secebis

Blog Mimbar Kata

bahasa dalam puisi

blog mimbar kata

menatap kepayahan dalam denu

blog mimbar kata

kau ada

blog mimbar kata

1 Oct 2019

puisi di jari

puisi di jari

puisi di jari
ada kata-kata yang pergi
perlahan memasuki kekunci

di layar terpapar
cerita bahasa di laut makna


1 Sept 2019

setia


30 Aug 2019

merdeka

Berada terjarak dari tanahair ketika negara sedang bersedia menyambut ulang tahun kemerdekaan... terasa ada yang kurang. Tidak bersama dalam nafas tanahair dan denyut nadi negara meraikan sebuah kemerdekaan. Terasa ada yang trerpisah dan terpinggir pergi rasa bangga dan bahagia seorang warganegara menyambut detik merdeka di bumi sendiri.
Aku tak pasti bagaimana ada yang sanggup memasang bendera terbalik, memaki hamun negara sendfiri, dan mencerca tanah air sesuka hati boleh begitu mudah terlafaz. Aku tak tahu ketika begitu jiwa mereka jiwa apa? Nadi dan darah mereka terbikin dari apa?
Mudah kita menyatakan apa saja tentang negara kerana kita masih punya negara. Masih bisa berdiri sebagaai penghuni tanah dan teluk negara sendiri.. Cuba semua itu tertarik pergi terambil dari dirimu dan tanah tempatmu berdiri bukan milikmu lagi. Kau hanya duduk dan bertandang bukan di negara milikmu
Aku merasa ketiadaan itu
Salam kemerdekaan dirgahayu tanahairku


25 Aug 2019

biola

BIOLA

biola tanpa tali
gemersing indah bunyi
suaranya dalam jiwa
iramanya dalam kalbu
nada indah suara
lagu dari hatimu

semua indah berbunyi
melintas perbukitan
menuju jauh awan
kudengar masih
tali yang bernyanyi
jiwa yang menari

sampai bila
bilolamu bisa berhenti
sedang airmataku
mengalir tak ingin berhenti


23 Aug 2019

cerita negara kita


tabung haji pak ungku

Tabung Haji Pak Ungku



MESYUARAT pertama Ahli Lembaga Urusan Tabung Haji di Bilik Gerakan Negara yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdul Razak Hussein pada 29 Disember 1963.

MOHD. SAIFUL SAHAK
05 Ogos 2019 12:00 PM


PROFESOR Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid bukanlah satu nama asing yang perlu diperke­nalkan kerana hampir semua rakyat mengetahui jasa tokoh akademik ini kepada negara.

Beliau yang mesra dengan panggilan Pak Ungku juga sa­ngat sinonim dengan usaha membantu orang Melayu terutama dalam membasmi kemiskinan.

Antaranya melontarkan idea penubuhan Lembaga Urusan dan Tabung Haji (LUTH) pada 1963 menerusi kertas kerja­nya yang bertajuk Rancangan Membaiki Ekonomi Bakal-bakal Haji pada 30 September 1959 kepada Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu.


UNGKU AZIZ

Intipati kertas cadangan yang dibentangkan itu melibatkan keselamatan simpanan bakal haji agar lebih terjamin dan bebas daripada unsur riba dalam memastikan jemaah haji menunaikan Rukun Islam itu dengan sempurna. Keduanya pula ialah memastikan simpanan bakal jemaah haji tiada meraih bonus atau dividen.
Idea Pak Ungku itu akhirnya diterima Kementerian Pembangunan Luar Bandar yang bersetuju menubuhkan LUTH pada 1969 melalui gabungan antara Perbadanan Wang Simpanan Bakal-bakal Haji (PWSBH) di bawah Undang-undang No. 34, 1962 dengan Pejabat Urusan Hal Ehwal Haji.

Gabungan berkenaan dina­ma­kan sebagai LUTH sebelum ditukar nama kepada Lembaga Tabung Haji atau lebih dikenali Tabung Haji pada 1995.

Pada 30 September 1963, PWSBH yang diperbadankan itu melakar sejarah negara apabila kaunter pertamanya berjaya menerima deposit daripada 1,281 bakal haji yang berjumlah RM46,610.

Tertubuhnya Tabung Haji, urusan ibadat haji umat Islam negara ini menjadi lebih mudah dan teratur.

Urusan pasport, visa haji, pengang­kutan, penginapan di Mekah, Madinah, Mina dan Arafah serta penjagaan kesihatan dan bimbingan ibadat haji diuruskan sepenuhnya Tabung Haji.

Akhbar Utusan Malaysia bertarikh 14 Oktober 2005 me­­muatkan berita “Hayati falsafah penubuhan Tabung Haji” melaporkan, Pak Ungku me­nyu­arakan pendapatnya su­paya pengurusan Tabung Haji harus kembali menghayati penubuhan tabung itu.

Pak Ungku menggesa pengurusan Tabung Haji perlu menjadikan falsafah penubuhan Tabung Haji sebagai pedoman dalam membuat keputusan berhubung pembangunan dan pelaburannya pada masa depan.

Katanya,jika pengurusan Ta­bung Haji mematuhi falsafah yang terkandung dalam Akta 8. Akta Lembaga Urusan dan Tabung Haji 1969, yang menjadi asas penubuhan Tabung Haji tidak akan berlaku sebarang masalah seperti hari ini.

Akta itu antara lain bertujuan:

  • Membolehkan orang Islam menyimpan secara beransur-ansur bagi memenuhi perbelanjaan menunaikan fardu haji atau lain-lain perbelanjaan bermanfaat.
  • Membolehkan orang Islam melalui wang simpanan mereka mengambil bahagian yang lebih berkesan dalam bidang penanaman modal melalui cara yang halal di sisi Islam.
  • Memberi perlindungan pengawalan dan kebajikan kepada jemaah haji yang menunaikan fardu haji dengan me­nga­dakan pelbagai kemudahan dan perkhidmatan
Kejayaan Tabung Haji yang berlandaskan kepada falsafah penubuhannya terbukti apabila mempunyai lebih daripada 10 juta pendeposit dan 125 cawangan dengan hampir 10,000 ‘touch-points’ di seluruh negara.

Tabung Haji berjaya mele­barkan sayapnya operasinya dengan menubuhkan Tabung Haji di Jeddah, Arab Saudi di bawah bidang kuasa Konsulat Malaysia.

Kejayaan demi kejayaan Ta­bung Haji akhirnya tertubuh­nya Yayasan Tabung Haji (YTH) pada 2016 untuk melaksanakan misi dan peranan kemanusiaan dalam membantu golo­ngan kurang berkemampu­an, miskin dan memerlukan.'

utusan

14 Aug 2019

pelayaran solo sang legenda

Pelayaran epik Azhar Mansor
BAHAGIAN PERTAMA

AZHAR MANSOR mengemudi Jalur Gemilang dalam misi pelayaran solonya menakluki dunia.

SAHIDAN JAAFAR
11 Mei 2019

PADA itu pukul 4 petang 2 Februari 1999, cuaca agak cerah dan baik untuk memulakan pelayaran, matahari melimpahkan sinarnya, awan berarak mega dan tidak ada tanda-tanda hujan akan turun.


AKHBAR Utusan Malaysia pada 3 Februari 1999 memaparkan tajuk “Misi Azhar kelilingi dunia secara solo

Datuk Azhar Mansor berjalan berpimpin tangan de­ngan isterinya, Sarah Maria dan anak-anak menuju ke kapal impiannya, Jalur Gemilang di Awana Porto Malai, di Tanjung Malai Langkawi.

Kehadiran Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad yang tiba untuk menyerahkan bendera kebanggaan Malaysia itu kepada Azhar menjadi pembakar semangat untuk pelayar solo itu mencapai impiannya mengelilingi dunia.

“Saya berjanji akan membawa bendera ini pulang,” kata Azhar kepada Dr. Mahathir.

“Saya doakan demikian juga,” Perdana Menteri menjawab ringkas.

Azhar kemudian menaiki Jalur Gemilang yang kini membawa bersama-samanya lebih dua tan makanan angkatan tentera atau peket makanan tempatan yang setengah masak termasuk sambal ikan bilis, rendang daging, kari ayam, bubur kacang dan sirap nanas. Semua makanan itu ha­nya perlu dipanaskan sekejap sahaja dalam air yang mendidih.

Azhar juga membawa beras untuk dimasak dan snek berupa sejumlah buah-buahan kering seperti epal dan jambu serta bijirin seperti cornflakes.

Bekalan makanan itu mencukupi untuk seorang pelayar biasa hidup selama 140 hari di lautan tetapi bagi Azhar yang tidak kuat makan ia boleh digunakan untuk tempoh sehingga 200 hari.


DATUK AZHAR MANSOR bersama Jalur Gemilang meredah lautan luas.

Azhar mengemudi Jalur Gemilang ke lautan dite­mani sekumpulan kapal dan skuter air dengan penyokong-penyokongnya terus melaung-laungkan na­manya diiringi kata-kata dan lambaian selamat tinggal.

Kumpulan kapal dan skuter laut itu beransur-ansur me­ninggalkan Jalur Gemilang untuk kembali ke pantai dan sebuah kapal peronda polis mengiringi pelayar solo negara itu melintasi garisan permulaan.

Sedang ha­luan Ja­lur Gemilang me­lintasi garisan itu penjaga rasmi ma­­sa merakamkan detik waktu itu pukul 4.30 petang seba­gai rekod rasmi Azhar memu­lakan pelayaran meredah samu­dera luas penuh cabaran.

Dr. Mahathir yang masih berdiri bersama-sama orang ramai di Awana Porto Malai memerhatikan Jalur Gemilang menghilang di tengah-tengah samudera dan akhirnya lepas dari pandangan.

Azhar kini bersendirian me­ngemudi Jalur Gemilang memulakan pelayaran solo ketika angin Monsun Timur Laut sedang bertiup de­ngan baik.

Menurut Azhar dalam buku Ocean Wild: Jalur Gemilang Challenge (2001), laluan beliau mengelilingi dunia sudah ditetapkan iaitu tempat menukar haluan adalah di Tanjung Leeuwin Australia, Tanjung Tenggara Tasmania dan Tanjung Selatan di New Zealand sebelum melintasi selatan Lautan Pasifik ke Tanjung Tanduk di penghujung benua Selatan Amerika.

Azhar kemudian me­ngemudi Jalur Gemilang ke arah utara menuju Kepulauan Fernando de Noronha, sebelum berpatah ke selatan sekali lagi ke Tanjung Harapan di Afrika Selatan sebelum belayar menuju Langkawi, semula.

Bagi mendapat pengikti­rafan Majlis Rekod Pecutan Pelayaran Sedunia, Jalur Gemilang harus bermula dan menamatkan pelayarannya dari tempat yang sama melintasi semua garis bujur dan mesti melintasi Khatulistiwa. Azhar perlu tiba di Tanjung Tanduk sebelum April 1999 iaitu permulaan bagi musim sejuk.

Pada musim sejuk, pelayar seperti Azhar harus berdepan pula dengan laut yang sema­kin dahsyat dengan gelombang tinggi menggunung, an gin kencang, suhu menggigit tulang dan bahaya terlanggar bongkah air batu.

“Tetapi apa yang dikhuatiri adalah terperangkap di tengah-tengah ‘angin mati’ iaitu Zon Pertembungan Inter-Tropika, satu kawasan meliputi kira-kira lima darjah lintang hampir Khatulistiwa dengan angin menghilang dan laut tidak berkocak sedikit pun.

Azhar bernasib baik, kerana angin tidak muncul selama dua hari sahaja. Situasi ‘angin mati’ itu menyebabkan beliau mudah dilanda kekecewaan dan tenggelam dalam ‘khayalan berhantu’ sebagaimana dirasai pelayar lain.

“Malah, sebenarnya dia turut dicengkam khayalan pada suatu ketika sedang masa berlalu tanpa tiupan angin langsung. Azhar terasa telinganya terdengar alunan muzik, lagu asing yang mengusik-usik se­perti irama Hindustan.

“Dia mendengarnya begitu jelas sekali dan cuba bernyanyi sama tetapi angan-angannya terganggu kerana dia tidak tahu seni kata dan lenggok bahasa Hindi. Lagipun hati­nya berkata takkanlah lagu itu mengalun lalu dari seberang benua kecil India” (Ocean Wild: Jalur Gemilang Challenge 1991).

utusan

Azhar Mansor 'Legenda Pelayaran Solo'
BAHAGIAN AKHIR


11 Oktober 2001 – Tun Dr. Mahathir Mohamad bersama Azhar Mansor melihat buku “Ocean Wild: Jalur Gemilang Challenge” yang dilancarkan semasa pameran LIMA 2001 di Langkawi.


SAHIDAN JAAFAR
12 Mei 2019 4:00 PM

DATUK Azhar Mansor, 41, mencatat sejarah sebagai 'Legenda Pelayaran Solo' sekaligus menempa rekod sebagai orang pertama mengelilingi dunia secara solo melalui laluan baru, Timur-Barat.


AKHBAR Utusan Malaysia bertarikh 12 Ogos 1999 bertajuk “Selamat pulang Azhar” mencatatkan Pelayaran

Azhar, 41, memulakan pelayaran pada 2 Februari 1999 dari Langkawi, berjaya mengelilingi dunia sejauh 25,000 batu nautika dalam tempoh 190 hari dan tiba di pulau Langkawi pada 11 Ogos 1999.

Wartawan Utusan Malaysia, Zuhairi Ali dan Yusri Sahat pada 12 Ogos 1999 melaporkan ketibaan Jalur Gemilang dengan tajuk utama di halaman satu: “Selamat Pulang Azhar” dan “Syabas orang pertama mengelilingi dunia secara solo di laluan baru”.

Ketibaan Jalur Gemilang diarak oleh konvoi kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), bot peronda Polis Ma­­rin, kapal dan bot pelbagai agensi kerajaan serta persendirian.

“Dalam suluhan kelam lampu-lampu sorot, orang ramai dapat melihat Jalur Gemilang perlahan-lahan menghampiri garisan penamat dan seterusnya menuju ke Jeti Star Cruise. Azhar menjejakkan kakinya ke Jeti Star Cruise pada pukul 11.55 malam setelah JG ditunda dari garisan penamat” (Utusan Malaysia 12 Ogos 1999.

Utusan Malaysia melapor­kan, Azhar terus memeluk anak-anak dan isterinya, Datin Sara Maria Abdullah dan bapa­nya, Mansor Mohd. Saad, 78, yang menyambut kepulangannya.

Kemudian Azhar menuju ke arah Dr. Mahathir dan mereka berpelukan. Pelayar solo itu kelihatan terharu dan menitiskan air mata ketika berjalan di celah-celah orang ramai yang bersesak-sesak menunggunya di jeti itu sejak awal petang.

Kejayaan Azhar mengelilingi dunia secara solo membuktikan slogan “Malaysia Boleh” yang dilaungkan oleh Dr. Mahathir bukan omong kosong dan pelayar itu menganggap­nya sebagai tugas yang diamanahkan kepadanya oleh seluruh rakyat Malaysia.

“Kejayaan ini adalah milik rakyat Malaysia, bukan milik saya seorang,” ucap Azhar di perkarangan Hotel Awana Porto Malai selepas mendarat di Jeti Star Cruise.

Perdana Menteri yang menjadi penaung projek Jalur Gemilang itu menyifatkan kejayaan Azhar luar biasa kerana “tiada seorang di antara 22 juta rakyat Malaysia yang mampu melakukan apa yang dilakukan Azhar”.

Saat rakyat Malaysia berbangga de­ngan kejayaan beliau, Azhar yang masih keletihan bersyukur beliau selamat menjalani misinya se­lama tiga bulan belayar mengelilingi dunia yang penuh dengan kisah suka dan duka.

Menurut Azhar dalam buku Ocean Wild: Jalur Gemilang Challenge (2001), pengalaman menyambut hari jadinya yang ke-41 dan menyam­but Hari Raya Aidil Adha bersendirian di lautan, antara saat paling memilukan dalam hidupnya.

“Saya masih ingat lagi malam-malam dengan angin bertiup sayu dan laut laksana tenang tidak berkocak sedikit pun (ketika angin mati). Dan bila saya mendongak, langit biru diliputi bintang gemerlapan, meng­ingat­kannya bahawa walaupun saya kesepian di tengah lautan nan luas saya masih sebahagian daripada penghuni dunia” (Ocean Wild: Jalur Gemilang Challenge 2001; 145)

Pelayar itu cuba menjauhkan ingatannya daripada keluarganya dengan sentiasa mengisi masanya dengan pelbagai tugas tetapi 11 Februari adalah hari paling sedih baginya kerana ia adalah hari jadinya yang ke-41.

“Dalam keadaan sunyi ini, saya mendengar alunan muzik dari CD dalam komputer. Bia­sanya saya lebih gembira dihiburkan bunyi laut dan angin tetapi sekarang ini apa yang cuba saya elakkan adalah hati ini jadi berkecamuk” (Ocean Wild: Jalur Gemilang Challenge 2001: 59).

Pada 28 Mac 1999 ketika orang Islam di Malaysia sedang merayakan Hari Raya Aidil Adha, pelaut itu tidak dapat meraikannya selain menghubungi keluarganya.

“Saya tiada sebarang ranca­ngan khas di sini, katanya dalam e-mel “tetapi akan berdoa dan memuji keesaan Ilahi sempena Idul Adha dan meraikannya di Lautan Selatan. Memanglah tempat ini bukanlah sesuai untuk belayar seorang diri dalam sebuah kapal” (Ocean Wild: Jalur Gemilang Challenge 2001: 73).

Detik paling mencemaskan dalam hidupnya terjadi apabila tiang layar Jalur Gemilang patah dua akibat dihempas ombak raksasa ketika dalam pelayaran di Lautan Selatan.

“Apa yang saya tidak tahu adalah ketika itu satu ombak raksasa melambung kapal, tiba-tiba pecah berderai menyebabkan Jalur Gemilang terapung di udara seketika (Ocean Wild: Jalur Gemilang Challenge 2001: 85).

Kehilangan tiang layar adalah satu igauan buruk bagi seorang pelayar solo sepertinya. Berita kehilangan tiang layar Jalur Gemilang menyebabkan orang ramai mengirim e-mel memberikan galakan, semangat dan sokongan moral kepada Azhar supaya meneruskan misi pelayaran untuk mengelilingi dunia.

Sumber: Pusat Maklumat Utusan

utusan

irama syair






10 Aug 2019

hari arafah















9 Aug 2019

arafah

arafah

hanyalah debu yang akrab
bersamamu di kering pasir ini
hanyalah matahari yang memancar
memanaskanmu di garing hari ini
hanyalah engkau dan tuhanmu
arafah
bersama akrab debu
bersama matahari berlalu
tuhan menatapmu



jawi

Apa salahnya belajar tulisan jawi?
ABD JALIL ALI
8 Ogos 2019


APABILA saya melaporkan diri untuk bertugas sebagai pemberita pelatih di Jalan Chan Sow Lin pada 2 Februari 1974, saya diletakkan di Utusan Melayu.

Sekiranya diberi pilihan, saya lebih suka ditempatkan di Utusan Malaysia, sebab akhbar tulisan rumi itu lebih popular, dibaca oleh semua orang.

Utusan Melayu menggunakan tulisan jawi dan dianggap sebagai akhbar orang tua. Ada anggapan ketika itu bahawa hanya orang tua membaca jawi, anak muda lebih selesa dengan rumi.

Hanya beberapa bulan setelah bertugas di akhbar jawi itu saya menyedari tulisan tersebut memang semakin kurang yang membacanya.

Malah, mengejutkan saya ialah hakikat bahawa sebahagian kakitangan syarikat Melayu itu termasuk yang bertugas di Utusan Melayu sendiri tidak tahu jawi.

Seorang pemberita yang lebih senior daripada saya memberitahu dia tidak dapat membaca berita dan rencana tulisannya yang tersiar sebab dia buta jawi. Hatta dia tidak tahu pun namanya – byline – disiarkan sebab dalam tulisan jawi.

Mengeja dan membaca nama sendiri dalam ejaan jawi pun dia tidak tahu, alangkah malangnya!Sebagai anak Johor, saya bernasib baik sebab telah terbiasa dengan tulisan jawi, disebut juga tulisan Melayu sejak di sekolah rendah.

Pagi sekolah biasa ada satu subjek tulisan jawi. Petang sekolah agama, semua kitab bertulisan jawi, tiada satu pun rumi. Pendek kata jawi bukan satu masalah.

Ketika semua beralih kepada rumi, tulisan huruf Arab @ huruf al-Quran itu semakin kurang mendapat perhatian walaupun dalam kalangan orang Melayu sendiri.

Maka tidak menghairankan akhbar jawi tempat saya berkarya itu edarannya semakin mengecil setiap hari. Akhirnya Utusan Melayu ditutup dan semakin lenyaplah jawi.

Bermacam usaha dilakukan termasuk oleh kerajaan untuk mempopularkan jawi tetapi semuanya gagal. Orang lebih senang dengan rumi.Saya teringat Ustaz Ramli, beliau satu-satunya penulis khat untuk tajuk-tajuk utama dalam Utusan Melayu dan mingguan Utusan Zaman. Seni khatnya saya kagumi sampai sekarang.

Masih juga saya ingat zaman sekolah rendah di kampung saya, undangan makan kenduri kahwin semua ditulis tangan menggunakan tulisan jawi. Ketika kakak kahwin, abah meminta saya menulis surat undangan sebab tulisan tangan saya adalah yang tercantik berbanding adik-beradik lain.

Ketika itu jawi menjadi tulisan rasmi di mana-mana, orang kampung tidak biasa dengan rumi. Novel-novel pun dalam tulisan jawi, antara yang saya ingat ‘Wak Cantuk’ dan ‘Kisah Sepuluh Pelayan’.

Tetapi sekarang orang kampung saya pun lebih senang dengan rumi. Ada sebilangan kecil orang tua yang selesa dengan jawi tetapi tidak dapat lagi membaca akhbar jawi.

Oleh sebab terlalu menulis dan membaca rumi, orang suka berumi-rumi walaupun pada perkara-perkara yang tidak sepatutnya dirumikan.

Adalah amat menyedihkan petikan-petikan al-Quran termasuk surah Yasin yang menjadi bacaan malam Jumaat di tempat saya juga menggunakan tulisan rumi.

Orang tidak lancar membaca surah tersebut dalam tulisan asal, sebaliknya lebih selesa membaca dan menyebut ayat-ayat suci itu dalam tulisan rumi. Mana mungkin kita menyebutnya dengan tepat sekitanya tidak menggunakan huruf asal daripada langit!

Apa boleh buat sebab tidak faham jawi, kita membaca al-Quran bertulisan rumi. Malah, salah satu sebab ramai orang kita tidak tahu membaca kitab suci itu ialah kerana tidak mengenal huruf jawi.

Maka ada baiknya tulisan yang semakin pupus itu dihidupkan semula dengan memperkenalkannya sebagai salah satu subjek dalam pelajaran di sekolah.

Seperti mana yang diketahui, Kementerian Pendidikan berhasrat memperkenalkan seni khat dan tulisan jawi bagi mata pelajaran Bahasa Melayu bagi Tahun Empat mulai tahun depan.

Saya tidak nampak apa yang hendak dikontroversikan mengenai perkara ini. Sekiranya tulisan dan kaligrafi lain boleh dibenarkan, mengapa pembelajaran tulisan jawi hendak ditentang?

Jangan ada pusingan U, teruskan perkara yang baik ini!

* Datuk Abd Jalil Ali ialah Penasihat Eksekutif Editorial Sinar Harian. Beliau juga merupakan Profesor Adjung di Universiti Malaysia Sabah (UMS)

sinarharian



2 Aug 2019

sayangi malaysiaku malaysia bersih




MALAYSIA BERSIH

HARAPAN SEMUA MOGA KITA BERJAYA
BAGAI NEGARA YANG KEKAL MERDEKA
AMANAH BANGSA KITA PIKUL BERSAMA
JADIKAN MALAYSIA BAHAGIA

ASAL BUDAYA KITA, BUDI PEKERTI INDAH
AMANAH JUJUR AMALAN KITA
KINI MASANYA SUDAH TIBA
UNTUK BINA SEMULA NEGARA TERCINTA

KITA BINA NEGARA, PERANGI RASUAH
KITA SATUKAN HATI, DEMI IBU PERTIWI
KEUTUHAN JIWA, BINA NURANI
MOGA KITA TERUS DISANJUNGI

HARAPAN SEMUA MOGA KITA BERJAYA
BAGAI NEGARA YANG KEKAL MERDEKA
KINI MASANYA SUDAH TIBA
UNTUK BINA SEMULA NEGARA TERCINTA

MALAYSIA BERSIH HARAPAN KITA
MALAYSIA BERSIH HARAPAN KITA

LAGU : MUHAMMAD YURI MOHAMED IDRIS
LIRIK : DATUK DR ANIS YUSAL YUSOFF
NYANYIAN : GEMERSIK CHORUS

Yang di-Pertuan Agong Pertama

Yang di-Pertuan Agong pertama

YANG di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Rahman menyampaikan watikah pelantikan sebagai Perdana Menteri kepada Tun Abdul Razak pada 15 April 1959 apabila Tunku Abdul Rahman melepaskan jawatan berkenaan untuk kempen pilihan raya pertama Persekutuan Tanah Melayu.

Sahidan Jaafar
24 Julai 2019

PERLEMBAGAAN Persekutuan Tanah Melayu yang dimaktubkan pada 1957 jelas menyatakan peruntukan yang terkandung dalam Perlembagaan iaitu perlantikan yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara, penubuhan Majlis Raja-Raja Melayu, Islam sebagai agama rasmi, taraf kewarganegaraan, kedudukan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, dan hak-hak keistimewaan orang Melayu.

Menurut Aziz Bari dalam bukunya Majlis Raja-Raja: Kedudukan dan Peranan dalam Perlembagaan Malaysia (2006), kuasa memilih yang di-Pertuan Agong diserahkan kepada Majlis Raja-Raja.

“Inilah yang dikehendaki oleh raja-raja dalam memorandum yang mereka serahkan kepada Suruhanjaya Reid pada 1957.

“Segala formula dan peraturan pemilihan adalah seperti yang terkandung dalam memorandum tersebut.

“Meskipun tidak disebut bahawa Majlis Raja-Raja mempunyai kuasa mutlak dalam pemilihan berkenaan, kuasa-kuasa yang diberikan kepadanya seakan-akan menekankan sifat itu apabila mahkamah enggan melakukan semakan keputusan Majlis Raja-Raja melantik Yang di-Pertuan Agong yang kelapan (Al-Marhum) Sultan Johor, Tuanku Sultan Iskandar ibni Al-Marhum Sultan Ismail (dilantik pada 26 April-25 April 1989). Mahkamah memutuskan itulah semangat yang dikehendaki oleh Perlembagaan” (Abdul Aziz Bari 206: 64).

Menurut buku Arkib Wari­san Eksklusif (2006), Yang di-Pertuan Agong yang pertama dilantik ialah Tuanku Abdul Rahman ibni Almarhum Tun­ku Muhammad Shah. Ba­ginda adalah Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan ke-8 yang ditabalkan pada 25 April 1934. Baginda dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong pertama Persekutuan Tanah Melayu pada 3 Ogos 1957.

SISTEM GILIRAN

Menurut Perlembagaaan Persekutuan Tanah Melayu, seorang Sultan akan dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong yang akan menjadi Ketua Negara.

Yang di-Pertuan Agong ini akan dipilih oleh Majlis Raja-Raja mengikut giliran sembilan orang raja-raja Melayu bagi setiap tempoh lima tahun sekali.

Baginda diputerakan pada 24 Ogos 1895 di Istana Seri Menanti, Kuala Pilah Negeri Sembilan. Baginda berkahwin dengan Tuanku Khursiah pada tahun 1928. Baginda mangkat pada 1 April 1960 dalam usia 65 tahun setelah menjadi Yang di-Pertuan Agong selama tiga tahun.

Menurut Aziz Bari lagi, pelbagai komen telah dibuat tentang pemilihan Yang di-Pertuan Agong.

“Ada yang menyatakan bahawa sistem itu dipinjam daripada Negeri Sembilan. Ini tidak salah. Tetapi berbeza dengan Undang Luak yang empat itu; raja-raja sebenarnya memilih sesama mereka sedangkan para Undang Luak itu memilih seorang daripada kerabat diraja yang layak dijadikan raja. Undang Luak itu sendiri tidak boleh turut serta.

PEMILIHAN

“Ada juga yang melihat persamaan antara Yang di-Pertuan Agong dengan pemilihan Naib Canselor di Cambridge dan Oxford. Selain itu ada yang membandingkan pemilihan Yang di-Pertuan Agong dengan pemilihan Pope, ketua mazhab Katolik. Cuma yang berbeza ialah Yang di-Pertuan Agong, tidak seperti Pope, hanya bersemayam selama lima tahun sahaja” (Abdul Aziz Bari 2006: 65)

Buku Takhta Kerajaan Nege­ri Sembilan (1987) oleh Tan Sri Abdul Samad Idris turut menyatakan, Tuanku Abdul Rahman menggantikan Seri Paduka Ayahandanya, Tuanku Muhammad yang telah mangkat dan dijadikan Undang Yang Empat sebelum majlis pemakaman pada 3 Ogos 1933.

SIMBOL

Menurut buku Palace Political Party and Power: A Story of the Socio-Political Development of Malay King-Ship (2011) oleh Kobkua Suwannathat-Pian, Yang di-Pertuan Agong merupakan ketua kerajaan tertinggi yang menjadi simbol kesatuan negeri-negeri di Malaya selain menjadi simbol keadilan, kasih sa­yang dan penghormatan untuk rakyat jelata.

“Akhirnya, persidangan Majlis Raja-Raja telah bersetuju memilih Tuanku Abdul Rahman, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan sebagai Yang di-Pertuan Agong pertama Persekutuan Malaya” (Kobkua Suwannathat-Pian 2011: 326).

Paling menarik, Kabinet Perikatan pimpinan Tunku Abdul Rahman Putra sebulat suara bersetuju mengabadikan wajah Yang di-Pertuan Agong pertama itu pada semua cetakan mata wang kertas negara sejak merdeka, malah turut diguna pakai sehingga kini.

Sumber: Pusat Maklumat Utusan

utusan


STATUS

Search This Blog

DAUN