DAN KITA TERHUTANG BUDI KEPADA MEREKA...
Biarpun hanya menggengam sepucuk pistol di tangan, Koperal Baharuddin Ramli dan seorang lagi rakan seperjuangannya, Koperal Norihan Tari masih mampu membalas tembakan dan mencederakan lawan mereka sehingga habis semuanya bertempiaran melarikan diri.
Sehingga kini, sekurang-kurangnya tiga penyeludup tersebut cedera (gambar) termasuk salah seorang daripadanya parah. Mereka ditangkap di sebuah hospital di selatan Thailand ketika cuba mendapatkan rawatan dek penangan peluru yang dilepaskan oleh Baharuddin dan Norihan.
Ini bagi saya satu semangat dan keazaman LUAR BIASA yang dimiliki dua orang anggota polis senior ini.
Siapa sangka daripada hanya hendak membuat tinjauan dan risikan, mereka boleh terserempak dengan kumpulan penjenayah yang memang sekian lama membenci dan menyimpan dendam dengan anggota Senoi Praaq, sebuah pasukan yang kita semua tahu bukan mudah untuk diperkotak katikkan.
Sayangnya harga yang perlu dibayar kedua-dua mereka cukup mahal.
Baharuddin yang ditembak dua das di bahagian perut, hanya sempat berundur seketika sebelum rebah dan menghembuskan nyawanya yang terakhir.
Manakala Norihan kini sedang 'bertarung' di bilik bedah kerana tiga butir peluru menembusi badannya hingga mengakibatkan ususnya bocor.
Sebak saya sewaktu membaca laporan yang mengatakan mayat mendiang Baharuddin ketika ditemui masih lagi menggengam erat pistol hak kerajaan yang digunakannya.
Untuk rekod, tidak ada sebutir peluru pun yang tinggal dalam pistol tersebut...maknanya mendiang begitu bersungguh-sungguh berbalas tembak dengan penyeludup dadah berkenaan walaupun dia sedar dalam keadaan genting itu, nyawanya betul-betul berada di hujung tanduk!
Salute untuk mendiang Koperal Baharuddin Ramli dan Korperal Norihan Tari!
Koperal Baharuddin selamat dikebumikan
Jempol: Cuaca mendung mengiringi upacara pengebumian Koperal Baharuddin Ramli, 54, yang maut ditembak dalam serangan ke atas anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) di Padang Besar, semalam.
Mendiang selamat dikebumikan di tanah perkuburan Kampung Orang Asli Sungai Sampo dekat sini, 12.20 tengah hari ini.
Upacara pengebumian mengikut istiadat polis itu turut dihadiri isteri mendiang Relow Ko, 48, dan tiga anaknya, bapanya Ramli Derus serta sanak saudara.
Turut hadir Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador; Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Dan Ketenteraman Awam ( KDNKA), Datuk Seri Abd Rahim Jaafar; Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusof dan Timbalan Pengarah KDNKA (PGA), Datuk Kasuahdi Ali.
Mendiang Baharuddin dibunuh dalam kejadian 3.10 pagi itu manakala rakannya Koperal Norihan Tari, 39, parah dan kini menerima rawatan di Hospital Tuanku Fauziah ( HTF ) Kangar, Perlis.
Sehingga ini, 18 lelaki termasuk tiga warga Thailand direman antara empat hingga tujuh hari bermula hari ini di Kangar, Perlis, bagi membantu siasatan kejadian itu.
Comments
Post a Comment