Kedatangan kain songket itu tidak dapat dipastikan dengan tepat, namun dan asal usul perkataan songket dikatakan berasal daripada ‘menyungkit’ kerana dalam bahasa Siam ‘kek’ membawa erti menyungkit selain ‘songkok’ (China) membawa maksud yang sama.— Robyn Maxwell (1990), pengetahuan orang Melayu mengenai teknik songket mungkin diambil daripada orang Cina yang memperkenalkan bahan logam tetapi kehadiran budaya dari Timur Tengah, Parsi, Turki dan Moghul (India) telah memperkukuhkan lagi penghasilannya.
Tidak banyak diketahui mengenai asal songket, tetapi kemungkinannya penenunan songket berkembang di Malaysia melalui perkahwinan antara keluarga diraja, yang merupakan strategi penyatuan biasa sekitar abad ke-15. Songket menggunakan teknik tenunan, di mana benang emas ditenun antara benang sutera pada kain latar. Fibrik yang mewah dan mahal ini menggambarkan struktur sosial dikalangan bangsawan Mela
Fibrik yang mewah dan mahal ini menggambarkan struktur sosial dikalangan bangsawan Melayu. Songket juga lambang kehalusan seni tenunan Melayu yang diwarisi zaman berzaman. Kemahiran dan kretiviti tukang tenun terserlah melalui pengolahan corak dan hasil tenunan yang indah lagi menarik. Kedatangan pedagang-pedagang ke Tanah Melayu telah menggiatkan lagi perkembangan tenunan tempatan.
Tenunan songket mula berkembang dibeberepa negeri terutama di negeri-negeri Pantai Timur seperti Kelantan, Terengganu dan Pahang. Pada zaman silam, motif dan warna yang terdapat pada tenunan songket melambangkan kedudukan seseorang. Secara tradisi, songket ditenun dengan menggunakan benang sutera halus dan benang emas serta dipakai oleh kerabat diraja Melayu dan golongan Bangsawan. Kini, songket ditenun dengan benang kapas dan mula dipakai oleh golongan rakyat biasa sebagai pakaian rasmi untuk majlis-majlis tertentu. Keanggunan kain songket, selain dijadikan sebagai pakaian tradisi untuk mempermanis dan memperaga seni budaya, ia juga turut diilhamkan pada pelbagai barangan dalam bentuk beg, bingkai gambar, hiasan dinding, kusyen dan sebagainya.
Ikuti liku perkembangan songket terengganu dalam menghadapi cabaran arus masa. Cabaran besar songket terengganu adalah lambakan songket dari India yang dijual di negeri ini. Terdapat segelintir peniaga songket di negeri ini yang tidak memikir kesan jangka panjang tindakan mereka menipu pelanggan apabila menawarkan songket India yang didakwa mereka sebagai songket asli buatan Terengganu. Tindakan peniaga terbabit bukan sahaja boleh menjatuhkan reputasi songket Terengganu yang sudah terkenal di serata dunia, malah mengakibatkan warisan nenek-moyang itu gagal dipertahankan.
Bekas Menteri Besar Terengganu Dato’ Seri Haji Ahmad Said turut menjelaskan “Jika Terengganu mahu kekal sebagai negeri pengeluar utama songket negara yang dikagumi dengan harga yang berpatutan, sepatutnya peniaga songket tidak membeli dan menawarkan kepada pelanggan songket dari India,”
Habibah ubah trend songket tradisional
KEHADIRAN Habibah Zikri ke Terengganu pada tahun 1982 telah mengubah salah satu warisan konvensional negeri tersebut. Selepas mengutip pengalaman selama sedekad sebagai pereka bahagian tekstil bersama Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia, Habibah yakin untuk memilih haluannya sendiri.
Kampung Rhu Renggeh, Marang menjadi permulaan kepada kerjaya solo Habibah. Kecintaannya terhadap songket Terengganu mendorong ibu kepada tiga anak itu untuk membangunkan sebuah bengkel menenun songket. Habibah mahu membawa pembaharuan dalam industri songket negara.
Menukar songket tradisional kepada konsep lebih moden mungkin kedengaran gila pada ketika itu. Sebagai orang luar, Habibah dibentak kerana cuba merosakkan tradisi zaman-berzaman milik Terengganu.
Songket Terengganu tradisional lebih banyak memaparkan motif pucuk rebung. Habibah pula memperkenalkan songket dengan corak baharu berteraskan flora dan geometri.
Gabungan motif klasik dan moden dalam setiap helaian songket Habibah dikaji terperinci berdasarkan kesesuaian warna, jalinan dan nilai eksklusif.
"Memang pada awal penubuhan, saya lalui pelbagai dugaan. Namun itu semua cerita lama. Pahit untuk dikenang," begitu pendirian Habibah, 66, individu di sebalik Bibah Songket yang menerima bantuan daripada Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas) bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran.
Tahun-tahun pertama Bibah Songket, kediaman peribadi usahawan dari Sungai Petani, Kedah itu dijadikan bengkel menenun. Hasrat mahu mengubah trend konvensional songket Terengganu dimulakan Habibah dengan memberi penekanan kepada perubahan motif.
Bakat melukis miliknya banyak mengilhamkan karya songket di luar imaginasi. Corak bunga menjadi eksperimen awal Habibah. Tumpuan terhadap songket berciri eksklusif meletakkan Bibah Songket dalam kelas yang tersendiri.
Tidak seperti kebanyakan songket tradisional, Habibah mengutamakan kehalusan perincian dan berani mengambil risiko dengan mencipta songket bermotif rumit.
Inovasi berterusan bagi mengenal pasti trend semasa yang mengambil kira cita rasa masyarakat terhadap warna dan corak membolehkan Bibah Songket sering tampil bersama rekaan moden.
KERUMITAN corak dan kehalusan kerja Bibah Songket menjadikan ia item eksklusif yang tinggi nilai seni.
Idea Habibah
Sedekad Habibah mempertahankan songket Terengganu rekaannya. Dalam tempoh itu juga, keterbukaan masyarakat terhadap pembaharuan yang dibawanya menginjak positif secara berperingkat.
Kini, kita dapat melihat secara meluas, sama ada mahal atau murah, songket Terengganu dengan cantuman motif flora dan tradisional dijual kebanyakan peniaga. Siapa sangka, idealisme Habibah yang diperlekeh segelintir pihak sebelum ini diguna pakai majoriti pengusaha songket tempatan.
Gabungan ciri tradisional dan moden dalam karya Bibah Songket menjadikan ia lebih praktikal dan segar. Peralihan cita rasa masyarakat terhadap songket berciri sebegitu juga secara tidak langsung mengubah konsep konvensional songket Terengganu.
Bibah Songket mula diberi perhatian dan dipandang serius oleh pencinta songket Terengganu. Pelanggan Bibah Songket juga bukan calang-calang. Malah, songket pertama keluaran Bibah Songket dibeli oleh bekas Perdana Menteri Malaysia keempat, Tun Dr. Mahathir Mohamed.
Memandangkan Bibah Songket satu-satunya pengusaha songket tempatan yang mampu menghasilkan songket tradisional dengan campuran warna dan rekaan moden, karyanya menjadi buruan individu berpengaruh.
"Kalau tengok warna, teknik dan perincian, orang boleh tahu yang ia merupakan keluaran Bibah Songket.
"Kos penghasilan songket eksklusif ini memang tinggi. Namun saya tidak berkira sangat sebab niat asal saya adalah untuk memajukan warisan negara ini," ujar Habibah yang juga menghasilkan songket untuk dijadikan hiasan dalaman rumah, cenderamata korporat, hotel dan lawatan orang kenamaan.
Bagi mengekalkan standard eksklusif Bibah Songket, setiap bulan, pihaknya pasti akan tampil dengan rekaan baharu. Pemilihan motif dan warna banyak diputuskan menerusi penggunaan paling terkini rumah-rumah fesyen antarabangsa.
Biarpun moden dari segi rekaan, Bibah Songket masih mengekalkan proses penghasilan asli. Lapan peringkat asas pembuatan songket dilakukan secara tertib dan terperinci agar hasilnya nanti menepati lakaran awal.
PROSES penghasilan songket Bibah masih menggunakan cara tradisional.
Benang emas
Lapan proses itu merangkumi mewarna dan menerai benang, menganing, menggulung, menyapuk, menggarat, menyongket, menekat dan menenun.
Anak kedua Habibah, Sabrena Shamsul Baharin, 34, yang juga memegang posisi dalam bahagian pemasaran strategik bagi Bibah Songket menjelaskan, prosedur lengkap untuk menghasilkan songket asas memakan masa hampir dua bulan.
"Setiap songket mempunyai jangka masa yang berbeza-beza, bergantung kepada tahap kesukaran rekaan," ujar Sabrena.
Penggunaan alat menenun yang dipanggil kek atau kei dalam kalangan masyarakat Kelantan juga memastikan pemeliharaan mutu songket Terengganu ciptaan Bibah Songket. Begitupun, jika songket itu menggunakan kain broked, ia perlu dihasilkan dengan mesin.
Benang-benang yang diwarna juga disesuaikan mengikut reka corak dan permintaan pelanggan. Selain benang metalik, bagi menambah nilai eksklusif, songket akan dihasilkan menggunakan benang emas atau sutera yang diimport dari China.
Penetapan harganya pula satu perkara yang subjektif. Ramai tertanya-tanya mengapakah songket Terengganu asli boleh dijual mencecah ribuan ringgit? Menurut Sabrena, setiap songket mempunyai harga berbeza, bergantung kepada kepayahan penghasilan dan tempoh yang diambil bagi menyiapkannya.
Difahamkan, songket yang halus buatannya boleh memakan masa hampir lima bulan untuk disiapkan. Justeru, harganya juga mahal, setimpal dengan kos keseluruhan yang mengambil kira kerumitan motif, material, kos pekerja dan masa. Anggaran harga bagi songket eksklusif biasanya antara RM5,000 hingga RM10,000 sehelai.
Tambah Sabrena, Bibah Songket pernah cuba mengeluarkan songket berkos rendah. Bagaimanapun ia kurang mendapat sambutan memandangkan terlalu banyak songket 'mampu milik' dijual di pasaran.
Justeru, Bibah Songket lebih selesa memfokuskan perusahaan mereka terhadap songket eksklusif. Biarpun harganya agak mahal, ia masih menerima tempahan memberangsangkan khususnya daripada individu yang tahu nilai sebenar sehelai songket.
Selepas berjaya membina tapak dengan menjadikan rumahnya sebagai bengkel, Habibah kemudiannya mewujudkan ruangan khusus di luar rumahnya menjadi bengkel kedua Bibah Songket.
HABIBAH (kanan) dan Sabrena melakukan proses lakaran rekaan songket baharu setiap bulan.
Curah kepakaran
Perusahaannya berkembang dan dengan sokongan Kraftangan Malaysia, Habibah berhasil membangunkan sebuah bengkel menenun. Ia dilengkapi peralatan menenun dan kini mempunyai kira-kira 20 pekerja.
Seorang pekerja Bibah Songket, Nurul Syahirah Abdullah, 19, berkongsi pengalaman dua tahun menjadi penenun songket. Wanita dari Marang itu mula berkhidmat di bengkel Habibah selepas tamat sekolah menengah.
Minat terhadap warisan negerinya itu membuatkan dia gembira mencurahkan kepakaran yang ada. Tanpa sebarang pengetahuan asas terhadap penghasilan songket, Nurul Syahirah memberitahu, dia mengambil masa setahun untuk menguasai keseluruhan proses.
Sambil tangannya cekap menyusun lidi melalui celahan benang loseng, mulutnya lancar bercerita tentang bidang tugas seorang penenun songket.
"Kain songket yang kami hasilkan adalah sepanjang dua meter setengah. Dalam sehari boleh siapkan 0.08 hingga 0.1 meter. Kalau silap ikut corak yang ditetapkan, terpaksalah buka semula dan betulkan," tutur Nurul Syahirah yang menambah bahawa proses menyongket hanya dilakukan seorang manakala menenun memerlukan tiga orang.
kosmo
KUALA TERENGGANU 28 Jun - Benarkah songket warisan agung Terengganu berasal dari Palembang?
Persoalan ini diutarakan kerana berdasarkan konsep dan reka corak songket Terengganu tradisional ia dikatakan mempunyai persamaan dengan songket dari kawasan terbabit.
Kenyataan itu mungkin ada kebenarannya kerana dari segi sejarah, Terengganu dan Kelantan adalah sebahagian jajahan kerajaan Sriwijaya yang bertapak di Palembang.
Bermula pada abad kesembilan kerajaan ini telah merebak ke Langkasuka (kerajaan terawal di Kedah, Kelantan, Terengganu dan Pahang).
Berdasarkan kenyataan beberapa pengkaji di Palembang, bentuk-bentuk tenunan yang dihasilkan mempunyai kesan pengaruh dari China iaitu dengan menggunakan bahan asas dari sutera dan labuci (untuk tekat).
Pengarah Muzium Negeri Terengganu, Mohd. Yusof Abdullah berkata, tenunan di negeri ini berasal dari beberapa kawasan termasuk Lampung atau Palembang, Indonesia.
Katanya, ini disebabkan perkembangan tenunan di Malaysia dipercayai berkaitan dengan pendatang yang kebanyakannya terdiri daripada pedagang-pedagang.
Katanya, pendatang dari Jawa, Kepulauan Maluku, Borneo dan Bugis telah mengenalkan beberapa jenis kain tenunan.
"Beberapa corak tenunan yang dihasilkan di Terengganu dan di Kelantan misalnya diberi nama seperti tempat asal pedagang-pedagang tersebut.
"Dengan ini terdapat tenunan corak Samarenda (Borneo Timur), corak Bugis dan corak Palembang," katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Hasil tinjauan rambang Utusan Malaysia mendapati songket di Terengganu diusahakan di beberapa kawasan khususnya sekitar Kuala Terengganu.
Kawasan yang terlibat terutamanya di Mukim Losong, iaitu Kampung Losong, Panglima Perang, Kampung Losong Datuk Amar, Kampung Losong Sekolah dan Kampung Losong Masjid.
Terdapat juga di Mukim Cabang Tiga iaitu Kampung Hilir, Kampung Tok Nasek dan Kampung Pasir Panjang.
Perusahaan tenunan juga terdapat di kawasan berhampiran pantai misalnya di Kampung Banggol, Kuala Ibai dan Cendering.
Seterusnya, beberapa perusahaan ini terdapat di beberapa kampung yang berhampiran jalan menuju ke Kota Bharu misalnya Kampung Pulau Rusa dan Kampung Paloh.
Terdapat juga pengusaha tenunan di beberapa daerah di negeri selatan Semenanjung iaitu Johor (Johor Baharu, Muar dan Kulai) dan utara seperti Perlis dan Kedah.
Di samping itu terdapat juga tenunan yang dihasilkan oleh beberapa istana misalnya di Klang (Istana Selangor dan Pekan Istana Pahang).
Mengenai bahan asas dan proses pembuatan songket, Mohd. Yusof berkata, benang ialah bahan asas yang digunakan untuk membuat tenunan iaitu benang kapas, sutera, benang emas dan benang perak.
Katanya, benang emas dan perak ialah bahan asli yang tidak perlu dicelup warna.
"Ia mengandungi warna asal iaitu warna kuning dari benang emas dan warna putih kilat dari benang perak. Benang kapas dan sutera mentah berwarna putih kekuningan.
"Pada awalnya, kain songket hanya ditenun daripada benang sutera halus dan benang emas.
"Apabila ia mula dipakai oleh rakyat biasa, maka ditenun pula songket kapas agar mampu dibeli oleh segenap lapisan masyarakat," katanya.
Selain warna asli, benang-benang mentah untuk tenunan perlu diwarnakan.
Bagaimanapun terdapat juga benang-benang yang telah dicelup biru, merah dan hitam.
Penenun-penenun lebih menggemari mencelup sendiri dengan warna-warna kesukaan Melayu iaitu merah buah kesumba dan biji celagi (asam jawa).
Warna lain ialah merah tua cerah dari getah pohon mala yang dicampuri dengan kapur dan kunyit; merah telur dari batang sepang campur kapur.
Bahan-bahan tersebut merupakan bahan pencelup yang digunakan sebelum pencelup luar dari China dan Jepun dibawa masuk.
Bahan pencelup yang dibawa dari luar berbentuk serbuk dan hablur, dengan tiga warna asas iaitu kuning, biru dan merah.
Hablur atau serbuk pencelup dihancurkan dengan air panas.
Sukatan serbuk pencelup umum ialah satu cawan (serbuk) dihancurkan dengan satu gantang air. Satu campuran dapat mencelup benang yang boleh menghasilkan 80 helai.
Gumpalan benang dicelup dan direndam selama setengah jam untuk warna-warna sederhana dan satu hari untuk warna-warna tua atau pekat.
Kemudian benang dijemur hingga kering sekurang-kurangnya selama dua hingga tiga jam kalau cuaca panas.
Sukatan hablur atau serbuk pencelup serta lamanya ia direndam dapat menentukan cerah atau gelapnya warna.
Penenun-penenun juga menggunakan garam atau asam jawa atau kepingan asam gelugur sebagai asid untuk mengelakkan benang dari luntur.
Campuran dari dua warna akan menerbitkan warna-warna tertentu.
Terdapat ciri-ciri penting warna yang menjadi kegemaran penenun dan masyarakat Melayu iaitu dengan membuat atau meniru warna-warna alam.
Benang-benang yang dicelup dibahagi kepada dua 'hue' atau cahaya iaitu cahaya tua dan cahaya muda.
Mengenai motif songket, Mohd. Yusof berkata, bentuknya dibuat dengan menggunakan benang emas yang diisikan ke dalam cuban.
Katanya, proses pelancaran cuban disebut sebagai menyulam atau menekat benang emas.
Setelah songketan lidi dibuat, benang-benang songketan diikat dan lidi-lidi ini kemudiannya dikeluarkan dari celah-celah benang.
Mengenai motif dan corak songket Terengganu, Mohd. Yusof berkata, ia dihasilkan bergantung kesesuaian dan jenis songket.
Katanya, ia merupakan kombinasi perhiasan di bahagian tengah atau badan songket tradisional dan kebanyakan corak-corak ini dipengaruhi oleh suasana atau keadaan sekeliling di mana penenun-penenun bekerja.
Kesemua bentuk motif dilahirkan dalam bentuk geometri disebabkan oleh cara menenun itu sendiri.
Tumbuhan dan binatang merupakan unsur alam yang penting.
Benda-benda yang digunakan seharian juga dijadikan ilham tukang-tukang Melayu yang dikenali sebagai alam benda.
Di samping itu digunakan juga bentuk dari motif geometri asli.
Motif tumbuhan yang dimaksudkan sebagai motif penting songket meliputi bentuk-bentuk bunga, daun atau pucuk dan bahagian buah yang disebut sebagai tampuk.
utusan online
Warisan songket Terengganu
Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli
TERENGGANU memang terkenal dengan kehalusan pelbagai seni budaya sama ada kraftangan, makanan dan pakaian tradisi seperti songket.
Kiambang, Awang Larat, Air Muleh, Bunga China, Tampuk Manggis dan Pucuk Rebung antara corak songket buatan Terengganu yang paling popular dan menjadi pilihan ramai peminat songket di seluruh negara.
Sambutan menggalakkan peminat songket ‘memaksa’ pengusaha songket tempatan lebih kreatif mempelbagaikan produk berasaskan songket termasuk beg, sarung kusyen, alas meja, selendang bahu serta barangan hiasan.
Walaupun industri songket tempatan kini dihimpit masalah lambakan songket India dan Pakistan, kehalusan serta kepelbagaian corak yang beridentiti Melayu tetap menjadi pilihan.
Di Terengganu, songket bukan saja dibeli di butik songket ternama seperti Manang Songket, Bibah Songket atau Atikah Songket, malah dijual di Pasar Besar Kedai Payang.
Pengusaha songket Terengganu, Wan Manang Wan Awang berkata, songket Terengganu terdiri daripada dua jenis iaitu berasaskan benang kapas dan sutera.
“Songket berasaskan benang sutera paling bernilai dan mahal berbanding songket menggunakan benang kapas.
“Songket sutera lebih ringan serta lembut, malah coraknya berkonsep kontemporari dengan pelbagai warna moden seperti merah jambu dan perak serta metalik.
“Songket itu mengambil masa antara tiga hingga empat bulan untuk disiapkan, malah motif abstrak menjadi pilihan selain corak bunga,” katanya.
Menurutnya, ramai pengusaha songket di negeri ini tidak bergantung kepada produk kain songket dan kain sarung semata-mata, sebaliknya mempelbagaikan produk mereka.
“Dengan kepelbagaian produk berasaskan songket ini, kita mampu mempromosikan produk buatan Terengganu ke seluruh negara termasuk ke Nusantara dan Eropah.
“Malah, ia mewujudkan peluang pekerjaan selain menambah pendapatan penenun tempatan berikutan keperluan penggunaan songket meningkat,” katanya.
Katanya, selain dipasarkan ke pasaran tempatan, songket Terengganu mempunyai permintaan tinggi di Indonesia dan Brunei.
“Songket mempunyai tiga ciri penting bagi menjamin kualiti terbaik iaitu kepala kain, tubuh kain dan tepi kain. Jika salah satu daripadanya tidak sempurna, ia tidak dikategorikan songket bermutu tinggi.
“Songket yang berkualiti tinggi boleh dijual sehingga melebihi RM10,000 dan paling murah RM100 bergantung kepada corak songket itu,” katanya.
Penenun songket, Afifah Aziz, 21, dari Pulau Pinang berkata, dia melanjutkan pelajaran dalam Diploma Penenunan Songket di Institut Kraf Negara (IKN) Rawang, Selangor kerana yakin dengan potensi songket meraih pulangan lumayan.
“Saya merantau ke Terengganu untuk mencari pengalaman dan mengasah kemahiran dalam bidang tenunan kerana songket yang dihasilkan penenun negeri ini bermutu tinggi.
“Difahamkan terdapat lebih 80 penenun songket yang masih aktif di Kampung Gong Tok Nasek, Pasir Panjang, Tebakang dan Losong yang meraih pendapatan lumayan,” katanya.
Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, pengusaha dan peniaga songket di negeri ini berperanan memartabatkan songket buatan tempatan yang terkenal dengan kualiti dan cara pembuatannya yang halus.
“Sejak dulu songket tenunan Terengganu mendapat pengiktirafan antarabangsa.
“Pengiktirafan itu perlu dihargai dengan mengekalkan kualiti selain tidak mengambil tindakan yang boleh menjatuhkan reputasi songket Terengganu,” katanya.
MyMetro
Ancaman songket import
NORHAFIZA MUSA
15 Mac 2013
Mazita (kiri) melayani pengunjung semasa mengadakan pameran dan jualan di Pusat Dagangan Terengganu (TCC). Mazita (kiri) melayani pengunjung semasa mengadakan pameran dan jualan di Pusat Dagangan Terengganu (TCC).
KUALA TERENGGANU – Kain tenunan songket merupakan salah satu seni fabrik yang tidak asing lagi di negeri ini, namun lambakan songket tenunan import yang seakan-akan songket Terengganu yang dijual, dibimbangi mencalarkan produk yang menjadi kebanggaan ini.
Perkembangan teknologi juga menyebabkan terdapat banyak songket di pasaran yang dihasilkan menggunakan mesin.
Jika dibandingkan daripada segi corak dan reka bentuk, ia hampir menyerupai batik tempatan, cuma yang membezakan adalah daripada segi harga iaitu songket tempatan dijual antara RM300 hingga RM1,000 sehelai, manakala songket import pula hanya RM100 hingga RM150 sahaja.
Pengusaha songket, Mazita Mat Din, 50, dari Kampung Belukar Jambu berkata, songket luar walaupun nampak cantik, tetapi daripada segi kualiti dan mutu tidak dapat menandingi songket tempatan.
“Corak dan motif songket kita mungkin ada persamaan dengan songket luar. Namun bagi yang telah biasa dengan produk tempatan, pasti dapat membezakan mana satu yang asli.
“Sebab songket import ternyata lebih keras berbanding tempatan yang lebih lembut dan halus. Kita juga bimbang sekiranya di kalangan penjual sendiri yang cuba mengelirukan pembeli kerana ingin mendapat keuntungan cepat,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, kebanyakan songket ini diusahakan secara individu dan ada juga yang diusahakan secara berkelompok.
Katanya, songket Terengganu ditenun dari benang sutera dan kapas yang digabung bersama benang emas atau perak, dengan menghasilkan corak-corak tertentu seperti bunga tabur, bunga penuh, bunga bercorak dan pelbagai lagi.
Mazita berkata, songket Terengganu mempunyai kualiti dan identiti tersendiri mengikut motif-motif tumbuhan seperti pucuk rebung, bunga raya, bunga teratai, tapak manggis dan pelbagai lagi mengikut permintaan pelanggan.
“Tidak dinafikan, harga sehelai songket tenun adalah mahal, kerana bukan sahaja mengambil masa yang panjang untuk disiapkan tetapi proses membuatnya adalah rumit.
Ia perlu melalui proses seperti mencelup benang, menerai atau melerai benang, menganing, menggulung, menyampak, mengarat, menyongket dan seterusnya menenun,” katanya.
Dia juga turut berkongsi tips untuk mengenal pasti perbezaan antara asli dan import adalah merujuk pada kekemasan di hujung kain songket tersebut.
Songket tenun biasanya akan meninggalkan juraian benang dan songket mesin pula tidak mempunyai juraian benang dan kelihatan lebih kemas.
Ibu empat anak ini berkata, dia mempelajari cara menenun songket daripada keluarga suaminya, Mohd Ghani Awang, 52, yang berasal dari Kampung Pasir Panjang yang merupakan antara perkampungan penenun.
sinar harian
Terengganu angkat martabat songket
Oleh FAUZI MOHD.
16 Mc 2013
SULTANAH Nur Zahirah (tengah) berkenan meninjau kerja-kerja menenun songket di Kompleks Tuanku Nur Zahirah, Kuala Terengganu, baru-baru ini.
KUALA TERENGGANU 15 Mac - Songket, sejenis fabrik yang menjadi warisan unggul Terengganu terus diangkat martabatnya dengan wujudnya Kompleks Tuanku Nur Zahirah (KTNZ) di Tanjung Bunut, Manir dekat sini yang telah beroperasi sejak Mei 2011.
Kompleks dua tingkat yang dibangunkan dengan kos RM4.6 juta itu menjadi salah satu bukti betapa seriusnya kerajaan negeri dalam merealisasikan hasrat dan cita-cita yang terpendam sejak sekian lama.
Kompleks yang dibangunkan Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu itu akan menjadi pusat utama rujukan, pameran, demonstrasi, bimbingan rekaan dan penyelidikan pembangunan fabrik songket.
Ketua Pegawai Eksekutif YPU, Azmi Razik berkata, kewujudannya akan memberi nafas baru dalam perkembangan perusahaan warisan itu sekali gus meletakkannya ke tahap terbaik dan berprestij.
Menurutnya, KTNZ bertindak sebagai pusat inovasi yang berasaskan tradisi selari dengan hasrat kerajaan negeri untuk membangunkan industri songket agar ia boleh menembusi industri zon fesyen eksklusif.
"Sebuah galeri yang diuruskan oleh anak syarikat YPU iaitu Terengganu Institute of Design Excellence (TIDE) juga akan bertindak sebagai inkubator untuk membimbing tenaga muda dengan khidmat nasihat dalam aspek corak, reka bentuk dan fesyen songket," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menerima keberangkatan Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah ke kompleks itu, baru-baru ini.
Mengiringi baginda, isteri Menteri Besar, Toh Puan Seri Norliza Mahmud; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Mohamed Awang Tera dan Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Wan Nawawi Wan Ismail.
Tambah Azmi, kompleks yang dibina berasaskan seni bina rumah tradisional Melayu Terengganu itu terletak di tepi sungai dan bakal menjadi 'penyambut tetamu' kepada kuala Sungai Nerus kerana ia akan turut menjadi tarikan pelancong.
"Sebuah pelantar terapung berharga RM500,000 sedang dibina di jeti kompleks ini bagi memudahkan aktiviti keluar masuk bot serta bakal menjadi produk terbaru di Sungai Terengganu," katanya.
KTNZ yang dibuka kepada pengunjung dari Ahad hingga Khamis itu meliputi galeri pameran songket kelolaan TIDE dan 17 penenun serta pelatih dari Yayasan Tuanku Nur Zahirah.
DUA pelatih Yayasan Tuanku Nur Zahirah menyiapkan proses menyusun benang untuk menenun songket di Kompleks Tuanku Nur Zahirah, Kuala Terengganu, baru-baru ini.
Katanya, TIDE sentiasa melakukan penyelidikan seperti penggunaan benang, pewarna, mesin tenun dan kaedah penghasilan supaya para pengusaha songket di negeri ini dapat beralih dari industri desa kepada industri yang lebih kompetitif.
"Peranan yang dimainkan di kompleks ini dapat memberi alternatif kepada pengusaha untuk menghasilkan produk yang mampu dimiliki oleh semua lapisan masyarakat ke arah membudayakan songket dan ia tidak menjadikan simbol status semata-mata," jelasnya.
Beliau tidak menafikan masih ada penenun yang mewarisi seni ini di bawah rumah dengan teknik penghasilan terdahulu tetapi dengan kewujudan kompleks itu, ia mampu memberi khidmat nasihat, latihan, kursus untuk tempoh tertentu kepada golongan terbabit.
Sementara itu, Azmi berkata, YPU dengan kerjasama Yayasan Tuanku Nur Zahirah akan merealisasikan kewujudan Institut Kemahiran Sultanah Nur Zahirah yang akan dilaksanakan di kompleks itu.
Beliau berkata, pihaknya menyasarkan seramai 30 hingga 40 pelatih akan mengikuti kursus di institut itu pada setiap sesi yang mengambil masa selama satu setengah tahun dan mereka akan diberi elaun sebanyak RM450 sebulan.
"Institut tersebut bukan saja berfungsi sebagai pusat latihan tenunan songket malah akan turut mengenal pasti bidang-bidang baru yang boleh diteroka dalam industri songket.
"Penubuhan institut ini setanding dengan Institut Kraftangan dan sijilnya juga diiktiraf Majlis Latihan Vokasional Kebangsaan," jelasnya sambil merujuk kepada kejayaan Yayasan Tuanku Nur Zahirah melahirkan lebih 40 penenun songket mahir di pusat latihannya di Chendering, dekat sini sejak tahun 2010.
Beliau berkata, kompleks itu turut berfungsi sebagai pusat informasi berkaitan songket Terengganu melalui pengwujudan galeri, perpustakaan, direktori dan arkib.
"Apa yang penting, ia akan menggalakkan generasi pelapis mendampingi serta menghayati seni tenunan songket melalui program latihan dan bimbingan," ujarnya.
utusan online
Comments
Post a Comment