Rumpai Berbahaya

Rumpai terburuk abad ini
Wartawan Sinar Harian
13 Disember 2014


Rumpai miang mexico ini dikategorikan sebagai perosak berbahaya. Rumpai miang mexico ini dikategorikan sebagai perosak berbahaya.


RUMPAI miang Mexico merupakan sejenis rumpai invasif yang berasal dari Mexico dan dilabelkan sebagai 'Worst weed of the century' (rumpai terburuk abad ini) oleh kerajaan India.

Rumpai ini tersebar di hampir 30 negara antaranya Australia, India, Vietnam dan Afrika.

Di Malaysia, rumpai ini disenaraikan sebagai perosak berbahaya di bawah Peraturan 9, Peraturan-Peraturan Kuarantin Tumbuhan 1981.

Ia dipercayai merebak ke negara ini menerusi bijirin, jerami, biji benih, ternakan, kenderaan dan juga jentera yang dicemari biji benih rumpai.

Tumbuhan ini boleh hidup dalam cahaya sedikit sepanjang tahun serta memuncak selepas hujan. Anak benih tumbuh dengan agresif dan mampu mengambil alih kawasan tanaman dengan cepat.

Rumpai ini boleh menghasilkan biji benih yang banyak (100,000 biji untuk satu pusingan) dan boleh kekal tidak aktif bawah tanah dalam purata tempoh 10 tahun.

Tumbuhan ini dikelaskan sebagai rumpai berbahaya kerana ia membiak dan merebak dengan cepat serta mengeluarkan bahan kimia yang memberi kesan alelopati, iaitu ia menyekat percambahan dan pertumbuhan pelbagai jenis tanaman seperti pastura, bijirin, sayuran, rumpai lain dan pokok-pokok.

Rumpai ini memberi kesan terhadap manusia dan haiwan seperti alahan (lelah, ekzema, hay fever) yang serius.

Di Malaysia, kesan alahan telah dilaporkan di Negeri Sembilan.

sinar harian


Rumpai miang Mexico
Bahaya, memudaratkan kesihatan jika tersentuh
OPAT RATTANACHOT
11 Disember 2014 1:53 AM

Syamil Nordin melihat rumpai miang Mexico yang boleh memudaratkan kesihatan jika tersentuh di Taman Cahaya Baiduri, Sungai Pasir, Sungai Petani, Kedah, semalam. (Gambar kecil: Rumpai miang Mexico yang seakan-akan ulam raja).

SUNGAI PETANI 10 Dis. - Para penduduk di bandar ini tidak menyedari bahawa rum­pai miang Mexico yang tumbuh di pekarangan rumah me­reka sebenarnya mendatangkan bahaya seperti didedahkan Kementerian Kesihatan.

Malah, menurut mereka, tumbuhan tersebut juga boleh didapati di merata-rata tempat dan mempunyai bentuk seakan-akan ulam raja yang sering dijadikan hidangan.

Seorang penduduk, Syamil Nordin, 21, dari Taman Cahaya Baiduri, Sungai Pasir di sini berkata, dia tidak me­nyangka rumpai tersebut boleh memudaratkan kesihatan jika tersentuh.

“Saya biasa nampak ma­lah pegang tetapi tak ada kesan apa-apa. Namun, se­lepas men­dapat tahu kementerian me­ngeluarkan amaran, saya kena berhati-hati,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Rumpai miang Mexico merupakan sejenis tumbuhan liar berasal dari beberapa negara di Amerika Selatan dan Utara sebelum tersebar ke Asia dan dikatakan berbahaya kerana boleh memberi kesan teruk kepada ekosistem semula jadi, sektor pertanian dan ternakan selain kesihatan manusia.

Syamil berkata, rumpai tersebut dikesan tumbuh secara liar di pekarangan rumah, taman permainan dan berdekatan sawah padi.

“Saya biasa nampak malah te­ngok rumpai ini sejak kecil lagi. Tinggi pokok ini adalah sekitar 1.5 hingga 2 meter dan mempunyai bunga,” katanya.

Seorang suri rumah, Siti Zubaidah Rashid, 32, pula berkata, dia tidak pernah mendengar kes orang ramai terjejas akibat tersentuh atau terdedah dengan rumpai tersebut sebelum ini.

“Walaupun ada sikit-sikit gatal apabila tersentuh, namun ia tidaklah ketara. Mungkin ia tidak menimbulkan kesan kepada semua orang,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, dia me­ng­alu-alukan usaha pihak berkuasa bertindak menghapuskan rumpai tersebut kerana dikhuatiri menimbulkan masalah kesihatan kepada orang ramai.

Seorang peniaga, Choo Tai Jong, 45, berpendapat, pihak berkuasa perlu memberikan penerangan secara terperinci berhubung bahaya rumpai berkenaan.

“Saya nampak rumput ini ada di mana-mana. Kalau betul bahaya, saya berharap pihak berkuasa kesihatan ambil tindakan segera terma­suk menghapuskannya,” katanya.

utusan online


Jawatankuasa bertindak hapuskan rumpai miang Mexico
12 Disember 2014




PUTRAJAYA 11 Dis. – Jabatan Pertanian telah membentuk sebuah jawatankuasa bertindak bagi menghapuskan rumpai miang Mexico atau parthenium hysterophorus yang kini merebak di enam negeri membabitkan kawasan seluas 28.28 hektar.

Ketua Pengarahnya, Datuk Ahmad Zakaria Mohamad Sidek berkata, tindakan itu bertujuan menghapuskan rumput tersebut secepat mungkin kerana boleh menyebabkan alahan terutama kepada kanak-kanak dan orang tua.

Beliau berkata, semua kakitangan dan agensi di bawah jabatan itu telah diarah mengambil tindakan sebaik sahaja menerima laporan daripada orang ramai yang menemui rumpai miang Mexico.

“Kawasan rumpai itu ditemui semakin luas berbanding 4.8 hektar pada November lalu kerana orang ramai semakin sedar akan kewujudannya dan membuat laporan kepada pihak berkuasa selepas hebahan dibuat melalui akhbar dan televisyen.

Antara negeri yang dikesan ditumbuhi rumpai miang Mexico ialah Perak (lapan hektar), Selangor (0.7 hektar), Kedah (13 hektar), Negeri Sembilan (5.6 hektar), Johor (0.9 hektar) dan Melaka (0.08 hektar).

“Rumpai ini sangat berbahaya kerana boleh menyebabkan alahan teruk terhadap kanak-kanak dan orang tua. Setiap pokok mampu menghasilkan 100,000 biji benih yang mana setiap satunya mampu bertahan selama 10 tahun jika tertanam di dalam tanah dan tumbuh semula.

“Tindakan mekanikal yang kita lakukan sekarang ialah mencabut rumpai tersebut jika kawasan penemuan tidak besar dan pokoknya masih kecil. Selain itu, pasukan khas kita juga akan menyembur racun dan akan memantau kawasan berkenaan selama lima tahun untuk memastikan benihnya betul-betul mati,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dirasmikan oleh Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Sebelum ini, akhbar melapor­kan mengenai kejadian alahan pada kulit dan gejala gangguan pada sistem pernafasan dalam kalangan pekerja ladang kelapa sawit di Sidam, Kedah dipercayai berkaitan dengan rumpai miang Mexico.

Rumpai miang Mexico merupakan sejenis tumbuhan liar berasal dari beberapa negara di Amerika Selatan dan Amerika Utara sebelum tersebar ke Asia dan dikatakan berbahaya kerana boleh memberi kesan teruk kepada ekosistem semula jadi, sektor pertanian dan ternakan selain kesihatan manusia.

Menurut Zakaria, pihaknya turut bekerjasama dengan penyelidik dari universiti-universiti tempatan dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) bagi mengkaji bagaimana hendak mengatasi masalah alahan dan cara kawalan yang komprehensif.

Dalam pada itu katanya, pihaknya sedang mengkaji bagaimana rumpai miang Mexico boleh tumbuh di negara ini dan kemungkinan ia dibawa oleh ternakan yang diimport.

utusan online


Musnah `Miang Mexico’
Oleh Khairul Najib Asarullah Khan

Seremban: Hasil pendedahan akhbar ini semalam mengenai kewujudan rumpai Miang Mexico yang mengancam orang ramai yang menyentuhnya, Jabatan Pertanian Negeri Sembilan bertindak mencabut tumbuh-tumbuhan itu di Kampung Baru Saga, Rantau di sini, pagi ini.

Pengarahnya, Mustafa Umar berkata, seramai 10 kakitangan ditugaskan mencabut rumpai berkenaan dalam usaha memastikan ia tidak lagi tumbuh di kawasan terbabit.

KERJA pembersihan rumpai miang Mexico dilakukan oleh kakitangan Jabatan Pertanian Negeri Sembilan bertindak mencabut tumbuh-tumbuhan itu di Kampung Baru Saga, Rantau di sini, pagi ini.


Katanya, pihaknya sebelum ini pada 11 dan 20 November lalu sudahpun melakukan semburan racun pada rumpai berkenaan atau dalam bahasa saintifiknya 'Parthenium Hysterophorus'.

"Pada hari ini, kita bermula jam 9.30 pagi hingga 11.30 pagi tadi bergotong royong mencabut rumpai itu hingga ke akarnya di jalan utama di kampung terbabit," katanya.

Harian Metro semalam dan hari ini melaporkan penemuaan rumpai Miang Mexico dilihat tumbuh meliar di kampung itu dan seorang penduduk, S Kaliammah, 63 mengalami ruam di tangan serta kaki akibat memegang tumbuh-tumbuhan itu.

Menurut Mustafa, selepas dicabut, rumpai berkenaan dimasukkan ke dalam pastik sebelum ia dibakar di tanah lapang di kampung itu.

hmetro 









Comments