catatan yang sangat indah (Bahagian 3)

CATATAN YANG SANGAT INDAH 
(Bahagian 3)

awak tua bandar terbuka
emas habis,dagangan mudah
kerbau kambing sesak di padang
itik angsa tenang kuala
merpati lindungan langit
rengkiang tujuh sejanjar
teman dengan sekerat kota
emas perak penuh di rumah
tangga rumah emas bertuang
ibu tangga emas bertitik
batuan sawa mengulur
penuh sesak hamba sahaya
ada yang empat senama
ada yang lima senama
dilaung di rumah di tanah menyahut
dilaung di tanah di rumah menyahut

Demikian gambaran sebuah gurindam negeri bernama bandar Muar. Negeri diperintah oleh Tuanku Gombang Malim Dewa dan permaisuri baginda bernama Tuan Puteri Lindungan Bulan. Baginda sultan dan permaisuri memiliki seorang putera bernama Tuanku Malim Deman.

Ternyata negeri bandar Muar sebuah negeri yang aman makmur serta penuh dengan kekayaan flora dan faunanya. Kekayaan ini memberi gambaran tentang kemakmuran dan keselamatan sebuah negeri.

Selain itu bandar Muar juga memiliki bilangan penduduk yang ramai disebut penuh sesak hamba sahaya ada yang empat senama dan ada yang lima senama. Inilah kedamaian dan keselesaan hidup dii sebuah negeri yang memiliki serba kekayaan dan segala kemewahan serta rakyatnya dalam kesatauan dan perpaduan.

Dalam Hikayat Malim Deman keluasan negeri bandar Muar disebuatkan sebagai :

medannya indah bukan kepalang
rantaunya luas bagai dibentang
tebingnya tinggi bagai siraut
pasirnya serong bentuk taji
batunya ada besar dan kecil
yang kecil pelontar baalam
jika untung kena ke balam
jikalau tidak kena ke tanah
menderu selawat ibu ayam
elang disambar punai tanah.

Aspek perekonomian dan dagang terlihat jelas bahawa bandar Muar menjadi pusat utama kegiatan daganag dan ekonomi
yang melibatkan pelabuhan negeri . Kegiatan dagang dan ekonomi dijelaskan :

selup wangkang bergandingan
berjenis-jenis gada-gadanya
ada yang merah gada-gadanya
muatan sutera dan mastuli
ada yang putih gada-gadanya
muatan lilin dengan getah
ada yang hijau gada-gadanya
muatan kesumba dengan malau
ada yang kuning gada-gadanya
muatan emas dengan perak

Sebuah negeri dengan kemakmuran dan kesejahteraan rakyat hidup bersama. Terlalu manis dan indah dalam tatap rakyat dan bangga diri menyanjung negeri sendiri. Ungkap kata dan main bahasa yang digambarkan memberitahu tiada lain akan rasa bangga dan syukur akan negeri sendiri. Kemakmuran melimpah ruah dengan kekayaan hasil negeri, keramaian penduduk dan kegiatan di segenap laut dan pelabuhan yang menghasilkan pendapatan negeri. Inilah gambarkan rasa cinta yang sangat mendalam terhadap tanah air dan rasa bahagia yang melantun jauh membuah penghargaan kepada tanah sendiri.

Apakah begitu sikap kita dengan negeri kita sendiri?



Comments