PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN DI RUMAH

 


MANUAL PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN DI RUMAH

PENGENALAN

 
1.         Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025) menetapkan setiap murid mendapat akses kepada pendidikan untuk mencapai potensi diri bagi menghadapi kehidupan masa hadapan. Oleh itu, murid berhak mendapat peluang mengikuti pendidikan, meskipun mereka tidak dapat hadir ke sekolah.
2.         Manual Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah dibangunkan bertujuan untuk membantu guru melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sebagai alternatif pembelajaran norma baharu. Manual ini juga sebagai rujukan untuk pentadbir sekolah, pegawai pejabat pendidikan daerah (PPD) dan jabatan pendidikan negeri (JPN) serta Bahagian di Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
3.         Manual ini hendaklah dibaca bersama-sama dengan surat pekeliling ikhtisas, surat siaran, surat pemakluman dan garis panduan KPM berkaitan yang sedang berkuat kuasa.
 

DEFINISI OPERASI 

4.         Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) ialah pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang dilaksanakan di rumah atau pusat komuniti atau di mana-mana lokasi yang bersesuaian. PdPR boleh dilaksanakan dalam talian dan/ atau luar talian dan/ atau off-site dengan berstruktur dan terancang.
5.         PdPR dilaksanakan apabila murid tidak dapat hadir ke sekolah dalam satu tempoh yang tertentu atas sebab bencana atau wabak atau sebab-sebab lain dengan kelulusan pendaftar negeri.
 

OBJEKTIF



6.         Objektif Manual PdPR ialah:
6.1.     sebagai panduan kepada guru untuk melaksanakan PdPR secara berstruktur dan terancang; dan 
        6.2. membolehkan murid mengikuti PdPR secara optimum

PENDEKATAN DAN KAEDAH PdPR

Pendekatan PdPR

 
7.         PdPR boleh dilaksanakan secara dalam talian atau luar talian atau secara off-site. Guru boleh melaksanakan PdPR dengan menggunakan satu daripada kaedah ini atau gabungan kaedah mengikut kesesuaian.
7.1.          PdPR secara dalam talian berlaku apabila terdapat capaian Internet dan penggunaan peranti yang membolehkan murid belajar secara real time. Guru boleh melaksanakan PdPR melalui:
7.1.1.     pelantar pembelajaran seperti Digital Educational Learning Initiative Malaysia (DELIMa), Cikgootube, EduWebTV dan aplikasi media sosial; atau
7.1.2.     aplikasi seperti Google Meet atau Microsoft Teams
secara lintas langsung (live streaming); atau
7.1.3.     ePermainan (gamification), video, klip audio, eBuku, rakaman atau tugasan dalam talian.
7.2.          Pelaksanaan PdPR memerlukan murid menggunakan peranti berskrin seperti komputer, komputer riba, tablet atau telefon pintar dalam tempoh tertentu. Masa penggunaan peranti ini dikenali sebagai tempoh layar (screen time) murid.
7.3.         Panduan tempoh layar maksimum mengikut umur berdasarkan sumber daripada www.eyepromise.com dengan merujuk kepada The American Academy of Pediatrics (AAP) dan World Health Organization (WHO) adalah seperti berikut:

Tahap Persekolahan          Tempoh Waktu Layar Sehari

Prasekolah                             1 jam
Rendah                                   1-2 jam
Menengah rendah             2-3 jam 
        Menengah atas                    3-4 jam



7.4.          
Guru perlu menetapkan tempoh masa layar yang bersesuaian dengan mengambil kira pandangan ibu bapa/ penjaga.
7.5.          PdPR secara luar talian berlaku apabila murid belajar menggunakan peranti seperti komputer, komputer riba, tablet atau telefon pintar tanpa capaian Internet. Pembelajaran juga boleh berlaku apabila murid belajar menggunakan buku teks atau bahan pembelajaran lain.
7.6.          Guru boleh memuat turun bahan-bahan PdP dalam bentuk video, audio, slaid, nota dan latihan daripada sumber seperti di para 7.1.1 dan 7.1.3. Proses memuat turun bahan dilakukan  semasa terdapat capaian Internet dan diberikan kepada murid melalui medium komunikasi yang bersesuian.
7.7.          Guru juga perlu menetapkan tempoh masa penggunaan peranti secara di luar talian dengan mengambil kira pandangan ibu bapa/ penjaga.
7.8.          Pembelajaran secara off-site ialah kaedah pembelajaran yang berlaku di lokasi seperti di pusat komuniti, atau di mana- mana premis yang diisytiharkan sebagai pusat pemindahan sementara akibat bencana atau wabak. Pembelajaran secara off-site dilaksanakan mengikut Surat Siaran Kementerian Pendidikan Malaysia Bilangan 8 2016 Garis Panduan Pengurusan Pengajaran dan Pembelajaran Akibat Bencana.
7.9.          Pembelajaran boleh berlaku secara kendiri atau dengan bimbingan Academic Support Team (AST) yang terdiri dalam kalangan pegawai PPD atau guru sekolah yang dilantik.
 

Kaedah PdPR 

8.         Antara kaedah PdPR yang boleh digunakan ialah pembelajaran menggunakan modul dan pembelajaran berasaskan projek.
8.1.          PdPR    menggunakan   modul    perlu dirancang  secara berstruktur untuk memenuhi keperluan mata pelajaran.
8.2.          Modul yang dibangunkan perlu mengandungi perkara-perkara berikut:
8.2.1.     Sasaran murid (prasekolah, rendah, menengah);
8.2.2.     Tajuk atau tema modul;
8.2.3.     Objektif    pembelajaran berdasarkan  Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP);
8.2.4.     Tempoh pelaksanaan aktiviti;
8.2.5.     Nota berkaitan tajuk modul;
8.2.6.     Aktiviti yang relevan dengan topik PdP atau aktiviti yang mengalakkan murid belajar berdasarkan pengalaman sendiri; dan
8.2.7.     Pentaksiran untuk mengukur penguasaan murid .
8.2.8.     Modul pembelajaran ini diedarkan kepada murid berdasarkan Rancangan Pengajaran Harian (RPH) yang ditetapkan.
8.2.9.     Murid perlu menyerahkan hasil tugasan untuk disemak/ ditaksir sebelum menerima modul pembelajaran seterusnya.
8.3.          PdPR berasaskan projek dilaksanakan mengikut mata pelajaran atau gabungan beberapa mata pelajaran. Pelaksanaannya adalah seperti berikut:
8.3.1.     memberi tajuk kepada murid;
8.3.2.     membimbing murid untuk mengenal pasti kaedah menyiapkan projek yang diberikan;
8.3.3.     membimbing  murid   untuk mengenal       pasti    bahan, peralatan dan kos yang diperlukan;
8.3.4.     menentukan jangka masa menyiapkan projek;
8.3.5.     membimbing murid menyelesaikan projek;
8.3.6.     membentangkan hasil projek;dan
8.3.7.     membuat refleksi tentang proses penghasilan projek
8.4.          Guru boleh juga melaksanakan kaedah PdP yang lain seperti flipped classroom, pembelajaran berasaskan inkuiri, pembelajaran masteri, pembelajaran kontekstual dan pembelajaran penyelesaian masalah.

PELAKSANAAN PdPR

9.         PdPR perlu dirancang mengikut keupayaan murid dan kesediaan sumber yang ada. Guru berperanan melaksanakan perkara berikut:
9.1. menyusun semula Rancangan Pengajaran Tahunan (RPT)  berdasarkan Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) dan takwim persekolahan yang berkuat kuasa;
9.2. merancang RPH berdasarkan RPT yang telah disusun dan jadual waktu PdPR supaya kandungan kurikulum dapat disampaikan secara optimum;
9.3. menentukan  kaedah penyampaian yang fleksibel mengikut situasi semasa dengan mengambil kira sumber yang ada pada murid;
9.4. Menyediakan bahan yang mudah didapati, diakses dan bersesuaian dengan kaedah PdPR yang digunakan;
9.5. Memastikan murid  mendapat tugasan/latihan yang dirancang oleh guru;
9.6. menggunakan pelbagai  kaedah pentaksiran seperti kuiz, tugasan/ latihan dan projek untuk menentukan pencapaian murid;
9.7. mengadakan perbincangan dengan ibu bapa/ penjaga untuk menyokong pembelajaran murid di rumah; dan
9.8. merekodkan  pelibatan murid dalam PdPR menggunakan kaedah yang bersesuaian.

10.     Pentadbir berperanan untuk:
10.1.      memastikan perancangan dan pengurusan PdPR dilaksanakan dengan teliti, cekap dan berkesan untuk mengelakkan pertindanan masa antara mata pelajaran dan lambakan tugasan/latihan kepada murid;
10.2.      mengatur jadual pembelajaran yang fleksibel bagi menguruskan aktiviti PdPR yang berkesan; dan memantau PdPR yang dijalankan dan memberikan sokongan yang bersesuaian kepada guru.

11.     Ibu bapa/penjaga berperanan untuk:
11.1.      membantu anak/anak jagaan mendapat maklumat berkaitan sesi PdPR ataupun arahan/tugasan/kerja rumah yang diberikan guru; dan
11.2.      membantu anak/ anak jagaan mengakses DELIMa, TV Pendidikan, EduwebTV (koleksi video) dan Cikgootube.
 

PENUTUP



12.     Manual PdPR ini merupakan panduan kepada guru untuk melaksanakan PdPR secara berstruktur dan terancang supaya murid dapat mengikuti PdPR secara optimum. Kejayaan PdPR murid memerlukan sokongan semua pihak iaitu KPM, JPN, PPD, sekolah, guru, ibu bapa/ penjaga dan komuniti.




Comments