sawah ladang ini, negeri cinta
- kepada anak yang jauh
biarlah kau tak pulang
aku pun mengerti tentang masa dan gerak usia
pengalaman menyihir masa silam, membuka igau masa depan
kau besar dalam arus baru zaman merdeka
buku-buku yang kau baca dan segala yang kau temui
dari jelajah ilmumu memberitahu tentang dunia depan
mercu meriah kota-kota kebijakan dan hidup senang
aku tetap bersyukur
kerana semua itu masih bisa kau raih
masih upaya kau berdiri mendepani cabar zaman
sedang dulu waktu-waktu kecilmu
kau hanya tahu tentang bendang dan ikan-ikan
kau hanya faham tentag hijau sawah dan burung-burung terbang
kau bisa meneka nama-nama bukit berbalam
dan pohon-pohon berbaris di tepi sawah
hanyir sawah dan sejuk air sungai
dingin pagi dan segar angin
menjadi kekuatan jiwa kekentalan semangat
kaurebut segala payah dengan berani dan yakin diri
aku akan terus mengayun sabit memijak tanah lembut sawah
garing matahari dan samar bulan adalah warna diriku
membesarkanmu dengan upaya kerdil seorang ayah
aku pun tahu, tidak semua kepandaian itu datang dariku
ia dari guru-gurumu dari buku-buku yang kau baca
menulis namaku sendiri pun aku tak tahu
tetapi ada satu yang harus kau ingati
dan simpan diam di lubuk sukmamu
sawah ladang ini, negeri cinta
bagaimana aku mencintaimu
dan ingin masa jauhmu terlalu berharga dari apa yang aku ada
semuanya kuperbuatkan demi cinta
demi kau akan tumbuh dengan pintar dan berjaya
sesekali kau tataplah sawah ladang ini
meskipun bukan diriku
kerana kau akan menatap cinta itu
yang kupersembahkan buatmu anak
dan dalam memasuki ketuaan ini
aku tak bisa berbuat sebagai dulu
bukan pula kuingin kau jadi pengganti
kerana kedudukan dan tanggungjawabmu lebih utama
hanya pulang dan tataplah
bendang tak sehijau dulu
sungai tak sejernih masa kecilmu
gunakanlah kebijakanmu
selamatkanlah cinta ini
dan jangan hadir dalam tatap dan fikirmu
semua ini tak bererti lagi....
kau membunuh cinta itu
sawah ladang ini, negeri cinta
negeri bahagia kita
anakku
CANTIK..
ReplyDeletebersusah payah ibu bapa mahu besarkan ank2, berhempas pulas mencari sesuap rezeki...
ReplyDeletemereka sanggup besusah demi mahukan yg terbaik buat masa depan anak-anaknya..
jadi anak-anaknya janganlah pula lupakan jasa ibu ayahnya....jenguklah bila ada masa, selagi masih punya ibu ayah, hargailah dan hormatilah mereka...