Wak Khalid

Anak seni hilang 'sifu'
Oleh Feride Hikmet Atak dan Syarrizuan Abdul Rashid



KUALA LUMPUR: Pemergian pelakon dan pengarang disegani, Khalid Salleh, 70, diratapi anak seni yang menyifatkan idea serta kreativitinya istimewa, selain berada dalam kelas tersendiri.

Dianggap aset seni negara, kehilangan arwah yang mesra disapa 'Wak Khalid', mengejutkan teman seperjuangan yang melihat bagaimana tokoh ini cekal berkarya, namun 'menyembunyikan' kesakitan ditanggung.



Komposer tersohor, Datuk M Nasir terkejut dengan berita pemergian teman seperjuangannya itu.

"Saya baru saja menziarahi arwah, kira-kira dua minggu lalu... Ketika itu, saya lihat, arwah masih kuat semangat.

"Tak sangka pemergian arwah begitu cepat. Saya sedih apabila mendapat tahu berita ini... Semoga rohnya dicucuri rahmat," katanya kepada BH Online.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di Pusat Perubatan Ampang Puteri, dekat sini, pada jam 3.20 petang tadi. Allahyarham dikatakan mengalami sesak nafas dan dikejarkan ke hospital, pagi tadi.

Pelakon veteran, Fauziah Nawi mengaku ralat dan sedih tidak dapat menziarahi Allahyarham. Ini disebabkan beliau terikat dengan penggambaran di Pasir Putih, Kelantan.


FAUZIAH Nawi. - Foto Nurul Shafina Jemenon


"Saya dapat tahu selepas mendapat mesej daripada rakan. Saya dan arwah makin rapat apabila menjalin kerjasama dalam projek teater Anak Alam.

"Malah, keluarga arwah sudah menjadi sebahagian daripada famili saya. Arwah sangat baik... Pantang jumpa, beliau mesti ajak minum dan belanja makan," katanya.

Fauziah berkata, Allahyarham pernah membintangi teater Opera Ayu Cendana arahannya dengan memegang watak Wak Sudar.

"Itu antara kenangan manis kami... Cuma saya sedih tidak dapat menziarahi arwah buat kali terakhir," katanya.

Fauziah Ahmad Daud yang pernah beraksi bersama Khalid dalam teater Malam Haram berkata, arwah adalah insan seni yang memiliki pengisian hebat dan bijak.

Tambahnya, selepas Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P Ramlee, Khalid juga meraih trofi Pelakon Lelaki Terbaik pada Festival Filem Asia Pasifik di Taipei, pada 1998. Ini membuktikan dirinya berada dalam kelas tersendiri dan menjadi rujukan bagi bakat baharu yang mahu bergelar pelakon.

"Saya bertuah kerana pernah berlakon dalam dua naskhah bersama arwah iaitu sebuah drama pada era 1980-an dan pentas teater.

"Saya ralat kerana pada hemat saya, arwah bagaikan insan seni yang kurang didendang. Beliau sebenarnya wajar diberi lebih pengiktirafan," katanya.

Pelakon veteran, Normah Damanhuri pula mengenang Allahyarham sebagai insan yang menjadi panduan kepada semua pelakon setiap kali berada di set penggambaran.


NORMAH Damanhuri. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Normah mengaku peluang berlakon dengan arwah adalah suatu penghargaan, apatah lagi dapat menguasai ilmu penjiwaan, penghayatan dan lakonan.

"Saya bertuah kerana berpeluang berguru dengan arwah. Bukan senang untuk berganding dengannya.

"Bagi saya, arwah ada banyak karya seni yang besar dan tidak pernah lokek untuk berkongsi ilmu," katanya yang berganding dengan Khalid dalam filem Jogho dan teater Bakai.

Sementara itu, Betty Banafe yang mengenali arwah sejak kecil memberitahu, Allahyarham adalah lambang insan seni yang kaya dengan nilai estetika.

"Saya anggap arwah insan seni yang aneh namun ada kualiti dan kredibiliti yang sangat tinggi. Saya kenal arwah sejak kecil dan melihat beliau melukis di kedai milik ayah saya," katanya.

Berpeluang berlakon dengan arwah dalam filem Buai Laju Laju, Betty berkata, mutu lakonan arwah luar biasa dengan setiap gerak-geri serta bahasa tubuh Khalid beraksi sama.

"Arwah mempunyai daya seni yang menarik. Biarpun dianggap pelik tetapi monolog atau apa juga yang dilakukannya, akan terus meresap ke jiwa penonton.

"Arwah juga tidak sombong, sangat kelakar dan bersahaja," katanya.

Generasi baharu, Tam Suhaimi yang beraksi bersama arwah dalam filem Kaki Bakar menyifatkan Khalid sebagai guru dalam bidang seni dan tidak pernah meninggi diri.

Tam menambah, arwah mempunyai aura besar sehingga mampu memberi semangat kepada pelakon lain di lokasi penggambaran.

"Saya masih ingat Wak membantu saya bertutur dalam dialek Jawa ketika berlakon dalam filem Kaki Bakar. Disebabkan aura Wak, saya rajin turun ke set penggambaran walaupun tiada babak saya," katanya.

Biodata

Khalid Salleh dilahirkan pada 29 Februari 1948.
Menang trofi Pelakon Lelaki Terbaik, Festival Filem Asia Pasifik ke-43 di Taipei pada 1998 menerusi filem Jogho.
Meraih dua trofi Festival Filem Malaysia (FFM) iaitu Pelakon Lelaki Terbaik melalui filem Jogho dan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik dalam filem Azizah The Legend.
Antara filem lakonan Allahyarham adalah Penghujung Malam, Azizah The Legend, Jogho, Kaki Bakar, Buai Laju-Laju dan Hanyut.

bhonline


Gaya pemikiran Wak Khalid
Oleh ABD. AZIZ ITAR


Gaya persembahan Khalid Salleh untuk Monolog Jual Ubat disampai mengikut keadaan semasa.


DIA bermula dengan menjual ubat di sekitar Masjid Jamek, Kuala Lumpur pada tahun 1970-an. Itu adalah nadi awal kelahiran Khalid Salleh atau lebih mesra dengan panggilan Wak Khalid dalam dunia seni sehingga dia dikenali sebagai penyair dan pelakon yang popular pada hari ini.

Gaya seorang penjual ubat di kaki-kaki lima itu pula cuma ‘latar belakang’ Wak Khalid pada pementasan monolog yang dipersembahkannya di Lambang Sari, Istana Budaya (IB), Kuala Lumpur dari 11 Mac lalu hingga 17 Mac, baru-baru ini.

Sedangkan ‘latar hadapan’ pada persembahan anak seni berketurunan Jawa ini adalah gaya pemikiran yang berlatarbelakangkan kehidupan seharian yang telah dilaluinya selama ini. Pelbagai idea daripada ceruk dapur sehinggalah isu-isu yang boleh diketengahkan di Parlimen menjadi bahan-bahan penceritaannya.

Justeru, apabila bercakap tentang pementasan Monolog Jual Ubat yang diangkat atas kerjasama antara IB, Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) dan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena) banyak perkara yang boleh diperkatakan.

Antara lain ini berkisar tentang idea-idea Wak Khalid yang begitu jauh menelusuri isu-isu semasa terutama membabitkan jati diri orang Melayu. Gaya penyampaiannya yang disulami dengan bait-bait puisi yang menyelindungi banyak maksud tersirat boleh menyebabkan para penonton berfikir sejenak.

Misalnya, soal isu penggunaan bahasa Melayu yang dituturkan dan konsep rojak dan kebanggaan atas penggunaan Bahasa Kebangsaan tersebut. Semua itu tiada cacat celanya kerana Wak Khalid memang dikenali sebagai seorang yang gigih memperjuangkan bahasa tersebut.

Begitu juga dengan latar belakang ramai penjual ubat di kaki-kaki lima yang banyak berniaga di sekitar Kuala Lumpur pada era tahun 1970-an sehinggalah pertengahan 1990-an. Ini kerana, golongan itu seakan-akan semakin pupus sejak kebelakangan ini.

Pendekatan itu secara tidak langsung mengimbas akan senario kewujudan golongan terbabit yang mungkin tidak diketahui oleh generasi muda hari ini. Tidak salah atau tiada yang perlu dimalukan apabila bercakap tentang produk-produk kaki lima termasuklah daripada ubat gatal sehinggalah ilmu kebatinan yang melangkaui batas logik akal.

Namun, suatu perkara yang harus diperhalusi daripada bahan-bahan kaki lima yang diketengahkan oleh Wak Khalid adalah daripada segi elemen-elemen yang berkaitan tafsiran ayat-ayat al-Quran yang sekali gus boleh menjurus kepada akidah serta pemahaman para penonton.

Bukan mempertikaikan, sebaliknya terdapat banyak terjemahan-terjemahan surah-surah dari al-Quran yang turut diselang-selikan pada persembahan monolog itu mengikut tafsiran dan pemahaman kasar daripada beliau.

Tidak dinafikan pementasan yang hampir mencecah durasi 120 minit itu memang menyerlahkan keupayaan keringat dan ideanya.

Ini kerana, bukan mudah untuk bermonolog dalam tempoh itu dengan menyelitkan pula pelbagai isu di dalamnya.

Bagaimanapun, stamina dan idea-idea yang dipersembahkan oleh Wak Khalid tidak sama pada setiap persembahan yang mana katanya ia akan berubah-ubah mengikut keadaan.

"Saya ikut rasa dalam setiap persembahan ini. Tetapi yang pastinya saya suka ‘usik’ elemen-elemen budaya termasuklah bahasa. Saya bukan sebarangan bercakap isu agama tetapi saya mahu tekankan kita sebenarnya terperangkap dengan istilah.

"Contohnya perkataan kafir itu merujuk kepada ingar (bising)," ujarnya sewaktu mengulas tentang gaya pemikiran dan idea yang diketengahkannya dalam pementasan yang mengenakan tiket berharga RM35 itu.

utusanonline


Comments