Hanyut & sains fiksyen U-Wei
ABD. AZIZ ITAR
21 Februari 2016 4:00 PM
MENGENALI pengarah U-Wei Haji Saari sejak sekian lama, tidak ramai yang kenal betul dengan perangainya. Beliau jarang bercakap secara berterus terang, tetapi apabila ada peluang, cakapnya penuh dengan pelbagai kiasan yang bercampur seloroh, sekali gus boleh mengundang gelak ketawa hingga senak perut.
Bagi yang lurus bendul atau tidak faham mungkin akan menganggap orang kuat di sebalik syarikat produksi Tanah Licin Sdn. Bhd. ini suka main-main. Namun, itulah juga hakikatnya apabila dia bercakap tentang filem arahannya, Hanyut yang sampai sekarang belum ditayangkan di pawagam-pawagam tempatan.
Bagi yang tidak tahu atau kurang faham dengan permasalahan yang berlaku tentu akan berasa pelik dengan situasi filem itu. Mana tidaknya, filem yang siap pembikinannya sejak tahun 2012 itu terlebih dahulu telah ditayangkan di pawagam-pawagam Indonesia mulai 6 November 2014.
Ini secara sinis mengundang persoalan bahawa penonton di negara seberang itu seolah-olah lebih eksklusif kerana mendapat tayangan yang lebih awal berbanding di negara ini.
Pelik bin hairan juga kerana filem dengan kos produksi mencecah RM18 juta itu sudah lama ditayangkan di Indonesia tetapi sehingga kini ia juga masih belum ada ura-ura akan ditayangkan di sini.
Sebab itu, setiap kali muncul di majlis yang dihadiri wakil-wakil media massa, soalan wajib yang ditanyakan kepada U-Wei, bilakah filem itu akan ditayangkan di pawagam-pawagam tempatan?
Sewaktu diundang kali kedua menonton filem itu di Pawagam Mini P. Ramlee di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Hulu Klang, baru-baru ini, sekali lagi soalan itu menerjah ke telinga pengarah prolifik ini. Namun, beliau cukup tenang tetapi penuh sinis apabila bercakap tentang permasalahan itu.
“Bila filem ini hendak ditayangkan di sini? Itu soalan jenis sains fiksyen,” katanya secara bersahaja tetapi penuh makna. Tidak pasti pula di mana 'fiksyennya' soalan itu.
Adakah masalah untuk mendapatkan dana atau bajet bagi mempromosikan filem ini yang dikatakan memerlukan hampir RM2 juta masih belum selesai? Kerisauan tentang perkara itu ada asasnya. Sama ada U-Wei belum berjaya mendapatkannya atau belum cukup jumlahnya itu perkara seterusnya.
Ini kerana, U-Wei menyedari perlu ada satu mekanisme serta strategi dilakukan bagi mempromosikan filem itu sebelum ia menemui para penonton di pawagam. Kerisauan itu ada asasnya kerana bukan mudah membawa naskhah itu ke dalam hati dan penghayatan para penonton.
Mengambil kira senario yang berlaku ke atas filem Ola Bola yang telah mengutip lebih RM12 juta selepas 14 hari ditayangkan di pawagam turut menjadi perkiraannya.
Promosi Ola Bola itu yang dilakukan sebelum, selepas penggambaran, malah ketika masih ditayangkan ketika ini pun yang dilakukan oleh Astro Shaw masih belum reda-reda lagi.
Diharap agar Hanyut mengikuti jejak langkah Ola Bola yang terus bekerja keras mempromosikan filem itu agar semakin ramai penonton menonton filem itu sehingga ke titisan tarikh tayangannya yang terakhir.
Kalau diikutkan kuota, Ola Bola sudah melebihi Skim Wajib Tayang yang diperuntukkan Finas selama ini. Itu tidak menjadi isu kerana apa yang penting filem itu masih ditonton dan terus mengaut kutipan tiket yang tinggi.
Tetapi ada pihak yang secara sinis berkata, Ola Bola bolehlah ‘meletup’ tayangannya di pawagam kerana promosi yang tidak henti-henti termasuklah iklannya di saluran-saluran televisyen Astro pada setiap hari.
Justeru, apabila U-Wei membayangkan status tayangan Hanyut buat masa ini seolah-olah hanyalah suatu sains fiksyen, ia memerlukan perhatian semua pihak. Ini kerana, amat rugi jika filem yang diadaptasi daripada novel Almayer’s Folly tulisan Joseph Conrad itu terperap begitu sahaja.
Penulis masih ingat sewaktu dijemput menyaksikan sendiri lokasi penggambaran Hanyut di Kuala Lipis, Pahang pada 2010 yang secara auranya sudah menggambarkan perjalanan cerita filem itu yang penuh dengan pelbagai gambaran tentang pemikiran dan budaya bangsa.
Bukan setakat ada kalangan wakil media yang menggaru-garu kepala apabila memikirkan tema, apatah lagi nilai-nilai pemikiran yang cuba diketengahkan oleh U-Wei dalam karya itu. Malah, penonton juga tentunya akan teruja untuk berfikir sama. Itu pun bagi para penonton yang sukakan gaya berfikir yang mampu mencabar minda masing-masing.
Hanyut yang dilakonkan antaranya oleh Sofia Jane, Peter O’Brien, Adi Putra, Khalid Salleh, Bront Palarae, Alex Komang dan Diana Danielle itu kata U-Wei memang memerlukan kos promosi yang agak tinggi.
Sebagai sebuah naskhah bercitarasa tinggi dengan menceritakan kisah seorang pedagang Belanda, Almayer yang berjuang mencari kekayaan di Borneo pada akhir abad ke-19 ia memerlukan promosi, pemasaran dan paling penting pemahaman penonton tentang karya itu sendiri.
Malah, secara dasarnya Hanyut yang mungkin boleh dikategorikan sebagai sebuah naskhah berat memerlukan keyakinan dan minat penonton agar berani untuk berkunjung ke pawagam, sekali gus membayar tiket untuk menontonnya.
Tanpa promosi dan maklumat yang disebar luaskan terhadap peminat filem di negara ini, mungkin agar sukar untuk Hanyut menarik minat mereka menghayati dan seterusnya menyokong filem ini.
utusan online
Hanyut kaya alegori budaya, dasar cerita yang kukuh - Budi Irawanto
Muzaffar Mustapa
3 Disember 2013
Sofia Jane (kiri) dan Diana Danielle antara pelakon utama filem Hanyut. - Facebook
KUALA LUMPUR: Pengarah Festival Filem Asia Jogja-NETPAC, Budi Irawanto yang mengulas filem terbaru arahan U-Wei Haji Saari “Hanyut” meletakkan filem tersebut sebuah filem yang kaya dengan alegori budaya, namun memiliki dasar penceritaan yang kukuh.
Hanyut membuka gelanggang Festival Filem Asia Jogja-NETPAC yang berlangsung di Jogjakarta malam tadi.
Bersesuaian dengan tema festival iaitu “Altering Asia”, filem itu menurutnya diolah oleh U-Wei dengan cara pandangan baru terhadap Asia yang jauh dari kecenderungan “nativistik” dan “nasionalistik” berbanding karya awalnya, Kaki Bakar (1997) dan Jogho (2002).
Tambahnya lagi, U-Wei tidak menjadikan Almayer, watak utama dari novel tulisan Joseph Conrad itu sebagai asas penceritaan, sebaliknya membawa penonton menyelami watak-watak wanita dalam filem tersebut.
“Begitu cerita bergerak, penonton secara perlahan disedut ke dalam pemikiran Mem, Nina dan Tamina. Dan di penghujung cerita, penonton baru menyedari bahawa watak Almayer semakin merosot menjadi watak yang tidak lagi penting.” ulas Budi seperti yang tersiar di laman web festival tersebut.
Jelas Budi lagi, Hanyut merayakan ketokohan perempuan dalam dunia Melayu yang dikuasai kaum lelaki.
Paling menarik apabila Budi merasakan landskap alam dan fizik dalam Hanyut mengandungi kiasan budaya yang mengakar dalam skrip filem tersebut.
“Bahasa dalam Hanyut digunakan secara cerdik untuk mengukis identiti keMelayuan. Pantun tidak hanya sebagai pengangkat linguistic dalam pergaulan seharian masyarakat Melayu, tetapi sekaligus pengangkat naratif dalam mengakar dalam cerita Melayu.” tambah Budi lagi.
Ditulis berdasarkan novel pertama Joseph Conrad berjudul “Almayer’s Folly”, filem tersebut bercerita tentang Almayer, pedagang dari Belanda yang berjuang untuk hidup di Malaya pada akhir abad ke-19. Impiannya mencari mitos gunung emas ditentang isterinya, Mem, para penguasa dan politik pimpinan tempatan serta pedagang Arab dan digawatkan lagi dengan percintaan anak perempuannya dengan seorang putera Melayu yang menuntut kebebasan.
Diterbitkan oleh Tanah Licin Sdn Bhd, produksi milik U-Wei, filem itu dibintangi Peter O'Brien, Sofia Jane, Adi Putra, Diana Danielle, Alex Komang, Khalid Saleh, Bront Palarae dan ramai lagi.
Jogja-NETPAC Asian Film Festival (JAFF) merupakan festival filem Asia terulung di Indonesia yang memfokuskan kepada pembangunan wayang di Asia. JAFF bekerjasama dengan NETPAC (Network for the Promotion of Asian Cinema), sebuah pertubuhan antarabangsa yang dianggotai 30 negara. Badan yang berpangkalan di Colombo Sri Lanka, NETPAC ialah sebuah organisasi filem dan budaya pan-Asian yang meliputi kritik, pembikin filem, penganjur festival filem dan kurator, pengedar dan pempamer serta para penyelidik. Ia merupakan peneraju wayang seluruh Asia.
Hanyut yang menelan belanja lebih RM18 juta dijangka ditayangkan di Malaysia pada tahun hadapan.
astro awani
Finas Bantu U-Wei Promosi 'Hanyut' RM1.8 Juta
Mohd Al Qayum Azizi
16 Februari 2016
Hanyut yang siap pada 2013 dijangka akan ditayangkan di pawagam pada tahun ini.
KUALA LUMPUR: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) akan membantu pengarah filem U-Wei Shaari untuk mencari dana sebanyak RM1.8 juta bagi mempromosikan filem Hanyut yang telah tertangguh untuk tayangan sejak 2013.
Pengerusi Finas, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib berkata, pihaknya akan memberi bantuan maksimum selain mendapatkan dana daripada badan korporat dan orang perseorangan yang berminat untuk melabur.
"Hanyut adalah sebuah karya yang cukup baik dan sayang ia tidak dapat ditayangkan di pawagam kerana masalah kewangan untuk melakukan promosi.
"Selepas berbincang dan melihat sendiri pelan promosi dibentangkan U-Wei pada Khamis lalu, Finas bersetuju untuk membantu dengan menyalurkan dana untuk tujuan promosi.
"Dana tersebut adalah menerusi skim bantuan pengiklanan dan promosi namun jumlah yang akan diberikan masih belum dapat ditentukan tetapi kita akan cuba beri maksimum," katanya kepada mStar Online.
U-Wei memberitahu kos pembikinan Hanyut menelan belanja sebanyak RM18 juta.
Mohd Khusairi berkata demikian selepas ditemui pada majlis tayangan eksklusif filem Hanyut di Panggung Mini P. Ramlee Finas di sini, Isnin.
Turut hadir pada tayangan tersebut adalah Ketua Pengarah Finas, Datuk Kamil Othman.
Hanyut yang dihasilkan berdasarkan novel tulisan Joseph Conrad iaitu Almayer's Folly menampilkan barisan pelakon seperti Datin Sofia Jane, Peter O'Brian, Diana Danielle, Adi Putra, Khalid Salleh dan James Corley.
Ia menelan kos sebanyak RM18 juta untuk menyiapkan filem tersebut.
Dalam pada itu, Mohd Khusairi berkata, pihaknya mensasarkan Hanyut akan ditayangkan di pawagam pada pertengahan tahun ini atau selewat-lewatnya pada Ogos depan.
"Filem ini sudah terlalu lama diperam dan pihak kami optimis dengan perancangan yang betul ia dapat ditayangkan pada tahun ini juga.
"Paling penting sekarang adalah rangka promosi perlu mantap agar karya yang bagus ini akan mendapat perhatian sewajarnya daripada penonton," jelasnya.
Sementara itu, U-Wei berkata, sebelum ini pelbagai usaha telah dilakukan untuk mencari dana promosi Hanyut namun gagal tetapi ia tidak pernah melemahkan semangatnya.
Dia memerlukan promosi kuat untuk Hanyut kerana tidak mahu ia gagal di pawagam seperti mana berlaku kepada karya-karya terdahulunya.
"Ramai bertanya bila Hanyut akan ditayangkan dan soalan itu bagi saya pertanyaan 'sains fiksyen'.
"Saya boleh terus masuk panggung tanpa promosi tetapi ia akan menerima nasib sama seperti filem terdahulu yang pernah saya arahkan.
"Kesudian Finas untuk menyalurkan dana amat besar ertinya pada saya dalam ingin melihat filem ini berjaya meraih perhatian sepatutnya kerana banyak usaha telah dicurahkan dalam menghasilkan Hanyut," ujarnya.
Tambah U-Wei, biarpun Hanyut masih belum ditayangkan di negara ini namun ia telah mendapat pelbagai perhatian ketika ia dibawa menyertai festival filem antarabangsa seperti di Australia, Indonesia, Singapura dan Amerika Syarikat.
Terbaharu filem itu akan dipertandingkan di Festival Filem Moscow, Rusia pada Jun depan.
mstar
U-Wei perlu RM1.8j
Sudah terlalu kerap penggiat, pengkritik dan peminat seni perfileman tanah air bercakap mengenai filem Hanyut arahan U-Wei Haji Saari.
Filem yang dihasilkan sejak empat tahun lalu dengan kos RM18 juta ini sudah dibawa menjelajah ke beberapa negara lain, tetapi masih gagal menemui peminat di negara sendiri biarpun ramai yang sudah ternanti-nanti tayangannya.
U-Wei atau nama sebenarnya Zuhir Haji Saari bertegas enggan menayangkan filem ini atas alasan memerlukan dana khas dari Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) bagi mempromosikannya secara meluas.
Isnin lalu, Finas mengadakan majlis tayangan khas filem berkenaan di Pawagam Mini P Ramlee di Finas, Hulu Klang.
Selain U-Wei, majlis berkenaan turut dihadiri Pengerusi Finas Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib dan Ketua Pengarah, Datuk Kamil Mohd Othman.
Dalam majlis berkenaan, Finas secara dasarnya bersetuju untuk membantu U-Wei mendapatkan dana bagi mempromosi filem berkenaan.
Filem berlatarbelakangkan abad ke-19 ini diadaptasi daripada novel pertama tulisan Joseph Conrad berjudul Almayer Folly dan dihasilkan dengan kos RM18 juta. Ia menjalani penggambaran di Kuala Lipis dan Pekan, Pahang.
Ia dibintangi Peter O’Brien, Adi Putra, Diana Danielle, Bront Palarae, Alex Komang, Khalid Salleh, Sabri Yunus, Datin Sofea Jane, Hasnul Rahmat dan ramai lagi.
Ikuti temu bual wartawan RAP Ridzuan Abdul Rahman (mohamadridzuan@hmetro.com.my) bersama U-Wei dan Mohd Khusairi mengenai filem ini bagi merealisasikan impian peminat menonton Hanyut di bumi sendiri.
RAP: Apa perasaan anda dengan bantuan yang akan diberikan Finas?
U-WEI: Saya berbesar hati kerana Finas menyokong Hanyut. Kalau saya ada niat lain untuk buat filem yang mencerminkan jati diri kita, saya boleh buat dengan kos yang tertentu dan ambil sebahagian lagi.
RAP: Sebelum ini anda ada usaha berjumpa beberapa pihak untuk bekerjasama mempromosi filem ini?
U-WEI: Usaha membuat filem ini seperti berdoa. Berjumpa Finas adalah salah-satu usaha saya. Kalau boleh saya nak situasi menang-menang. Sebelum ini ada yang tak jadi kerana sebegini lama saya pegang, saya harus dapat pulangan yang tak memudaratkan saya.
Filem ini pun berkenaan jati diri. Jadi, yang membuatnya pun perlukan jati diri yang kuat juga. Kalau ikutkan, dari awal lagi saya patah semangat.
Pada saya jumlah RM18 juta untuk Hanyut adalah normal.
Pada saya kalau nak buat filem bertaraf antarabangsa, kosnya memang begitu. Kalau tengok nilai sinemanya dan segala perkara dalam ‘frame’ itu semuanya dibuat.
Contohnya kapal dan perkampungan kita bina sendiri. Tanah disewa dan pakar-pakar perlu dibayar. Saya juga gunakan tenaga kerja pakar berpengalaman dari luar negara. Di bawah mereka tenaga kerja orang kita supaya mereka belajar dan timba ilmu.
RAP: Harapan anda untuk filem ini?
U-WEI: Filem kalau tak ditonton ia belum sempurna. Cuma, saya tak boleh kawal pandangan orang apabila menonton nanti. Yang penting, mereka ada peluang untuk menonton.
Filem ini bukan untuk saya, tapi untuk generasi selepas ini. Saya nak mulakan sesuatu yang baru. Orang muda belum tentu nampak perkara ini dan menghasilkannya. Kalau ditanya perasaan, ya saya memang ‘nervous’ menanti tarikh ini.
RAP: Apa tujuan majlis ini diadakan?
KHUSAIRI: Saya difahamkan Hanyut sebuah filem bermutu dan diarahkan oleh pengarah tempatan yang berkaliber iaitu U-Wei Haji Saari. Dia ada berjumpa saya pada Khamis lalu bagi membincangkan hala tuju promosi filem ini.
Justeru saya buat majlis tayangan khas ini dan berdasarkan pendapat peribadi saya selepas menonton, saya dapati filem begini kurang diterbitkan oleh pengarah tempatan.
RAP: Apa yang dimahukan oleh U-Wei?
KHUSAIRI: Ada beberapa perkara yang ditanyakan berkenaan promosi. Kos pembikinan filem ini RM18 juta dan dia memerlukan dana khas RM1.8 juta bagi mempromosikan Hanyut untuk pasaran tempatan.
Saya tanya dia sama ada sudah ada plan promosi dan dia katakan ada. Kalau dilihat, U-Wei hasilkan beberapa filem yang berkualiti seperti Jogho dan Kaki Bakar, tapi aspek promosi yang dibuat agak lemah membuatkan filem itu gagal di pasaran.
Kita ada filem bermutu yang nak dipromosikan dan tak mahu filem seumpama ini yang dihasilkan oleh seorang pengarah terkenal tak dapat sambutan penonton sebagaimana sambutan yang diberikan terhadap filem seperti Polis Evo, The Journey dan Ola Bola.
RAP: Apa keistimewaan Hanyut?
KHUSAIRI: Selepas menonton tadi, saya dapati filem begini kurang diterbitkan di sini. Pada saya Hanyut sepatutnya mendapat sambutan hangat. Walaupun filem ini banyak meminta penonton untuk berfikir ketika menonton, tapi dari segi sinematografi, arahan, saya dapati ia cukup bermutu dan mendapat beberapa pengiktirafan di peringkat antarabangsa.
Hanyut sudah ditayangkan di beberapa festival filem antarabangsa sama ada di peringkat pembukaan atau penutup termasuk di Belanda, Australia, Singapura dan beberapa negara lain. Ia juga akan ke Moscow Film Festival pada Jun nanti.
RAP: Apa yang akan cuba dibantu oleh Finas?
KHUSAIRI: U-Wei tak nak Hanyut terima nasib seperti filemnya yang terdahulu. Bagi memenuhi harapannya agar filem ini ditayangkan dalam keadaan penonton mendapat maklumat lengkap mengenai Hanyut, Finas akan cuba bantu dapatkan dana.
Walaupun tak sebanyak yang diminta, kami akan cuba usahakan dana khas sebelum tayangan Hanyut di pawagam. Selain itu saya sendiri minta bantuan rakan korporat dan individu untuk melabur dan dapat sikit pulangan.
Kami akan bantu menerusi saluran yang betul bagi mempromosikan Hanyut menerusi pelbagai saluran sedia ada.
RAP: Bila agaknya Hanyut akan menemui penonton?
KHUSAIRI: Finas berusaha untuk tayangkannya pada tahun ini juga, tapi ia perlu melalui syarat wajib tayang dan seterusnya kami akan pilih tarikh yang sesuai. Kami tak nak ia potong barisan filem lain.
RAP: Apa definisi yang diletakkan terhadap filem ini?
KHUSAIRI: Kami klasifikasikan Hanyut sebuah filem kenegaraan. Kisahnya berlaku di negara kita sekitar tahun 1840-an.
metro
Hanyut ditayang di 150 pawagam di Indonesia
Saharuddin Musthafa
05 November 2014
Dari kiri, Diana Danielle, Rahayu Saraswati, U-Wei, Sofia Jane dan Adi Putra yang menghadiri majlis tayangan perdana filem Gunung Emas - Almayer di Jakarta, Indonesia, kelmarin.
JAKARTA 4 Nov. - Filem Hanyut arahan sutradara tersohor Malaysia, U-Wei Saari menjadi filem Malaysia pertama yang ditayangkan di 150 buah pawagam di seluruh Indonesia bermula 6 November ini.
Hanyut yang diubah tajuk menjadi Gunung Emas - Almayer (untuk pasaran Indonesia) tidak sekadar mencatat rekod tersebut, sebaliknya, ia juga bertentangan dengan trend tayangan apabila menemui peminat filem di negara jiran itu terlebih dahulu berbanding di pawagam Malaysia.
Filem yang menelan kos pembikinan sebanyak RM18 juta itu difahamkan belum dipastikan bila akan ditayangkan di tanah air memandangkan syarikat produksi Tanah Licin Sdn. Bhd., masih dibelenggu masalah kos promosi yang mencecah angka RM2 juta.
Pengedar filem Hanyut atau Gunung Emas - Almayer untuk pasaran Indonesia, Rahayu Saraswati berkata, kesediaan beliau memasarkan filem itu didorong oleh keyakinannya terhadap kehebatan naskhah yang digarap oleh U-Wei.
Rahayu yang juga pengasas syarikat pengedaran filem, Media Desa berkata, Gunung Emas-Almayer yang dihasilkan setanding filem antarabangsa berpeluang menjadi karya yang akan membuka mata pencinta filem dunia terhadap kemampuan penggiat filem Asia.
Katanya, Gunung Emas - Almayer yang diterbitkan secara kerjasama antara pelbagai negara seperti Jepun, Amerika Syarikat (AS), Kanada, Australia, Indonesia dan Malaysia harus menjadi tontonan seluruh masyarakat dunia kerana menggabungkan bakat-bakat seni luar biasa dari pelbagai negara.
Rahayu berkata, kesungguhannya membawa filem itu ke pasaran Indonesia juga adalah kerana kekaguman beliau terhadap pembikin filem Asia khususnya U-Wei yang mampu menggarap sebuah naskhah yang luar biasa.
“Atas keyakinan itu saya bersetuju untuk membawa Gunung Emas-Almayer ke Indonesia. Filem arahan U-Wei ini memecah tembok kehebatan filem dunia yang selama ini didominasi oleh orang asing.
“U-Wei membawa satu perspektif baharu ke dalam filem Melayu melalui Gunung Emas - Almayer dan saya secara peribadi berpendapat amat rugi seandainya ia tidak ditayangkan di Indonesia,” kata Rahayu kepada Utusan Malaysia selepas majlis tayangan perdana Gunung Emas - Almayer di sini semalam.
Rahayu berkata, selain sudah ditayangkan di AS dan Kanada, beliau juga akan memasarkan Gunung Emas - Almayer ke 50 negara lain di seluruh dunia.
Filem yang memulakan penggambaran sekitar tahun 2010, siap sepenuhnya 2012 diangkat ke layar perak oleh U-Wei berdasarkan novel pertama Joseph Conrad berjudul Almayer’s Folly.
Ia mengisahkan Almayer, pedagang dari Belanda yang berjuang untuk hidup di Malaya pada akhir abad ke-19 yang menyimpan keinginan mencari mitos gunung emas yang ditentang isterinya, Mem.
Sementara itu, U-Wei memberitahu, naskhah Gunung Emas - Almayer atau Hanyut memerlukan sokongan seluruh peminat filem tidak hanya di Malaysia atau Indonesia, semata-mata.
Sehubungan itu, U-Wei berkata, sekalipun Gunung Emas - Almayer ditayangkan di Indonesia terlebih dahulu berbanding Malaysia, namun beliau secara peribadi berharap filem terbaharu arahannya itu juga akan ditayangkan di pawagam di tanah air. – UTUSAN
utusan online
Comments
Post a Comment