adab




10 adab dalam menuntut ilmu


Dalam penulisan agung “Ihya’ `Ulum al-Din” karangan Hujjatul Islam, Imam al-Ghazali, beliau telah membuat satu garis panduan adab pelajar dalam menuntut ilmu. Dalam penulisannya, beliau telah mengenalpasti 10 panduan yang boleh dijadikan asas pedoman kepada para pelajar. Asas-asas ini perlu dihayati dan dicernakan dalam diri para pelajar dalam usaha mereka menuntut ilmu sama ada di peringkat rendah atau di peringkat pengajian tinggi.

Pertama, menjauhi perkara-perkara yang boleh merosakkan akhlak yang murni, kerana ilmu amat mudah mendekati orang yang baik budi pekertinya dan jiwa yang sentiasa bersih dan tenang. Sekiranya, hati seseorang itu dicemari dengan elemen-elemen yang negatif yang boleh merosakkan kemurnian hati dan jiwa menyebabkan pelajar tersebut sukar untuk menguasai ilmu. Ini kerana secara prinsipnya, ilmu itu bersifat suci. Sebagaimana firman Allah dalam al-Quran yang bermaksud:
“Sesungguhnya orang-orang musyriq itu najis” (at-Taubah:28).

Istilah najis yang dijelaskan oleh al-Quran merupakan simbolik yang mengertikan sifat kotor tersebut mesti dijauhi dan dihindari disebabkan sifat tersebut boleh merosakkan manusia.

Kedua, para pelajar disarankan tidak terlalu terikat dengan hal-hal keduniaan yang berkecenderungan melalaikan fikiran daripada menumpukan perhatian sepenuhnya terhadap pelajaran. Unsur-unsur ini boleh menyebabkan pelajar tidak dapat menunaikan tanggungjawabnya sebagai pelajar yang hakiki dan memalingkan fikirannya dalam usaha menuntut ilmu. Hal ini sebagaimana yang dijelaskan oleh Allah dalam al-Quran yang bermaksud:
“Allah sekali-kali tidak menjadikan bagi seseorang dua organ hati dalam rongganya” (al-Ahzab:4).
Oleh yang demikian, sekiranya fikiran para pelajar dipengaruhi oleh elemen-elemen yang boleh mencemari mentalitinya menyukarkan untuk mengetahui hakikat ilmu. Menurut Imam al-Ghazali, “Seseorang itu tidak dapat menguasai ilmu secara sebahagian, melainkan ia memberi perhatian dan tumpuan yang sepenuhnya”. Beliau memberi perumpamaan terhadap pemikiran yang dipengaruhi oleh hal-hal yang tidak berkait dengan ilmu seperti air yang mengalir dari sungai kecil, sebahagiannya diserap oleh tanah dan sebahagian lagi diserap oleh udara sehingga tidak ada lagi yang sampai ke ladang.

Ketiga, para pelajar tidak boleh bersikap angkuh dan bongkak terhadap golongan intelektual dan guru. Adalah menjadi kewajipan pelajar untuk menyerahkan segala urusan berkaitan ilmu dan mematuhi serta menghormati guru seperti orang sakit yang mematuhi arahan dan nasihat doktor. Para pelajar dituntut bersifat rendah diri, baik sangka dan setia kepada guru serta sedia menawarkan perkhidmatan kepadanya. Oleh yang demikian, pelajar tidak boleh bersikap sombong dengan guru seperti tidak mengambil manfaat ilmu yang disampaikannya dengan alasan antaranya, beranggapan guru tersebut tidak mempunyai kelayakan akademik yang tinggi. Sikap seperti ini menunjukkan kebodohan dan kedangkalan pemikiran yang ada dalam diri seseorang pelajar. Sebaliknya, para pelajar seharusnya merasa terhutang budi terhadap guru yang mencurahkan ilmu yang memandunya ke arah kebenaran.

Keempat, orang yang bersifat tekun dalam menuntut ilmu pada tahap awalnya perlu mengelakkan diri mendengar perselisihan dan perbezaan pendapat di kalangan manusia sama ada yang melibatkan ilmu keduniaan atau ilmu akhirat. Secara rasionalnya, ia boleh mengelirukan pemikirannya terhadap disiplin ilmu yang baru dipelajarinya dan membantutkan usahanya untuk membuat penyelidikan yang mendalam. Namun begitu, bagi seseorang yang telah menguasai sesuatu bidang disiplin ilmu secara mahir dan mendalam tidak menjadi halangan untuk mengkaji perbezaan pendapat tentang sesuatu perkara. Ini kerana, perbezaan pendapat tentang sesuatu perkara merupakan salah satu daripada metodologi medan penyelidikan ilmu.

Kelima, seseorang pelajar tidak boleh meninggalkan sesuatu disiplin ilmu yang terpuji melainkan ia telah mempertimbangkan dengan sebaik mungkin. Sekiranya faktor usia mengizinkan untuk menuntut ilmu, ia harus mengambil peluang untuk meningkatkan kepakarannya ke peringkat yang lebih tinggi. Sebaliknya jika faktor usia menjadi kekangan terhadap usaha menimba ilmu pengetahuan maka seseorang itu perlu mengetahui perkara asas dan penting dalam ilmu yang dikuasainya berdasarkan kemampuannya.

Keenam, tidak memaksa untuk menguasai semua disiplin ilmu secara sekaligus. Tindakan yang bijak ialah dengan menguasai sesuatu bidang ilmu itu mengikut tahap dan tingkatan ilmu berdasarkan kemampuan dan keupayaan yang ada pada diri seseorang. Kompetensi yang ada pada manusia adalah terbatas oleh pelbagai faktor dari aspek pengalaman, realiti semasa, kepakaran dan keupayaan mentaliti seseorang.

Ketujuh, seseorang tidak boleh mencampuradukkan sesuatu cabang ilmu sebelum menguasai dan memahami dengan mahir cabang ilmu yang sebelumnya. Ini kerana tertib dalam ilmu adalah tersusun dan berkait rapat antara satu sama lain. Oleh yang demikian, sekiranya seseorang pelajar memahami sesuatu ilmu dengan tertib dan tersusun maka ia dapat menguasai sesuatu konsep ilmu dengan baik. Pemahaman manusia tentang konsep ilmu akan lebih sempurna dan konsisten jika setiap cabang ilmu dihadam dan dicernakan mengikut tahap-tahap dan fasa yang tersusun dan terancang.

Kelapan, seseorang pelajar perlu mengetahui hakikat dan objektif sesuatu disiplin ilmu yang dipelajari. Ia bertujuan untuk menilai sesuatu kepentingan ilmu dan faedahnya kepada para pelajar supaya ilmu tersebut dapat diaplikasi dalam kehidupan dan memberi manfaat kepada masyarakat. Matlamat utama ilmu yang dipelajari itu tidak bertentangan dengan syariat dan membawa kemudharatan kepada umat manusia.

Kesembilan, para pelajar perlu bersikap ikhlas dalam menuntut ilmu. Kepentingan nilai ikhlas bertujuan untuk membersihkan jiwa seseorang yang bersifat riak dan takabur sesama manusia. Hakikatnya, manusia yang berilmu memiliki jiwa yang bersih dan sentiasa mendekatkan diri kepada Allah. Meskipun manusia dituntut menguasai ilmu-ilmu agama, namun ilmu-ilmu yang berkaitan dengan keduniaan tidak boleh diabaikan, kerana ia sebahagian daripada fardhu kifayah. Dalam era globalisasi ini, ilmu yang dikategorikan sebagai fardhu kifayah sangat penting bagi masyarakat Islam kerana ia dianggap sebagai satu kemaslahatan ( keperluan ) yang perlu dikuasai oleh umat Islam. Sekiranya manusia mengabaikan bidang disiplin ilmu ini menyebabkan umat Islam ketinggalan dalam zaman yang serba canggih. Dalam al-Quran, Allah berfirman yang bermaksud:
“ Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan” (al-Mujadalah:11)

Kesepuluh, setiap pelajar perlu mengetahui perkaitan ilmu yang dipelajari bertujuan supaya mengutamakan keperluan ilmu yang perlu didahulukan daripada ilmu yang berbentuk sampingan. Keutamaan ilmu ini penting kerana ia dapat mengukuhkan pemahaman pelajar tentang sesuatu perkara. Di samping itu, ia menjadi asas utama untuk mempelajari disiplin ilmu yang lain disebabkan ia mempunyai kesinambungan di antara satu cabang ilmu dengan disiplin ilmu yang lain.
Berdasarkan garis panduan yang telah diberikan oleh Hujjatul Islam, Imam al-Ghazali dalam kitabnya “Ihya’ `Ulum al-Din” diharapkan dapat memberi pedoman yang berfaedah kepada mereka yang bergelar pelajar. Mutiara kata-kata yang dicurahkan oleh ulama’ silam perlu diambil perhatian dan diamalkan oleh individu yang bergelar pelajar, agar ilmu yang dipelajari diberkati oleh Allah dan dapat memberi faedah besar kepada umat sejagat.

ahmadsanusihusain




Adab baik akhlak cantik
Oleh DR. AMINUDIN MANSOR

DALAM mengejar kemajuan, adab sangat dipentingkan kerana orang yang beradab adalah orang yang sentiasa mementingkan budi bahasa dan tatasusila sebagai orang yang beradab. Kita sering mendidik kanak-kanak dan remaja supaya beradab tetapi orang tua tidak pula beradab dalam berkata-kata dan perlakuan yang ditunjukkan.

Islam amat menekankan pendidikan adab kepada anak-anak dan juga dalam kalangan keluarga. Islam menetapkan beberapa adab seperti adab berhias diri, adab menjaga orang sakit, adab amar makruf nahi mungkar, adab di tempat rekreasi, adab menjaga kemudahan awam, adab menziarahi jenazah dan adab dalam pergaulan seharian.

Sebagai ibu bapa pendidikan adab terhadap anak-anak sengat penting. Ibu bapa mestilah menunjukkan adab dan teladan yang baik. Begitulah seperti kata peribahasa, seperti ketam mengajar anaknya berjalan betul, sedangkan ibu atau bapa ketam tak pernah berjalan betul. Ada ibu bapa melarang anaknya merokok, sedangkan mereka sendiri adalah perokok tegar. Bagaimanakah nasihat dan teladan hendak diterapkan kepada anak-anak? Jawapannya terletak kepada kebijaksanaan ibu bapa tersebut.

Memetik kata-kata cerdik pandai, adab yang baik adalah seni untuk membuatkan orang berasa selesa berhubung dengan kita. Sesiapa yang menyebabkan paling sedikit orang berasa tidak selesa, dialah baka yang terbaik dalam kumpulan itu.

Ingatlah kehebatan adab terutama adab yang baik yang ditunjukkan oleh seseorang kepada orang lain. Orang yang beradab sentiasa menjaga percakapan, bicara dan perlakuannya di mana sahaja dia berada sama ada keseorangan atau di khalayak ramai.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya seorang mukmin mengambil (melaksanakan) adab daripada Allah. Kalau Allah meluaskan adab baginya, maka akan luas adabnya dan menyempitkannya (menahan dan tidak memberinya adab) maka sempitlah adabnya." (riwayat Al Hakim).

Begitulah juga kita seharusnya menjaga adab dengan pemimpin, ibu bapa, guru dan orang yang lebih tua. Begitu juga kita wajar mempamerkan adab yang baik kepada kanak-kanak dan orang yang lebih muda sebagai teladan dan ikutan kepada mereka.

Sebagai renungan, Wahab Munabin pernah mengingatkan, adab dan akhlak yang buruk seperti tembikar yang sudah pecah. Tidak dapat dilekatkan lagi dan tidak dapat dikembalikan menjadi tanah. Begitu jugalah manusia yang tidak beradab dan berakhlak diumpamakan seperti tembikar yang pecah.

Ini membuktikan adab dan akhlak sangat penting dalam kehidupan, jika adab dan akhlak kita rosak dan tercemar sukar sekali untuk memperbaikinya. Orang akan ingat selama-lamanya akan perbuatan yang kita lakukan yang merosakkan adab dan akhlak. Nabi SAW bersabda: Yang muda mendahului memberi salam kepada yang tua, yang berjalan kepada yang duduk dan yang berjumlah sedikit kepada yang banyak. (riwayat Bukhari)

Kesempurnaan budi dan adab sangat dipentingkan dalam kehidupan. Kata-kata yang lemah lembut dan beradab adalah inti peradaban kepada bangsa. Adab dan sopan juga adalah kecantikan budi pekerti yang terpuji yang sangat disanjung sejak dahulu hingga sekarang. Menurut Al Bukhari, Nabi SAW lebih malu daripada seorang gadis dalam pingitannya.

Mempraktikkan adab yang baik dalam kehidupan sangat digalakkan. Pendidikan adab ini mestilah dilakukan sejak kecil lagi bagi memperkukuh akidah, ibadah dan akhlak seseorang. Pendidikan ini juga dapat meneguhkan pendirian atau istiqamah terhadap perintah Allah dengan penuh keyakinan. Nabi SAW, bersabda: "Sesungguhnya Allah indah dan senang kepada keindahan. Apabila seorang keluar untuk menemui kawan-kawannya hendaklah merapikan dirinya." (Riwayat Baihaqi)

Kebaikan adab juga akan menunjukkan ketinggian akhlak seseorang. Apabila seseorang itu beradab baik, sudah pasti akhlaknya juga turut baik. Pendidikan adab juga akan meliputi pendidikan ibadah, keimanan, akal dan akhlak. Justeru, adab bercakap juga sangat penting dalam kehidupan. Bercakap merupakan suatu budaya manusia yang melambangkan hati, sikap dan fikiran. Oleh itu, peliharalah lidah dan ikutilah adab yang baik semasa bercakap.

Lantaran itu, Nabi SAW, bersabda: Sesiapa mempercayai Allah dan hari kemudian (akhirat) maka semestinya dia bercakap perkataan yang baik ataupun hendaklah dia diam sahaja. (riwayat Bukhari dan Muslim). Oleh itu, sebagai ibu bapa didiklah anak-anak dengan bercakap menggunakan perkataan yang baik-baik sahaja.

Natijah, pendidikan adab dan akhlak mestilah dilakukan secara berterusan. Menjaga aurat, perlakuan dan percakapan adalah adab yang paling baik. Jika adab sentiasa dijaga tidak akan ada perbuatan yang membabitkan gejala sosial yang merosakkan dan menghancurkan masa depan.

utusan online

Comments

Post a Comment