23 Oct 2017

cardoba


Air mata menitis di Cordoba
Rencana dan foto ISMAIL DIN
19 Ogos 2012


Istana Nazari, Alhambra. (Gambar diambil dari atas menara).

KIRA-KIRA dua setengah jam berada di udara dari Leeds, England, penerbangan tambang murah RyanAir selamat mendarat di lapangan terbang Malaga - pintu masuk ke Andalusia.

Dari sini bermulanya kembara kami sekeluarga ke Andalusia, Sepanyol. Oleh kerana lawatan ini tidak melalui pakej pelancongan, kami menyewa kereta selama enam hari untuk memudahkan pergerakan.

Sejurus keluar dari lapangan terbang, wakil Marbesol, syarikat kereta sewa sudah menunggu membawa kami ke garaj berhampiran untuk mengambil kereta.

Urusan sewa-menyewa dibuat secara online dan bayaran yang dikenakan €230 (RM949).

Pertama kali memandu stereng sebelah kiri timbul gementar dan kekok terutama ketika memasuki bandar sibuk.

Malaga adalah bandar pelabuhan terletak menghadap laut Mediterranean, tempat lahir pelukis terkenal Picasso.

Semasa pemerintahan Islam dahulu ia menjadi pelabuhan utama kepada pemerintahan Amir di Granada.

Salah satu tarikan pelancong di bandar ini adalah muzium Picasso. Sayangnya, kami tidak sempat ke sana kerana kereta rosak di tengah jalan.

Kesal dengan apa yang berlaku, saya terus ke tempat penginapan Flatotel Apartmentos di Benalmadena, sebuah bandar peranginan tepi pantai, 20 kilometer (km) di barat Malaga.

Esoknya kami ke Gibralatar. Perjalanan sejauh 120km sungguh menarik melintasi tujuh terowong. Kiri kanan lebuh raya dikepung bukit-bukau dengan hutan pokok renek.

Di lereng bukit tersergam rumah penduduk bercat putih. Jangkaan saya penghuninya tentu orang berada.

Kira-kira dua jam perjalanan kami tiba di Gibralatar. Bandarnya sangat kecil, berkeluasan 6.5 km persegi dengan penduduk 29,000 orang.

Asalnya kepunyaan Sepanyol tetapi menjadi tanah jajahan Inggeris. Matawang yang digunakan pound sterling.

Dari segi sejarah, pada abad kelapan, ia menjadi tempat pendaratan tentera Islam di bawah pimpinan Tariq bin Ziyad dalam misinya menyerang semenanjung Iberia.

Nama Gibraltar diambil sempena nama Jabal Tariq (Gunung Tariq). Enam jam kami berada di Gibraltar. Acara lawatan yang sempat dilakukan adalah melihat ikan lumba-lumba liar di Selat Gibraltar dan menaiki kereta kabel ke The Rock dengan bayaran € 35 seorang.

Sesi lawatan hari itu, macam tidak direstui. Selama dua jam tidak ada seekor ikan lumba-lumba pun yang muncul. Pelancong yang berada di dalam bot hampa. Balik ke tempat parkir, kereta kena rantai (clamp) kerana tempat itu dilarang meletak kereta.

Petang itu saya kerugian € 75 kerana membayar denda tetapi hati sedikit terubat kerana sempat bersolat Asar di Masjid Ibrahim yang tersergam indah di dataran Eropa Point.

Masjid ini dikatakan terbesar di Eropah dan pembinaannya dibiayai oleh Raja Fahd dari Arab Saudi.

Seterusnya kami ke Sevilla yang terletak 200km di barat laut Gibraltar. Sevilla adalah ibukota wilayah Andalusia, terletak di tebing sungai Guadalquivir dan terkenal dengan matador dan sukan lawan lembu.

Kota ini mempunyai sejarah unik. Orang Rom mula mendudukinya tetapi mencapai kegemilangan dengan kehadiran orang Arab pada abad kelapan.

Kelihatan bangunan lama gabungan senibina Islam dan Katholik sungguh menarik. Setiap istana dan gereja mencerminkan adunan dua budaya sehingga hampir mustahil melihat gereja yang bukan asalnya masjid.

Acara pertama melawat Plaza de Toros iaitu stadium sukan lawan lembu yang dibina pada 1761 dan dapat menampung seramai 14,000 penonton.

Stadium ini adalah objek wisata yang mesti dilawati ketika berada di Sevilla. Di bahagian bawah stadium terdapat muzium sejarah dan tradisi sukan lawan lembu. Bayaran masuk €6.50.

Seterusnya kami ke istana Alcazar, kira-kira 15 minit berjalan dari stadium. Istana ini tersergam indah di tengah bandar. Pada abad ke-12, ia adalah kubu dan kediaman Khalifah Al Mohad.

Istana ini sungguh hebat dengan hiasan dalaman terserlah senibina Islam yang halus dan cantik dengan gerbang dan laman yang menarik.

Ia masih digunakan oleh keluarga diraja Sepanyol jika melawat Sevilla. Berhampiran istana terletak sebuah gereja, dikatakan yang terbesar di Sepanyol dengan menara La Giralda. Menara setinggi 82 meter menjadi ikon kota Sevilla asalnya menara azan masjid.

Dari istana, kami ke Torre del Oro yang terletak di tebing sungai Guadalquivir. Del Oro adalah menara kawalan dan kubu tentera semasa pemerintahan Al Mohad. Sekarang ia dijadikan muzium maritim. Dari sini kami dapat melihat panaroma kota Sevilla.

Lawatan diakhiri dengan menyusuri sungai Guadalquivir dengan bayaran €15 seorang. Pelayaran selama sejam sungguh menarik, melintasi enam jambatan yang mempunyai reka bentuk berlainan antara satu sama lain.

Di sepanjang dua tebing sungai terdapat bangunan bersejarah seperti menara, gereja, pavilion, muzium, teater, penempatan penduduk serta hotel dan bangunan moden.

Dari pelabuhan yang terletak di sungai inilah Christopher Columbus memulakan pelayarannya ke Amerika dan Magallanes mengelilingi dunia.

Jejak sejarah Andalusia diteruskan lagi. Kami bergerak pula ke Cordoba yang terletak 145 km ke timur Sevilla. Cordoba mempunyai penduduk kira-kira 250,000 orang. Semasa pemerintahan Islam, ia menjadi ibukota wilayah Andalusia.

Puncak kegemilangan adalah semasa pemerintahan Abdul Rahman III (912 - 961). Ketika itu ia adalah kota terbesar di Eropah Barat lengkap dengan masjid, perpustakaan, universiti, pasar dan balai cerap.

Ia adalah kota ilmu dan budaya, pusat sarjana Islam, Yahudi dan Kristian berkarya dan berwacana. Ilmuwan yang lahir di kota ini antaranya Ibnu Rushd dan Musa bin Maimun.

Bahagian paling menarik di bandar ini adalah Kota Zaman Pertengahan, diisytiharkan UNESCO sebagai Tapak Warisan Dunia, di mana di sinilah terletaknya masjid Cordoba.

Tanpa berlengah dengan bayaran €8 saya terus masuk ke masjid yang berkeluasan 24,000 meter persegi. Masjid Cordoba sungguh indah walaupun 12 abad berlalu, kehebatannya tetap kekal mempesonakan.

Masjid ini telah dipunggah dan dibina semula sebagai gereja Katholik tetapi bangunan asalnya iaitu gerbang yang berbentuk ladam kuda yang disokong oleh deretan 850 tiang seri tetap mencuri perhatian pelawat.

Di tengah pelawat yang ramai, saya terpandang seseorang sedang mengesat air mata di pipi di balik tiang sambil merenung ayat Quran yang terukir cantik di mihrab.

Jangkaan saya, pelawat ini tentu memahami maksud ayat tersebut dan merasa pilu mengenangkan nasib yang menimpa masjid ini. Laungan azan sudah tidak berkumandang di sini.

Di luar masjid di sepanjang jalan hadapannya, pelawat bertali-arus. Terdapat deretan kedai cenderamata, kafe dan restoran.

Tidak jauh dari masjid kelihatan tempat hentian kereta kuda. Dengan bayaran €45, kami sekeluarga menyewa kereta kuda berpusing-pusing sekitar kota. Selama sejam, Raphel pemandu pedati membawa kami menyusuri kota tua yang bersejarah itu.

Melalui jalan sempit di kawasan penempatan lama Yahudi melihat binaan dan rumah lama kesan peninggalan Roman dan Islam.

Rumah lama bercat putih kelihatan masih utuh, di balkoni bergantungan bunga kertas yang sedang berkembang membawa saya bernostalgia ke zaman kegemilangan silam.

Esoknya kami ke Medina Al Zahrah, terletak lapan km di barat Cordoba. Medina Al Zahrah adalah sebuah kompleks besar kota-istana terletak di kawasan seluas 112 hektar.

Dibina oleh Khalifah Abdul Rahman III sebagai pusat kerajaan Islam di Sepanyol.

Selain istana khalifah, kompleks ini lengkap dengan dewan tetamu, masjid, pejabat kerajaan, taman, berek tentera, bengkel, kolam dan tempat mandi awam.

Tetapi pada tahun 1010 ia telah dijarah dan musnah akibat perang saudara dan kini tinggal menjadi puing-puing sejarah.

Rangka binaan lama, tiang dan gerbang menjadi saksi kehebatan sebuah kerajaan yang telah hilang.

Kami tinggalkan runtuhan bandar purba itu dengan penuh kenangan menuju ke Granada, kira- kira 200 km di tenggara Cordoba.

Granada adalah kota terakhir pemerintahan Islam di Sepanyol. Kota ini jatuh ke tangan raja Katholik pada 1492.

Kota yang mempunyai 300,000 penduduk ini mempunyai sebuah monumen hebat yang menjadi daya tarikan pelancong ke Sepanyol iaitu Istana Alhambra. Istana ini juga diisytiharkan oleh UNESCO sebagai Tapak Warisan Dunia.

Alhambra mempunyai dua seksyen utama iaitu Istana Nazari dan kubu pertahanan Alcazaba. Istana Nazari yang dianggap permata Alhambra mempunyai berpuluh bilik dan ruang. Antaranya mexuar, cuarto de comares, cuarto de los leones dan sala de los Reyes (dewan diraja).

Sungguh teruja kami melihat ukiran halus dan cantik di lengkung gerbang dengan tulisan khat Arab menghiasi dinding bangunan.

Mexuar adalah balai penghadapan, tempat khalifah bertemu rakyat jelata manakala Cuarto de Comares adalah kediaman rasmi khalifah yang paling cantik dan paling mewah hiasannya.

Cuarto de Los Leones adalah kediaman keluarga diraja dengan lamannya terdapat 12 patung singa mengelilingi pancuran air.

Tidak jauh dari istana terdapat taman luas - Taman Generalife yang dihiasi dengan pokok teduhan dan pokok bunga tersusun rapi. Penyair menggambarkan keindahannya sebagai taman syurga di dunia.

Oleh kerana kesuntukan masa, kami hanya sempat menikmati kehebatan Alhambra selama lima jam kerana terpaksa bergerak ke Malaga untuk mengejar jadual penerbangan pulang.

Jejak sejarah Andalusia selama enam hari sungguh berkesan di jiwa. Menyaksikan kejatuhan sebuah kerajaan akibat pengkhianatan dan komplot dalaman sesama sendiri.

Kegemilangan kerajaan Islam silam tinggal menjadi kenangan dan pengajaran.

utusanonline

jatuhnya granada

1492: KEJATUHAN GRANADA KEKALAHAN UMAT ISLAM DI TANAH ANDALUS


Situasi politik dan umat Islam di Malaysia menunjukkan bahawa ahli politik dan masyarakat Melayu Islam tidak mengambil iktibar daripada sejarah kejatuhan Islam di tanah Andalus.

Mari kita menelusuri faktor kejatuhan umat Islam di dalam sejarah kerajaan Islam Nasrid di Sepanyol.

2 Januari 1492 menandakan satu detik hitam di dalam sejarah umat Islam khususnya umat Islam di Granada. Kejatuhan Granada di tangan Ferdinand II Of Aragon dan Isabella of Castille menyebabkan runtuhnya empayar Islam Nasrid di tanah Andalus.

Ferdinand II of Aragon dan Isabella of Castille telah mengutus surat kepada Pope mengenai Perang Salib mereka ini:

“But our desire to serve God and our zeal for the holy Catholic faith have induced us to set aside our own interets and ignore the continual hardship and dangers to to which this cause commits us. And thus we may hope that the Catholic faith may be spread and Christendom quit of so unremitting a menace as abides here at our gates, until these infidels of the kingdom of Granada are uprooted and expelled from Spain.”

(La Santa Sede y la Reconquista de Granada, Hispania Sacra)

Ferdinand dan Isabella menggunakan moto dan polisi ‘To Constitute Spain to The Service of God‘ dan ‘All-Christian Spain‘ bagi melancarkan perang ini.

Saya akan membincangkan faktor dalaman yang patut dijadikan iktibar buat umat Islam pada hari ini.

Antara punca besar kejatuhan ini juga adalah akibat peperangan dan pergaduhan antara pemerintah dan umat Islam di Tanah Andalus.

Peperangan berlaku di antara Abū Abd Allāh Muhammad XII atau Boabdil yang dikenali sebagai seorang pemerintah yang lemah dan seorang putera yang memberontak menentang ayahnya Abū Al-Hassān Alī dikenali sebagai Mullay Hassan, dan pakciknya Abū Abd Allāh Muhammad III dikenali sebagai el-Zagal.

Pada tahun 1483, Boabdil telah ditawan di Lucena oleh tentera Kristian dan akhirnya beliau tunduk dengan perjanjian dengan Ferdinand dan Isabella untuk ‘bekerjasama’ atau taat kepada mereka dan dijanjikan kuasa sebagai pemerintah Granada kepada beliau, satu kedudukan yang memang didami Boabdil.

Ketika serangan Ferdinand II keatas Mullay Hassan dan El-Zagal di Malaga, Ferdinand II telah meminta tolong kepada Boabdil untuk tidak masuk campur di dalam serangan keatas Malaga ini. Malaga akhirnya jatuh ketangan Kerajaan Kristian.



Kemudiannya Bandar Baza, Almuñécar, Salobreña dan Almería.

Akhirnya pada Januari tahun 1492, Boabdil telah diseru oleh Ferdinand II untuk menyerahkan Granada setelah beberapa bulan dikepung. Pada tanggal 2 Januari 1492, umat Islam telah kehilangan tanah Andalus dan dipaksa memeluk Kristian atau diusir dan tanah serta harta mereka dirampas. Mereka yang enggan akan dibunuh oleh kerajaan Kristian Spain.

Kejatuhan Granada telah merubah landskap Eropah menyebabkan Eropah tiada negara Islam sehingga kini dan polis ‘All-Christian‘ berjaya ditegakkan di Eropah.

Tanah yang satu masa dahulu milik umat Islam hilang disebabkan umat Islam meninggalkan Islam dan terikutkan dan tunduk dengan hawa nafsu.

Semoga menjadi pengajaran buat kita untuk tidak bergaduh di atas hal remeh sesama umat Islam dan tidak bermudah-mudah menerima pertolongan golongan menentang Islam.

Muhamad Amirul Asyraf
Penyelidik
Al-Quds Centre For Studies and Development

ismaweb

5 Oct 2017

TombiruoMovie


Bahasa Kadazan-Dusun dalam Tombiruo: Penunggu Rimba
Oleh ZULHILMI JALIL
Foto IHSAN ASTRO SHAW

FILEM Tombiruo: Penunggu Rimba diadaptasi daripada novel karya Ramlee Awang Murshid.

BAGI pencinta novel, karya Ramlee Awang Murshid sememangnya bukanlah sesuatu yang asing. Apatah lagi, bagi mereka yang memang cintakan sesuatu naskhah berbentuk thriller atau penyiasatan, bahan bacaan novel tulisan Ramlee antara yang sering menjadi buruan.

Jika hampir 20 tahun lalu, Ramlee pernah tampil dengan karya penulisannya yang diberi judul Tombiruo: Penunggu Rimba, kali ini, buat julung kalinya naskhah yang pernah mendapat tempat dalam hati pembacanya diangkat ke layar perak. Sememangnya, bagi pengikut setia karya-karya tulisan penulis tersohor itu, filem Tombiruo: Penunggu Rimba yang diadaptasi daripada novel terbitan tahun 1998 itu merupakan antara yang ditunggu-tunggu peminatnya.

Sudah menjalani penggambaran kira-kira setahun lalu, filem arahan Nasir Jani dan Seth Larney itu bakal menemui penonton di pawagam pada 12 Oktober ini. Menampilkan barisan pelakon tanah air yang cukup hebat, antaranya Zul Ariffin, Farid Kamil, Nabila Huda, Faizal Hussein dan Farah Ahmad.

Filem bergenre aksi itu juga mengetengahkan nama-nama lain seperti Datuk M. Nasir, Datin Marlia Musa, Faye Kusairi, Dynaz, Hasnul Rahmat, Michael Chen, Artu dan pelakon cilik, Muhammad Al-Rayyan.

Bagi Ramlee, dia mengakui bahawa berasa gementar untuk menantikan karyanya yang buat kali pertama ditayangkan pawagam tidak lama lagi.

Menurutnya, penghasilan berbentuk filem itu juga merupakan satu penghargaan buatnya dan pengikutnya yang selama ini banyak memberi sokongan kepada setiap novel yang dihasilkannya.

Penulis berdebar

Bahkan, katanya penerbitan filem yang diadaptasi daripada novelnya itu juga secara tidak langsung merealisasikan impian pembaca setianya yang selama ini inginkan novelnya diangkat ke layar perak.

“Saya sendiri berasa berdebar untuk menantikan karya sendiri yang diberi peluang untuk diangkat ke filem. Apa yang saya boleh katakan, asas jalan cerita utama Tombiruo: Penunggu Rimba itu memang kita kekalkan.

“Cuma, kalau mahu masukkan keseluruhan seperti yang tertulis dalam novel mungkin agak mustahil. Lagipun, apabila bercakap mengenai filem, kita terikat dengan masa. Jadi, kita sudah berikan sehabis baik agar teras cerita itu ada dalam babak-babak filem,” kata penulis asal novel tersebut.

Ditanya mengenai judul Tombiruo: Penunggu Rimba, katanya, ia merupakan hasil cetusan ibu mertuanya yang juga merupakan daripada suku kaum Kadazan-Dusun.

“Di Sabah kita memiliki banyak etnik. Tombiruo ini agak sinonim dalam masyarakat Kadazan-Dusun yang disifatkan sebagai penunggu hutan.

“Bagaimanapun, dalam novel itu saya menggambarkannya lebih kepada hero yang turut saya tonjolkan menerusi watak Ejim dalam filem itu nanti,” kongsinya yang memberitahu turut terlibat sepenuhnya dalam proses skrip dan pemilihan pelakon.

PENGGAMBARAN dilakukan di kawasan hutan yang terletak di sekitar Sabah dan Selangor.

Zul bertopeng

Di awal cadangan untuk mengangkat novel tersebut ke filem, antara yang menjadi perbincangan utama termasuklah pendukung utama naskhah itu nanti untuk memegang watak sebagai Tombiruo.

Justeru, kata putus kemudian memilih pelakon Zul Ariffin untuk menggalas watak hero dalam filem itu nanti. Bagi Zul sendiri, dia merasakan peluang yang diberikan kepadanya itu sebagai satu cabaran dalam karier seninya.

Ini kerana, bukan mudah untuk menjayakan watak tersebut. Ini kerana, bagi merealisasikan watak Ejim atau Tombiruo itu, dia perlu menurunkan berat badannya mengikut gambaran penulis.

“Cerita itu mengisahkan lelaki yang duduk di dalam hutan. Jadi kalau saya kekalkan dengan bentuk badan asal, seperti tidak logik pula. Atas sebab itu, saya perlu turunkan berat badan sehingga 12 kilogram,” katanya yang memberitahu bentuk badannya kelihatan susut sepanjang dua bulan tempoh penggambaran.

Kongsi Zul lagi, watak Tombiruo itu juga memerlukan dirinya menyarungkan topeng muka. Mengakui agak berasa kekok, namun Zul memberitahu, lama-kelamaan dia mula membiasakan diri dengan kostum berkenaan.

“Selalu saya berlakon dalam cerita cinta. Bagaimanapun, filem ini memang lain daripada yang lain. Ini kerana, saya tidak mempunyai dialog yang banyak kerana memakai topeng. Jadi, saya lebih kepada menterjemahkan karakter saya itu kepada bahasa badan,” kongsinya.

FILEM yang dirakam pada tahun lalu ini dijadual menemui penonton pada 12 Oktober depan.

Bahasa

Memandangkan filem ini berkait rapat dengan kisah kepercayaan masyarakat Sabah, justeru, pembikinan dialog percakapan dalam filem tersebut turut memberi penekanan kepada aspek bahasa dialek Sabah.

Bukan itu sahaja, filem itu juga akan mengetengahkan dialek Kadazan–Dusun yang turut diguna pakai. Situasi itu secara tidak langsung menjadikan Tombiruo: Penunggu Rimba sebagai sebuah filem yang mengangkat kepelbagaian kaum dan bahasa di negara ini.

Tombiruo: Penunggu Rimba memaparkan kisah lelaki bernama Ejim yang digelar Tombiruo dalam kalangan penduduk setempat kerana dianggap sebagai penunggu rimba.

Lelaki yang sentiasa bertopeng itu disisihkan penduduk kerana tidak memiliki wajah manusia. Bagaimanapun, kehidupan yang dijalani Tombiruo kemudian berubah apabila dia mahu membalas dendam atas insiden tragis yang berlaku ke atasnya.

kosmo




Terjemahan Tombiruo di mata Ramlee Awang Murshid
AQMAR MUSTAZA
28 Ogos 2016


NOVELIS terkenal, Ramlee Awang Murshid mendedahkan sudah beberapa kali ‘dilamar’ oleh beberapa produksi yang berminat untuk mengadaptasi novelnya ke layar perak.
Bagaimanapun mengakui dirinya seorang yang cerewet, dia terpaksa menolak lamaran yang datang.

Namun berbeza dengan Tombiruo: Penunggu Rimba, Ramlee berasakan naskhah itu merupakan pemilihan yang paling tepat untuk diadaptasi ke layar perak.

“Tidak dinafikan saya sangat cerewet dengan pemilihan cerita. Bagaimanapun sejak novel ini dihasilkan, saya sering bermimpi untuk karya ini divisualkan.

“Tetapi dengan kerjasama yang terjalin, dengan proses praproduksi dan penggambaran yang baik dan teliti, saya yakin filem ini dapat dihasilkan dengan kualiti terbaik.

“Bagi saya ini adalah terjemahan Tombiruo dalam bentuk filem dan terjemahan di minda pembaca, biarlah menjadi pilihan pembaca,” katanya kepada Zass.

Berkongsi mengenai Tombiruo, anak kelahiran Papar, Sabah ini berkata, di negeri kelahirannya, tombiruo adalah hantu mengikut kepercayaan kaum Kadazan Dusun.

Walaupun panggilan tombiruo itu agak janggal dalam masyarakat Semenanjung, bagi Ramlee, tombiruo itu sebenarnya adalah hero.

“Di Sabah, terlalu banyak etnik dan tombiruo ini lebih sinonim dalam masyarakat Kadazan Dusun. Malah, ia adalah istilah yang jarang digunakan dalam masyarakat di Sabah.

“Dari situ, saya cuba memperkenalkan tombiruo menerusi Tombiruo: Penunggu Rimba. Namun, dalam penyampaian itu, saya memperkenalkan tombiruo bukanlah sekadar hantu semata-mata, ia lebih kepada hero.

“Senang cerita, tombiruo adalah semangat dan roh yang tidak berbentuk tetapi bersifat. Sifatnya menakutkan dan muncul dalam pelbagai gambaran,” katanya.

Novel Tombiruo: Penunggu Rimba diterbitkan sejak 1998 menerusi syarikat penerbitan Alaf21. Sehingga kini, penjualan novel ini masih berterusan malah turut muncul sebagai karya ‘Top 10’ di kebanyakan toko buku.

Terlibat sepenuhnya

Berkongsi mengenai pembikinan filem ini, Ramlee turut terlibat 100 peratus di dalam proses skrip dan pemilihan pelakon.

Pada awalnya, dia sudah mempunyai senarai pelakon pilihan, namun menerusi beberapa perbincangan, dia bersetuju dengan barisan pelakon yang dipilih.

“Saya tidak kata pilihan saya salah, atau pilihan saya betul. Tetapi ada pelakon yang saya mahukan tidak ada kelapangan dan ada pelakon yang datang uji bakat, saya rasa lebih bagus dari pelakon yang saya mahukan, maka kita pilih yang lebih bagus.

“Pendek kata, kami capai kata sepakat bersama dan saya puas hati dengan semua pemilihan yang dibuat. Malah jika ada kelapangan, saya turut ke lokasi penggambaran dan setakat ini saya sangat berpuas hati dengan proses penggambaran.

“Saya percaya filem ini akan menjadi sebuah karya yang baik,” katanya.

Apa yang diharapkan, pembaca dan orang ramai akan turun menyaksikan filem ini apabila ia ditayangkan kelak.

sinar harian 

 


untuk ibu

Dua beradik berkorban demi ibu
Asma Hanim Mahmood



Anak sulung, Nik Nor Fatin Dakhlan (tudung biru tua) dan anak kedua, Nik Muhammad Faez (baju merah) serta adik mereka, Nik Muhammad Fikri (pakaian seragam sekolah) melhat keadaan ibu, Raja Nurliza Raja Daud yang terlantar di Kampung Pulau Gajah Hilir Pengkalan Chepa di Kota Bharu hari ini. - UTUSAN ONLINE/Asma Hanim Mahmood


KOTA BHARU 5 Okt. - Kasih sayang kepada ibu yang terlantar sakit menyebabkan dua anak sanggup berkorban masa dan tenaga untuk menjaganya sekalipun berisiko menjejaskan masa hadapan.

Balu beranak empat, Raja Nurliza Raja Daud, 43, dari Kampung Pulau Gajah Hilir, Pengkalan Chepa di sini, terbabit dalam kemalangan pada 12 Julai lalu yang mengakibatkan kecederaan kepala sekaligus menyebabkannya terlantar sehingga ke hari ini.

Keadaan itu diburukkan lagi dengan pemergian suaminya ke rahmatullah, Dakhlan Yusof pada 31 Ogos lalu akibat komplikasi kencing manis yang dideritai lebih dua tahun.

Dua anak Raja Nurliza, iaitu yang sulung, Nik Nor Fatin, 23, berkelulusan Diploma Pengurusan Perniagaan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) terpaksa berkorban sepenuh masa menjaga ibunya, manakala anak kedua, Nik Muhammad Faez, 19, pelajar tahun satu Diploma Herba dan Hasilan Semulajadi, Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) Lenggong, Perak terpaksa menangguhkan sementara pengajian sejak Julai lalu.

Menurut Nik Muhammad Faez, dia mengambil cuti selama enam bulan dan hanya akan menyambung semula pengajiannya Januari tahun hadapan jika ada rezeki.

“Saya balik sebaik mendapat berita ibu kemalangan untuk menjaganya di hospital apatah lagi ketika itu kakak saya memerlukan bantuan kerana arwah ayah pun sudah lama sakit.

“Selain membantu kakak menguruskan ibu, saya juga bercadang bekerja sementara untuk menampung kehidupan kami,” katanya kepada Utusan Online.

Dua lagi adiknya adalah Nik Muhammad Fikri, 17, yang belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kemumin akan mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini manakala Nik Nor Farah Syuhada, 11, berada di Tahun Lima, Sekolah Kebangsaan (SK) Kemumin.

Adik-beradik ini ditemui semasa lawatan oleh guru SMK Kemumin yang diketuai Setiausaha Kebajikan Unit Hal Ehwal Murid, Norizan Amin dan Guru Kanan Sains dan Matematik, Nor Azizah Md Nordin ke rumah nenek mereka, Mek Som Awang Ahmad, 67, di Kampung Pulau Gajah Hilir.

Sementara itu, Norizan berkata, pihak sekolah akan membantu memastikan kebajikan Nik Muhammad Fakri terutama menyokong keperluannya dalam menghadapi SPM nanti.

Sebarang sumbangan boleh disalurkan kepada akaun simpanan Nik Nor Fatin Dakhlan 03011-41-00009596-0 (Bank Simpanan Nasional) atau hubungi Raja Nurlida Raja Daud (0179340645). - UTUSAN ONLINE

utusan online

menari senjaku menari

menari senjaku menari


menari senjaku menari
tarian awan garis berjajaran
gugus bergulungan menebarkan
menyiram warna melatari waktu
waktu makin tiada
tetapi kau masih ada
menyebut dan menanda
memanggil dan meningat
senyap dalam tarimu
cerah dan redup kisahmu
siapa yang mencari makna
akan tertemu jalan jauh itu
siapa yang mencari dalam kejauhan
akan menemui pintu-pintu hadapan
menari senja ku menari
Allah azza Wajalla di sisi