lorong kecil




lorong yang sama kita berbagi saban hari
sama ada kau yang pulang atau aku yang pergi
melintas baris-baris masa, meredah apung zaman
meski tak bersapa aku tahu kau akan di situ
dan kau pun sedar aku pula yang berlalu
lorong ini menjadi lebih akrab
dari sesiapapun teman terdekat


ketika hujan melebat lorong hanya berwajah putih
dan kita amat perlahan melalui
atau sesekala terjebak dalam sesak lalulintas
berhenti dan menanti semuanya berderet pergi
terkadang lahir amarah dalam kelopak rasa
masa terambil hanya kerana lorong kecil ini
tapi kita tak pernah bertanya
apakah semua ini pintanya
atau sengaja ia berbuat begitu
sedang ia tak pernah pergi atau mengelak
ketika kita melangkah di atas aspalnya


tak pernah dalam hati kita berbisik lembut
terima kasih lorong kecil
kerana kau ada aku bisa pergi dan pulang
mencari gerak hidup memunggah hasil nasib
dan kau tak pernah meminta apa-apa
selain setia berbakti


hanya kita yang saling bertemu tanpa sapa
tak pernah sekejap berhenti dan bertanya
bertukar nama atau bertanya khabar
di lorong yang selalu menemukan
malah pada ketika-ketikanya
kita persis bermusuhan
kerana terlambat oleh sesak laluan


barangkali kita yang tak pernah mengerti
dan tak pernah peduli
segenap yang memberi dan berbakti
kerana kita terlalu riuh mencari untuk diri
tak terfikir, sedikit memberi

bahasa muara

Comments

Post a Comment