Belajar Dari Rumah

 

KOMUNIKASI DUA HALA GURU, IBU BAPA BANTU JAYAKAN PdPR

Oleh Norhidayyu Zainal

KUALA LUMPUR, 20 Jan -- Komunikasi dua hala antara warga pendidik dan ibu bapa perlu lebih mesra dan telus bagi mewujudkan ekosistem pembelajaran yang berkesan untuk anak-anak di rumah, demikian menurut pakar Pendidikan dan Pengembangan Prof Dr Ismi Arif Ismail.

Beliau berkata hubungan yang akrab antara guru dan ibu bapa akan membawa kepada keberkesanan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dan lebih menyeronokkan kepada pelajar.

“Buat masa ini, dalam keadaan normal baharu, PdPR adalah kaedah terbaik untuk meneruskan pembelajaran. Oleh itu, perlu ada komunikasi yang lebih kerap antara guru dan ibu bapa," katanya kepada Bernama.

Mengulas lanjut, beliau berkata selain berkongsi perkara yang diajar dan kerja rumah kepada pelajar, setiap tenaga pengajar perlu membantu ibu bapa dalam memberi sokongan kepada pembelajaran anak-anak di rumah.

Jelasnya, komunikasi tersebut bukan hanya bersandarkan kepada tugasan pembelajaran semata-mata tetapi perlu lebih holistik supaya seimbang dalam menunaikan tanggungjawab mendidik anak-anak secara bersama.

“Komunikasi lebih efektif ini akan membantu menyelesaikan segala permasalahan timbul sekali gus anak-anak dapat belajar mengikut persekitaran sesuai dengan keadaan di rumah berdasarkan kepada kemampuan masing-masing," kata Ismi Arif yang juga Pengarah Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS) Putra Infoport, Universiti Putra Malaysia.

Pada 16 Jan lepas, Kementerian Pendidikan memaklumkan sesi persekolahan secara bersemuka bermula hari ini di seluruh negara, dengan hanya melibatkan calon yang akan menduduki peperiksaan utama bagi 2020.

Berikutan itu, semua murid sekolah rendah dan pelajar Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5 sesi persekolahan 2021 akan mengikuti pembelajaran melalui kaedah PdPR mengikut kesesuaian guru dan murid mulai tarikh berkenaan.

Bagaimanapun, keadaan itu menimbulkan rasa gelisah pelbagai pihak terutama ibu bapa sehingga tular di media sosial.

Turut senada, Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) Prof Madya Datuk Mohamad Ali Hasan yang menyifatkan kerjasama guru dan ibu bapa adalah penting terutama dalam mendisiplinkan anak-anak untuk terus mengikuti PdPR.

Tambahan pula, beliau berkata pendekatan PdPR masih baharu di Malaysia dan perlu diperkukuh serta diperkasakan dengan komitmen jitu semua pihak.

“Anak-anak perlukan arahan dan ketegasan ibu bapa dalam memastikan mereka mengikuti kelas selain ibu bapa juga perlu terus memantau pembelajaran anak-anak mereka agar tidak disalah guna. Pada masa sama, guru juga perlu memahami situasi ibu bapa itu sendiri yang walaupun ada di rumah, mereka sebenarnya juga menjalankan tugas kerana bekerja dari rumah,” katanya.

Beliau turut mencadangkan agar Kementerian Pendidikan menubuhkan pusat rujukan PdPR di setiap Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) atau Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).

"Ia berfungsi sebagai pusat sehenti bagi menangani sebarang masalah dan cabaran dihadapi oleh pihak yang menjalankan PdPR di rumah. Oleh itu, seorang pegawai khas akan ditugaskan sebagai koordinator atau perancang untuk menyelaras PdPR," katanya

Sementara itu, Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru) Mohd Azizee Hasan berkata semua guru, ibu bapa dan anak-anak seharusnya memanfaatkan platform pelantar pembelajaran digital sedia ada antaranya Digital Educational Learning Initiative Malaysia (DELIMa), Google Classroom, Akademi Youtuber Malaysia dan Sophia.my.

Tidak cukup dengan itu, beliau berkata Kementerian Pendidikan juga giat menerbitkan video pengajaran untuk slot TV Pendidikan yang disiarkan menerusi saluran TV Okey (RTM), Tutor TV (Astro) dan DIDIKTV@NTV7 di saluran NTV7 selain EduWebTV.

“Ia sekali gus menjadi platform pemudah cara yang sangat baik buat ibu bapa, guru dan anak-anak untuk terus mengadakan PdPR terutama ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini,” katanya.

-- BERNAMA



Comments