secebis

Blog Mimbar Kata

bahasa dalam puisi

blog mimbar kata

menatap kepayahan dalam denu

blog mimbar kata

kau ada

blog mimbar kata

27 Jan 2018

Pak Ya Cong Codei : Ikon Sosial


'Pok Ya lebih popular dari Fattah Amin'
Meen Tahrin
26 Januari 2018



Sabri Yunus tak sangka, gembira Pok Ya jadi bualan ramai.


SEJAK ditayangkan pada 20 Januari lalu, telefilem Pok Ya Cong Codei kini menjadi viral di media sosial.

Ceritanya mengenai seorang samseng yang sudah berumur dari Kelantan ditugaskan mencari seorang anak ahli perniagaan di Kuala Lumpur.

Di dalam pencarian itulah bermulanya pelbagai kisah-kisah lucu yang berlaku.

Antaranya adalah nama Cong Codei sendiri yang sebenarnya merujuk kepada sebuah hotel di Kuala Lumpur iaitu 'Concorde'.

"Sebenarnya Cong Codei ini asalnya terjadi pada tahun 70-an, ada yang tersalah cakap dan dah tersebar.

"Jadi bila adik ipar saya ceritakan balik saya rasa boleh gunakan dan jadikan ia satu cerita," ujar Sabri ketika dihubungi Sinar Harian.

Sementara Pok Ya itu pula adalah watak rekaan namun sifat-sifatnya adalah dari watak-watak yang benar.

"Pok Ya ini 'gedebe' iaitu seorang yang garang, tidak boleh ditegur namun turut mempunyai hati yang baik, seorang yang bijak dan boleh menyelesaikan masalah. Orang hormat dengan dia. Atau orang sekarang cakap istilahnya 'hati kering'," jelas Sabri.

Pok Ya Cong Codei merupakan skrip, arahan dan dilakonkan sendiri oleh beliau.

"Saya lebih dekat dengan watak Pok Ya ini. Jadi saya mahu penonton yang merasai 'kegedeberan' itu dan bukannya pelakon lain yang turut berlakon.

"Pelakon lain tak perlu rasa lucu dan gelak, biar penonton sendiri yang merasai," ujar Sabri ketika ditanya mengapa dia memilih untuk melakonkan sendiri watak Pok Ya tersebut.

Berita gembira juga Sabri kongsikan iaitu setelah melihat Pok Ya ini mendapat sambutan, beliau kini dalam perbincangan untuk menjadikan Pok Ya Cong Codei ini dalam bentuk bersiri.

"Ada perancangan namun masih lagi di peringkat awal perbincangan. Insya-ALLAH.

"Malah, anak saya pun ada juga bergurau dengan saya, katanya kini saya lebih popular daripada Fattah Amin. Gurau anak beranak," jelasnya lagi sambil ketawa.

Khas untuk pelayar Facebook Sinar Harian juga, esok (Sabtu, 27 Januari), jam 2 petang, Sabri akan bersiaran secara live untuk berkongsi kisah Pok Ya dengan lebih lanjut dan bersoal jawab dengan pelayar yang lain.

sinar harian




'Keluarga pun panggil Pok Ya'
Sudirman Mohd Tahir



PELAKON Sabri Yunus, 57, tidak kisah dipanggil Pok Ya dan Cong Codei selepas telefilem lakonannya, Pok Ya Cong Codei tular di media sosial dan internet sejak Ahad lalu.

Sabri yang juga pengarah telefilem itu berkata, bukan sahaja peminat malah keluarga juga memanggilnya dengan nama sama.

“Sejujurnya, saya tidak menjangka cerita ini mendapat sambutan sekali gus tular. Ini satu pengalaman baru apabila karya arahan saya hangat diperkatakan penonton.

“Selepas disiarkan 20 Januari lalu, ramai yang berkongsi di laman sosial masing-masing. Mungkin disebabkan itu juga ia menjadi tular. Ditambah pula perkataan 'Concorde' dieja Cong Codei.

"Kalau di rumah, anak bungsu saya rajin mengusik. Dia kata, sekarang saya lebih popular daripada Fattah Amin. Saya hanya tergelak saja. Saya nak berterima kasih kepada semua penonton yang terdiri daripada pelbagai peringkat usia," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Sabri, dia juga berbesar hati jika Astro dan penerbit ingin menyambung cerita itu.

Malah Sabri yang juga popular menerusi drama Kampung Semarah Padi terfikir untuk mengangkat watak Pok Ya itu ke layar lebar.

“Kalau orang suka dengan cerita ini, saya sangat hargai. Cuma, kalau nak sambung saya perlu ambil masa dan duduk berbincang. Kalau boleh biar cerita kali ini lebih menarik.

“Saya percaya selain watak Pok Ya yang menarik perhatian, jalan cerita dan mesej disampaikan dalam cerita ini antara faktor ia ditonton.

“Watak ini tidak digambarkan sebagai ketua gangster yang melakukan kejahatan semata-mata, sebaliknya dia memiliki hati yang baik. Ini antara tarikan cerita ini,” katanya.

Kata Sabri, karektor seperti Pok Ya memang wujud di negeri kelahirannya, Kelantan dan tempat lain.

Selain itu, perkataan Cong Codei juga pernah menjadi bualan di kalangan masyarakat Kelantan sekitar 70-an.

mymetro

26 Jan 2018

Pak Ya Cong Codei : Pak Ya Sang Wira?

Pak Ya Cong Codei
Ku Seman 

Barangkali sebahagian penonton sudah muak dengan paparan artifisial di televisyen selama ini. Tidak habis-habis dengan berebut harta, bercinta dan hasad dengki yang tidak dibina dan diberi “nyawa” sebagai sebuah karya drama. Barangkali juga paparan yang sambil lewa itu tersasar jauh dari realiti sosial kononnya orang Melayu terlebih kaya dan matlamat hidup untuk berkereta mewah dan berfoya-foya dengan teman wanita sahaja.

Oleh hal yang demikian, kita wajar berbangga apabila Pak Ya Cong Codei menjadi topik bualan di pelbagai lapisan masyarakat. Ini menunjukkan wacana kemanusiaan yang dibawa oleh drama ini sampai kepada sasaran khususnya penonton drama Melayu.

Selama ini sebahagian besar drama Melayu di televisyen tidak lebih satu eskapisme sosial. Drama-drama menuntut kita meninggalkan realiti dan masuk dalam eskapisme sosial. Sebaliknya drama adalah sebuah interpretasi semula realisi sosial itu.

Ia bukan sebuah realiti sebagaimana anutan sesetengah pembuat drama atau filem yang bersungguh-sungguh memaparkan “realiti” yang mereka fahami. Kalau dunia pelacur mesti menunjukkan perbuatan melacur. Ini adalah penyakit kronik sesetengah pembuat drama atau filem kita. Hingga ada pembuat filem berkata, kalau adegan seks filemnya dipotong hilang “mesej” filem itu. Apa ni?



Pak Ya Cong Codei dirasakan begitu dekat dengan penonton bukanlah realiti tetapi sebuah interpretasi. Sabri Yunus membuat intreperpretasi semula realiti itu kemudian diletakkan dalam milieu sosial yang digarap dengan penuh sedar akan estitekanya. Milieu (latar sosial) dalam drama ini sangat baik persembahannya; sebuah komuniti orang Kelantan di pinggir Kuala Lumpur. Malah ini menjadi sebahagian daripada karakter drama ini.

Elemen kedaerahan misalnya komuniti Kelantan dan dialog dalam loghat Kelantan adalah sebahagian milieu sosial. Bagaimanapun tetap Malaysia kalau pun tidak global sifatnya. Imej Kuala Lumpur sebenarnya sangat klise dan basi dari relung lensa banyak drama Melayu. Tetapi Sabri Yunus mengungkap Kuala Lumpur dari sudut pandang geografi dan sosial yang lain.

Kekuatan Pak Ya Cong Codei pada wacana sosial dan kemanusiaan yang diangkatnya. Ceritanya seorang mafia kampung yang gedebe dari Kelantan diupah oleh seorang peguam terkenal mencari anaknya yang diculik pekerjanya sendiri.

Saya selalu percaya filem atau drama bukanlah cerita. Sebagai sebuah karya seni, cerita yang menarik sekalipun tidak ke mana kalau tidak membawa wacana. Kosong. Oleh itu wacana kemanusiaan yang dihamparkan Sabri Yunus lebih besar daripada ceritanya tentang mafia kampung dan rencah seksual pada permulaannya.

Pak Ya dibawa keluar dari watak klise mafia yang gemar membunuh, setidak-tidaknya samseng dengan orang sekeliling. Pak Ya seorang yang humanis, musuh yang mahu membunuhnya, Datuk Sahak dibiarkan terus hidup dengan deraan keinsafan. Pak Ya menekankan dialog yang dia bukan pembunuh, yang paling kejam dilakukan hanya menembak di telinga hingga tembus.

Kenapa Sabri Yunus mengemukakan watak Datuk Sahak sebagai peguam? Saya fikir bukan kebetulan sebaliknya terancang. Sabri Yunus mahu memberitahu, orang yang arif undang-undang yang berjaya melanggar undang. Datuk Sahak menjalankan perniagaan haram dengan Tony. Tetapi Pak Ya yang tidak arif undang-undang, mafia pula tetapi dia ada kelebihan kerana ada jiwa dan humanis.

Kerana itu juga Pak Ya memberikan semua upah RM40,000 mencari anak Datuk Sahak kepada ibu Rashdan, lelaki yang melarikan anak Datuk Sahar. Dia melarikan kerana dendam. Ibu Rashdan memerlukan RM40,000 untuk pembedahan jantung. Kesudahannya Pak Ya balik ke kampungnya dengan tangan kosong. Pak Ya mafia yang gagal kerana ada kemanusiaan dalam dirinya.

Saya melihat hal-hal kemanusiaan diungkap dengan pendekatan yang sangat menarik. Rashdan yang menculik anak Datuk Sahak bukan kerana jahat. Dia hanya mahu membalas dendam terhadap pembunuhan ayahnya oleh Datuk Sahak. Tetapi di suatu tahap, kemanusiaan mengatasi dendam dan berhasrat menyerahkan gadis itu kepada keluarganya. Adegan Rashdan berhujah dengan gadis yang diculik itu sangat menarik dan terkawal pembikinannya.

Banyak juga drama lain yang cuba membawa isu kemanusiaan tetapi banyak juga terperangkap dengan didaktik, ala khutbah dan dialog yang membosankan. Ini disebabkan tidak mampu mengikis keterujaan untuk memberi “mesej”. Apa itu mesej?

Karya seni bukan membawa mesej. Tidak perlu menonton drama kalau hendak mendapatkan mesej, dalam Whatsapp Group sangat banyak mesej “yang baik-baik”. Karya seni membawa wacana pemikiran pembuatnya, maka khalayak kenalah berfikir, bukan menelan bulat-bulat seperti membaca Whatsapp.

Kesimpulannya drama Pak Ya Cong Codei yang tidak ada pelakon kacak dan jelita, penuh gosip dan skandal dengan VIP itu dan ini, kereta mewah menjalar, ruang pejabat mewah, seolah-olah sedemikianlah kedudukan orang Melayu dalam perniagaan tetapi tetap menarik perhatian semua lapisan penonton. Ini membuktikan formula basi membariskan “batang pisang” membuat catwalk di depan kamera sebenarnya tidak terbukti berjaya. Harap pembuat drama sedar akan hakikat ini.

Kuseman.com





Pok Ya Cong Codei Cerita Orang Gedebey Kelantan



Telemovie Pok Ya Cong Codei ni memang korang kena tengok. Sabri Yunus menggarap cerita ini dengan sangat baik walaupun aku harapkan watak Rashdan (Fikri) lebih baik bermaian dalam permainan emosi. Ini kerana cerita ini banyak unsur komedi dan permainan emosi tu dipaksikan pada watak rashdan.

Plot cerita ini bergerak pada Pok Ya yang dilakonkan otai Sabri Yunus. Watak Mustapha Kamal pun tak perlu dikomen lagi. Dia dengan Sabri Yunus memang menjadi terutama sekali ketika babak mereka dalam satu frame. Watak yang sangat jujur, semulajadi dan bersahaja menunjukkan Sabri Yunus berada dalam kelas tersendiri.

Skrip yang mencuit hati dan bahasa yang tidak terlalu dramatik. Dia bukan la gangster yang acah-acah gentleman cakap lembut dengan perempuan. Dalam kasar bahasanya ada sayangnya dia dengan bini dan anak-anak buah dia juga.

Watak Pok Ya adalah definisi gangster otai yang memiliki anak buah dan rakan yang sanggup mati demi beliau kerana dia ada satu sisi yang membuatkan pok ya disayangi. Dia ada prinsip yang kuat dalam hidup dan sentiasa komited dengan tugasan dia. Dia seorang yang amanah dan kalau berjanji dia akan pegang janji.



Beliau berhadapan dengan cabaran di alam teknologi. Whatsapp pun tak ada. Pakai handphone legend. Terpaksa keluar ke KL untuk tugasan, tinggalkan bini muda yang baru sebulan kawin. KL bukan area yang Pok Ya gemar sangat. Dia bercakap Kelantan pekat.

Sabri Yunus sebenarnya bermain serampang dua mata dalam cerita ini. Dalam pada dia membawa watak Pok Ya yang gangster lama, dia turut ‘mempermainkan’ watak itu dengan beberapa sisi naif Pok Ya yang buatkan kita gelakkan Pok Ya.

Membuatkan kita tak akan menuduh Sabri Yunus terlalu mengangkat sisi seorang gangster dalam cerita ini. Ini kerana ada suapan alter ego watak Pok Ya yang memang 360 degree.

Banyak pengajaran dalam cerita ini daripada latar masyarakat yang berbeza dan hubungan sosial yang berbeza. Itu yang paling penting dan Sabri Yunus suap kepada audien dan menyampaikannya dengan cara yang sangat santai dan dalam cerita yang berwatak utamakan seorang gangster.

dailyrakyat 

20 Jan 2018

memilih

memilih


bukan memilih kecil atau besar
warna pun bukan syaratnya
tidak pula laku dan gaya
atau menyelinap ke dalam asal-usul
tidak perlu tahu hobi atau kesukaan
ukurnya pada setia dan kerelaan
bagaimana untuk berjanji dan selalu bersama
menepati apa yang ternukil dalam kata
tidak menjadi talam bermuka dua
tahu menghargai budi dan memberi
tahu menilai kasih sayang dan menerima
teratas segalanya
sanggup pula berlapang dada
dengan kurang yang ada

19 Jan 2018

mencari kayu

mencari kayu


pendek jangan terlalu
panjang jangan terlampau
kayu pendek bahan bakar
nasi ditanak lauk digulai
harum kayu menyerbak aroma
jangan dibuang puntung yang pendek
berguna ketika menyusun unggun
kecil besar sama berguna
jangan dibeza peranan dan suara
ini hidup zaman berpadu
menyusun kuat serumpun sekata
kalau panjang kayu di tangan
jadikan galah pengait tinggi
jadikan sokong menghalang runtuh
dalam cemas waktu yang singkat
dikerat menjadi kayu pembakar
inilah tuan kayu semangat
usah terbuang dari pegangan
demi hidup aman bersatu

15 Jan 2018

tragedi pemikiran melayu

Tragedi pemikiran Melayu
Oleh: PROFESOR DIRAJA UNGKU AZIZ


KALAU ditanya tentang minda orang Melayu kepada saya, saya rasa Melayu tidak sanggup berubah. Perspektif mereka terhad, tidak suka menyiasat dan mereka tidak mahu berfikir dengan mendalam.

Kalau kita tengok orang Melayu dalam cerita hikayat, Hikayat Raja-Raja Pasai misalnya, ia cukup menarik. Kita dapat menggambarkan bagaimana ekonominya dan strategi orang Melayu memerintah untuk berdepan dengan Majapahit.

Berdasarkan hikayat itu dan tradisi pantun Melayu, kita dapati orang Melayu ini mempunyai minda yang canggih. Tetapi yang jadi tragedi ialah orang Melayu tidak nampak ini semua kerana tiga pengaruh besar.

Pertama, dalam tahun 1920-an dan 1930-an, pihak penjajah British menolak apa yang datang daripada Melayu, termasuk pantun, sebagai folk art, menjadikan apa yang dihasilkan oleh Melayu sebagai second class.

Ketika itu, Melayu yang berharap untuk naik pangkat dan dapat kerja dengan kerajaan penjajah terpaksa ikut teori penjajah Inggeris. Ini semua membawa orang Melayu kepada perspektif jati diri yang salah.

Itu pengaruh penjajah.

Pada zaman ini, saya melihat sungguhpun banyak pemimpin Melayu bercakap tentang sains dan teknologi, orang Melayu pada umumnya tidak dapat menangkap pandangan itu.

Di Eropah, sejak zaman renaissance, mereka telah mempelajari kemajuan sains dengan pendekatan yang berbeza dengan Islam. Mereka sentiasa bertanya.

Malangnya, di Malaysia, dari bangku sekolah kita tidak galakkan budak-budak bertanya. Sampailah mereka di universiti, kita tidak galakkan mereka bertanya: Kenapa?

Di negara kita, pelajar tidak berani bertanya dan guru-guru pula tidak tahu menjawab. Budaya ini menunjukkan tidak wujudnya inquiry mind dalam masyarakat Melayu. Kita tidak ada sikap saintifik.

Sikap negatif inilah yang menyebabkan berleluasanya cerita orang kena tipu dengan bomoh. Yang saya hairan, graduan-graduan universiti pun kena tipu dengan bomoh.

Kalau pada kurun ke-18, terutama di England, orang selalu bertanya: Kalau betul ada hantu, mana hantu? Kita hendak pergi ke tempat hantu, kita nak pergi tengok hantu untuk lihat apa manifestasi hantu.

Pendekatan berani bertanya ini adalah sikap masyarakat dan tamadun yang berasaskan sains. Malangnya, kita tidak sedia dan berani bertanya, yang akhirnya menyebabkan kita tidak berani menghadapi cabaran.

Pemikiran Melayu ini sebahagiannya adalah sisa-sisa pengaruh penjajahan British. Ini bukan rahsia lagi.

Kita boleh membaca dokumen-dokumen itu di London. Menurut para pegawai Inggeris, orang Melayu ini kalau diberi terlalu banyak pendidikan dan kalau diajar ilmu sains, kelak mereka akan jadi seperti orang India di India. Mereka akan berdemonstrasi dan hendakkan kebebasan.

Jadi ajarlah dia cerita Pak Pandir sahaja, itu sikit, ini sikit. Orang Melayu tidak suka sains, dia suka agama, jadi ajarlah tentang agama. Dia suka dengan raja dia, ajar Melayu buat bakul.

Akibat dasar itu, tidak ada trouble makers. Trouble makers Melayu hanya timbul selepas Perang Dunia Kedua setelah kemasukan Jepun.

Telah ada banyak buku yang membincangkan tentang subjek bagaimana British berjaya mengamalkan dasar yang mengongkong minda Melayu.

Itu semasa penjajahan. Selepas kita merdeka, minda orang Melayu masih terkongkong kerana semua orang Melayu kemudiannya gila hendak kuasa dan hendak jadi kaya.

Ini adalah teori saya mengapa minda Melayu tidak berubah. Saya bertanggungjawab tentang pandangan ini.

Selepas merdeka, sesetengah orang Melayu yang ada kuasa, dia rasa dia boleh memerintah Malaysia sama bagus macam penjajah British.

Minda Melayu ini sentiasa ada sesuatu yang membendung dan mempengaruhi - daripada kesan-kesan kolonialisasi pada tahun-tahun 1930-an, pengaruh Indonesia yang tidak sesuai di sini pada tahun 1940-an dan 1950-an, kesan media massa, dan kemudiannya budaya wang dalam masyarakat Melayu pada dekad-dekad terakhir ini.

Sekarang ini semua orang Melayu hendak kaya.

Sebagai seorang pendidik universiti, saya percaya (tetapi saya tidak ada buktinya) kalau orang mendapat pendidikan, mereka akan lebih bebas dan berubah.

Contohnya pada akhir tahun 1970-an. Ketika Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad menjadi Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Malaysia ketika itu dapat menarik banyak modal asing untuk membuka kilang mikrocip.

Kita dapat mewujudkan peluang pekerjaan kepada beratus-ratus ribu orang terutamanya untuk wanita.

Wanita Melayu yang bekerja kilang ketika itu akhbar-akhbar gelar mereka ini sebagai minah karan. Orang Melayu hina wanita Melayu yang bekerja kilang.

Kenapa budak-budak perempuan Melayu ini mahu tinggalkan rumah di Kelantan, tinggalkan kampung di Johor untuk pergi bekerja kilang di Pulau Pinang, Selangor dan Melaka?

Mereka sanggup kerana mereka telah belajar sampai ke peringkat sekolah menengah. Jadi program kerajaan membuka sekolah-sekolah menengah pada tahun 1960-an dan 1970-an, walaupun tidak ada rancangan khusus, ia telah membebaskan pemikiran budak-budak perempuan Melayu.

Waktu itu terdapat beribu-ribu remaja wanita Melayu pergi bekerja di kilang-kilang. Dalam penyelidikan saya pada tahun 1970-an, dalam soal selidik saya bertanya mereka, bila hendak kahwin?

Di kampung, dulunya mereka ini berumah tangga pada usia muda. Umur 18 dan 19 tahun sudah kahwin atau dikahwinkan, tetapi akhirnya bercerai juga.

Oleh kerana pendidikan dan faktor pendedahan kepada karier baru, wanita Melayu itu sudah ada idea tidak mahu kahwin cepat-cepat. Mereka hendak bekerja terlebih dahulu dan menyimpan duit.

Kita tanya lagi, kalau sudah kahwin hendak anak cepat atau lambat? Mereka kata lambat. Mereka hendak tangguh dapat anak sebab mereka hendak enjoy hidup berkahwin dan mewujudkan rumah tangga yang lengkap terlebih dahulu. Kata mereka, kalau dapat anak susahlah.

Dalam sekelip mata, wanita Melayu berubah sikap. Ini semua tidak diprogramkan oleh kerajaan. Ia jadi begitu sahaja.

Tetapi masyarakat Melayu tidak faham keuntungan perubahan minda wanita ini terutama di kalangan kumpulan berfikiran konservatif.

Hari ini di Malaysia, trend semasa ialah wanita menguasai 65 peratus tempat belajar di universiti-universiti. Dalam sektor kerajaan, banyak wanita yang memegang jawatan tinggi.

Trend ini pasti mengubah masyarakat Melayu secara pesat, sebagaimana ia mengubah pemikiran wanita Melayu pada tahun 1970-an.

Ini semua adalah hasil daripada perubahan sikap yang tidak dirancang tapi terjadi.

Perubahan minda itu berlaku secara tidak sengaja. Kadang-kadang kalau nasib kita baik, hasil perubahan yang tidak dirancang itu juga progresif seperti dalam kes perubahan minda wanita Melayu.

Bagaimanapun, kadang-kadang perubahan yang dirancang tidak terjadi kerana orang yang hendak melaksanakannya pun tidak jujur selain terdapat pengaruh lain yang menghalang seperti pengaruh politik tempatan, politik antarabangsa, Indonesia, peranan orang agama yang menimbulkan nilai-nilai sama ada seseorang dapat pergi syurga atau tidak.

Minda Melayu tidak dapat memikul ini semua. Kerana ada sesuatu dalam budaya mereka yang masih tidak diubah, mereka sanggup duduk di kedai kopi main dam. Contohnya orang lelaki di Kelantan dan Terengganu. Kalau mereka tidak main dam, mereka akan bincang untuk gasak kerajaan. Semua salah, dia sahaja yang betul.

Titik perubahan kepada minda Melayu ialah tragedi 13 Mei 1969, tetapi peristiwa tersebut dan dasar-dasar ekonomi, pendidikan dan politik selepas itu tidak sepenuhnya menukar sikap orang Melayu.

Ada beberapa faktor lain yang menghalang iaitu pengaruh Barat, peranan media massa, politik serta agama.

Kita memang berubah sedikit dari segi lahiriah tetapi saya tidak fikir orang Melayu kini berada pada kedudukan yang lebih baik.

Kita sudah terjangkit apa yang bekas Perdana Menteri British, Margaret Thatcher hendak dulu, dan fahaman ini cukup besar sama ada di kalangan pemimpin Melayu dalam UMNO mahupun Pas, dan juga di kalangan para pegawai kerajaan.

Kita hendak menjadi apa yang Thatcher kata a nation of shopkeepers. Kita tidak mahu kata shopkeepers, kita gunakan istilah usahawan.

Orang berfikir kalau sebahagian besar orang Melayu jadi usahawan, maka ekonomi orang Melayu akan naik. Ini saya rasa salah. Pendekatan untuk membangunkan orang Melayu dengan wang ringgit dan kebendaan ini tidak betul. Tesisnya silap.

Tetapi itulah minda Melayu sekarang.

Akhirnya saya lihat orang Melayu kini sudah kurang komitmen terhadap bangsanya sendiri. Sudah tidak ada kesedaran bahawa aku orang Melayu, aku mesti berkhidmat kepada orang Melayu, untuk membangunkan orang Melayu.

* PROFESOR Diraja Ungku Aziz adalah bekas Naib Canselor Universiti Malaya. Beliau yang menyambut hari lahirnya yang ke-80 pada 28 Januari lalu terlibat aktif dalam isu-isu pembangunan masyarakat Melayu sejak zaman sebelum merdeka.



utusan online


Pembelajaran Abad Ke 21

Menghayati Aspirasi Pendidikan
Mahdzir Thoughts



Masih belum terlewat untuk saya mengucapkan Selamat Tahun Baharu 2018 kepada semua warga pendidikan dan masyarakat keseluruhannya. Alhamdulillah sesi persekolahan telah bermula dengan begitu baik kecuali di beberapa tempat yang terlibat dengan banjir, namun kita bersyukur kerana warga pendidikan telahpun bersedia sejak awal lagi untuk menghadapi kemungkinan banjir pada awal persekolahan, dengan kerjasama yang padu dari agensi yang terlibat.

Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua pihak yang telah membantu dalam meringankan beban yang ditanggung oleh semua mangsa banjir dan berdoa semoga situasi akan pulih seperti sedia kala. Kementerian Pendidikan akan sentiasa memberikan sokongan kepada sekolah bagi memastikan proses pembelajaran tidak terjejas dan dapat dijalankan seperti sedia kala.

Dalam kesempatan ini saya juga ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada YAB Perdana Menteri Malaysia Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak di atas sokongan beliau terhadap usaha meningkatkan kualiti pendidikan negara di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025. Saban tahun peruntukan yang tinggi diberikan kepada Kementerian untuk mengurus dan membangunkan pendidikan negara demi menyediakan anak-anak bangsa Malaysia yang berupaya mendepani cabaran global.

Saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada kepimpinan tertinggi negara yang begitu prihatin terhadap peningkatan kualiti pendidikan yang menyeluruh. Tahniah diucapkan kepada YB Menteri Pertahanan yang baru-baru ini melancarkan Pelan Tindakan Pendidikan Kementerian Pertahanan 2018-2022 yang bakal memberi manfaat kepada warga Kementerian tersebut dalam bidang pendidikan.

Kementerian Pendidikan kini meneruskan usaha untuk mengukuhkan pelaksanaan inisiatif yang telah dirangka bagi memastikan akses kepada pendidikan berkualiti dapat diberikan kepada semua anak-anak warganegara. Paling penting yang perlu difahami oleh semua warga pendidikan adalah kita perlu memastikan bahawa sistem pendidikan yang dilalui oleh anak-anak ini dapat menjadikan mereka insan yang seimbang dan sejahtera sebagaimana yang termaktub dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan diterjemahkan melalui pelbagai inisiatif di bawah PPPM 2013-2025.

Apakah yang dimaksudkan dengan insan yang sejahtera? Dalam FPK jelas dinyatakan bahawa insan ini perlu seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek. Apabila mereka seimbang, maka mereka akan mencapai kesejahteraan diri dan dapat menyumbang kepada keluarga, masyarakat dan negara. Bagi mencapai keseimbangan ini, pendidikan kita perlu lebih menyeluruh dengan memberi penekanan kepada ke empat-empat aspek tersebut. Kaedah pengajaran di mana guru mencurahkan pengetahuan kerana mahu menghabiskan silibus tidak lagi sesuai untuk anak-anak kita yang digital natives ini. Pentaksiran yang berfokus kepada aspek intelek tidak mungkin dapat memastikan anak-anak kita diterapkan dengan Enam Aspirasi Murid iaitu pengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran dwibahasa, kemahiran memimpin, etika dan kerohanian serta identiti nasional.

Oleh sebab itulah Kementerian Pendidikan melaksanakan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dengan pelaporan yang lebih menyeluruh merangkumi ke empat-empat aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek. Bagi membangunkan insan yang seimbang guru-guru dianjurkan untuk menjalankan pendekatan Pembelajaran Abad ke 21 (PA21) kerana pendekatan sebegini dapat memastikan pemupukan Enam Aspirasi Murid berlaku dalam proses pengajaran dan pembelajaran (PdP). Sewajarnya tidak lagi berlaku pengasingan bilik darjah yang diukur melalui kemampuan intelektual semata-semata tanpa mengambil kira kemampuan dan bakat murid dalam aspek jasmani, emosi dan rohani.

Dalam hal ini, konsep pembelajaran abad ke-21 perlu difahami oleh semua warga pendidikan agar murid yang seimbang, atau ‘menjadi’ ini dapat dicapai. Perlu diingat bahawa kita menyediakan murid bukan untuk hari ini, tetapi untuk mereka menjadi warga yang dapat menyumbang kepada negara dalam tempoh sepuluh atau dua puluh tahun akan datang, justeru pendidikan kita perlu berpaksikan kepada apa yang telah dimaktubkan dengan begitu jelas dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Kita mahukan warga yang kaya dengan nilai dan etika berasaskan kepatuhan kepada Tuhan, dan asas ini perlu dipupuk oleh mereka yang terlibat secara langsung dalam sistem pendidikan negara.



Konsep pembelajaran abad ke-21 ini bukan semata-mata mengenai teknologi.

Saya ingin memperbetulkan persepsi sebahagian daripada kita yang menganggap komputer dan akses kepada internet itu lah PA21, kerana ada juga yang memberikan komen dalam akaun Facebook saya seperti maksud – “macam mana nak PA21, laptop pun takde, internet apa lagi”.

P21 – Partnership for 21st Century Learning, sebuah organisasi yang berpusat di Washington, Amerika Syarikat telah merangka konsep pembelajaran abad ke-21 dan dengan tegas menyatakan bahawa teknologi adalah alat, atau tools yang membantu proses PdP abad ke 21. Satu visi yang bersepadu untuk pendidikan telah ditetapkan bagi memastikan semua murid akan berjaya dalam dunia yang sentiasa berubah dan proses pembelajaran tidak akan terhenti. Pembelajaran abad ke-21 menekankan 4 Cs – creativity, collaboration, critical thinking dan communication.

Justeru adalah tidak benar sekiranya tidak ada kemudahan teknologi PA21 tidak boleh berlaku. Yang penting adalah pendekatan PdP yang berlaku di bilik darjah dan dalam aktiviti di sekolah. Pentadbir sekolah serta guru-guru perlu merangka aktiviti pembelajaran yang berteraskan 4 C ini supaya insan yang ‘menjadi’ dan seimbang dapat dibangunkan. Sekiranya kelas tersebut dilengkapi dengan kemudahan teknologi terkini seperti smartboard atau tablet untuk setiap murid, itu adalah satu bonus. Tetapi jika kemudahan ini tiada, PA21 tetap boleh berlaku kerana ia adalah pendekatan PdP yang diamalkan oleh guru. Kaedah bertanya yang menjurus kepada pemupukan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) perlu menjadi amalan dalam interaksi dengan murid.

Sebagai seorang bekas pendidik, saya faham perubahan ini agak sukar untuk dilaksanakan. Bukan mudah mengendalikan satu kelas dengan murid berbeza kemampuan intelektualnya. Namun begitu matlamat pendidikan kita bukan untuk melahirkan murid yang hanya akan mendapat 11 A dalam peperiksaan SPM. Matlamat pendidikan adalah sebagaimana yang telah termaktub dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan, dan diterjemahkan melalui Enam Aspirasi Murid di bawah PPPM 2013-2025.

Dalam era Revolusi Industri 4.0 ini, pendidikan bukan sahaja tugas guru dan sekolah semata-mata, tetapi juga tugas ibu bapa dan masyarakat, kerana pembentukan nilai dan akhlak adalah tugas yang tidak ada penghujungnya.

Lebih banyak lagi tentang kejayaan dan usaha pendidikan akan saya kongsikan dalam Perutusan Tahun Baharu 2018 yang akan diadakan pada 18 Januari nanti.

portal rasmi menteri pendidikan malaysia


jangan menangis ayah



JANGAN MENANGIS AYAH
-kepada pejuang

jangan menangis ayah
kami melihat kau berjuang
memadam kepayahan membasuh kekeruhan
kami melihat matamu melihat airmatamu
ketulusan dan kejernihan niatmu
bagaimana kau bertatih membina yakin jiwa
membugar ladang perjuangan
menanam benih harap dan siram semangat
kau berdiri memerhati
segenap sobek dan robek nasib mereka
segenap pinta dan pohon mereka
kerana kau tahu bagaimana sakitnya kemiskinan
bagaimana deritanya bertarung mencapai jaya
dalam sabda nasib sebagai nelayan, petani dan buruh melata
kau besar dari itu
mengerti makna tangan dan jari yang kasar
mengerti makna harap dan harapan yang berbingkai
dan kau lakuikan segalanya mengisi mangkuk harapan
tetapi ada yang belum mahu mengerti
memandang dengan penghinaan
membunuh harapmu membunuh mimpimu
membedal dengan rotan penghinaan
aku tahu ayah, di situ kau menangis menyaksi
mereka menyungguhkan apa yang bukan niatmu
mereka lebarkan apa yang bukan hajatmu
aku tahu ayah, cintamu terlalu dalam
buat negeri dan tanah impian
kau dirikan madrasah dan pondok
untuk anak-anak belajar dan membesar dengan roh agama
untuk warga tua berlindung menadah doa dan bermohon
itu pun mereka jadikan permainan
kuasa dan dakwat mereka
kau hanya mampu merayu
tanah dan pondok
masihkah menjadi pelindung
anak dan warga tua

airmatamu mengalir
aku mengerti
tapi tak bisa membantu
tuhanku, bantulah ayah
rahmatilah perjuangan
melihat sinar indah
matahari yang cerah

11 Jan 2018

ghazal


Memartabat irama ghazal
Ridzuan Abdul Rahman
mohamadridzuan@hmetro.com.my


Bagai sirih pulang ke gagang. Itulah perumpamaan yang sesuai bagi menggambarkan kemeriahan persembahan ghazal yang berlangsung di Dataran Tanjung Emas, Muar, Johor pada 7 dan 8 April lalu.

Program anjuran bersama Kerajaan Negeri Johor, Yayasan Warisan Johor dan Pejabat Daerah Muar itu adalah program Jabatan Kebudayaan Dan Kesenian Negara (JKKN) yang mengangkat martabat seni muzik ghazal supaya terus dipelihara dan diminati oleh pelbagai peringkat umur.

Muar sendiri sememangnya popular dengan muzik ghazal dan melahirkan ramai penyanyi nama besar antaranya Ramlah Ram, Norsiah dan Kumpulan Ghazal Sri Saujana Muar. Penganjuran Ghazal@Muar adalah langkah terbaik bagi memastikan genre itu terus dipelihara dan dipulihara kepada generasi masa kini.

Ramlah yang membesar dalam lingkungan muzik ghazal menampilkan kelainan apabila menyanyikan lagu popularnya seperti Diam-Diam Jatuh Cinta, Kau Pergi Tanpa Pesan dan Air Mata Hati dalam genre ghazal.

Peminat yang sudah lama menantikan kemunculannya di laman sendiri, bertepuk tangan tanda terhibur dengan nyanyiannya. Bahkan, ada di antara mereka tanpa diminta turut sama menyanyikan lagu itu bersama Ramlah.

Persembahan turut dimantapkan dengan penampilan Mohd Rozaidy Shukry atau Roger Kajol (Dangdut Star), Abdul Rahman Kamaruddin (juara Bintang Asli Johor) dan beberapa artis lain.

Selain persembahan kesenian ghazal, variasi pelbagai jenis makanan, aktiviti seni, pameran dan jualan produk masyarakat setempat turut diadakan sempena program Ghazal@Muar ini.

Aktiviti lain yang turut diadakan ialah pameran agensi kerajaan persekutuan, negeri dan swasta, karok suka-suka, permainan tradisional, demonstrasi, pelbagai pertandingan rakyat, sudut interaktif seni budaya, jualan, borak teater bersama Tokoh Seni Budaya Negeri Johor, kenduri rakyat dan gotong royong komuniti.

Muar, yang juga dikenali sebagai Bandar Maharani Bandar Diraja, turut popular dengan mi bandung, menerima kehadiran ramai pelancong setempat dan luar sepanjang program itu berlangsung.

Sedikit info, ghazal adalah kesenian tradisional masyarakat Melayu yang cukup sinonim dengan Johor. Terdapat banyak maksud ghazal salah satunya dalam bahasa Turki, ghazal diambil daripada perkataan ‘gazel’ yang bermaksud puisi manakala bahasa Arab, ghazal membawa maksud ‘berbicara dengan wanita’ dan perkataan ghazal juga dipanggil ‘gamat’ yang membawa maksud riuh atau muzik rancak.

Antara lagu yang sering dimainkan adalah seperti Sri Mersing, Siti Payung, Patah Hati dan Seri Banang. Alatan muzik yang digunakan adalah seperti peri harmonium, tabela/tabla, violin, gambus, gitar, tamborin dan marakas. Pak Lomak dianggap Bapa Ghazal Melayu Johor kerana usahanya yang menterjemahkan atau menyesuaikan lagu ghazal daripada bahasa Urdu ke bahasa Melayu.

mymetro 



Ghazal sebati dalam diri Pak Saleh
Oleh Badrul Kamal Zakaria
badrulkamal@bh.com.my


MUAR: "Minat dalam seni muzik ghazal terbit sejak saya berusia 11 tahun. Ketika itu, saya hanya mengikuti bapa yang berlatih bersama rakannya, tidak sangka pula ia akhirnya menjadi sebati dalam diri," kata Johari Arshad, 73.

Johari yang lebih mesra dengan panggilan Pak Saleh berkata, bermula dari situ, beliau kemudian mempelajari selok-belok bermain alatan muzik ghazal yang menjadi kebanggaan masyarakat Melayu.

"Pada 1955, saya mengikuti bapa, Allahyarham Arshad Muhammad yang mengetuai sebuah kumpulan ghazal untuk berlatih bersama rakannya, yang kemudian mencambahkan minat untuk belajar dan bermain ghazal sehingga sekarang," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Simpang Baba di sini.

Johari yang juga pemimpin Kumpulan Ghazal Sri Muar berkata, walaupun masih asing dengan peralatan muzik ghazal seperti gambus, biola, peti harmonium, tabla, gitar, marakas dan tamborin, beliau berusaha mempelajarinya kerana minat yang mendalam.

"Peralatan pertama yang saya belajar ialah peti harmonium. Saya bernasib baik kerana banyak peralatan muzik di rumah.

PEMIMPIN Sri Muar Ghazal, Johari Arshad menunjukkan kemahiran bermain alat muzik peti harmonium yang juga antara alat muzik yang digunakan dalam seni muzik ghazal ketika ditemui di rumahnya di Kampung Simpang Baba, Muar. - Foto NSTP/Badrul Kamal Zakaria

"Apabila orang dah balik, saya sambung main peralatan muzik itu. Walaupun saya belum mahir, disebabkan minat yang mendalam, saya main sahaja bagi memahirkan diri," katanya.

Bagaimanapun, orang yang bertanggungjawab membantunya menceburi bidang ghazal ini ialah abang saudaranya, Allahyarham Abdul Ghani Hashim yang juga seorang penyanyi ghazal terkenal di Muar.

"Beliau banyak memberi tunjuk ajar seperti cara menyanyi dan bermain lagu ghazal. Walaupun diberikan panduan, kita kena perlu berlatih dengan cara mencari sendiri rentak lagu ghazal.

"Sehingga hari ini, saya bermain ghazal dengan mengikuti cara dan gaya pemain ghazal pada zaman dahulu, selain menerapkan identiti sendiri dalam industri muzik ini," katanya.

Beliau berkata, muzik irama ghazal pada era 1950-an sememangnya amat diminati oleh masyarakat Johor kerana ia antara jenis hiburan yang ada pada ketika itu disebabkan siaran radio yang terhad, dan ketiadaan perkhidmatan televisyen.


PEMIMPIN Sri Muar Ghazal, Johari Arshad (tengah) bersama kumpulan ghazalnya, Sri Muar ketika mengadakan persembahan pada majlis perkahwinan di Muar. - Foto NSTP/Koleksi Johari Arshad


PEMIMPIN Sri Muar Ghazal, Johari Arshad mahir menggunakan biola selain turut mempunyai kemahiran bermain enam lagi alat muzik ghazal seperti peti harmonium, tabla, gitar, gambus, marakas dan tamborin. - Foto NSTP/Koleksi Johari Arshad

"Muzik ghazal dimainkan secara meluas ketika itu, termasuk di majlis keramaian seperti kenduri kahwin. Walaupun selepas 1960-an muncul irama pop yeh-yeh, namun ghazal terus diminati.

Ditanya mengenai keunikan ghazal, Johari berkata, seni muzik itu boleh dikategorikan sebagai genre muzik yang agak sukar dimainkan kerana ia memerlukan kemahiran yang tinggi.

Katanya, beberapa penggiat muzik itu termasuk orkestra turut menyatakan irama muzik ghazal antara seni yang sukar kerana setiap alat, irama dan nyanyian perlu diadun sebaik mungkin bagi menghasil seni yang boleh menyedapkan halwa telinga pendengarnya.

"Sebab pertama, ia tidak mempunyai nota muzik seperti genre muzik yang lain. Jadi, segala apa jenis lagu perlu dimainkan dengan menggunakan 'kepala' iaitu kena ingat. Kalau muzik lain kita boleh main sebab ada nota, tetapi ghazal ini lain.

"Ghazal tidak terhad dengan satu cara, dan saya bermain dengan cara sendiri tetapi tidak lari dari irama ghazal. Setiap pemain ghazal mempunyai cara masing-masing termasuk penggunaan tujuh alat muzik ghazal. Mereka perlu tahu peranan masing-masing.


PEMIMPIN Sri Muar Ghazal, Johari Arshad (tengah) bersama kumpulan ghazalnya, Sri Muar ketika mengadakan persembahan pada majlis perkahwinan di Muar. - Foto NSTP/Koleksi Johari Arshad


PEMIMPIN Sri Muar Ghazal, Johari Arshad, (tiga dari kiri) bergambar kenangan bersama kumpulan ghazal Sri Muar selepas menyertai Pertandingan Ghazal Peringkat Johor 2006 di Johor Bahru. - Foto NSTP/Koleksi Johari Arshad

"Dalam ghazal ini mempunyai sembilan pemain termasuk sekurang-kurangnya dua penyanyi. Di sinilah tugas ketua untuk memimpin kumpulannya dalam bermain ghazal dengan memastikan irama, bunyi alat muziknya seimbang, barulah boleh menghasilkan irama ghazal yang sedap didengari," katanya.

Beliau yang turut mahir dalam mengendalikan semua peralatan ghazal berkata, kesemua peralatan muzik itu boleh dimainkan dengan baik sekiranya seseorang itu mempunyai minat dan kesungguhan yang tinggi.

"Macam orang nak belajar main gambus, paling mudah sedikit, dia perlu tahu bermain gitar walaupun hanya asas. Sama juga jika main peralatan lain, perlu mempunyai asas. Paling sukar ialah biola kerana ia perlu mempunyai kemahiran dan pemain juga perlu ada 'cita rasa' sendiri.

"Untuk menjadi pemain ghazal yang baik, pertama sekali dia perlu tahu lagu, menyanyi dan alat muzik ghazal. Kalau mahir semua ini, permainan ghazal itu akan membuatkan orang terasa dan sampai ke dalam hati. Uniknya, alat ghazal ini boleh digunakan untuk muzik moden," katanya.

Johari bagaimanapun turut melahirkan rasa sedihnya apabila seni muzik warisan itu kini seolah-olah tidak diminati oleh generasi muda masa kini.

PEMIMPIN Sri Muar Ghazal, Johari Arshad memegang biola ketika menunggu giliran untuk proses rakaman di RTM Johor Bahru. - Foto NSTP/Koleksi Johari Arshad

"Kalau muzik ini tidak dijaga dan diambil berat oleh masyarakat, ia boleh menyebabkan muzik ini pupus. Untuk menghidupkan ghazal ini, kita perlu mempunyai pelapis atau memperluaskannya ke sekolah.

"Sebelum ini juga pihak Yayasan Warisan Johor (YWJ) dan bekas Menteri Besar, Tan Sri Abdul Ghani Othman pernah melakukan usaha untuk menjaga seni warisan ini. Difahamkan, YWJ juga sentiasa komited untuk terus mengambil berat bagi memastikan ia akan dapat terus berkembang," katanya.

Johari berkata, beliau bertuah kerana dua anaknya, Samsul Bahari, 32, dan Muhammad Hisyamuddin, 26 mengikuti jejak langkahnya bermain ghazal dan mereka mahir mengendalikan peralatan muzik tabla dan peti harmonium.

Beliau berharap kedua-dua anaknya serta penggiat seni muzik ghazal akan terus memartabatkan seni muzik itu yang bukan sahaja indah tetapi juga cerminan estetika dan budaya masyarakat Melayu, khususnya di Johor, pada masa depan.

PEMIMPIN Sri Muar Ghazal, Johari Arshad. - Foto Badrul Kamal Zakaria

Biodata
Nama : Johari Arshad
Nama Panggilan : Pak Saleh
Usia : 73 tahun
Asal : Kundang Ulu, Tangkak
Alamat terkini : N0 .21, Taman Setia Jaya, Kampung Simpang Baba, Muar
Nombor telefon : 012-6129894 / 013-6204702 / 06-9850224
Isteri : Rohani Wagiman
Usia : 60 tahun
Anak : 8 orang
Cucu : 15 orang
Jawatan : Pemimpin Kumpulan Ghazal Sri Muar
Pencapaian : Juara Ghazal Peringkat Kebangsaan (2001, 2003 dan 2006)

INFO

Ghazal ialah seni muzik yang dipercayai berasal dari Parsi dan dipercayai mula dimainkan pada 670 Masihi.

Ghazal biasanya menggunakan bait puisi dalam nyanyian dengan diiringi muzik.

Ghazal popular di Johor, terutama di Muar dan Batu Pahat.


Penyanyi ghazal popular ialah Allahyarham Fadzil Ahmad, Ahmad Jusoh, S Fauziah, Ramlah Ram, Andre Goh, Datuk Sharifah Aini dan Aspalela Abdullah.

Bapa Ghazal Johor

PAK LOMAK BAPA GHAZAL MELAYU JOHOR


Muzik ghazal sebuah muzik tradisional Melayu yang popular dipercayai dibawa oleh orang- orang India ke Johor dalam tahun 1920-an. Pada mulanya, muzik ghazal diperkenalkan kepada anggota Pasukan Timbalan Setia Johor oleh pelatih-pelatih askar yang dibawa khas dari India. Kenyataan ini dibuktikan oleh individu pertama yang memperkenalkan seni muzik ghazal kepada masyarakat Melayu Johor pada waktu itu iaitu Haji Musa bin yusoff. Beliau merupakan salah seorang anggoa Pasukan Timbalan Setia Johor yang lebih dikenali dengan nama Pak Lomak atau Mejar Lomak.

Beliau dilahirkan di Batu Pahat pada 27 Mac 1889. Bapanya Allahyarham,Tuan Haji Yusoff bin Mohd.Salleh ialah bekas Pesuruhjaya Tanah dan Galian Negeri Johor. Datuk Allahyarham, Dato Mohd Salleh bin Perang( Dato' Bentara Luar Johor) merupakan tokoh yang telah mengasaskan pembukaan daerah Batu Pahat dan Muar Johor. Beliau mula mempelajari seni ghazal daripada pelatih-pelatih india dalam Pasukan Timbalan Setia yang membawa bersama mereka permainan Ghazal dari India. Pak Lomak terkenal dengan kebolehannya memainkan alat-alat muzik ghazal terutamanya alat harmonium. Beliau juga boleh menyanyi lagu-lagu ghazal yang pada waktu itu dinyanyikan dalam bahasa Urdu,bahasa rasmi orang- orang kawasan Timur India.

Berdasarkan pengalaman dan bakat yang terserlah dalam bidang seni itu. Pak Lomak mula menterjemahkan atau menyesuaikan lagu-lagu Ghazal daripada bahasa urdu ke bahasa Melayu. Di sinilah ber,ulanya perkembangan Ghazal Melayu di negeri Johor. Pak Lomak juga mencipta lagu-lagu ghazal Melayu dan antara lagu-lagu yang sangat terkenal sehingga sekarang ialah Seri Mersing dan Gunung Banang. Pak Lomak pernah berkhidmat di daerah Mersing pada tahun 1923-1924. Beliau telah mencipta lagu Sri Mersing semasa berkhidmat di Mersing. Seri Mersing dipercayai dinyanyikan buat pertama kalinya dalam tahun 1925 di Singapura.

Ghazal Johor terus berkembang dengan wujudnya beberapa perubahan yang dilakukan misalnya alat-alat muzik tambahan. Ramai pemain muzik dan penyanyi ghazal muncul hasil cetusan didikan Pak Lomak. Lagu- lagu ciptaan baru diusahakan dan dalam tahun-tahun 30-an banyak perubahan telah berlaku. Pengaruh India mula berkurangan dan hanya yang masih kekal adalah dalam penggunaan alat muzik harmonium dan tabla. Dari segi nyanyian pula hanya beberapa patah lagu tertentu sahaja yang masih ada unsur-unsur penagruh india. Ghazal Johor terus diminati hingga ke tahun 60-an dengan berkembang hingga ke Singapura. Beberapa kumpulan ghazal telah muncul dan lahirlah pemuzik- pemuzik dan penyanyi- penyanyi ghazal yang terkenal pada zaman itu seperti Ahmad Jusoh, Hamzah Dolmat, Rosiah Chik dan Kamariah Noor memulakan kegiatan mereka. Namun demikian, Hamzah Dolmat tidak kekal dalam bidang ghazal tetapi memulakan tradisi muzik asli walaupun beliau tidak menolak jika ada kesempatan untuk bermain muzik ghazal.

Pak Lomak telah kkembali ke rahmatullah pada hari selasa 27 Jun 1960 jam 11.20 malam. Beliau telah banyak meninggalkan jasa yang yang tetap menjadi kenangan dalam bidang kebudayaan dan kesenian Melayu Johor. Sebagai tanda pengiktirafan terhadap jasa dan sumbangan beliau dalam perkembangan seni ghazal, Kerajaan Negeri Johor Darul Ta'zim telah menwujudkan 'Piala Pak Lomak' sebagai piala rebutan pertandingan Ghazal Kebangsaan Johor mulai tahun 1998 yang diselenggarakan oleh Yayasan Warisan Johor

fb Persatuan Bangsa Johor

8 Jan 2018

ketika cinta


 ketika cinta


ketika-ketika begini aku selalu bertanya
sempurnakah cintaku padamu
atau masih banyak
kurang dan khilafnya
tapi kau tak pernah menyoal mengapa
hingga aku jadi terlupa dan alpa
cinta ini segalanya
mengapa begitu berani aku begitu
sedang segalanya ada padamu

3 Jan 2018

hanya seorang dhia


Hanya seorang murid tahun satu di SK Tebing Rebak
3 JAN 2018



Sekolah Kebangsaan Tebing Rebak menerima kemasukan seorang murid tahun satu dan seorang murid tahun lima pada sesi persekolahan 2017. — Foto Bernama

BAGAN DATOH, 3 Jan — Sesi pembelajaran di Sekolah Kebangsaan (SK) Tebing Rebak di sini tetap berjalan seperti biasa walaupun hanya dua pelajar didaftarkan, seorang daripadanya murid tahun satu, bagi sesi persekolahan 2017.

Murid tahun satu yang baru mendaftar, Dhia Sofea Mohd Redzwan, 7, ditempatkan di dalam kelas seorang diri, dan mengikuti sesi pembelajaran mengikut sukatan pelajaran yang disediakan.

Guru besar sekolah itu, Azmah Zakaria berkata kehadiran Dhia Sofea menjadikan sekolah yang terletak kira-kira 20 kilometer dari sini itu kini mempunyai dua pelajar, termasuk Ahmad Norsyarwani Ahmad Kamal, yang kini berada dalam tahun lima.

“Tahun dua, tiga, empat dan enam tidak mempunyai murid didaftarkan,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata SK Tebing Rebak dibina sejak 1950-an dan kini mempunyai empat guru serta seorang kakitangan sokongan selain seorang guru besar.

Azmah berkata biarpun sekolah tersebut kurang murid sejak lebih 10 tahun lalu, namun sesi pembelajaran di sekolah diteruskan selagi terdapat pelajar yang mendaftar dan belajar.

“Dulu sekolah ini mempunyai lebih 200 murid, namun bila sebuah sekolah didirikan di kawasan seberang jumlah murid mendaftar di SK Tebing Rebak semakin kurang,” katanya.

Azmah berkata Kampung Tebing Rebak mempunyai kurang daripada 100 penduduk kerana kebanyakan remaja lepasan sekolah berhijrah ke bandar untuk mencari rezeki.

Sementara itu, Dhia Sofea ketika ditemui berkata walaupun berseorangan di dalam kelas, namun dia tidak merasa bosan kerana guru-guru memberi perhatian khusus kepadanya.

“Hari ini saya belajar macam-macam dari cikgu. Seronok. Tidak apalah saya (belajar) sorang, petang boleh jumpa kawan juga di Sekolah Agama,” katanya yang bercita-cita mahu menjadi doktor.

Ibu Dhia Sofea, Noriyah Ismail, 29, berkata beliau memilih sekolah berkenaan kerana tidak mempunyai ramai murid sekali gus membolehkan guru-guru memberi perhatian kepada anaknya.

Sementara itu, Ahmad Norsyarwani berkata walaupun merupakan murid tahun lima tunggal, tetapi dia tetap seronok dan berazam mahu mencapai keputusan 5A dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah tahun depan. — Bernama

themalaymail


1 Jan 2018

kenangan

 KENANGAN

bayang-bayang itu bercantum
menjadi garis-garis panjang
dan tidak jauh dari situ kau berdiri
merentang tangan dan melebarkan senyuman

garis itu masih begitu
setiap turunnya petang dan bayang-bayang
itu setia di situ
hanya kau yang tiada
bersama rentangan tangan
bersama senyuman


Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2016

HADIAH SASTERA KUMPULAN UTUSAN (HSKU)


NOVEL REMAJA
Pertama: Khilaf – Salina Ibrahim
Kedua: Manifestasi Ketam Biru – Md.Nizar Parman
Ketiga: Rindu Syonan To – Husna Nazri

HADIAH PENGHARGAAN
1. Penebus Kalbu – Abang Median Abang Said @
2. Genetik Kamilah – Aminah Mokhtar
3. Metamorfosis -Azida Ishak

CERPEN REMAJA
HADIAH UTAMA
1. Cikgu Mei Ling dan Cerita Mei: Wanita 2016 – Husna Nazri
2. Lelaki Marmar Putih: Mingguan Malaysia, 10 April 2016 – Abdul Razak Rezeki Othman
3. Silikon dan Besi: Mingguan Malaysia, 17 Januari 2016 -Muhammad Musoddiq Jaafar
HADIAH PENGHARGAAN
1. Runtun Kalbu: Mingguan Malaysia, 26 Jun 2016 – Wan Marzuki Wan Ramli
2. Janganlah Jauh: Mingguan Malaysia, 28 Februari 2016 – Dayangku Mastura
3. Selipar Jepun untuk Amirul Mukmin: Wanita, 2016 – Diq Na
4. Nasab Andropaus: Mingguan Malaysia, 2016 – Samiron Rahmat
5. Demonstrasi Rasa: Mingguan Malaysia, 16 Oktober 2016 – Siti Nur Hidayah Abdullah

PUISI
HADIAH UTAMA
1. Comici Subsidio: Mingguan Malaysia, 13 Mac 2016 –
2. Menakluk Percakapan: Mingguan Malaysia, 23 Oktober 2016 – Ainunl Muaiyanah Sulaiman
3. Merasuk Tubuh Sejarah: Mingguan Malaysia, 13 November 2016 – Abizai

HADIAH PENGHARGAAN
1. Di Laman Syaaban: Mingguan Malaysia, 29 Mei 2016 – Solihin Osman
2. Pisau Risau: Mingguan Malaysia, 20 Mac 2016 – Nazim Mohd Subari
3. Mimpi Sang Kupu-kupu: Mingguan Malaysia, 16 Oktober 2016 – S.M. Zakir
4. Sajak kepada Pengebom Berani Mati: Mingguan Malaysia, 10 April 2016 – Faisal Mat Zawi
5. Siapa Sudi Membina Kubu Denganku: Mingguan Malaysia, 10 Januari 2016 – Iwan Reaz

CERPEN
HADIAH UTAMA
1. Bahtera Putih di Sungai Sejarah: Mingguan Malaysia, 28 Ogos 2016 – Malim Ghozali PK
2. Tribunal- Apologia Pandir: Mingguan Malaysia, 8 Mei 2016 – M.Hashim Osman
3. Broker Melayu Terakhir: Manderam Omi Relekun: Mingguan Malaysia, 9 Oktober 2016 – Zainal Rashid Ahmad

HADIAH PENGHARGAAN
1. Bibir T. Alias Taib: Mingguan Malaysia, 21 Februari 2016 – Wan Nor Azriq
2. Sebuah Negeri di Dalam Telinga: Mingguan Malaysia, 25 September 2016 – Abang Median Abang Said
3. Kota Peradaban Averroes: Mingguan Malaysia, 2016 – A.Muziru Idham
4. Maharani 1938: Mingguan Malaysia, 2016 – Maslina Ngadiman
5. Sepanas Marrons Chauds: Mingguan Malaysia, 24 Januari 2016 – Maskiah Masrom

RENCANA SASTERA
1. Karya Indie Umpama Grafiti: Mingguan Malaysia, 27 Mac 2016 – Azman Hussin
2. Kejayaan Menumpulkan Pena: Mingguan Malaysia, 17 Januari 2016 – Wan Nor Azriq

MEDIA BAHARU
HADIAH UTAMA
1. Emel Sang Psikosis – Husna Nazri

PENGHARGAAN
1. Dakwah FB – Suhaimi Jamaudin
2. Demi Pengakhiran itu – Idarasul
3. Sambal Bilis Goreng Mak – Adilah Abdul Kadir
4. Siswazah Butik – Nurimas SN
5. Takdir Bukan Pilihan – Rosnani Ahmad




HSKU 2016 meriah

Medan hargai penggiat kesusasteraan Melayu


TENGKU Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan menyampaikan hadiah kepada pemenang Kategori Novel Remaja, Salina Ibrahim pada majlis Penyampaian Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) 2016 di Hotel Istana, Kuala Lumpur, malam tadi. Turut hadir Pengarah Urusan Kumpulan Utusan, Datuk Mohd. Noordin Abbas (kiri), Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Berhad, Tan Sri Abdul Wahid Omar dan Pengarang Mingguan Malaysia, Badrul Azhar Abdul Rahman (kanan). – UTUSAN / FAISOL MUSTAFA

Safina Ramli Dan Siti Norhawa Mohd. Ali
14 November 2017 3:00 AM


KUALA LUMPUR 13 Nov. - Majlis penyampaian Ha­diah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) 2016 iaitu edisi ke-32 penganjurannya hari ini menjadi medan untuk menghargai lebih 30 penulis daripada pelbagai genre di negara ini.

Majlis tersebut yang berlangsung di Hotel Istana di sini diserikan dengan kehadiran Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.

Baginda berkenan untuk menyampaikan hadiah kepada pemenang Sayembara HSKU Ke-32 yang ditaja oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Yang turut hadir Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Abdul Wahid Omar; Pengarah Urusan Kumpulan Utusan, Datuk Mohd. Noordin Abbas; Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Abdul Aziz Ishak; Timbalan Ketua Pe­ngarang Kumpulan Utusan, Datuk Othman Mohamad dan Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2016 merangkap Pengarang Mingguan Malaysia, Badrul Azhar Abdul Rahman.

Selain itu, majlis penyam­paian hadiah HSKU Ke-32 hari ini juga turut dimeriahkan dengan kehadiran sasterawan serta penggiat seni tanah air antaranya Datuk Dr. Anuar Rethwan, Datuk Dr. Zurinah Hassan dan Datuk Yusof Haslam.

HSKU pertama kali dianjurkan pada 1985 secara berkolaborasi antara Utusan-Public Bank dan tahun ini meneruskan kesinambungan dengan penaja utamanya PNB dan kerjasama SKMM.

Sebelum PNB, Kumpulan Utusan turut bekerjasama dengan ExxonMobil bagi mengangkat martabat kesusasteraan Melayu dan tamadun bangsa ke tahap yang lebih tinggi.

Sepanjang tiga dekad penganjurannya, HSKU berjaya mencungkil bakat baharu dalam dunia penulisan sastera Melayu dan edisi kali ini menyaksikan penulis, Salina Ibrahim mengungguli kategori novel Remaja HSKU apabila karyanya yang bertajuk Khilaf diangkat sebagai pemenang utama kategori tersebut.

utusanonline

Nilai Hadiah Sastera Kumpulan Utusan meningkat RM100,000


TENGKU Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin diringi Pengarah Urusan Kumpulan Utusan Datuk Noordin Abbas (kiri) melawat pameran Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2016 di Hotel Istana di Kuala Lumpur, malam ini. - UTUSAN/SAIFUL BAHARI ASHARI

Khairulanuar Yahaya
13 November 2017 8:39 PM

KUALA LUMPUR 13 Nov. - Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) kali ke-32 yang berlangsung malam ini menyaksikan peningkatan nilai hadiah bagi setiap kategori dengan nilai keseluruhan berjumlah RM100,000 berbanding RM80,000 tahun lalu.


Peningkatan nilai hadiah tersebut sebagai menyahut cabaran Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang mencadangkan jumlah hadiah dipertingkatkan ketika merasmikan HSKU ke-31 tahun lalu.

Sebanyak lima kategori dipertandingkan iaitu Novel Remaja, Cerpen, Cerpen Remaja, Puisi, Rencana Swasta dan termasuk kategori baharu iaitu Cerpen Media Baharu melalui penyertaan melalui portal Utusan Online.

Setiap kategori mempunyai tiga pemenang utama dan lima hadiah penghargaan kecuali bagi kategori Novel Remaja (3 utama, 3 penghargaan), Rencana Sastera (2 hadiah) dan Cerpen Media Baharu (1 utama, 5 penghargaan).

Penigkatan nilai hadiah HSKU 2016 merupakan satu imbuhan bermakna buat 33 penulis iaitu setiap pemenang utama bagi setiap kategori akan membawa pulang wang tunai berjumlah antara RM2,000 hingga RM12,000.
hsku-2

Hadiah disampaikan oleh Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.

Turut hadir Pengarah Urusan Kumpulan Utusan; Datuk Mohd. Noordin Abbas dan Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Berhad, Tan Sri Abdul Wahid Omar.


Sayembara HSKU ditaja oleh PNB dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Setiap karya yang dipertandingkan pernah disiarkan oleh majalah dan akhbar dan portal Kumpulan Utusan.

Karya-karya pemenang diadili oleh sekumpulan panel penilai yang dipengerusikan oleh Datuk Rahman Shaari. - UTUSAN ONLINE



Khilaf kupas isu ekstremis, jihad
15 November 2017 3:00 AM

KUALA LUMPUR 14 Nov. –Pemenang kategori Novel Remaja Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) 2016, Salina Ibrahim mengambil masa dua tahun untuk menentukan jalan cerita yang benar-benar dimahukannya bagi novel Khilaf.



SALINA IBRAHIM

Menurut Salina, 45, dia mula menulis novel itu pada 2015 dan pada waktu itu hanya sempat menulis lima bahagian dan berhenti kerana belum dapat melihat hala tuju novel berkenaan.

“Kemudian saya sambung semula menulis pada pertengahan 2016 apabila saya sudah betul-betul memahami subjek dan jalan cerita yang saya mahukan,” katanya pada majlis penyampaian HSKU, semalam.

Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan menyampaikan hadiah kepada pemenang-pemenang dalam majlis yang berlangsung di Hotel Istana, di sini.

Salina yang merupakan seorang bekas wartawan kini me­rupakan penulis sepenuh masa menerima RM12,000, watikah penghargaan dan buku penghargaan HSKU.

Menurut penulis itu, idea penulisan novel Khilaf yang mengupas bagaimana seseorang itu boleh terlibat dengan ideologi jihad dan ekstremisme adalah berdasarkan situasi semasa isu itu di Malaysia.

“Dalam novel ini saya ingin pembaca menghayati bagaimana orang yang mempunyai latar belakang pendidikan tinggi juga boleh terdedah kepada ideologi tersebut sekiranya mereka tiada pegangan atau kefahaman yang betul mengenai Islam.

“Adakah mereka yang terlibat itu faham atau tidak apa itu jihad dalam agama yang sentiasa mementingkan keamanan. Bagi saya, cabaran untuk menyiapkan novel ini adalah susunan plot kerana novel ini melibatkan dua watak utama,” katanya.

Menurut Salina, dia turut mendapat bantuan daripada rakan yang bekerja di Iraq untuk menge­tahui sedikit sebanyak berkenaan isu ekstremis di sana.

utusanonline


STATUS

Search This Blog

DAUN