ajari aku

Blog Mimbar Kata

tulislah

blog mimbar kata

sehelai daun

blog mimbar kata

hujan dalam sukma

blog mimbar kata

kaki memijak

blog mimbar kata

28 Oct 2012

Istilah Sastera : Metafora


METAFORA

Metafora merupakan  bahasa perbandingan yang membandingkan benda atau objek abstrak dengan benda atau objek konkrit.

Metafora dikenali juga sebagai gabungan kata abstrak dan konkrit

Tujuan utama penggunaan metafora dalam karya sastera adalah untuk melahirkan keindahan bahasa yang dapat memberi gambaran terhadap aspek kejiwaan, harapan, dan  tanggapan pengarang. 

Keupayaan bahasa metafora adalah ia dapat memberi gambaran jelas tentang aspek kejiwaan yang seterusnya dapat diterjemahkan secara jelas dan nyata.

Ungkapan metafora kebiasaan terdiri dari binaan dua patah kata
Contohnya :  bingkai waktu,  awan harapan,  garis-garis mimpi

Kaedahnya adalah sebagaimana kata bingkai merupakan kata konkrit yang dikaitkan dengan waktu iaitu abstrak. Waktu dianggap abstrak kerana tidak dapat dilihat atau dipegang tetapi kata bingkai merupakan objek konkrit yang dapat dizahirkan dalam struktur atau bentuk tertentu

Maka lahirlah ungkapan bingkai waktu.

Dari aspek pengertiannya bingkai waktu dapat difahami sebagai harapan atau peluang yang dimiliki dalam hidup.


Lihat foto di atas

Apakah metafora yang dapat diterbitkan dari foto tersebut?

Sila kemukakan di dalam komen

Jangan takut bermain bahasa kerana di dalamnya penuh warna kata



Warna Kata


Keberanian adalah segalanya
HADAPI PERJUANGAN ANDA DENGAN BERANI

Selamat Menduduki Peperiksaan SPM dan STPM 2012

27 Oct 2012

Anak-Anak Suria




CERPEN ANAK-ANAK SURIA (ZAHARAH NAWAWI)

TEMA

Cerpen ini bertemakan kasih-sayang antara manusia dan haiwan. Kasih sayang ini dibuktikan oleh pasangan Hakim dan Amanani yang sanggup mengambil orang gaji khas untuk menjaga Suria semasa ketiadaan mereka mengerjakan haji. Mereka juga membuat aduan polis apabila mendapati Ayu mendera anak-anak Suria.

PERSOALAN
Persoalan kasih-sayang terhadap haiwan. 
Contonya: Hakim dan Amanani melayan suria seekor kcing seperti anak sendiri.

Persoalan Kejujuran dalam melaksanakan tugas. 
Cotohnya: Ayu pengasuh kepada anak- anak suria yang tidak menjalankan tugasnya dengan jujur dan ikhlas.

Persoalan Kesedaran terhadap hak asasi haiwan.
Contohnya: Hakim dan Amanani pasangan suami isteri yang sanggup menjaga dan merawat Didi di hospital haiwan.

Persoalan Reda menerima ujian.
Contohnya: Hakim dan Amanani sanggup memaafkan ayu dan menerima segala kesalahan ayu sebagai ujian.

WATAK DAN PERWATAKAN

Hakim
1. Suami kepada Amanani.
2. Bekerja di pejabat.
3. Tidak mempunyai cahaya mata.
4. Seorang yang teliti. Contoh: Mengadakan temuduga untuk mencari penjaga Suria
5. Seorang yang penyayang.Contoh: Dia melayan Suria seperti anak sendiri.
6. Seorang yang berpegang teguh pada ajaran Islam.Contoh: Hakim berpegang kepada perintah Allah dengan menerima hakikat kematian bagi setiap makhluk.

Amanani.
1. Isteri kepada Hakim.
2. Tidak mempunyai anak.
3. Seorang yang penyayang.
Contoh: Kepada suaminya dan anak-anak Suria (kucing).
4. Seorang yang pemurah.
Contoh: Berhasrat ingin membelikan Ayu rantai emas kerana berpuas hati dengan layanan Ayu kepada Suria.
5. Seorang yang penyabar.
Contoh: Sabar menerima ujian Tuhan dan redha dengan hakikat kematian anak-anak Suria.
6. Seorang yang mesra. Contoh: Dia bersikap mesra dengan pembantu rumahnya dan melayannya dengan baik.

Ayu
1. Seorang gadis muda yang sedang menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
2. Seorang yang cuai. Contoh: Tidak mejaga Suria dengan baik menyebabkan Suria hilang selama satu minggu.
3. Seorang yang berpura-pura. Contoh: Menunjukkan sikap penyayang kepada haiwan di hadapan majikan.
4. Seorang yang kejam. Contoh: Bersikap kejam terhadap binatangdengan mendera Didi yang dimasukkan ke dalam beg plastik dan diikat dengan tali.

STRUKTUR PLOT

Permulaan .
Pasangan Hakim dan Amanani memiliki seekor kucing bernama Suria yang sangat disayangi seperti anak sendiri. Pasangan ini terpaksa mencari seorang penjaga suria sepanjang mereka menunaian ibadat haji di Mekah. Sesi temuduga diadakan bagi memilih penjaga yang sesuai. Akhirnya Ayu seorang gadis muda yang sedang menunggu keputusan SPM telah dipilih kerana dilihat sebagai calon yang paling layak.

Perkembangan.
Sepanjang ketiadaan Hakim dan Amanani, sSuria pernah hilang selama seminggu. Selepas itu suria didapati mengandung. Sekembalinya Hakim dan Amanani dari Mekah mereka menerima berita tersebut dengan gembira. Suria melahirkan lima ekor anak yang diberi nama Manja, Awan, Bayu, Mega dan Didi.

Puncak/ Klimak.
Kematian Manja menyebabkan pasangan tersebut bersedih. Ditambah lagi dengan kehilangan Awan dan kematian Bayu yang terjatuh di dalam longkang. Hakim dan Amanani mula menaruh syak terhadap kejujuran Ayu.

Peleraian.
Didi telah dihantar ke pusat rawatan. Hakim dan Amanani pulang semula ke rumah dan menggali semula kubur Manja dan Bayu. Hanya seketul batu yang ditanam oleh Ayu. Ayu mengaku telah mendera anak-anak Suria. Hakim dan Amanani telah membuat laporan polis terhadap perbuatan tersebut.

TEKNIK PLOT

Pemerian.
Contoh: Kemurungan perasaan Amanani segera terubat menyaksikan Keletah Suria.

Dialog.
Contoh: “ Ini Suri.” Seperti biasa Hakim memperkenalkan

Monolog.
Contoh: Dalam perjalanan pulang Nani menyesali diri.“ Kita fikir kita sudah dapat membantu yang cukup baik. “ Suaranya malas bertingkah dengan deru kereta.

Kejutan.
Contoh: Tiba-tiba telinga Nani terdengar seperti bunyi anak kucing menjerit-jerit kecemasan dari arah tong sampahnya.

LATAR

Latar Masa
Pada waktu petang.
Contoh: Hakim baru pulang dari kerja. Dia segera memanggil Suria untuk bermain-main setelah penat bekerja.

Pada waktu pagi.
Contoh: Amanani telah terlibat dalam kemalangan sewaktu ingin ke pejabat.

Latar Tempat
Di kawasan sekitar rumah Hakim dan Amanani, bilik Suria dan dapur.

Bilik Suria.
Contoh: tempat Hakim dan Amanani bermain-main dengan Suria dan anak-anaknya.

Dapur
Contoh: Ayu sedang menggoreng pisang di dapur.

Di pusat rawatan haiwan.
Contoh: Hakim dan Amanani membawa Didi ke pusat rawatan haiwan. Didi terpaksa dimasukkan ke wad kecemasan selama seminggu.

Di balai polis.
Contoh: Hakim dan Amanani membuat laporan polis berkaitan kemalangan dan seterusnya laporan terhadap penderaan terhadap haiwan yang dilakukan oleh Ayu, pembantu rumah mereka.

Latar Masyarakat

Masyarakat yang menyayangi binatang.
Contoh: Hakim dan isterinya, Amanani sangat menyayangi haiwan peliharaan mereka yang bernama Suria.

Masyarakat yang suka berpura-pura.
Contoh: Ayu merupakan seorang gadis yang berpura-pura menyayangi binatang sedangkan hatinya sebaliknya.

Masyarakat yang berpegang teguh pada ajaran Islam.
Contoh: Hakim dan Amanani mengerjakan ibadah haji di Mekah. Hakim juga menasihati isterinya agar reda dengan ketentuan Allah yang menangisi kematian Manja dan Bayu serta kehilangan Awan.

Masyarakat yang bertindak kejam terhadap haiwan.
Contoh: Ayu dilambangkan sebagai kelompok masyarakat yang suka melakukan penderaan terhadap haiwan yang tidak berdosa dengan kejam. Ayu telah membunuh Manja dan Bayu, malah menyebabkan Awan hilang daripada jagaan Hakim dan Amani.

Masyarakat yang tidak mempunyai kesedaran terhadap hak asasi haiwan peliharaan
Contoh: Hakim dan Amanani diketawakan oleh beberapa orang yang berada dibalai polis ketika itu kerana membuat kematian tentang anak kucing.


GAYA BAHASA

Peribahasa
Contoh: Pengerat simpulan tali kasih antara mereka berdua. (hal. 95)

Personifikasi.
Contoh: Suaranya malas. (hal. 102)

Simile.
Contoh: Putih melepak seperti kapas. (hal. 98)

Sinkof.
Contoh: “ Abang dengar tak?. ( hal. 99)

NILAI

Nilai Kasih Sayang.
Contoh: Hakim dan Amanani sangat menyayangi Suria (kucing) seperti anak sendiri

Nilai Kejujuran.
Contoh: Ayu berpura-pura menyayangi Suria sedangkan dia seorang yang tidak berperikemanusiaan.

Nilai Keredhaan.
Contoh: Hakim dan Amani reda dengan ketentuan tuhan terhadap kekejaman yang dilakukan oleh Ayu kepada anak-anak kucing kesayangan mereka. Pembelaan terhadap hak asasi haiwan peliharaan. Hakim dan Amanani menpunyai kesedaran yang tinggi terhadap hak asasi haiwan.

Nilai Bertanggungjawab.
Contoh: Ayu tidak bertanggungjawab dalam melaksanakan tugasnya.

Pengajaran

Kita hendaklah bersikap mengasihi haiwan kerana amalan tersebut amat dituntut dalam semua agama. Contoh: Hakim dan Amanani menyayangi anak-anak Suria.

Kita hendaklah bersikap jujur apabila diberikan amanah.
Contohnya: Watak Ayu yang tidak bersikap jujur dalam melaksanakan amanah untuk menjaga Suria.

Kita hendaklah bersikap tawakal dan redha di atas peristiwa buruk yang berlaku dan tidak terlalu melayan kesedihan. Contoh: Amanani redha dengan kematian Manja dan Bayu.

Setiap manusia haruslah dididik dengan kesedaran terhadap hak asasi haiwan supaya kes penderaan haiwan dapat dikurangkan. Contoh: Ayu yang mendera anak-anak Suria.

Kita bersikap tanggugjawab terhadap amanah yang diberikan. Contoh: Ayu tidak melaksanakan tanggungjawabnya.

25 Oct 2012

salam aidil adha


salam aidil adha
maaf zahir batin

Gersang




Cerpen Gersang karya Masniah Kalyubi

TEMA
Kegigihan dan kasih sayang seorang lelaki tua yang bergelut dengan penderitaan dalam mencari rezeki untuk meneruskan kehidupan. Lelaki tua itu hanya bergantung pada pendapatannya sebagai peminta sedekah di bandar raya Kuala Lumpur untuk meneruskan kehidupan bersama seorang cucu terbuang yang masih kecil iaitu Sumi.

PERSOALAN
Persoalan tentang kemiskinan hidup.
Contohnya, datuk tua menyara kehidupan dengan menjadi seorang peminta sedekah dan dia juga tinggal di sebuah gubuk buruk di kawasan setinggan di kota Kuala Lumpur bersama dengan seorang anak iaitu Sumi.

Persoalan tentang kasih sayang.
Contohnya, datuk tua menjaga Sumi dengan penuh kasih sayang seperti anak kandungnya sendiri dan berusaha untuk membahagiakan Sumi walaupun membesarkannya dengan hanya memberi makan hasil huluran tin susu tuanya.

Persoalan tentang pembuangan bayi.
Contohnya, Sumi telah dijumpai oleh datuk tua di dalam tong sampah dengan keadaan hanya berbalut dengan lampin.

Persoalan tentang ketabahan dalam menempuh dugaan hidup.
Contohnya, dalam menghadapi dugaan hidup walaupun gubuk buruk yang didiaminya selama ini bersama Sumi di kawasan setinggan telah dirobohkan.

Persoalan tentang kegigihan dalam mencari rezeki.
Contohnya, datuk tua yang telah berusia hampir 100 tahun dan bongkok pula masih gigih dalam mencari rezeki demi meneruskan hidupnya dan cucu kesayangannya walaupun pekerjaannya itu hanya mengemis di jalanan.

Persoalan tentang keyakinan akan Tuhan.
Contohnya, datuk tua yakin bahawa walaupun pekerjaannya kini terjejas akibat gubuk buruknya telah dirobohkan tetapi baginya bumi Allah ini luas dan dia masih boleh meneruskan perjuangan untuk mencari rezeki di mana-mana tempat.

Persoalan tentang kemajuan pembangunan.
Contohnya, Kuala Lumpur merupakan bandar raya yang sudah mengecapi kemajuan pembangunan sehingga menjadikan tempat tersebut lubuk atau pusat pekerjaan penduduk yang sangat penting.

WATAK DAN PERWATAKAN

Datuk Tua
1.         Watak utama cerita.
2.         Berusia menjangkau satu abad iaitu hampir 100 tahun.
3.         Badannya kurus dan sudah bongkok. Dia berdiri dan berjalan dengan bantuan tongkat.
4.         Tinggal di gubuk buruk di kawasan setinggan di Kuala Lumpur.
5.         Seorang peminta sedekah.Contohnya, datuk tua selalu mengemis di kaki-kaki lima bandar Kuala Lumpur.
6.         Memelihara seorang anak iaitu Sumi yang telah dibuang oleh ibu bapanya di tong sampah.
7.         Seorang yang penyayang.
Contohnya, dia menjaga Sumi dengan penuh kasih sayang seperti anak kandungnya sendiri dan berusaha menunaikan permintaan
8.         Seorang yang gigih.
Contohnya, meskipun datuk tua sudah teramat tua dan bongkok pula tetapi dia gigih memelihara Sumi dengan penuh kasih sayang dan berusaha mencari mencari rezeki untuk membesarkannya
9.         Seorang tua yang mempunyai naluri kemanusiaan yang tinggi.
Contohnya, meskipun datuk tua sudah teramat dan seorang peminta sedekah tetapi dengan naluri kemanusiaan yang ada pada dirinya, dia sanggup memelihara Sumi yang dibuang oleh ibu bapanya di tong sampah.
10.       Percaya dan yakin akan Tuhan.
Contohnya, datuk tua yakin Tuhan akan sentiasa memberi ruang kepadanya untuk mencari rezeki di mana–mana tempat di bumi ini.

Sumi
1.         Berumur lima tahun.
2.         Korban kezaliman ibu bapa yang tidak bertanggungjawab. Contohnya telah dibuang oleh ibu bapanya di tong sampah dan telah dijumpai oleh datuk tua dengan keadaan yang hanya berbungkus lampin.
3.         Dipelihara oleh datuk tua iaitu seorang peminta sedekah yang sudah berusia.
4.         Menyayangi datuk tuanya.
Contohnya, semasa gubuk buruk tempat tinggal mereka diruntuhkan, Sumi segera mendapatkan datuk tua kesayangannya walaupun sedang sakit. Dia tidak mahu datuk tuanya itu terkial-kial sendirian menanggung segala penderitaan yang dialami.
5.         Seorang kanak-kanak yang periang dan mempunyai dua orang kawan iaitu Utih dan Nana.
6.         Seorang kanak-kanak yang tidak pernah merasai kesenangan hidup.
Contohnya, Sumi tidak pernah merasai kesenangan hidup lantaran ibu bapanya yang membuangnya di tong sampah dan kini, hidup bergantung dengan datuk tuanya yang lemah dan tidak mempunyai apa-apa iaitu mencari rezeki dengan hanya mengemis.

LATAR

(a)      Latar Tempat
1.         Bandar raya Kuala Lumpur
2.         Kaki lima – tempat datuk tua meminta sedekah.
3.         Gubuk buruk di kawasan rumah setinggan – tempat datuk tua dan Sumi tinggal.

(b) Latar Masyarakat
1.         Masyarakat kota yang miskin.
Contohnya, datuk tua mencari rezeki untuk menyara kehidupan dengan hanya meminta sedekah. Dia dan Sumi tinggal di kawasan setinggan iaitu di gubuk buruk tebing sungai.

2.         Masyarakat tua yang gigih.
Contohnya, datuk tua yang sudah berusia menjangkau 100 tahun dan sudah bongkok masih meneruskan kehidupan mencari rezeki dengan mengemis di jalanan walaupun sudah teramat tua.

3.         Masyarakat kota yang murah hati dan berbelas kasihan.
Contohnya, masih terdapat segelintir warga kota yang simpati dan bermurah hati dengan memberi sedekah kepada datuk tua.

4.         Masyarakat yang penyayang.
Contohnya, datuk tua menyayangi Sumi dengan menjaganya dengan penuh kasih sayang seperti anak kandungnya sendiri.

5.         Masyarakat yang tidak bertanggungjawab dan berperikemanusiaan.
Contohnya, ibu bapa Sumi mewakili masyarakat yang tidak bertanggungjawab dan berperikemanusiaan kerana membuang anak di tong sampah.

6.         Masyarakat yang jahil tentang agama.
Contohnya, perbuatan ibu bapa Sumi yang membuangnya di tong sampah memperlihatkan kurangnya nilai agama dalam diri sehingga sanggup membuang darah daging sendiri.

7.         Masyarakat kota yang sentiasa sibuk
Contohnya, setiap hari masyarakat kota di Kuala Lumpur digambarkan sentiasa sibuk dengan hal dan pekerjaan masing-masing.

8.         Masyarakat kota yang terabai dari segi kebajikan.
Contohnya, datuk tua dalam keadaannya yang sudah menjangkau usia 100 tahun masih merempat di kota Kuala Lumpur mencari rezeki dengan meminta sedekah tanpa ada bantuan daripada mana-mana pihak untuk menempatkannya di rumah-rumah kebajikan orang-orang tua.

TEKNIK PENCERITAAN
1.         Pemerian
Tatapannya merenung kejauhan lalu menembusi kenderaan dan derap langkah kaki warga kota yang lewat di hadapannya. Pun ketika ada dentingan syiling yang terlontar di dalam tin susunya, tatapannya itu tetap tidak berubah. Getir dan penuh penderitaan, membayangkan warna hidupnya. (hal. 93)

2.         Imbas Muka
Datuk tua sedang merenung dan berfikir untuk mencari jalan penyelesaian bagi masalah yang sedang bersarang dalam kepala. Dia merasakan petang itu merupakan petang bagi segala masalah. (hal. 94)

3.         Imbas kembali
Datuk tua teringat akan kedatangan lelaki-lelaki asing yang memakai kemeja dan tali leher dengan cara jalan yang begitu gagah di kawasan deretan gubuk-gubuk buruk mereka di tebing sungai. (hal. 94-95)

Datuk tua teringat akan peristiwa dia menjumpai Sumi yang masih bayi di dalam tong sampah dengan hanya berbalut lampin buruk. (hal. 96)

Datuk tua teringat akan Sumi yang sudah pandai merajuk dan bertanya tentang ayah dan ibunya kandungnya. (hal. 97)

4.         Dialog
“Tanah ni tanah kerajaan, pak cik. Di tapak tanah ni akan dibina bangunan lapan puluh tingkat.”
“Tapi encik…”
“Tak ada tapi-tapinya lagi. Kalau saya kata pindah, pindah!” (hal. 95)

5.         Monolog dalaman
Dia bertanya kepada dirinya lagi. Di manakah peri kemanusiaan warga kota? Di manakah keadilan yang selalu dilaung-laungkan? Dia tidak tahu. Dia juga tidak tahu di manakah haknya sebagai warga kota yang bernaung di bumi merdeka? Mana? Mana? Hatinya menjerit. (hal. 96)

Mungkin ada rezeki lebih hari ini Sumi. Nanti tuk belikan limau. Hatinya berbicara. (hal.97)

6.         Monolog
“Tunggu ya cu, tuk pulang ni!” Dia berbisik sendirian. (hal 99)

7.         Suspens
Langkahnya semakin cepat. Sesekali dia tersepak batu-batu di jalanan. Semakin hampir ke tempat itu semakin kuat bunyi buldozer dan semakin lemah tubuh tuanya. Langkahnya mati tiba-tiba. (hal. 99)

NILAI MURNI
1.         Kasih sayang.
Contohnya, datuk tua menyayangi Sumi dengan menjaganya dengan penuh kasih sayang seperti anak kandungnya sendiri.

2.         Pemurah. Contohnya, segelintir warga kota simpati dengan kesusahan yang dialami oleh datuk tua dengan bermurah hati menghulurkan sedekah.

3.         Tabah. Contohnya, datuk tua tabah menghadapi dugaan hidup walaupun            terpaksa bergelut dengan penderitaan hidup.

4.         Kesyukuran. Contohnya, datuk tua sentiasa bersyukur dengan rezeki yang diterimanya hasil daripada meminta sedekah daripada orang lain.

5.         Gigih.
Contohnya, datuk tua yang telah berusia hampir 100 tahun dan bongkok pula masih gigih dalam mencari rezeki demi meneruskan hidupnya dan cucu kesayangannya walaupun pekerjaannya itu hanya mengemis di jalanan.

6.         Bertanggungjawab.
Contohnya, datuk tua telah menunaikan tanggungjawab dengan menjaga dan membesarkan Sumi yang telah dibuang oleh ibu bapanya di tong sampah.

AMANAT DAN PENGAJARAN
1.         Kita hendaklah tabah menghadapi dugaan dan takdir hidup.
2.         Kita perlulah gigih berusaha dalam melakukan sesuatu pekerjaan.
3.         Kita mestilah bertimbang rasa dan mempunyai belas kasihan terhadap kesusahan orang lain.
4.         Kita haruslah bertanggungjawab terhadap segala perbuatan dan tindakan kita.
5.         Kita haruslah sentiasa bersyukur kepada Tuhan untuk setiap rezeki yang diberikan kepada kita.
6.         kita hendaklah memberi kasih sayang yang baik terhadap anak-anak.

GAYA BAHASA

1.         Simile
Hitam seperti malam. (hal. 93)

Hatinya bagai digamit untuk melangkah pantas. (hal.99)

2.         Personifikasi.
Hatinya menjerit. (hal 96)

3.         Sinkof.
“Tak ada tapi-tapinya lagi. Kalau saya kata pindah, pindah!” (hal 95)

4.         Hiperbola.
Mengalir air mata darah

Matahari jam dua belas tegak di atas kepala, memanah mata tua. (hal 94) 

20 Oct 2012

Abdullah Munsyi Pelopor Sastera Melayu Moden



Abdullah Munsyi atau nama sebenar beliau ialah Abdullah bin Abdul Kadir Munsyi. Beliau telah dilahirkan pada tahun 1796, di kampung Pali Melaka. Beliau merupakan anak bongsu dari empat orang adik beradik dan telah kematian ketiga-tiga abangnya sejak kecil lagi. Ayahnya berketurunan Arab Yaman manakala ibunya Salamah berketurunan dari India. Sejak kecil dia telah diajar mengaji Al-Quran dan tulisan Jawi serta tatabahasa bahasa Melayu oleh bapanya. Beliau juga turut belajar bahasa Tamil, Hindi dan juga bahasa Inggeris.

Abdullah Munsyi  juga pernah bertugas sebagai jurutulis kepada Sir Stamford Raffles. Beliau juga pernah membantu paderi Thomson dan Milne menterjemah kitab Injil ke dalam bahasa Melayu. Beliau menjadi guru bahasa Melayu kepada askar Inggeris keturunan India dan memangku jawatan pengetua di Anglo-Chinese College ketika Paderi Thomson pulang bercuti di England. Abdullah Munsyi meninggal dunia pada usia 58 tahun di Jeddah pada tahun 1854 ketika dalam perjalanan ke Mekah.

Kejayaan Abdullah Munsyi sebagai  pelopor sastera moden disebabkan oleh beberapa faktor tertentu. Pertama berkaitan dengan  kuasa barat mulai bertapak di Tanah Melayu.  Penjajahan barat oleh Inggeris ke atas Tanah Melayu telah menyebabkan kuasa golongan feudal mulai merosot, pada ketika proses transisi inilah Abdullah Munsyi tampil sebagai penulis yang membawa perubahan.  Ini dapat dibuktikan melalui karya-karya yang dihasilkan beliau seperti Kisah Pelayaran Abdullah (1838) yang menceritakan pengalaman yang dilalui oleh beliau semasa mengikuti rombongan penjajah Inggeris ke negeri-negeri pantai Timur.

Kedua berasaskan faktor arus modenisasi yang dibawa oleh penjajah barat. Kehadiran alat cetak yang dibawa bersama arus modenisasi barat telah memungkinkan karya-karya yang ditulis oleh Abdullah Munsyi dicetak dan diterbitkan. Beliau merupakan pengarang Melayu pertama yang karyanya dicetak. Antara karyanya yang terawal dicetak ialah Kisah Pelayaran Abdullah (1838).

Faktor pergaulan dengan orang-orang barat turut memainkan peranan dalam kejayaan Abdullah Munsyi. Hubungan beliau dengan orang-orang barat sama ada ketika beliau bekerja ataupun menjadi guru bahasa Melayu, telah memperluaskan pemikirannya selari dengan modenisasi yang di bawa oleh orang-orang barat. Beliau pernah menjadi jurutulis kepada Sir Stamford Raffeles dan pernah bekerja dengan Paderi Thomson yang merupakan pengetua Anglo-Chinese College.

Faktor pendidikan yang diterima sejak dari awal lagi memberi peluang penting kepada Abdullah Munsyi untuk berjaya. Sejak kecil lagi beliau telah diberi pendedahan tentang pendidikan sama ada pendidikan agama mahu pendidikan dunia yang berupa tatabahasa Melayu. Beliau telah menguasai dan khatam Al-Quran seawal usia 7 tahun kemudian beliau mula menjadi guru bahasa Melayu seawal usianya 14 tahun.

Faktor keturunan dan latar belakang keluarganya turut memainkan peranan. Beliau dilahirkan hasil perkahwinan campur antar bapanya yang berketurunan arab dan ibunya berketurunan India. Ayahnya tergolong dalam kelompok ilmuwan dan intelek(guru agama, guru bahasa dan juga seorang pedagang) didikan yang berteraskan ketegasan dalam ilmu telah banyak membantu Abdullah menjadi orang yang berpengetahuan dan mencipta zamannya sendiri dengan membawa banyak perubahan dan pembaharuan dalam kesusasteraan Melayu.

Abdullah Munsyi memiliki  bakat dan kebolehan semulajadi dalam bidang tulis menulis.
Beliau memang berbakat dalam tulis-menulis, idea yang diberikan kreatif. Olahan cerita yang disampaikannya juga menarik serta terperinci. Idea dan pemikiran dalam karya-karyanya yang berbentuk autobiografi seperti Syair Singapura terbakar (1830) Kisah Pelayaran Abdullah (1838) membuktikan beliau memang berbakat dalam bidang penulisan yang melayakkannya berada dalam zamannya sendiri.

Abdullah Munsyi  berada pada  zaman pergolakkan. Abdullah Munsyi berada dalam dua situasi iaitu menjelang keruntuhan kuasa politik kaum bangsawan Melayu dan bermulanya kegemilangan pengaruh asing. Senario itu telah memungkinkan Abdullah membawa pembaharuan dalam karya-karyanya yang tidak terikat lagi pada tradisi istana. Ini jelas dalam kebanyakkan karyanya tidak lagi memberi penekanan pada golongan feudal seperti dalam Hikayat Abdullah.

Penyebaran agama kristian memberi kesan penting kepada Abdullah Munsyi. Penyebaran agama kristian yang dibawa oleh mubaligh-mubaligh dari barat turut membawa masuk ilmu-ilmu barat yang mula berkembang dan mula melemahkan kuasa golongan feudal orang Melayu. Abdullah Munsyi yang turut belajar dengan beberapa orang paderi seperti Thomson dan juga Milne telah menerima tempias keilmuan barat sehingga memungkinkannya mencipta pembaharuan dalam karya-karya beliau ini terbukti melalui penggunaan istilah-istilah Inggeris dalam karya beliau seperti Hikayat Abdullah Munsyi. Antaranya police dan college.

Dalam penulisannya Abdullah Munsyi membawa sikap dan pemikiran yang menjadi gagasan utama dalam karya-karyanya.  Pertama, sikap dan pemikirannya terhadap Bahasa Melayu. Abdullah Munsyi  begitu berminat untuk mempelajari dan mendalami bahasa Melayu dan pemikirannya terhadap bahasa Melayu jelas apabila beliau menegaskan betapa pentingnya bahasa Melayu perlu dipelajari oleh orang Melayu. Kenyataan ini dapat dijelaskan berdasarkan pendiriannya terhadap bahasa Melayu seperti yang dtulis oleh beliau dalam karyanya Kisah Pelayaran Abdullah (1838) yang antara lainnya beliau menyatakan rasa kesalnya terhadap orang-orang Melayu yang tidak mengambil berat tentang bahasa Melayu.

Abdullah Munsyi memberi keutamaan  terhadap ilmu-ilmu lain.  Ini diterjemahkan melalui kesedaran beliau terhadap betapa mundur dan ceteknya pemikiran bangsanya telah mempengaruhi sikap dan pemikiranya terhadap ilmu-ilmu lain yang dibawa masuk oleh orang-orang barat. Situasi itulah yang mendorong beliau untuk mempelajari ilmu-ilmu baharu yang dibawa masuk oleh orang-orang barat. Dalam Hikayat Abdullah dinyatakan beliau belajar ilmu bumi seperti bentuk bumi, gerhana dan ilmu kira-kira.
Sikap dan pemikirannya terhadap orang Melayu yang mengabaikan bahasa Melayu.
Abdullah Munsyi  yang jelasnya bukan orang Melayu tulen maka tidak hairanlah dia dengan begitu berani mengkritik orang-orang Melayu. Sikap dan pemikirannya terhadap orang Melayu jelas apabila dia tidak bersetuju dengan pandangan dan sikap orang Melayu yang mengabaikan bahasa Melayu seperti yang dinyatakan dalam Hikayat Abdullah yang betapa bodohnya orang Melayu kerana tidak mahu mempelajari bahasa sendiri.
Abdullah Munsyi turut memberi fokus terhadap cara hidup orang Melayu.
 Abdullah Munsyi dalam karyanya khususnya Kisah Pelayaran Abdullah (1840) turut mencetuskan pandangannya terhadap cara hidup orang Melayu. Beliau beranggapan orang Melayu malas, lalai dan pengotor. Bahasa percakapan orang Melayu juga buruk, makanan orang Melayu disebut terdiri dari bahan-bahan kotor. Beliau juga turut memuji sikap rajin perempuan kelantan rajin menjalankan perniagaan.

Abdullah Munsyi juga mengadunkan sikap dan pemikirannya terhadap golongan feudal Abdullah Munsyi menunjukkan sikap benci dan menganggap budaya raja-raja Melayu sebagai kolot. Beliau menganggap raja-raja Melayu zalim kerana kehendak mereka tidak boleh dihalang atau dilarang jika tidak buruk padahnya. Sikap danpemikirannya yang bencikan golongan jelas melalui gambaran betapa hodoh dan bodohnya raja-raja Melayu dalam karyanya seperti Hikayat Abdullah Munsyi seperti gambaran tentang Sultan Hussin yang dikatakan gemuk dan kuat makan.

Aspek kepercayaan orang Melayu turut menjadi sikap dan pemikiran Abdullah Munsyi dalam karya beliau. Abdullah Munsyi tidak bersetuju dengan kepercayaan orang Melayu yang terlalu percaya kepada perkara yang tahyul. beliau beranggapan perkara itu karut dan sewajarnya tidak diikuti ini adalah kerana kepercayaan itu akan menjadi halangan untuk kemajuan bangsa Melayu . Ini dapat dilihat penentangannya terhadap adat menjual anak seperti yang dinyatakan dalam Hikayat Abdullah.

Abdullah Munsyi tidak  terlepas dari  mengemukakan sikap dan pemikirannya terhadap orang-orang Inggeris. Abdullah menghargai dan mengagumi orang-orang Inggeris yang dikatakannya membawa pengetahuan dan kemajuan. Sikap rajin dan keilmuan orang Inggeris menjadi perhatian beliau seperti dalam Hikayat Abdullah, beliau sangat kagum dengan Tuan Raffles yang rajin.

Kesimpulannya kedudukan Abdullah Munsyi dan hubungannya dengan persekitaran  dan pengaruh Inggeris memberi peluang kepada Abdullah Munsyi meneroka ke alam pemikiran dan penulisan baru  dan beliau dianggap sebagai pelopor sastera moden.


Naskah Buku Hikayat Abdullah


Akar



Kajian Puisi Melayu Moden

AKAR(Hilmi Rindu)

MAKSUD

Rangkap 1
Penyajak menyatakan bahawa ibu bapa merupakan orang yang sangat penting dalam hidup bukan sekadar bergantung ketika senang mahupun susah malahan lebih daripad itudan tanpa mereka seseorang itu tidak akan lahir di dunia.

Rangkap 2
Ibu bapa merupakan penentu dalam kehidupan seseorang walaupun jasa mereka sering dilupakan tetapi merekalah yang mendidik seseorang itu dengan sempurna.

Rangkap 3
Penyajak berharap anak-anak sentiasa mencurahkan kasih dan sayang seperti mana ibu bapa mencurakan kasih sayang terhadap anak-anak mereka.Ibu bapa tidak akan pernah lupa untuk memberi kasih sayang kepada anak-anak mereka.

Rangkap 4
Ibu bapa merupakan orang yang sangat penting dalam kehidupan setiap anak,tanpa mereka sudah pasti kehidupan anak-anak tidak akan sempurna.Ibu bapa bukan sekadar tempat kita bergantung walaupun mereka tidak pernah mengharap sebarang balasan daripada anak-anak mereka.

MAKSUD KESELURUHAN
Penyajak menyatakan tanggungjawab dan peranan ibu bapa menjaga dan membesarkan anak-anak. Ibu bapa ibarat akar pokok. Tanpa ibu bapa, kita tidak akan wujud di dunia ini. Mereka bertanggungjawab memberikan kesempurnaan dalam hidup anak-anak.

TEMA

Tanggungjawab/peranan  ibu bapa dalam kehidupan anak-anak.
Contoh: Ibu bapa bukan sekadar melahirkan zuriat, malahan mereka bertanggungjawab mendidik anak-anak dengan sempurna dan memberikan kasih sayang sebaiknya/ Rangkap
  ibu bapa bagi kita adalah penentu kewujudan
  meskipun tidak dikenang
  merekalah yang menyempurnakan jalan.

PERSOALAN

Persoalan tentang peranan ibu bapa dalam hidup seorang anak.
Contoh : ibu bapa adalah tunjang yang paling dalam

Persoalan tentang ibu bapa yang tidak pernah mengharap sebarang balasan daripada anak-anak.
Contoh :          meskipun tidak dikenang
merekalah yang menyempurnakan jalan

Persoalan tentang kasih sayang seorang anak terhadap ibu bapa.
Contoh :          anak-anak yang dikasihi
Kasihilah ibu bapa sebagaimana mereka
Mengasihi

Persoalan tentang nasihat kepada anak-anak
Contoh:           anak-anak yang dikasihi
kasihilah ibu bapa sebagaimana mereka
mengasihi

BENTUK

Terdiri daripada 4 rangkap

Bilangan baris dalam rangkap tidak sama.
R1 : 4 baris
R2 : 6 baris
R3 : 8 baris
R4 : 7 baris

Bilangan Perkataan dalam setiap baris tidak sama – antara 1 hingga 7 perkataan.
Contoh : mengasihi (1 perkataan)
                Ibu bapa bagi kita dalah penentu kewujudan (7 perkataan)

Bilangan suku kata dalam sebaris tidak sama – antara 4 hingga 18 suku kata.
Contoh : me/nga/si/hi (4 suku kata)
                 I/bu/ ba/pa ba/gi ki/ta a/da/lah pe/nen/tu ke/wu/ju/dan (18 suku kata)

Rima akhir bagi setiap rangkap tidak sama.
R1 abcc
R2 abbaca
R3 ababacbb
R4 aabcada

Kesimpulannya sajak ini berbentuk bebas

GAYA BAHASA

Asonansi
Contoh : ibu bapa adalah akar hidup kita (pengulangan vocal ‘a’)

Aliterasi
Contoh :meskipun tidak dikenang (pengulangan konsonan ‘k’)

Metafora. Contoh : akar hidup

Diksi : perkataan berganda : contoh – anak-anak

Anafora
Contoh :          mereka bukanlah sekadar tangga atau titian
mereka malah member tanpa mengharap

Imejan. Contoh : akar / pohon

NADA

Melankolik Contoh :  anak-anak yang dikasihi
kasihilah ibu bapa sebagaimana mereka
mengasihi

PERASAAN/SIKAP PENYAIR

Perasaan kasih
contoh : kasih sayang ibu bapa kepada anak-anak tidak terbatas.

Perasaan simpati
contoh :          mereka tidak meninggalkan sedikitpun
kecuali rasa kasih dan saying mereka

Sikap bertanggungjawab. Ibu bapa bertanggungjawab membesarkan anak-anak dengan
kesempurnaan.

Sikap penyayang. Ibu bapa menyayangi anak-anak tanpa mengharap balasan.

Sikap baik hati. Ibu bapa membesarkan anak-anak tanpa mengharap sebarang balasan.

NILAI

Kasih sayang
Kasih sayang ibu bapa terhadap anak-anak.

Tanggungjawab
Tanggungjawab ibu bapa untuk membesar dan mendidik anak-anak  dengan sempurna.

Mengenang jasa
Anak-anak seharusnya mengenang jasa ibu bapa yang telah mendidik dan membesarkan mereka.

PENGAJARAN

Kita mestilah menghormati ibu bapa
Kita mestilah menyayangi ibu bapa
Kita mestilah menghargai pengorbanan ibu bapa
Kita janganlah mengabaikan tanggungjawab sebagai ibu bapa

STATUS

Search This Blog

DAUN