pusat teater islam




PUSAT TEATER ISLAM DUNIA
Oleh Dinsman

Insya Allah, Sabtu 9 Jun ini beberapa orang altivis dan pemikir teater di Malaysia akan bertemu di Kuala Lumpur bagi membincangkan satu rancangan untuk menubuhkan “Pusat Teater Islam Dunia” di Kuala Lumpur.

Bunyinya agak bombastik. Dan apabila saya menyatakannya dalam fesbuk, ada kawan-kawan yang kurang bersetuju dengan penggunaan kata ‘Islam’ itu. Dan ada juga yang mempersoalkan mengapa ‘dunia’?

Sebenarnya pada mulanya saya pun tak setuju dengan istilah atau label “teater Islam” itu. Apabila ada orang melabelkan teater saya sebagai teater Islam sebelum ini, saya pun mempersoalkannya.

Dan saya lebih selesa menyebut “Teater Dari Hadis Nabi” misalnya, untuk karya saya ‘Menunggu Kata Dari Tuhan’; atau “Teater Dari al-Quran” untuk ‘Teater Nabi Yusuf’. Manakala untuk ‘Tamu Dari Medan Perang’ pula saya pernah menyebutnya sebagai “Teater Perjuangan”.

Namun dalam perkembangan mutakhir, saya menemui pemikiran yang mewajarkan saya untuk menggunakan istilah ‘Teater Islam’. Bukan untuk beberapa karya saya yang berkenaan itu sahaja tetapi jauh lebih penting lagi untuk penggunaannya secara umum bagi karya-karya yang difikirkan sesuai, di Malaysia dan di mana-mana saja di dunia ini.

Saya faham apabila ada kawan-kawan yang bimbang kalau-kalau nama Islam yang dilekatkan pada label teater itu akan memberikan kesan yang kurang elok kepada Islam. Kebimbangan itu memang berasas dan wajar, berdasarkan kepada beberapa pengalaman yang pernah dilalui di negara ini; bukan bersabit teater tetapi bersabit perkara-perkara lain, yang hinggakan pernah mencetuskan polemik dan kontroversi yang serius satu waktu dulu.

Namun saya tetap berpendapat bahawa yang dimaksudkan dengan ‘Pusat Teater Islam’ ini adalah berbeza. Pertama, ini bukan sebagai label untuk jenis teater sahaja, kerana yang akan diisi dalam pusat ini bukan sekadar aktiviti pementasan teater sahaja tetapi mencakupi aktiviti-aktiviti lain juga, termasuk kajian dan penyelidikan serta dokumentasi bahan-bahan mengenai seni persembahan.

Pengalaman saya mendapati seni persembahan adalah satu bidang yang sangat terpinggir dalam tradisi keilmuan dan kebudayaan atau peradaban Islam sepanjang sejarahnya. Usaha untuk merujuk bagi mencari hukum dan nilai Islam yang diperlukan bagi seni persembahan hari ini selalunya akan membawa kita kepada beberapa kenyataan sambil lalu oleh ulamak-ulamak zaman awal Islam dahulu.

Kalau ada pun pemikiran-pemikiran baru yang cuba dikemukakan oleh pemikir atau ilmuwan baru, ia tidaklah begitu bermakna terutamanya apabila dilihat dari sudut pengamal-pengamal seni persembahan kontemporari.

Misalnya apabila bercakap mengenai muzik, kenyataan bahawa muzik bertali adalah haram di dalam Islam, akan segera diungkapkan. Padahal kenyataan hukum begitu yang terus ddiulang-ulangi begitu tanpa membawa hujah, rasional dan perbincangan, amatlah naïf dan bagi saya adalah memalukan Islam. Tetapi sebahagian pentadbir masjid dan surau kita masih berpegang kuat dengan hukum itu.

Dan penglibatan saya dalam aktiviti-aktiviti teater di Malaysia dan minat terhadap perkembangan teater di dunia hari ini memperlihatkan suatu potensi yang sangat besar bagi apa yang saya maksudkan dengan ‘teater Islam’ ini.

Teater bukan sekadar seni pertunjukan untuk hiburan. Apabila ‘Teater Dari Hadis Nabi’ saya berjudul ‘Menunggu Kata Dari Tuhan’ (MKDT) itu dipersembahkan di banyak masjid dan surau di seluruh negara, teater membawa makna dan mesej yang baru, yang belum pernah terfikir oleh para ulamak/ilmuwan Islam sebelum ini.

Demikian juga dengan ‘Tamu Dari Medan Perang’ yang pernah saya sebut sebagai ‘Teater Perjuangan’ itu. Dan demikianlah juga dengan ‘Teater Atas Pokok’ dan ‘Teater di Sawah Padi’ yang masing-masing meneroka dimensi baru dalam dunia seni persembahan.

Jadi, teater bukan lagi dilihat sebagai seni hiburan atau bahkan seni persembahan sahaja. Teater mempunyai potensi yang jauh lebih luas dan lebih besar. Dan saya melihat potensi ini, yang boleh dibangunkan dan dimajukan pada ‘teater Islam’, bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di luar Malaysia.

Tentu saja ada orang yang tidak bersetuju dengan saya. Mengapa seni teater harus dibebankan dengan pelbagai maksud dan tujuan yang tidak murni lagi seninya itu?

Ya, saya juga pernah berfikiran demikian suatu waktu dulu. Silakan! Melihat seni hanya sebagai seni, dan menolak apa-apa yang dikira bukan murni seninya. Maka tak mengapalah. Saya hormati kawan-kawan yang berfikiran demikian. Teruskanlah dengan cara kita masing-masing ya!

Saya sudah melihat horizon dunia Islam yang luas melalui teater. Sesuatu yang boleh dibuat untuk umat Islam yang serba lemah dan serba mundur dan tertindas di dunia hari ini, melalui teater.

Pertemuan sekitar 20 orang aktivis dan pemikir teater Sabtu ini hanyalah satu permulaan kecil sahaja. Untuk memudahkan perbincangan. Untuk melihat kemungkinan-kemungkinan. Untuk melihat ruang kebersamaan.

Ada sahabat saya yang melihat bahawa idea seperti ini adalah lebih sesuai untuk diangkat di peringkat universiti, kerana ia melibatkan kerja-kerja kajian dan penyelidikan serta dokumentasi bahan. Saya menyambut baik pandangannya itu dan bersedia untuk bekerjasama dengan pihaknya, bagi merealisasikannya, untuk kebaikan dan kepentingan bersama.

Sementara itu beberapa rakan aktivis teater dari Indonesia yang sering hadir dalam pertemuan-pertemuan puisi dan teater di dua negara (Malaysia dan Indonesia) juga menyambut baik idea Pusat Teater Islam Dunia (PTID) ini, dan menyatakan keinginan untuk turut sama menjayakannya. Terutamanya rakan-rakan dari ZK Pekanbaru Riau, ZK Bengkulu dan ZK Padang. (ZK = Ziarah Kesenian).

Kemungkinan satu pertemuan khas dengan rakan-rakan Indonesia ini akan dibuat selepas Hari Raya Eidulfitri nanti. Sememangnya pun daerah aktiviti teater Islam di dunia yang paling banyak penyertaan atau aktivitinya ialah di Indonesia. Maka tidak mengapalah kalau idea PTID ini untuk permulaannya didukung oleh Malaysia dan Indonesia, sebelum ia tersebar ke bahagian dunia yang lain. Insya Allah.

(Dari kolum 'Tekad Budaya' dalam mingguan Amanah, 10.6.2018)

fb shamsudin osman 

Comments