membaca kenangan Pak Dinsman

Saya kerap mengikuti posting Pak Shamsudin atau Pak Disman dalam fbnya. Ada suatu yang menarik yang Pak Dinsman tulis terutama tentang dunia sastera, teater dan puisi tanahair. Ada yang mengejutkan saya apabila beliau dapat memunculkan kembali penyair yang lama tak didengar suara dan puisinya Jaafar HS suatu ketika dulu.


 
 Pak Jaafar Hs

Kejutan terbaru Pak Dinsman menjelmakan kembali Baharudin Kahar, novelis ternama tanahair yang lama tak kedengaran. Baharuddin Kahar muncul sebagai penjual satay di Segamat. Suatu yang amat menyentuh jiwa dipaparkan Pak Din

Pak Baharudin Kahar

Tulisan Pak Dinsman kembali mengalunkan suara dan aura silam sastera pada dekad 70an. Apabila Pak Din memunculkan semula foto-foto dirinya/ Dinsman 1973 ini adalah bacaan kenangan yang cukup memukau perasaan. Lama terbiar dan dimunculkan kembali untuk melihat sejarah teater negara oleh penggeraknya sendiri Dinsman

Tulis Pak Dinsman :
DINSMAN 1973
Berlakon sebagai Jebat dalam teater 'Jebat' karya dan arahannya sewaktu di tahun akhir di Universiti Malaya. Jebat ini berpakaian moden dengan jaket dan kasut boot. Tak guna keris tetapi guna pistol.

Terima kasih Datuk Naim Nasir (mantan Datuk Bandar Johor Bahru) yg masih menyimpan buku program teater ini. Yg rambut panjang kurus tak berbaju dalam gambar tu - dialah tu!



Akhir-akhir ini Pak Dinsman menulis tentang GTE - Grup Teater Elit yang begitu dipandang tinggi pada zaman gemilangnya. Melalui tulisan terbaru Pak Dinsman baru saya ketahui bahawa antara peneraju GTE adalah Ajikik


Masih banyak tentang GTE yang perlu diketahui dan saya amat berharap Pak Dinsman akan terus menulisnya kerana ia adalah rakaman kenangan dan sejarah teater tanahair tertulis di dalamnya. Tiada yang lain selayaknya menulis tentang GTE selain Pak Disman. Diharapakan banyak lagi yang dipaparkan...


Siti Zainon dan Ajikik dalam Baca Puisi GTE
 
Bacaan kenangan semakin menjalar jauh apabila tersua posting  Sasterawan Negara Zurinah Hassan  yang ada menyebut tentang Pak Disman dan GTE.

POHON PUISI BERBUNGA MELODI.
(mengenang Zubir Ali)
oleh Zurinah Hassan

Peristiwa itu masih segar di dalam ingatan. Pada tahun 1968 saya belajar di Sekolah Sultanah Asma Alor Setar. Suatu hari saya menghadiri majlis Maulidur Rasul yang diadakan di sekolah agama yang bernama Maktab Mahmud. Acara utama hari itu ialah penyampaian hadiah pertandingan menulis sajak sempena Maulidur Rasul. Saya hadir dengan gembira kerana sayalah yang akan menerima hadiah pertama.

Acara yang berlangsung di dewan maktab cukup meriah. Penyampaian hadiah diikuti dengan acara persembahan. Saya menyaksikan sajak saya yang berjudul “Muhammad” dideklamasikan oleh seorang pelajar Maktab Mahmud bernama Shamsuddin Osman . Sajak yang memenangi tempat kedua dideklamasikan sendiri oleh penulisnya iaitu seorang “budak” Tingkatan Lima Maktab Mahmud. Namanya Muhammad Zubir bin Ali.

Hari itu adalah hari yang bersejarah di dalam hidup saya. Itulah kali pertama saya menjadi johan satu pertandingan menulis sajak.(peringkat sekolah-sekolah daerah Kota Setar). Itulah juga kali pertama kali saya melihat sajak saya dipersembahkan di atas pentas. Saya kagum dengan bacaan dan gaya Shamsudin Osman yang membuat sajak saya terdengar lebih hebat dan dramatic daripada teks asalnya.
Tetapi saya tidak menyangka ada yang lebih dari itu. Saya tidak menyangka bahawa pagi itu saya telah bertemu dengan dua insan yang akan menjadi penting di dalam sejarah seni dan budaya tanah air. Budak lelaki yang bernama Shamsudin Osman yang mendeklamasikan sajak saya itu, kemudiannya menjadi Dinsman, satu nama yang anda kenali pada hari ini. Dan Muhammad Zubir Ali itu tidak lain dan tidak bukan ialah komposer , penyanyi, penyair dan pemikir Zubir Ali yang telah pulang kepada Ilahi pada hari Jumaat 6hb Mach yang lalu.

Zubir melanjutkan pelajaran ke Tingkatan Enam di Kolej Islam Kelang dan kemudian ke Universiti Malaya. Semasa di Universiti Malaya beliau menyertai KESUMA iaitu satu persatuan kesenian yang aktif menganjurkan acara seperti Malam Berbunga Sajak . Acara seperti ini memberi peluang kepada Zubir mencipta lagu-lagu puisi. Bakatnya terus berkembang.
Dari UM beliau ke ITM (sekarang UiTM) sebagai pengawai kebudayaan . Di sinilah beliau menubuhkan kumpulan Harmoni bersama teman-temannya Joey, Ogy dan Azie.

Pada tahun 1977 saya dijemput oleh Grup Teater Elit ( diketuai oleh Dinsman) untuk membuat persembahan di Dewan Bahasa dan Pustaka. Acara itu berjalan dengan jayanya lebih-lebih lagi kerana saya mendapat bantuan Zubir. Beliau telah mencipta beberapa buah lagu daripada puisi saya. Puisi-puisi yang telah dilagukan termasuklah “Seketika Terkenang Padamu Mama”, “Suara Dalam Hujan” dan “Sepanjang Jalan ke Pulau Pinang”. Akhbar Berita Minggu Ahad, 13 Mac, 1977 mengulas, “Lagu-lagu tersebut mendapat tepukan hebat dari para peonton. Dan pujian harus diberikan kepada penggubah lagu yang berbakat ini”.

Dari sini saya melihat Zubir mengatur langkah dengan berani. Beliau kemudian meminta kebenaran bagi memuatkan “Sepanjang ke Pulau Pinang” ke dalam album kumpulan Harmoni yang pertama. Terus terang saya katakan pada mulanya saya kurang yakin lagu-lagu tersebut akan mendapat sambutan. Saya bimbang kalau-kalau lagu puisi hanya akan diminati oleh peminat puisi dan peminat puisi memang amat sedikit di tanah air kita.

Jangkaan saya meleset. Album pertama lagu puisi bukan sahaja diterima bahkan meletup-letup. Lagu “Penantian” menduduki tempat teratas dalam carta lagu-lagu pilihan sehingga berbulan-bulan lamanya. Lagu “Sepanjang Jalan ke Pulau Pinang” kedengaran setiap hari di radio. Sejak itu ramai yang kenal saya sebagai penulis sajak “Sepanjang Jalan ke Pulau Pinang” yang dinyanyikan oleh Zubir Ali. Turut popular ialah lagu Doa dari sajak Khairul Anwar. Ini merupakan sumbangan besar kepada dunia puisi Melayu. Sebagai penyair, saya berterima kasih kepadanya atas usaha yang telah berjaya membawa puisi ke tengah masyarakat.

Dengan kejayaan ini Zubir Ali dan kumpulan Harmoni menempa sejarah di dalam industri muzik dan dunia kepenyairan tanahair. Album pertama kumpulan Harmoni (1981) merupakan album pertama lagu-lagu puisi yang diedarkan secara komersial. Sebelum itu ada juga lagu lagu puisi yang dinyanyikan oleh Ibrahim Bacik tetapi cuma disiarkan menerusi rancangan khas di radio. Album kedua Harmoni “ Nyanyian Ombak” terbit pada tahun 1982. Kejayaan Harmoni di dalam lagu puisi diikuti oleh kumpulan Kopratasa, Ahmad Ramli, Julfekar dan lain-lain.
Bagi saya lagu Penantian menduduki tempat yang tersendiri pula. Ia bukan sahaja lagu puisi pertama yang mengungguli carta lagu popular di radio, tetapi inilah lagu yang saya anggap mempunyai senikata yang paling berpengaruh selepas lagu Getaran Jiwa oleh P.Ramlee.
Di dalam sejarah lagu Melayu moden kita boleh menamakan dua buah lagu yang senikatanya paling diingati dan disebut-sebut. Yang pertama ialah lagu Tan Sri P.Ramlee iaitu Getaran Jiwa. Baris yang berbunyi “Andai dipisah lagu dan irama, lemah tidak berjiwa…..” digunapakai oleh orang ramai untuk menerangkan tentang keakraban sesuatu yang tidak dapat dipisahkan. Selepas “ Getaran Jiwa” muncul “Penantian” Zubir Ali. Ingatkah anda bagaimana baris yang catchy “Penantian satu seksa” digunapakai dengan berleluasa di mana-mana oleh sesiapa sahaja yang berada di dalam situasi menunggu. Saya sendiri pernah mendengar sekumpulan pemain takraw menjerit kepada kawan yang lewat tiba, “penantian satu seksa”. Saya juga mendengar ia dituturkan oleh pensyarah yang sedang berkuliah malah seorang ustaz yang sedang berceramah.

Sebenarnya itulah harapan Zubir. Dia mahu menyanyikan sesuatu yang boleh membawa kesan kepada masyarakat. Dia memilih puisi untuk dilagukan kerana baginya puisi mengandungi makna yang mendalam dan disampaikan dalam bahasa yang indah. Keindahan bahasa dan kedalaman makna inilah yang akan diingati dan kekal di minda pendengar sedangkan lagu-lagu popular bertema cinta murahan mungkin akan digilai tetapi untuk tempoh masa yang singkat. (lihat Harian Metro:31 Mei 06). Maksudnya banyak lagu yang datang dan pergi namun yang kekal menjadi ingatan ialah senikatanya yang indah dan bermakna”

Zubir juga menulis puisi. Sajak-sajaknya pernah tersiar di Dewan Sastera. Bila menulis puisi beliau menggunakan nama Muhammadzubirali. Tidak hairanlah kalau beliau menjadikan lagu puisi sebagai wadah perjuangan, seperti katanya “ Walaupun album ini bukan album komersial dengan tema cinta yang mungkin dicari-cari saya rasa tetap mahu menerbitkannya kerana rasa tanggungjawab terhadap perjalanan dan keindahan puisi.Puisi terlalu indah. Lambang ketinggian budaya kita. Saya akan mengangkat mesej positif dengan puisi sebagai pokoknya dan melodi sebagai bunganya ”(Lihat Kosmo Jumaat 5 Mei 06).

Bagi Zubir penulisan dan penciptaan lagu adalah bidang yang serius. Katanya, “Menulis lagu lebih kepada soal jiwa dan bukannya soal zahir sahaja. Sejauh mana kemampuan sesuatu lagu menarik masyarakat ke arah kebaikan bergantung kepada jiwa penulis lirik, pencipta lagu dan penyanyi” (Utusan Melayu 22 Januari 2008)

Zubir juga mengakui bahawa usahanya menyanyikan lagu puisi adalah sebahagian daripada usahanya untuk memertabatkan bahasa Melayu melalui lirik lagu. Beliau merasa sedih apabila banyak pihak tidak mementingkan aspek lirik lagu. Menurut Zubir, “Bahasa Melayu sangat kaya tetapi kedaifan bahasa Melayu dalam lirik lagu tempatan adalah satu fenomena yang menyedihkan. Kebanyakan penyanyi tidak berminat mendalami bidang bahasa dan tidak peduli sebutannya betul atau salah. Artis juga perlu ada ilmu dan menyanyi dengan jiwa. (lihat Harian Metro 31 Mei 06).

Beliau sering menyatakan kegusarannya, “sekarang siapa saja boleh menjadi penulis lirik. Tidak perlu pandai bahasa Melayu dan tidak perlu jadi ahli fikir”. Bagi Zubir menulis lirik lagu adalah satu kerja seni yang mesti ditangani dengan pemikiran yang mendalam. Seorang penulis lirik sepatutnya juga seorang pemikir kerana “kerja seni itu melambangkan ketinggian daya fikir seorang seniman. Sekiranya pemikiran tentang sesuatu itu kurang kreatif , cetek atau masih dangkal, maka seluruh karya itu terjejas dan tidak dapat diterima sebagai karya seni”.

Selepas Penantian (1981) dan Nyanyian Ombak,(1983) kumpulan Harmoni hilang seketika, kerana anggota-anggotanya yang terpaksa mengikut haluan masing-masing. Zubir juga bertukar tempat ke UKM dan seterusnya Universiti Malaya. Zubir terus aktif di dalam persembahan-persembahan terutama majlis sastera dan deklamasi puisi. Beliau terus mencipta lagu-lagu puisi . Kabarnya sudah ada sekitar 80 buah lagu yang sedia ada. Beliau pernah ditanya mengapa tidak memberi lagu-lagu ini kepada penyanyi lain. Jawapannya beliau pernah mencuba tetapi bila mendengar nyanyian mereka, beliau tidak berpuas hati kerana “jiwa” puisi itu tidak sampai seperti yangdihajati. Pada tahun 94 Zubir memenangi lirik terbaik Pesta Maal Hijrah dan 1995 lagunya dipilih sebagai lagu terbaik Pesta Maal Hijrah. Selain puisi dan lagu, Zubir turut mengemukakan pandangannya terutama mengenai muzik dan pemikiran keIslaman melalui seminar-seminar di dalam dan di luar negara terutama yang dianjurkan oleh JAKIM.

25 tahun kemudian, Zubir Ali mengumpul semula kawan-kawan (Joei dan Shafa) dalam Kumpulan Trio Harmoni untuk meneruskan perjuangannya. Mereka berjaya menerbitkan CD solonya 'Zubir Ali '06'. Di sini juga ada puisi saya iaitu “Puisi Cinta yang Lain” bersama sajak Latif Mohidin, “Siapakah yang Memberi Kabar”.

Zubir juga dikenali menerusi lagunya “Balada Gadis Kecil” yang menyayat hati tentang kekejaman pihak zionis. Lagu ini menjuarai Festival Lagu-lagu 1983. Perasaan kemanusiaan terhadap umat Islam yang menderita diluahkan oleh Zubir pada Malam Demimu Palestin yang berlangsung di Istana Budaya. Simpatinya terhadap rakyat Palestin, membuatkan beliau cukup bersemangat walaupun sudah mula merasa sakit-sakit. Malangnya, inilah penampilannya buat kali terakhir. Tidak berapa lama selepas itu beliau dimasukkan ke hospital Spesialis Damansara untuk menjalani rawatan. Takdir telah menentukan Zubir pergi buat selama-lamanya. Dia telah meninggalkan untuk kita dan bangsanya khazanah seni yang amat berharga. Takziah kepada anak-anak dan isteri Fauziah Ismail yang saya kenali sejak dia masih kecil di Tikam Batu Kedah.

Saya dan Zubir kerap juga berbincang dan lebih banyak bertengkar. Pertengkaran-pertengkaran itu lebih memesrakan kami. Dan sekarang tiada lagi Zubir untuk dilawan bertengkar. Tanpa lawan saya kehilangan kawan.


Balada Gadis Kecil

Gadis ini telah bertahun
Dicengkam derita
Di khemah pelarian
Yang menjanjikan dukacita

Munir tak mengenal erti cinta
Telah kering air mata
Menangisi kematian
Ayah bonda dan saudara

Pada suatu senja langit shatila
Menyaksikan pembunuhan anak kecil dan wanita

interpretasi

Kemudian terjumpa Tulisan Mohd Shah Ibrahim yang menjelaskan tentang Kopratasa. Rupanya Kopratasa dilahirkan di Teater Elit.

Inilah catatan Mohd Shah Ibrahim :

Kopratasa 25 tahun



Pada tahun 2009, genaplah usia Kopratasa 25 tahun. Dilahirkan di Teater Elit yang berpejabat di No. 7A, Jalan Raja Abdullah, Kampung Baru pada tahun 1984, pada mulanya Usop, Sani dan saya cuma main-main muzik dan menyanyi di bilik belakang yang kami panggil studio. Kemudian bila bos kami Dinsman mendengar beberapa puisi yang berjaya kami jadikan lagu dia terus mencadangkan supaya kami menyanyi di pentas dengan membawa nama Grup Teater Elit. Pertama kali di Kompleks Budaya Negara (kini sudah jadi ASWARA) dan seterusnya di beberapa pentas lain.

Di Teater Elit jugalah M. Nasir melihat kami menyanyi pada satu petang ketika dia datang untuk satu urusan lain. Kemudian semuanya jadi sejarah apabila pada tahun 1986 M. Nasir menerbitkan album pertama Kopratasa berjudul Keringat Dalam Pasrah dan pada waktu itu saya mengambil keputusan untuk menarik diri daripada "menjadi artis." Siso masuk menggantikan saya.

Kopratasa terus berjuang dengan konsep puisi dan tidak pernah tersasar hingga ke hari ini dan merupakan kumpulan penyanyi lagu puisi pertama di Malaysia yang masih mampu bertahan selama itu. Sepanjang rakan-rakan saya itu menjadi artis tidak pernah saya melihat mereka di pentas secara "live" sehinggalah pada tahun 2008 saya berpeluang menonton persembahan mereka di Laman Santai Istana Budaya bersama-sama isteri dan anak-anak.

Mungkin Kopratasa bukan sebuah kumpulan yang layak untuk menerima sebarang penghargaan. Kerana itu agaknya tidak ada pihak pun yang perasan tentang usia kumpulan tersebut yang sudah mencecah 25 tahun. Kalau ada pun, mungkin pihak-pihak tertentu hanya akan sedar tentang perkara itu dalam tempoh dua puluh hingga tiga puluh tahun akan datang dan penghargaan itu hanya akan datang selepas Usop, Sani dan Siso sudah tiada lagi di dunia. Saya harap "wakil-wakil" mereka (mungkin cucu-cucu mereka) yang bakal naik ke pentas menerima penghargaan tersebut bagi pihak mereka nanti dapat bersabar menantikan saat-saat manis itu.

Oleh kerana itu, sebelum tahun 2009 melabuhkan tirai, saya berusaha mendapatkan penajaaan daripada rakan kongsi saya Zed untuk persembahan Kopratasa sempena Majlis Makan Malam SDARA 2009 (Persatuan Bekas Pelajar Sekolah Datuk Abdul Razak) yang berlangsung pada 26 Disember bertempat di Dewan Puspanitapuri Putrajaya. Sungguhpun tidak dihebahkan, sekurang-kurangnya dapat juga kami bersama-sama meraikan "Hari Jadi Kopratasa Ke 25 tahun" di hadapan rakan-rakan SDARA saya.

Ada beberapa perkara menarik yang berlaku pada malam itu. Pertama, mungkin itulah pertama kali dalam sejarah majlis makan malam SDARA sebuah persembahan artis ditaja. Kedua, Kopratasa yang membuat persembahan pada malam itu ialah Kopratasa yang terdiri daripada anggota-anggota asal iaitu Usop, Sani dan saya sendiri dan itu merupakan pertama kali kami membuat persembahan bersama selepas "berpisah" dalam satu majlis dengan kehadiran yang agak besar. Ketiga, persembahan itu disaksikan Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir yang diundang khas dan keempat, buat pertama kalinya saya dapat menyanyi di hadapan Tun Mahathir menyampaikan lagu yang paling disukainya iaitu My Way walaupun ketika dia sudah tidak lagi menjadi Perdana Menteri.

Di bawah merupakan antara koleksi gambar persembahan kami serta gambar ketibaan Tun Dr. Mahathir dan Tun Dr. Siti Hasmah di Dewan Puspanitapuri. Selebihnya ada terdapat di dalam Facebook saya.




Saya belum lagi habis bercerita. Kelima, pada malam itu Zed turut mengundang sahabat saya pembikin filem tersohor U-Wei Haji Saari, Julia Fraser (penerbit filem terbaru U-Wei berjudul Hanyut yang sedang dalam persiapan untuk penggambaran pada April 2010) dan juga jurufoto filem Hanyut iaitu Jo Ghazali. Kesemua gambar yang saya paparkan di sini merupakan hasil kerja Jo.

Sudah tentu saya menganggapnya sebagai satu peristiwa paling bersejarah dalam hidup kerana dapat menyanyi di hadapan Tun Mahathir. Tetapi ia menjadi lebih bersejarah lagi kerana sepanjang saya bersahabat dengan U-Wei selama 21 tahun, itulah pertama kali dia melihat dan mendengar saya menyanyi walaupun memang dia amat tahu sejarah saya bersama Kopratasa. Dia bersetuju untuk datang pada malam itu semata-mata kerana diberitahu bahawa saya akan membuat persembahan dengan Kopratasa. Dan di akhir lagu My Way yang menjadi lagu penutup persembahan kami, saya dapat lihat U-Wei bangun bertepuk tangan.

Pada malam itu saya tidak pedulikan orang lain. Bagi saya persembahan itu hanya untuk U-Wei dan Tun Mahathir. Yang lain kebanyakannya kawan-kawan saya dan juga bekas guru-guru yang sememangnya tidak hairan kerana sudah biasa melihat saya beraksi di pentas sejak di sekolah lagi. Bila melihat dia bangun dapat saya rasakan U-Wei suka dengan persembahan kami. Sudah tentu Tun Mahathir tidak dapat bangun kerana dia negarawan yang tidak boleh lepas laku macam seniman seperti U-Wei.

Dengar khabarnya pada malam itu U-Wei ada membisikkan sesuatu mengenai persembahan kami kepada Ida, isteri saya . Pada malam itu juga anak-anak saya Ainur Faresha, Ainur Shahida dan Siti Nurbaya cukup terharu dapat duduk semeja dengan Kopratasa dan juga Pak Cik U-Wei mereka.

Nota kaki;

Baru-baru ini, ketika bertemu di pejabatnya, dengan "sombongnya" saya bergurau memberitahu U-Wei, "U-Wei, I go for nothing less than original." (Maaf, saya tidak pandai menterjemah ayat tersebut).
Saya merujuk kepada diri saya yang merupakan anggota asal Kopratasa dan juga anggota asal Kru Tanah Licin, kru produksi yang ditubuhkannya ketika dia mula-mula kembali ke tanah air 21 tahun lampau.
Meminjam bahasa budak-budak sekarang, "Kalau tak ori saya tak mainlah..."

saya tak ada mba

Semua catatan ini dari Pak Dinsman, SN Zurinah Hassan, dan  Mohd Shah Ibrahi mempunyai tali temali sejarah yang sama. Ia membawa kita untuk mengenali Teater Elit.

Nostalgia harus terbuka
Pak Dinsman tulislah lagi....

Comments