jom kongsi buku

KEMPEN JOM KONGSI BUKU: HAMPIR 2,000 BUKU 'BERTUKAR TANGAN'



Hampir 2,000 buah buku berjaya dihimpunkan menerusi Kempen Jom Kongsi Buku, program yang diadakan sempena Majlis Amanat Menteri Pendidikan Malaysia Tahun 2019, hari ini.

Sambutan yang menggalakkan ini menunjukkan minat dalam kalangan para hadirin terhadap budaya membaca dan berkongsi ilmu. KPM juga telah menggerakkan Kempen Dekad Membaca Kebangsaan baru-baru ini bagi menggalakkan budaya membaca.

Turut sama berkongsi buku pada hari ini ialah YB Dr Maszlee Malik, Menteri Pendidikan dan timbalannya, YB Puan Teo Nie Ching. YBhg Dato' Dr Mohd Gazali Abas, Ketua Setiausaha KPM turut menjayakan kempen ini.

Program ini berkonsepkan perkongsian bahan-bahan bacaan pelbagai tajuk dan bidang, dibawa oleh jemputan ke Majlis Amanat Menteri Pendidikan Malaysia Tahun 2019. Konsep kongsi buku ini membawa makna yang cukup signifikan dengan peranan KPM dalam memartabatkan pendidikan negara.

Menjadi harapan agar usaha ini dapat dilaksanakan secara berterusan dan amalan membaca dihayati, seterusnya dijadikan budaya dalam masyarakat.

Dalam amanatnya, YB Dr Maszlee berkata, "Kementerian Pendidikan telah menggerakkan sebuah kempen besar-besaran ke arah membina sebuah masyarakat yang membaca dan cintakan ilmu."

"Saya menyeru semua pihak untuk menyahut gerakan #malaysiamembaca ini, yang akan dipimpin oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, dan akan digerakkan di seluruh peringkat agar kita berjaya menjadikan budaya membaca sebagai budaya dominan sekali gus menjadikan negara kita sebagai negara membaca pada tahun 2030."

#malaysiamembaca

KPM

Comments