lim berkata, teater Tanah Akhirku merupakan projek tahun akhirnya sebagai pelajar di Aswara yang telah dipentaskan pada bulan Januari lalu.

“Teater ini merupakan adaptasi daripada kisah benar dan saya berterima kasih kepada pihak Istana Budaya yang telah memberikan kepercayaan kepada saya untuk menerbitkannya.

“Boleh dikatakan Tanah Akhirku ini memberi makna yang cukup besar buat diri saya, malah gembira apabila pementasan ini turut mendapat sokongan daripada rakan-rakan di Aswara,” ujarnya ketika ditemui semasa majlis pelancaran minggu lalu.

Diarahkan oleh pengarah Ashraf Zainal, teater tersebut turut membariskan beberapa pelakon lain seperti Erma Fatima, Izzue Islam, Nina Nadira, Nave VJ, Angeline Tan dan Mei Fen sendiri.

Ia mengisahkan tentang perjalanan hidup seorang gadis yang berasal dari tanah besar China iaitu Yin Feng yang datang ke Tanah Melayu untuk mencari kehidupan baharu bersama ibu dan adiknya.

Ditanya tentang cabarannya untuk menerbitkan teater berkenaan, Mei Fen memberitahu setiap cabaran yang datang tidak pernah melunturkan semangatnya.

“Bukan mudah untuk menerbitkan teater kerana memerlukan modal yang besar dan cabarannya sudah tentu apabila pihak penaja menarik diri pada saat-saat akhir.

“Namun begitu, ia tidak melemahkan semangat saya kerana teater ini memberikan makna tersendiri. Jika sebelum ini, saya hasilkan teater ini sebagai pelajar, kini saya tampil pula selaku penerbit,” jelasnya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani berkata, teater Tanah Akhirku ini bersesuai untuk dipentaskan sempena bulan kemerdekaan.

“Pihak kami berasakan naskhah teater ini bersesuaian untuk dipentaskan pada bulan Ogos bagi menyemarakkan lagi rasa cinta kepada negara.

“Elemen-elemen kemerdekaan dan cinta kepada negara yang terkandung dalam teater ini juga bakal menaikkan lagi rasa patriotisme penonton,” jelasnya.

Tanah Akhirku akan dipersembahkan dalam bahasa Melayu, China dan Inggeris dengan sarikata bahasa. Tiket-tiket berharga RM40, RM60, RM110, RM150, RM200, RM250 dan RM350 sudah boleh dibeli sejak 13 Julai lalu menerusi laman web http://airasiaredtix.com. – KopiPlanet.com




Comments