27 Jan 2013

Sinopsis Sulalatus Salatin Bab VI


VI
Malang Membawa Tuah

Pada suatu hari, raja Tanjung Pura dan puteranya Raden Perlan Langu terpisah di Pulau Permainan kerana kenaikan baginda pecah akibat ribut dan ombak besar. Raden Perlan Langu dijumpai di Pantai Begawan, Majapahit oleh seorang penyadap. Raden Perlan Langu dijadikan anak angkat oleh penyadap itu dan ditukarkan nama kepada Ki Mas Jaya. Si Penyadap meramalkan suatu hari nanti Ki Mas Jaya akan menjadi Betara Majapahit.

Ki Mas Jaya pula mengatakan jika dia menjadi Betara Majapahit, Si Penyadap akan jadikannya Patih Aria Gajah Mada. Kerajaan Majapahit ketika itu diperintah oleh seorang puteri, iaitu Raden Galoh Awi Kesuma. Patih Gajah Mada berasa malu apabila rakyat mengatakan bahawa tentunya suatu hari nanti dia akan mengahwini Raden Galuh Awi Kesuma itu, kerana niatnya adalah menghambakan dirinya kepada kerajaan Majapahit. Oleh itu, Patih Aria Gajah Mada mencadangkan agar Raden Galoh Awi Kesuma mencari seorang suami dan cadangannya itu dipersetujuinya.

Bakal Ratu Majapahit

Memandangkan akan ketampanan serta manisnya wajah Ki Mas Jaya dalam sayembara itu, Raden Galoh Awi Kesuma amat berkenan. Mereka pun dikahwinkan dan Ki Mas Jaya menjadi Betara Majapahit dengan gelaran “Sang Aji Jaya Ningrat”.

Bapa angkat Betara Majapahit memohon dilaksanakan permintaannya yang lalu, iaitu supaya ia menggantikan Patih Aria Gajah Mada. Betara Majapahit mengatasi masalah ini dengan menceritakan keadaan sebenar tentang dirinya dan perihal janjinya dengan penyadap itu kepada Patih Aria Gajah Mada. Patih Aria Gajah Mada sanggup meletakkan jawatannya. Tetapi Betara tidak berkenan kerana tidak yakin dengan kebolehan Si Penyadap untuk melaksanakan jawatan itu.

Akhirnya Betara Majapahit dan Patih Aria Gajah Mada bersetuju melantik Si Penyadap sebagai ketua seluruh penyadap di dalam Majapahit setanding dengan kedudukan Patih Aria Gajah Mada. Si Penyadap menerima jawatan itu dengan gelaran Patih Adi Kara. Hasil perkongsian hidup Betara Majapahit dengan Raden Galoh Awi Kesuma, baginda beroleh seorang puteri yang baik parasnya dan dinamakan Raden Galoh Cendera Kirana.


Menjalin Muhibah Melaka-Majapahit

Sultan Mansur Syah diiringi oleh empat puluh orang pengiring, diketuai Tun Bija Sura dan sembilan orang hulubalang yang bergelar “Hanghang” ke Majapahit untuk meminang Raden Galuh Cendera Kirana.

Dalam episod ini, pengarang menggambarkan kepahlawanan Hang Tuah. Sebelum berangkat ke Majapahit, Hang Tuah telah diberi gelaran “laksamana” oleh Sultan Mansur Syah apabila beliau berjaya membunuh tujuh puluh orang pengamuk dan seorang Jawa yang mengamuk.

Setelah tiba masanya, rombongan Sultan Mansur Syah pun berangkat ke Majapahit. Di Majapahit, banyak berlaku peristiwa yang menunjukkan kebijaksanaan dan kepahlawanan orang-orang Melaka. Antaranya, Tun Bija Sura berjaya mempertahankan keris yang dihadiahkan oleh Betara Majapahit daripada dicuri. Betara Majapahit juga menguji orang-orang Melaka dengan menambatkan seekor anjing bertentangan dengan Sultan Mansur Syah di istana.


Telatah Budak-Budak Raja Melaka

Tun Bijaya Sura berjaya menakutkan anjing yang ditambat di hadapan Sultan Mansur Syah, sehingga anjing lari dan tidak dapat dikesan lagi. Selain itu, Tun Bijaya Sura berjaya menjatuhkan imej Betara Majapahit melalui “Permainan Sapu-Sapu Rengit”. Ketika mempersembahkan permainan tersebut, Tun Biajaya Sura dan empat lima orang anak pembesar berlunjur kaki ke hadapan Betara Majapahit, iaitu satu tindakan yang bertentanganm dengan adat istiadat Majapahit.

Hang Tuah dan rakan-rakannya pula cuba mempemain-mainkan kewibawaan Betara Majapahit, dengan cara menceroboh taman larangan, yang menimbulkan kemurkaan Betara Majapahit. Kemudian berlaku pertarungan hebat antara Hang Tuah dan rakan-rakan dengan perajutrit-perajurit Majapahit yang dimenangi oleh Hang Tuah.

Dalam peristiwa lain, Tun Bijaya Sura sekali lagi menunjukkan keistimewaannya sehingga menjatuhkan maruah Betara Majapahit. Beliau memanjat tiang pesiban dan berpegang kepada tiang lalu berkeliuling pusing sambil menghayun-hayunkan sapu tangan dan hamper mengenai muka Betara Majapahit. Hal ini menyebabkan orang-orang Majapahit menjadi marah dan ingin membunuh Tun Bijaya Sura, tetapi dilarang oleh Betara Majapahit

Betara Majapahit sentiasa mencari idea untuk menjatuhkan maruah Tun Biaya Sura dan raja Melaka. Baginda telah membuat helah dengan meminta Tun Bijaya Sura memakai pakaian seperti Jawa, iaitu berkeris di belakang. Ketika asyik Tun Bijaya Sura menonton orang-orang Jawa menyabung ayam, seorang Jawa berjaya menyendal (mencuri) kerisnya Tun Bijaya Sura dan diserahkan kepada Betara Majapahit. Setelah tersedar kerisnya dicuri, Tun Bijaya Sura mengambil keris Betara Majapahit yang sedang dibawa ke istana. Lantaran itu rancangan untuk menjatuhkan maruah Tun Bijaya Sura gagal.Setelah genap 40 hari 40 malam adat berjaga-jaga, maka Sultan Mansur Syah dan Raden Galuh Cendera Kirana pun berkahwin.


Memohon Jajahan Sebelum Kembali

Sebelum pulang ke Melaka, Sultan Mansur Syah menitahkan Tun Bijaya Sura, Hang Tuah dan Hang Jebat memohon negeri Inderagiri, Jambi, Tungkal dan Siantan daripada Betara Majapahit. Permohonan Sultan Mansur Syah telah diperkenankan oleh Betara Majapahit dan negeri-negeri tersebut terletak di bawah jajahan takluk Melaka. Mereka kemudiannya selamat pulang ke Melaka.

Hasil perkahwinan Sultan Mansur Syah dengan Raden Galuh Cendera Kirana, baginda dikurniakan seorang putera dinamakan Raden Kelang. Sultan Mansur Syah memperolehi dua orang anak perempuan hasil perkahwinan baginda dengan anak Seri
Nara Diraja, iaitu Raja Mahadewi dan Raja Cendera. Manakala dengan isteri baginda anak Bendahara Paduka Raja dikurniakan seorang anak lelaki bernama Raja Hussain dan berkahwin dengan Tun Senaja saudara Tun Tahir.


Hang Tuah DiHukum Bunuh

Kesetiaan Hang Tuah kepada Sultan Mansur Syah tidak berbelah bahagi. Beliau telah berjaya menyelamatkan kuda Sultan Mansur Syah yang jatuh ke dalam telaga tahi. Hang Tuah sanggup turun menambat tali pada kuda itu untuk ditarik oleh orang ramai. Kebaktian Hang Tuah itu menyebabkan Sultan Mansur Syah amat menyayanginya.

Walaupun begitu, baginda sanggup menjatuhkan hukuman bunuh ke atas Hang Tuah kerana percayakan fitnah pembesar-pembesar yang mengatakan Hang Tuah melakukan zina dengan seorang dayang di istana. Seri Nara Diraja dititahkan untuk melaksanakan hukuman tersebut. Tetapi Seri Nara Diraja tidak membunuh Hang Tuah, sebaliknya menyembunyi dan mamasung Hang Tuah di dusunnya di hulu Melaka.


Perhubungan Dengan Negeri China

Kebesaran Melaka tersebar sampai ke negeri China. Raja China telah mentutuskan sebuah pilau yang sarat dengan jarum ke Melaka. Ini adalah untuk menunjukkan kebesaran dan keagungan negeri China, dengan harapan Melaka akan tunduk di bawah kekuasaannya. Sultan Mansur Syah tidak berbuat demikian, lalu membalas utusan dengan menitahkan Tun Perpatih Putih ke China dengan membawa sagu rendang penuh pilau. Ini bertujuan untuk menunjukkan betapa ramainya rakyat Melaka. Di China, Tun Perpatih Putih berjaya menunjukkan kebijaksanaannya sehingga berjaya melihat wajah raja China yang duduk bersemayam di dalam mongkor kaca melalui tipu muslihatnya, makan kangkung tidak berkerat, dibelah dua panjang-panjang. Ketika memakan kangkung tersebut, satu hujung kangkung dimasukkan ke mulut dan hujung yang satu lagi dikepit dengan penyepit sambil mendongak kepada ke atas dan berjaya melihat wajah raja China.


Puteri Raja China Ke Melaka

Tun Perpatih Putih berangkat ke Melaka bersama rombongan raja China yang diketuai Lak Di Po. Mereka membawa bersama Puteri Hang Liu untuk dipersembahkan kepada Sultan Mansur Syah. Baginda berkahwin dengan Puteri Hang Liu dan memperolehi seorang anak lelaki yang diberi nama Paduka Hamimat.

Pada hari lain, Sultan Mansur Syah mengutuskan Tun Telanai dan Menteri Jana Putera, terlencung ke Brunai kerana berlaku ribut besar. Raja Brunai bertanya tentang isi surat Sultan Melaka kepada Raja China. Tun Telanai mengatakan surat itu berbunyi
“Sahaya raja Melaka empunya sembah, datang kepada paduka ayahanda raja China”. Bertanya raja Brunai lagi, “berkirim sembahkan raja Melaka pada raja China?” Menteri Jana Putera menjelaskan maksud surat itu ialah “sahaya atau hamba” yang menyembah raja Melaka. Oleh itu, raja Brunai pun memberi sembah kepada Sultan Mansur Syah.

Kedal Kerana Tulah

Raja China yang menerima perutusan sembah Sultan Mansur Syah jatuh sakit kedal (sejenis penyakit kulit yang meninggalkan kesan bertelau-telau pada kulit). Tabib menyatakan hanya air basuhan tapak kaki Sultan Mansur Syah berjaya menyembuhkannya. Kemudian utusan dikirim ke Melaka untuk memohon air basuh tapak kaki Sultan Mansur Syah. Penyakit kedal raja China segera sembuh setelah raja China minum dan mandi air basuh tapak kaki Sultan Mansur Syah.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

© 2011 mimbar kata, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena