Jejak dan Warisan : Taming Sari



Dalam Wikipedia Keris Taming Sari disebut sebagai keris yang telah digunakan oleh Laksamana Hang Tuah sebagai Laksamana Melaka. Keris ini amat terkenal dan dikatakan mempunyai kuasa sakti iaitu ketika bertarung pemiliknya tidak lut dimakan senjata lawan ataupun kebal. Ia dikatakan juga berupaya berlegar diudara ketika mengejar musuh walau ke mana sahaja musuh itu berlari.

Keris adalah merupakan salah satu yang terdapat di jata negara yang megah khususnya kita sebagai rakyat Malaysia.Keris ini juga merupakan kebanggaan rakyat Malaysia,yang mana dahulu kala mempunyai sejarah tertentu mahupun asal usul.Terdapat banyak keris yang ada di negara kita tetapi yang paling popular pada zaman dahulu dan juga sekarang adalah yang dikenali sebagai Keris Taming Sari.Keris Taming Sari ialah keris yang telah digunakan oleh Laksamana Hang Tuah sebagai Laksamana Melaka. Keris ini amat terkenal dan dikatakan mempunyai kuasa sakti iaitu ketika bertarung pemiliknya tidak lut dimakan senjata lawan ataupun kebal. Ia dikatakan juga berupaya berlegar diudara ketika mengejar musuh walau ke mana sahaja musuh itu berlari.

Keris Taming Sari pada asalnya adalah kepunyaan Taming Sari, seorang pahlawan Jawa. Beliau telah diarahkan oleh Patih Gajah Mada, Bentara Majapahit untuk membunuh Hang Tuah. Taming Seri telah memasuki istana Seri Betara Majapahit dan telah mengamuk dan membunuh ramai orang. Hang Tuah yang berada di situ telah bertarung dengan Taming Sari dan telah membunuh beliau. Keris Taming Sari telah jatuh ke tangan Hang Tuah dan beliau telah mempersembahkan keris itu kehadapan Seri Betara Majapahit. Baginda telah menganugerahkan Keris Taming Sari kepada Laksamana Hang Tuah diatas jasanya mengalahkan Taming Sari.

Keris Taming Sari pernah dicuri oleh Sang Kertaksa, atas arahan Patih Gajah Mada dan Seri Betara Majapahit yang ingin membunuh Laksamana Hang Tuah. Laksamana Hang Tuah bagaimanapun berjaya mendapatkan semula Keris Taming Sari dengan menggunakan ilmu sakti beliau.Setelah difitnah oleh Patih Kerma Wijaya, Laksamana Hang Tuah telah dibuang negeri oleh Paduka Sultan Melaka. Keris Taming Sari telah baginda berikan kepada Hang Jebat yang telah dilantik menjadi Laksamana menggantikan Hang Tuah. Hang Jebat kemudiannya telah memasuki istana Sultan Melaka dan mengamuk membunuh ramai rakyat jelata. Hang Tuah yang disembunyikan oleh Paduka Bendahara telah dipanggil oleh Sultan Melaka untuk bersemuka dengan Hang Jebat. Semasa bertarung Hang Tuah telah merampas Keris Taming Sari dari Hang Jebat dan telah menikam dan membunuh beliau.

Selepas itu, Hang Tuah yang terlalu malu untuk menghadap Sultan Melaka kerana gagal mendapatkan Puteri Gunung Ledang untuk baginda telah mengirim dan mempersembahkan Keris Taming Sari kepada baginda. Ketika Sultan Mahmud meninggalkan Melaka, baginda membawa keris ini bersama ke Kampar, Sumatera. Baginda kemudiannya telah mengurniakan Keris Taming Sari ini kepada anakanda baginda, Raja Mudzaffar, yang kemudiannya berangkat ke Perak. Keris Taming Sari inilah yang telah digunakan pada adat kebesaran diraja Perak. Keseluruhan sarung keris ini diselaputi oleh dedaun emas.
Secara kesimpulan di sini adalah,kita sebagai rakyat Malaysia haruslah berbangga dengan adanya seni warisan yang begitu penuh dengan sejarah-sejarah tertentu bahkan setanding dengan negara luar.Bak kata pepatah "duduk sama rendah,berdiri sama tinggi".

Berikut adalah beberapa catatan penting tentang Taming Sari sebagai membuka kenangan dan imbauan pada jejak dan warisan budaya bangsa. Warisan keramat budaya bangsa ini amat penting disuburkan dari semasa ke semasa. Biarlah ia sentiasa malar dalam tasik fikir cembol ingatan dan menjadi nafas dan jiwa kehidupan kita saban masa. Tidak ada orang lain akan menghargai segala ini melainkan kita yang perlu tampil dan berbangga serta bersyukur dengan apa yang termiliki.

KERIS TAMING SARI



Taming Sari : Antara Metos dan Realiti
oleh :  Rohaniza Idris

Keris tersohor di alam Melayu lambang kebesaran Diraja Kesultanan Perak

KERIS iaitu sejenis senjata pendek yang digunakan untuk mempertahankan diri sejak lebih 600 tahun dulu tidak dapat dipisahkan daripada warisan galur bangsa.
Senjata unik di dunia Melayu ini boleh didapati di kawasan berpenduduk Melayu seperti Malaysia, Indonesia, Singapura, selatan Thailand; Mindanao, Filipina serta Brunei dengan nama yang digunakan untuk senjata ini berbeza mengikut daerah.
Misalnya, di Mindanao ia dikenali sebagai sundang manakala di Bali dipanggil kedutan, Jawa Barat menggelarkannya kujang serta penduduk Sumatera merujuk keris sebagai kareh.

Dipercayai perkataan keris berasal daripada bahasa Jawa Kuno iaitu malang kerik yang bermaksud bercekak pinggang. Ini merujuk kepada figura orang bercekak pinggang pada hulu keris pada peringkat awal.

Selain digunakan untuk mempertahankan diri ketika bersilat, keris juga menjadi alat kebesaran diraja atau lambang kedaulatan Melayu. Dalam ratusan jenis senjata ini, keris tersohor yang paling dikenali ramai pastinya Taming Sari.

Sebut saja Taming Sari, rata-rata semua orang teringat kepada pahlawan Melayu Melaka, Hang Tuah, begitulah sebaliknya. Gabungan Taming Sari dengan Hang Tuah sangat sinonim dengan sejarah dan kebudayaan Melayu.
Apabila timbul isu bahawa pahlawan Melayu, Hang Tuah sebenarnya tidak wujud seperti yang dipertikaikan sesetengah pihak, maka timbul persoalan sama mengenai kewujudan keris Taming Sari.

Benarkah keris Taming Sari itu wujud atau sekadar mitos untuk mengukuhkan lagi kewujudan Hang Tuah? Rona minggu ini mendapatkan pandangan sejarahwan yang juga pakar keris dan Muzium Perak bagi merungkai persoalan itu.

Pensyarah Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya (UM), Mohd Ramli Raman berkata, keris Taming Sari banyak diceritakan dalam Hikayat Hang Tuah dan Sejarah Melayu serta beberapa manuskrip alam Melayu yang lain.

Mohd Ramli berkata, apa yang jelas, keris Taming Sari memang wujud dan menjadi alat kebesaran Kesultanan Perak. Malah, berdasarkan rupa dan ciri yang ada pada keris Di Raja itu, senjata ini memang asli dan berasal dari abad ke-14 kerajaan Majapahit.

Malah, beliau berkata, beberapa manuskrip lama yang ditemui juga menceritakan mengenai keris berkenaan dan terbukti senjata itu memang wujud serta masih terus terpelihara sebagai peralatan Diraja Perak.

“Keris Taming Sari mendapat nama daripada hulu balang Jawa pada pemerintahan kerajaan Majapahit seperti yang ditulis dalam Sejarah Melayu mahupun Hikayat Hang Tuah serta manuskrip lain. Tidak kiralah sama ada benar wujudnya pendekar Taming Sari itu atau tidak, namun keris itu memang ada.

“Mengenai keaslian pula, mengapa perlu dipertikaikan kerana senjata berkenaan adalah alat kebesaran Diraja Perak. Ia benar wujud dan asli kerana ciri yang ada termasuk jenis logam yang digunakan memang terbukti sejak lebih 600 tahun dulu,” katanya.

Mohd Ramli berkata, banyak mitos dikaitkan dengan keris berkenaan, namun mitos itu adalah kepercayaan. Jadi, soalnya, mengapa perlu diketepikan kepercayaan itu.

Menceritakan sejarah keris tersohor itu, beliau berkata, mengikut Hikayat Hang Tuah, keris berkenaan mendapat nama daripada nama pemilik keris itu, hulubalang Majapahit, Taming Sari.

“Selepas pertarungan antara Majapahit dengan Hang Tuah, yang mana kemenangan berpihak kepada Hang Tuah, keris itu dihadiahkan Ratu Majapahit dengan Sultan Melaka dan kemudian diserahkan kepada Hang Tuah.

“Selepas kegagalan Hang Tuah meminang Puteri Gunung Ledang, beliau menyerahkan keris itu kepada Tun Mamat untuk diserahkan kembali kepada Paduka Raja.

“Namun, yang pastinya saya melihat keris Taming Sari adalah lambang kewibawaan, kekuasaan, darjat, rezeki dan mempunyai pengisian serta spiritual di dalamnya,” katanya.

Mohd Ramli berkata, selepas keris Taming Sari diserahkan kepada Hang Tuah, kerajaan Majapahit tumbang manakala Melaka menjadi lebih maju dan terkenal di mata dunia.

“Selepas keris diserahkan kepada Sultan Melaka tetapi dibawa Tun Mamat ke Riau, maka berlaku kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka dan apabila ia dibawa ke Perak, ‘roh’ atau spiritual Taming Sari melonjakkan Kesultanan Perak sehingga hari ini,” katanya.


Pantang larang Taming Sari

RIWAYAT dan kisah pertarungan hebat antara lagenda pendekar Melayu terulung, Hang Tuah dengan pahlawan Jawa dalam kerajaan Majapahit, Taming Sari akhirnya menzahirkan kewujudan keris teragung dalam sejarah ketamadunan Melayu iaitu Keris Taming Sari.

Mengambil nama sempena pahlawan hebat kerajaan Majapahit itu, Taming Sari dianggap keris sakti hingga menjadikan pemiliknya tidak lut ditujah senjata tajam. Malah, cerita silam mengisahkan pemilik asal keris itu, Taming Sari akhirnya mati di tangan Hang Tuah selepas ditikam keris berkenaan.

Kehebatan senjata itu tidak pernah terhenti diperkatakan sehingga kini, apatah lagi ia sering dikaitkan dengan Hang Tuah iaitu laksamana Melayu yang terkenal dengan ketaatan serta kesetiaannya kepada raja.

Namun, kebelakangan ini ada pula yang seakan menolak kewujudan Hang Tuah dan pada saat itu, Taming Sari yang tersimpan di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, Perak, menjadi bukti kewujudan pahlawan Melayu tersohor itu. Masakan tidak, Hang Tuah dan Taming Sari begitu sebati dalam sejarah Melayu.

Sumber dari laman rasmi Pejabat Sultan Perak menyatakan keris berkenaan diselaputi dedaun emas manakala sarung atau hulunya juga diperbuat daripada emas serta dipercayai adunan daripada 20 jenis besi yang sebahagiannya adalah serpihan besi ganggang pintu Kaabah.

Pemiliknya bukan saja tidak lut senjata lawan, senjata dipercayai berusia lebih 500 tahun itu dikatakan berupaya berlegar di udara ketika mengejar musuh. Taming Sari juga dipercayai mempunyai kuasa untuk memberi petunjuk jika Perak bakal dilanda sebarang musibah atau bencana.

Kelebihan dan keistimewaan keris itu turut dibuktikan dengan kajian Muzium Perak yang mendapati keris Taming Sari memang wujud kerana senjata itu menepati ciri-ciri yang diperlukan, termasuk gambar rajah pada Manuskrip Taming Sari bertulisan jawi kuno mengandungi zikir dan amalan perang amalan Tariqat al-Shazilliah yang dipercayai ditulis pada abad ke-15.

Walaupun wujud pertikaian mengenai keaslian Keris Taming Sari yang kini tersimpan rapi di Istana Iskandariah, Pengarah Muzium Perak, Nor Jannati Ibrahim memberitahu Rona bahawa keris itu asli dan bukan replika seperti yang didakwa sesetengah pihak.

"Keris Taming Sari yang sebelum ini pernah dipamerkan di Galeri Sultan Azlan Shah di Bukit Chandan, Kuala Kangsar adalah simpanan dan warisan Sultan Perak. Jadi ia menjadi satu daripada alat kebesaran Diraja negeri ini. Malah, senjata itu hanya boleh dipamerkan kepada umum selepas mendapat perkenan daripada Baginda Sultan Perak sempena Hari Keputeraan baginda.

"Lagipun keris berkenaan sudah menjadi hak Kesultanan Perak yang sah sejak 1528 selepas diwariskan Sultan Melaka, Sultan Mahmud Syah I kepada Sultan Perak pertama iaitu Sultan Mudzaffar Shah,” katanya.

Walaupun ketulenan atau keaslian keris berkenaan masih dalam kajian berterusan dilakukan pihak, tetapi Muzium Perak mempertahankan Keris Taming Sari itu adalah asli dan menjadi satu daripada alat kebesaran Diraja Perak.

"Kebanyakan tohmahan timbul disebabkan generasi hari ini terlalu terdedah dengan maklumat atau fakta diperoleh daripada pelbagai sumber kurang tepat. Mereka hanya mendengar maklumat daripada sebelah pihak tanpa mengkaji sendiri sejarah sebenar Keris Taming Sari serta warisan alat kebesaran diraja itu.

"Disebabkan itu, muzium negeri secara berterusan akan mengadakan pameran berkaitan peralatan bersejarah seumpama itu untuk memberi penjelasan kepada rakyat," katanya.

Biarpun pelbagai dakwaan dan pandangan dikemukakan mengenai kewujudan keris sakti ini, Taming Sari yang juga keris kuasa atau bawar menjadi lambang kedaulatan Kesultanan Melayu Perak kini disimpan rapi bersama 26 alat kebesaran Perak lain dalam sebuah peti besi khas di istana berkenaan.

Berikutan senjata itu mempunyai 'kuasanya' tersendiri, beberapa 'penjaga' alat kebesaran Perak mendakwa ada pantang larang yang perlu dipatuhi sepanjang mengendalikan atau membawa Taming Sari.

Antaranya, keris keramat itu tidak dipamerkan di dalam kotak kaca di ruang legar galeri secara bersendirian sebaliknya disertakan dengan keris Seri Gading sebagai ‘peneman’.

Dikatakan, keris Seri Gading yang juga salah satu alat kebesaran Kesultanan Melayu Perak itu diletakkan di hadapan Taming Sari sebagai ‘penawar’ dan ‘pendinding’ kepada keris terbabit daripada anasir yang berniat buruk terhadapnya.

Kesimpulan, walaupun ada pelbagai versi mengenai Taming Sari, rakyat Malaysia harus berbangga dengan memiliki seni warisan yang penuh dengan sejarah bahkan apa yang diwarisi adalah setanding dan diiktiraf negara luar.


Taming Sari diuji lelaki Jawa
oleh : MOHD. AZLI ADLAN

DALAM sejarah ketamadunan Melayu, pendapat umum sepakat mengatakan tiada keris lebih terkenal dan teragung selain keris Taming Sari.

Kisah keris yang digambarkan penuh sakti hingga menjadikan pemiliknya tidak lut ditujah senjata tajam itu seiring dengan legenda pendekar Melayu terulung, Hang Tuah.

Mengambil nama sempena pemilik asalnya, seorang pahlawan Jawa dalam kerajaan Majapahit, fungsi asal Taming Sari adalah sebagai keris kerajaan bagi jawatan Laksamana semasa Kesultanan Melayu Melaka.

Sebagaimana misterinya kehilangan Hang Tuah selepas dia gagal meminang Puteri Gunung Ledang untuk Sultan Melaka, begitu juga riwayat keris Taming Sari selepas era pendekar Melayu itu.

Pelbagai versi mengenai Taming Sari diperturunkan secara lisan dan yang paling terkenal ialah keris sakti berkenaan telah dicampak Hang Tuah ke dalam Sungai Duyung di Melaka.

Namun, mitos tidak semestinya selari dengan realiti. Kenyataannya, keris Taming Sari yang dipercayai berusia lebih 500 tahun itu telah menjadi sebahagian daripada alat kebesaran Kesultanan Melayu Perak sejak tahun 1528 lagi.

Pengarah Muzium Perak, Nor Janati Ibrahim berkata, mengikut sejarah, episod kegagalan meminang Puteri Gunung Ledang telah menjatuhkan air muka Hang Tuah lantas beliau menyerahkan Taming Sari kepada Tun Mamat untuk dibawa balik menghadap Sultan Mahmud Shah.

Setelah empayar Melaka runtuh ditawan Portugis pada tahun 1511, keris keramat itu turut dibawa bersama rombongan Sultan Mahmud yang berundur ke Kampar, Sumatera.

“Kemudian atas pemintaan pembesar Perak diketuai Tun Saban, baginda mengirimkan anakandanya, Raja Muzaffar Shah untuk berangkat ke Perak bagi mengasaskan kesultanan Melayu di negeri itu.

Keris kuasa


“Baginda turut mengurniakan beberapa peralatan termasuk keris Taming Sari untuk dijadikan alat kebesaran negeri Perak yang baru ditubuhkan itu,” jelas Janati kepada Jurnal ketika ditemui pada Pameran Taming Sari di Galeri Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar, Perak minggu ini.

Ditebak dengan versi yang mengatakan Taming Sari masih terbenam di dasar Sungai Duyung, Janati berpendapat dakwaan itu sekadar legenda.

Katanya lagi, seperti pembikinan sebuah filem, penceritaan kisah lisan dan hikayat tidak semestinya selari dengan fakta sebenar malah boleh ditokok tambah.

“Kajian Muzium Perak mendapati keris Taming Sari yang menjadi alat kebesaran Kesultanan Melayu Perak menepati ciri-ciri termasuk gambar rajah yang terdapat pada Manuskrip Taming Sari bertulisan jawi kuno yang dipercayai ditulis pada abad ke-15.

“Manuskrip terbabit turut mengandungi zikir dan amalan perang yang diamalkan Tariqat al-Shazilliah yang berkembang sekitar abad berkenaan,” ujarnya.

Pengurus Pameran Taming Sari itu berkata, Taming Sari merupakan keris kuasa atau bawar yang menjadi lambang kedaulatan Kesultanan Melayu Perak.

Sehubungan itu, keris terbabit disimpan rapi bersama 26 alat kebesaran Perak lain di dalam sebuah peti besi khas di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar.

Seingat beliau, cuma empat kali keris Taming Sari dipamerkan kepada khalayak atas perkenan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah termasuk yang terbaru selama seminggu sehingga hari ini.

“Penganjuran pameran ini bukan bertujuan untuk membuktikan ketulenan keris Taming Sari kerana tiada keperluan untuk itu.

“Ia lebih kepada untuk memberi ruang kepada rakyat menyaksikan sendiri keris kuasa terbabit yang begitu eksklusif sebelum ini sempena ulang tahun sambutan keputeraan baginda,” jelasnya.

Penganjuran Pameran Taming Sari kali ini mendapat sambutan menggalakkan daripada pengunjung pelbagai kaum. Dianggarkan lebih 7,000 orang melawat Galeri Sultan Azlan Shah bagi melihat keris terbabit.

Panglima Perang Kiri Istana Perak, Muhammad Dzulkanain Osman pula berkata, ada pantang larang yang perlu dipatuhi sepanjang Pameran Taming Sari di galeri berkenaan.

Menurutnya, keris keramat itu tidak dipamerkan di dalam kotak kaca di ruang legar galeri terbabit bersendirian sebaliknya disertakan dengan keris Seri Gading sebagai ‘peneman’.

Dikatakan, keris Seri Gading yang juga salah satu alat kebesaran Kesultanan Melayu Perak itu diletakkan di hadapan Taming Sari sebagai ‘penawar’ dan ‘pendinding’ kepada keris terbabit daripada anasir yang berniat buruk terhadapnya.

“Sepanjang penganjuran pameran kali ini, pernah sekali berlaku kejadian lima lelaki dewasa tiba-tiba bersilat serentak di hadapan ruang Pameran Taming Sari.

“Saya percaya tindakan mistik itu berpunca daripada perbuatan mereka menggunakan ilmu untuk ‘menguji’ kekuatan Taming Sari namun tertewas,” ujar beliau yang merupakan antara pegawai Istana Perak yang bertugas memantau perjalanan pameran terbabit.

Kejadian selama beberapa minit pada petang Selasa lalu itu menggemparkan pengunjung yang berada di dalam galeri itu.

Menurut Janati pula, kelima-lima lelaki dipercayai keturunan Jawa terbabit ditenangkan oleh seorang rakan mereka sebelum masing-masing segera angkat kaki dari premis terbabit.

Selain itu, keris Taming Sari dan Seri Gading tidak disimpan di dalam galeri selepas waktu lawatan yang berakhir pukul 5 petang.

Sebaliknya, kedua-dua keris kebesaran Perak tersebut dibawa pulang oleh Tok Nara Diraja yang bertugas sebagai Ketua Istiadat dan Penyimpan Alat Kebesaran Perak ke Istana Iskadariah yang terletak kira-kira 500 meter dari situ.

Pegawai istana terbabit juga yang bertanggungjawab mengeluarkan Taming Sari dan Seri Gading dari simpanan untuk dipamerkan ke dalam Galeri Sultan Azlan Shah pada 10 pagi sepanjang tempoh tersebut.

“Sewaktu kedua-dua proses tersebut berlangsung, kenderaan yang membawa bekas khas kedua-dua keris itu akan diiringi oleh beberapa kereta peronda polis bagi menjamin keselamatannya,” jelas Janati.

Biarpun tidak mengiyakan mahupun menidakkan dakwaan Taming Sari mampu menjadikan pemiliknya kebal, Dzulkanain menjelaskan bukan calang-calang individu mampu menyentuhnya.

Selain Sultan Azlan sebagai pemilik mutlak, keris itu hanya ‘tunduk’ di bawah jagaan Tok Nara Diraja.

Katanya, walaupun Taming Sari sudah lama tidak diasap dan dilimau, ada zikir khusus dibaca Tok Nara Diraja sebelum memegangnya.

Sumber

KERIS Taming Sari tersimpan rapi di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, Perak.

Cerita Sakti Taming Sari Benar
oleh :  Megat Lutfi Megat Rahim

KISAH pertarungan hebat pendekar Melayu, Hang Tuah dengan seorang pahlawan Majapahit bernama Taming Sari dianggap sebagai detik permulaan legenda keris Taming Sari.

Dalam pertarungan itu, pendekar berdarah Jawa itu tidak lut ditikam keris Hang Tuah kononnya keris yang dipegang Taming Sari menjadikan dirinya kebal daripada tujahan senjata tajam.

Bagaimanapun, selepas Hang Tuah berjaya merampas keris itu daripada tangan Taming Sari, barulah lelaki itu berjaya dikalahkan. Keris Taming Sari itu kemudian dianugerahkan kepada Hang Tuah.

Namun, terdapat sesetengah pihak menolak kewujudan Hang Tuah walaupun keris Taming Sari itu tersimpan rapi di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, Perak sekarang.

Bekas Pengarah Muzium Perak, Nor Jannati Ibrahim memberitahu, keris itu asli dan bukan replika seperti yang didakwa sesetengah pihak.

“Keris Taming Sari yang pernah dipamerkan di Galeri Sultan Azlan Shah di Bukit Chandan, Kuala Kangsar adalah warisan Kesultanan Perak selain menjadi alat kebesaran diraja negeri ini.


Misteri

“Lagipun keris berkenaan sudah menjadi hak Kesultanan Perak yang sah sejak tahun 1528 selepas diwariskan Sultan Melaka, Sultan Mahmud Syah I kepada Sultan Perak pertama iaitu Sultan Mudzaffar Shah,” katanya.

Walaupun ketulenan keris berkenaan terus dikaji pelbagai pihak, Muzium Perak mempertahankan ia keris Taming Sari yang asli.

“Kebanyakan tohmahan timbul disebabkan generasi hari ini terdedah kepada pelbagai maklumat yang kurang tepat.

“Mereka hanya mendengar maklumat daripada sebelah pihak tanpa mengkaji sejarah keris Taming Sari,” tegas Jannati.

Taming Sari kini disimpan bersama 26 alat kebesaran Perak lain di dalam sebuah peti besi khas di Istana Iskandariah.

Senjata itu dikatakan mempunyai ‘kuasa’ hinggakan penjaga alat kebesaran diraja itu perlu mematuhi pantang larang sepanjang menjaga atau membawanya.

Antaranya, keris keramat itu tidak boleh dipamerkan di dalam kotak kaca di ruang legar galeri secara bersendirian sebaliknya disertakan dengan keris Seri Gading sebagai ‘peneman’.

Keris Seri Gading juga perlu diletakkan di hadapan Taming Sari sebagai ‘penawar’ dan ‘pendinding’ kepada keris terbabit daripada anasir yang berniat buruk terhadapnya.

Pelbagai versi mengenai Taming Sari diperturunkan secara lisan dan yang paling terkenal ialah keris sakti berkenaan pernah dicampakkan Hang Tuah ke dalam Sungai Duyung di Melaka.

Versi lain yang tidak kurang popularnya ialah keris Taming Sari telah diserahkan oleh Hang Tuah kepada Sultan Mahmud Shah berikutan kegagalan beliau meminang Puteri Gunung Ledang untuk baginda.

Setelah empayar Melaka runtuh ditawan Portugis pada tahun 1511, keris keramat itu dibawa bersama rombongan Sultan Mahmud yang berundur ke Kampar, Sumatera.

“Kemudian atas permintaan pembesar Perak diketuai Tun Saban, baginda mengirimkan anakandanya, Raja Mudzaffar Shah untuk berangkat ke Perak bagi mengasaskan kesultanan Melayu di negeri itu.

“Baginda turut mengurniakan beberapa peralatan termasuk keris Taming Sari untuk dijadikan alat kebesaran negeri yang baru ditubuhkan itu,” cerita Jannati.


Kursani

Kajian Muzium Perak mendapati keris Taming Sari menepati ciri-ciri termasuk gambar rajah yang terdapat pada Manuskrip Taming Sari bertulisan jawi kuno yang dipercayai ditulis pada abad ke-15.

“Manuskrip terbabit mengandungi zikir dan amalan perang yang diamalkan Tariqat al-Shazilliah yang berkembang sekitar abad berkenaan,” ujarnya.

Pengkaji paranormal, Mohammad Idrus Abu Hanifah berpendapat, keris Taming Sari hanya ada satu iaitu keris yang disimpan oleh Sultan Perak sekarang.

Keris Taming Sari ada kesaktian. Salah satu cara untuk mengenal pasti keris itu ialah melalui bahan yang digunakan untuk membuatnya.

“Keris Taming Sari asli dibuat daripada serbuk kursani, tetapi yang palsu dibuat menggunakan besi biasa atau pasir hitam,” katanya.

Prof. Emiratus Tan Sri Khoo Kay Kim pula berkata, tiada fakta sejarah yang dapat membuktikan lokasi sebenar keris Taming Sari.

Namun begitu, berdasarkan kajiannya, ada dua versi mengenai sejarah keris tersebut.

“Keris Taming Sari tersebut telah hilang buat selama-lamanya bersama Laksamana Hang Tuah sewaktu keruntuhan Kesultanan Melayu Melaka pada tahun 1511.

“Selain itu, keris tersebut telah dibawa ke Perak oleh Sultan Mudzaffar Shah yang merupakan anak kepada Sultan Mahmud Shah, iaitu sultan terakhir Melaka, untuk dijadikan peralatan kebesaran dalam majlis pertabalan Sultan Perak yang pertama,” katanya.

Sumber


Sila baca :

Keris Taming Sari
Pameran Taming Sari

Comments