Kuala Selangor : Bukit Malawati

Bukit Malawati simpan 1,001 kisah
Oleh Khairul Azran Hussin dan Suzaini Sulaiman


KUALA SELANGOR: Bukit Malawati menyimpan pelbagai sejarah dengan 1,001 kisah seperti Makam Sultan, batu hampar, pusara Panglima Hitam dan busut Malawati.

Selain itu, terdapat telaga tujuh, telaga beracun, tangga seratus, padang silat, meriam serta gua simpanan harta istana seperti keris, lembing dan barang berharga.


LOKASI Batu Hampar di Kuala Selangor. - Foto Muhammad Sulaiman

Berikut adalah penerangan ringkas berkaitan bahan bersejarah di bukit berkenaan seperti diceritakan oleh penulis buku Sejarah Kuala Selangor, Datuk Yusoff Hassan kepada wartawan BH.


MAKAM Diraja Selangor di Bukit Melawati, Kuala Selangor. - Foto Muhammad Sulaiman

Makam Sultan

Makam Diraja Selangor terdiri daripada tiga makam Sultan Selangor iaitu Sultan Selangor Pertama, Sultan Salahuddin (1742-1778), Sultan Selangor Kedua, Sultan Ibrahim (1778-1826) dan Sultan Selangor Ketiga, Sultan Mahmud (1826-1857)


KESAN anak Tangga Seratus yang menjadi laluan utama ke kota istana di Bukit Malawati, Selangor. - Foto Roslin Mat Tahir

Tangga Seratus

Nama yang diambil daripada bilangan anak tangganya berjumlah 100. Tangga yang diperbuat batu granit ini adalah laluan utama untuk ke pintu kota istana. Pada zaman dahulu, terdapat Pangkalan Batu Buruk di bawah tangga ini yang menjadi tempat sampan, perahu dan kapal berlabuh.


BUSUT Malawati di Kuala Selangor.

Busut Malawati

Terletak berhampiran pintu kota. Ia adalah tempat sultan bersemayam dan tempat berkumpul tetamu istana. Ia juga dijadikan gelanggang untuk bersabung ayam.

BATU Hampar di Kuala Selangor.

Batu Hampar

Terdapat kisah yang mengatakan ia tempat memancung kepala penderhaka. Namun, Yusoff berpendapat maklumat itu tidak benar kerana hanya seorang pernah dipancung kepala di batu ini, iaitu seorang gadis istana yang berzina dan darahnya disiram di sekeliling istana.


Pusara Panglima Hitam

Dipanggil Panglima Hitam kerana berkulit gelap, selain sering memakai tengkolok, baju dan seluar berwarna hitam. Dia adalah seorang pegawai istana dan dihormati rakyat ketika itu. Ia juga dianggap simbol kehebatan dan `semangat' orang Melayu, selain taat kepada sultan.

Telaga Tujuh.

Telaga Tujuh

Asalnya sebuah telaga yang mempunyai tujuh mata air yang tidak pernah kering walaupun pada musim kemarau. Bagaimanapun, kini hanya tinggal beberapa buah kerana yang lain sudah tertimbus. Sebelum ini, ada segelintir masyarakat menggunakan air telaga ini untuk membayar niat.


PERIGI Beracun di Kuala Selangor.

Perigi Beracun

Air perigi ini dikatakan berisi racun, iaitu hasil ramuan beberapa jenis getah dan miang rebung. Airnya diisi hingga ke paras dagu penderhaka sahaja. Dijadikan tempat penyeksaan kepada penderhaka.


MERIAM di Kuala Selangor.

Meriam

Berdasarkan sejarah, terdapat 102 meriam milik kerajaan Selangor ketika itu, tetapi sebanyak 68 buah dirampas oleh Belanda. Kemudian, sebahagian daripada meriam itu sempat dibawa lari oleh Sultan Ibrahim ke Bukit Raja, Permatang. Atas sebab itu, ketika ini hanya tinggal beberapa buah meriam di atas Bukit Malawati.

Meriam ini dikatakan adalah meriam buatan tangan orang Melayu, malah reka bentuknya ada persamaan dengan meriam `Tok Bedil' yang terdapat di tebing Sungai Kelantan dan Kampung Sungai Pinang, Kelantan.


bhplus online


Keris tua terpacak di pangkal pokok jejawi
Oleh Khairul Azran Hussin dan Suzaini Sulaiman

KUALA SELANGOR: Bukit Malawati dan Kuala Selangor tidak terkecuali dengan pelbagai kisah unik yang diwarisi turun-temurun.

Pengunjung ke daerah ini boleh melihat kesan kisah keramat dan dongeng, antaranya tempat peninggalan harta sultan, meriam penggawa, keris tua, keramat Rubiah, batu harimau, telaga, keramat Syed, pokok besar tempat memancung kepala dan kera serta lotong.


Telaga Tujuh di kaki Bukit Malawati, Kuala Selangor. - Foto Rosdan Wahid

Berikut kisah unik di sebalik bahan bersejarah yang terdapat di Bukit Malawati dan Kuala Selangor, seperti diceritakan oleh penulis buku Sejarah Kuala Selangor, Datuk Yusoff Hassan kepada wartawan BH.

Harta Istana

Pelbagai harta istana seperti lembing dan keris tujuh, lima serta tiga lok tersimpan di dalam gua, berhampiran Busut Malawati. Pada tahun 1975, seorang lelaki cuba mendapatkan keris dari dalam gua ini dengan menggunakan khidmat seorang bomoh untuk memuja, tetapi gagal. Sebaik pulang ke rumah, lelaki itu dikatakan bermimpi didatangi satu lembaga hitam dan mencekiknya.

Pada zaman dahulu, tempat penyimpanan harta itu dikawal oleh Datuk Puteh, selaku bendahari. Kononnya, apabila Datuk Puteh meninggal dunia, dia dikebumikan pada satu sudut busut ini, yang mana tempat itu kini terdapat sepohon sena.


Meriam penggawa yang sentiasa dibalut kain kuning ini terletak di dalam kawasan Makam Tiga Sultan. - Foto Rosdan Wahid

Meriam penggawa

Meriam yang diperbuat daripada besi kuning ini meletup secara sendiri pada tahun 1961 dan 1978. Punca meriam itu meletup sendiri masih menjadi misteri. Malah, ada yang mengatakan ia akan meletup sendiri setiap kali pertabalan Sultan Selangor yang baharu. Meriam penggawa yang sentiasa dibalut kain kuning ini terletak di dalam kawasan Makam Tiga Sultan.

Keris tua

Pada 23 September 1976, terdapat kisah seorang individu bernama Husain Omar terjumpa keris tua terpacak di pangkal pokok jejawi. Pada malamnya, Husain bermimpi diarahkan menyerahkan keris itu kepada seseorang berketurunan raja yang boleh dipercayai.

Keesokannya, dia menyerahkan keris ini kepada Raja Nasron Raja Ishak yang ketika itu adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Selangor. Selepas menerima keris ini, Raja Nasron dikatakan menyarungkan kepada sarung serta hulu lama yang disimpannya dan ternyata ia sepadan dengan hulu dan sarungnya. Keris ini hingga kini berada dalam simpanan Raja Nasron.


Telaga ini dikatakan berusia tidak kurang 180 tahun dan terletak di Cangkat Bukit Tanjung, berhampiran Tasik Shina. - Foto Rosdan Wahid

Keramat Rubiah

Terletak di hujung jalan ke Tanjung Keramat, kira-kira satu kilometer dari bandar Kuala Selangor serta berada di atas bukit keramat setinggi 100 kaki dari aras laut di pinggir Tasik Shina. Mengikut kisahnya, ada seorang anak dara yang sangat cantik dan warak bernama Rubiah dipaksa berkahwin dengan seorang pemuda tanpa persetujuannya.

Rubiah tiba-tiba ghaib pada malam pernikahan dan jasadnya tidak ditemui sehingga kini. Ibu bapanya hanya menjumpai baju anaknya di sebatang pokok dan mendirikan sebuah makam sebagai tanda mengingati anaknya itu.

Ketika ini, bukit kecil di Tasik Shina hanya tinggal busut sahaja kerana batunya di kelilingnya sudah diletupkan bagi pembinaan jalan raya.

Batu Harimau

Terdapat dua ketul batu kecil dan seketul lagi besar, menyerupai tiga ekor harimau, terletak di tepi Sungai Selangor berhampiran jambatan feri lama. Kisahnya, batu ini berasal dari tiga ekor harimau, iaitu seekor harimau betina bersama dua ekor anak hendak menyeberang sungai untuk ke Permatang.

Walaupun ditegur seekor kelambai supaya jangan menyeberang, teguran itu tidak diendahkan menyebabkan kelambai yang mempunyai kuasa ajaib menyumpah ketiga-tiga ekor harimau ini menjadi batu.

Kisah ini ada persamaan dengan dongeng Batu Katak di Kampung Batu Papan, Temerloh, Batu Kucing Bertanduk di Kota Tinggi dan Batu Sapi di Sabah.


Telaga Tujuh di kaki Bukit Malawati, Kuala Selangor. -Foto Rosdan Wahid

Telaga Tujuh

Telaga ini dikatakan berusia tidak kurang 180 tahun dan terletak di Cangkat Bukit Tanjung, berhampiran Tasik Shina. Simen telaga ini ada persamaan dengan beberapa nesan lama di pinggir makam sultan. Ada pendapat mengatakan telaga ini milik Si Lamat dan Si Laba, iaitu dua orang hamba yang kurang waras, tetapi taat kepada sultan.

Keramat Syed

Pusara berbatu marmar putih ini terletak berhampiran tebing Sungai Selangor, tidak jauh dari Batu Harimau. Ada pendapat mengatakan ia adalah makan Syed Japhar yang menjadi ketua orang Selangor ketika perang menentang Belanda.

Pokok besar tempat pancung kepala

Pokok sebesar empat pemeluk ini terletak berhampiran kaki bukit Kuala Selangor. Di pangkal pokok ini menjadi tempat memancung kepala dan terdapat beratus-ratus kubur lama. Namun, pada tahun 1977, pokok ini tumbang dan mati akibat dipanah petir.


Meriam yang diperbuat daripada besi kuning ini meletup secara sendiri pada tahun 1961 dan 1978. - Foto Rosdan Wahid

Kera dan lotong

Mengikut satu cerita, pada 1960, seorang budak lelaki cuba melastik seekor kera yang berada di atas pagar makam, namun secara tiba-tiba budak itu menggelupur dan pengsan.


bhplus online


Tangga 100 penuh semak-samun

Oleh Khairul Azran Hussin dan Suzaini Sulaiman


KUALA SELANGOR: "Entah di mana silapnya pemuliharaan Bukit Malawati mengabaikan sejarah tangga 100, sedangkan tangga ini satu-satunya laluan utama ke pintu kota istana," kata penulis buku Sejarah Kuala Selangor, Datuk Yusoff Hassan.

Dalam nada kecewa, beliau berkata, jika tiada usaha diambil bagi melindungi warisan sejarah berusia beratus-ratus tahun itu, tidak mustahil ia akan lenyap ditelan zaman kerana generasi hari ini melihat struktur itu hanya sekadar `tangga biasa'.


Tangga 100 di Kota Malawati, Kuala Selangor. - Foto Rosdan Wahid

Sehubungan itu, katanya, usaha pemuliharaan kawasan berkenaan perlu bermula di tangga 100, yang ketika itu menjadi `penghubung' pusat pentadbiran berkenaan dengan dunia luar.

Nama 100 itu diambil kerana tangga berkenaan disusun dengan batu granit sebanyak 100 keping hingga bertemu pintu kota dan busut Malawati yang menjadi tempat tetamu istana berkumpul.

Tangga itu juga digunakan pedagang untuk ke Istana Sultan di Bukit Selangor selepas menambat perahu, sampan dan bahtera mereka di bahagian bawah tangga yang dinamakan Pangkalan Batu Buruk.

"Sejarah Bukit Malawati bermula di tangga 100 ini. Saya tak pasti bilangan tangga ini cukup 100 keping atau tak, mungkin sudah ada yang rosak atau pecah. Sudah lama saya tak tengok keadaan bukit ini kerana saya sekarang agak uzur," katanya.

Yusoff berkata, sudah menjadi sikap masyarakat kita yang lebih gemar mengagungkan peninggalan sejarah negara luar, sedangkan warisan di negara sendiri dipandang sepi.

"Saya sudah banyak berjalan ke beberapa negara untuk melihat peninggalan sejarah negara mereka. Secara jujur saya cakap, tidak ada apa yang menarik, sebaliknya ia setanding negara kita dari segi kesenian dan kehebatan tamadunnya.


Nama 100 diambil kerana tangga disusun dengan batu granit sebanyak 100 keping. - Foto Rosdan Wahid

"Tahukah kita yang bukit ini dahulunya menjadi tumpuan kerana ia adalah pusat pentadbiran? Bukit ini dijadikan pusat pentadbiran kerana lokasinya yang tinggi serta menghadap laut. Jadi, ia sesuai untuk dijadikan pusat pertahanan. Saya rasa orang muda sekarang tidak tahu fakta ini," katanya.

Tinjauan BH terhadap tinggalan sejarah di Bukit Malawati mendapati terdapat kesan sejarah yang berada dalam keadaan uzur, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai nasib peninggalan sejarah kesultanan Selangor itu.

Lebih dikesali, tangga 100 itu tidak dijaga dengan elok apabila ia dipenuhi kesan najis haiwan, malah di tepi laluannya dipenuhi semak-samun.

Ketika meninjau satu kawasan di Bukit Malawati, yang terletak di belakang Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Selangor, kami terkejut kerana kawasannya dipenuhi belukar, sekali gus dikhuatiri menjadi tempat 'ular bersarang'.


Pedagang menggunakan Tangga 100 untuk ke istana Sultan di Bukit Selangor. - Foto Rosdan Wahid

Di kawasan itu, terdapat peninggalan sebuah pintu kota istana yang sepatutnya dipulihara, namun sebaliknya apabila yang tinggal hanyalah struktur pintu gerbang yang uzur dan menanti masa untuk rebah menyembah bumi.

Berhampirannya, terdapat bangunan lama yang tertera tahun 1885, dipercayai tarikh ia dibina, juga berada dalam keadaan terbiar.

Seorang penduduk asal Kuala Selangor yang mahu dikenali sebagai Amin, berkata bangunan itu dahulunya menjadi tempat kediaman rasmi pegawai polis daerah, namun kini sudah bertukar `fungsi' apabila menjadi tempat penagih dadah melepaskan gian.

"Sebenarnya, bukan hanya bangunan yang berusia beratus tahun ini sahaja uzur. Kalau kita tengok batu hampar yang terkenal dengan riwayat seorang gadis berzina dipenggal kepala dan darahnya disiram di sekeliling istana, juga tidak dijaga rapi apabila berada dalam keadaan kotor dipenuhi najis burung.


Tangga 100 menjadi laluan utama ke pintu kota istana. - Foto Rosdan Wahid

"Sepatutnya batu hampar ini dipagar atau ditutup. Jadi, tidak ada binatang yang duduk atau datang bertenggek di atasnya. Tengoklah keadaannya kotor. Begitu juga dengan peninggalan sejarah lain seperti meriam yang tidak terjaga," katanya

"Beginikah cara kita jaga sejarah negara? Tengoklah keadaan kesan sejarah, banyak yang teruk. Siapa yang harus dipersalahkan? Saya percaya apabila isu ini dibangkitkan, masing-masing akan menuding jari, tidak mengaku salah," katanya.

Beliau berkata, pihak bertanggungjawab lebih gemar `menjaga' lotong dan kera serta menjadikan haiwan itu sebagai bahan promosi untuk menarik pelancong, daripada mengangkat kehebatan sejarah silam orang Melayu.

Tinjauan BH juga mendapati papan tanda besar tertulis `Kuala Selangor' yang dapat dilihat dari jauh oleh pengguna jalan raya hanya menanti masa untuk rebah, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai sikap pihak bertanggungjawab terhadap bukit itu yang menjadi warisan masyarakat Melayu.





bhplus online


Comments