3 Nov 2015

Jagat Pantun Melayu




GHAIRAH DUNIA DALAM EMPAT BARIS : PANTUN SEBAGAI BENTUK BERSAMA

Oleh: Muhammad Haji Salleh
Universiti Sains Malaysia

Sirih berlipat sirih pinang,
Sirih dari Pulau Mutiara,
Pemanis kata selamat datang
Awal bismilah pembuka kata.

Terbang burung dari selatan,
Dipuput angan sangga bayu,
Bukalah surat dari lipatan
Lihatlah pantun bahasa Melayu.

Minta daun diberi daun
Dalam daun ada bidara,
Minta pantun diberi pantun,
Dalam pantun ada bicara.

Ada sebuah puisi yang menjadi ghairah manusia Nusantara. Bentuk dan pengamalannya multi-budaya, multi-bahasa, multi-agama dan multi-ras. Orang Melayu menamakannya, pantun, orang Ambon pula mengenalinya sebagai panton; pantong – kata orang Sri Lanka dan Sulawesi; pantun ialah istilah orang Sunda, tetapi dengan maksud, cerita panjang yang sedih dengan iringan suling. Pada orang Sunda bentuk empat kerat seperti pantun Melayu dikenali sebagai sisindiran atau sesebred. Orang Jawa mengenali bentuk ini sebagai pantung atau wangsalan, peparikan, dan orang Bali sebagai wewangsalan.

Dalam kajian saya dan Bazrul Bahaman (1999) beberapa tahun terakhir ini kami mengesan bahawa bentuk-bentuk yang ada persamaan unsur dengan pantun Semenanjung dan Sumatera digunakan, di antara lainnya, oleh tidak kurang daripada 29 bahasa, termasuk Aceh, Gayo, Alas, Nias, 4 bahasa Batak – Toba, Mendailing, Simalungun; Lampung, Jawa, Sunda, Bali (Agha), Lombok, Bajau, Menado, Saluan, Kaili, Pamonma, Tanemperar, Sangihe-Talaud,Gorantalo, Bugis, Iranun, Iban, Bidayuh, dan Aslian. Sementara itu tidak kurang daripada 35 dialek Melayu, termasuk Minangkabau, Kerinci, Deli-Serdang, Riau Pulau dan Riau Daratan, Palembang, Bangkahulu, Betawi, Sakai, Kutai, Banjar, Pasir, Sintang, Ketapang, Sambas, Hulu Kapuas, Cocos, Sri Lanka, Kutai, Melayu Menado, Melayu Kupang, Melayu Makasar, Banda, Ternate, Patani-Kelantan, Terengganu, Pahang-Johor-Melaka, Peranakan Melaka, Peranakan India (Ceti), Negeri Sembilan, Selangor, Perak, Kedah-Perlis, P Pinang. Di Eropah pula pantun digunakan dalam bahasa Perancis, Inggeris, Belanda dan Jerman.

Kajian kami masih belum selesai, begitu juga maklumat tentang pantun dan jenisnya.

Pantun hadir di antara manusia Nusnatara sebagai sebuah taman terindah bahasa, yang selalu dikunjungi mereka. Bunga-bunganya juga berwarna warni, dan wangiannya tanpa bandingan. Bunga-bunga ini disimpan di bibir, dalam ingatan, dalam tulsian dan upacara haria. tanpa pantun manusia Nusantara ini menjadi lebih miskin, lebih kaku dan bisu. Dengannya dia meningkat menjadi ahli falsafah, perenung alamraya, penggubal hokum, ahli agama dan kekasih yang sedang asyik bercumbu, penyanyi yang menarik nasib dan anak yang sedang bermain di padang.

Kehadiran bentuk ini dapat disemak dalam berbagai-bagai senario. Misalnya, dalam suatu perbincangan sastera suasana mula membosankan, hujah tua diulang-ulang. Udara petang menggalakkan tidur. Ada yang sudah menutup pintu pendengaran atau minatnya. Tapi seorang peserta yang cerah mata bangun menjalin pantun ke dalam hujahnya. Khalayak bangun kembali, digoda oleh baris-baris pantun. Di dalam godaan itu kita baca harapan terhadap kenakalan, ejekan dan juga kebijaksanan. Inilah keajaiban bait purba ini, dulu dan sekarang, memberi jiwa kepada suara, memberi ghairah kepada perasaan manusia di Kepulauan Asia Tenggara ini.

Dalam sebuah majlis lainnya di mana irama monoton syair melesukan pendengar, suara yang bagus dan mendayu sedih menggalakkan pendengar keluar dari majlis itu dan memasuki ruang nasibnya sendiri - suara penyanyi tertimbus di bawah irama. Maka dengan strategi penceritaan yang dikenalinya pembaca syair, yang sudah lama dapat membaca rasa hati pendengarnya, merubah rentak nyanyiannya. Wira dan wirawati muda dibenarkan bercumbu-cumbuan, tetapi tidak dalam bentuk syair yang sudah melelapkan pendengar, malah dalam bentuk pantun, yang lebih rumit bentuknya dengan sistem ulur-tarik, buka-tutup dan ejek-pemuasan. Di sini hati pendengar dijentik, perasaan digesek dan akal dipertajam untuk hujah.

Maka khalayak kembali hidup. Dihadiahkan bunga indah dari taman indah puisi, seluruh benua cerita jadi beralun kembali dengan kenyataan dan fantasi.

Di sebuah kampung jauh dua orang kekasih cuba saling menyelami perasaan awal mereka. Perkataan biasa cukup disalut sihir pantun, perasaan digugah melalui pembayang dan makna yang merusuh jiwa. Tiada tenang kolam hati mereka, tapi berkocak lama. Dalam baris maksud si gadis misalnya keraguan jejaka diberi jawapan,

Keritih tiram tergantung,
Limau manis banyak bijinya,
Pilih-pilih muda sekampung,
Hitam manis baik budinya.


Semua senario yang telah saya lukiskan ini membayangkan kuasa pantun, kuasa `sihir’ pantun yang disebut sebagai `magische’ oleh …Ningrat.*

Pada saya sihir ini bukan saja terjalin dalam baris dan iramanya, sama ukuran dan rimanya, tetapi juga dalam perjalanan jauh bentuk ini dalam sejarah bangsa Nusantara – dari Semenanjung dan Sumatera ke pulau-pulau lain di Nusantara, dan seterusnya ke ruang diaspora bangsa Melayu yang cukup luas dan dalam berbagai-bagai persekitaran baru.



Sebuah Sejarah dalam Empat Baris

Sekiranya kita meluangkan waktu untuk menggalurkan secara ringkas sejarah pantun ini kita akan mendapati bahawa bentuk terawalnya adalah bentuk berbaris dua. Orang Melayu selalu melihat alam sebagai cermin untuk dirinya, guru untuk keadaan dan nasibnya. Jadi padanya dunia dilihat sebagai terbagi dua – dunia alamraya, yang menjadi pembayang atau cermin untuk hidupnya, dan dunianya sendiri – dunia manusia. Kita menemukan pembahagian dunia ini dalam peribahasa, yang mungkin mendahului pantun. Tetapi keduanya berakar kepada sebuah falsafah alam yang sama – alam membayangkan manusia. Misalnya dalam peribahasa `Seperti kijang terlepas ke rimba,’ metafora kebebasan dilihat pada nasib seekor kijang,’ tetapi maksudnya merujuk keadaan manusia sendiri. Begitu jugalah ribuan peribahasa lainnya yang bercerminkan pengajaran alamraya.

Belahan pengalaman alamraya-manusia ini sering juga diterjemahkan dari bunyi-bunyi onomatopeaia yang didengarkan anak-anak, yang juga menjadi sebahagian daripada alam ini, misalnya dalam pantun berikut, yang dinyanyikan oleh ibu-ibu daerah Logan apabila bayi dibenarkan mencecah tanah dalam suatu lagu yang dinamakan rendai bermain cuit-cuitan (Zainal Arifin Aliana, Ahamd Rozi Zakaria, Hasfi Yusuf, 1984)

Cuit-cuit pandai,
Elalang jungkit-jungkit
Ecuit dengan pandai,
Agak dengan kuungkit-ungkit.

Atau anak-anak ini mungkin menjajarkan bunyi-bunyi dengan maksud yang akan disampaikan – yang menjadi landasan dan sifat estetika yang penting:

Tang-tang tut keladi wawa
Siapa terkentut dia ketawa

Atau pantun berikut ini dari Logan,

Hong labi-labi
Pembohong pagi tadi.

Kepada seorang pemantun yang matang dan berpengalaman bentuk dua baris amat terbatas dalam kemungkinan ejekan, permainan kontras bunyi/metaofra dan juga maknanya. Dari sinilah dikembangkan pantun empat kerat yang akhirnya menjadi bentuk tersempurna dalam khazanah sastera Nusantara, dan menarik perhatian seluruh penduduknya. Dalam bentuk empat kerat ini dunia alamraya boleh dipersembahkan melalui dua citra, yang membawakan kontras, permaianan, keindahan, perbandingan dan genius metafora, diikuti oleh penyelesaian makna pertama dan kedua, setiap peringkatnya menenangkan pendengar setelah kiasan dirongkai tahap demi tahap. Dalam pantun berikut dua citra pembayang menimbul sedikit keresahan kepada pendengar yang tidak tahu arah makna yang akan dibawa baris pertama, yang seterusnya dirumitkan oleh baris kedua.

Tapi apabila baris ketiga mula nyatakan, maknanya mula menyerlah, hinggalah makna penuhnya bahawa kerinduan orang dagang itu menyebabkan dia tidak pun dapat makan sesenduk nasi,

Petang-petang pergi ke rimba,
Pergi ke rimba menarah papan;
Petang-petang hatiku hiba,
Nasi sesenduk tiada termakan.

Begitulah juga arah penyelesaian makna dalam pantun berikut,

Sirih ada pinang ada,
Saja saya tak bubuh di tepak,
Kasih ada sayang pun ada,
Sajalah saya tak beri nampak.

Pantun mempunyai penyertaan khalayak yang amat luar biasa. Bentuk ini membenarkan penggunanya melenturkan jumlah baris, dan malah jumlah sukukatanya; nama kampung seseorang pemantun dapat dimasukkan ke dalam pembayangnya, begitu jugalah perasaan peribadi yang sedang dialaminya. Bentuk yang umum dapat disusun menjadi bentuk peribadi dan akrab.

Lihatlah bagaimana dalam pantun Baemah berikut sukakata tradisional Semenanjung dan Sumatera disesuaikan dengan watak dan keperluan setempat,


Kecici urak-urak,
Abang palahe,
Nak benci nak berendak
Ribang pokokhe.

Burung yang bernyanyi
Merah kepalanya
Nak benci nak berendak
Cintalah pokoknya.


Selain menyesuaikan syarat jumlah suku kata terdapat beberapa orang pemantun yang cuba bereksperimen dengan bentuk enam kerat, yang memanjangkan kedua-dua bahagian pembayang dan maksud dengan sebaris setiapnya. Kita dapati bentuk enam kerat ini dalam beberapa pepatah Minangkabau dan hikayat serta koleksi kita sezaman. Tetapi bentuk ini tidak sampai menjadi popular, dan begitu jugalah nasib bentuk-bentuk lapan, sepuluh, dua belas, dan dua puluh kerat, kerana dalam bentuk lisan nampaknya bentuk empat baris sudah cukup penuh untuk pendengar yang harus menyimpan semuanya dalam ingatan. Rima seterusnya membantu penyimpanan metafora dan maksud. Bentuk enam kerat, walau pun dapat dijadikan lirik lagu, namun masalah yang sama masih timbul – ingatan kita tidak dapat menyimpan enam citra secara efisien, dan lagunya pul semakin rumit.

Ternyata salah satu sifat yang menawan ramai khalayak dan pengguna pantun ialah bentuknya yang mudah, tetapi di sebaliknya di dalamnya boleh dimuatkan sebahagian kerumitan hidup. Bentuk enam dan lapan kerat dan seterusnya yang lebih panjang, tidak lagi mudah, dan sulit untuk dijadikan dasar bentuk lisan.

Tetapi suatu bentuk lagi yang dikenali sebagai pantun berkait, yang masih boleh dikatakan sebagai bentuk empat kerat, terkecuali dari nasib benuk panjang tadi. Seperti kita maklum baris kedua dan keempat bait pertama bentuk ini diulangkan dalam bait seterusnya sebagai baris pertama dan ketiga. Magik bentuk empat kerat masih dipergunakan sebaiknya.

Di bebrapa buah daerah Nusantara, bentuk pantun itu seperti dikawinkan dengan syair, di mana kita masih melihat wujudnya pembahagian dua dunia pembayang dan maksud, tetapi rimanya dikekalkan sebagai sebagai rima syair – iaitu aaaa. Variasi ini mencipta pula suatu jenis betnuk lainnya yang sering kita temui dalam puisi naratif akhir kurun kesembilan belas.

Semua ini menunjukkan dinamisme bentuk ajaib ini - yang membenarkan pembaruan, membesaran, penciptaan kembali, rujukan kepada pantun lain, rentak dan minat tempatan, dan lebih dari itu dapat dijadikan lagu dan boleh dijadikan bentuk bersambung, berbalas dan bersambut.


Menjalin Baris Pantun dalam Kain Kehidupan

Pantun yang memasuki hampir seluruh ruang kehidupan manusia Melayu Semenanjung, Sumatera dan Kalimantan, bukan saja menunjukkan keluwesan bentuk dan sifatnya tetapi juga usianya yang pajang. Hanya yang begitu lama wujudnya dapat menyerap masuk ke dalam ruang-ruang dasar kitaran hidup manusianya.



Dunia Kanak-kanak

Kita lihat pada peringkat awal hidup seorang anak Melayu pantun yang dilagukan sudah diyanyikan untuk menidurkannya. Juga pada umur yang masih muda, bayi dinyanyikan pantun berikut,

Pok pok andai
Belalang kupu-kupu,
Bepouk dengan pandai
Kaagi kaupah aih susu

Aih susu lemak manis,
Bersantan kelapa muda,
Oi adding jangan nanges,
Kuagik kuupah susu.

Di Perak pula sudah termasyhur baris-baris berikut,

Naik pagar labu
Mang dabok-dabok
Mana nak kacak elok
Belum pakai kain baju?

Versi di Semanajung berbunyi begini,

Pok amai amai
Belalang kupu-kupu
Tepuk biar ramai
Nanti diupah susu.

Tapi kita sedar bahawa pantun untuk anak-anak yang lebih tua usianya diselitkan dengan ajaran atau nilai yang ingin disampaikan,

Timang tinggi-tinggi,
Sampai cucur atap,
Belum tumbuh gigi
Dah pandai baca kitab.

Dari daerah Talukkuantan, Kampar, Sumatera, kita mendengar lagu yang dinyanyikan oleh ibu kepada nak mereka,

Omua kita poi mandi
Mandi jangan bakubang tana
Omua la kita pou mangaji
Mangaji jangan buek pitona.

Semasa anak sudah baligh dan dapat menikmati pengalaman rohaniah isi pantun mungkin diisi dengan hakikat ilmu sebagai payung di dalam hidup di dunia yang tidak kekal,

Potang iko potang sotu,
Potang isuak potang had,
Induak basuo ujud nan satu
Cuba tengok dalam tariqat.



Dunia Kerja

Nyanyian riang memeriahkan kerja berat, melapangakan perasaan dan meringankan tulang dan otot. Pekerjaan diberikan wajah pesta atau permainan. Kadang-kadang pantun umum juga dimasukkan ke dalam pantun/nyanyian semasa bekerja; tidak peting bahawa bait-bait khusus didendangkan, asalkan lagu tertentu dikekalkan. Misalnya pantun berikut (MHS dan BB, 1999) digunakan semasa bekerja di sawah atau diladang dan kebun getah, dalam `badondong,’

Balibi tobang saatui
Mati dikubik sapu tangan,
Umpan la abi laputui
Tingge juaghan di tapak tangan.

Elok-elok menyingkok belek
Belek baisi kue loyang,
Elok-elok mambukak sughek
Sughek baisi kasih sayang.

Belibis terbang seratus
Mati dilambai sapu tangan
Umpan habis pancing putus
Tinggal joran di tapak tangan.

Elok-elok membukak belek
Belek berisi kuih loyang
Elok-elok membuka surat
Surat berisi kasih sayang.

Di Kampung Bantal, Ulu Tembeling, Pahang pula, beberapa baris pantun menggalur asal usul Sejarah Anak Indung sewaktu petani menugal humanya. Salah sebuah bait berbunyi begini,

Baju bukan sebarang baju
Baju buatan dari kayangan,
Lagu bukan sebarang lagu
Lagu nyanyian puteri bunian.

Dengan cara deimikan pantun jadi penghibur umum, dan walau pun tidak berhubungan langsung dengan apa yang dikerjakan masih berguna sebagai alat merignankan pekerjaan. Pantun ini juga, seperti kita maklum, mungkin terdapat dalam lagu-lagu asli, atau ejekan anak muda, yang digunakan semasa bekerja di mana-mana saja.



Dunia Percintaan

Sebahagian besar pantun dalam semua bahasa membawakan perasaan, masalah, pertemuan, penceraian di antara kekasih. Pantun menjadi bentuk par excellence untuk kasih sayang, kerana pada pendapat saya, unsur permainan, imaginasi dan fantasi yang dibenarkan itu tidak dapat ditawarkan oleh bentuk-bentuk lain yang kurang luwes. Iramanya yang bertingkah naik turun, pembayangnya yang menyembunyikan maksud (yang seterusnya mencerminkan cara berfikir dan nilai estetika Melayu), semuanya menolong
menjadikannya bentuk yang disukai jejaka dan gadis. Merekalah di antara pengguna yang terasyik.

Lihat misalnya pantun berikut, dari dikutip dari daerah `Terengganu dan Pahang,’

Sirih kuning ganggannya jelujur,
Naik taruh bulan puasa;
Putih kuning mukanya bujur,
Bak taruh permainan mata.

Sebuah pantun cumbuan Simalungun pula bernyanyi begini,

Bona-bona ni sanggar,
Asok idogei-dogei
Anak boru merlajar
Asok elak-elak.

Pangkal batang pimping
Pelan diinjak-injak,
Gadis remaja puteri
Pelan dibujuk-bujuk.

Dunia kasih sayang ini bertindihan paha dengan dunia seksual. Di antara ranting genius pantun terlihat dalam pantun-pantun yang erotis, yang walau pun memasuki daerah terlarang, namun masih dibenarkan kerana kehalusan dan keindahannya. Dengar misalnya pantun berikut, yang diberikan oleh Wa Inson dari Perlis,

Bagaimana bunga tak layu,
Embun menitik di tempat lain,
Bukan hendak bunga dalam baju,
Saya hendak bunga dalam kain.

atau pantun berikut yang saya dapatkan dari manuskrip dari Royal Asiatic Society, London (Maxwell 2),

Apa boemboe la sajoer djantoeng,
Boemboenya lagie ketoembar moeda,
Kendatie sorga nantie tergantong,
Asal kenjang bermaen moeda.

Telor kijang beranak kijang
Anjoet sambilan dipiengier kalie,
Toedjoe kalie berkasie tjieom,
Baroe terbilang anak lelakie.

Walau ejaannya lama tapi nafsunya terbaca panas dan mendesak pada suara berahi pemantunnya. Banyak perasaan yang tidak dapat dilahirkan dalam hidup seharian, tetapi apabila dibungkus dengan pantun kita sedia menerima dan memaafkan pemantun itu kerana dia melukiskan perasaan dan fantasi terdalam kita sendiri.

Dunia Merisik/Meminang

Pantun merisik dan meminang wujud di beberapa daerah, dari Aceh ke Minangkabau, ke Medan Deli, dan Semenanjung. Di antara yang terumit ialah yang digunakan di daerah Langkat dan Deli, Sumatera. Upacara merisik dan meminang yang berlangsung sepagi suntuk itu dilaksanakan dalam pantun-pantun yang diciptakan oleh telangkai, yang menjadi wakil untuk pihak lelaki dan perempuan.

Tetapi dalam bentuk yang lebih mudah kita dengarkan pantun yang menunggu jawapan ini,

Sirih saya sirih Cina,
Sirih datang dari Kuantan,
Cincin saya cincin bertanya,
Ada tidak menaruh intan?

Dunia Persembahan/Hiburan

Musim menuai adalah masa yang paling bahagia. Padi sudah dikumpul, hasil kerja selama enam bulan atau lebih sudah dipanen, dan untuk setahun beras akan mencukupi. Maka pada musim inilah, yang tidak banyak hujannya, berbagai persembahan diadakan – dari canggung, hinggalah dondang sayang, Gendang Sarawak dan dikir barat. Makyong, wayang kulit, dan bangsawan juga sering dipentaskan.

Dalam hampir semua jenis persembahan ini pantun memainkan peranan yang amat penting dan dasar. Sekiranya yang dinyanyikan itu lagu, maka pantun menjadi liriknya; jika dua orang bercumbu, maka cumbu itu dipujuk-rayukan dalam baris-baris pantun; dalam bangsawan, atau pun kadang-kadang wayang kulit wira dan wirawati berkasih sayang dalam baris-barisnya.

Tetapi sekiranya nyanyian itu berbentuk canggung, gendang Sarawak/mukun Sarawak atau Brunei dan dondang sayang, dikir barat maka soalan dan jawapan di antara lelaki dan wanita akan dinyanyikan dengan larik-larik pantun yang terpilih atau pun dicipta serta merta oleh penggubah yang handal. Hal ini tidak menghairankan khalayak lisan kerana pantun menyediakan ruang untuk bayangan, ejekan, cumbuan dan pernyataan yang tidak dapat dikatakan dalam kehidupan harian yang biasa.


Lihat misalnya kutipan berikut daripada sebuah lagu `Dondang Sayang Takdir’:

Burung merbuk burung tekukur
Masuk ke sangkar terus berlaga,
Burung merbuk burung tekukur

Kalau tuan pandai mengukur,
Alahai sayang,
Berapalah besar dunia kita?

Jawapannya ialah:

Padi di sawah ditumbuk jemur
Bawa sekarung dari ladang
Padi di sawah ditumbuk jemur,

Dunia kita senang diukur
Hinggalah sayup memandang, mata menandang.

Begitu jugalah lirik-lirik lagu asli seperti `Seri Mersing’, `Seri Siantan’, `Pasir Roboh’, dan `Seri Andalas,’ semuanya, seperti kita maklum, dighariahkan oleh kata-kata dan perasaan daripada pantun lama.

Hiburan ialah mainan sosial, sebahagian alat hubungan sosial,

Dalam Perlak ada kebun
Dalam kebun ada taman,
Dalam gelak ada pantun,
Dalam pantun ada mainan.


Pantun Perubatan/Mantera

Bahasa dan penglahiran perasaan dianggap sebagai alat untuk menyampaikan fikiran, dan mungkin juga sebagai suatu terapi untuk orang yang mengalami tekanan perasaan/jiwa. Menyanyikan pantun, dan tidak lupa, mengarang pantun, adalah suatu cara meringankan keperitan perasaan dan siksaan jiwa.

Tetapi secara praktikal pantun sudah beribu tahun digunakan dalam bidang perubatan - sebagai mantera yang digunakan untuk mengubat penyakit fizikal dan malah sakit jiwa. Mantera dapat mengubat kedua jenis penyakit ini. Pantun-mantera berikut dikumpulkan Hassan Junus dan Edi Ruslan Pe Amanriza, 1993, di daerah Riau untuk menawarkan makan yang salah,

Bismillah
Burung sekopah-kopah
Hinggap di rumpuh bulu
Salah makan tak mengapa
Tawar ada dalam tubuh.

Sebuah lagi pantun-mantera yang berjudul `Tongkat Tua,’ adalah alternatif tradisional kepada ubat kimia dewasa ini untuk menjaga kulit dan tubuh,

Limau lima kerat
Mari dikerat di sini
Aku pakai ilmu dunia akhirat
Membela tubuhku ini.

Seri naik ke muka
Cahaya naik ke abdan
Cahaya Allah cahaya Muhammad
Cahaya baginda Rasullah.

Ratusan mantera yang berbentuk pantun lainnya menjadi sebahagian khazanah perubatan kita dan diamalkan untuk ribuan tahun, dan di daerah-daerh masih berkuasa terhadap pemakainya. Mantera ini bukan saja digunakan sebagai ubat, tetapi juga sebagai pelindung daripada musuh, pemfitnah, dan orang yang berniat jahat. Banyak daripada pemanis kita terdiri daripada pantun yang amat puitis, begitu jugalah pantun untuk memikat calon kekasih. Bidang ini cukup banyak mendapat kajian, dan khazanahnya diturunkan dalam karya-karya Skeat, Haron Daud dan Fauzi Abdullah.



Pantun Peribahasa dan Adat

Seperti yang cuba dibayangkan sebelum ini usia pantun yang tua dan kepopularannya membuat ramai pemikir dan pengamal tradisi Melayu turut menggunakan bentuk pantun untuk peribahasa dan adat, yang saya kira mendahului pantun dalam sejarah puisi di negera kita ini. Namun begitu setelah dilihat betapa berkesannya bentuk ini terhadap khalayaknya, maka sebahagian peribahasa dan perbilangan adat juga dipantunkan – guna untuk mudah diingat dalam bentuk yang lebih indah. Malah ada peribahasa dan perbilangan adat juga pernah dilagukan setelah dijadikan pantun. Lihat misalnya bait dari Semenanjung ini,

Anak Cina bertimbang madat
Dari Makasar langsung ke Deli,
Hidup di dunia kita beradat
Bahasa tidak berjual beli.

Atau seterusnya sebuah contoh lagi,

Orang Lingga pergi ke Deli
Singgah di taman memetik bunga
Tembaga disadur tahan diuji
Kena belerang tampak warna.

Peribahasa atau perbilangan adat yang asalnya berbaris satu atau dua ditambah dengan pembayang dan akhirnya lengkap berbaris empat, dan mempunyai struktur yang lebih besar dan merdu.


Dunia Dakwah/Agama

Seperti wayang kulit sebelumnya pantun juga menjadi alat untuk dakwah. Sebagai sebuah alat yang disukai ramai maka pantun menawarkan bentuk yang sudah teruji kekuatannya, dan luas penyebarannya. Oleh yang demikian tidak menghairankanlah apabila dalam sebuah kajian `Pantun Tariqat di Rantau Kuantan Indragiri Hulu’, Siti Johari (1992)dapat mengumpul sejumlah bait yang agak besar yang digunakan untuk menyebarkan agama Islam dan mendakwahkan nilai serta tujuan baik agama ini. Saya kutip beberapa bait sebagai conbtoh kepada kecanggihan puisi agama ini.

Potang iko potang Jumaat
Potang barisuk potang Sabtu
Menegok harikan kiamat
Cubolah tengok di wujud yang satu.


Sitobal dan sitobal
Talotak di atas tutik
Sangat bobal hamba Allah
Kaji sapatah indak tatuntuik.

Bait pertama mengajak kita merenung kewujudan Tuhan yang kekal, dalam suatu perbuatan mengenal Tuhan dan juga memasuki perngalaman tariqat, sementara bait kedua mengajak kita supaya jangan angkuh dan malas belajar ilmu agama.

Ratuslan lagi bait yang dapat dikesan dalam pantun Melayu yang secara langsung atau tidak langsung membawa sikap dakwah dan nasihat agama begini.


Dunia Ucapan

Pantun, kita semua maklum, adalah penghias bahasa. Tetua dan loyar buruk kampung biasanya terkenal kerana pantun mereka, yang dikarang serta merta atau dipandakan daripada khazanah lama. Hanya yang pandai pantun dapat ditempatkan pada peringkat tertinggi masyarakat. Mereka dihormati dan dianggap bijaksana.

Orang yang dapat menggunakan pantun dengan baik pula, di sebaliknya, tidak mungkin bertaraf demikian. Oleh yang demikian pemidato, penghulu, batin dsb. biasanya cuba sesering mungkin mengutip daripada pantun, yang juga mengandungi kebijaksanaan tradisional. Pemidato moden pun sesekali cuba memasukkan pantun, dan dengan itu mencuri perhatian dan malah hujah. Tetapi walau apa pun hujahnya dia biasanya mendapat tepukan dan pengiktirafan – kerana dia telah membawakan seni hak bersama, kata-kata dalam bahasa indah dan juga pendapat yang teruji zaman. Sering dalam permulaan sesebuah percakapan kita mendengar pantun berikut,

Sirih berlipat sirih pinang,
Sirih dari Pulau Mutiara,
Pemanis kata selamat datang
Awal bismilah pembuka kata.

Sebenarnyalah pantun menjadi `pemanis kata’, dan penyedap pendengaran. Siapa pun boleh berkata-kata, tetapi berkata-kata dengan seni, dengan keindahan bahasa dan ketepatan makna hanya menjadi hak beberapa orang sahaja, dan mereka yang menghafal dan mencipta pantun lebih mudah menguasainya.

Nasihat juga dapat disampaikan dengan lebih berkesan melalui puisi ini. Caranya yang tidak langsung, dan ibaratnya yang tidak tajam, akhirnya membantu tujuan untuk membantu. Dengar misalnya pantun terkenal ini, yang berisikan nasihat, yang ternyata menjadi hasil dari pengalaman yang panjang,

Pilih-pilih tempat mandi,
Pertama teluk kedua pantai,
Pilih-pilih tempat menjadi,
Pertama elok kedua pandai.



Tema Serencam Mungkin

Sekiranya bentuk pantun ini sesaui untuk semua lapisan, bangsa dan agama, maka temanya juga harus sesuai buat semua penggunanya, masalah, perasaan, kampung dan negeri mereka - dari masalah anak-anak sehinggalah kepada masalah orang tua yang menghadapi usia.

Persoalan anak-anak menjurus lebih kepada permainan, ejekan, perasaan yang tersinggung dan hubungan dengan ibu bapa. Tetapi daripada jumlah besar pantun tema cinta – dalam suatu julat persoalan yang pajang dan berbeza-beza - dari pandang pertama, rasa was-was, pertemuan pertama, ditolak, rindu, perpisahan, masalah dua darjat, kulit dan rupa yang berlainan, hinggalah kepada penceraian, rujuk kembali dan kawin janda.

Pantun juga banyak menceritakan nilai-nilai teras masyarakat Nusantara, terutama dalam pantun-pantun peribahasa dan pepatah, sementara pantun adat menurunkan hukum-hukum lisan masyarakat.

Pantun merenung kehidupan manusia, maknanya, kesusahannya, ketidakekalannya dan malah hidup di dunia kahirat. Jadi tema pantun ialah keseluruhan kehidupan manusia dalam asyarakatnya, dan tidak lupanya, dari sudut peribadinya.


Sejarah Perkembangan

Berbagai-bagai istilah yang digunakan untuk betuk empat baris ini – dari pantun ke panton, ke pantung, ke pantoong, yang membayangkan kerencaman dan juga pengggunaan dalam berbagai-bagai suku dan bahasa. Dalam sastera Melayu bukti bertulis terawal kewujudannya dapat dilihat pada teks Hikayat Raja-raja Pasai dan Sulat al-Salatin, yang memuatkan beberapa buah pantun, buku yang pertama ini hanya memuatkan sebait, dan dalam versi Raffles 18nya buku kedua memuatkan hanya beberapa bait. Teks-teks ini berusia sekitar emoat ratus tahun. Namun begitu pantun yang dimuatkan sudah cukup canggih dan nampaknya datang dari suatu tradisi yang sudah matang dan halus, dan tradisinya pula berpangkal kepada sastera tradisi lisan yang tidak dapat ditarikhkan. Tetapi, pada pendapat saya apabila bentuk ini menjadi bentuk antara suku dan bahasa/bangsa di Nusantara pada zaman Sriwijaya dan sebelumnya juga, maka pantun berkembang cepat dan membawa berbagai-bagai unsur dan kelainan sukuan/dialek/bahasa yang terus memperkayakannya.

Bagaimanakah bentuk pantun ini menyerap masuk ke dalam begitu banyak suku di Nusantara dan menjadi sebahagian penting kehidupan dan upacara mereka? Mengapa pula bentuk ini digunakan di Eropah oeh penyair-penyair pentingnya?

Pangkal sejarah pantun terlindung oleh kabus waktu. Tambahan pula di peringkat ini bangsa Nusantara tidak menulis atau mencatat tentang bentuk kesayangnanya. Seterusnya pada dasarnya pantun adalah bentuk lisan, yang dicipta secara impromptu dan dijawab juga dalam bentuk yang sama. Dalam tradisi begini sejarah tidak dipentingkan. Apa yang dirasakan dengan ghairah, dan diturunkan dalam citra dan makna yang dalam tapi estetis adalah sebab yang terpenting.

Kita tidak dapat mengesan asal usul bentuk pantun ini. Brandstetter cuba menghubungkannya kepada bahasa bunga/alam yang digunakan oleh anak-anak muda Batak sewaktu menghantar `surat cinta’ kepada kekasih mereka dengan mengirimkan bungkusan yang berisikan daun, ranting dan akar kayu yang mempunyai nama yang hampir sama dengan perasaan mereka. Tapi Brandstetter tidak menunjukkan bagaimana bentuk ini masuk ke dalam bahasa Melayu, bagaimana bentuk ini telah berkembang. Tapi juga sedikit aneh, kata Tenas Effendy, bahawa kelompok-kelompok di daerah pergunungan dapat memepengaruhi kelompok di lembah. Pergerakan sejarah selalunya menunjukkan arus yang bertentangan, dan tamadun lembah Melayu pada waktu itu lebih berpengaruh sebagai pusat pentadbiraan dan kerajaan serta perdagangan.

Kajian saya terhadap peribahasa Melayu sedikit menyerlahkan sudut gelap ini.



Seperti saya sebutkan sebelum ini, manusia Nusantara melihat alam sebagai cermin untuk keadaan dan makna hidup manusia. Pepatah Melayu Riau `Kalau nak tengok perangai manusia/Tengoklah rimba’dan `Berguru ke rimba/Bertanya ke yang tua’, dan `Kalau hendak mencari teladan/Masuklah ke hutan,’ dengan jelas sekali membayangkan hakikat bahawa alam adalah cermin kepada kehidupan manusia.

Orang Minangkabau pula terkenal dengan peribahasanya, `Alam terkembang menjadi guru,’ yang sekali lagi mempertegaskan falsafah alam dan manusia yang sama. Dalam falsafah ini dunia terbagi dua – bahagian alamraya dan bahagian manusia. Bahagian alamraya mendahului manusia, jelas lebih kukuh dan luas kehadirannya, dan dilihat sebagai membayangkan nilai, cara, tabiat dan kehidupan manusia. Oleh yang demikian alamraya yang mencerminkan manusia ini dirubah menjadi metafora (bayang/kias/ibarat) dalam peribahasa dan pantun. Inilah suatu hubungan khusus manusia Melayu dengan alam. Dia mengambil alam sebagai pembayang, latar, dan gema hakikatnya.

Sebagai mengkonkeritkan pandangan hidup ini pantun juga mempersembahkan dua buah dunia ini - alamraya didahulukan sebagai bayangan/cermin/kiasan makna - melalui citra kelakuan, keadaan dan juga nasibnya.
Kadang-kadang benda-benda alam ini menjadi lambang. Bunga, puspa, kembang menjadi lambang untuk wanita yang suci dan masih dara mungkin; kumbang, pungguk dan rama-rama pula mewakili lelaki, yang menjadi penggoda dan kadang-kadang sebagai pemangsa.

Dalam cara berfikir pantun ada semacam skema untuk lambang-lambang atau asosiasi ini. Sekiranya kita meneymak khazanah pantun kita dapat membuat semacam rajah asosiasi seperti berikut:

Jati, padi - hati
Aceh, sirih – kasih
sirih – sedih
meranti – mati
sutera – dara
tasik – cantik
kayu – tahu
kain -lain

dan berpuluhan pasangan asosiasi lainnya.

Pada pendapat saya bunkanlah bahasa daun yang menjadidasar pantun, seperti yang disebutkan Brandstetter, tetapi koda gema dan asosiasi sedar/tidak sedar alam-manusialah dalam skema purba pasangan kata-perasaan/benda yang sebenarnya yang menjadi dasarnya. Lagi pun setahu kita dalam budaya berbahasa Melayu tiada dapat dikesan bahasa daun ini seperti yang terdapat dalam kebiasaan Batak tradisional.

Kita maklum, seperti juga peribahasa awal, pantun awal, kemungkinan besarnya, bermula sebagai kuplet (dua kerat) yang tidak canggih, pendek dan hanya berisikan cebisan mentah dunia. Iramanya kontot, tidak dapat dijadikan lagu, kontrasnya kasar dan patah-patah, serta tidak banyak membenarkan unsur mainan. Begitu juga dalam kuplet begini tiada suspens, tiada kejutan, ejekan terus/atau menyipi yang dapat dimasukkan dengan berkesan.

Oleh kerana bentuk dua baris ini tidak terlalu mencabar jiwa seorang penyair maka pemantun awal telah bereksperimen dan menjadikanya bentuk empat baris, dengan menggandakan baris pembayang dan baris makna. Bentuk ini berkembang pesat, terutama setelah dibawa ke pelabuhan-pelabuhan besar dan kecil di seluruh Nusantara, dan seterusnya dibawa oleh pelayar dan pedagang pulang ke kampung dan negerinya. Seperti kita maklum inilah bentuk pantun yang terpilih dan diperkirakan yang tersempurna, dan hampir semua pantun yang baik, dalam semua bidang, dan yang wujud dalam bahasa Melayu dan dialek-dialeknya, terkarang dalam bentuk ini.

Namun begitu imaginasi dan bakat penyair selalu subur. Maka ada pemantun pula yang berksperimen dengan bentuk enam kerat. Bentuk ini sebenarnya cukup menarik, tapi agak besar dan pergerakan pembayang kepada maksud agak lambam. Tiga citra pembayang mungkin terlalu banyak untuk ingatan manusia yang terbiasa dengan hanya dua. Dan apabila diberikan tiga baris pembayang terasa seperti cuba dimasukan suatu deretan peristiwa di dalamnya, dan akal kita cuba mengikut cerita ini, dan merosakkan tujuan pembayangan, kerana ruang tumpuan kita banyak dikhususkan ke sini. Seterusnya apabila kita menyeberang kepada maksud, maka sebahagian perhatian atau citranya sudah dilupakan dan dengan itu hubungannya menjadi loggar dan tidak terikat rapi lagi.

Hal yang sama berlaku pada pantun 6, 8, 10, 12, 20 kerat. Ternyata bentuk-bentuk ini juga terlalu besar untuk ditangkap ingatan khalayak, dan akalnya terlalu sibuk untuk memproses pembayang, sehinggakan apabila sampai kepada baris-baris maksudnya maka tidak cukup perhatian dan pemusatan dapat diberikan lagi.

Namum begitu pantun berkait lebih canggih, kerana kita masih berada dalam bentuk empat baris, tetapi dibenarkan mengulang silang baris-barisnya, dan mengutip dari baris-baris yang telah berlalu – dan dengan itu kita menjalinkan baris baru dengan baris lama. Bentuk ini memungkinkan lebih banyak permainan bunyi dan irama – ulangan mencipta rentaknya sendiri dengan paralel dan kontras serta penyimpangan– sifat-sifat ini nampaknya disukai oleh pengarang pantoum Perancis, Jerman, Inggeris dan Belanda.

Seperti disentuh sebelum ini pantun menawarkan wadah untuk undang-undang kampung dan masyarakat Melayu. Saya percaya undang-undang awal ini pada umumnya agak prosaik. Namun begitu tradisi menyusun undang-undang mematang dan menghalus, dan tradisi ini bertembung dengan kesukaan orang Melayu menggunakan pantun untuk peribahasa, yang juga termasuk pepatah petitih – sejenis undang atau penyukat nilai untuk masyarakat. Masyarakat yang sudah sedia tertawan oleh bunyi juga ditemukan dengan hakikat bahawa bentuk yang mudah cepat diingat, maka unsur-unsur puisi pun diserapkan ke dalam pepatah petitih. Setelah pantun menjadi bentuk terpenting, maka papatah Melayu mendapat manfaat bentuk sukaramai ini. Dan kita juga saksikan bahawa bukan saja peribahasa dan pepatah yang dipantunkan, malah banyak lagi kebijaksanaan, kegiatan dan upacara mereka dirubah supaya dapat dipantunkan. Contoh berikut cuba memperlihatkan pergerakan dari pepatah menjadi pantun:

Dua buah peribahasa `Pagar makan padi’ dan `Telunjuk merusak mata,’ digabungkan dan diberikan dua baris pembayang untuk melengkapkannya:

Takar minyak sapi
Dibubuh di atas geta,
Pagar makan pagi,
Telunjuk merusak mata.

Atau pun lihat juga bait berikut,

Yang ada berulang-alik,
Yang pergi terbayang-bayang,
Yang bulat datang menggolek,
Yang pipih datang melayang.


Bentuk empat kerat ini lebih mudah diingat dan seterusnya dalam nyanyian dilagukan, kerana unsur-unsur muziknya lebih lengkap dan menggoda.

Bentuk ini, seperti saya pernah sebutkan, mempunyai unsur pergerakan psikologikal. Pada bahagian pertama beberapa citra yang tidak berhubungan diperkenalkan, dalam bentuk rima abab. Alam dibaca sebagai cermin, dan alam ini diterima sebagai pembayang untuk maksudnya nanti. Di peringkat ini seorang pendengar diangkat ke taraf awang-awangan – dia hanya mempunyai pembayang, tapi tidak maknanya. Jadi dia digantung pada peringkat suspens. Dia diejek secara intelektual dan emosi, kerana dia tidak tahu arah gerak pantun itu. Dua rima bertentangan ini malah membantu suspens ini, kerana pada kesannya rima bercanggahan ini menambah keadaan tidak menentunya makna pantun. Dia merasa tidak tenang, misalnya dalam pantun ini:

Meja diatur dengan kerusi,
Tempat makan buah-buahan,
Laksana bunga menjadi peraksi,
Seumpama kain jadi basahan.

Kalau kita diejek oleh dua baris di atas ini, kita akan merasakan suatu kegelisahan sematik, kerana kita tidak dapat membayangkan makna yang dimaksudkan. Tapi syukurlan pantun ini pajangnya hanya empat kerat; dalam dua kerat berikutnya yang mungkin muncul dalam 10 – 20 saat kita akan diberikan makna itu; tapi makna ini juga sering tidak langsung dan menyidir pula.

Laksana bunga menjadi peraksi,
Seumpama kain jadi basahan.

Inilah sihir kiasan, rujukan ibarat, sihir yang dibenarkan oleh lagu, yang diindahkan oleh bentuk yang memula, mengejek, mencipta tegangan dan setelah itu menyelesaiknnya. Bunyi dan makna dua baris terakhir melalui bentuk yang menyimpul dan melonggarkan tegangan. Dunia disempurnakan, yang belum lengkap diimbangkan, dilengkapkan.



Penyebaran

Pantun mungkin dicipta di mana-mana, di kampung terpencil, di tepi sungai Jambi atau Musi, di Merlimau, di Bukit Tinggi, di Tebing Tinggi, di Bima, Menado, Lahad Datu, atau di Ketapang. Yang indah dan menyentuh perasaan akan diingati oleh khalayak dan cuba dibawa pulang dan digunakan. Sekiranya pantun ini sampai ke pasar maka khalayaknya akan lebih besar. Di pasar, terkaan saya ialah, pedagang akan membawanya pulang ke kampung sendiri, atau dibawa ke pelabuhan dan dibawa belayar. Yang indah akan diingat dan dinyanyikan, seperti yang dilakukan oleh Abdullah Munsyi dalam kapalnya ke Terengganu dan Kelantan.

Jadi yang menyentuh rasa asmara, perjalanan, makna dan keadaan orang berdagang, nilai-nilai agama, hidup bersama akan diingat dan dipanjangkan. Jadi pedagang dan pelayar adalah alat penyebaran yang penting. Kedua, seniman yang bercerita dari kampung ke kampung juga jelas terlibat dalam penyebarannya. Penghibur – tukang cerita, penglipur lara, tok selampit, tukang kaba, dalang wayang kulit, kumpulan makyong, gendang Sarawak, dondang sayang, dan dikir barat yang berpindah randah dari sebuah kampung ke sebuah kampung lainnya untuk mengadakan pertunjukan mereka sudah pasti memainkan peranan besar dalam penyebaran bentuk ini. Bait-bait yang baik, yang dikarang seniman berbakat, atau yang dikutip dalam perjalanan, akan diingat oleh khalayak setempat beberapa bulan setelah pertunjukan mereka sudah selesai. Seterusnya bait-bait ini akan dibawa ke kampung lainnya. Di kampung itu baris mungkin dirobah, rujukan tempat akan dipinda, dan tempat sendiri dimasukkan. Kadang-kadang ingatan tidak terlalu sempurna, dan variasi peribadi diwujudkan secara sedar atau tidak sedar.

Mengikut seorang nelayan di utara Maumere, Flores, kaum Bajau laut yang yang tinggal di pantai-pantai Filipina, Malaysia dan Indonesia sering belayar dari sebuah keluarga di sebuah negeri ke kelurga mereka di negeri yang lain. Di antara yang dibawanya, selain ikan, sagu dan barang dagangan ialah pantun-pantun dalam bahasa Melayu dan juga dalam bahasa Bajau.

Di Sintang , di tengah Pulau Kalimantan tengah, sejarah patnun terjalin dalam sejarah penyebaran agama oleh pendakwah Johor dan Banjar. Selain hal-hal agama mereka telah ditanya tentang hal-hal yang menarik di tempat asal-usul mereka dan telah diberitahu tentang pantun. Seperti di tempat-tempat lain juga pantun menawan pendengarnya, dan akhirnya telah dicipta dalam bahasa Iban tempatan dan dalam bahasa Melayu Sintang, yang mengandungi banyak unsur Dayak.

Dalam dunia kontemporer pantun masih popular di radio, tv, iklan, lagu, buku, majalah dan juga internet. Di alaf ini semua cara ini sah dan berkesan dalam penyebarannya.


Yang purba, yang berfungsi lama

Pantun adalah alat ucapan terpenting orang Melayu. Di sinilah dia menjadi ahli falsafah, pencipta nilai, pendidik moral, kekasih yang ghairah atau tersiksa, pemerhati dunia, orang tua, anak kecil dan pengail di kuala yang merenung nasibnya. dalam daun ada makna, dalam pantun ada bicara,

Minta daun diberi daun,
Dalam daun buah bidara,
Minta pantun diberi pantun,
Dalam pantun ada bicara.

Tiada bentuk lain, walau pun hikayat dan syair epik, yang dapat membayangkan keluasan daerah, kehalusan cara dan kesempurnaan pemikirannya seperti yang dibuktikan oleh pantun.

Pantun juga memasuki dunia naratif, pertamanya cabang lisannya, dan setelah itu, yang bersifat bertulis. Apabila pantun memasuki dunia bertulis kemungkinan fungsinya juga berganda. Ilmu dikekalkan di dalamnya, begitu juga sejarah emosi sesuatu bangsa. Di pihak lain kita maklum bahawa pantun memainkan peranan penting pada hampir setiap peringkat kehidupannya.

Penyebaran

Betapa luas bentuk dan kegunaannya. Pada pendapat saya tiada sebuah bentuk pantun lain pun di dalam sastera dunia yang memainkan peranaan yang begitu total, yang menyentuh bahagian-bahagian penting kehidupan manusia. Sonnet yang popular di Eropah lebih merupakan bentuk kelas menengah atas yang dituliskan untuk mempamerkan kemamapuan berpuisi dan menggunakan metafor indah – lihat misalnya sonnet terkenal oleh Shakespeare. Tapi sonnet tidak menyerap masuk ke dalam kehidupan seluruh manusia, pada tahap-tahap penting.

Haiku yang juga sama popular dan digunakan di bnayak negara dunia, adalah bentuk tulisan yang canggih, dan sekali lagi muncul dalam keadaan dan situasi peraduan, pertemuan di antara orang-orang yang canggih puisinya. Walau dituliskan di rumah-rumah bekas penyair penting, di pohon bunga musim gugur, dan ditulis sebagai surat cinta, namun puisi ini masih terpisah dari bentangan hidup yang luas manusia Jepun. Dalam bandingannya kita saksikan pantun telah meresap ke dalam semua kelas – raja dan bangsawan, petani dan nelayan, anak-anak dan orang tua, kekasih dan si duda yang sedang merana.

Bukan saja semua kelas diresapi, tetapi juga semua peringkat umur. Seterusnya, di pihak lain lagi semua suku menjadi kawan kongsinyanya. Demikianlah bentuk ini menjadi bentuk bersama di pelabuhan dan kota – dan dikongsi di sana oleh berbagai-bagai suku dan bangsa. Apabila digunakan di sekolah pantun terus menjadi hak semua bangsa di seluruh Malaysia dan Nusantara, sebagai sambungan kepada tradisi perkongsian yang sudah lama wujud.

Dan cukup menarik juga perkongsian ini bukan saja perkongsian mendatar, tetapi seperti kita sedar perkongsian ini juga menjadi keterlibatan yang vertikal, mendalam dan penuh ghariah. Orang Ambon amat terkenal kerana pantun mereka, begitu Bidayuh di Sarawak, orang Bima, Pomona, Serawai, Bali, Jawa, Sangihe-Talaud, Makasar, Iranun, Kelantan, Perlis, Minangkabau, Deli dan Minangkabau.

Inilah satu-satunya bentuk bersama di Nusantara – yang digunakan sebahagian besar suku-sukunya, dalam sebahagian besar bahasanya. Dewasa ini pantun diciptakan, selain dalam bahasa dan dialek sukuan, juga dalam bahasa Melayu-Indonesia moden.

Oleh itu, seperti sebuah bahasa kebangsaan pantun juga menyatukan. Dan yang disatukan bukan saja suku dan bangsa-bangsa dalam satu negeri – Malaysia dan Indonesia, tetapi oleh kerana pantun mempunyai pemakai di Thailand, Indonesia, Malaysia, Singapura, Brunei dan mengikut sumbernya, juga di Filipina (tanaga) maka kita disatukan oleh suatu alat penyatu yang tiada tolok bandingnya.

Ramai yang sedikit ngeri dengan perkembangan pantun pada hari ini. Banyak pantun yang dianggap rendah mutunya, dan kadang-kadang tidak akur kepada syarat dasarnya.

Tapi hal yang demikian ini berlaku juga pada semua zaman – puisi yang buruk diciptakan oleh semua zaman. Perjalanan waktulah yang akan menentukan apakah yang akan kekal dan apakah yang akan tgenggelam begitu saja dalam sungainya. Yang baik, saya percaya, akan selalu kekal.

Saya tidak terlalu risau bahawa sebuah pantun terkenal dirubah menjadi,

Pulau Pandan jauh ke tengah,
Nampak dari Si Angsa Dua
Hancur badan dikandung tanah
`Body’ yang baik dikenang juga,

seperti dikutip oleh Pak Wan Khazim.
Atau oleh pantun berikut yang popular di antara anak-anak sekolah sudah lebih sepuluh tahun,

Pen merah, pen biru
Mak marah, I love you.

Pantun tidak mengikat, dan kita tidak harus mengikat pemantun baru kita. Peluang luar biasa yang ditawarkan oleh bentuk ini sudah wujud beberapa ribu tahun, dan telah mencipta bunga-bunga ajaibnya.

Pantun akan terus hidup sekiranya orang Nusantara atau Eropah merasakan bahawa bentuknya bukan hak kumpulan tertentu sahaja, tetapi adalah hak bersama – boleh digunakan oleh anak-anak kecil, dewasa dan juga oleh ahli politik di Parlimen. Sekiraya kita hadkannya kepada orang-orang yang canggih pengetahuan bahasa dan kiasannya maka pantun akan menjadi hak beberapa kumpulan hanya. Sekarang, syukurlah, kita sedang saksikan hakikat bahawa pantun melimpah ruah dalam suatu kesuburan Nusantara yang mengagumkan.

Biarlah bentuk ini tumbuh subur, yang indah akan selalu disimpan oleh khazanah kita.

Beberapa Cadangan

Saya ingin cadangkan

1.sebuah buku yang berbentuk indah memuatkan pantun terpilih dari setiap bahasa yang diterjemakhan ke dalam bahasa Melay atau Indonesia dan akhirnya dikumpulkan dalam buku yang besar berisikan pantun terpilih Nusantara

2.kumpulan pantun dari sebuah negeri diberi pendedahan dan cabaran ke negeri lainya

3.pertandingan di antara kampung dan negara dipesatkan dengan hadiah yang membantu memperkembangkannya.

4.rancangan radio dan tv yang kretatif dipesatkan di semua negara.

5.angkatkan pantun sebagai bentuk ASEAN, yang diberikan dana dan pengurusan yang sesuai

6.adakan laman web dalam bahasa Melayu dan Indinesia, dan juga dalam bahasa Inggeris.

7.terjemahkan pantun ke dalam bahasa-bahasaa yang belum diterjemahkan

8.peraduan pantun dunia di antara orang muda – dengan contoh Haiku dan Yayasan Japan Airlines. Garuda, Brueni Airways dan MAS harus dapat mengadakan peraduan menulkis pantun di destinasinya.

9.peraduan pantun di ASEAN.

10.ajarkan bentuk ini kepada semua suku di Malaysia dan Indonesia dan juga di semua negara di ASEAN.

Dalam pantun ada sejarah kita berkongsi budaya, dan berbicara dengan bentuk yang sama, danmencipta dalam skema ibarat yang sama. Dalam pantun ada khazanah julat perasaan halus dna kebijaksanaan kita, dalam pantun ada seluruh estetika berbahasa kita, dalam pantun ada bukti bahawa kita menyumbang kepada satera dunia.

Saya kira pantun sudah wujud lebih dari seribu tahun, dan dengan penjagaan dan kepekaan serta kebanggan kita bersama bentuk ini akan hidup sekurang-kurangnya 1000 tahun lagi.

Hendak dulang diberi dulang
Dulang berisi sagu mentah,
Hendak pulang diberi pulang,
Tinggalkan pantun barang sepatah.



BIBLIOGRAFI
A. Halim R (p.nys). 1968. Pantun Serbanika. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka

Abdul Ghani bin Haji Abbas. 1970.
Pantun dan Pepatah Serta Amsal (?) Orang Tua-tua. Kluang, Pustaka Pendidikan.

Al Azhar. 1985/86.
Upah-upah Upacara Orang Tambusai. Pekanbaru: Bagian Proyek Penelitian dan Pengkajian Kebudayaan Melayu (Melayulogi) Departemen Pendidikan dan Kebudayaan R.I.

Kadir Ahmad, 1964.
Pantun Berkait . Singapura, Malaysia Publications .

Abdul Samad Ahmad.(n.d.).
Pantun Bunga Rampai, Kelang.

Altmann, Gabriel dan Robert Stukovsky. 1965
`The Climax in Malay Pantun,’ Asian and African Studies: 13-20.

Mohd Yusof Arshad, 1961.
Pantun. Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka .

Ahmad Babji 1958
Pantun Melayu. Kuala Lumpur , Geliga.

Balai Pustaka, 1958.
Pantun Melayu. Jakarta,Balai Pustaka.

Braasem, W.A., 1950.
Pantun, Vertaald en Ingeleid. Jakarta, de Moderne Bookhandel Indonesia.

Braasem, W.A,
`Seorang Romatikus Jeman tentang Pantun,’ Zenith III (1) : 45-53. Jakarta.

De Vries, Hendrik, 1951,
`Pantuns en Copla,’ Orientasi. No.4.

Djajadiningrat, R.A. Hoessain. 1933.
De Magische Achtergronde van de Malaische Pantun. Batavia, Rede.

Harmsen, L.K. 1875.
`Vijftig Minangkabausche Pantoens', TBD, XXI.

Hasan Junus dan Edi Ruslan Pe Amanriza, 1993.
Pe ta Sastra Daerah Riau (Sebuah Bunga Rampai). Pekanbaru: Pemenrintah Tingakt 1 Propinsi Riau.

Klinkert, H.C.
1868 `Iets over de Pantoens of Minnerzangen der Malaiers.’ BKI 50: 309-370.

Muhamad Basri, 1997.
`Perbandingan antara Pantun-pantun dengan Badondong dalam Kehidupan Masyarakat di Kecamatan Kabupaten Kampar.’ TesisUniversitas Islam Riau, Pekan Baru.

Muhammad Haji Hussein. 1957. Petua Mengarang Pantun. P.Pinang, Sinaran.

Muhammad Haji Salleh. 1991. Yang Empunya Ceritera: Mind of the Malay Author. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Muhammad Haji Salleh dan Bazrul Bahaman, 1999.
`Sejarah Kritis Asal-usul, Perkembangan, Sebaran Bentuk, Estetika Pantun Nusantara.’
Laporan Kajian IRPA, ATMA, UKM. 3 Jilid.

Ikram, Achdiati. 1964. `Pantun dan Wangsalan,’ Majalah Ilmu-ilmu sastra Indonesia XXII:261-268.

Ophuysen, van Ch A .1904. Het Maleische Volkdicht. Inaugural Lecture as Professor in the University of Leiden.

Ophuysen, van Ch A.Buah Pikiran Padoeka Toen Ch A.van Ophuysen dari Hal Pantoen Melajoe,’ Warana Sari Melajo (ed. J.Kats):175-191. Weltvreden, Bandung:N.V.Boekhandel Visser.

Overbeck, H. 1914. `The Rejang en Malay Pantun,’ JSBRAS. No 67:219-220.

Overbeck, H. 1922. `The Malay Pantun,’ JSBRAS NO 85: 4-28

Pijnappel, J. 1883 `Over Maliesche Pantoens,’ BKI.

Sosrokusumo, R. Ng. 1958
Wangsalan. Jakarta. Balai Pustaka.

Slametmuljana, R.B.
Poezie in Indonesia. Disertasi. Leuven: Leuvennse Universitaire Uitgaven.

Thomas, Philip L. 1979.
Syair and Pantun prosody.’ Indonesia. 27 April 1979. 51-63.

Thomas, Philip L. 1980
`Long and Short Pantun Lines,’ Rima No 14: 23-39.

Wan Abd Kadir Wan Yusoff. ed. 1996.
Pantun Motivasi Masyarakat: Kuala Lumpur: Akademi Pengajian Melayu

Wilkinson R.J. and R.O. Winstedt (ed).1961. Pantun Melayu. Singapura: Malaya Publishing House.

Za’ba. 1934
Ilmu Mengarang Melayu. Cet.ke 3. Kuala Lumpur: Dewan bahasa dan Pustaka.

Zainal Abidin Bakar. 1984.
Kumpulan Pantun Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Puataka

Zainal Arifin Aliana, Ahmad Rozi Zakaria & Hasfi Yusuf. (t.th).
Sastra Lisan Logan. Pusat Pembinaan dan Pengembangan Bahasa. Depaetemen Pendidikn dan Kebudayaan. Jakarta

Zakaria Hitam. 1991.
Himpunan pantun Pak Zek. Petaling Jaya. Bukuraya Media.

Zarina bt A Kadir. 1993/94.
`Peranan dan fungsi pantun di kalangan masyarakat Banjar: Satu kajian kes Sungai Besar Sabak Bernam.’ Latihan Ilmiah Jabatan Persuratan Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia. Bangi.

pantun

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

© 2011 mimbar kata, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena