ajari aku

Blog Mimbar Kata

tulislah

blog mimbar kata

sehelai daun

blog mimbar kata

hujan dalam sukma

blog mimbar kata

kaki memijak

blog mimbar kata

19 Mar 2021

KESUSASTERAAN MELAYU KOMUNIKATIF

 KESUSASTERAAN MELAYU KOMUNIKATIF

PENGENALAN


Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) yang dilaksanakan secara berperingkat mulai tahun 2017 menggantikan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) yang telah dilaksanakan sejak tahun 1989 bagi memenuhi hasrat yang terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

Selaras dengan perubahan itu, Lembaga Peperiksaan telah mengadakan perekaan bentuk format pentaksiran berdasarkan Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) yang dikeluarkan oleh Bahagian Pembangunan Kurikulum (BPK). Seterusnya, perekaan bentuk format pentaksiran menjadi asas kepada pembinaan instrumen pentaksiran.

  ASAS PERTIMBANGAN


Beberapa prinsip yang menjadi asas pertimbangan dalam proses perekaan bentuk format pentaksiran Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ialah:

KESAHAN
Kesahan merujuk ciri ujian dan melibatkan dua perkara, iaitu kerelevanan dan kecukupcakupan. Perekaan bentuk instrumen pentaksiran ini telah memastikan semua konstruk (perkara yang ditaksir) dijelmakan berdasarkan objektif mata pelajaran. Item- item yang dikemukakan adalah akur dengan kurikulum standard dan spesifikasi ujian serta mempunyai kesesuaian dari segi kumpulan sasaran, aras kesukaran, konteks dan situasi. Kandungan instrumen pentaksiran mencakupi semua aspek pengetahuan, kemahiran dan nilai yang diperoleh dalam pendidikan mata pelajaran berkenaan, seperti yang dihasratkan oleh kurikulum standard.

KEBOLEHPERCAYAAN


Kebolehpercayaan merujuk ciri skor ujian dan melibatkan dua perkara iaitu ketekalan dan ketepatan. Di peringkat pembinaan, satu spesifikasi ujian direka bentuk bagi setiap instrumen pentaksiran untuk dijadikan piawaian. Hal ini adalah untuk memastikan ketepatan, kesetaraan dan ketekalan instrumen pentaksiran yang dihasilkan setiap tahun. Analisis data peperiksaan juga dapat menunjukkan tahap kebolehpercayaan sesuatu instrumen pengukuran.

KEOBJEKTIFAN


Keobjektifan merujuk kejelasan fungsi setiap instrumen yang dibina. Setiap instrumen pentaksiran dibina dengan tujuan khusus mengikut spesifikasi ujian tertentu. Jadual Spesifikasi Ujian berfungsi mengawal kefungsian instrumen yang dibina. Setiap pembina harus jelas dengan kehendak setiap instrumen pentaksiran yang dibina. Antaranya, konstruk yang ditaksir dan inferens boleh dibuat daripada skor yang akan diperoleh.

Dalam item berbentuk subjektif, keobjektifan juga merujuk ketepatan seseorang pemeriksa memeriksa skrip jawapan atau ketepatan seseorang pentaksir memberikan skor calon. Dalam konteks ini, ciri keobjektifan pemberian markah atau skor boleh dipertingkatkan dengan menyediakan skema penskoran yang objektif serta markah atau skor yang diselaraskan melalui mesyuarat penyelarasan. Hal ini dapat mengurangkan perselisihan dalam pemberian markah atau skor dalam kalangan pemeriksa atau pentaksir bagi menjamin kebolehpercayaan skor.

 KEBOLEHTADBIRAN


Kebolehtadbiran merujuk kebolehlaksanaan sesuatu program pentaksiran dari segi kos, masa dan personel sama ada program berpusat dan pentaksiran berasaskan sekolah.

KEMUDAHTAFSIRAN


Kemudahtafsiran merujuk keupayaan skor daripada proses pentaksiran dalam memberikan maklumat tentang seseorang murid dalam perkara yang ditaksir. Skor yang baik berupaya untuk mendiskriminasikan murid yang mempunyai kepelbagaian keupayaan. Di samping itu, kemudahtafsiran dapat memberi sebab serta tujuan sesuatu ujian dan pentaksiran itu diadakan.

KEKOMPREHENSIFAN


Kekomprehensifan sesuatu ujian atau pentaksiran merujuk sejauh mana sesuatu ujian itu mengandungi item yang mewakili semua objektif yang penting dalam kurikulum. Jelasnya, prinsip-prinsip pentaksiran yang dinyatakan itu merupakan landasan penting dalam menjalankan pentaksiran. Justeru, mereka yang terlibat dengan  proses pentaksiran dalam pendidikan sewajarnya akur akan prinsip-prinsip pentaksiran yang telah ditetapkan itu agar matlamat dan objektif pentaksiran dapat dicapai dengan jayanya.

 PUNCA KUASA


Lembaga Peperiksaan, Kementerian Pendidikan Malaysia telah menyediakan format pentaksiran bagi mata pelajaran Kesusasteraan Melayu Komunikatif SPM mulai tahun 2021. Format tersebut telah dibentangkan dan dipersetujui dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kurikulum Kebangsaan, Kementerian Pendidikan Malaysia, Bil. 1/2020 pada 21 Februari 2020.

MATLAMAT MATA PELAJARAN


Matlamat KSSM Kesusasteraan Melayu Komunikatif (KMK) adalah untuk melahirkan murid yang dapat memiliki ilmu dan pengetahuan tentang kesusasteraan; berkemahiran dalam menghasilkan karya kreatif yang menepati ciri-ciri; berkeperibadian mulia dan dapat menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara; serta mampu memahami, menghayati dan menghargai karya sastera.

OBJEKTIF MATA PELAJARAN (OM)


KSSM Kesusasteraan Melayu Komunikatif (KMK) bertujuan untuk membolehkan murid mencapai objektif yang berikut:

OM1: Membaca, memahami dan menghayati karya yang dibaca;
OM2: Mengenali pengarang, memahami definisi, ciri-ciri dan fungsi sastera Melayu;
OM3: Menganalisis elemen sastera yang terdapat dalam puisi dan prosa;
OM4: Membentuk sahsiah diri yang terpuji dengan mengenal pasti dan menilai elemen keagamaan serta keperibadian unggul yang terdapat dalam karya;
OM5: Menjadi ahli masyarakat yang prihatin dengan mengenal pasti dan menilai isu serta citra masyarakat yang terdapat dalam karya;
OM6: Menjadi warganegara yang memiliki sikap bertanggungjawab dan cinta akan negara melalui elemen patriotisme dan kepimpinan yang terdapat dalam karya;
OM7: Mengadaptasi atau menghasilkan karya puisi dan prosa bertulis yang menepati ciri-ciri sastera yang baik;
OM8: Mempersembahkan karya yang diadaptasi atau yang dihasilkan dalam pelbagai bentuk yang kreatif, menarik dan berkesan; dan
OM9: Menghargai (apresiasi) Kesusasteraan Melayu dan memupuk minat membaca karya sastera yang berkualiti.

 

Sumber: Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM)

Kesusasteraan Melayu Komunikatif Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP)

Tingkatan 4 dan 5, September 2018, Bahagian Pembangunan Kurikulum, Kementerian Pendidikan Malaysia




 OBJEKTIF PENTAKSIRAN (OP)

Objektif pentaksiran berdasarkan matlamat dan objektif mata pelajaran Kesusasteraan Melayu Komunikatif (KMK) adalah untuk mentaksir pencapaian murid dalam keupayaan untuk:

OP1: Mengetahui dan memahami konsep dan definisi elemen-elemen Kesusasteraan Melayu dengan betul dan tepat;

OP2: Mengetahui dan memahami elemen-elemen Kesusasteraan Melayu yang terdapat  dalam karya sastera dengan betul dan tepat;

OP3: Mengaplikasi dan menganalisis elemen-elemen Kesusasteraan Melayu yang terdapat dalam karya sastera secara kritis;

OP4: Menilai karya sastera berkaitan elemen sahsiah, isu masyarakat dan isu kenegaraan dalam karya sastera dengan kritis;

OP5: Menghasilkan karya sastera yang sesuai dengan kemampuan murid sama ada dalam bentuk pengkaryaan asli atau pengadaptasian yang menepati ciri-ciri sastera yang baik; dan

OP6: Mempersembahkan karya sastera yang dihasilkan atau yang diadaptasikan sesuai dengan kemampuan murid dalam pelbagai bentuk atau media yang kreatif, menarik dan berkesan.

 KONSTRUK DAN ASPEK YANG DITAKSIR

 Konstruk yang ditaksir

 7.1.1 2216/1 – Kertas 1

●  Mengingat dan Memahami

●  Mengaplikasi

●  Menganalisis

●  Menilai

●  Mencipta

 7.1.2 2216/2 – Kertas 2

 ●  Mengaplikasi

●  Menganalisis

●  Menilai

●  Mencipta

Aspek yang ditaksir

Mengetahui elemen-elemen dalam kesusasteraan Konstruk ini mentaksir pengetahuan asas murid tentang pengertian istilah sastera dalam karya prosa dan puisi. Antara istilah sastera yang ditaksir ialah maksud, sinopsis, tema atau pemikiran, persoalan, binaan plot, teknik plot, watak dan perwatakan, gaya bahasa, nada, ciri prosa, bentuk puisi, nilai murni, pengajaran, latar, sudut pandangan, kritikan sastera dan pembangunan insan.

Mengetahui dan memahami elemen-elemen sastera dalam karya puisi Konstruk ini mentaksir kebolehan murid mengetahui elemen-elemen sastera dalam karya puisi iaitu, maksud, tema, persoalan, gaya bahasa (simile, metafora, personifikasi, hiperbola, paradoks, perlambangan, alusi, asonansi, aliterasi, anafora, responsi, epifora, simplok, repitisi (kata, frasa, baris, rangkap) inversi, hybrid, konotatif, sarkasme, kata ganda, sinkope, peribahasa, bahasa asing, bahasa istana, bahasa arkaik, dialek), irama (puisi tradisional) atau nada (melankolik, patriotik, sinis, romantik, protes), bentuk puisi (rangkap, baris, perkataan, suku kata, rima akhir, kesimpulan bentuk), nilai murni, pengajaran, kritikan sastera (pandangan, sanjungan dan saranan).

Mengetahui dan memahami elemen-elemen sastera dalam karya prosa Konstruk ini mentaksir kebolehan murid mengetahui elemen-elemen sastera dalam karya prosa iaitu sinopsis, tema atau pemikiran, persoalan, binaan plot (permulaan, perkembangan, klimaks, antiklimaks (penurunan) dan peleraian), teknik plot (dialog, pemerian, suspen, imbas muka, imbas kembali, monolog luaran, monolog dalaman, kejutan, konflik), watak dan perwatakan (utama, sampingan,   antagonis    dan    protagonis),    gaya    bahasa    (simile, metafora, personifikasi, hiperbola, paradoks, perlambangan, alusi, simplok, repitisi (kata, frasa, ayat) inversi, konotatif, sarkasme, kata ganda, sinkope, peribahasa, bahasa asing, bahasa istana, bahasa arkaik dan dialek), ciri prosa, nilai murni, pengajaran, latar (tempat, masa, masyarakat), sudut pandangan (sudut pandangan orang pertama dan sudut pandangan orang ketiga) kritikan sastera (pandangan, sanjungan, saranan).

Menganalisis elemen-elemen sastera dalam karya puisi Konstruk ini mentaksir kebolehan murid menganalisis elemen-elemen sastera iaitu maksud, tema, persoalan, bentuk puisi, gaya bahasa, irama atau nada, nilai murni, pengajaran dan kritikan sastera (pandangan, sanjungan, saranan).

Menganalisis aspek-aspek sastera dalam karya prosa  Konstruk ini mentaksir kebolehan murid menganalisis elemen-elemen sastera dalam karya prosa iaitu sinopsis, tema atau pemikiran, persoalan, ciri prosa, binaan plot, teknik plot, watak dan perwatakan, gaya bahasa, latar, sudut pandangan, nilai murni, pengajaran dan kritikan sastera (pandangan, sanjungan, saranan).

Membangunkan nilai insan. Konstruk ini mentaksir kebolehan murid menilai elemen sahsiah, isu masyarakat dan isu kenegaraan dalam karya sastera.

 Menghasilkan karya sastera .Konstruk ini mentaksir kebolehan murid-murid menghasilkan (karya asli atau adaptasi) dan mempersembahkan karya sastera dalam pelbagai bentuk yang kreatif, menarik dan beresan.

 ARAS KESUKARAN ITEM

Item yang dibina mestilah menepati aras kesukaran yang dihasratkan, iaitu sama ada aras kesukaran rendah (R), sederhana (S), atau tinggi (T).

Aras R Item aras R boleh dijawab oleh sebahagian besar calon.
Aras S Item aras S boleh dijawab oleh calon yang berprestasi sederhana dan cemerlang.
Aras T Item aras T boleh dijawab oleh calon berprestasi cemerlang sahaja.

FORMAT PENTAKSIRAN
 Pentaksiran    mata    pelajaran    Kesusasteraan    Melayu    Komunikatif    menggunakan dua instrumen iaitu;
2216/1 – Kesusasteraan Melayu Komunikatif Kertas 1 (Ujian Bertulis)
2216/2 – Kesusasteraan Melayu Komunikatif Kertas 2 (Kerja Kursus)

 FORMAT INSTRUMEN PENTAKSIRAN SPM MULAI 2021
MATA PELAJARAN KESUSASTERAAN MELAYU KOMUNIKATIF (2216)

 

Bil

Perkara

Kertas 1 2216/1

Kertas 2 2216/2

 

1

 

Jenis Instrumen

 

Ujian Bertulis

Ujian Komunikatif – Kerja Kursus (Penghasilan dan Persembahan)

 

2

 

Jenis Item

 

(a)  Subjektif Respons Terhad

(b)  Subjektif Respons Terbuka

 

Subjektif Respons Terbuka

 

3

 

Bilangan Soalan

 

Bahagian A – 10 item [40 Markah]

 

● 6 item respons terhad berdasarkan 5 genre.

●  4 item respons terhad, iaitu

i.      Item mana-mana genre

ii.     Item kritikan sastera

iii.   Item berdasarkan Pembangunan Insan

 

 

Jawab semua soalan

 

Bahagian B – 6 item respons terbuka [60 markah]

 

●  Soalan 11 hingga 16

 

Pilih dan jawab 3 daripada 6 soalan

 

Tingkatan 5

(Satu Kerja Kursus secara individu)

 

●  Pentaksiran Pusat

● Calon dikehendaki menyudahkan Kerja Kursus aspek Pengkaryaan

(Karya asli/adaptasi dan mempersembahkan hasil karya dalam pelbagai bentuk atau media)

 

● Bahagian A: Penghasilan Karya [20 markah]

 

● Bahagian B: Persembahan Multimedia atau Persembahan Langsung [20 markah]

 

4

 

Jumlah Markah

 

Jumlah : 100 markah

 

Jumlah : 40 markah


Bil

Perkara

2216/1

2216/2

 

5

 

Konstruk


●  Mengingat dan Memahami

●  Mengaplikasi

●  Menganalisis

●  Menilai

●  Mencipta

 

●  Mengaplikasi

●  Menganalisis

●  Menilai

●  Mencipta

 

6

 

Tempoh Ujian

 

2 jam 30 minit (2½ jam)

 

Tingkatan 5: April hingga Mei

 

7

 

Cakupan Konteks


Mencakupi semua standard kandungan dan standard pembelajaran yang terdapat dalam Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP)

 

8

 

Aras Kesukaran

 

Rendah : Sederhana : Tinggi

5: 3: 2

 

9

 

Kaedah Penskoran

 

●  Analitikal

●  Holistik

 

● Analitikal

●  Holistik

 

10

 

Alatan Tambahan

 

Tiada

 

Tiada

 

 

 


 sila download format pdf

 


 



15 Mar 2021

bangku

 BANGKU

dibangku yang pernah kau ada
kosong berganti kering daun-daun
angin menepis perlahan
persis sehabis pertarungan
ranting-ranting bergelimpangan
patah dan bertaburan
seperti jalan mati
lorong ini tak dijejaki
bangku kosong tak dipeduli
begitukah ketiadaan
tak terganti pada tatap dan hadir
perlukah aku menyimpan kenang
padang-padang hijau
dan nyanyi burung-burung
angin dingin berdesis
membuka cerita
perlukah kenang
pada banyak yang hilang




tak tertulis

 TAK TERTULIS

tak tertulis kata
pada segala surut masa
segala yang mengundang jauh
rebas hujan dan goncang bayang-bayang
siapa yang menunggu dengan rindu
siapa yang meninggalkan dengan sendu
banyak yang terbelengu dalam lingkar
kejauhan tak selamanya membelah ingat
sesekala angin yang meruntuhkan hujan
melakar indah rasa
tika terakhir menatapmu
airmata menggaris di pipi
tak tertulis
sejarah yang manis dan memanjakan waktu
sejarah yang pedih dan memilukan waktu
semuanya ada berganti-ganti
dan ketika memilih untuk berada di sini
baris-baris senja dan redup matahari
menyatu dalam hela nafas
kesempitan dan kesayupan
tak tertulis
oleh alir airmata
senja dan rebas hujan




KAU AKAN MENGERTI

 KAU AKAN MENGERTI

kau akan mengerti
bagaimana untuk membuang gerhana
menambat sengsara
melepaskan dirimu dari rangkul gundah
sesudah kau mengenal kesakitan
yang tiba dari jemari kegagalan
dan kau harus berani mencabar dirimu
untuk bebas dari rimba ketakutan
kerana rasa tak pasti akan membunuh
segenap wangi keyakinan
yang sering kaubajakan dalam jiwamu

kaujangan mudah menyerah
hanya pada luka-luka kecil dan beban remeh
hidup ini tanggungjawab
yang perlu kausempurnakan
dengan segala dirimu
jangan tunduk dan merasa kerdil
badai akan menghanyutkanmu
jauh dari pulau tuju
harus berani memulakan lagi kekuatan
menetas jalur suram menepis bayang ragu
kerana yang membawamu
ke dalam gelap kehampaan
adalah dirimu sendiri

jangan menangis kerana kauterjatuh
sesudah memilih jalan terbaik itu
tetapi menangislah jika kaugagal
untuk keluar dari ketakutan
membiarkan dirimu hanyut
diterpa gelombang kegagalan









13 Mar 2021

pantun

cipta pantun



Siri Jom Belajar kali ini bersama Puan Mazrona Kalinggalan yang merupakan Jurulatih Seni Budaya Negara (JSBN) dalam bidang Seni Berbahasa akan berkongsi secara terperinci mengenai tujuh langkah mudah dalam membina rangkap pantun empat kerat.

Beliau juga akan menerangkan langkah-langkah yang perlu untuk mencipta pantun empat kerat melalui infor grafik yang telah disediakan.

Sumber : JKKN


tari inang

 



PERKEMBANGAN TARI INANG DAN JOGET DALAM SENI PERSEMBAHAN DI MELAKA

Joget bererti menari atau bertandak dan joget juga salah satu genre tarian dalam kebudayaan Melayu. Tarian joget adalah tarian rakyat (folk dance) yang diterima oleh semua golongan lapisan masyarakat Malaysia.
Kedatangan Portugis ke Melaka yang membawa tarian ‘branyo’ berjaya menjadikan joget diminati oleh masyarakat tempatan ketika itu. Mengambil kira latar belakang tarian joget dan sinonimnya kepada Melaka khususnya, pesta joget ini ditampilkan dalam bentuk baru yang menarik.
Kini sebagai tarian sosial yang paling popular, Inang dan Joget telah diolah menjadikannya dalam pelbagai versi joget dan inang dari segi rentak, gerak dan lagu yang dikoreografkan daripada gerak asal sehingga kontemporari dan kreasi baru. Hal ini menyebabkan Inang dan Joget terus kekal menjadi tarian tradisional yang paling popular selaras peredaran zaman dan sekaligus menjadi tarikan dalam seni persembahan bagi aspek pelancongan budaya di negeri Melaka.
Saksikan perkongsian menarik tentang Perkembangan Tari Inang & Joget Dalam Seni Persembahan di Melaka Oleh Puan Noriah Binti Ahmad, Ketua Unit Kebudayaan, Institut Warisan Melaka (INSWA), Saudara Wee Juann Lee, Penolong Pengurus Kebudayaan, Briged Seni Melaka & Encik Abdul Razin Ahmad, Artis Budaya B29 Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Melaka.


12 Mar 2021

kerja dengan tenang

 


kompaun ingkar sop

 


6 Mar 2021

cahaya




sang jutawan

 



Dulu pengutip sampah kini jutawan, ini rahsia Azlan

Rezeki Allah sangat luas. Jika pernah diuji dengan kesukaran dan menempuhi fasa kegagalan ketika ini, jangan sesekali pernah berputus asa. Teruslah berdoa dan berusaha bersungguh-sungguh, kejayaan pasti menanti suatu hari nanti.

Jadikan kisah dan pengalaman hidup Ikon Usahawan Muda, Mohamad Azlan Abdullah @ Ali, 32, Peneraju Syarikat Azlan Al Amin Properties Sdn Bhd ini sebagai sumber inspirasi.
Siapa sangka dahulunya lelaki ini pernah menyara diri dan keluarga sebagai seorang pengutip sampah, kini rezekinya melimpah ruah merubah kehidupan 360 darjah menjadi seorang jutawan muda dengan memiliki jumlah aset hartanah bernilai hampir 50 juta!

Titik Perubahan Ubah Kehidupan

Mohamad Azlan menceritakan antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan sewaktu melalui fasa kehidupan yang sukar adalah apabila beliau menjadi pengutip sampah di bawah syarikat kontraktor pembersihan sebagai Pengutip Sampah selama 6 bulan di Kem TUDM Gong Kedak, Pasir Putih, Kelantan pada 2007, selepas tamat Tingkatan 6.

“Ketika itu, saya selalu membawa balik makanan kurang elok yang diasingkan untuk dibuang di kantin Kem TUDM tetapi masih boleh dimakan seperti ayam dan ikan untuk keluarga. Suatu hari bila balik rumah, saya nampak emak menangis melihat ulat jatuh dari poket baju saya ketika membasuh.

“Dari situ, saya tekad untuk mengubah kehidupan kerana kasihankan emak saya. Emak menangis dan berdoa semoga saya mendapat peluang lebih besar”ujarnya.

Ceburkan Diri Dalam Bidang Hartanah

Keputusan untuk tinggalkan rumah dan pertemuan dengan Cikgu Halim Md Saman dan Cikgu Ramli Hassan telah membuka jalan rezeki Mohamad Azlan dalam bidang hartanah. Untuk pertama kali dalam hidupnya, beliau berjaya menjual dua lot tanah dan mendapat komisen sebanyak RM4,000.Siapa percaya, dalam tempoh enam bulan sahaja, beliau berjaya meraih pendapatan lebih RM500,000.

Bermula sebagai ejen jualan tanah lot, beliau menubuhkan syarikat sendiri dan  membeli hartanah pertama pada harga hampir RM300 ribu. Menempuhi jatuh bangun dalam perniagaan, beliau dan syarikatnya kini berjaya menguasai hartanah di sekitar Terengganu dan Kelantan dengan pelbagai projek perumahan dan pembinaan yang bernilai ratusan hingga jutaan ringgit.

Dua Wanita Istimewa

Bagi seorang lelaki berjaya pastinya didorong oleh wanita hebat yang menjadi tulang belakang menyokong kejayaannya. Bagi Azlan wanita-wanita hebat tersebut, tidak lain tidak buat merupakan ibu dan isteri tersayang.

“Disebalik kejayaan seorang lelaki terdapat dua wanita yang begitu istimewa dalam diri saya. Pertama ibu saya, Siti Aishah Ismail, 58. Sebagai orang yang sentiasa mendoakan saya, sentiasa menyokong dan mendorong saya untuk pergi ke ke depan.Antara pesanan emak yang menjadi pegangan dalam kehidupan ialah menjaga solat, jaga quran serta jujur dan amanah”
“Seorang lagi, ialah isteri saya, Nurul Fitriah Binti Mohd Sabri,32. Orang yang sentiasa menyokong sepenuhnya gerak kerja saya, susah senang bersama dengan saya, sentiasa bersangka baik dengan saya dan memberi saya kepercayaan sepenuhnya untuk saya berjaya dari semasa ke semasa pada saya untuk berjaya serta tidak pernah merintih,” ujar bapa kepada empat orang cahaya mata ini, Nurul Natasya Al Humairah, 6, Nurul Athirah Al Athiyah,5, Mohamad Athiqullah Al Amin, 4 dan Nurul Syahirah Al Afiah,1 ini.

Amalan Murah Rezeki

Disebalik usaha gigih dan kejayaan yang diperolehi, Mohamad Azlan sudi berkongsi amalan yang sering dilakukan, menjadi asbab rezekinya melimpah ruah yang boleh dijadikan panduan;
1. Jaga Kebajikan Mak Ayah dan  Keluarga
“Antara amalannya ialah saya betul-betul menjaga kebajikan mak ayah saya serta keluarga terdekat.”
2.Tak Tinggalkan Al-Quran
“Keduanya saya tak tinggalkan Al Quran walaupun dalam satu hari dalam hidup saya.”
3.Istiqamah Bersedekah
“Ketiga,saya istiqamah dengan amalan bersedekah tak kira sikit atau banyak, tapi boleh dikatakan sebagai kewajipan setiap hari.”
4.Rutin Solat Sunat Dhuha
“Keempat saya sentiasa amalkan solat Sunat Dhuha,boleh dikatakan sebagai rutin mesti buat setiap hari.”
5.Berbaik Sangka
“Kelima berbaik sangka dengan semua orang.”
6. Jaga Silahturahim
“Keenam saya panjangkan silahturahim”
7. Bersikap Pemaaf
“Ketujuh saya bersikap pemaaf tak kira kawan atau lawan.”

Pesanan Penting Buat Usahawan

Selain itu, Azlan juga ada menitipkan 5 pesanan penting buat usahawan lain untuk berjaya. Antaranya;

“Gagal tidak bererti kita tewas.Kegagalan tidak beerti kita akan terus gagal, tapi sebenarnya jadikan kegagalan sebagai satu pengalaman untuk kita buat yang terbaik pada waktu seterusnya.

“Kedua, jangan semata-mata menunggu peluang. Peluang tak boleh ditunggu.Kita yang kena cipta peluang.Maksudnya jangan menunggu sesuatu itu hadir kepada kita. Kita yang mesti mencari dan mencipta peluang.

“Ketiga, setiap usahawan mesti berfikiran positif dan jauh ke depan untuk menjadi orang yang berjaya.

“Keempat, kena lihat masalah sebagai cabaran bukan halangan. Jadikan masalah sebagai cabaran untuk mewujudkan peluang. Jangan jadikan masalah sebagai satu halangan yang akan menolak kita untuk mundur ke belakang.

“Seterusnya, jangan sekali-kali berputus asa, yakin pada diri sendiri dan berharap hanya kepada Allah.

Selain itu, menurut lelaki ini untuk berjaya dalam dunia perniagaan perniagaan perlu ada mentor yang betul.

“Saya ada mentor dalam perniagaan iaitu Cikgu Ramli Bin Haji Hassan. Dia ialah yang orang berperanan mendidik, mendorong, membimbing serta sentiasa memotivasikan saya dalam dunia perniagaan. Bila kita sedih dia bagi semangat, bila kita rasa putus asa dia bagi perangsang. Dalam perniagaan untuk berjaya perlu ada mentor yang berjaya dan mentor yang betul,” ujarnya.

Ikon Usahawan Muda, Mohamad Azlan Abdullah @ Ali, 32, Peneraju Syarikat Azlan Al Amin Properties Sdn Bhd

Kepuasan Berbakti


Perubahan fasa paling bawah kepada usahawan berjaya ternyata bukanlah alasan untuk berbangga dengan diri sendiri. Sebaliknya ia memberi kepuasan tersendiri buat lelaki ini terutamanya dalam berbakti dan ‘memberi’ kepada orang lain.

“Dari sudut hati saya, perasaan bangga dan perasaan hebat tu tiada. Yang saya rasa puas, sebab saya dapat lebih berbakti daripada hidup sebelumnya. Dulu saya hidup tak dapat berbakti pada orang ramai. Berbakti pada diri sendiri je, sebab saya miskin.

“Bila Allah bagi lebihan rezeki, saya rasa gembira dan sangat puas bila boleh hidup dapat berbakti. Saya tak rasa saya hebat, sebab saya tahu kejayaan yang saya kecapi hari ini bukanlah daripada hasil usaha semata-mata, sebaliknya berkat doa daripada ibu bapa, keluarga, kawan-kawan. Malah kemiskinan itu sendiri merupakan motivasi saya untuk berjaya,” ujarnya.

RAHSIA PENGUTIP SAMPAH JADI JUTAWAN

                                         foto dari fb azlan al-amin

Mohamad Azlan juga bersyukur apabila kisah pengalaman hidupnya yang berasal dari keluarga miskin tegar, namun kini bergelar jutawan telah menjadi inspirasi kepada orang lain.
Lebih menarik,kisah hidupnya kini turut dibukukan dan diterbitkan dengan judul bertajuk RAHSIA PENGUTIP SAMPAH JADI JUTAWAN.Perkongsian rahsia dan kisah kejayaan beliau sangat menarik dan ternyata memberikan inspirasi serta motivasi kepada masyarakat.



STATUS

Search This Blog

DAUN