27 Jan 2019

PBD Bagi Murid Tahap 1

GARIS PANDUAN PELAKSANAAN PENTAKSIRAN BILIK DARJAH (PBD) 
BAGI MURID TAHAP I



1.0 Tujuan
Garis panduan ini bertujuan untuk memberi penjelasan tentang kaedah pelaksanaan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) seiring dengan pemansuhan amalan peperiksaan pertengahan tahun dan akhir tahun bagi murid Tahap I di semua sekolah rendah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mulai tahun 2019.

2.0 Latar Belakang
Pelaksanaan KSSR (Semakan 2017) bertujuan untuk memupuk murid yang mempunyai nilai etika dan kerohanian, bersedia untuk menghadapi cabaran kehidupan masa hadapan, menyelesaikan konflik secara harmoni, bijak membuat pertimbangan, berpegang kepada prinsip serta berani melakukan perkara yang betul.

PBD merupakan kaedah pentaksiran yang bersifat autentik dan holistik, serta lebih berfokus kepada perkembangan dan pembelajaran murid, dan bukan lagi berorientasikan peperiksaan. PBD juga dapat mewujudkan budaya pembelajaran yang lebih menyeronokkan dan bermakna.

Pemansuhan amalan peperiksaan pertengahan tahun dan akhir tahun di Tahap I adalah untuk membolehkan guru memberikan lebih penumpuan terhadap PdP yang dapat membina karakter dan sahsiah murid dan amalan nilai rutin harian. Pelibatan ibu bapa juga penting dalam usaha

menyediakan persekitaran pembelajaran yang kondusif dan bebas tekanan kepada murid di peringkat awal usia persekolahan.

3.0 Tafsiran PBD Tahap I
PBD merupakan sebahagian daripada PdP di dalam bilik darjah dan dijalankan secara berterusan. PBD secara sumatif dalam bentuk peperiksaan pertengahan dan akhir tahun diganti dengan aktiviti pentaksiran berupa projek mudah, kuiz, permainan, main peranan dan bercerita. Hasil kerja murid dinilai sebagai bahan pentaksiran yang dijalankan dalam PdP.

4.0 Objektif Pelaksanaan PBD
Pelaksanaan PBD bertujuan untuk mendapatkan gambaran tentang perkembangan dan kemajuan pembelajaran, mengenal pasti kekuatan dan kelemahan murid supaya tindakan susulan yang sesuai sama ada untuk meningkatkan atau memperbaiki pembelajaran murid dapat diambil secara serta-merta. Di samping itu, PBD dapat memberi maklum balas tentang keberkesanan pengajaran guru.

5.0 Aktiviti PdP Yang Melibatkan PBD
5.1 PBD dilaksanakan melalui aktiviti PdP yang berikut:
a. Projek Mudah
b. Bercerita
c. Permainan
d. Main Peranan
e. Kuiz


5.2 Guru mata pelajaran boleh berbincang dan merancang dengan guru mata pelajaran lain untuk melaksanakan aktiviti PdP. Aktiviti boleh menggabungkan kandungan daripada dua atau lebih mata pelajaran.

5.3 Guru juga boleh menjalankan PBD dalam bentuk aktiviti lain yang sesuai.

6.0 Kaedah Pelaksanaan PBD
PBD dilaksanakan dalam semua mata pelajaran dalam proses PdP harian dan secara berterusan. PBD dilaksanakan secara formatif dan sumatif mengikut keupayaan dan keperluan murid. Berikut adalah kaedah pelaksanaan PBD:

6.1 Merancang PdP dan kaedah pentaksiran dengan meneliti dan memahami kandungan dalam DSKP.
6.2 Melaksanakan PBD untuk mengumpul maklumat melalui pelbagai kaedah pentaksiran.
6.3 Membina instrumen PBD berasaskan keperluan dan pembelajaran murid seperti:
· Senarai semak
· Soal-selidik
· Lembaran kerja
· Rekod berterusan
· Skala kadar
· Ujian (lisan/bertulis)
6.4 Merekod dan menganalisis penguasaan murid untuk tindakan susulan.
6.5 Melapor tahap penguasaan dan perkembangan murid sekurang- kurangnya dua kali setahun.

7.0 Pelaksanaan Pemulihan
Murid Tahap I yang mempunyai kesukaran untuk menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira dikenal pasti dan diberi pemulihan yang bersesuaian. Pihak sekolah diberi autonomi untuk melaksanakan pemulihan mengikut kesesuaian di peringkat sekolah. Sekolah boleh menggunakan instrumen yang bersesuaian seperti instrumen LINUS sedia ada atau senarai semak untuk mengenal pasti tahap penguasaan murid.

8.0 Peranan Guru Dalam PBD
8.1 Guru menentukan objektif pembelajaran berdasarkan Standard Pembelajaran, merancang dan membina instrumen PBD berdasarkan Standard Prestasi, melaksanakan pentaksiran, merekod hasil pentaksiran, menganalisis maklumat pentaksiran, membuat tindakan susulan dan melaporkan perkembangan pembelajaran murid.

8.2 Guru hendaklah memastikan terdapat perkembangan dalam pembelajaran murid. Setiap murid dibimbing untuk mencapai sekurang-kurangnya Tahap Penguasaan 3. Walau bagaimanapun, guru juga perlu membuat perancangan dan pelaksanaan untuk memastikan pengembangan potensi semua murid bagi mencapai tahap optimum.

8.3 Guru mentaksir murid secara holistik berdasarkan aspek pengetahuan, kemahiran dan nilai secara berterusan melalui pelbagai kaedah seperti pemerhatian, latihan, respons murid secara lisan dan kerja projek. Guru hendaklah menggalakkan murid melaksanakan pentaksiran rakan sebaya atau secara kendiri.

8.4 Guru boleh menyimpan hasil kerja murid, dalam bentuk lembaran kerja, kertas ujian atau buku latihan dan/atau dalam bentuk objek/maujud sebagai bahan bukti untuk menunjukkan perkembangan penguasaan murid kepada pihak yang berkepentingan seperti pentadbir dan ibu bapa.

8.5 Guru hendaklah sentiasa berbincang dengan rakan sejawat tentang perkembangan dan kemajuan murid dalam pembelajaran serta kaedah PdP yang sesuai untuk meningkatkan tahap penguasaan murid.



8.6 Guru menentukan Tahap Penguasaan murid berdasarkan pengetahuan, pengalaman, tanggungjawab profesional guru dan hasil pentaksiran murid.

8.7 Guru menyediakan Pelaporan Tahap Penguasaan murid untuk dimaklumkan kepada murid dan ibu bapa mengenai tahap pembelajaran murid untuk tindakan susulan.

8.8 Guru perlu memberikan ulasan perkembangan murid seperti kemahiran, sikap dan nilai pada ruangan ulasan guru dalam templat pelaporan untuk menggambarkan profil murid secara menyeluruh.

9.0 Penyimpanan Rekod PBD
Rekod PBD yang telah disediakan boleh disimpan oleh guru dan pihak sekolah untuk tujuan pelaporan atau tindakan susulan. Hasil kerja murid boleh disimpan dalam bentuk digital, cetakan atau apa-apa bentuk yang bersesuaian untuk rujukan guru dan pihak sekolah.



10.0 Penjaminan Kualiti PBD
Penjaminan kualiti PBD adalah tanggungjawab sekolah. Pentadbir perlu menjalankan penjaminan kualiti di peringkat sekolah untuk memastikan kelancaran dan ketepatan pelaksanaan pentaksiran dalam bilik darjah.

11.0 Penutup
Guru boleh mendapat maklumat mengenai PBD dengan merujuk Panduan Pelaksanaan Pentaksiran Bilik Darjah terbitan tahun 2018 yang boleh dimuat turun dari laman sesawang Bahagian Pembangunan Kurikulum (http://bpk.moe.gov.my).

PBD merupakan proses berterusan dalam PdP yang bertujuan untuk melahirkan murid secara holistik yang menguasai pengetahuan, kemahiran dan nilai ke arah kemenjadian murid seperti yang dihasratkan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Keberkesanan dan kejayaan pelaksanaan PBD adalah hasil daripada komitmen guru, sokongan dan bimbingan semua pihak yang terlibat iaitu pihak pentadbir sekolah, PPD, JPN dan ibu bapa.

Kementerian Pendidikan Malaysia
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, 62604 Putrajaya

25 Jan 2019

teman di mana?

teman di mana?

berkelana dalam sepi
teman tak berbayang ada
sangat terasa sunyi
berbeban mengusung sengsara

berbayang suara dan tawa
rupanya pohon bergoyang perlahan
inilah hakikat hidupmu manusia
teman menangis tertahan-tahan

beringat dalam senyum tawa
tika sendiri di samudera luas
bulan dan bintang melabuhkan rupa
senyum dan tawa hanyalah hias

begitu hidup dalam warna
usah dilupa gelap menelan
berpada hidup berpada cinta
ibu dan rasul dilupa jangan


monolog dan dialog


kau disalahku

kau di salahku



berjalan di tangga-tangga kecil
bintang menusuk langit
awan berputar perlahan
deru angin berhimpitan
dan aku mendengar luka itu
tak pernah kaukeluhkan
tak pula kaupeduli
tetapi disalahku
luka itu membesar
meremuk yakinmu
menjentik tenteram

kau disalahku
aku tak berdaya menoleh lagi
selain maaf ini

24 Jan 2019

Kapten Jack

Seni kapal kayu Kapten Jack



BATU GAJAH, 24 Jan (Bernama) -- Captain Jack atau nama sebenarnya Azhar Kamaruddin, 50, telah berkecimpung dalam pembinaan replika kapal sejak 21 tahun yang lalu

Segalannya bermula dengan minat mendalam dalam bidang seni kayu dan pada tahun 1997 selepas Azhar membeli sebuah buku bertajuk “Ilustrated History of Transport”, dan bermula dari situ dia terus nekad bergelumang dengan dunianya sekarang.

Dek kerana minat mendalam itu, Azhar sanggup berhenti kerja sebagai seorang pegawai di sebuah pasaraya sebelum bekerja di kilang pembuatan kayu dan besi bagi mempelajari cara menggunakan mesin bagi memahirkan dirinya untuk membina model kapal.

Menurut Captain Jack, proses membina model kapal sangat rumit dan memerlukan penelitian rapi bermula dari proses lakaran pelan (Blue print) di sebuah studio di rumahnya dan apabila siap proses seterusnya dilakukan di bengkelnya.

Masa yang diambil untuk menyiapkan sebuah model kapal bergantung kepada saiz dan ada kalanya mencecah sehingga enam bulan untuk yang berukuran lima kaki ke enam kaki, namun ia bukan alasan untuknya mengetepikan kualiti yang menjadi kepuasan pelanggan.

Model-model kapal yang dibina oleh Azhar dibeli oleh pelanggan dari dalam dan luar negara kebanyakkannya oleh orang perseorangan serta galeri dengan harga bermula dari RM200 sehingga RM 30,000 mengikut saiz.

Azhar juga tidak lokek ilmu pembuatan kapal dan bersedia membantu sesiapa yang berminat untuk belajar kerana baginya saling bertukar pendapat dapat mengembangkan lagi ideanya.

Ikuti catatan video daripada Bernama Digital Journal oleh wartawan foto Shahrizan Jeffri Aziz yang di siarkan melalui Bernama.com dan di facebook Bernama Official.


Captain Jack

BERNAMA

21 Jan 2019

terasa amat lelah

terasa amat lelah


persis terlalu jauh berjalan
terlalu tinggi mendaki
terasa amat lelah untuk beranjak lagi
ingin benar di sini berhenti
apakah dengan berbuat begitu
aku mengucapkan ketewasan
menjadi lelaki yang tak berani
menetas pencaroba
melawan guris
tetapi aku terlalu amat lelah
untuk pergi lebih jauh
biarlah aku di sini saja
menghampar sisa nasib
kerana ke manapun
tak pasti
aku bisa mengembalikan
usia pergi

20 Jan 2019

taman terbuka

taman terbuka


taman terbuka
hiasnya kata
ada baris-baris tulis
dari jerkah silam
itupun terbiar
dalam dakap lembut angin malam
ada yang ingin kembali
menyusun batu hias
untuk apa bertanda
kita bukan pahlawan
esok mereka berkumpul
dengan gitar dan lagu
kita menjadi peminat
irama itu

19 Jan 2019

terjalin cinta

terjalin cinta


begitu rapi langit berhias
dengan awan bergulung putih
dengan cahaya terang berjalin warna
dengan kebiruan mengufuk jauh
dengan hembus angin
dan sejuk udara
begitu terjalin cinta
mengisi ulas waktu
kau segalanya
mengaturnya

17 Jan 2019

Pendidikan Untuk Semua, Tanggungjawab Semua



AMANAT MENTERI PENDIDIKAN TAHUN 2019
PENDIDIKAN UNTUK SEMUA, TANGGUNGJAWAB SEMUA


Pendahuluan

1. Alhamdulillah, dengan limpah kurnia-Nya, kita berjaya melangkah ke tahun 2019. Kita telah berjaya mengharung segala onak, segala liku dan segala cabaran pada tahun 2018. Kita tahu, ruang dan peluang yang masih diberikan kepada kita, datang bersamanya satu tanggungjawab, satu amanah, dan satu misi.

2. Selamat Tahun Baharu dan ribuan terima kasih saya ucapkan kepada semua ahli keluarga besar Kementerian yang hadir pada pagi ini. Terima kasih atas segala komitmen yang diberikan sepanjang tahun 2018.

Wawasan 2020

3. Pada 28 Februari 1991, di dalam ucapan beliau bertajuk “Melangkah ke Hadapan: Wawasan 2020”, YAB Tun Dr Mahathir Mohamad telah mengisytiharkan suatu gagasan besar yang kita ingatnya sebagai “Wawasan 2020”. Wawasan 2020 menjadi sangat signifikan buat semua rakyat Malaysia pada waktu itu. Saya sendiri, dan saya yakin, tuan-tuan dan puan-puan juga, membesar dengan Wawasan 2020. Wawasan 2020 sememangnya telah berjaya melakarkan impian dan menanamkan cita-cita kepada kita semua.

4. Wawasan 2020 mengetengahkan 9 cabaran utama yang perlu digalas oleh semua rakyat Malaysia. 5 di antara 9 Cabaran tersebut ialah:

1. Membina bangsa Malaysia yang bersatu padu dengan matlamat yang dikongsi bersama.
2. Memupuk dan membina masyarakat demokratik yang matang dan dihormati oleh negara lain.
3. Mewujudkan masyarakat yang bermoral dan beretika.
4. Mewujudkan masyarakat saintifik, progresif dan berpandangan depan.
5. Mewujudkan masyarakat berbudaya penyayang dengan sistem sosial yang kukuh.

6. Melihat kepada kedudukan kita hari ini, kita tinggal cuma selangkah sahaja lagi untuk menghadapi tahun 2020. Inilah masanya kita perlu kembali merenung, setakat manakah kita telah berusaha untuk merealisasikan cabaran-cabaran di atas?

7. Mahu tidak mahu, kunci utama, formula, jambatan untuk kita menuju Wawasan 2020 ialah pendidikan. Untuk membentuk masyarakat yang bersatu padu, pendidikan ialah titik mulanya. Untuk melahirkan masyarakat yang demokratik, bermoral, beretika dan penyayang, pendidikan ialah terasnya. Pendidikan ialah jalan sebenar menuju ke Wawasan 2020.

8. Jika kita simpulkan, kesemua sembilan cabaran yang ingin dicapai oleh Wawasan 2020 ini sebenarnya gambaran kepada sebuah masyarakat yang mempunyai nilai-nilai yang tinggi. Masyarakat yang bersatu padu, berjiwa tenteram, demokratik, bermoral dan beretika; ialah bentuk masyarakat yang mengamalkan nilai-nilai yang baik. Firman Allah SWT di dalam Surah Al-Nahl ayat 128:

ُﻣ ْﺤ ِﺴُﻨﻮ َن

ُﻫْﻢ

َواﻟﱠِﺬﯾ َﻦ

َﻣ َﻊ اﻟﱠِﺬﯾ َﻦ اﱠﺗَﻘ ْﻮا

إِ ﱠن ا ﱠﷲَ

“Sesungguhnya Allah bersama dengan orang-orang yang bertakwa dan orang-orang yang berbuat kebaikan.”



Falsafah Pendidikan Kebangsaan

Sidang hadirin sekalian,

9. Selain Wawasan 2020, saya juga ingin membawa tuan-tuan dan puan-puan pulang semula kepada satu pernyataan yang telahpun mendasari sistem pendidikan kita sejak tahun 1988 lagi, lebih 30 tahun yang lepas. Pernyataan itu adalah Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang telah meletakkan bahawa:

“Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh, dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis, dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani, berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri, serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.”

10. Saya tidak perlu mengupas isi Falsafah ini kerana tuan-tuan dan puan-puan warga pendidikan lebih maklum dalam perkara ini. Tetapi yang perlu kita fikirkan adalah – selepas 30 tahun Falsafah ini diperkenalkan, adakah intipatinya kita hayati dan kita aplikasikan dalam sistem pendidikan kita? Adakah kita telah mendidik anak-anak kita secara holistik? Adakah kita telah berjaya memberikan laluan kepada anak-anak kita, untuk mencapai potensi terbaik mereka supaya mereka dapat memberi sumbangan kepada negara?

11. Sesungguhnya aspirasi sistem pendidikan negara adalah refleksi kepada aspirasi negara. Justeru, perubahan sistem pendidikan negara mestilah bermula dengan merenung kembali kepada Wawasan 2020 dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan agar dapat kita teladani dan pelajari, seterusnya dapat meningkatkan usaha kita agar matlamat yang indah ini mampu kita kecapinya bersama.

Sekolah untuk komuniti dan universiti untuk masyarakat.

Sidang hadirin yang saya muliakan,

12. Saat anak kita mula bersekolah hari ini, adakah ia bermakna anak kita sudah mendapat Pendidikan? Pendidikan ialah Dialog. Kerana itu menurut Paulo Freire, seorang filsuf dalam bidang pendidikan - bukan sahaja anak yang perlu belajar di sekolah. Di sekolah, guru juga harus belajar. Ini bermakna di dalam kelas, guru harus lebih tekun memahami anak-anak, pertanyaan mereka, persoalan di dalam kepala mereka, sikap dan sifat mereka serta berjuta pengalaman mereka yang lain lagi.

13. Dalam kata lain, kelas atau sekolah hanyalah medium pembelajaran. Dan Pendidikan bukan hanya satu hala - dari guru kepada anak. Ketika anak-anak belajar, guru juga mempunyai peluang untuk belajar.

14. Pendidikan dua hala ini merangkumi lebih dari guru dan pelajar, tetapi institusi pendidikan dan masyarakat juga. Asas pendidikan ialah melahirkan insan yang berfungsi di tengah-tengah setiap komuniti dan masyarakat. Tetapi, komuniti dan masyarakat juga berperanan besar untuk menyumbang ke arah merealisasikan impian yang telah kita lakarkan bersama. Tidak kiralah siapapun kita - pendidik, staf pentadbiran atau sokongan, ibu bapa, pelajar, civil society, mahupun pihak swasta, terlalu banyak perkara yang boleh kita lakukan bersama.

15. Pendidikan ialah tanggungjawab semua. Kita tidak mahu lagi pendidikan menjadi begitu terasing dengan masyarakat. Pendidikan seharusnya menjadi penyelesai kepada masalah-masalah yang melanda masyarakat, dan menjadi pemangkin kepada lahirnya masyarakat yang maju, bersatu padu dan berdaya saing.

16. Yang ingin saya tekankan ialah tugas mendidik ini bukanlah tugas guru semata-mata. Setiap daripada kita ialah pendidik dan kita mesti menggalas tanggungjawab ini bersama-sama demi masa depan negara. Pepatah Inggeris menyebutkan: It takes a village to raise a child. Rasulullah SAW berpesan,

َر ِﻋﱠﯿِﺘِﻪ

َﻋ ْﻦ

َﻣ ْﺴُﺌ ْﻮ ٌل

َوُﻛﻠﱡُﻜْﻢ

َرا ٍع

ُﻛﻠﱡُﻜْﻢ

“Kamu semua adalah pemimpin dan setiap pemimpin akan dipersoalkan tanggungjawabnya terhadap kepemimpinannya.” (HR. Bukhari)

17. Memahami essence pendidikan ini, dapatlah kita mencapai hasrat menjadikan sekolah kerajaan sebagai sekolah pilihan, dan mengembalikan wibawa universiti awam dan pengajian tinggi. Inilah dua visi penting yang perlu kita galasnya bersama.

18. Demi mencapai dua visi penting ini, kita telah menetapkan tiga hala tuju yang akan menjadi kompas dan paksi pergerakan kita. Tiga hala tuju tersebut ialah 1. Pendidikan berteraskan nilai, 2. Peningkatan kualiti seluruh sistem serta 3. Autonomi dan akauntabiliti untuk sekolah dan universiti.



Hala Tuju Pertama: Mengembalikan Cinta Ke Dalam Pendidikan

Tuan-tuan dan puan-puan yang saya kasihi,

19. Cinta ialah teras kepada pendidikan. Kita mahukan pendidikan yang terbaik buat anak-anak kita kerana kita cintakan mereka. Dengan cintalah, kita mahu mereka mencintai ilmu, terus membesar sebagai seorang yang sentiasa mahu belajar, dan memahami bahawa pendidikan bukanlah tentang penghujungnya semata-mata, tetapi proses berterusan mengejarnya.

20. Penetapan hala tuju pendidikan berteraskan nilai (values-driven education) adalah sangat tepat dalam usaha menjadikan cinta sebagai teras pendidikan. Di antara banyak nilai, kita mahu memberikan tumpuan kepada tiga nilai dan budaya teras yang ingin kita binakan bersama, iaitu: cinta atau kasih sayang (love), kegembiraan atau kebahagiaan (happiness) dan saling menghormati (mutual respect).

21. Sekolah dan universiti harus menjadi tempat yang paling membahagiakan dan proses pembelajaran berjalan dengan penuh keseronokan, agar ia mampu menyemai rasa cinta terhadap ilmu. Sekolah juga harus menjadi tempat di mana perbezaan bukan sahaja dihormati, tetapi dihargai dan dirayakan.

22. Saya percaya, hakikat sebenar tujuan pendidikan ialah memanusiakan manusia. Praemodya Ananta Toer pernah berkata, “Apalah guna sekolah-sekolah didirikan kalau tak dapat mengajarkan yang mana benar, dan yang mana tidak…”. Justeru, sekolah mesti menjadi tempat untuk memanusiakan manusia, mengajarkan benar dan salah, dan mengetengahkan konsep pembelajaran melalui sifat ingin tahu. Kita tidak mahu anak-anak kita hanya diajarkan cara menjawab soalan peperiksaan, tetapi tidak diajarkan untuk bertanya soalan.

23. Pendidikan tidak seharusnya memenjara, tetapi membebaskan. Kualiti pendidikan yang sebenar terletak kepada persoalan setakat mana kita telah berjaya membebaskan potensi dan kemenjadian anak-anak kita agar menjadi lebih daripada apa yang kita harapkan. Hal ini selari dengan penekanan satu M yang ingin kita tambah selepas 3M; iaitu selepas membaca, menulis dan mengira, kita ingin menambah M yang satu lagi, iaitu manusiawi.

24. Sekiranya kita ingin membentuk masyarakat yang penyayang, harmoni dan bersatu menuju matlamat yang sama untuk merealisasikan Wawasan 2020, semuanya mesti bermula daripada sekolah dan universiti. Dan sistem pendidikan yang berteraskan nilai ini mampu untuk melahirkan insan yang mencintai satu sama lain, mencintai masyarakat dan sekali gus mencintai negara.



Hala Tuju Kedua: Ketinggian Kualiti Sebagai Pemangkin Kecemerlangan, Relevansi dan Keberkesanan

Sidang hadirin yang dimuliakan,

25. Selain daripada pendidikan berteraskan nilai, Kementerian juga akan menjadikan ketinggian kualiti (high quality) sebagai hala tuju yang perlu dicapai bersama. Ketinggian kualiti merangkumi tiga aspek iaitu kecemerlangan, relevansi dan keberkesanan.

26. Kecemerlangan membawa maksud kecemerlangan pelajar supaya potensi mereka dapat dicapai tanpa mengira kebolehan dan minat, kecemerlangan pendidik, kecemerlangan institusi dan kecemerlangan sokongan sistem daripada pentadbiran dan staf-staf sokongan. Kecemerlangan ini harus dilihat dari semua aspek dan peringkat.

27. Konsep pembelajaran tidak harus terperangkap di antara four walls of room. Konsep pembelajaran yang baik mestilah relevan di setiap masa dan setiap tempat. Kita perlu mempunyai mindset bahawa dunia ini ialah kelas pembelajaran sepanjang hayat. Kita mesti berusaha untuk melahirkan pelajar cemerlang yang berfikiran tinggi, yang membaca, yang mempunyai sifat ingin tahu, dan yang relevan dengan keperluan industri, serta mempunyai kearifan tempatan (local genius) yang mampu berdaya saing di peringkat global.

28. Dan ya, ini semua cabaran yang sangat besar. Kita hidup dalam zaman disebut oleh Harvard Business School sebagai VUCA
– satu terma pengurusan yang merujuk kepada volatility, uncertainty, complexity dan ambiguity. Kita tidak dapat mengelak malah perlu mendepani arus globalisasi melalui pendidikan yang relevan dengan generasi millenial. Golongan pendidik perlu faham dengan karakter generasi yang intim dengan teknologi, lebih jagat dan berfikiran terbuka.

29. Oleh itu, anak-anak kita perlu dilengkapkan diri dengan pengetahuan teknologi dan komunikasi (ICT), malah kementerian juga akan berusaha memanipulasi teknologi blockchain, kepintaran buatan (Artificial intelligence) dan ‘penjagatan internet’ (Internet of things) di dalam sistem pendidikan untuk membantu proses pengajaran dan pembelajaran serta penyimpanan data. Kerjasama dengan pihak swasta berteraskan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) dan kesukarelawanan juga akan ditingkatkan.



30. Selain itu, pendidikan STREAM (Science – Technology – Reading – Engineering – Arts – Mathematics) juga harus menjadi tumpuan. Sains bukanlah sekadar satu subjek semata-mata, kita perlu memperkenalkan dan mempopularkan Sains sebagai satu cara hidup. Bidang STREAM adalah bidang yang menjadi tumpuan bukan hanya di Malaysia tetapi di serata dunia kerana daya saing sesebuah negara bergantung kepada penguasaan dalam bidang STREAM. Laporan Forum Ekonomi Dunia 2017 menyatakan bahawa sebanyak 65 peratus kanak-kanak yang berada di sekolah rendah pada hari ini akan bekerja dalam bidang baharu yang berlandaskan STREAM pada masa hadapan apabila mereka melangkah ke alam pekerjaan.

31. STREAM tidak harus menjadi bidang yang hanya ditekankan untuk ujian dan untuk kelas aliran sains, sebaliknya harus diberikan tumpuan khusus. Kaedah pengajaran guru-guru juga harus mengalami perubahan selari dengan perkembangan teknologi semasa sebagai pengupaya (enabler) untuk mempersembahkan pendekatan yang terbaik. Pendidikan bukan hanya soal apa yang disampaikan, tetap juga soal bagaimana ia disampaikan.

32. Bercakap tentang sains dan teknologi ini, kita tidak dapat lari daripada keperluan menguasai bahasa Inggeris. Justeru, kementerian telahpun memperkenalkan Highly Immersive Programme (HIP) yang bertujuan membangunkan milieu bahasa Inggeris di sekolah bagi memupuk budaya pembelajaran serta penggunaan bahasa Inggeris yang positif dalam kalangan murid.

33. Selain HIP, program-program lain seperti program Professional Up-skilling of English Language Teachers (Pro-ELT), atau The English Language Enhancement Progamme in Secondary Schools (PPKBIS), Program Intervensi Tambah Opsyen Bahasa Inggeris (PITO BI) Sekolah Rendah dan Program English for Preschool Teachers akan ditingkatkan mutunya dan diperluaskan jangkauannya.

34. Tidak dapat tidak, untuk bertarung di pentas global, dan membawa Malaysia ke persada antarabangsa, penguasaan bahasa Inggeris ialah nilai tambah yang sangat relevan dan mustahak di sekolah dan universiti.

Hala Tuju Ketiga: Autonomi dan Akauntabiliti

Sidang hadirin sekalian,

35. “You have brains in your head. You have feet in your shoes. You can steer yourself in any direction you choose.” Kata-kata ini membuktikan bahawa ruang membuat pilihan ialah ruang yang sangat penting, dan setiap individu harus yakin dan teguh dengan pilihan mereka. Setiap individu dan institusi saya yakin, mempunyai kemahiran dan keunikan yang tersendiri. Atas dasar inilah kita sangat mengutamakan konsep autonomi dan akauntabiliti.

36. Saya percaya, pendekatan top-down dan one-size-fits-all tidak lagi relevan. Setiap komuniti lebih memahami keperluan mereka sendiri dan perlu diberikan lebih ruang dan kepercayaan untuk membuat keputusan. Pemberian autonomi ini mesti juga hadir bersama dengan sikap kebertanggungjawaban yang tinggi (akauntabiliti) sekali gus menghasilkan pendidikan yang berkualiti.

37. Autonomi bukan sahaja tertakluk kepada pentadbiran, tetapi juga melalui usaha pihak sekolah dan universiti melibatkan pihak luar untuk menyokong proses pengajaran dan pembelajaran. Kita perlu memperhebatkan pelibatan pelbagai pihak dan lapisan masyarakat, sama ada PIBG, alumni, NGO-NGO, agensi-agensi lain dan pihak swasta, agar penyelesaian yang lebih inovatif dan praktikal dapat difikirkan. Masalah-masalah disiplin, seperti dadah dan keciciran yang semakin serius memerlukan pendekatan yang lebih menyeluruh yang saya percaya dapat diselesaikan dengan sokongan dan dokongan setiap anggota masyarakat. Penglibatan ibu bapa dan guru yang telah bersara misalnya untuk menjadi pembantu guru juga boleh menjadi salah satu cara menyokong sistem pendidikan kita. Sesungguhnya sekolah itu untuk komuniti, dan universiti itu untuk masyarakat

38. Hal ini mungkin susah untuk digambarkan, tetapi saya telahpun melihat bagaimana ia boleh dijayakan. Sebagai contoh, saya ingin mengucapkan tahniah kepada Pejabat Pendidikan Daerah Kluang yang telah memberikan autonomi kepada pihak sekolah untuk menentukan program dan pergerakan mereka

sendiri. Setiap sekolah lebih mengetahui keperluan dan keunikan mereka, dan mereka perlu diberi ruang untuk bergerak berdasarkan kebitaraan (niche) mereka. Kata pepatah: hanya jauhari yang mengenal manikam.

Pengalaman Pembelajaran Yang Menyeronokkan

Tuan-tuan dan puan-puan,

39. Tiga hala tuju yang telah saya nyatakan iaitu 1. Pendidikan berteraskan nilai, 2. Peningkatan kualiti seluruh sistem dan 3. Autonomi dan akauntabiliti akan menjadi teras kepada agenda perubahan di sekolah dan universiti.

40. Sekolah mesti menjadi tempat yang paling selamat dan menyeronokkan. Untuk merealisasikan cita-cita ini, kementerian telah memberikan penekanan khusus empat bahagian penting di peringkat sekolah. Empat bahagian tersebut yang akan menjadi tumpuan pada tahun ini ialah:

(1) Persekitaran dan infrastruktur

41. Pertama, persekitaran dan infrastruktur — kita mahu memastikan sekolah sebagai tempat yang selamat dan sejahtera, di samping lengkap dengan kemudahan asas yang diperlukan.

42. Sejak awal pentadbiran saya di kementerian, saya telah pergi memantau sekolah-sekolah daif di Sabah & Sarawak. Saya komited

untuk memastikan projek membaikpulih sekolah daif di seluruh negara menjadi salah satu keutamaan. Malah, pejabat saya dilengkapi dengan dashboard yang membolehkan saya memantau secara live perkembangan projek membaikpulih sekolah-sekolah daif tersebut.

43. Pada tahun 2018 sahaja, pembaikan projek sekolah daif di Semenanjung, Sabah dan Sarawak adalah sebanyak 394 projek dengan peruntukan berjumlah RM1.703 bilion.

44. Sehingga 31 Disember 2018, daripada 394 projek sebanyak 237 (60%) buah projek telah siap dan dikeluarkan CPC manakala 65 (17%) buah projek telah siap pembikinannya dan dalam proses pengeluaran CPC sebelum dapat diserahkan untuk kegunaan sekolah pada sesi persekolahan 2019. Baki 92 (23%) buah projek masih dalam pelbagai peringkat pelaksanaan dan dijangka siap selewatnya pada bulan Mac 2019.

45. Pembangunan Sekolah Daif pada tahun 2019 akan ditambah baik dari aspek penggunaan skala impak, kaedah pelaksanaan dan skop pembinaan. Dalam hal ini, keutamaan diberikan kepada sekolah yang telah mendapatkan pengesahan tidak selamat daripada pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) dan teknikal KPM. Selain daripada peruntukan Kementerian Kewangan, inisiatif lain seperti mewujudkan Tabung Penyelenggaraan Sekolah Kerajaan dan galakan sumbangan melalui potongan cukai kepada penyumbang juga sedang digerakkan.

46. Ingin saya tekankan sekali lagi di sini, operasi membaikpulih sekolah daif ini akan menjadi keutamaan dan bakal digerakkan dengan lebih agresif selepas ini. Menyediakan infrastruktur asas yang sempurna adalah amanah pendidikan yang perlu kita jayakan bersama.



(2) Proses Pengajaran

47. Keduanya ialah proses pengajaran. Sejak hari pertama saya diamanahkan, salah satu fokus utama saya adalah untuk memastikan guru-guru mengajar dan bekerja dengan gembira dan menyeronokkan. Mendidik anak-anak harus dijalankan dengan penuh kasih sayang supaya dapat menanamkan perasaan cinta pada ilmu pengetahuan. Pekerjaan yang mulia dan bermakna ini seharusnya tidak menjadi sebuah pekerjaan yang menyakitkan dan membebankan.

48. Oleh hal yang demikian, kementerian sedang berusaha keras untuk mengembalikan tugas hakiki para guru iaitu mendidik dan mengajar. Atas dasar itulah kita telah berjaya mengenal pasti punca tugas-tugas perkeranian yang mengganggu tugas utama guru, yang tidak lagi relevan malah perlu dimansuhkan. Hal ini dilaksanakan dengan mengambil kira pandangan dari akar umbi; iaitu para guru yang mengajar di sekolah.

49. Untuk memastikan tujuan ini dapat dilaksanakan dengan jayanya, kementerian mempunyai perancangan jangka masa pendek, pertengahan dan panjang. Untuk perancangan jangka masa pendek, mulai Januari 2019, sembilan (9) intervensi telah digariskan untuk dilaksanakan oleh pihak Kementerian, JPN, PPD dan sekolah untuk mengurangkan beban tugas guru. Sembilan (9) intervensi tersebut telah dipecahkan kepada lima (5) inisiatif iaitu:

a. Inisiatif pertama: memudahkan pengurusan fail dan dokumentasi, sebanyak tiga (3) intervensi akan dilaksanakan iaitu memudahkan pengurusan Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT), fail panitia dan pelaporan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD).

b. Inisiatif kedua: pengurusan data dan sistem online, sebanyak dua (2) intervensi akan dilaksanakan iaitu segala pengumpulan data hendaklah diambil dari sumber data sedia ada di dalam sistem KPM. Di samping itu, Sistem Kehadiran Murid dalam talian akan digunakan sepenuhnya bagi merekod kehadiran murid. Dalam hal ini, guru tidak lagi perlu mengisi buku Jadual Kedatangan Murid.

c. Inisiatif ketiga: sesuai dengan pemansuhan Peperiksaan Tahap 1, sekolah boleh merangka sendiri pelaksanaan Literasi dan Numerasi (LINUS) yang bersesuaian dengan keperluan murid di sekolah.

d. Inisiatif keempat: penyeragaman borang dan proses pemantauan, sebanyak dua (2) intervensi akan dilaksanakan untuk memastikan guru tidak lagi terbeban untuk mengisi borang kebersihan, keselamatan & penarafan kantin.

e. Inisiatif kelima: penyelarasan penubuhan jawatankuasa di peringkat sekolah, intervensi yang akan dilaksanakan akan memastikan pelbagai jawatankuasa yang tidak berkaitan dengan tugas mendidik akan dimansuhkan.

50. Lima inisiatif ini merupakan langkah pertama untuk meningkatkan kualiti pengajaran, manakala langkah kedua pula melibatkan lebih banyak latihan dan kursus yang perlu bagi memastikan guru-guru mampu menawarkan pendekatan pengajaran yang terbaik.

51. Bercakap tentang latihan guru juga, saya ingin memaklumkan bahawa Kementerian sedang dalam penelitian khas untuk melihat semula sistem latihan guru di IPG. Pemerkasaan IPG harus dilaksanakan lebih dari sekadar menukar nama maktab-maktab perguruan sahaja. Perubahan mentaliti, budaya dan amalan adalah intipati utama perubahan yang ingin kita lakukan untuk meningkatkan kualiti pengajaran dan graduan. Ini adalah untuk memastikan kualiti guru yang terlatih yang dihantar ke sekolah

benar-benar menepati standard yang dapat mengisi keperluan pembelajaran Abad ke-21.

52. Saya menanamkan harapan yang tinggi buat para guru untuk terus mendidik anak bangsa dengan tekun dan bangga. Penyair Usman Awang pernah bermadah,

“Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya, di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota,
di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu, dia adalah guru mewakili seribu buku.”



(3) Proses Pembelajaran

53. Seterusnya adalah berkenaan dengan proses pembelajaran di sekolah. Untuk memastikan nilai-nilai yang telah saya terangkan dapat diberikan tumpuan, maka bermula pada tahun ini juga, bentuk pentaksiran bagi murid Tahap Satu iaitu bagi Tahun 1, 2 dan 3 di semua sekolah rendah akan tertumpu kepada perkembangan karakter dan potensi murid.

54. Penekanan ini adalah berorientasikan pembelajaran (learning-centered) dan tidak lagi berorientasikan peperiksaan (exam-oriented). Pentaksiran alternatif ini akan menggantikan Peperiksaan Pertengahan Tahun dan Peperiksaan Akhir Tahun yang telah lama diamalkan.

55. Pentaksiran Bilik Dajah (PBD) ini juga akan melihat kepada perkembangan potensi murid secara lebih menyeluruh termasuk penerapan amalan nilai murni dan kesedaran sivik khususnya yang berbentuk rutin harian. Ia akan berlaku melalui suasana pembelajaran yang menyeronokkan dan bermakna buat murid dan guru. Kita ingin melihat murid gembira untuk belajar dan dapat membentuk nilai-nilai yang baik seperti rajin berusaha, amanah, hormat orang lain, tekun bekerja, dan rajin membaca.

56. Selain itu, kita juga telah memansuhkan pembahagian kelas mengikut pencapaian akademik. Hal ini kerana pembahagian kelas mengikut pencapaian akademik terutamanya seawal Tahun Satu adalah tidak selari dengan prinsip asas Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS), iaitu menekankan kemenjadian murid secara holistik atau menyeluruh. Pemansuhan pembahagian kelas ini akan menjadi platform yang baik untuk mewujudkan iklim pembelajaran yang positif berteraskan nilai-nilai murni.

(4) Pendidikan Inklusif

57. Keempat dan yang terakhir ialah pendidikan inklusif. UNESCO mentakrifkan pendidikan inklusif sebagai “a process of addressing and responding to the diversity of needs of all learners.”

58. Berdasarkan takrifan UNESCO ini, jelas bahawa pendidikan merupakan hak setiap individu di sesebuah negara. Tidak wajar untuk mana-mana golongan dalam negara ini terpinggir daripada

menerima pendidikan hanya kerana perbezaan status sosial dan kebolehan mereka.

59. Dalam agenda pendidikan inklusif ini, kita akan memberikan tumpuan untuk mengurangkan kadar keciciran murid dan memastikan golongan OKU, golongan B40, orang asli dan kanak-kanak tanpa dokumen turut menerima pendidikan seperti murid yang lain. Kita akan memastikan mulai tahun ini, pintu institusi pendidikan akan terbuka seluas-luasnya kepada semua kanak-kanak yang berhak.

60. Kementerian bertanggungjawab memastikan setiap OKU menerima pendidikan sewajarnya. Antara usaha yang dilakukan adalah menyediakan kemudahan mesra OKU secara berperingkat di sekolah, bermula dengan Sekolah Pendidikan Khas dan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI), dan meningkatkan kerjasama antara Kementerian, syarikat korporat dan NGO berhubung penyediaan perkhidmatan pendidikan khas.

61. Mulai tahun ini juga, Kementerian telah melaksanakan Dasar Sifar Penolakan (Zero-reject Policy) secara menyeluruh bagi Murid Berkeperluan Khas (MBK). Ini bagi memastikan tiada murid dalam kalangan OKU yang dinafikan daripada memasuki alam persekolahan. Langkah ini diambil bagi memastikan golongan ini mendapat hak pendidikan yang sama seperti murid yang lain dan mengelakkan isu keciciran pendidikan dalam kalangan OKU.

62. Bercakap tentang hak, kementerian juga telah memutuskan untuk mengembalikan semangat SBP yang asal, iaitu untuk membantu pelajar-pelajar yang kurang bernasib baik atau B40. Selama ini, peluang untuk mendapat pendidikan berkualiti kepada pelajar-pelajar ini begitu terhad. Oleh itu, menjadi tanggungjawab kementerian untuk menyeimbangkan semula jurang ini atas dasar ekuiti sejagat kerana where you come from should not determine who you become in life.

63. Peluang dan akses terhadap pendidikan yang berkualiti merupakan jalan keluar daripada kemelut kemiskinan yang melanda negara kita. Saya sendiri pernah melihat bagaimana contoh kejayaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) pada tahun 1970-an dimana anak-anak miskin dibantu untuk ke luar negara, dan hari ini mereka menjadi seorang profesional dan pulang membantu mengubah nasib keluarga. Peluang dan akses ini bukan sahaja mampu menukar nasib sebuah keluarga, sebaliknya membantu seluruh generasi sekali gus menawarkan masa hadapan yang lebih cerah.



Mengembalikan Wibawa Pengajian Tinggi

64. Aristotle menitipkan pesan kepada kita, "The roots of education are bitter, but the fruit is sweet." Kelangsungan pengajian tinggi merupakan hasil daripada kerja keras kita semasa alam persekolahan, the fruit of our education. Memasuki alam pengajian tinggi ialah memasuki alam yang penuh cabaran. Di sinilah kita mengenal siapa diri kita, ke mana perjalanan kita, dan bagaimanakah kita mahu menuju ke arahnya.

65. Selari dengan visi kita iaitu untuk mengembalikan wibawa universiti awam dan pengajian tinggi melalui peningkatan kualiti dan penekanan nilai sebagai teras pendidikan, kita telah menggariskan empat hala tuju khusus bagi Universiti Awam dan Pengajian Tinggi. Empat hala tuju tersebut ialah: (1) Kualiti, (2) Autonomi, (3) Kolaborasi dan (4) Pengantarabangsaan.

66. Universiti ialah medan intelektual terbuka. Di situlah tempat berlakunya perdebatan teori, pergaduhan wacana dan perkongsian ilmu yang meriah dan terbuka. Inilah sebenarnya neraca kualiti setiap universiti. Hal ini sangat bertepatan dengan hala tuju kita iaitu ketinggian kualiti yang mana akan dilaksanakan menerusi tiga aspek iaitu kecemerlangan, relevan dan keberkesanan. Untuk mencapai tahap ketinggian kualiti yang memuaskan ini, beberapa perubahan akan dijalankan, antaranya ialah:

1. Para akademik perlu visible dengan penghasilan karya-karya yang memanfaatkan masyarakat. Kita juga menggalakkan universiti untuk menyuburkan budaya dialog, forum, debat, wacana dan program-program lain yang bersifat intelektual dan ke arah memberikan penyelesaian kepada masalah masyarakat dan membangunkan negara.

2. Etika merupakan aspek yang sangat besar dan perlu ditekankan. Etika bekerja yang tidak baik, budaya plagiarism, pembulian akademik mesti dihentikan. Integriti tidak akan dikompromi, termasuk pembasmian plagiarisme, bonceng gratis dan kegilaan menerbitkan artikel yang tidak berkualiti semata-mata ingin mengejar markah penerbitan. Penerbitan yang dihasilkan mestilah mencerminkan penguasaan para intelek terhadap bidangnya sekaligus menjadi rujukan sejagat di dalam bidang tersebut.

3. Kita akan meningkatkan kualiti geran-geran penyelidikan. Geran-geran yang akan dikeluarkan mestilah berbentuk: knowledge transfer, menggalakkan penterjemahan karya-karya besar dan mesti ke arah menyelesaikan masalah masyarakat dan negara yang bersifat semasa dan substantial. Para pensyarah yang telah dikurniakan geran kajian juga digalakkan membimbing dan membiayai calon-calon pasca sarjana

mereka melalui geran-geran tersebut dengan melantik mereka menjadi pembantu penyelidik (research assistant).

4. Bagi sistem promosi para pensyarah pula, kita akan mula bergerak ke arah penggunaan sistem yang memudahkan seperti sistem pusat data raya (big data) dengan teknologi kepintaran buatan (artificial intelligence) yang akan memuatkan semua usaha dan sumbangan mereka sekali gus akan menentukan kelayakan kenaikan pangkat secara automatik. Tiada lagi lambakan borang yang perlu diisi.

5. Perpustakaan akan menjadi gedung ilmu yang paling luas dan tidak berpenghujung. Sistem perhubungan antara perpustakaan seluruh universiti akan ditambahbaik dan akses-akses kepada penerbitan luar akan ditingkatkan.

6. Kita juga mensasarkan agar Universiti Awam dan pengajian tinggi kita menjadi rujukan dan tumpuan global. Proses pengantarabangsaan ini termasuklah dengan usaha meramaikan bilangan pelajar asing untuk datang menuntut di Malaysia selaras dengan visi menjadikan Malaysia sebagai international education hub, dan membina lebih banyak cawangan universiti tempatan di luar negara dengan kaedah satelit universiti. Selain itu, kita juga akan menggalakkan

penubuhan cawangan universiti asing di dalam universiti awam seperti projek MJIIT di UTM, serta memperbanyakkan lagi kolaborasi kajian di antara universiti tempatan dengan universiti terkemuka di luar dan menggalakkan para akademik untuk menjadi profesor pelawat di universiti luar negara.

67. Untuk meningkatkan lagi autonomi di universiti, kita akan menilai semula petunjuk prestasi (KPI) setiap fakulti dan memansuhkan KPI yang bersifat one-size-fits-all. Universiti akan dibahagikan kepada kluster bagi mewujudkan sinergi dan kolaborasi agar tidak lagi bergerak bersendirian. Autonomi diberikan kepada universiti dan kluster-kluster mereka untuk menentukan KPI masing-masing.

68. Pemerkasaan mahasiswa dan mahasiswi di institusi pengajian tinggi dan institusi pendidikan telah dan akan terus diberi penekanan. Antara usaha pertama adalah pemansuhan seksyen 15
(1) (c) yang mengekang penglibatan para mahasiswa untuk terlibat dalam aktiviti politik di dalam kampus secara sah. Pemansuhan ini adalah sejajar dengan hasrat kerajaan untuk menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun.

69. Di samping itu, melalui usahasama berterusan dengan pihak pentadbir universiti awam di seluruh negara, kita sedang berusaha untuk mewujudkan Kesatuan Pelajar (Students’ Union) yang telah lama terkubur di dalam sejarah negara. Melalui Kesatuan Pelajar ini, para mahasiswa akan mempunyai lebih banyak peranan,

peluang dan lebih banyak tanggungjawab di dalam proses membuat keputusan di universiti masing-masing.

70. Dalam hala tuju yang ketiga iaitu kolaborasi, ekosistem kecendiakawanan mesti disemarakkan lagi. Ini boleh dilakukan melalui hubungan mentor-mentee antara profesor senior dan pensyarah-pensyarah baru untuk mewujudkan lebih banyak schools of thoughts dalam bidang masing-masing.

71. Dalam hal ini, universiti tidak seharusnya terasing daripada realiti kehidupan semasa. Demi mempersiapkan pelajar-pelajar kita untuk menjadi sarjana awam (public intellectual) yang mesti menggalas tugas sebagai penyelesai masalah-masalah masyarakat, pihak universiti mestilah menjalankan kolaborasi dengan semua pihak yang sesuai seperti pihak sekolah, politeknik dan Kolej Vokasional. Banyak yang boleh dilakukan oleh Universiti Awam untuk membantu komuniti setempat, termasuklah memberi latihan untuk meningkatkan kualiti PdP di sekolah.

72. Di samping itu, pihak universiti juga perlu berkolaborasi dengan pihak lain untuk mewujudkan endowment dari institusi wakaf, zakat dan alumni. Gunakanlah peluang insentif cukai untuk aktifkan endowment melalui alumni. Pihak alumni universiti awam juga diminta untuk kembali membantu alma mater masing-masing seperti yang berlaku di universiti terkemuka antarabangsa.

73. Seterusnya, kita akan menggerakkan dengan lebih drastik dan menyeluruh usaha pengantarabangsaan (internationalisation) universiti. Paling penting sekali, para akademik Universiti Awam perlu menjadi rujukan antarabangsa di dalam bidang masing-masing dan bukan lagi menjadi jaguh kampung sahaja. Karya-karya yang bermutu tinggi mesti dihasilkan dan diterjemah, proses penterjemahan mesti giat dijalankan, penjenamaan semula dan pemasaran mesti berjalan dengan lebih efektif di peringkat global. Kita juga perlu meningkatkan mobiliti profesor dan staf ke luar negara di samping juga lebih banyak ahli akademik dari luar negara berkunjung dan berkhidmat di dalam negara kita.

74. Dalam soal wibawa universiti juga, institusi pendidikan dan universiti yang menjadi medan intelektual harus juga menjadi medan tempat pencetus dan pembina budaya yang sihat. Persekitaran sekolah, kampus dan semua premis di bawah KPM harus menjadi model mesra alam sekitar atau eco-friendly untuk tujuan ini. Dalam hal ini, Kementerian Pendidikan menyokong inisiatif Kementerian Kesihatan Malaysia dalam melarang merokok secara terbuka di tempat makan. Inilah ekosistem yang perlu dibina secara bersama oleh kita semua.



TVET Sebagai Pilihan Utama

75. Yuval Noah Harari di dalam karya beliau 21 Lessons for the 21st Century mengingatkan kita tentang keperluan industri di masa hadapan tidak lagi selari dengan apa yang kita pelajari hari ini. Kita mesti prihatin dan peka terhadap corak perubahan dan derasnya arus kemajuan.

76. Oleh itu, kita akan terus berusaha untuk meningkatkan keupayaan institusi dan sistem TVET agar terus kekal kompetitif dan menepati kehendak pasaran. Kementerian akan melaksanakan sistem akreditasi yang diharmonikan dengan jaminan kualiti untuk membolehkan mobiliti pelajar dalam institusi TVET termasuklah Malaysian Technical Universiti Network (MTUN). MTUN juga harus bergerak ke arah Fachhochschule di Germany dan diukur dengan penghasilan graduan teknikal dan penyelesaian isu-isu teknikal dan bukan lagi penerbitan semata-mata.

77. Kita juga akan meningkatkan kualiti dan penyampaian program TVET untuk menambah baik kebolehpasaran graduan melalui pendekatan mengupayakan industri untuk menerajui pembangunan kurikulum, menghapuskan pertindihan program dan sumber, meningkatkan keberkesanan kos serta memperluas pembiayaan TVET bagi meningkatkan enrolmen.

78. Dalam masa yang sama, kementerian sedang dalam usaha menyelesaikan isu pengiktirafan Kolej Vokasional yang kontroversial supaya pelajar-pelajar di KV ini akan diberikan hak

pendidikan yang saksama. Usaha memastikan para pelajar KV mendapat pengiktirafan dari pihak-pihak terlibat, terutamanya pihak industri sedang dijalankan. Hal ini memerlukan agar KV diletakkan selari bersama insititusi-institusi TVET yang lain agar berlakunya keselarian di dalam halatuju dan hubungan dengan pihak industri. Usaha penyatuan ini selari dengan ruh penyatuan dua kementerian di bawah satu bumbung pada hari ini.

79. Politeknik dan Kolej Komuniti juga tidak akan dipinggirkan dari radar usaha reformasi yang akan dibawa pada tahun ini. Peningkatan rangkaian dan usahasama di antara kedua-dua institusi ini dengan pihak industri, terutamanya syarikat-syarikat besar dan ternama menjadi keutamaan demi memastikan kebolehpasaran graduan di dalam bidang teknikal akan sentiasa mapan.

80. Penjajaran di antara MTUN dengan politeknik juga telah diusahakan untuk memastikan peluang graduan politeknik untuk melanjutkan pelajaran lebih terjamin. Politeknik dan kolej komuniti juga telah membuka peluang bagi para pelajar lepasan tahfiz untuk melengkapkan diri mereka dengan kemahiran untuk kerjaya hidup mereka.

81. Apa yang telah disenaraikan adalah sebahagian daripada usaha kementerian untuk menjadikan laluan TVET, Politeknik, KV dan Kolej Komuniti benar-benar setaraf dengan pilihan lain dan bukan lagi sebagai pilihan kedua atau pilihan alternatif.

Pendidikan Tanggungjawab Semua

Tuan-tuan dan puan-puan,

82. Firman Allah SWT di dalam Surah al-’Alaq ayat 1 hingga 5:

“Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhan-mu yang Menciptakan. Dia telah Menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah dan Tuhan-mulah Yang Maha Mulia. Yang Mengajar (manusia) dengan pena. Dia Mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya”.

83. Hampir pasti ketika membicarakan soal pendidikan, kita tidak dapat lari daripada berbicara mengenai buku. Buku ialah pintu kepada imaginasi. Hanya dengan membaca, anak-anak hari ini boleh bermimpi untuk menjejak impian mereka.

84. Oleh hal yang demikian, Kementerian Pendidikan telah menggerakkan sebuah kempen besar-besaran ke arah membina sebuah masyarakat yang membaca dan cintakan ilmu. Saya menyeru semua pihak untuk menyahut gerakan
#malaysiamembaca ini yang akan dipimpin oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), dan akan digerakkan di seluruh peringkat agar kita berjaya menjadikan budaya membaca sebagai budaya dominan sekali gus menjadikan negara kita sebagai negara membaca pada tahun 2030.

85. Dalam Amanat Tahun Baharu 2019 ini, saya telah menjelaskan hala tuju dan visi utama Kementerian termasuklah keutamaan yang akan kita berikan untuk tahun ini. Apa yang ingin dilakukan bukanlah mudah namun ia tidak mustahil sekiranya kita melakukannya bersama-sama – this is not a one-man show.

86. Selain daripada sokongan warga keluarga besar Kementerian, bersama-sama dengan saya juga ialah sekumpulan pakar-pakar pendidikan yang mewakili pelbagai bidang. Mereka ini telah diberikan peranan penting sebagai Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) untuk menasihati KPM, dan sebagai ahli Jawatankuasa Kajian Dasar Pendidikan Negara (JKKDPN) untuk melihat semula dasar dan hala tuju pendidikan masa hadapan.

87. Saya akan bekerja keras untuk mencapai hasrat dalam Amanat ini dan saya menyeru Tuan-tuan dan Puan-puan untuk turut sama bekerja dengan saya. Kejayaan Amanat ini adalah kejayaan kita semua demi masa depan anak bangsa.

Penutup

Tuan-tuan dan puan-puan yang saya muliakan,

88. Izinkan saya mengakhiri perutusan ini dengan berkongsi sebuah kisah; kisah seorang guru yang meledakkan harapan dan cita-cita ketika saya berusia 15 tahun. Beliau hanya seorang guru biasa di sebuah sekolah yang biasa. Yang luar biasanya, dari darjah 1 sampailah darjah 6, beliau tidak pernah lulus peperiksaan. Dan beliau cuma mula bersekolah semula pada umur 18 tahun,

mengambil peperiksaan SPM dan STPM kemudiannya melanjutkan pelajaran ke UM dan berjaya menjadi seorang guru.

89. Beliau sering membawa pendekatan yang berbeza dalam melihat perkara-perkara seharian, malah dalam persoalan-persoalan agama. Beliau sentiasa galakkan agar pelajar-pelajarnya selalu bertanya, persoalkan, fikir, dan cari jawapan. Beliau mengajar saya untuk melihat sesuatu perkara melalui dimensi yang lain, dan beliau sentiasa menyuruh saya untuk berfikir secara kreatif dan kritis. Beliaulah insan pertama yang mengajarkan KBAT kepada saya, jauh sebelum istilah KBAT diwujudkan.

90. “Kita ini hidup dengan impian. Impianlah yang memberikan kita sebab untuk bangun esok pagi dan meneruskan kehidupan.” Saya percaya, impianlah yang menyebabkan beliau yang tidak pernah bersekolah mampu melahirkan seorang insan yang mahu bercita-cita. Impianlah yang menyebabkan saya berani untuk merasa tidak puas hati dengan apa yang ada dan menyebabkan saya menyertai politik seterusnya menyahut cabaran menjadi seorang menteri pada hari ini. Impian jugalah yang mendorong saya untuk menarik tangan tuan-tuan dan puan-puan sekelian untuk melakukan reformasi di dalam pendidikan kita pada hari ini agar masa depan negara kita akan lebih baik dari semasa ke semasa.

91. Nelson Mandela pernah menyebutkan, “Pendidikan ialah senjata terbaik untuk mengubah dunia”. Malala Yousafzai juga telah mengingatkan kepada kita semua, "Satu pen, satu buku, seorang kanak-kanak dan seorang guru boleh mengubah seluruh dunia." Begitulah bagaimana guru saya mengubah pemikiran saya sejak saya remaja. Beliau berjaya menjadi pencetus impian bukan sahaja kepada saya, tetapi kepada setiap orang yang beliau didik.

92. Seawal umur saya 15 tahun, beliau telah menyemaikan satu harapan agar saya menjadi menteri pendidikan untuk membina Malaysia yang lebih baik di masa hadapan. Beliau jugalah yang telah menjentik pemikiran kritikal saya untuk menjadikan pendidikan di Malaysia sebagai proses pembinaan manusia berdaya saing di dalam kehidupan tanpa tercabut sifat manusiawinya. Bersama titipan impian untuk menjadi menteri pendidikan semenjak 30 tahun dahululah yang telah memandu saya untuk sampai ke posisi di mana saya berdiri pada hari ini.

93. Justeru, pada hari yang bersejarah ini, saya mahu mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada guru saya, Ustaz Sakijan Muri yang sama-sama hadir bagi mendengar amanat ini. Terima kasih untuk segalanya, ustaz.

94. Dan kepada semua yang hadir pada hari ini, janganlah takut untuk bercita-cita, janganlah takut untuk membina impian, sama-samalah kita menggembleng tenaga demi memugar masa hadapan anak bangsa yang lebih cerah. Kata pepatah arab, ﯾﺰرع ﻣﻦ ﯾﺤﺼﺪ: sesiapa yang menanam akan memetik hasilnya, اﻟﻌﺰم ﺻﺪق إذا اﻟﺴﺒﯿﻞ وﺿﺢ: dan sesiapa yang benar-benar ada kemahuan, akan terbukalah jalan untuk mencapainya.

95. Hakikatnya, kita semua sebagai anggota warga keluarga besar KPM adalah harapan nusa. Anda semua adalah adiwira atau superheroes rakyat yang sebenar. Adidaya kita bukannya pada kuasa sakti atau kuasa dewata, malah bukan juga pada baju, senjata atau azimat tertentu. Ia terletak pada kemurnian jiwa dan semangat tak kenal lelah untuk mendidik anak bangsa dan membangunkan masyarakat.

96. Wahai keluarga besar KPM, andalah harapan negara. Andalah pencorak sejarah masa depan kita bersama. Andalah harapan Malaysia.

97. Sekian, wabillahi taufiq, walhidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

TAMAT












16 Jan 2019

jom kongsi buku

KEMPEN JOM KONGSI BUKU: HAMPIR 2,000 BUKU 'BERTUKAR TANGAN'



Hampir 2,000 buah buku berjaya dihimpunkan menerusi Kempen Jom Kongsi Buku, program yang diadakan sempena Majlis Amanat Menteri Pendidikan Malaysia Tahun 2019, hari ini.

Sambutan yang menggalakkan ini menunjukkan minat dalam kalangan para hadirin terhadap budaya membaca dan berkongsi ilmu. KPM juga telah menggerakkan Kempen Dekad Membaca Kebangsaan baru-baru ini bagi menggalakkan budaya membaca.

Turut sama berkongsi buku pada hari ini ialah YB Dr Maszlee Malik, Menteri Pendidikan dan timbalannya, YB Puan Teo Nie Ching. YBhg Dato' Dr Mohd Gazali Abas, Ketua Setiausaha KPM turut menjayakan kempen ini.

Program ini berkonsepkan perkongsian bahan-bahan bacaan pelbagai tajuk dan bidang, dibawa oleh jemputan ke Majlis Amanat Menteri Pendidikan Malaysia Tahun 2019. Konsep kongsi buku ini membawa makna yang cukup signifikan dengan peranan KPM dalam memartabatkan pendidikan negara.

Menjadi harapan agar usaha ini dapat dilaksanakan secara berterusan dan amalan membaca dihayati, seterusnya dijadikan budaya dalam masyarakat.

Dalam amanatnya, YB Dr Maszlee berkata, "Kementerian Pendidikan telah menggerakkan sebuah kempen besar-besaran ke arah membina sebuah masyarakat yang membaca dan cintakan ilmu."

"Saya menyeru semua pihak untuk menyahut gerakan #malaysiamembaca ini, yang akan dipimpin oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, dan akan digerakkan di seluruh peringkat agar kita berjaya menjadikan budaya membaca sebagai budaya dominan sekali gus menjadikan negara kita sebagai negara membaca pada tahun 2030."

#malaysiamembaca

KPM

13 Jan 2019

aku antara kalian

AKU ANTARA KALIAN
  

setidaknya aku mengerti sentuh dan geser kalian
mengalirkan rasa kasih dan mesra
hormat dan jujur tanpa batas khuatir dan ragu
aku tahu antara kalian tak mungkin ada rasa ragu
atau cemburu terhadapku
yang kuterima adalah sentuh jiwa
dari bersih jiwa kalian

aku ingin memahmi dunia kalian
kerana dalam duniaku terlalu keras dan kasar
terlalu tidak mengertinya mereka
menghargai persahabatan
menilai cinta
aku pernah terhina kerana berada antr kalian
sedang kalian tidak pernah merasa cemburu
aku berada dalam kalangan bangsaku

aku mencari kejujuran
di mana manusia menguasai curiga
dan binatng memiliki pengertian

biarlah aku antara kalian
hidup ini begitu bererti

kuala terengganu
13012019

12 Jan 2019

Berselawat Di Hari Jumaat








Fadhilat Berselawat Di Hari Jumaat

Perawi: Aus bin Aus RA
Susunan: Sunan Abu Dawud
Kitab: 8. كِتَابُ الصَّلاَةِ - Solat
Bab: باب فضل يوم الجمعة وليلة الجمعة - Pada menyatakan fadhilat hari dan malam jumaat
No. Hadith: 1047

Matan Hadith:
عَنْ أَوْسِ بْنِ أَوْسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ ، قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : " إِنَّ مِنْ أَفْضَلِ أَيَّامِكُمْ يَوْمُ الْجُمُعَةِ ، فِيهِ خُلِقَ آدَمُ ، وَفِيهِ قُبِضَ ، وَفِيهِ النَّفْخَةُ ، وَفِيهِ الصَّعْقَةُ ، فَأَكْثِرُوا عَلَيَّ مِنَ الصَّلَاةِ فِيهِ ، فَإِنَّ صَلَاتَكُمْ مَعْرُوضَةٌ عَلَيَّ " ، قَالُوا : يَا رَسُولَ اللَّهِ ! وَكَيْفَ تُعْرَضُ صِلَاتُنَا عَلَيْكَ وَقَدْ أَرَمْتَ ؟ قال : يَقُولُونَ بَلِيتَ ، قَالَ : " إِنَّ اللَّهَ حَرَّمَ عَلَى الْأَرْضِ أَجْسَادَ الْأَنْبِيَاءِ "

. رَوَاهُ أَبُو دَاوُدَ ، وَالنَّسَائِيُّ ، وَابْنُ مَاجَهْ ، وَالدَّارِمِيُّ ، وَالْبَيْهَقِيُّ فِي " الدَّعَوَاتِ الْكَبِيرِ

[التخريج : سنن أبي داود , كتاب الصلاة , تفريع أبواب الجمعة, باب فضل يوم الجمعة وليلة الجمعة , حديث رقم 1047 , عن أوس بن أوس رضي الله عنه]

Terjemahan:
Daripada Aus bin Aus RA, daripada Nabi SAW, baginda bersabda: "Sesungguhnya hari yang paling utama bagi kamu adalah hari Jumaat kerana pada hari itu Nabi Adam dijadikan, pada hari itu baginda diwafatkan, pada hari itu ditiupnya sangkakala (berlaku kiamat) dan pada hari itu akan ditiupkan sangkakala pertama (dibangkitkan kembali). Maka perbanyaklah selawat kepadaku kerana selawat kamu akan disampaikan kepadaku." Mereka (para sahabat) berkata: "Wahai Rasulullah SAW, bagaimanakah selawat kami boleh sampai kepada kamu, sedangkan kamu telah wafat? (atau) mereka berkata: "Telah hancur (tulangnya)”. Lalu baginda SAW bersabda: "Allah SWT mengharamkan tanah untuk memakan jasad para Nabi AS."

(Hadith riwayat Abu Dawud, No: 1047, 1531, An-Nasaie, No: 1374, Ibn Majah, No: 1085, 1636)

Status Hadith: Sahih
Pengajaran:
Selawat (صلوات) adalah jamak daripada perkataan solat bererti doa atau seruan kepada Allah SWT. Dari segi bahasa pula, selawat bermaksud mendoakan atau memohon berkat kepada Allah SWT dan melimpahkan Rahmat-Nya kepada Nabi melalui ucapan, penyataan dan pengharapan, semoga Nabi SAW sentiasa dalam kesejahteraan.

Selawat kepada Nabi Muhammad SAW bermaksud memperbesarkan, mengagungkan, menambahkan kehormatan dan pujian serta mendukung perjuangannya yang mulia. Disamping itu sebagai tanda melahirkan rasa syukur Nabi SAW penyampai utusan-Nya yang membawa rahmat ke seluruh alam. Malah akan menambahkan keyakinan beramal dengan sunnah baginda SAW sebagai petunjuk sepanjang zaman.

Selawat kepada Nabi Muhammad SAW merupakan perintah daripada Allah SWT dan ibadah yang mulia lagi terpuji, terutamanya dihari jumaat, penghulu segala hari. la mengandungi pelbagai kelebihan dan keistimewaan bagi mendapatkan syafaat daripada Nabi Muhammad SAW sebagai bukti cinta serta memperolehi ganjaran yang besar daripada Allah di hari akhirat kelak.

poertal myhadith



kerbau temanku




KUALA TERENGGANU, 11 Jan (Bernama) -- "Saya bangga dan seronok bila gambar saya bersama Awang, Semek, Baba dan Tongkol tular di media sosial sebab ia telah mengharumkan nama keluarga, kampung dan sekolah," kata Muhammad Syukur Khamis, 14, merujuk kepada empat daripada kerbau peliharaan ayahnya.

Pelajar Tingkatan Dua Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Midin itu popular dalam kalangan jurugambar sejak 2015 kerana kebolehannya berinteraksi dengan lebih 100 kerbau peliharaan bapanya, Khamis Jusoh, 63, di Kampung Kubang Bujuk, kira-kira 13 kilometer dari bandar Kuala Terengganu.

Anak bongsu daripada lapan beradik itu berkata kehidupan seharian beliau dipenuhi aktiviti bersama haiwan peliharaan bapanya iaitu kerbau, kambing, lembu, angsa dan ayam kampung berbanding bermain gajet seperti rakan sebaya yang lain.

bernama



Digelar ‘Mowgli Malaysia’, Syukur impi miliki zoo sendiri
Jumaat, 11 Januari 2019
Oleh: IWAN SHU-ASWAD SHUAIB


Syukur diberikan jolokan 'Mowgli Malaysia'. Foto Facebook Syukor Khamis - Kampung Boy.


TANPA disangka-sangka namanya menjadi perhatian selepas gambar yang memaparkan dirinya bersama sekumpulan kerbau menjadi juara pertandingan foto peringkat Asia.

Gambar hasil karya jurugambar anak tempatan, Mohd Nazri Sulaiman mula tular selepas diangkat sebagai Imej Asia 2018 oleh Asian Geographic, bagi kategori Jalanan/Orang Terbaik.

Gambar bertajuk 'Sharing Emotion' (Berkongsi Emosi) karya Mohd Nazri Sulaiman memenangi anugerah Asia Geographic: Imej 2018 bagi kategori Jalanan/Orang. Foto Facebook Asian Geographic

Gambar tersebut turut juga disenaraikan antara 20 foto terbaik dunia menerusi anugerah berprestij, Anugerah Foto Antarabangsa Siena 2018, sehingga anak muda ini diberikan jolokan 'Mowgli Malaysia', berdasarkan watak daripada filem mengenai seorang budak lelaki yang tinggal di dalam hutan dan begitu menyayangi haiwan seperti sahabatnya.

"Syukur ni, kawan dia bukan hanya kerbau saja, tapi kambing, lembu, angsa, burung semua kawan-kawan dia. Cara dia  bergurau (dengan haiwan) macam kawan sekolah. Saya pernah tulis dahulu yang berbunyi "Syukur ni anugerah Allah pada keluarga dia, sebab dalam sejuta orang pun susah nak jumpa budak macam ni"

Saya pernah jumpa ketika mengembara di Indonesia dan Thailand, seorang budak baik dengan seekor kerbau jinak yang telah dicucuk hidungnya, itu biasa.
Tapi tak pernah saya jumpa seorang budak yang boleh berkawan antara 70 dan 80 kerbau (yang tidak dicucuk hidungnya) dalam satu masa. Mereka dah kenal dah dengan Syukur ni," kata Mohd Nazri di halaman Facebooknya pada malam Khamis.

Muhammad Syukur menganggap kerbau-kerbau seperti sahabat, malah antaranya mempunyai nama panggilan. Foto Dallah Deen Photography

Syukur atau nama sebenarnya Muhammad Syukur Khamis berkata, dia sememangnya tidak menyangka gambar yang memaparkan dirinya itu mendapat anugerah.

Saya bangga dan gembira dengan berita yang baru saya dapat semalam. Kemenangan gambar itu sedikit-sebanyak mengharumkan nama keluarga dan sekolah saya

Apa yang anda lihat pada gambar itu, atau gambar-gambar lain yang diambil oleh mana-mana jurugambar profesional atau sambilan, itulah saya dan kehidupan saya,kata pelajar Tingkatan Dua Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Midin ini ketika dihubungi pada Jumaat.


Selain kerbau, Muhammad Syukur sering menghabiskan masa bersama binatang-binatang lain seperti burung. Foto Dallah Deen Photography

Syukur memberitahu, dia mula menjadi subjek atau model oleh jurugambar-jurugambar, sejak di sekolah rendah lagi semasa di Tahun Empat.

Anak kelahiran Kuala Terengganu ini berkata, kesemua gambar yang diambil adalah mengenai kehidupannya di sekitar kampungnya, dari kadang, kolam, sungai sehingga ke hutan.
“Saya memang sejak kecil menyayangi haiwan sebab ayah bela banyak binatang seperti kerbau, kambing, lembu, angsa. Saya mula ikut ayah ke kandang kerbau masa umur enam tahun.

“Saya dah biasa, tak takut dengan binatang-binatang ni. Semuanya sudah menjadi kawan-kawan saya, dan ada kerbau yang diberi nama macam Awang, Sanat dan Wahab,” katanya yang menetap di Kampung Banggol Katong di Kuala Terengganu.


Haiwan-haiwan seperti begitu jinak dengan Muhammad Syukur. Foto Engku Hisham


Mengakui masa lapangannya lebih banyak dihabiskan dengan haiwan-haiwan berkenaan, anak bongsu daripada lapan beradik ini turut menerima tawaran fotografi daripada jurugambar asing seperti India, selain jurugambar tempatan.

“Setiap kali ada sesi fotografi, saya dapat bayaran, biasanya antara RM50 dan RM100. Syukur alhamdulillah, dapat juga buat belanja sekolah.

“Saya berhasrat untuk bekerja di zoo suatu hari nanti kerana hati saya begitu dekat dengan haiwan. Kalau ada rezeki, saya nak buka zoo sendiri nanti,” kata Syukur sambil menambah turut membela ikan keli di belakang rumah.


mstar