31 Jan 2015

sayembara fiksyen sains teknologi

Sayembara Novel Fiksyen Sains dan Teknologi lahirkan masyarakat saintifik
20 Januari 2015 



KASSIM THUKIMAN (kanan) mempengerusikan Mesyuarat Kedua Jawatankuasa Pelaksana Sayembara Novel Fiksyen Sains dan Teknologi UTM - Kumpulan Utusan bagi musim ketiga di Ibu Pejabat Utusan Melayu, Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 19 Jan. – Sayembara Novel Fiksyen Sains dan Teknologi Universiti Teknologi Malaysia (UTM) - Kumpulan Utusan musim ketiga berjaya menjadi pemangkin ke arah mencapai Wawasan 2020 untuk melahirkan masyarakat saintifik.

Pengarah Penerbitan UTM Press, Dr. Kassim Thukiman berkata, pertandingan dwitahunan itu dapat memasyarakatkan ilmu sains dan teknologi melalui pendidikan, contohnya karya musim kedua iaitu Di Sebalik Dinara telah diangkat sebagai teks komponen sastera (Komsas) tingkatan 4 bagi sesi persekolahan tahun ini.

“Secara tidak langsung, novel yang dihasilkan dapat menjadi bahan alternatif berbentuk ilmiah bagi menggantikan novel berkaitan cinta.
Advertisement

“Pertandingan ini juga memudahkan khalayak untuk memahami bidang sains dan teknologi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia selepas mempengerusikan Mesyuarat Kedua Jawatankuasa Pelaksana Sayembara Novel Fiksyen Sains dan Teknologi UTM - Kumpulan Utusan musim ketiga di sini hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Othman Mohamad.

Sayembara kali ini menawarkan masing-masing tiga hadiah utama dan saguhati dengan pemenang tempat pertama akan membawa pulang hadiah wang tunai RM15,000, kedua RM10,000 serta ketiga RM5,000 manakala hadiah saguhati pula adalah sebanyak RM1,000 setiap satu.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Penerbitan UTM Press, Khalid Mazlan berkata, pertandingan itu diatur secara sistematik meliputi bengkel penulisan, siri peringkat zon dan kepakaran panel penilai.

“Bengkel penulisan bersiri yang dijalankan berjaya mencungkil potensi penulis yang datang dari pelbagai persatuan serta kelab.

“Justeru, penganjuran sayembara ini dapat memberi impak dari segenap segi termasuk penghasilan karya, penulisan yang lebih baik dan jumlah karya yang diterbitkan,” ujarnya.

utusan online

30 Jan 2015

transformasi teater

Evolusi props dalam pementasan teater

Oleh IZWAN MOHD. ISA


Muzikal yang menggunakan teknologi realiti maya, Guan Yin Pusa A Musical, baru-baru ini dipentaskan di Istana Budaya, Kuala Lumpur.

KETIKA bidai putih yang menutup bahagian hadapan pentas Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur diangkat tanda bermulanya pementasan Guan Yin Pusa A Musical baru-baru ini, ruang persembahan yang biasanya diisi dengan kehadiran props dan latar pentas bagi mengiringi sesebuah naskhah dilihat kosong.

Apa yang jelas kelihatan hanyalah barisan anak tangga yang diletak kemas di bahagian belakang serta empat pasang kepingan papan berona putih yang disusun secara menyerong di sebelah kanan dan kiri pentas.

Telahan awal bahawa teater muzikal tersebut bakal dipertontonkan dengan menggunakan dua variasi props ternyata jauh meleset.

Sebaik sahaja instrumen dialunkan dan para pelakon mula berlari masuk ke bahagian hadapan pentas, sebuah pancaran berbentuk realiti maya dilihat menyelimuti keseluruhan bahagian pentas sambil membawa efek props yang dibangunkan secara tiga dimensi.

Efek props tiga dimensi yang dipancarkan itu berubah dan bergerak secara rawak mengikut skrip dan penceritaan naskhah tersebut. Sepanjang persembahan itu, pelbagai props dan latar pentas dijelmakan, sehingga memberikan penonton perasaan sebenar seperti berada di dalam babak yang sedang dipentaskan.

Ternyata, walaupun tidak menggunakan sebarang props secara fizikal, namun, naskhah yang berunsurkan keagamaan itu berjaya memberikan pengalaman baharu kepada khalayak yang datang menonton.

Pengalaman digital

Berkesempatan bertemu dengan produsernya, Datuk Tan Swee Lai usai muzikal tersebut dipentaskan, beliau yang turut memegang jawatan sebagai Ketua Setiausaha Yayasan Guan Yin memberitahu, teknik realiti maya yang diangkat dalam naskhah yang diinspirasikan daripada kitab Lotus Sutra itu merupakan teknik pertama seumpamanya yang pernah dipersembahkan di Malaysia.

Katanya, tujuan utama teknik tersebut diimplementasikan dalam karya terbaharunya itu adalah bagi mendekatkan khalayak umum dengan teknologi visual digital serta realiti maya dalam media baharu.

“Saban tahun, kita sering dihidangkan dengan peluang penambahbaikan yang boleh dimanfaatkan menerusi perkembangan media baharu dan teknologi digital.

“Justeru, menyuntik elemen realiti maya sepenuhnya dalam pementasan Guan Yin Pusa A Musical dapat memberi peluang kepada khalayak merasai sendiri pengalaman baharu menonton teater seiring dengan perkembangan teknologi,” katanya.

Swee Lai menambah, menerusi maklum balas yang diterimanya, penonton tempatan masih belum membiasakan diri dengan cara tersebut memandangkan itulah kali pertama penonton melihat props dibangunkan secara realiti maya.

“Ada yang mengadu kepada saya bahawa mereka berasa sedikit pening sewaktu menonton. Maklumlah, setiap props muncul dan digerakkan secara tiga dimensi.

“Namun, lama-kelamaan, mereka sudah boleh menerima perubahan tersebut dan menikmati persembahan sehingga tamat,” katanya lagi.

Ketika ditanya mengenai perbezaan antara props tradisional dengan digital, beliau berkata, kehadiran props secara fizikal masih diperlukan, namun, transisi ke arah digital dilihat sebagai percubaan terbaik pengarah untuk menerapkan elemen-elemen yang berbeza dalam persembahan.

“Kehadiran props secara realiti maya tidak membawa maksud bahawa props yang dibina secara tradisional itu tidak bagus. Ia masih merupakan aksesori terbaik untuk menyampaikan jalan cerita kepada penonton.

“Cuma, props digital dapat memberikan kelainan kepada naskhah itu serta pembaharuan terhadap industri teater tempatan,” katanya yang mengeluarkan bajet sebanyak RM2.8 juta bagi menjayakan pementasan tersebut.

Props sampaikan mesej


LATAR epik dalam Puteri Gunung Ledang The Musical harus seiring dengan penggunaan kostum dan rekaan set.

Berbicara dengan pengarah teater Rosminah Tahir yang sudah menghasilkan beberapa teater besar termasuk Mak Dara Nyonya, keperluan props dan latar pentas biasanya dianggap sebagai nilai tambah yang mampu menyalurkan fungsinya kepada penonton.

Menurut pengarah teater Di Bawah Lindungan Kaabah itu juga, setiap props yang diangkat perlulah digunakan oleh pelakon agar cerita yang dipersembahkan sampai kepada penonton.

“Setiap props dan latar pentas yang diletakkan di atas pentas setiap persembahan teater perlulah mempunyai fungsi.

“Jika ia dibiarkan begitu sahaja tanpa dirujuk oleh para pelakon, maka, ianya tidak memberi kesan yang menyeluruh terhadap pementasan tersebut.

“Selain itu, props juga perlulah dicipta untuk mimik keadaan asal sesuatu barang. Contohnya, buku dan majalah perlu dibikin semula agar lebih ringan dan tidak mudah rosak setelah digunakan berulang kali,” jelas Rosminah.

Menurutnya lagi, latar pentas yang gah juga boleh membantu menyelamatkan pementasan, jika penonton yang hadir tidak begitu menghayati lakonan yang dipersembahkan para pelakon.

“Tidak semua orang boleh menghayati sesebuah teater dengan tekun. Jadi, apabila props dan latar pentas dibikin dengan mewah dan gah, ia dapat mengurangkan rasa bosan penonton yang datang menyaksikan pementasan berkenaan,” katanya.

Rujuk karya asal

Sementara itu, orang kuat di belakang tabir pembikinan rekaan set teater Puteri Gunung Ledang The Musical, Raja Malek pula menjelaskan, setiap rekaan yang mahu diangkat ke pentas teater perlulah berkait rapat dengan naskhah teater berkenaan. Props menjadi lebih penting apabila sesebuah naskhah itu merupakan karya adaptasi daripada filem.

“Sebagai contoh, menerusi pementasan Puteri Gunung Ledang The Musical, saya menjadikan inspirasi Gunung Ledang sebagai simbol utama.

“Ia ditampilkan dalam bentuk stupa, yang juga boleh diguna berulang kali dalam babak-babak yang diperlukan.

“Penampilan stupa itu bukan sahaja dapat memberikan gambaran kepada penonton tentang jalan cerita yang dipersembahkan, tetapi turut menjadi latar tempat yang berlainan seperti pintu gerbang kerajaan Majapahit dan sebagainya,” ujar Raja Malek yang turut bergelar pereka set bagi teater P. Ramlee The Musical.

Minimum

Di sebalik kerancakan ramai produser dan pengarah teater tempatan menggunakan props dan latar pentas yang besar dalam karya mereka, masih ada segelintir pengkarya yang mengekalkan elemen sederhana dalam pementasan.

Bagi penerbit dan pengarah teater Khairunazwan Rodzy, walaupun tampil sederhana, namun, kepelbagaian fungsi sesuatu props dan latar pentas itu lebih penting bagi menyampaikan naskhah garapannya kepada penonton.

“Selalunya, props atau latar pentas yang sering saya gunakan bersifat minimum.

“Contohnya dalam pementasan Sudirmania pada tahun lalu, saya hanya menggunakan seketul batu sebagai props dan ia berfungsi dalam setiap babak yang dipentaskan.

“Selain itu, untuk menguatkan lagi perjalanan cerita, penataan cahaya, muzik dan gubahan lagu dalam sesebuah naskhah juga perlu dititikberatkan,“ tegasnya.

kosmo online

24 Jan 2015

caliph buskers : perjalanan seni

Kisah jalanan Caliph Buskers
Oleh MOHD. IZUAN ROSELI

KUMPULAN Caliph Buskers yang dianggotai oleh (dari kiri) Nirwan, Zaki, Azmi, Fendy dan Shahzmeen akan terus menyanyi di jalanan walaupun sudah popular di mata khalayak.

“Kami menyanyi bukan kerana mahukan sanjungan, jauh sekali demi kemewahan harta-benda, kami hanya mahu menghiburkan hati semua orang, kerana dengan menghiburkan mereka, kami bahagia dan puas.

Itulah nikmat yang lebih besar berbanding nikmat melihat,” ujar vokalis Caliph Buskers, Khairul Azmi Saat, pada pertemuan sulung dengan dengan penulis. Luahan daripada Khairul itu langsung tidak dijangka. Tanpa bertentang mata, riak daripada wajah tenang Azmi memancarkan keikhlasan. Sepanjang bicaranya, berkali-kali Azmi memberi penekanan, biarpun nama sudah menjadi sebutan, mereka akan tetap kembali menyanyi di jalanan.

“Walaupun kini semua mata melihat kepada Caliph Buskers, kami tidak akan sesekali berhenti bermain di jalanan. Jiwa kami di sana, menghiburkan sahabat-sahabat yang sanggup berpanas melihat persembahan kami,” lentur Azmi sambil diiyakan teman-teman.

Itulah pendirian yang mempamerkan keistimewaan Caliph Buskers, yang dibarisi oleh enam individu orang kelainan upaya (OKU) yang cacat penglihatan, Khairul Azmi Saat, 28, selaku vokalis, Nirwan Zainal Abidin, 26, (gitaris), Fendy Abdullah, 24, (pemain dram), Syahzmeen Abdul Rahman, 24, (tamborin), Mohd. Zaki Ismail, 36, (gitaris) dan Nor Nadira Rubina, 24, (shaker). Nor Nadira bagaimanapun tidak hadir ke sesi fotografi yang dijalankan di Studio Utusan bersama-sama anggota yang lain kerana komitmen kerja.

Kurang seminggu selepas muncul sebagai band pengiring kepada kumpulan Mojo pada Anugerah Juara Lagu (AJL) tempoh hari, gitaris Zaki Ismail memberitahu, perubahan yang sangat ketara melanda mereka usai persembahan pada malam tersebut.

Lagu Romancinta yang membawa pulang trofi Persembahan Terbaik pada malam berkenaan bagaikan tsunami yang mengubah landskap jalan seni Caliph Buskers.

“Kami tidak pernah menyangka impak daripada persembahan tersebut membawa perubahan besar dalam karier seni kami. Sebelum ini, hanya segelintir sahaja yang menyedari kehadiran kami, kini boleh dikatakan hampir ke mana sahaja kami pergi, ada sahaja mata yang melihat.

“Walaupun ada kalanya timbul perasaan kurang selesa, namun, pada masa yang sama kami sangat bersyukur. Mungkin ini rezeki yang Allah berikan kepada setiap manusia yang dikehendakinya, kami menerima seadanya,” kata Zaki yang merupakan ahli anggota yang paling senior dalam Caliph Buskers.

Selepas kemenangan besar itu, Caliph kini sibuk memenuhi undangan bergambar dan temubual bersama akhbar, stesen televisyen dan radio tempatan. Malam tadi, kumpulan berkenaan turut diundang membuat persembahan di Pasar Seni, Kuala Lumpur anjuran sebuah stesen radio.

Permulaan Caliph Buskers

Diajak bercerita mengenai permulaan tercetusnya Caliph Buskers, Azmi memberitahu, kumpulan tersebut secara rasminya ditubuhkan sekitar Januari tahun lepas. Bagaimanapun, perkenalan dengan setiap ahli kumpulan telah terjalin lebih lama daripada usia penubuhan kumpulan tersebut.

“Secara rasminya, Caliph Buskers ditubuhkan pada Januari tahun lepas, tetapi kami sudah mengenali antara satu sama lain sejak tahun 2012 lagi. Ketika itu, sama-sama belajar dalam bidang refleksologi dan urutan dengan Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MBA) di Brickfield, Kuala Lumpur.

“Selepas menyedari masing-masing mempunyai minat mendalam dalam bidang muzik, kami sering melakukan latihan di studio di MBA bersama-sama sehingga masing-masing bersetuju untuk bernyanyi di jalanan sebagai buskers.

“Kaki lima kompleks beli-belah Sogo menjadi permulaan kepada karier seni kami. Menghiburkan orang ramai dengan lagu yang menjadi permintaan mereka menjadi rutin kami dari pukul 2 sehingga 3 petang setiap hari di sana,” kata Azmi yang pernah bekerja sambilan sebagai pengurut di pusat urutan milik ahli anggota kumpulan tersebut, Zaki di Golden Touch, Sri Petaling, Selangor.

Zaki kemudiannya menyambung cerita, mengapa mereka memilih untuk meneruskan hidup sebagai penyanyi jalanan. Katanya, mereka ingin bebas dan tidak terikat terhadap muzik asal sesebuah lagu.

“Kami suka dengan muzik yang lebih santai ataupun muzik yang disampaikan secara akustik. Muzik tersebut lebih ringkas dan boleh dipelbagaikan dalam pelbagai genre dan bentuk melodi.

“Lagipun, apa yang penting ialah penonton dapat menikmati muzik yang disampaikan, sekali gus terhibur dengan persembahan kami,” katanya.

Turut menghuraikan maksud di sebalik nama Caliph Buskers, gitaris utama kumpulan tersebut, Nirwan memberitahu, Caliph Buskers berasal daripada perkataan Arab yang diambil daripada perkataan ‘khalifah’. Khalifah bermaksud seseorang yang mengetuai segerombolan ataupun segelintir kumpulan.

“Pemilihan nama Caliph itu sendiri membawa makna besar kepada setiap ahli anggota kumpulan ini. Kami mahu kumpulan ini menjadi permulaan dan pelopor kepada pemuzik yang terdiri daripada golongan istimewa lain.

“Kami juga mahu memberi semangat kepada mereka supaya berjuang meneruskan semangat bermain muzik. Kekurangan upaya bukanlah penghalang bagi seseorang itu mengecapi kejayaan,” kata jejaka yang berasal dari Sarawak itu.

Terma muzik

Ditanya mengenai definisi muzik dalam perjuangan Caliph, Azmi memberitahu, minat dan gemarkan bunyi-bunyian menjadi alasan dia dan seluruh anggota Caliph Buskers menjadikan muzik sebagai jalan kelangsungan hidup mereka.

“Kami tidak mampu melihat dengan baik. Hanya pendengaran menjadi senjata utama kami. Deria tersebut satu deria penting kepada kami untuk meneruskan survival kehidupan.

“Jadi, muzik merupakan elemen yang dapat diserap dengan cepat dan mampu memberi impak kepada kami. Melalui muzik, kami mampu meluahkan ekspresi dan emosi kami.

“Setiap muzik yang kami lontarkan bukan disebabkan keasyikan muzik itu semata-mata namun membabitkan emosi dan rasa jiwa kami,” ujar Azmi yang sudah berkeluarga dan mempunyai seorang cahaya mata.

Merancakkan perbualan masuk ke bahagian genre muzik, Caliph Buskers bersetuju bahawa mereka bukanlah kumpulan muzik yang terikat kepada sesuatu genre sahaja.

“Apabila berbincang mengenai muzik buskers, ia meliputi pelbagai genre dan tidak khusus kepada sesuatu genre sahaja. Pada dasarnya, seseorang pemuzik jalanan itu perlu tahu mempelbagaikan muzik supaya sesuai dengan permintaan peminat.

“Ketika melakukan persembahan di jalanan, kami bermain dengan pelbagai muzik mengikut permintaan penonton yang hadir,” lontar Azmi yang memberitahu bahawa pengangkutan menjadi masalah utama kumpulan itu setiap kali ada persembahan.

Pengangkutan yang digunakan oleh kumpulan Caliph Buskers ialah dengan menaiki LRT.

Sepanjang membuat persembahan di sekitar Kuala Lumpur, terutama di pekarangan kompleks membeli-belah Sogo, Caliph Buskers juga tidak pernah berdepan masalah dengan pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur kerana mereka mempunyai permit yang dikeluarkan pihak DBKL sendiri.

Ditanya mengenai asas menggunakan peralatan muzik, kesemua ahli kumpulan Caliph Buskers hanya mampu tersenyum. Tidak seperti pemuzik profesional lain, mereka mengakui tidak mempunyai sebarang pendidikan muzik secara formal.

“Kami tidak mempunyai sebarang pendidikan muzik, tiada nota yang mampu menjadi panduan kepada kami. Kami hanya mendengar lagu di radio dan cuba mengikut setiap nota dan chord mengikut bunyi yang sama,” kata gitaris kumpulan tersebut, Nirwan yang belajar bermain gitar sejak berumur sembilan tahun.

Masa hadapan

Caliph Buskers kini bukan lagi pemuzik jalanan yang biasa. Bagai memperoleh durian runtuh, ‘fenomena Romancinta’ versi Caliph Buskers terus hangat diperkatakan oleh peminat industri hiburan tempatan.

Populariti sekelip mata yang jatuh ke riba Caliph Buskers tentunya diikuti rencana besar yang sedang diatur.

“Kami telah pun berbincang dengan pihak pengurusan KRU Music untuk beberapa projek khas dan merakamkan beberapa buah single. Kami bukan akan menjadi artis bawah naungan mereka, jadi kami masih mempunyai kebebasan untuk bermain muzik di jalanan,” tegas Azmi.

Ditebak mengenai arah tuju kumpulan berkenaan, Azmi dan rakan seperjuangannya tertawa sebelum memberikan jawapan. Kata Azmi, Caliph Buskers akan terus berkarya selagi ada peminat.

“Kami akan terus menghiburkan orang ramai di kaki lima dan terus berkarya dalam arus muzik perdana. Perjuangan kami tidak akan terhenti di sini.

“Kami mahu membuktikan kepada masyarakat bahawa kekurangan upaya bukanlah satu faktor konkrit mengapa seseorang itu tidak boleh mengecapi kejayaan sama seperti insan normal lain,” kata Azmi mengakhiri perbualan.

kosmo online






romancinta - caliph buskers



caliph buskers di Central Market
foto norman abdul halim


23 Jan 2015

adab




10 adab dalam menuntut ilmu


Dalam penulisan agung “Ihya’ `Ulum al-Din” karangan Hujjatul Islam, Imam al-Ghazali, beliau telah membuat satu garis panduan adab pelajar dalam menuntut ilmu. Dalam penulisannya, beliau telah mengenalpasti 10 panduan yang boleh dijadikan asas pedoman kepada para pelajar. Asas-asas ini perlu dihayati dan dicernakan dalam diri para pelajar dalam usaha mereka menuntut ilmu sama ada di peringkat rendah atau di peringkat pengajian tinggi.

Pertama, menjauhi perkara-perkara yang boleh merosakkan akhlak yang murni, kerana ilmu amat mudah mendekati orang yang baik budi pekertinya dan jiwa yang sentiasa bersih dan tenang. Sekiranya, hati seseorang itu dicemari dengan elemen-elemen yang negatif yang boleh merosakkan kemurnian hati dan jiwa menyebabkan pelajar tersebut sukar untuk menguasai ilmu. Ini kerana secara prinsipnya, ilmu itu bersifat suci. Sebagaimana firman Allah dalam al-Quran yang bermaksud:
“Sesungguhnya orang-orang musyriq itu najis” (at-Taubah:28).

Istilah najis yang dijelaskan oleh al-Quran merupakan simbolik yang mengertikan sifat kotor tersebut mesti dijauhi dan dihindari disebabkan sifat tersebut boleh merosakkan manusia.

Kedua, para pelajar disarankan tidak terlalu terikat dengan hal-hal keduniaan yang berkecenderungan melalaikan fikiran daripada menumpukan perhatian sepenuhnya terhadap pelajaran. Unsur-unsur ini boleh menyebabkan pelajar tidak dapat menunaikan tanggungjawabnya sebagai pelajar yang hakiki dan memalingkan fikirannya dalam usaha menuntut ilmu. Hal ini sebagaimana yang dijelaskan oleh Allah dalam al-Quran yang bermaksud:
“Allah sekali-kali tidak menjadikan bagi seseorang dua organ hati dalam rongganya” (al-Ahzab:4).
Oleh yang demikian, sekiranya fikiran para pelajar dipengaruhi oleh elemen-elemen yang boleh mencemari mentalitinya menyukarkan untuk mengetahui hakikat ilmu. Menurut Imam al-Ghazali, “Seseorang itu tidak dapat menguasai ilmu secara sebahagian, melainkan ia memberi perhatian dan tumpuan yang sepenuhnya”. Beliau memberi perumpamaan terhadap pemikiran yang dipengaruhi oleh hal-hal yang tidak berkait dengan ilmu seperti air yang mengalir dari sungai kecil, sebahagiannya diserap oleh tanah dan sebahagian lagi diserap oleh udara sehingga tidak ada lagi yang sampai ke ladang.

Ketiga, para pelajar tidak boleh bersikap angkuh dan bongkak terhadap golongan intelektual dan guru. Adalah menjadi kewajipan pelajar untuk menyerahkan segala urusan berkaitan ilmu dan mematuhi serta menghormati guru seperti orang sakit yang mematuhi arahan dan nasihat doktor. Para pelajar dituntut bersifat rendah diri, baik sangka dan setia kepada guru serta sedia menawarkan perkhidmatan kepadanya. Oleh yang demikian, pelajar tidak boleh bersikap sombong dengan guru seperti tidak mengambil manfaat ilmu yang disampaikannya dengan alasan antaranya, beranggapan guru tersebut tidak mempunyai kelayakan akademik yang tinggi. Sikap seperti ini menunjukkan kebodohan dan kedangkalan pemikiran yang ada dalam diri seseorang pelajar. Sebaliknya, para pelajar seharusnya merasa terhutang budi terhadap guru yang mencurahkan ilmu yang memandunya ke arah kebenaran.

Keempat, orang yang bersifat tekun dalam menuntut ilmu pada tahap awalnya perlu mengelakkan diri mendengar perselisihan dan perbezaan pendapat di kalangan manusia sama ada yang melibatkan ilmu keduniaan atau ilmu akhirat. Secara rasionalnya, ia boleh mengelirukan pemikirannya terhadap disiplin ilmu yang baru dipelajarinya dan membantutkan usahanya untuk membuat penyelidikan yang mendalam. Namun begitu, bagi seseorang yang telah menguasai sesuatu bidang disiplin ilmu secara mahir dan mendalam tidak menjadi halangan untuk mengkaji perbezaan pendapat tentang sesuatu perkara. Ini kerana, perbezaan pendapat tentang sesuatu perkara merupakan salah satu daripada metodologi medan penyelidikan ilmu.

Kelima, seseorang pelajar tidak boleh meninggalkan sesuatu disiplin ilmu yang terpuji melainkan ia telah mempertimbangkan dengan sebaik mungkin. Sekiranya faktor usia mengizinkan untuk menuntut ilmu, ia harus mengambil peluang untuk meningkatkan kepakarannya ke peringkat yang lebih tinggi. Sebaliknya jika faktor usia menjadi kekangan terhadap usaha menimba ilmu pengetahuan maka seseorang itu perlu mengetahui perkara asas dan penting dalam ilmu yang dikuasainya berdasarkan kemampuannya.

Keenam, tidak memaksa untuk menguasai semua disiplin ilmu secara sekaligus. Tindakan yang bijak ialah dengan menguasai sesuatu bidang ilmu itu mengikut tahap dan tingkatan ilmu berdasarkan kemampuan dan keupayaan yang ada pada diri seseorang. Kompetensi yang ada pada manusia adalah terbatas oleh pelbagai faktor dari aspek pengalaman, realiti semasa, kepakaran dan keupayaan mentaliti seseorang.

Ketujuh, seseorang tidak boleh mencampuradukkan sesuatu cabang ilmu sebelum menguasai dan memahami dengan mahir cabang ilmu yang sebelumnya. Ini kerana tertib dalam ilmu adalah tersusun dan berkait rapat antara satu sama lain. Oleh yang demikian, sekiranya seseorang pelajar memahami sesuatu ilmu dengan tertib dan tersusun maka ia dapat menguasai sesuatu konsep ilmu dengan baik. Pemahaman manusia tentang konsep ilmu akan lebih sempurna dan konsisten jika setiap cabang ilmu dihadam dan dicernakan mengikut tahap-tahap dan fasa yang tersusun dan terancang.

Kelapan, seseorang pelajar perlu mengetahui hakikat dan objektif sesuatu disiplin ilmu yang dipelajari. Ia bertujuan untuk menilai sesuatu kepentingan ilmu dan faedahnya kepada para pelajar supaya ilmu tersebut dapat diaplikasi dalam kehidupan dan memberi manfaat kepada masyarakat. Matlamat utama ilmu yang dipelajari itu tidak bertentangan dengan syariat dan membawa kemudharatan kepada umat manusia.

Kesembilan, para pelajar perlu bersikap ikhlas dalam menuntut ilmu. Kepentingan nilai ikhlas bertujuan untuk membersihkan jiwa seseorang yang bersifat riak dan takabur sesama manusia. Hakikatnya, manusia yang berilmu memiliki jiwa yang bersih dan sentiasa mendekatkan diri kepada Allah. Meskipun manusia dituntut menguasai ilmu-ilmu agama, namun ilmu-ilmu yang berkaitan dengan keduniaan tidak boleh diabaikan, kerana ia sebahagian daripada fardhu kifayah. Dalam era globalisasi ini, ilmu yang dikategorikan sebagai fardhu kifayah sangat penting bagi masyarakat Islam kerana ia dianggap sebagai satu kemaslahatan ( keperluan ) yang perlu dikuasai oleh umat Islam. Sekiranya manusia mengabaikan bidang disiplin ilmu ini menyebabkan umat Islam ketinggalan dalam zaman yang serba canggih. Dalam al-Quran, Allah berfirman yang bermaksud:
“ Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan” (al-Mujadalah:11)

Kesepuluh, setiap pelajar perlu mengetahui perkaitan ilmu yang dipelajari bertujuan supaya mengutamakan keperluan ilmu yang perlu didahulukan daripada ilmu yang berbentuk sampingan. Keutamaan ilmu ini penting kerana ia dapat mengukuhkan pemahaman pelajar tentang sesuatu perkara. Di samping itu, ia menjadi asas utama untuk mempelajari disiplin ilmu yang lain disebabkan ia mempunyai kesinambungan di antara satu cabang ilmu dengan disiplin ilmu yang lain.
Berdasarkan garis panduan yang telah diberikan oleh Hujjatul Islam, Imam al-Ghazali dalam kitabnya “Ihya’ `Ulum al-Din” diharapkan dapat memberi pedoman yang berfaedah kepada mereka yang bergelar pelajar. Mutiara kata-kata yang dicurahkan oleh ulama’ silam perlu diambil perhatian dan diamalkan oleh individu yang bergelar pelajar, agar ilmu yang dipelajari diberkati oleh Allah dan dapat memberi faedah besar kepada umat sejagat.

ahmadsanusihusain




Adab baik akhlak cantik
Oleh DR. AMINUDIN MANSOR

DALAM mengejar kemajuan, adab sangat dipentingkan kerana orang yang beradab adalah orang yang sentiasa mementingkan budi bahasa dan tatasusila sebagai orang yang beradab. Kita sering mendidik kanak-kanak dan remaja supaya beradab tetapi orang tua tidak pula beradab dalam berkata-kata dan perlakuan yang ditunjukkan.

Islam amat menekankan pendidikan adab kepada anak-anak dan juga dalam kalangan keluarga. Islam menetapkan beberapa adab seperti adab berhias diri, adab menjaga orang sakit, adab amar makruf nahi mungkar, adab di tempat rekreasi, adab menjaga kemudahan awam, adab menziarahi jenazah dan adab dalam pergaulan seharian.

Sebagai ibu bapa pendidikan adab terhadap anak-anak sengat penting. Ibu bapa mestilah menunjukkan adab dan teladan yang baik. Begitulah seperti kata peribahasa, seperti ketam mengajar anaknya berjalan betul, sedangkan ibu atau bapa ketam tak pernah berjalan betul. Ada ibu bapa melarang anaknya merokok, sedangkan mereka sendiri adalah perokok tegar. Bagaimanakah nasihat dan teladan hendak diterapkan kepada anak-anak? Jawapannya terletak kepada kebijaksanaan ibu bapa tersebut.

Memetik kata-kata cerdik pandai, adab yang baik adalah seni untuk membuatkan orang berasa selesa berhubung dengan kita. Sesiapa yang menyebabkan paling sedikit orang berasa tidak selesa, dialah baka yang terbaik dalam kumpulan itu.

Ingatlah kehebatan adab terutama adab yang baik yang ditunjukkan oleh seseorang kepada orang lain. Orang yang beradab sentiasa menjaga percakapan, bicara dan perlakuannya di mana sahaja dia berada sama ada keseorangan atau di khalayak ramai.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya seorang mukmin mengambil (melaksanakan) adab daripada Allah. Kalau Allah meluaskan adab baginya, maka akan luas adabnya dan menyempitkannya (menahan dan tidak memberinya adab) maka sempitlah adabnya." (riwayat Al Hakim).

Begitulah juga kita seharusnya menjaga adab dengan pemimpin, ibu bapa, guru dan orang yang lebih tua. Begitu juga kita wajar mempamerkan adab yang baik kepada kanak-kanak dan orang yang lebih muda sebagai teladan dan ikutan kepada mereka.

Sebagai renungan, Wahab Munabin pernah mengingatkan, adab dan akhlak yang buruk seperti tembikar yang sudah pecah. Tidak dapat dilekatkan lagi dan tidak dapat dikembalikan menjadi tanah. Begitu jugalah manusia yang tidak beradab dan berakhlak diumpamakan seperti tembikar yang pecah.

Ini membuktikan adab dan akhlak sangat penting dalam kehidupan, jika adab dan akhlak kita rosak dan tercemar sukar sekali untuk memperbaikinya. Orang akan ingat selama-lamanya akan perbuatan yang kita lakukan yang merosakkan adab dan akhlak. Nabi SAW bersabda: Yang muda mendahului memberi salam kepada yang tua, yang berjalan kepada yang duduk dan yang berjumlah sedikit kepada yang banyak. (riwayat Bukhari)

Kesempurnaan budi dan adab sangat dipentingkan dalam kehidupan. Kata-kata yang lemah lembut dan beradab adalah inti peradaban kepada bangsa. Adab dan sopan juga adalah kecantikan budi pekerti yang terpuji yang sangat disanjung sejak dahulu hingga sekarang. Menurut Al Bukhari, Nabi SAW lebih malu daripada seorang gadis dalam pingitannya.

Mempraktikkan adab yang baik dalam kehidupan sangat digalakkan. Pendidikan adab ini mestilah dilakukan sejak kecil lagi bagi memperkukuh akidah, ibadah dan akhlak seseorang. Pendidikan ini juga dapat meneguhkan pendirian atau istiqamah terhadap perintah Allah dengan penuh keyakinan. Nabi SAW, bersabda: "Sesungguhnya Allah indah dan senang kepada keindahan. Apabila seorang keluar untuk menemui kawan-kawannya hendaklah merapikan dirinya." (Riwayat Baihaqi)

Kebaikan adab juga akan menunjukkan ketinggian akhlak seseorang. Apabila seseorang itu beradab baik, sudah pasti akhlaknya juga turut baik. Pendidikan adab juga akan meliputi pendidikan ibadah, keimanan, akal dan akhlak. Justeru, adab bercakap juga sangat penting dalam kehidupan. Bercakap merupakan suatu budaya manusia yang melambangkan hati, sikap dan fikiran. Oleh itu, peliharalah lidah dan ikutilah adab yang baik semasa bercakap.

Lantaran itu, Nabi SAW, bersabda: Sesiapa mempercayai Allah dan hari kemudian (akhirat) maka semestinya dia bercakap perkataan yang baik ataupun hendaklah dia diam sahaja. (riwayat Bukhari dan Muslim). Oleh itu, sebagai ibu bapa didiklah anak-anak dengan bercakap menggunakan perkataan yang baik-baik sahaja.

Natijah, pendidikan adab dan akhlak mestilah dilakukan secara berterusan. Menjaga aurat, perlakuan dan percakapan adalah adab yang paling baik. Jika adab sentiasa dijaga tidak akan ada perbuatan yang membabitkan gejala sosial yang merosakkan dan menghancurkan masa depan.

utusan online

Syair Panduan Untuk Para Remaja

SYAIR PANDUAN UNTUK PARA REMAJA



Ingat pesanku wahai belia,
Jangan berdusta jangan perdaya,
Jangan fikir kasihkan kaya,
Jangan boros yang sia-sia.

Jangan mengata jangan mengeji,
Jangan aniaya bengis dan benci,
Jangan takbur diri dipuji,
Jangan sekali mungkir janji.

Judi dan arak jangan biasa,
Lucah dan cabul jangan selesa,
Usah bertemu ular yang bisa,
Lambat bangatnya dapat binasa.

Jalan meminjam jangan berhutang,
Jangan meminta bantu sementang,
Bergantung pada orang hendaklah pantang,
Bebas kehidupan sentiasa tatang.

Meminta jangan meminjam pun jangan,
Barang dipinjam kerap kehilangan,
Sahabat peminjam renggang di tangan,
Hutang merosakkan mut’ah pandangan.

Jangan biasakan meminta tolong,
Ke sini tersembah, ke sana terlolong,
Ikhtiar sendiri bantut bergulung,
Akhirnya kebolehan lenyap terlelong.



Segmen Pencarian Bloglist Feb - Mac 2015

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم



Segmen ringkas untuk mencari 15 blog untuk disenaraikan dalam bloglist Truly Love.

Syarat Penyertaan:

1. Follow blog Maria Firdz
2. Follow +Maria Firdz
3. Buat entry bertajuk "Segmen Pencarian Bloglist Feb - Mac 2015"
4. Copy coding di bawah dan pastekan di ruang HTML new post.


5. Publishkan entry dan tinggalkan URL penyertaan di ruangan komen entry ini sahaja.

Segmen bermula 15 Januari 2015 hingga 30 Januari 2015.
Kesemua pemenang akan dipilih melalui random.org.

Jom sama-sama memeriahkan segmen ringkas ini..

Terima kasih atas sokongan semua...

Happy blogging (^_^)

21 Jan 2015

kepentingan sastera?




MASIH PENTINGKAH SASTERA?
Wan Nor Azriq
11 Januari 2015 


TIDAK dinafikan ini adalah soalan aneh untuk ditanya ketika negara kita sedang melalui saat-saat yang mendukacitakan (bencana banjir dan kehilangan pesawat AirAsia QZ8501). Ada dalam kalangan kita yang masih bermurung; ada yang kehilangan rumah dan ahli keluarga. Ada perniagaan kecil yang terjejas, ada syarikat besar yang tercalar imejnya dan ada pemerintah yang harus memimpin rakyatnya keluar daripada kegelapan.

Jika itulah senario yang sedang mendepani kita, mengapakah kita patut ambil peduli tentang sastera? Terlebih dahulu kita harus sedar yang sastera tidak boleh menyelesaikan masalah kita. Daripada peringkat nasional mahupun ke urusan harian rumah tangga memang itu bukan fungsi sastera.

Sastera bukan teknologi yang mengubah rutin hidup manusia. Sastera juga bukan ideologi untuk mencetus perubahan sosial. Apa yang kita lebih memerlukan pada saat ini adalah peringatan. Siapakah kita di dunia ini? Berapa banyak masa kita tinggal? Apa kita telah buat untuk diri kita dan orang lain?

Paling penting bagaimanakah kita ingin menjadi manusia yang lebih baik? Selalunya kita cenderung untuk melihat sastera dari sudut teknikal dan bentuk. Kita mengkajinya supaya sastera boleh digunakan sebagai sesuatu yang bermanfaat kepada masyarakat (seolah-olah kepentingan sastera sama sahaja dengan kepentingan meja dan kerusi di dalam sebuah rumah). Maka di sekolah, kita menekan pelajar-pelajar untuk menghafal plot sebuah novel dan watak-watak penting di dalamnya. Pembacaan menjadi latihan sekolah dan bukan lagi pembacaan. Sungguhpun mengkaji bentuk sangat penting untuk memahami sebuah karya sastera tetapi apabila hubungannya dengan manusia dan kehidupan dipisahkan, pembacaan sastera akan hanya menjadi alat untuk mencetak sijil dan anugerah.

Kita bukan ingin menghalang generasi muda malah sesiapa pun bergelar pembaca daripada mengejar kejayaan. Tetapi bukankah dunia sekarang sudah cukup keras menekan manusia untuk bekerja demi wang dan penerimaan sosial? Kita bersungguh-sungguh ingin masuk ke dalam ruang sosial sampai kita terlupa kita juga mempunyai ruang peribadi. Kita terlupa bahawa kita juga adalah seorang manusia.

Satu cara sastera dapat membina ruang peribadi dan mengembalikan rasa kemanusiaan kita adalah dengan membangkitkan kita daripada ruang kita sedang berada. Martin Heidegger berpendapat setiap manusia dicampak ke dalam kehidupan ketika dia lahir. Lalu dia membesar dalam ruang sosial yang diciptakan untuknya. Apabila kita membaca novel atau puisi, kita dapat melangkah keluar sebentar daripada ruang sosial tersebut dan melihat hubungan kita dengan dunia dalam konteks lebih luas.

Hari ini kita membaca karya epik Don Quixote, esoknya bertukar angin ke zaman perang dalam novel Bumi Manusia, dan minggu depan melangkah lebih jauh ke kehidupan harian seorang isteri di London dalam novel Ms. Dalloway. Sastera ternyata merentas sempadan dan menjadikan kita sebahagian daripada tamadun manusia.


Seterusnya waktu. Sastera menjadikan kita manusia dengan mengingatkan kita tentang kesementaraan waktu. Bila-bila masa sahaja kita boleh mati dan nilai sebuah kehidupan adalah sangat tinggi. Hal ini menjadi sangat jelas apabila kita berdepan dengan sebuah puisi. Seorang penyair bukan sekadar menyusun kata di atas kertas, dia menyusun kata dengan ruang. Dia membina hubungan antara kata dan waktu. Dan garapan waktu sudah tentu berbeza antara setiap penyair. Dalam puisi Chairil Anwar – waktu menjadi rapuh kerana penyairnya sentiasa gelisah dengan kematian; kata-kata melompat-lompat antara baris puisinya.

Sementara waktu bergerak lebih lama dalam puisi Sasterawan Negara Muhammad Haji Salleh kerana dia ingin kita merenung dan berfikir tentang objek-objek alam di sekeliling kita. Semakin banyak kita membaca puisi, kita akan semakin nampak nilai sebuah kata-kata dan bagaimana sebenarnya ia tidak ada beza dengan kita apabila kita diletakkan dalam ruang kehidupan yang sangat luas dan sementara.

Sastera mengingatkan kita bahawa kegagalan adalah sebahagian daripada aturan hidup dan tidak salah untuk sekali-sekala menjadi orang yang gagal. Bahkan sejarah sastera dunia memang kaya dengan individu yang ditindas oleh pemerintah zalim, yang gagal dalam percintaan, yang hilang sesat di laut, yang dibuang kerja, yang jatuh miskin, yang diasingkan oleh masyarakat.

Kita hidup dalam zaman di mana kejayaan adalah segala-galanya dan kegagalan dilihat sebagai kelemahan untuk berfungsi sebagai salah seorang anggota masyarakat. Kita menggalakkan persaingan di tempat kerja dan menolak sebarang bentuk kritikan. Kita ingin semua orang ikut serta dalam membangunkan masyarakat, tetapi sistem ekonomi liberal yang kita amalkan menghilangkan nilai individu dalam diri kita.

Setakat ini masyarakat kita hanya mencari sastera untuk dua sebab: Hiburan masa lapang dan kritikan sosial. Pembacaan sememangnya hiburan, tetapi hiburan yang dicari oleh pembaca kita hanya berbentuk eskapisme sementara. Tema cinta dalam novel-novel komersial terlalu idealistik dan hanya mengukuhkan stereotaip pembaca terhadap idea sebuah perhubungan dan rumah tangga. Kemudian apabila kita memang mencari karya yang serius, kita masih taksub dan terbawa-bawa semangat nasionalisme sebelum kemerdekaan untuk mengukur nilai sesuatu tulisan melalui kaca mata kritik sosial. Kita hanya nampak sastera sebagai alat perjuangan dan bukan panduan peribadi serta sahabat setia, untuk dibawa menempuh segala pengalaman hidup.

Sastera masih diperlukan. Justeru apabila masyarakat mula meminggirkan sastera, kita harus ingat bahawa ia bukan salah sastera tetapi kegagalan kita untuk meletakkan sastera di tempat sepatutnya ia berada.

utusan online


Kenapa Perlu Baca Karya Sastera
Azmah Nordin
 (terbit di Majalah WADAH, Disember 2010, DBP Sabah)

Mengapa sebenarnya seseorang itu perlu membaca karya sastera? Mengapa di sepanjang sejarah kehidupan manusia, di seluruh pelusuk dunia masyarakat daripada pelbagai tradisi suku bangsa dan budaya, berusaha menghasilkan karya sastera terbaik dan mengongsikannya sesame mereka? Apa sebenarnya makna sastera kepada manusia sejagat? Apa sebenarnya sumbangan sastera terhadap manusia dan kemanusiaan?

Sementara memikirkan jawapan-jawapan terhadap persoalan-persoalan di atas, saya rasa ada eloknya dimulakan dengan penyelongkaran yang paling dasar sekali iaitu Sastera. Apa sebenarnya sastera itu?

Lazimnya, terdapat pelbagai sudut pandangan dan definisi tentang pengertian karya sastera, yang satu pun sebenarnya tidak pernah memuaskan semua pihak. Ini mungkin kerana pada dasarnya, sastera bukanlah sekadar ilmu, sebaliknya ianya terbit dari salah satu daripada cabang seni dan sebagai seni, tentulah ia amat bergantung kepada faktor manusia dan penafsiran individu. Terutama sekali yang berkaitan dengan semangat dan kepercayaan.


Nah! Ternyata, amat sukar untuk membuat definisinya bukan? Lebih2 lagi apabila penafsiran dibuat dengan menggunakan kaedah ilmiah.

Jelasnya, karya sastera bergantung pada suasana dan waktu penciptaannya. Sebagai contohnya, karya zaman perang Jepun dahulu kala, sudah tentu tidak sama dengan karya masa kini dalam dunia teknologi serba yang serba canggih. Apakah pihak pengkaji sastera mampu mencakup segalanya ke dalam satu ruang masa bagi menentukan hakikat pengertian sastera dan menetapkan satu definisi yang tepat dan kuat? Karya sastera, pada hakikatnya, merupakan satu hasil kreativiti manusia dan kreativiti itu merupakan sesuatu yang sangat unik dan bersifat individualistik. Malah, kadangkala, kita melihat bagaimana pihak pengkaji begitu cenderung merujuk kepada karya-karya Barat, sedangkan sedangkan semua orang tahu, tidak semestinya yang dilakukan untuk karya Barat, sesuai diterapkan pada karya-karya tempatan.

Sastera pada asasnya merangkumi 3 perkara di bawah:
1. Sifat khayali atau imaginasi.
2.. Adanya nilai-nilai seni/estetika
3. Penggunaan bahasa yang khas

Ianya juga boleh diperluaskan lagi melalui pemahaman berikut:
1. Sastera adalah seni berbahasa. Ia tidak disusun dengan sebegitu rupa, tanpa tujuan dan sentiasa memiliki keterbukaan panafsiran.
2. Sastera adalah ungkapan spontan dari lubuk perasaan yang mendalam atau dari dalam jiwa.
3. Sastera adalah luahan fikiran yang berbentuk pandangan, buah fikiran, idea, perasaan, pemikiran – dengan menggunakan bahasa sebagai sarana.
4. Sastera adalah bisikan hati ataupun ilham tentang kehidupan yang diwujudkan dalam sebuah bentuk keindahan. Juga tentang ungkapan peribadi manusia yang berupa pengalaman, pemikiran, idea, semangat juang dalam satu gambaran yang diolah dengan begitu kuat, padat, bulat, hidup, dan mempesonakan.
5.. Sastera adalah lembaran demi lembaran halaman yang memuat perasaan kemanusiaan yang mendalam dan kebenaran moral dengan sentuhan kesucian, keluasan pandangan, dalam bentuk yang istimewa dan sekali lagi dengan menggunakan susunan bahasa sebagai satu sarana.

Karya sastera terbahagi kepada dua kelompok iaitu;
1. Ciri-ciri sastera imaginatif seperti puisi, cerpen, novel, drama ; kandungannya bersifat khayali, menggunakan bahasa konotatif, memenuhi syarat-syarat estitika seni.
2. Ciri-ciri sastera non-kreatif seperti esei, kritikan, biografi, autobiografi; sejarah, memoir, catatan harian; kandungannya menekankan unsur fakta, menggunakan bahasa yang denotatif, namun tetap memenuhi unsur-unsur estetika seni.

Jelas kelihatan perbezaan antara sastera imaginatif dan non-imaginatif adalah masalah estetika seni. Bagaimanapun, unsur estetika seni yang meliputi kekuatan, keselarasan atau keharmonian, keseimbangan, tumpuan/pusat penekanan suatu unsur, tetap sama; estetika seninya tetap diperjuangkan.

Sekarang, kita kembali kepada soalan pertama tadi; Mengapa kita perlu membaca karya sastera? Penting sangatkah kita baca karya sastera?

Terbukti lama sudah bukan? Karya sastera mewakili bahasa dan bangsanya; budaya dan tradisinya. Ianya lebih penting daripada sekadar sebuah peninggalan sejarah atau artifak budaya yang memperkenalkan kita pada pengalaman dan dunia luar. Kita belajar tentang sastera dari merata sumber; kita terhibur dengan kelucuan, kita tersentuh dengan kepahitan hidup, yang tergambar dalam puisi, cerpen, novel dan drama; dan minda kita pun lalu berkembang di sepanjang penggembaraan lewat karya-karya sastera tersebut.

Akhirnya, dengan `melihat’ apa yang diungkapkan oleh pengarangnya dan bagaimana dia mengungkapkannya, kita akan ketemukan makna di sebalik apa itu karya sastera. Kita akan dapat menterjemahkan mesej yang cuba disampaikan oleh pengarangnya. Jika dalam lingkungan akademik, wujud pula penggunaan kaedah-kaedah teori tertentu untuk mendekati karya sastera dengan lebih mendalam, seperti; mithologi, sosiologi, psikologi, sejarah, dan beberapa pendekatan lain.

Jadi, kenapa sastera penting pada kita? Mudah saja jawapannya; karya sastera penting pada kita, sebab ia `bercakap’ dengan kita, kerana ia bersifat universal dan ia memberi kesan kepada kita. Biarpun tema yang diangkat dalam karya itu begitu lemah atau kurang menarik, ia akan berubah menjadi kuat dan indah apabila ditulis dalam bentuk sastera.

Sesungguhnya, tidak ada cara yang lebih baik untuk melihat perbezaan etnik dan budaya, kekayaan warisan manusia, menilai perbezaan antara luahan daya kreativiti manusia daripada pelbagai aspek – selain daripada karya sastera. Membaca sebuah karya sastera yang hebat adalah satu nikmat yang unggul, tentunya. Sebuah pengalaman untuk mempelajari pelbagai perkara; tentang apa dan bagaimana, tentang keutuhan atau ketidak-sempurnaan sebagai manusia, dengan segala tindak-tanduk, impian dan kisah silam, kesendirian, dalam perhubungan dengan sesama insan, penampilan di mata masyarakat, juga di relungan rahsia dan aliran kesedaran.

Secara dasarnya, sesebuah karya sastera dibaca kerana jalan ceritanya yang menarik mampu mempesonakan. Isi karya sastera, adalah satu macam kewujudan manusia dalam bentuk seni. Cerita membentuk sebuah perhubungan, mengesahkan tentang budaya dan bahasa, menegaskan tentang ritual dan kepercayaan dalam masyarakat. Ia juga menggambarkan aturan kehidupan dan mentakrifkan kewujudan manusia di dalam jagatraya, sehingga mampu menggerakkan pancaindera dan emosi agar dapat merangsang dan merubah pemikiran kita ke arah yang lebih hebat.

Ikatan yang begitu mantap antara sastera dan manusia (pembaca), menarik mereka untuk turut menyumbangkan suara. Ikatan itu juga mungkin dapat membuatkan mereka berasa akan kesamaan gelojak perasaan dan cenderung membangkitkan semangat juang yang sama tanpa mengira batasan geografi, bangsa, fahaman agama ataupun ideologi politik. Sastera mampu memindahkan kita ke dunia silam, dan menghubungkan kita dengan mereka dari era tersebut, hingga begitu menghiburkan, sekali gus mendorong pembaca memasang impian atau membangkitkan semangat juang baru di antara susunan-susunan ayat dalam gaya bahasa yang indah dan kuat. Perasaan menjadi sebagai sebahagian daripada pengalaman masyarakat dalam ruang dan `buku besar’. Ia adalah suatu kejayaan budaya dan tiada satupun yang dapat menyumbang lebih daripada itu, selain daripada karya sastera. Jelasnya, ia adalah amat penting untuk kita pelajari dari masa silam, untuk kita memperbaiki masa hadapan.

Pendek kata, tanpa membaca karya sastera atau tidak pernah disentuhi sastera, samalah seperti kita berada di dalam lingkungan masyarakat yang emosi dan jiwanya terperangkap, kerana kelukaan dalam hati atau gelojak dalam diri tidak mampu dan dapat diluahkan dengan cara yang halus dan lembut.






Yang pasti, buku-buku sastera adalah diibaratkan seperti sebuah sungai yang mengalir menuju ke muara dan langsung ke lautan lepas, semakin banyak dibaca, semakin besarlah kebebasan minda yang kita anugerahkan kepada diri sendiri. Bebas untuk menerokai pengaliran idea, imaginasi, misteri, penerokaan dan sebagainya. Tanpa buku sastera, apa saja yang mengalir dalam diri kita?

Andainya semua yang sebut di atas masih belum meyakinkan anda untuk mendekati karya sastera, bagaimana dengan informasi ini;

Nabi Muhammad (s.a.w.) menggunakan puisi sebagai alat atau wasilah dalam mendakwah ajaran agama yang diturunkan kepadanya. Baginda sangat menghargai keupayaan para sahabat menggambarkan perasaan dan isi hati mereka dalam bentuk sastera tentang hubungan antara manusia dengan Tuhan, antara manusia dengan alam. Selagi keupayaan bersastera itu tidak merugikan kepentingan umum dan berada di dalam kerangka nafas ajaran keagamaan, selagi itulah tiada sebab untuk kita menolaknya. Bukan?

azmahnordin

tangan

‘Tangan baharu’ Ainaa Amanda
20 Januari 2015

BAGAN SERAI 19 Jan. – Seorang kanak-kanak yang dilahirkan tanpa telapak tangan kanan, teruja apabila dihadiahkan tangan mekanikal oleh seorang individu berhati mulia setelah ibunya memuat naik video anaknya itu di laman sosial sehingga menjadi viral, baru-baru ini.


 Ainaa AMANDA SHAHZALI teruja dengan tangan mekanikal dihadiahkan kepadanya di Bukit Merah Laketown Resort, Bagan Serai, Perak, semalam.

Ainaa Amanda Shahzali, 7, yang kelihatan riang dan hanya ketawa terus mengenakan ‘tangan baharu’ tersebut sebelum bersalaman dengan ibunya, Habibah Hassan, 42, serta individu yang menyumbangkan hadiah cukup bermakna itu.

“Tak sabar rasanya nak ke sekolah esok, nak tunjuk dekat kawan-kawan dan cikgu. Adik dah dapat tangan baharu,” kata-nya ketika ditemui pemberita selepas menerima set tangan berkenaan di Bukit Merah Laketown Resort di sini hari ini.


Dalam pada itu, Habibah berkata, dia cukup tersentuh apabila anaknya itu membelai pipi dan bersalaman dengannya apabila me-ngenakan tangan baharu tersebut.

“Saya langsung tidak menyangka video yang saya muat naik itu mendapat perhatian umum sehingga menjadi viral dan membantu anak saya mendapat 'tangan ganti’.

“Saya amat bersyukur dengan pemberian ini dan berharap kehidupan Ainaa Amanda akan lebih ceria. Reaksinya memegang dan menangkap bola ketika diba-ling ke arahnya amat mengejutkan kami semua kerana dia sudah pantas mengendalikan tangan tersebut,” katanya.

Sementara itu, penyumbang tangan berkenaan, Sujana Mohd. Rejab, 47, berkata, dia segera berhubung dengan Habibah selepas mengetahui keadaan kanak-kanak tersebut di laman sosial.
Advertisement

Sujana yang mencipta sendiri tangan mekanikal itu dengan bantuan seorang rakannya selama dua hari berkata, pada kebiasaan, seseorang itu memerlukan masa antara satu hingga ke tiga bulan untuk membiasakan diri menggunakannya.

“Set tangan ini masih di peringkat awal. Apabila adik Ainaa Amanda sudah selesa dan mahir menggunakannya, kami akan membuat penambahbaikan supaya kelihatan lebih kemas dan menarik,” katanya.

utusan online

17 Jan 2015

semakin surut

Laut Mati makin surut
Susunan Farhin Bohari

SEBUAH dermaga usang terbiar di tepi Laut Mati.

Sejak ribuan tahun, Laut Mati menggamit pelancong yang datang untuk berenang kerana kononnya untuk mendapatkan manfaat kesihatan daripada kemasinannya.

Bagaimanapun, tarikan pelancong ke laut itu mungkin berakhir selepas pakar mendapati paras airnya semakin menurun dengan purata semeter setiap tahun.

Ukuran pertama dilakukan pada 1927 dan sejak itu paras air laut itu yang terkenal kerana menjadi sebahagian daripada sejarah agama, semakin susut.

Paras air itu dipantau oleh Institut Kajian Limnological menggunakan boya kecil yang diapungkan di tengah laut bagi mengukur kedalamannya.

Menurut institut berkenaan, paras air Laut Mati susut lebih 40 meter sejak 1950-an.

Paras rendah itu dikatakan berpunca daripada ketidakseimbangan antara jumlah air yang masuk dan keluar. Pakar berkata, wujud pengurangan besar air yang memasuki laut itu dari Sungai Jordan.

Ini mungkin disebabkan air itu menyerap ke dalam tanah atau diambil dari sungai berkenaan dengan alasan tertentu.

Laut Mati itu yang juga dikenali sebagai Laut Garam, memisahkan Israel dengan Jordan.


SEBUAH boya lama yang dilihat terapung di tengah laut itu digunakan untuk mengukur kedalaman air.

Ia dikenali begitu kerana kandungan garamnya yang hampir 10 kali ganda masin berbanding laut biasa hingga menghalang ikan dan tumbuhan hidup di dalamnya.

Permukaan laut itu dan pantainya berada 429 meter di bawah paras laut, menjadikannya tanah paling rendah di bumi.

Dan dengan kedalaman 304 meter, ia adalah tasik air masin paling dalam di dunia.

 myMetro

16 Jan 2015

Hanya Yang Terbaik Akan Berjaya : TPM



TEKS UCAPAN
YAB TAN SRI DATO’ HJ MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN TIMBALAN PERDANA MENTERI
MERANGKAP MENTERI PENDIDIKAN MALAYSIA
DI MAJLIS PERUTUSAN TAHUN BAHARU 2015 KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamu’alaikum warahmatullahi wa barakatuh, salam sejahtera dan salam 1Malaysia.

Yang Berhormat Dato’ Seri Idris bin Jusoh
Menteri Pendidikan II

Yang Berhormat Datuk Mary Yap Kain Ching
Timbalan Menteri Pendidikan I

Yang Berhormat Tuan P. Kamalanathan a/l P. Panchanathan
Timbalan Menteri Pendidikan II

YBhg. Tan Sri Dr. Madinah binti Mohamad
Ketua Setiausaha
Kementerian Pendidikan Malaysia

YBhg. Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini bin Ujang
Ketua Setiausaha II
Kementerian Pendidikan Malaysia


YBhg. Ketua - Ketua Pengarah

YBhg. Pengerusi-Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti YBhg. Naib Canselor Universiti-Universiti
YBhg. Tan Sri-Tan Sri/ Dato’ Seri-Dato’Seri/ Datuk-Datuk/ Dato’-Dato’/ Datin-Datin tuan-tuan/ puan-puan dan hadirin yang dihormati sekalian.

1. Alhamdulillah, marilah kita bersama-sama merafakkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah izin dan kurnia-Nya jua kita dapat bersama-sama menghadiri Majlis Perutusan Tahun Baharu 2015 Kementerian Pendidikan Malaysia pada pagi ini. Masih belum terlambat untuk saya mengucapkan Selamat Tahun Baharu kepada seluruh warga Kementerian Pendidikan, termasuk para pegawai kementerian, guru, pensyarah, mahasiswa, murid dan tidak lupa juga kepada para ibu-bapa di seluruh negara. Saya ingin mengambil kesempatan di awal ucapan saya ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada anda semua yang telah berusaha dengan gigih dalam melaksanakan segala tugas yang diamanahkan sepanjang tahun lalu. Dengan ketibaan tahun baharu ini, maka bermulalah lembaran baharu dalam kehidupan kita, termasuk tugas-tugas yang perlu kita laksanakan dan sasaran-sasaran yang mesti kita capai.


Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,


2. Pada penghujung tahun 2014, beberapa buah negeri di negara kita telah dilanda bencana banjir yang agak luar biasa. Bencana ini bukan sahaja telah memusnahkan harta benda, malah menyebabkan kehilangan nyawa selain menjejaskan sesi persekolahan. Saya berasa amat sedih dan dukacita dengan kehilangan 25 nyawa yang menjadi korban banjir, termasuk dua orang guru kita iaitu Allahyarham Mat Zaik Mohd Yusof dari Sekolah Kebangsaan RKT Seberang Tayor dan Allahyarhamah Norhayati Sulong dari Sekolah Menengah Kebangsaan Geliga, kedua-duanya di Kemaman, Terengganu. Bagi pihak Kementerian Pendidikan, saya merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan berdoa semoga mereka tabah menghadapi ujian ini. Marilah kita bersama-sama menghadiahkan Al-Fatihah kepada semua mangsa dan mudah-mudahan roh mereka ditempatkan bersama-sama hamba-hambaNya yang soleh. Al-Fatihah.

3. Saya juga berharap agar guru-guru, pensyarah dan pegawai yang terjejas akibat banjir supaya tabah menghadapi ujian IIahi ini. Usah patah semangat untuk kembali bertugas seperti biasa dan terus menabur bakti kepada anak bangsa. Saya berasa bangga dengan sikap yang ditunjukkan oleh guru- guru dan murid-murid di negeri-negeri yang dilanda banjir.

Walaupun dalam keadaan serba kekurangan, tanpa pakaian seragam yang lengkap, perabot yang masih belum sempuna, sekolah yang masih belum bersih sepenuhnya, mereka tetap hadir ke sekolah seperti biasa. Ketika saya sedang berucap di hadapan saudara dan saudari sekarang ini, sebanyak 31 buah sekolah masih belum dibuka kerana terjejas teruk akibat banjir. Saya telah mengambil keputusan supaya kelonggaran diberikan kepada sekolah-sekolah ini untuk dibuka lebih lewat daripada biasa supaya tumpuan dapat diberikan kepada kerja- kerja pembersihan sekolah. Apabila sudah siap, sekolah dapat dibuka semula dan murid-murid boleh mengikuti pembelajaran dengan selesa dan selamat.

4. Saya juga amat bersimpati dengan nasib ibu bapa yang terpaksa melalui keadaan yang sukar untuk memulakan kehidupan baharu selepas bencana banjir, dengan harta benda yang musnah, rumah yang rosak atau kehilangan tempat tinggal, dan pada masa yang perlu membuat persediaan untuk anak-anak memasuki sekolah. Kerana itu saya telah membuat keputusan supaya Bantuan Awal Persekolahan diberikan lebih awal daripada biasa supaya ibu bapa dapat menggunakan bantuan kewangan yang diberikan oleh kerajaan untuk membeli pakaian dan peralatan sekolah anak-anak. Mudah- mudahan bantuan yang dihulurkan oleh kerajaan sedikit sebanyak dapat mengurangkan bebanan dan kesusahan yang ditanggung oleh ibu bapa dalam menghadapi musibah ini.

5. Saya sendiri telah melawat beberapa buah sekolah yang terjejas akibat bencana banjir, iaitu Sekolah Kebangsaan Tanjung Chenok, dan Sekolah Kebangsaan Lati di Pasir Mas, Kelantan; Sekolah Kebangsaan Pulau Tawar, Jerantut, Pahang; dan Sekolah Kebangsaan Lambor Kiri, Bota, Perak. Saya dapati banyak peralatan sekolah seperti perabot, perkakasan ICT, peralatan makmal, buku teks dan alat-alat bantuan mengajar yang musnah. Oleh itu, saya telah pun mengarahkan Ketua Setiausaha Kementerian, Tan Sri Dr. Madinah, supaya menyalurkan peruntukan segera kepada sekolah-sekolah yang terjejas akibat banjir untuk membiayai kerja-kerja pembersihan dan pembaikan sekolah serta penggantian peralatan yang musnah.

6. Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua sukarelawan yang terlibat dalam kerja-kerja pembersihan sekolah dan institusi pendidikan yang terjejas akibat banjir. Ini termasuk para mahasiswa kita dari universiti, politeknik, kolej komuniti dan Institut Pendidikan Guru serta semua sukarelawan samada yang turun sebagai individu atau mewakili mana-mana NGO atau pertubuhan. Tidak lupa juga kepada Yayasan

Sukarelawan Siswa (YSS), para pegawai, anggota keselamatan dan semua pihak yang bekerja bertungkus lumus untuk menyelaras misi bantuan banjir. Anda semua adalah wira-wira yang tidak didendangkan. Saya juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada para penderma yang telah bermurah hati menyumbangkan dana dan peralatan bagi kerja-kerja pembersihan yang telah dilaksanakan. Sebagai tanda penghargaan kepada semua sukarelawan dan dermawan yang budiman, saya telah bersetuju supaya Kementerian Pendidikan mengeluarkan sijil penghargaan khas kepada mereka. Saya amat terharu kerana di sebalik musibah yang berlaku ada juga hikmahnya. Rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama telah menunjukkan rasa prihatin dan kebersamaan mereka untuk membantu mangsa-mangsa banjir samada menerusi sumbangan tenaga, masa mahu pun wang ringgit. Saya ucapkan syabas dan tahniah.

7. Untuk menghadapi kemungkinan bencana banjir pada masa hadapan, saya menyarankan agar sekolah-sekolah dan institusi pendidikan yang berada di kawasan-kawasan yang mudah terdedah kepada bencana ini supaya melakukan persiapan lebih awal. Semua peralatan yang berharga perlu disimpan di tempat yang lebih selamat supaya kita dapat mengurangkan jumlah kerugian akibat banjir. Dalam musibah banjir baru-baru ini, kos kerosakan di sekolah-sekolah dan institusi pengajian tinggi di bawah KPM dianggarkan berjumlah hampir RM500 juta. Ini adalah satu jumlah yang amat besar. Selain itu, pendidikan kesedaran mengenai bencana alam juga perlu diberikan kepada murid dan ibu bapa supaya mereka lebih bersedia dari segi mental dan fizikal dalam menghadapi sesuatu musibah serta dapat menjaga keselamatan diri dan keluarga dengan baik.

Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,


MEMPERKUKUHKAN TRANSFORMASI PENDIDIKAN

8. Sepanjang tahun lalu, Kementerian Pendidikan telah melaksanakan inisiatif-inisiatif utama yang digariskan di bawah Gelombang Pertama Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025. Alhamdulillah, Program Transformasi Daerah, LINUS, Kemahiran Berfikir Aras Tinggi, Penguasaan Bahasa Inggeris, Pengukuhan Kurikulum Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral serta Piagam Guru dan Pemimpin Sekolah telah mencapai KPI yang ditetapkan.

9. Selain itu, proses penyediaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) 2015-2025 juga telah berjalan dengan lancar. Saya berharap agar tumpuan dapat diberikan sepenuhnya kepada kerja-kerja menyiapkan PPPM (Pendidikan Tinggi) yang akan menjamin kesinambungan antara inisiatif-inisiatif yang dilaksanakan di sektor pelajaran dengan inisiatif di sektor pengajian tinggi.

Sektor Sekolah

10. Transformasi pendidikan yang telah dimulakan pada tahun 2013 melalui pelancaran PPPM 2013-2025 akan terus diperkukuhkan pada tahun ini. Bagi sektor pelajaran, Kad Skor Menteri 2015 merangkumi 20 inisiatif utama yang memberikan tumpuan kepada Keberhasilan Murid berpandukan 6 Aspirasi Murid dan 5 Aspirasi Sistem yang telah ditetapkan di bawah PPPM. Untuk membuktikan komitmen dan keseriusan kita dalam melaksanakan apa yang telah dijanjikan, laporan prestasi akan terus dipantau melalui Kad Skor Menteri, laporan tahunan dan kajian pertengahan tahun. Saya yakin dengan perancangan dan pemantauan yang rapi semua inisiatif penting dalam Gelombang Pertama PPPM 2013-2025 dapat dicapai pada penghujung tahun ini. Ini termasuk memperkasakan guru dan pemimpin sekolah, menerapkan kemahiran berfikiraras tinggi dan meningkatkan kemahiran berbahasa. Di samping itu, usaha untuk memperkukuhkan aspek nilai, adab, perpaduan nasional dan semangat patriotismeakan terus diberikan tumpuan utama selaras dengan matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan.


11. Untuk memastikan kejayaan gelombang pertama PPPM dan sebagai persediaan melaksanakan gelombang kedua mulai tahun 2016, saya menyeru agar peranan dan pelibatan ibu bapa, komuniti dan pihak swasta diperluaskan, khususnya di sekolah-sekolah luar bandar dan pedalaman. Saya pasti dengan usaha meningkatkan kualiti guru dan pemimpin yang sedang giat dijalankan, serta sokongan kuat daripada ibu bapa dalam membantu pembelajaran anak-anak di rumah, kita mampu mendidik murid dengan ilmu pengetahuan, kemahiran dan nilai-nilai murni sebelum mereka melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

Pendidikan Teknik dan Vokasional

12. Untuk memenuhi permintaan tenaga mahir yang semakin meningkat dalam pasaran pekerjaan di negara kita, transformasi pendidikan teknik dan vokasional akan diteruskan. Perancangan strategik seperti meningkatkan penawaran tempat menerusi kerjasama dengan sektor swasta akan giat dilaksanakan agar enrolmen pelajar dalam bidang teknik dan vokasional dapat ditingkatkan.

13. Bagi politeknik pula, tumpuan akan diberikan kepada peningkatan kualiti graduan menerusi pelaksanaan program akreditasi dan pensijilan antarabangsa. Untuk itu, saya berharap agar lebih banyak politeknik mendapat penarafan daripada badan antarabangsa seperti Pacific Accreditation and Certification Commission (APACC). Setakat ini, tiga buah politeknik iaitu, Politeknik Ungku Omar, Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dan Politeknik Ibrahim Sultan telah mendapat anugerah emas APACC yang membuktikan para lulusan politeknik sudah mencapai standard antarabangsa dan mempunyai potensi untuk berjaya dalam pasaran pekerjaan global.

14. Selain politeknik, Kolej Komuniti turut memainkan peranan penting dalam melahirkan tenaga kerja mahir untuk memenuhi keperluan industri. Jaringan kerjasama dengan syarikat- syarikat swasta perlu dipergiatkan untuk membuka peluang latihan yang lebih luas khususnya dalam bidang-bidang kritikal. Satu contoh yang baik ialah program Public-Private Partnership dan Industry on Campus yang dilaksanakan secara kerjasama pintar bersama industri automotif pada tahun 2014. Pada tahun ini, kolej komuniti bakal melatih 800 tenaga kerja bagi projek minyak dan gas di PIP Pengerang dan 300 orang untuk projek Sapura Kencana Fabrication Yard di Lumut.

Pendidikan Tinggi

15. Dalam menghadapi cabaran globalisasi, peranan Institusi Pendidikan Tinggi dilihat lebih mencabar. Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) 2015-2025 yang akan dilancarkan pada suku pertama tahun ini merupakan satu usaha untuk melahirkan Bakat Terpelajar dipacu Nilai (Learned Values-Driven Talent) agar tranformasi negara menuju ekonomi dipacu pengetahuan (knowledge-driven economy) dapat dicapai. Pelan ini juga akan menghasilkan kelompok bakat yang inovatif dan kreatif disusuli dengan agenda New Academia dalam RMK-11.

16. Bertitik-tolak daripada aspirasi yang terkandung dalam PPPM (Pendidikan Tinggi) ini, sektor pendidikan tinggi disarankan untuk menyusun strategi yang lebih berkesan. Antara langkah yang perlu diambil ialah:
Pertama, merekabentuk kurikulum holistik menerusi penilaian semula disiplin ilmu di institusi pendidikan tinggi dengan melihat kepada pendekatan antara-disiplin dan pelbagai-disiplin, memikirkan bentuk pekerjaan yang belum lagi wujud, teknologi yang belum dicipta dan penyelesaian masalah yang bakal berlaku. Di samping itu, dalam memenuhi tuntutan pembangunan negara, aspek nilai dan tanggungjawab yang merupakan paksi peradaban masa depan perlu diberikan penekanan. Kurikulum abad ke-21 juga perlu dibentuk selari dengan aliran pembangunan dan kemajuan teknologi supaya relevan dengan persekitaran semasa serta menekankan penggunaan “Higher Order Thinking and Creative Skills”(HOTaCS) yang bersifat futuristik, fleksibel dan dinamik. Seterusnya, pembudayaan kurikulum holistik dan berintegrasi harus diterapkan menerusi penyampaian dan penilaian; pembelajaran perkhidmatan dan inovasi; di samping penekanan terhadap ciri-ciri keusahawanan dan kemahiran insaniah.

Kedua, memperkasa penyelidikan dan pengkomersialan. Dalam agenda memperkasa ekonomi negara, penyelidikan memainkan peranan penting untuk menghasilkan inovasi dan produk yang boleh dimanfaatkan untuk keperluan negara. Sebagai contoh, Public-Private Research Network (PPRN) yang diperkenalkan oleh Kerajaan melalui KPM dan Malaysian Technology Development Corporation (MTDC) merupakan satu inisiatif baharu ke arah mencapai matlamat ini. Melalui inisiatif ini, peranan institusi pengajian tinggi (IPT) dari segi pengkomersilan kepakaran serta hasil R&D dapat membantu industri tempatan, khususnya Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) berkembang dengan lebih pesat dari segi aplikasi pengetahuan. Peranan IPT dalam penyelidikan dan penyediaan perkhidmatan kepada komuniti, di samping mendidik generasi akan datang dapat digambarkan melalui konsep Quadruple Helix, iaitu satu jaringan kerjasama antara industri, akademia, kerajaan dan komuniti. Bagi tahun 2015, di bawah inisiatif PPRN, Kementerian Pendidikan akan mewujudkan 1,000 solution providers di mana semua IPT digalakkan untuk memainkan peranan aktif untuk mencapai sasaran ini; dan

Ketiga, memperkukuhkan kedudukan universiti di peringkat antarabangsa menerusi dua strategi utama, iaitu memperkukuhkan jaringan kolaborasi dengan negara- negara luar dan menaikkan ranking universiti. Sehingga kini, beberapa memorandum telah ditandatangani dengan negara-negara strategik seperti Amerika Syarikat, China, Jepun, Jerman, Korea, Perancis, United Kingdom, dan UAE, di samping mewujudkan kerjasama pendidikan pelbagai hala menerusi ASEAN, OIC, ASEM, IORAC dan MACEE. Kerjasama ini akan memberikan pelbagai manfaat kepada negara seperti pendedahan penuntut Malaysia di arena global melalui pertukaran pelajar dan staf, peningkatan produktiviti negara menerusi kolaborasi penyelidikan dan pengkomersilan serta pemindahan teknologi. Dari segi ranking universiti pula, pencapaian universiti awam pada masa ini dalam 19 subjek menunjukkan 1 bidang subjek berada pada kedudukan ranking 50 ke atas, iaitu USM dalam bidang Sains Alam Sekitar, 10 bidang subjek berada pada kedudukan 51-100, 5 bidang subjek berada pada kedudukan 101-150 dan 3 bidang subjek berada pada kedudukan 151-200. Walaupun kedudukan ini agak memberangsangkan, masih terdapat ruang untuk penambahbaikan. IPTA perlu mengambil, membangun dan mengekalkan pensyarah tempatan dan antarabangsa yang terbaik. Mereka merupakan individu yang memacu peningkatan kualiti pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan dan inovasi serta sumbangan kepada industri dan masyarakat. Perkara ini dapat dilakukan menerusi insentif kecemerlangan, pengiktirafan dan penyediaan persekitaran yang sesuai untuk memajukan dan membangunkan kecemerlangan bakat.

17. Kementerian sedar dalam usaha untuk meningkatkan kecemerlangan institusi pendidikan tinggi, pemberian autonomi adalah satu daripada langkah penting untuk menjadikan pengurusan IPTA lebih berdaya saing, kreatif dan fleksibel. Bagaimanapun, dalam hal ini Kementerian amat menekankan
prinsip asas yang perlu dipenuhi bagi memastikan IPTA mampu memanfaatkan status autonomi sepenuhnya. Prinsip asas ini merupakan sempadan dan skop universiti dalam melaksanakan autonomi yang diberikan. Pematuhan kepada prinsip asas ini adalah penting kerana walaupun universiti diberikan autonomi penuh, kerajaan masih bertanggungjawab keatas autonomi tersebut.

Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,

CABARAN NEGARA PADA 2015 DAN SETERUSNYA

18. Melangkah ke hadapan, seluruh warga Kementerian mesti sentiasa menyantuni harapan masyarakat yang melihat pendidikan sebagai satu wadah penting pembangunan modal insan untuk memacu Malaysia menjadi sebuah negara maju. Pada waktu yang sama, kita juga mesti menggembleng seluruh kudrat untuk menghadapi beberapa cabaran utama yang memberikan kesan langsung terhadap perancangan pendidikan di negara kita.

19. Cabaran pertama ialah perkembangan ekonomi ASEAN. Dalam tempoh lima tahun mendatang, rantau ASEAN akan muncul sebagai blok ekonomi yang kelima terbesar di dunia selepas Amerika Syarikat, China, Jepun dan India.

Perkembangan ini pastinya akan merangsang perniagaan dan perdagangan dalam negeri dan antara negara-negara ASEAN. Dengan pelaksanaan Komuniti ASEAN bermula pada tahun ini, Malaysia perlu bersedia menghadapi persaingan ekonomi, keselamatan dan kebudayaan yang lebih terbuka antara negara anggota. Dalam konteks ini, sektor pengajian tinggi khususnya perlu merangka satu perancangan strategik untuk menangani cabaran mobiliti tenaga kerja mahir dalam pasaran pekerjaan serantau yang lebih terbuka.

20. Cabaran kedua ialah peningkatan dalam hubungan antarabangsa. Kita perlu sentiasa peka terhadap perubahan dan kemajuan di peringkat antarabangsa serta ketidakpastian pada masa akan datang. Menyedari keperluan untuk sektor pendidikan berkembang seiring dengan perkembangan pendidikan dunia, Kementerian Pendidikan telah mengambil langkah proaktif dalam memperkasakan jalinan kerjasama di peringkat antarabangsa dengan pelbagai negara peneraju seperti Amerika Syarikat, China dan Australia. Kementerian komited untuk melaksanakan jaringan kerjasama antarabangsa menerusi pelbagai inisiatif baharu seperti penyelidikan, latihan pra dan dalam perkhidmatan untuk tenaga pengajar, program penandaarasan dan mobiliti pelajar.

21. Kejayaan kita dalam bidang pendidikan turut diiktiraf oleh pihak luar apabila kita sering kali menjadi sumber rujukan badan-badan antarabangsa seperti UNESCO, UNICEF dan Bank Dunia terutamanya dalam usaha mentransformasi sistem pendidikan di beberapa buah negara seperti Iraq, Yemen, Oman, Bhutan dan Nepal. Penyertaan Malaysia dalam 7th Islamic Conference of Ministers of Higher Education and Scientific Research di Rabat, Maghribi pada 18-19 Disember 2014 baru-baru ini contohnya, menyaksikan Malaysia akan menerajui negara-negara Islam ke arah kecemerlangan pendidikan bagi manfaat agama dan ummah seluruhnya. Malaysia akan memainkan peranan penting dalam menerajui pembangunan pengkomersilan khusus, pembelajaran sepanjang hayat, pendidikan keusahawanan dan juga penyelidikan dan inovasi sebagai usaha kolaboratif dalam kalangan negara anggota OIC. Atas kepercayaan yang diberikan, Malaysia akan menerajui penubuhan OIC Collaborative Efforts in Commercialization and Entrepreneurship Education (OIC-CECE) yang akan menjadi pusat rujukan bagi negara-negara anggota OIC.

22. Cabaran yang ketiga ialah mengupaya peranan Kementerian dalam pelaksanaan RMK-11. Satu daripada peranan penting yang dipertanggungjawabkan kepada Kementerian Pendidikan dalam RMK-11 nanti ialah memastikan negara “Memanfaatkan Bakat” iaitu menghasilkan Modal Insan Minda Kelas Pertama yang mampu menggunakan pengetahuan secara proaktif, kreatif dan inovatif. Modal insan yang dilahirkan oleh sistem pendidikan kita perlu berupaya menangani persekitaran global yang sentiasa berubah, meningkatkan kualiti hidup serta menyumbang kepada kesejahteraan dan kekayaan negara.

23. Untuk memenuhi tuntutan ini, Kementerian mesti merangkumkan semua aspek penjelmaan modal insan yang mampu memacu Malaysia untuk menjadi negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020. Ini termasuklah aspek kualiti pelajar, tenaga pengajar, kepimpinan institusi, pengurusan kewangan, program pengajian dan pembangunan institusi. Dalam RMK-11, program-program yang dilaksanakan mestilah berimpak tinggi (high impact), berpelaksanaan cepat (rapid execution) dan bertransformasi.

24. Cabaran yang keempat ialah kepesatan teknologi. Kejayaan dalam bidang sains dan teknologi telah menyebabkan dunia menjadi semakin kecil dan kompetitif. Pada masa yang sama, kemajuan teknologi juga telah menghasilkan “game-changer” iaitu perubahan pada corak, cara dan gaya hidup manusia. Penggunaan internet secara berleluasa telah mewujudkan komuniti internet yang secara
agresif berusaha untuk mendapatkan maklumat dan juga menyebarkan maklumat melalui pelbagai jaringan siber. Atas nama “kebebasan”, komuniti internet ini telah menyebarkan pelbagai maklumat melalui jaringan-jaringan siber. Maklumat ini sama ada benar atau pun tidak mudah menjadi “viral” umpama sel kanser dan virus yang merebak menembusi segala bentuk benteng dan halangan. Jelasnya, pembangunan dalam bidang teknologi ini walaupun mempunyai banyak kelebihan tetapi banyak juga cabaran yang perlu dihadapi khususnya dalam mendidik insan supaya menjadi pengguna teknologi yang bertanggungjawab.

Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,


PENDIDIKAN BERTUNJANGKAN NILAI, KELESTARIAN ALAM SEKITAR DAN PERPADUAN

25. Keempat-empat cabaran yang saya sebutkan tadi jelas menuntut agar generasi masa hadapan dididik dengan ilmu pengetahuan, kemahiran dan nilai-nilai murni. Kita perlu kembali kepada tujuan asas pendidikan iaitu bukan sahaja untuk melahirkan insan yang berpengetahuan (knowledge person) tetapi insan yang berguna (useful person) dan warga negara yang baik (good citizen) yang boleh menyumbang sesuatu yang bermanfaat kepada masyarakat dan negara.

Dalam usaha membangunkan Malaysia sebagai sebuah negara maju mengikut acuan sendiri, elemen nilai moral dan etika yang utuh serta sifat penyayang, adil dan saksama dalam kalangan warga Malaysia yang berbilang kaum dan agama perlu sentiasa dijadikan elemen teras dalam sistem pendidikan kita.

26. Saya percaya bahawa pertumbuhan ekonomi sahaja tidak memadai untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju tanpa menyemai nilai-nilai kemanusiaan, kesaksamaan dan keadilan sosial dalam masyarakat. Dalam konteks ini, jurang pendapatan yang masih wujud di negara kita perlu ditangani dengan berkesan untuk memastikan Malaysia terus kekal stabil dan harmoni. Justeru, saya berharap agar institusi pendidikan di negara kita dapat memainkan peranan yang penting dalam memastikan pertumbuhan ekonomi negara disertai dengan pembahagian kekayaan yang adil dan saksama. Sehubungan itu, sukacita saya mengumumkan penubuhan Malaysian Inclusivity, Development and Advancement Institute (MINDA) di Universiti Kebangsaan Malaysia yang akan menjalankan kajian-kajian khusus untuk menangani isu ketidaksaksamaan sosial dan ekonomi dalam masyarakat dengan memberikan penekanan kepada pembangunan dan kemajuan ekonomi yang bersifat inklusif serta mengecilkan jurang pendapatan rakyat.


27. Selain itu, dalam keghairahan kita mengejar kemajuan ekonomi, jangan kita abaikan tanggungjawab memelihara alam sekitar. Ini termasuk penerokaan hutan yang berleluasa sehingga menyebabkan berlakunya pencemaran air, kejadian tanah runtuh dan juga banjir besar seperti yang dialami di negara kita baru-baru ini. Sebaliknya, kita mestilah sentiasa mementingan keseimbangan antara pembangunan ekonomi dan kelestarian alam sekitar yang menjadi penentu kesejahteraan hidup generasi masa hadapan.

28. Dalam konteks ini, saya ingin memetik satu pemerhatian penting yang dibuat oleh Jeffrey D Sachs, seorang pakar ekonomi yang tersohor di dalam bukunya “Common Wealth: Economics for a Crowded Planet” yang saya fikir wajar direnung oleh kita semua. Beliau menyebut:

“The world’s ability to combine long-term economic growth with environmental health is heavily debated. Yet one thing is certain: the current trajectory of human activity is not sustainable. If we simply do what we are doing on the planet with unchanged technology, the environmental underpinnings of global well-being will collapse. The limits of the environment itself will defeat our global aspirations for prosperity”


29. Untuk mengelakkan masa depan kemajuan ekonomi dan kesejahteraan hidup masyarakat kita terjejas akibat sumber alam yang tidak diurus dengan baik, saya mencadangkan supaya universiti-universiti di negara kita memberikan fokus kepada kajian mengenai pemeliharaan alam sekitar dan pembangunan lestari. Universiti yang mempunyai kepakaran dalam bidang ini digalakkan membuat kajian berimpak tinggi yang berfokus kepada pengurusan sumber alam, penghasilan teknologi hijau, penciptaan tenaga boleh dibaharui (renewable energy), seni bina mesra alam, hidrologi dan bidang-bidang lain yang berkaitan. Sudah sampai masanya kita menjajarkan semula pendekatan pembangunan negara dengan melihat pemeliharaan alam sekitar sebagai satu faktor penting dalam menjamin kelestarian kemajuan ekonomi dan kesejahteraan hidup rakyat di masa hadapan.

30. Satu lagi bidang utama yang perlu diteroka oleh ahli-ahli akademik di negara ini ialah pengurusan bencana. Bidang ini menjadi semakin penting di Malaysia. Kejadian tanah runtuh, jerebu dan banjir yang kerap berlaku di negara kita mutakhir ini memerlukan satu pendekatan yang komprehensif dan berkesan dalam pengurusan bencana. Ini termasuk aspek pengurusan alam sekitar, persiapan menghadapi bencana, program kesedaran masyarakat, penyelarasan bantuan, komunikasi dan pembinaan semula kawasan yang terjejas akibat bencana. Jika kita dapat mengurus bencana dengan baik, saya percaya kita akan dapat menyelamatkan banyak nyawa selain mengelakkan kerugian berbillion ringgit akibat kerosakan infrastruktur dan kemusnahan harta benda.


31. Justeru, sukacita saya mengumumkan penubuhan sebuah Pusat Kecemerlangan Penyelidikan Negara yang memfokuskan kepada aspek pengurusan bencana dan juga pemberian dana penyelidikan khas dalam bidang pengurusan bencana dan mitigasi banjir berjumlah RM20 juta yang boleh dipohon oleh IPT melalui Skim Geran Penyelidikan Jangka Panjang (LRGS) dan Skim Geran Penyelidikan Fundamental (FRGS). Adalah diharapkan hasil kajian yang bakal dilaksanakan dapat menyumbang kepada pemantapan pengurusan bencana di negara ini.

Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,


32. Jelas sekali bahawa modal insan atau bakat yang perlu dibangunkan melalui sistem pendidikan negara bukan sahaja mampu memenuhi tuntutan pembangunan ekonomi, tetapi juga perlu disertai dengan penghayatan nilai dan adab yang tinggi. Matlamat ini adalah selaras dengan tujuan Pendidikan Untuk Pembangunan Lestari ataupun Education for Sustainable Development (ESD) yang menekankan keberhasilan modal insan yang holistik, peka terhadap alam sekitar dan bertangunggjawab.

33. Selain itu, sebagai sebuah negara berbilang kaum dan agama, aspek perpaduan nasional perlu terus menjadi pancang dasar dan program pendidikan di negara ini. Kita tidak boleh sama-sekali mengenepikan aspek perpaduan nasional sebagai teras keamanan, kestabilan dan kemajuan negara. Untuk itu, Kementerian Pendidikan akan memberikan penekanan khusus kepada pengukuhan perpaduan nasional dan pembinaan semangat patriotisme di setiap peringkat pendidikan menerusi pelaksanaan program pendidikan kenegaraan yang lebih berstruktur.

34. Justeru, dalam melahirkan insan yang sempurna atau insān kāmil, kita perlu kembali menghayati asas-asas yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan, iaitu satu usaha yang berterusan ke arah memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepada kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.

PESANAN KEPADA GURU, PENSYARAH, PELAJAR, PEGAWAI KEMENTERIAN, IBU-BAPA DAN KOMUNITI

35. Kepada guru-guru dan pensyarah, hayatilah Falsafah Pendidikan Kebangsaan kita. Sentiasalah ingatkan diri kita bahawa tugas sebagai pendidik adalah satu tugas yang amat mulia. Menjadi pendidik bukanlah semata-mata suatu profesion, tetapi suatu perjuangan untuk mendidik anak bangsa kita menjadi insan yang seimbang. Saya percaya jika saudara dan saudari semua mengabdikan seluruh jiwa dan raga kepada tugas yang paling mulia ini, maka kita akan berjaya mencapai matlamat pendidikan yang paling asas, iaitu mendidik insan dengan adab dan pekerti yang mulia. Sepertimana sabda Rasulullah s.a.w dalam sebuah hadis:

Addabanī rabbī fa ahsana ta’dībī

Yang bermaksud:

“Sesungguhnya Tuhanku telah mendidik adabku dan Dia memperelokkan pengajaran-Nya terhadapku”.

36. Kepada para pelajar, berikanlah tumpuan yang sepenuhnya kepada pelajaran. Manfaatkanlah segala peluang yang ada untuk menimba ilmu dan mengasah bakat dengan sebaik mungkin supaya anda menjadi insan yang berjaya. Dalam menghadapi persaingan global yang semakin sengit hari ini, banyak ilmu dan kemahiran baharu yang perlu dikuasai sebelum anda melangkah ke alam pekerjaan. Jadi, berusahalah menjadi yang terbaik kerana dalam dunia yang kompetitif hari ini hanya yang terbaik akan berjaya. Only the best among you will survive and thrive.

37. Kepada ibu bapa, saya amat mengharapkan sokongan dan pelibatan anda semua dalam menjayakan dasar dan program pendidikan di negara ini. Saya tahu ibu bapa hari ini mempunyai harapan yang amat tinggi kepada Kementerian Pendidikan. Mereka berharap agar Kementerian kita ini dapat menyediakan pendidikan yang terbaik untuk anak-anak mereka. Kita sedang melakukan yang terbaik menerusi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia yang meliputi inisiatif- inisiatif baharu daripada peringkat pra-sekolah hinggalah ke pendidikan tinggi untuk meningkatkan kualiti pendidikan di negara kita. Namun, saya percaya kita memerlukan satu usaha kolektif antara kerajaan, ibu bapa dan komuniti untuk menjayakan hasrat pendidikan Negara. Untuk itu, tiada apa yang saya harapkan daripada para ibu bapa dan masyarakat, melainkan sokongan dan dokongan anda semua terhadap segala inisiatif KPM untuk melonjakkan kualiti pendidikan.

38. Kepada pegawai-pegawai di Kementerian Pendidikan, anda adalah pembuat dasar dan sebahagiannya merupakan pelaksana dasar. Bagi saya, dasar yang baik adalah dasar yang boleh dilaksanakan dengan baik. Sehubungan itu, suka saya ingin berpesan kepada pegawai-pegawai saya di Kementerian, apabila kita menggubal sesuatu dasar kajilah secara terperinci bagaimana dasar ini hendak dilaksanakan di bawah. Tanya diri kita adakah dasar yang kita gubal itu boleh dilaksanakan dengan baik atau tidak? Adakah para pelaksana dasar mempunyai keupayaan yang diperlukan untuk melaksanakannya? Lebih penting lagi, adakah dasar itu boleh diterima dengan baik oleh semua pemegang taruh (stakeholders)? Kata kunci kepada persoalan ini adalah engagement atau pelibatan semua pemegang taruh dalam proses pembuatan sesuatu dasar. Dapatkan pandangan semua pihak secara menyeluruh, kemudian kajilah dengan teliti semua pandangan itu sebelum sesuatu dasar dimuktamadkan.

39. Saya percaya bahawa proses engagement ini telah pun dilaksanakan di Kementerian kita. Sebagai contoh, penggubalan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia melibatkan engagement dengan ribuan individu sehinggakan kita dapat menghasilkan satu perancangan yang komprehensif untuk melonjakkan kualiti pendidikan negara. Teruskanlah proses engagement supaya kita dapat mencapai keberhasilan yang terbaik daripada setiap dasar atau inisiatif yang diperkenalkan oleh Kementerian.


PENUTUP

40. Saya yakin transformasi pendidikan yang telah kita garap akan berjaya sekiranya kita berusaha tanpa mengenal erti putus asa, bekerjasama sebagai sebuah pasukan dan berkhidmat dengan komitmen yang tinggi lagi berintegeriti. Kita perlu berusaha dan berubah daripada amalan biasa untuk melaksanakan transformasi pendidikan. Dalam konteks ini, marilah kita menghayati firman Allah s.w.t di dalam Al-Quran surah Al-Ra’du, ayat 11:

yang bermaksud:

“Sessunguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum kecuali kaum itu sendiri yang mengubah apa-apa yang ada pada diri mereka sendiri’.

41. Sehubungan ini, saya, YB Menteri Pendidikan II danTimbalan-Timbalan Menteri sebagai anggota pentadbiran menaruh harapan yang tinggi kepada pihak pengurusan Kementerian Pendidikan yang diterajui oleh Tan Sri Dr. Madinah Mohamad selaku Ketua Setiausaha, Dato’ Seri Ir Dr. Zaini Ujang selaku Ketua Setiausaha II, Ketua-Ketua Pengarah dan seluruh warga Kementerian untuk memikul tanggungjawab merealisasikan aspirasi dan sasaran Kementerian yang telah dijanjikan kepada rakyat. Marilah kita bersama-sama berdoa kepada Allah s.w.t. agar dipermudahkan segala urusan kita. InsyaAllah.

Ruyung dilelas sagu bersisa Letih dan lelah tidak diendah
Berpayung menggalas amanat nusa Kerja yang rumit menjadi mudah

42. Akhir kata, saya sekali lagi mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua warga Kementerian Pendidikan atas komitmen anda dalam melaksanakan segala tugas yang diamanahkan.

Wabillahi al-taufiq walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.