Warisan : Masjid Ihsaniah Iskandariah

Tepas buluh penyeri masjid
Teks dan gambar Norsharuddin Sapian



Masjid Ihsaniah Iskandariah Kampung Kuala Dal, Padang Rengas terletak kira-kira 4.8 kilometer dari Bandar Diraja Kuala Kangsar.

Keunikan masjid dua tingkat ini terserlah pada reka bentuk binaannya menyerupai sangkar burung dan keseluruhan dinding yang dibina berasaskan anyaman buluh minyak.

Seni anyaman tangan dikenali sebagai tepas (kelarai) daripada buluh yang bermotifkan berlian dan pengaruh ‘arabes’ pada dinding masjid menyerlahkan nilai estetika pada bangunan.

Menurut catatan sejarah, pembinaan masjid itu pada tahun 1936 dibiayai Sultan Perak ke-30, Sultan Iskandar Shah.

Reka bentuk dan hiasan masjid itu turut dihasilkan sendiri oleh baginda berdasarkan seni bina Istana Kenangan di Bukit Chandan.

Ia dibina daripada kerangka kayu yang terdiri daripada dua aras. Tingkat atas terdapat ruang mihrab yang mengunjur keluar menghadap kiblat dan digunakan sebagai ruang solat.

Sementara tingkat bawah pula dijadikan ruang untuk aktiviti keagamaan masyarakat kampung seperti kelas mengaji al-Quran dan kenduri.

Bangunan berkenaan disokong dengan lapan batang tiang daripada kayu kempas. Kerja menganyam dinding tepas dilakukan secara gotong-royong oleh penduduk kampung diketuai Panjang Noh, Ngah Gadoh, Wan Ibrahim dan Kulop Ngah.

Masjid ini mempunyai 20 tingkap dengan tingkap pada bahagian bawah dibina tinggi bagi memelihara pemandangan.



Setiap tingkap dihiasi ukiran motif insang ikan yu dan pucuk kacang pada kepala tingkap. Ia diserikan dengan ukiran bulan sabit serta bintang pecah lima.

Jumlah tingkap yang banyak menjadikan bahagian dalam masjid sentiasa cerah, nyaman dan selesa ketika beribadat.

Sementara itu, setiap sendi kayu dinding tepas dihiasi ukiran sekuntum bunga tikam seladang bagi menambahkan lagi seri hiasan dinding.

Corak kelarai kemudian dicat teliti dengan putih, kuning dan hitam iaitu warna bendera Perak sama seperti Istana Kenangan menjadikan bangunan itu seperti permukaan dinding dilukis bercorak.

Seni ukiran paling menarik adalah pada papan perasmian masjid dan terdapat cop mohor masjid yang dulunya terletak di bahagian hadapan mimbar.

Masjid berkenaan bersebelahan masjid baru Masjid Al-Wahidiah tidak lagi digunakan sejak 1976.


Bangunan masjid yang terbiar dan hampir menyembah bumi itu akhirnya diselamat serta dipulihara Jabatan Warisan Negara pada 2008.

Pensyarah Fakulti Senibina Perancangan dan Ukur Universiti Teknologi MARA (UiTM) Perak Dr Siti Norlizaiha Harun berkata, sepanjang kerja konservasi dilakukan, pihak Jabatan Warisan Negara menghadapi pelbagai halangan termasuk menyediakan dinding tepas berikutan ketiadaan tukang mahir seni anyaman di samping kekurangan bahan iaitu buluh minyak tempatan untuk membuat dinding kelarai.

Menurutnya, bagi mengatasi masalah itu, pihak jabatan terpaksa mendapatkan tukang membuat anyaman serta buluh dari Arau, Perlis, supaya ia sama seperti anyaman asal.


“Ketika proses pemuliharaan dilakukan, buluh dipotong saiz 0.5 meter sebelum direndam ke dalam air kolam semalaman bagi membersihkan kotoran dan getah yang masih melekat.

“Seterusnya buluh dijemur hingga kering. Batang buluh kemudian dilarik menggunakan mesin pelarik bagi mendapatkan kepingan bilah yang lebih nipis.

“Bagi anyaman dinding kelarai, bilah bahagian kulit diambil berikutan teksturnya lebih lembut dan mudah lentur untuk anyaman berbanding bilah isi yang bersabut,” katanya.

Kerja konservasi berkenaan dijalankan dengan penuh berhati-hati dan sistematik bagi mengekalkan keaslian seni bina asalnya.

metro


Kenangan Masjid Ihsaniah Iskandariah

Oleh MOHD.AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my



SENJA itu Mohamad Anuar Abu Bakar, 60, seperti biasa ke Masjid Al-Wahidiah, Kampung Kuala Dal, Padang Rengas, Kuala Kangsar, Perak untuk mengimamkan solat Maghrib.

Tatkala hampir ke pintu pagar masjid, beliau merenung bangunan kayu unik berwarna kuning, putih dan hitam tersergam indah terletak bersebelahan masjid berkenaan.

Itulah Masjid Ihsaniah Iskandariah. Unik kerana ia satu-satunya rumah ibadah Islam di negara ini dan di dunia yang mempunyai dinding tepas iaitu diperbuat daripada kelarai atau anyaman buluh.

Kisah masjid itu cukup dramatik. Suatu ketika ia pernah menjadi nadi utama kerukunan dan simbol agama penduduk Kampung Kuala Dal.

Keadaan masjid tersebut agak uzur dalam tempoh lebih tiga dekad.

MASJID Ihsaniah Iskandariah semasa ia mula-mula ditinggalkan pada 1976 di Kampung Kuala Dal, Padang Rengas, Kuala Kangsar, Perak.

"Namun ketika ia hampir menyembah bumi, Jabatan Warisan Negara melakukan kerja-kerja konservasi untuk membaiki kerosakan struktur bangunan tersebut dan 'menghidupkan' masjid yang berusia 74 tahun ini.

"Terasa macam mimpi, saya dan beberapa warga emas Kampung Kuala Dal cukup bertuah kerana dapat menyaksikan tiga frasa masjid ini iaitu dari 1930-an sehingga 1976, zaman kesuraman dari lewat 1970-an hingga 2009 dan kini zaman kebangkitan semula," katanya kepada Kosmo! ketika ditemui.

Mohamad Anuar yang juga Pengerusi Masjid Al-Wahidiah antara individu yang begitu dekat dengan Masjid Ihsaniah Iskandariah dan Masjid Al-Wahidiah.

Datuknya, Abdul Wahid Abdul Daud dan ayahnya, Abu Bakar Ismail juga pernah diamanahkan untuk menjadi imam di masjid kampung tersebut.

Abu Bakar lebih beruntung kerana berpeluang menjadi imam di kedua-dua buah masjid.

Masjid Ihsaniah Iskandariah dibina di atas sebidang tanah yang diwakafkan oleh seorang bangsawan, Juragan Abdul Shukur Mohammmad Ali dan pembiayaannya sebanyak 8,000 pound sterling (RM40,000) ditanggung oleh Sultan Perak ke-30, Sultan Iskandar Shah pada 1936.

Sebelum itu, Sultan Iskandar telah bernazar untuk membina sebuah masjid jika salah seorang daripada anakanda baginda yang gering sembuh.

WAJAH baru Masjid Ihsaniah Iskandariah yang menjadi kebanggaan penduduk Kampung Kuala Dal.

Kampung Kuala Dal dipilih selepas baginda terlihat penduduk kampung berkenaan bersolat di sebuah madrasah yang usang ketika dalam perjalanan pulang berkelah di Lata Bubu tidak jauh dari situ.

Seni bina masjid tersebut diilhamkan sepenuhnya oleh Sultan Iskandar. Masjid tersbeut diinspirasikan daripada seni bina Istana Kenangan di Bukit Chandan, Kuala Kangsar.

Kenangan manis

Masjid yang diabadikan sempena nama baginda bercirikan seni bina tradisional Melayu Perak. Kesemua dindingnya diperbuat daripada panel kelarai bercorak intan yang dikenali sebagai dinding tepas atau tepus.

Antara keunikan lain masjid dua tingkat itu ialah reka bentuk binaannya yang menyerupai sangkar burung dan tingkapnya dihiasi ukiran serta bumbungnya kelihatan rata.

Masjid yang juga dikenali sebagai Masjid Lama Kampung Kuala Dal itu berbentuk empat segi dan tidak mempunyai kubah seperti masjid-masjid lain di seluruh dunia.

Semua struktur bangunan termasuk ragam dan kelarai dibina dan diukir oleh tukang-tukang kayu tempatan terkenal seperti Panjang Noh, Ngah Gadoh, Wan Ibrahim dan Kulup Ngah.

Masjid tersebut dirasmikan oleh Sultan Iskandar pada 11 Februari 1938 iaitu beberapa bulan sebelum kemangkatan baginda pada Oktober tahun sama.

Mohamad Anuar berkata, tingkat atas masjid tersebut dijadikan dewan solat yang boleh memuatkan 200 jemaah pada satu-satu masa manakala tingkat bawah dijadikan dewan perjumpaan, aktiviti kemasyarakatan serta persidangan pembesar negeri Perak.

Apakah kenangan manis Mohamad Anuar? Sebagai anak dan cucu bekas imam, sebahagian besar zaman kanak-kanaknya dihabiskan di sekitar masjid tersebut.

"Selain menjadi tempat beribadat hampir setiap masa, masjid tersebut memang sentiasa sibuk dengan aktiviti seperti kelas agama, kelas mengenal huruf dan membaca untuk golongan dewasa.

Kelas memasak, menjahit dan kraftangan anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) juga diadakan di situ.


KERJA-KERJA konservasi Masjid Ihsaniah Iskandariah siap sepenuhnya pada Julai 2009.

Sebuah pondok pengawal pernah dibina di perkarangan masjid tersebut pada zaman Darurat bagi memastikan keselamatan penduduk kampung daripada ancaman Komunis.

"Masjid semakin diimarah apabila tiba Ramadan. Kami berbuka puasa, bertilawah al-Quran dan solat tarawih bersama-sama.

"Selepas solat tarawih, sebahagian penduduk kampung akan meneruskan ibadat sunat seperti qiyammulail dan berzikir sehingga Subuh dengan cahaya pelita.

"Menjelang Syawal, arwah datuk dan beberapa penduduk kampung akan memasang panjut yang diperbuat daripada buluh dan tin susu di sekeliling perkarangan masjid bagi memeriahkan suasana," katanya.

Sepanjang ingatannya, Mohamad Anuar pernah berhadapan dengan satu pengalaman misteri semasa menemani ayahnya dan beberapa penduduk kampung lain berzikir dan beratib pada awal pagi Ramadan.

Katanya, ketika mereka asyik berzikir di tingkat atas Masjid Ihsaniah Iskandariah tiba-tiba lantai yang diduduki beralun-alun dan mengeluarkan bunyi seolah-olah turut berzikir.

"Saya terkejut dan ketakutan terus berlari mendapatkan ayah. Namun beliau dan beberapa penduduk kampung cuma bersenyum dan meneruskan aktiviti beratib. Peristiwa itu kekal misteri hingga sekarang," katanya.

Namun kegemilangan Masjid Lama Kampung Kuala Dal pudar apabila sebahagian strukturnya rosak teruk akibat dihempap dahan pokok durian sekitar 1976.


PEMANDANGAN tingkap Masjid Ihsaniah Iskandariah selepas kerja-kerja konservasi.

Kejadian itu menyebabkan sebuah masjid baru yang lebih besar dibina bersebelahannya di atas sebidang tanah yang diwakafkan oleh datuk Mohamad Anuar, Abdul Wahid.

Sebagai mengenang jasa dan pengorbanan Abdul Wahid yang juga pernah menjawat Ketua Kampung Kampung Kuala Dal, masjid baru itu dinamakan Masjid Al-Wahidiah.

Mohamad Anuar memberitahu, biarpun sudah mempunyai masjid baru, kenangan penduduk kampung terhadap Masjid Ihsaniah Iskandariah tidak pernah pudar.

Pelbagai ikhtiar dilakukan bagi menyelamatkan warisan kebanggaan penduduk kampung itu.

Sementara itu, Pesuruhjaya Pesuruhjaya Jabatan Warisan Negara, Profesor Emeritus Datuk Siti Zuraina Abdul Majid berkata, masjid berkenaan telah digazetkan sebagai bangunan warisan negara. Kerja-kerja konservasi dimulakan pada Disember 2008.

kosmo


Masjid Ihsaniah Iskandariah


Keadaan masjid setelah dikosongkan pada tahun 1976. 

 Sebelum kerja-kerja konservasi, tahun 2006. 

 
 Selepas kerja-kerja konservasi, tahun 2009.

Masjid Ihsaniah Iskandariah terletak di Kampung Kuala Dal, Padang Rengas kira-kira 4.8 kilometer dari Bandar Diraja Kuala Kangsar dan hanya 2 km dari plaza Tol Plus masuk ke Kuala Kangsar. Keunikan masjid ini dapat dilihat pada rekabentuk binaannya yang menyerupai seperti sangkar burung. Keunikan masjid dua tingkat ini ialah keseluruhan dindingnya dibuat daripada buluh minyak yang dianyam dipanggil “dinding tepas/tepus” kehalusan seni anyaman tangan kelarai bermotif pengaruh ‘arabes’ pada dinding masjid menimbulkan nilai estetika bangunan menjadi tarikan utama kepada siapa yang memandang. Kerja-kerja menganyam dinding tepas ini dilakukan oleh beberapa orang tempatan antaranya ialah Panjang Noh, Ngah Gadoh ,Wan Ibrahim dan Kulop Ngah. Terdapat 20 tingkap berdaun dua yang dihiasi ukiran “tebuk terus, tidak silat” bermotif pucuk kacang, bulan sabit dan bintang. Bumbung masjid ini juga sangat unik kerana tidak mempunyai tebar layar menyebabkan kelihatan seperti bumbung rata yang tidak terpengaruh dengan bumbung Istana Kenangan yang mempunyai ‘satah’ kecerunan yang sangat ketara.

Masjid Ihsaniah Iskandariah ini dibina pada 1936. Pembinaannya telah dibiayai oleh Al-Marhum Paduka Seri Sultan Iskandar Shah, Sultan Perak yang ke-30. Papan plak perasmian yang diperolehi di masjid ini mencatatkan majlis perasmian telah berlangsung pada hari Jumaat 10 Zulhijjah pada tahun 1356H bersamaan 11 Februari 1938. Ianya dibina setelah Baginda Sultan menunaikan nazar untuk membina sebuah masjid apabila salah seorang anakanda baginda sembuh daripada gering. Hasrat Baginda Sultan timbul apabila melihat masyarakat tempatan yang menunaikan solat berjemaah di madrasah di kampung berkenaan setelah pulang dari berkelah di Lata Bubu. Justeru itu, Baginda Sultan bernazar untuk memberi sumbangan wang sebanyak RM 8,000.00 bagi membina sebuah masjid baru di atas sebidang tanah wakaf pemberian Juragan Abdul Shukur bin Mohamad Ali. Pembinaan masjid ini telah dibina oleh tukang berbangsa Cina dan dibantu oleh penduduk tempatan secara bergotong-royong. Seni bina masjid ini dikatakan datang daripada hasil ilham baginda sendiri yang dipengaruhi kuat ciri-ciri seni bina Istana Kenangan di Bukit Chandan, Kuala Kangsar. Ragam hias dan dinding tepas yang terdapat di masjid ini juga diukir dan dianyam oleh penduduk tempatan. Masjid ini tidak digunakan pada 1976, setelah masjid baru yang dikenali sebagai Masjid Al-Wahidiah dibina.

Di atas kepentingan bangunan sejarah dan senibina yang unik, pihak Jabatan Warisan Negara telah menjalankan kerja-kerja konservasi pada Disember 2008. Antara masalah yang dihadapi bagi projek ini ialah penyediaan dinding tepas kerana ketiadaan tukang-tukang yang mahir membuat anyaman serta kekurangan bahan pembuatan iaitu buluh minyak tempatan untuk membuat dinding kelarai. Oleh yang demikian, Jabatan Warisan Negara telah mendapatkan tukang membuat anyaman serta sumber buluh dari Negeri Perlis mengikut jenis yang asal. Kerja-kerja konservasi ini telah dilaksanakan dengan menggunakan tatacara kerja yang sistematik bagi mengekalkan keaslian senibina asal.

Keadaan asal dinding kelarai yang diperbuat daripada buluh minyak tempatan sebelum kerja-kerja konservasi dilaksanakan. 

 
Kerja-kerja mengukir pada kerawang tingkap dengan menggunakan pahat kecil. 

Kerawang kepala tingkap labuh bermotif flora.

heritage

Comments