ajari aku

Blog Mimbar Kata

tulislah

blog mimbar kata

sehelai daun

blog mimbar kata

hujan dalam sukma

blog mimbar kata

kaki memijak

blog mimbar kata

4 Jan 2013

Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur

STPM

NOVEL INI secara keseluruhannya cuba membincangkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang telah digubal oleh kerajaan pada tahun 1970 setelah berlakunya tragedi hitam negara pada 13 Mei 1969.

Selepas sahaja peristiwa berdarah itu, pihak kerajaan tersedar dan insaf bahawa betapa perlunya mereka merangka beberapa dasar untuk dijadikan panduan dalam memelihara kedaulatan negara dan membangunkan sumber-sumber yang dimiliki demi untuk pembangunan rakyatnya yang berbilang kaum. DEB dengan strategi pentingnya untuk memupuk semula perpaduan dan membina semula negara selepas 13 Mei 1969.

Sebagai pengarang yang berpegang teguh kepada konsep ASAS 50, iaitu Seni untuk Masyarakat, Keris Mas juga dapat dilihat menggerakkan novel itu daripada ideologi tersebut. Selain itu, novel ini juga ditulis berkemungkinan kesan daripada buku Revolusi Mental tulisan Datuk Senu Abdul Rahman (1970) yang membincangkan tentang ehwal sejarah bangsa Melayu.

Keris Mas menggunakan buku Revolusi Mental dalam penulisan novel Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur kerana semangat Melayu yang cuba dimotivasikan oleh buku ini jelas dapat dilihat pada seorang tokoh utama yang menjadi pusat naratif novel ini, iaitu Muhammad. Hampir keseluruhan sikap yang cuba dimotivasikan itu terimej pada watak tersebut.

Namun begitu, perbincangan ini hanya akan menumpukan kepada inti pati penting daripada DEB untuk melihat sejauh mana pandangan Keris Mas terhadap pelaksanaan dasar di Malaysia.

DEB telah dibahagikan kepada tujuh perkara sebagai garis panduan kerajaan mencapai dasar tersebut dan Keris Mas telah menerapkan beberapa dasar yang penting dan seterusnya menjadi pokok perbincangan dalam novelnya.

Perkara pertama, dalam DEB ialah pengurangan ketidakseimbangan ekonomi di antara kaum secara muktamad dari segi pendapatan, pekerjaan dan kekayaan. Seperti yang dicatatkan dalam Buku Dasar Ekonomi Baru: Inti pati, matlamatnya adalah untuk membawa perubahan dalam sistem ekonomi terutamanya dalam kalangan orang Melayu kerana kerajaan percaya bahawa sistem 'aparteid' telah digunakan oleh kolonial Inggeris dalam agihan ekonomi di Tanah Melayu demi keselamatan mereka.

Demi mengubah status orang-orang Melayu yang telah ketinggalan jauh itu, kerajaan telah menyarankan agar orang-orang Melayu bekerja keras dalam meningkatkan taraf hidup mereka. Mereka perlu melibatkan diri secara aktif dalam ekonomi negara. Cadangan kerajaan ini adalah untuk melihat kebolehan dan memberi pengalaman kepada orang Melayu dalam pembahagian dan pembangunan sumber ekonomi.

Dalam novel ini, Keris Mas telah memberi peranan penting kepada Muhammad, iaitu seorang saudagar yang menguruskan sebuah anak syarikat milik saudagar Cina, Datuk Tan Chong Seng. Syarikat ini menguruskan import eksport lada hitam. Namun kebijaksanaan dan sikap hemah Muhammad telah melawan arus sikap orang Melayu lama. Kebenaran ini diperlihatkan apabila Datuk Tan kagum pada kebolehan dan keberanian Muhammad dalam membuat sesuatu rundingan perniagaan. Kekaguman Datuk Tan kepada Muhammad dalam mentadbir dan mengurus anak syarikatnya menyebabkan beliau menjadikan Muhammad sebagai rakan kongsi perniagaan dalam syarikat import eksport lada hitam.

Berdasarkan contoh di atas, Keris Mas cuba membentuk personaliti watak Melayu yang dikehendaki oleh DEB. Dalam dasar kerajaan tersebut orang Melayu harus diberi peluang saksama membentuk kekayaan baru dalam proses pembangunan negara. Selain itu orang Melayu juga harus berani merebut peluang, seperti Muhammad yang mencuba menerima cabaran dan risiko dalam bidang perniagaan.

Dalam perkara pertama DEB itu juga dimaklumkan bahawa untuk memperkembangkan kebolehan orang Melayu, langkah-langkah yang akan diambil oleh kerajaan dalam mempertingkatkan kebolehan orang-orang Melayu ialah memberikan pendidikan dan latihan kemahiran terutama kepada generasi muda. Pendidikan penting dalam pembangunan sesebuah negara kerana generasi mudalah nanti yang akan mewarisi kepimpinan negara seterusnya.

Selain untuk membangunkan negara melalui pendidikan, kerajaan juga melihat faktor pendidikan sebagai tonggak penting membentuk satu sistem nilai baru kepada generasi muda terutamanya dari segi perpaduan negara dan penyatuan kaum. Seruan kerajaan ini telah dilukiskan oleh Keris Mas pada watak Rahim, iaitu anak kepada Muhammad dan Robert, anak kepada Datuk Tan. Kedua-dua mereka sedang menuntut di England, berumur 23 tahun, rakan karib dan mengambil pengkhususan dalam bidang yang sama, iaitu kejuruteraan lombong.

Kedua-dua watak ini sebenarnya ialah wakil generasi muda yang menjadi harapan kerajaan untuk sama-sama menggerakkan pembangunan negara seperti dalam pernyataan DEB tentang pentingnya pendidikan dalam negara membangun.

Sehubungan dengan itu, jika kita melihat bidang pengkhususan yang diambil oleh kedua-dua anak muda itu juga selaras dengan galakan kerajaan yang mahu bidang kemahiran tinggi. Pengkhususan yang diambil oleh kedua-dua anak muda itu juga secara tersirat digambarkan oleh Keris Mas betapa bidang kejuruteraan yang sinonim dengan pembangunan adalah penting dan simbol kepada pembangunan negara.

Selain itu, imej Rahim yang mewakili orang Melayu dan Robert yang mewakili orang Cina dan merupakan rakan karib sejak bersekolah lagi adalah imej perpaduan antara kaum yang cuba diutuskan oleh Keris Mas dalam novel ini.

Dalam perkara pertama DEB juga disentuh tentang rancangan pembangunan wilayah baru atau dikenali sebagai tanah rancangan seperti Felda. Melalui program tanah rancangan ini, kerajaan menempatkan orang Melayu dan seterusnya menyediakan sumber pekerjaan kepada mereka. Tujuan tanah rancangan ini adalah untuk mengurangkan ketidakseimbangan ekonomi orang Melayu yang keseluruhan masih tinggal di desa-desa yang telah kekurangan sumber dan mengalami kejumudan sikap menyebabkan mereka berada dalam kemiskinan. Program tanah rancangan ini juga berkaitan dengan perkara kedua DEB yang penting, iaitu membasmi kemiskinan terutama orang-orang Melayu. Mengikut pemerhatian kerajaan yang serius, pada tahun selepas merdeka kadar kemiskinan sangat tinggi di kawasan luar bandar dan juga orang-orang Melayu di bandar.

Justeru, dalam Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur, Keris Mas menggambarkan imej orang Melayu di Lembah Tualang dan Jeram Medang, iaitu kampung Muhammad yang rata-rata masih bergantung hidup pada sawah dan getah yang pada waktu itu tidak lagi menjadi sumber pendapatan penting. Faktor ini menyebabkan penduduk Melayu di situ berada dalam kemiskinan. Untuk menyelesaikan kemelut kemiskinan yang dialami oleh kebanyakan penduduk Lembah Tualang dan Jeram Medang, Muhammad, telah mengusahakan perpindahan orang Lembah Tualang dan Jeram Medang ke tanah rancangan Felda.

Dalam perkara ketiga DEB pula, kerajaan mahu melibatkan orang-orang Melayu ke dalam sektor-sektor moden. Penglibatan orang Melayu ini penting demi menjamin kesamarataan agihan sumber hasil bumi negara dengan bangsa asing.

Oleh itu melalui Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur, Keris Mas telah meneroka satu bidang yang baru walaupun bidang ini sebenarnya telah diceburi oleh pembesar Melayu di zaman kolonial British dahulu. Bidang yang dimaksudkan itu ialah bidang perlombongan bijih timah. Lembah Tualang ini menurut pendapat pakar kaji bumi masih lagi kaya dengan hasil bijih timah. Hal ini menarik minat Datuk Tan dan rakan kongsinya Muhammad yang mempunyai pengaruh keturunan di Lembah Tualang untuk menjalankan kembali projek cari gali bijih timah di sana.

Hasrat ini secara tidak langsung menggambarkan bagaimana proses kemasukan orang Melayu, Muhammad ke dalam satu bidang perniagaan yang moden, iaitu dalam sektor perlombongan. Di samping itu, kerjasama yang digambarkan antara Datuk Tan dan Muhammad melambangkan bagaimana bentuk agihan itu boleh terjadi.

Dalam perkara keempat DEB pula kerajaan mahu menggiatkan penggunaan sumber tenaga sepenuhnya dalam sektor moden. Dalam erti kata lain kerajaan mahu mengurangkan masalah pengangguran terutama dalam kalangan orang Melayu.

Perkara kelima DEB pula menggariskan bentuk peranan kerajaan-kerajaan negeri dan persekutuan serta agensi yang berkaitan dalam membentuk ekonomi negara. Dalam novel ini, watak YB Muhammad Yusuf adalah sebagai wakil kerajaan negeri. Beliau menjadi rujukan Muhammad dalam menyelesaikan isu tanah penduduk Lembah Tualang dan Jeram Medang. Dengan kuasa kerajaan yang miliki oleh YB Muhammad Yusuf, beliau telah menguruskan perpindahan penduduk Lembah Tualang ke tanah rancangan Felda.

Sebagai seorang pengarang Islam, Keris Mas telah memberi penilaian kepada DEB yang secara keseluruhan masih mempunyai kelemahan. Kelemahan yang dikesani oleh Keris Mas ialah tentang aspek pembangunan rohaniah Islam. Atas kesedaran ini juga, Keris Mas telah melontarkan pemikirannya tentang perlunya pembangunan agama seiringan dengan pembangunan fizikal agar pembangunan yang ingin dicapai dan dicita-citakan oleh kerajaan itu lengkap dan sempurna.

Justeru melalui tokoh generasi muda Rahim yang mendapat pendidikan di luar negara dan Lebai Maarup yang hanya mendapat pendidikan setakat SPM melontarkan pesan kepada Muhammad dan juga kerajaan bahawa dalam mengejar kekayaan asas-asas keagamaan jangan dipinggirkan.

Selain itu, Muhammad, iaitu seorang saudagar dari Kuala Lumpur yang menjadi judul novel secara simboliknya ialah imejan kepada DEB. Rahim secara simbolis mewakili golongan intelektual-akademik yang akhirnya berjaya mengingatkan ayahnya tentang nilai-nilai budaya bangsa yang harus dipelihara dalam mengejar kekayaan material.

Lebai Maarup pula lambang kepada golongan agama-ulama yang mahu pembangunan rohani tidak dipinggirkan juga akhirnya berjaya mengingatkan Muhammad tentang kepentingan agama dalam mengejar pembangunan fizikal. Manakala YB Muhammad Yusuf lambang kepada kuasa kerajaan. Begitulah Keris Mas membuat penilaiannya terhadap DEB yang dirangka oleh kerajaan untuk memacukan pembangunan negara Malaysia.

Biografi SN Keris Mas



DALAM perkembangan cerpen Melayu selepas perang, Sasterawan Negara Keris Mas adalah orang yang terpenting dan berpengaruh kepada golongan penulis muda. Beliau membentuk namanya sebagai penulis melalui bakat, fikiranyang kritis, penguasaan bahasa yang baik dan kematangan pengalamannya. Keris Mas merupakan contoh seorang penulis yang lebih mementingkan mutu daripada jumlah karya. Melalui karya-karya seni cerpennya jelas memperlihatkan kegigihan beliau sebagai seorang nasionalis yang berwawasan, pejuang keadilan sosial, pengawal dan pengukir bahasa dan sastera bermutu serta pemikir kesusasteraan yang tajam.

Latar Belakang

Kamaludin Muhammad (Keris Mas) telah dilahirkan pada 10 Jun 1922, di Kampung Ketari, Bentong Pahang. Keris Mas mendapat pendidikan awal di sekolah Melayu hingga darjah 5. Hasil dari keputusan peperiksaan yang baik, beliau layak untuk melanjutkan pelajaran ke Maktab Melayu Kuala Kangsar, tetapi oleh kerana amalan pemilihan pihak yang berkuasa beliau tidak mendapat peluang itu. Keris Mas lalu dihantar oleh keluarga­ ke Sumatera mengikuti pelajaran di Tawalib School, sebuah sekolah menengah dengan pengantar bahasa Indonesia dan bahasaArab. Setelah itu, Keris melanjutkan pelajarannya di Kolej Kulliahtul Muallimin Al- Islamiah (Matab Perguruan Islam) untuk mengambil diploma perguruan bagi melayakkan dirinya menjadi guru agama. Di kolej ini bahasa pengantarnya bahasa Indonesia dan Arab, di samping bahasa Belanda yang dijadikan sebagai salah satu mata pelajaran wajib dan bahasa Inggeris sebagai mata pelajaran tambahan. Tetapi Keris telah lulus llmu Umum dan bukannya jurusan agama sehagaimana yang diharapkan oleh keluarganya.

Pada tahun 1940, Keris Mas kembali ke Tanah Melayu dan kemudian ke Singapura, mendaftarkan diri dengan Pitman College untuk mengambil peperiksaan matrikulasi Universiti London. Pelajarannya terhalang kerana meletusnya Perang Dunia Kedua. Selepas pihak Jepun menyerah kalah dalam Perang Dunia Kedua, Keris Mas menggabungkan diri dalam Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) cawangan Pahang clan bertugas sebagai pegawai penerangan pati tersebut. Pada penghujung tahun 1447 ketika PKMM mengadakan kongres tergemparnya di Singapura, Kcris Mas turut hadir.

Tidak lama kemudian Keris Mas mengundurkan diri dari PKMM, lantas bertugas sebagai pcngarang di Utusan Melayu Singa­pura. Satu sumbangan besar yang telah diusahakannya ialah memesatkan lagi pengeluaran majalah Mastika yang pada ketika itu hampir tidak mendapat sambutan.

Pada tahun 1953, Keris Mas berpindah kerja ke Melayu Raya. Akan tetapi perkhidmatannya dengan Melayu Raya tidak lama kerana pada bulan September 1453, Keris Mas berangkat ke Pulau Pinang dan bekerja dengan Warta Negara hingga tahun 1455. Pada akhir tahun 1455 Keris Mas kembali bertugas di Syarikat Utusan Melayu sebagai anggota sidang pengarang. Bila Dewan Bahasa dan Pustaka ditubuhkan pada tahun 1456, Ungku Aziz selaku Pengarahnya telah mempelawa beliau untuk berkhidmat di Dewan Bahasa dan Pustaka yang pada ketika itu berpejabat di Johor Bahru.

Keris Mas menerima tawaran itu dan pada mulanva beliau ber­khidmat sebagai pengarang umum dari 1 Disember 1456 hingga 31 Oktober 1462 apabila kemudiannya beliau dilantik menjadi ketua pengarang. Selepas itu beliau diangkat menjadi ketua bahagian pcngarang dari 1 Julai 1960 hingga 30 Jun 1971 dan akhirnya sebagai Ketua Bahagian Pembinaan dan Pengembangan Sastera mulai dari 1 Julai 1971 sehingga beliau bcrsara pada 10 Jun 1977.

Selaku ketua bahagian, Kcris Mas turut menanggungjawab tugas sebagai ketua pengarang majalah-majalah Dewan Bahasa dan Dewan Sastera. Sungguhpun Keris Mas dikenali sebagai anggota aktif ASAS 50, beliau sebenarnya telah menulis karya kreatif lama sebelum ASAS 50 ditubuhkan.



Sumbangan

Novel beliau yang pertama. Pahlawan Rimba Malaya diterbitkan dalam tahun 1946. Menurut keterangannya, Pahlawan Rimba Malaya diterbitkan lebih pendek daripada manuskrip asalnya oleh kerana pihak penerbit mengalami kekurangan kertas, maka novel tersebut telah disingkatkan isinya. Setahun kemudian, semasa memegang tugas pegawai penerang­an PKMM, beliau menulis sebuah cerpen perjuangan "Darah dan Air Mata", tersiar dalam majalah Kenchana keluaran 15 Oktober 1947. Nampaknya sejak peringkat awal kegiatannya mengarang, Keris Mas telah memperlihatkan bakatnya yang kuat. Oleh yang demikian tidaklah hairan jika dalam tahun 1950-an dan awal tahun 1960-an beliau menghasilkan banyak karya bermutu terutama dalam bidang cerpen.

Keris Mas adalah di antara tokoh penting malah pernah memimpin Angkatan Sasterawan 50 atau ASAS 50 yang mendukung kuat fahaman "Seni untuk Masyarakat" dan turut memberi isi dan arah seperto terlihat dalam Memoranda ASAS 50 yang membentangkan cita-cita dan perjuangan pertubuhan itu.
Semasa di Dewan Bahasa dan Pustaka, cita-cita Keris Mas untuk mcmberikan perhatian kepada perkembangan sastera Melayu telah terhasil dengan tertubuhnya Bahagian Perkembangan Sastera pada tahun 1971 yang kemudian menjadi Bahagian Pembinaan dan Pengembangan Sastera mulai tahun 1976.

Sehingga sekarang Keris Mas telah menghasilkan kira-kira 60 buah cerpen yang mengemukakan berbagai-bagai persoalan seperti peristiwa cinta, kepincangan masyarakat, perjuangan kebangsaan, kisah darurat dan persoalan-persoalan sosial-politik sesudah merdeka. Semua pcrsoalan tersebut merupakan pemerhatian dan pantulan kembali pengalaman-pengalaman Keris Mas sejak tahun 1940-an hinggalah sesudah Tanah Melayu mencapai kemerdekaan dalam tahun1957.

Beberapa buah ccrpen Keris Mas telah diterjemahkan ke dalam bahasa-bahasa lain seperti Cina, Korea, Inggeris dan Rusia.  Sehingga kini 11 buah cerpennya telah diterjemahkan ke dalam bahasa Cina melalui penerbitan Mingguan Petir, Nanyang Evening, Nanyang Evening Post, Nanyang Siang Pau, Pemuda Pemudi Universiti dan Nanyang Siang Wen Che. Tiga buah cerpennya telah juga diterjemah­kan kr dalam bahasa Inggeris seperti "They Do Not Understand" (Mereka Tidak Mengerti) dalam Tenggara (1968) dan "The Approach of Independence" (Menjelang Merdeka) dalam Tenggara (1967). Walaupun dalam karya-karya Keris Mas terdapat pendedahannya terhadap kejadian dan kebenaran yang terdapat dalam masyarakat tetapi beliau tidaklah pula mengakui bahawa karya sastera semata-mata dapat memajukan masyarakat. Berhubung dengan perkara ini beliau pernah berkata: Kalau kita berpendapat bahawa dengan cerita pendek sahaja kita boleh memajukan masyarakat, boleh mengubah susunan hidup kepada yang lebih sempurna dan baik tentulah pendapat itu kurang lojik. Cerita pendck tidak dapat mengajar orang tentang ilmu bercucuk tanam, tidak dapat mengajar orang tentang ilmu ekonomi dan sebagainya. Tetapi kita harus faham bahawa cerita pendek yang ditulis dengan pengolahan yang baik  dapat menyedarkan orang, dapat menimbulkan cara berfikir yang maju.

Memang cerpen Keris Mas mampu menghidupkan imaginasi dan ini menjadi anak kunci kejayaannya. Selain daripada itu ialah kerana kepintarannya mengawal teknik dan menarik fikiran pembaca terhadap masalah sosial melalui bahasa yang mudah dan jelas. Berhubung dengan hal yang terakhir ini, beliau pernah berpendapat bahawa bayangan pertama dari bakat seseorang penulis mudah ter­lihat dalam tekniknya. Tetapi kesempurnaan dan kematangan bakat itu bergantung pada kesanggupannya mengisikan hasil fikiran dan pengalamannya ke dalam kata-kata, ayat-ayat dan keseluruhan peng­olahan karangannya.

Sungguhpun Keris Mas lebih terkenal sebagai penulis cerpen, beliau juga tidak ketinggalan memperlihatkan bakatnya dalam pe­nulisan novel. Novel-novelnya seperti Pahlawan Rimba Malaya, Korban Kesuciannya dan Anak Titiwangsa merupakan tiga buah novel yang sederhana. Pahlawan Rimba Malaya ditulisnya selepas pendudukan Jepun sementara Korban Kesuciannya (1949) ditulisnya semasa bekerja di Utusan Melayu. Anak Titiwangsa pula, yang terbit dalam tahun 1967 diusahakannya sewaktu dalam kesibukannya ber­khidmat di Dewan Bahasa dan Pustaka.

Keris Mas mempunyai pengalaman pembacaan yang luas dan dapat melontarkan kembali idea-idea daripada pembacaannya menerusi perbualan mahupun tulisan. Selain daripada itu beliau di kenali sebagai seorang yang tegas, petah berhujah dan ramah. Boleh dikatakan sejak tahun 1947 hingga kini, hidup Keris Mas tidak reng­gang daripada kegiatan sastera. Malah seluruh hidupnya merupakan penglibatan dalam pembangunan dan pengembangan sastera Melayu - sebagai wartawan, editor, pentadbir sastera, penulis sastera kreatif dan pengkritik.

Bila Keris Mas bersara, beliau terus diberikan penghormatan untuk menjadi Penulis Tamu Dewan Bahasa dan Pustaka selama setahun dari 1 Julai 1977 hingga 30 September 1978. Selama jangka waktu ini beliau telah selesai menyiapkan sebuah memoir mengenai penglibat­annya dalam perkembangan sastera dari tahun 1945 hingga tahun 1977. Sejak awal 1979, Keris Mas menjadi Karyawan Seni di Universiti Malaya dan membantu dalam kursus penulisan kreatif. Pada awal tahun 1980-an Keris Mas berjaya menghasilkan sebuah novel bercorak sosiopolitik yang diberi judul Saudagar Besar dari Kuala Lumpur. Beliau dilantik sebagai Penulis Tamu Dewan Bahasa dan Pustaka sekali lagi mulai tahun 1985 dan berjaya menghasilkan sebuah yang berjudul Rimba Harapan.

Anugerah Pejuang Sastera berupa wang tunai RM10,000  dan surat penghargaan telah dianugerahi oleh Perdana Menteri ke­pada beliau pada 29 Mei 1976 .Kerana kebolehan dan rasa tanggungjawabnya, Keris Mas telah dilantik oleh Perdana Menteri menjadi Setiausaha Panel Hadiah Karya Sastera (1971 - 1976), dan pada tahun 1979 pula dipilih sebagai salah seorang daripada anggota Panel Anugerah Sastera Negara. Panel Anugerah Sastera telah bersetuju memilih Keris Mas sebagai penerima Anugerah Sastera Negara yang pertama pada tahun 1981. Penyampaian Anugerah ini telah berlangsung di Bangunan Parlimen pada 26 April 1981 oleh Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Demikianlah Keris Mas yang pada mulanya diharapkan oleh keluarganya untuk menjadi guru agama, akhirnya menjadi seorang sasterawan. Sebagai penulis kreatif, pentadbir dan pengurus sastera, Keris Mas telah memberikan sumbangan yang penting dan bererti dalam perkembangan sastera Melayu baru



Karya-Karya :

Novel

  1. Pahlawan Rimba Malaysia, 1946
  2. Korban Kesuciannya, 1949
  3. Anak Titiwangsa, 1967,
  4. Saudagar Besar dari Kuala Lumpur, 1982
  5. Rimba Harapan, 1986
 Cerpen

  1. Patah Tumbuh, 1962
 Esei/ Kritikan

  1. Esei Pilihan Keris Mas (disusun oleh A Bakar Hamid), 1981
  2. Memoranda, 1961
 Memoir

  1. Memoir Keris Mas : 30 Tahun Sekitar Sastera, 1979Wawancara Sastera, 1984
  2. Wawancara Sastera 1984

3 Jan 2013

Melankolik


Melankolik - nada puisi yang menggambarkan kemurungan jiwa serta kehampaan dan kerinduan
Ia penuh mendayu-dayu dan terisi kehibaan



Melancholy
sebuah persembahan violin dan piano
yang membawa nada melakolik. 
Kesayuan dan kehibaan terpancar dalam nada muziknya.




Sparrow


Kiss The Rain - Yiruma


Kerja Kursus Kesusasteraan Melayu STPM




Pihak Majlis Peperiksaan Malaysia telah pun mengeluarkan soalan dan garis panduan bagi Kertas 4 Kerja Kursus (Kerja Projek) bagi mata pelajaran Kesusasteraan Melayu Komunikatif. Kerja Kursus ini merupakan komponen Penilaian Berasaskan Sekolah (PBS) bagi calon-calon STPM yang akan berlangsung dari Penggal Kedua hingga Penggal Ketiga

Berikut disiarkan Garis Panduan tersebut : 

KESUSASTERAAN MELAYU KOMUNIKATIF KERTAS 4


KERJA KURSUS (KERJA PROJEK)


Arahan kepada calon:

Kerja kursus (kerja projek) ini wajib dilaksanakan oleh setiap calon STPM, iaitu calon sekolah kerajaan, calon sekolah bantuan kerajaan, calon sekolah swasta, dan calon persendirian individu sebagai sebahagian komponen penilaian sepanjang penggal 2 dan penggal 3.

Ada tiga soalan kerja kursus (kerja projek) yang dikemukakan.  Anda dikehendaki memilih satu  soalan sahaja. Calon mesti menyerahkan kerja kursus (kerja projek)  tersebut kepada guru/pemeriksa untuk dinilai.

Calon juga mesti melaksanakan semua aspek  berkaitan dengan kerja kursus (kerja projek) seperti yang ditetapkan dalam Manual Pelajar.
Markah penuh bagi kerja kursus (kerja projek) ini ialah 60 markah. 

 Calon dikehendaki memilih satu daripada tiga soalan kerja projek yang berikut:


1  Tulis sebuah esei tentang perpaduan berdasarkan cerpen-cerpen pilihan anda. 
Arahan
Esei ini hendaklah mengandungi: 
(a)  Pengenalan 
(b)  Objektif kajian
(c)  Kaedah kajian
(d)  Isi kajian
(e)  Penutup
(f)  Senarai rujukan

2  Kemukakan satu portfolio seorang tokoh yang memiliki peribadi seperti watak Maulana Abu Bakar dalam Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu).
Arahan
Portfolio ini hendaklah mengandungi:
(a)  Pengenalan
(b)  Objektif kajian
(c)  Kaedah kajian
(d)  Isi kajian
(e)  Penutup
(f)  Senarai rujukan

3  Hasilkan satu persembahan multimedia berdasarkan episod “Singapura Dilanggar Todak”
dalam Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu).
Arahan
(a)  Hasil kerja tersebut hendaklah mengandungi elemen multimedia, iaitu grafik, animasi,
        teks, dan audio-visual.
(b)  Tempoh lama persembahan multimedia adalah antara tiga hingga lima minit.
(c)  Hasil persembahan multimedia hendaklah dihantar dalam cakera padat (CD). Nyatakan
       spesifikasi yang anda gunakan untuk menghasilkan tugasan tersebut. Contohnya:
       PowerPoint - Windows 2007, Mikromedia Flash Mx, dan sebagainya.
(d)  Calon perlu menyediakan laporan bertulis tentang projek multimedia yang dihasilkan.
      Laporan tersebut mengandungi perkara yang berikut:
 (i)  Sinopsis projek
(ii)  Papan cerita (story board) 

sila ke laman berikut untuk keterengan lanjut : manual pbs untuk calon







Biografi SN Shahnon Ahmad


(Shanon bin Ahmad, Haji, Datuk, Pejuang Sastera, Profesor Emeritus, Sasterawan Negara, Juwahir,  Tutang)
LAHIR : 13 Januari 1933 di Banggul Derdap, Sik, Kedah Darul Aman. 

SASTERAWAN NEGARA SHAHNON AHMAD sebagai pengarang tidak payah diperkenalkan lagi dalam kesusasteraan Melayu. Beliau bukan sahaja terkenal kerana novelnya Ranjau Sepanjang Jalan dan Rentong, atau kerana kerap kali memenangi Hadiah Karya Sastera, atau kerana beliau seorang sarjana di Universiti Sains Malaysia, tetapi kerana beliau adalah seorang penulis berbakat, serius dan mempunyai falsafahnya sendiri. Shahnon bukan menulis hasil-hasil kesusasteraan hanya untuk bersastera semata- mata, tetapi beliau adalah seorang pencari yang sentiasa mencuba memperbaiki seninya dengan pelbagai gaya dan pendekatan, meneroka ke alam fikiran untuk memperkayakan lagi isi karangannya, dan sentiasa mempertimbangkan falsafahnya sebagai seorang penulis sehingga benar-benar mencapai kebenaran.


Shahnon mula berkarya pada pertengahan tahun 1950-an, namun dalam masa 10 tahun, beliau telah muncul sebagai penulis yang mempunyai bakat besar. Beliau adalah seorang penulis yang begitu sensitif terhadap peristiwa-peristiwa penting yang berlaku di dalam dan di luar masyarakat bangsanya. Beliau mempelopori sikap yang dinamakannya Malay Power apabila melihat betapa lemahnya orang Melayu bila keadaan politik, ekonomi, dan sosial menekan yang mengakibatkan tercetusnya peristiwa 13 Mei 1969. Dan inilah salah satu sebab yang mendorong beliau meningkat daripada pemikiran membela orang yang tidak berupaya yang berhadapan dengan kekejaman dan kekuatan alam kepada pemikiran membela orang atau bangsanya apabila berhadapan dengan kekuatan manusia lainnya.

Pendidikan awal yang diterimanya ialah di sekolah Melayu di Sik dan lulus darjah V dalam tahun 1946. Kemudian beliau melanjutkan pelajarannya di Maktab Sultan Abdul Hamid, Alor Setar, hingga lulus Sijil Persekolahan. Beliau menjadi guru dan mengajar di Grammer English School, Kuala Terengganu pada tahun 1954. Dari tahun 1955 hingga tahun 1956, beliau bertugas sebagai Pegawai Tentera di Port Dickson, Negeri Sembilan. Satu kemalangan telah menyebabkan beliau berhenti daripada lapangan tentera dan bertugas semula sebagai guru dan mengajar bahasa Inggeris di Sekolah Melayu Gunung dan Sekolah Bukit Besar, Kedah dari tahun 1957 hingga tahun 1959.

Pada tahun 1960, Shahnon menjadi guru bahasa di Maktab Sultan Abdul Hamid hingga tahun 1963. Kemudian beliau berpindah ke Jenan, mengajar sastera di Sekolah Menengah Sultan Abdul Halim hinggalah ke tahun 1967.

Pada tahun 1968, beliau berangkat ke Canberra, Australia dan bertugas sebagai pegawai penyelidik di Australian National University (ANU). Beliau mengambil kesempatan itu untuk terus menuntut di ANU sehingga memperoleh ijazah Sarjana Muda pada tahun 1971. Sekembalinya ke tanah air, Shahnon menjadi Pensyarah di Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjong Malim dan tidak lama selepas itu, ditawarkan berkhidmat di Universiti Sains Malaysia sebagai pensyarah dalam tahun 1974. Di sinilah beliau memperoleh Sarjana Sastera pada tahun 1975. Shahnon kemudiannya dilantik menjadi Dekan Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan sejak awal tahun 1979. Mulai Jun 1980, Shahnon dilantik sebagai Profesor Sastera Universiti Sains Malaysia. Pada tahun 1982, Shahnon dilantik pula menjadi profesor penuh di universiti yang sama. Kemudian Shahnon dilantik menjadi Pengarah Pusat Islam, Universiti Sains Malaysia.

Shahnon Ahmad dalam kesusasteraan Melayu moden merupakan tokoh penulis yang penting dan yang amat banyak diperkatakan. Karya awalnya berupa terjemahan tersiar dalam majalah Mastika dan selepas itu, terus bergiat dalam dunia penulisan terutama cerpen, novel, dan esei serta kritikan. Walaupun Shahnon telah meneroka hampir kesemua bidang penulisan, tetapi beliau mengaku bahawa menulis puisi dan drama dirasakannya amat canggung. Kekuatan beliau ternyata terletak dalam penulisan cerpen dan novel dan akhir-akhir ini pula dalam bidang esei dan kritikan.

Beliau mulai giat menulis dan mulai terkenal sejak tahun 1956 lagi iaitu dengan tulisannya yang berbentuk cerpen, esei, dan kritikan. Persoalannya yang dapat dilihat melalui cerpen-cerpennya pada peringkat awal ialah persoalan yang berunsur sinis dan seks. Cerita-cerita yang dikemukakan lebih banyak menyingkap penderitaan manusia desa dan kehidupan di kota-kota. Tidak lama kemudian Shahnon menjadi lebih terkenal sesudah menghasilkan novel pertamanya berjudul Rentong pada tahun 1965. Rentong merupakan novel Shahnon yang amat jelas menunjukkan bakatnya yang besar sebagai novelis. Sesudah menghasilkan novel keduanya berjudul Terdedah, Shahnon melahirkan pula Ranjau Sepanjang Jalan. Novel ini telah mendapat sambutan hangat daripada masyarakat pembaca serta para pelajar, dan telah dijadikan teks sastera tingkatan enam untuk beberapa tahun. Novel ini telah diangkat menjadi sebuah filem dalam tahun 1983.

Ranjau Sepanjang Jalan dan Rentong dapat dianggap sebagai kemuncak daripada kegiatan penulisan novel Shahnon Ahmad. Ranjau Sepanjang Jalan telah pun diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris oleh Adibah Amin dengan judul No Harvest But A Thorn. Panel The Sydney Morning Herald pada tahun 1973 telah menempatkan novel ini sebagai satu daripada 10 novel yang memikat hati untuk tahun 1972.

Shahnon menggemari karya beberapa orang penulis luar negeri, antaranya termasuklah karya-karya Pramoedya Ananta Toer dan Patrick White. Karya-karya Pram digemari kerana kekuatan bahasanya sementara karya Patrick White kerana kehidupan desa yang diutarakannya.

Konsep perjuangan Shahnon terlihat dalam kebanyakan tulisannya dan konsepnya ini pula pernah dilahirkannya dalam kata alu-aluannya pada sebuah antologi puisi GATRA, Kebangkitan, berbunyi: Kami adalah bangsa Melayu, dalam perjuangan menegakkan identiti melalui sastera.

Daripada riwayat hidup Shahnon, kita sekali gus dapat mengenal latar belakang novel-novel yang dihasilkannya. Melalui Rentong misalnya kita melihat bahawa Shahnon cuba menganalisis masyarakat desa yang amat memerlukan pembangunan. Shahnon Ahmad melahirkan simpatinya yang melimpah terhadap perjuangan kaum tani yang miskin di kampungnya Banggul Derdap. Terdapat kepadatan teknik dan isi yang baik dalam beberapa buah novelnya dan pembaca dapat merasakan keharuan daripada konflik-konflik yang dilalui oleh watak-watak seperti Dogol, Semaun, Pak Senik, Jeha, dan Lahuma.

Kekuatan Shahnon dalam karya-karyanya ialah kekuatan sensitiviti dan imaginasinya sebagai seniman yang berhasil menangkap segala konflik jiwa orang kampung. Dalam mengabdikan kehidupan desa yang menjadi sebahagian daripada kehidupannya, lukisan-lukisan alam dan suasana Banggul Derdap menjadi hidup dan bererti. Suatu keistimewaan yang kita dapati dan nyata daripada penyorotan Shahnon terhadap petani-petani miskin ialah bukan maksud dirinya meletakkan segala kesalahan kepada pemerintahan seperti yang sering dikemukakan oleh pengarang-pengarang ASAS 50 dalam waktu kegemilangan angkatan tersebut dulu. Beliau melihat orang kampung dengan segala kesederhanaan mereka untuk mencari rezeki yang halal, di samping menyerahkan dirinya bulan-bulat kepada Allah Azzawajalla. Segala musuh tanaman mereka datangnya daripada Allah dan kepada Allah jugalah mereka meminta perlindungan.

Dalam pada itu, Shahnon ada juga mengetengahkan tema-tema berat, ketuhanan seperti dalam Protes dan soal politik orang Melayu dalam Menteri dan Perdana. Apa yang ketara dalam setiap karyanya ialah penggunaan gaya bahasa dan teknik penulisan yang bersahaja. Beliau banyak menggunakan perbandingan-perbandingan yang asli, kata-kata loghat Kedah dan perulangan ayat supaya dapat meninggalkan kesan. Kata-kata itu dipilih demikian rupa hingga dapat menggambarkan suasana dan mood cerita dalam diri pembaca. Pada tahun 1973, terbit sebuah lagi novel Shahnon berjudul Serengenge. Pihak Panel Hadiah Karya Sastera telah memilih novel ini sebagai novel terbaik untuk tahun 1973. Srengenge memperlihatkan suatu usaha mencari sintesis antara kepercayaan tradisi dengan ilmu psikologi moden. Selain itu, teknik pemindahan dan dengan ilmu psikologi moden. Selain itu, teknik pemindahan dan pertukaran sudut pandangan daripada satu watak kepada satu watak yang lain untuk melukiskan peristiwa-peristiwa yang berlaku secara imbas kembali merupakan suatu pembaharuan yang cuba dilakukan oleh Shahnon. Pada tahun 1985, lahir pula novel Shahnon yang terbaru berjudul Al-Shiqaq I. Dalam bidang cerpen, beberapa buah karya Shahnon telah dipilih memenangi Hadiah Karya Sastera. Sekurang-kurangnya sebanyak tiga buah kumpulan cerpen persendirian beliau telah diterbitkan iaitu Anjing-anjing, Debu Mereh, dan Selesai Sudah. Di samping itu, cerpen Shahnon telah juga diterbitkan dalam beberapa antologi bersama.

Beliau telah beberapa kali memenangi hadiah RM100.00 untuk cerpen yang tersiar dalam Berita Harian dan Mastika dalam tahun-tahun 1960-an. Pada tahun 1974, Shahnon memenangi Hadiah Karya Sastera dalam bidang esei dan kritikan pula.Pada tahun 1975, Shahnon telah dilantik menjadi salah seorang anggota Panel Hadiah Karya Sastera. Beliau telah dianugerahi gelaran `Pejuang Sastera’ oleh Perdana Menteri pada tahun 1976. Dalam tahun 1982, Shahnon telah dianugerahi pula Anugerah Sastera Negara daripada kerajaan dan mulai tahun 1983, Shahnon dilantik semula sebagai Panel Hakim Hadiah Karya Sastera. Seperti yang terlihat sehingga kini, Shahnon adalah penulis yang sukar ditandingi bakat dan kesungguhannya dalam berkarya. Beliau bukan sahaja menulis dalam banyak bidang malah berbicara tentang banyak hal dan sejak akhir-akhir ini, Shahnon mula berminat menukar pokok persoalan penulisannya daripada masalah cerita hidup masyarakat desa kepada hal-hal yang menyentuh keislaman dalam dunia kesusasteraan. Polemik Shahnon dengan Kassim Ahmad mengenai takrif sastera Islam disiarkan dalam majalah Dewan Sastera untuk beberapa keluaran pada tahun 1984.

Shahnon telah dianugerahi Darjah Kebesaran Datuk Setia Diraja Kedah yang membawa gelaran `Datuk’ daripada Duli Yang Maha Mulia Sultan Kedah dalam tahun 1980. Pada 11 September 1993, Shahnon Ahmad dianugerahi gelar Profesor Emeritus oleh Universiti Sains Malaysia.



KARYA YANG DIHASILKAN

Novel

Rentong, Melaka: Penerbitan Abbas Bandung, 1965, 123 hlm.; Terdedah, Melaka : Penerbitan Abbas Bandung, 1965, 116 hlm.; Ranjau Sepanjang Jalan, Kuala Lumpur: Penerbitan Utusan Melayu (M) Bhd., 1966, 188 hlm.; Menteri, Alor Setar: Dinas Penerbitan Pustaka Sekolah, 1967, 119 hlm.; Prostes, Melaka: Penerbitan Abbas Bandung, 1967, 161 hlm.; Perdana, Singapura: Pustaka Nasional, 1969, 213 hlm.; Srengenge, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1973, 233 hlm.; Sampah, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1974, 65 hlm.; Kemelut, Kuala Lumpur: Utusan Publication & Distributors Sdn. Bhd., 1977, 156 hlm.; Seluang Menodak Baung, Kuala Lumpur: Heinemann Educational Books (Asia) Ltd., 1978, 304 hlm.; Al-Syiqaq I, Kuala Lumpur: Teks Publishing Sdn. Bhd., 1985, 427 hlm.; Tunggul-tunggul Gerigis, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1989 (Edisi Sasterawan Negara, 1990), 305 hlm.; Patriarch, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka, 1991 (Edisi Sasterawan Negara, 1995), 227 hlm.; Ummi & Abang Syeikhul, Pulau Pinang: Percetakan Yusran, 1992, 145 hlm.; TIVI, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1995, 117 hlm.; Ibu Adalah Pentafsir dan Sungai, Shah Alam: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd., 1995, 252 hlm.; Sutan Baginda, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1997, 115 hlm.; Stumps (Terjemahan), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1997 (cet. 2), 334 hlm.

Cerpen


Dua Zaman (antologi bersama), Kuala Lumpur: Penerbitan Pustaka Antara, 1963, 190 hlm.; Anjing-anjing, Kuala Lumpur: Penerbitan Jambatanmas, 1964, 100 hlm.; Perajurit yang Pulang (antologi bersama), Melaka: Penerbitan Abbas Bandung, 1964, 132 hlm.; Debu Merah, Melaka: Penerbitan Abbas Bandung, 1965, 221 hlm.; Angin Retak (antologi bersama), Melaka: Penerbitan Abbas Bandung, 1966, 177 hlm.; Konflik (antologi bersama), Alor Star; Penerbitan Pustaka Utara, 1967, 118 hlm.; Koleksi Cerpen-cerpen Malaysia (antologi bersama) Kuala Lumpur: Penerbitan Universiti Malaya, 1977, 446 hlm.; Selesai Sudah, Kuala Lumpur: Heinemann Educational Books (Asia) Ltd., 1977, 164 hlm.; Cerpen-cerpen ASEAN (antologi bersama), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1978, 279 hlm.; Angin Pulau (antologi bersama), Kuala Lumpur: Teks Publishing Sdn. Bhd., 1985, 433 hlm.; Dongeng Merdeka (antologi bersama), Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd., 1985, 339 hlm.; Titisan Indah di Bumi Merkah (antologi bersama), Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd., 1985, 405 hlm.; Alun Menggulung Perlahan (antologi bersama), Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd., 1986, 286 hlm.; Seketul Hati Seorang Pemimpin, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1989, 346 hlm.; Takah Demi Tokoh (antologi bersama), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1993, 346 hlm.

Drama

Anak Rempang Karam di Kota, Alor Setar: Penerbitan Pustaka Maha, 1968, 126 hlm.

Kajian

Kajian Novel Desa Pingitan (bersama Yahaya Ismail), Kuala Lumpur: Penerbitan Pustaka Antara, 1966, 26 hlm.; Penglibatan dalam Puisi, Kuala Lumpur: Utusan Publication & Distributors Sdn. Bhd., 1978, 194 hlm.; Gubahan Novel, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1979, 147 hlm.; Kesusasteraan dan Etika Islam, Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd., 1981, 113 hlm.; Detik-detik Diri di Daerah Daif, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1991, 167 hlm.; Kesusasteraan, Kepolitikan, Kealaman, Kedirian Kemanusiaan, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1992, 183 hlm.; Sastera Sebagai Sismograf Kehidupan, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1993, 566 hlm.; Sastera: Pengalaman, Ilmu, Imaginasi dan Kitarannya, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1994, 161 hlm.’ Literature As a Seismograph of Life (Terjemahan Hawa Abdullah), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1994, 445 hlm.; Pongang Sastera, Shah Alam: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd., 1995, 209 hlm.

Esei/Kritikan

Di Sekitar Pemikiran Kesusasteraan Malaysia 1957 – 1972 (antologi bersama), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1976, 419 hlm.; Penulisan Kreatif (antologi bersama), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1980, 92 hlm.’ Sastera dan Sasterawan (antologi bersama), Kuala Lumpur: Persatuan Sejarah Malaysia, 1980, 259 hlm.; Sekitar Pemikiran Kesusasteraan Islam (antologi bersama), Kuala Lumpur: GAPIM, 1980, 10 hlm.; Imej dan Cita-cita: Kertas Hari Sastera 1980 (antologi bersama), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1981, 374 hlm.; Novel-novel Malaysia dalam Kritikan (antologi bersama), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1982, 357 hlm.; Sastera dan Agama (antologi bersama), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1984, 130 hlm.

Wawancara

Wawancara Sastera (disusun oleh A. M. Thani), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1984, 367 hlm; Mohd. Yusof Hasan, Shahnon Ahmad, Ahmad Kamal Abdullah (Peny.), Jambak I, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1993, hlm. 181-206.

STATUS

Search This Blog

DAUN