bagaimana
bagaimana
untuk berada di tempat jauh
sedang merdeka dilaungkan
dan aku terpisah dari tanah ibunda
bagaimana untuk mencari tanda
bahawa di sudut jauh
negeriku dalam bayangan
tanpa bendera berkibaran
tanpa negaraku berkumandang
bagaimana
berada dalam tanah dan lingkungan
berpanas berhujan dan memijak tanah sendiri
sedang mulut terbuka menyelar sejarah dan cetera pertiwi
menyoal merdeka dan merasa terbiar
persis di sinilah azab dan sengsara
kauhirup sepanjang hayat
sedang kaupun merasa dan menikmati
nafas merdeka dan denyut bahagia
menjadi warga
apakah tak pernah tertanda segala yang kauterima
sebagai syukur dan bahagia
menjadi manusia merdeka
bagaimana
untuk mengusap linangan airmata
rindu dan sayang
pada tanah yang berjauhan
sedang di bumi sendiri
masih ada yang angkuh mengangkat sepanduk
dan mengoyak bendera sendiri
aku tak pasti
apakah aku terlalu menyayangi negeriku
atau hanya merasa begitu
kerana rindu
sedang ada yang membongkar benci
hanya kerana
tak berpuas hati
Comments
Post a Comment