facebook messenger

Dominasi Facebook Messenger yang semakin ketara
Azleen Abdul Rahim
27 Februari 2018

SEKIRANYA anda ingin meng­hubungi pemilik laman web tertentu secara terus, biasanya anda akan mengisi nama, alamat e-mel dan sedikit nota melalui satu borang yang ada di situ untuk meminta individu atau jenama tadi menghubungi anda kembali. Betul?

Kini, terdapat cara baharu yang lebih praktikal, mudah dan cepat iaitu dengan menggunakan butang Facebook Messenger yang berada di skrin laman web. Kemudahan yang baharu dilancarkan pada peng­hujung tahun lalu kini boleh didapati dengan menggunakan fungsi plug-in yang terdapat pada platform laman web anda.


Facebook membenarkan butang Messenger untuk diletakkan di dalam laman web tanpa perlu lagi melayari aplikasi Facebook. Borang dalam talian yang wujud dan biasanya digunakan pada laman-laman web sebagai langkah call-to-action bakal menjadi sejarah sedikit masa lagi setelah wujudnya fungsi baharu Messenger ini. Malah, ia juga mampu untuk mengurangkan penggunaan e-mel di antara pelanggan dan jenama.

Sejak sebulan lalu, lebih banyak laman web yang saya lihat rata-rata mula menggunakan butang Facebook Messenger, yang ‘timbul’ pada skrin komputer atau peranti mudah alih anda. Ia berbentuk bulat, bersaiz kecil dan berwarna biru muda iaitu warna korporat Facebook yang mempunyai logo Messenger ala-ala seperti kilat tetapi mendatar.

Ketika Facebook melancarkan Messenger pada 2011, ramai yang tidak begitu peka dan berminat untuk menggunakannya. Ramai yang lebih suka kepada aplikasi Whats­App yang lebih mudah. Selang tujuh tahun selepas itu, Facebook Messenger kini mempunyai lebih 1.3 bilion individu dan 60 juta jenama perniagaan yang menggunakannya dalam satu-satu masa. Ini disebabkan oleh pengenalan yang dilakukan Facebook khusus kepada komuniti perniagaan yang membolehkan mereka berinteraksi dengan para pelanggan mereka dengan lebih mudah dan pantas melalui aplikasi Messenger yang boleh dimuat naik di laman web perniagaan masing-masing.

Sebenarnya ia baharu sahaja diperkenalkan pada November 2017 dan tahun 2018 ini bakal menyaksikan dominasinya dalam interaksi yang berbentuk masa sebenar, yang juga bakal mengambil alih tempat Whats­App sebagai platform ulung bagi khidmat pesanan pantas.

Butang Facebook Messenger ini akan sentiasa terpampang di skrin walaupun anda leka melayari pelbagai muka surat yang ada di laman web jenama tersebut. Ini seolah-olah menggambarkan jenama tadi mempunyai pusat khidmat pelanggan 24 jam yang sentiasa bersedia dan menanti anda untuk berinteraksi tentang apa sahaja persoalan dan masalah yang timbul pada bila-bila masa sahaja sepanjang mereka berada di laman web itu. Ia juga membuatkan jenama tadi kelihatan besar dan gah walaupun hakikatnya ia mungkin ha­nyalah sebuah jenama mikro yang menjalankan perniagaan itu secara hobi atau separuh masa.

Daripada perspektif pemasaran ke dalam atau inbound marketing pula, ia mewujudkan kekuatan daya saing yang tinggi yang hampir sama de­ngan kekuatan yang wujud pada jenama-jenama besar. Para pe­langgan yang berminat tentang sesuatu produk atau ingin bertanya dengan lebih lanjut tentang lokasi perniagaan, perta­nyaan biasa dan harga produk tertentu kini tidak perlu lagi menghantar e-mel dan me­nunggu beberapa hari untuk mendapatkan jawapan. Atau tidak perlu juga untuk keluar dari laman web dan masuk ke laman Facebook untuk menaip pertanyaan tadi di kotak Messenger yang terdapat pada laman Facebook Page jenama tadi bagi mendapatkan jawapan segera. Proses-proses yang melambatkan ini kini boleh dilupakan yang bakal menjadi kenangan.

Itu daripada perspektif khidmat pelanggan dan pemasaran inbound. Facebook Messenger memperkuatkan dominasi mereka dengan membenarkan juga anda untuk menghantar pemasaran keluar atau Inbound Marketing­. Melalui Messenger, penghantaran mesej yang anda ingin sampaikan kepada para pengikut anda boleh dihantar secara terus dalam bentuk penulisan, gambar dan sebagai­nya.

Saya yakin sektor industri mikro, kecil dan sederhana amat mengalu-alukan kemudahan ini memandangkan ia disediakan secara percuma. Tanpa memerlukan aplikasi-aplikasi lain yang terlalu teknikal dan canggih, fungsi Messenger sudah mencukupi bagi mereka. Segala bentuk promosi, kempen dan pengumuman, semuanya boleh dikendalikan dengan mudah.

Sebagai sebuah jenama yang sedang meningkat naik, anda akan ketinggalan jauh sekira­nya tidak berkomunikasi de­ngan lebih proaktif dan pantas dalam menjawab pertanyaan pelanggan. Jadi ambil kesempatan ke atas fungsi Facebook Messenger dan masukkan fungsi ini ke laman web anda untuk mendapatkan interaksi yang lebih berkualiti. Ini mampu menarik bakal pelanggan dengan lebih kuat berbanding pesaing terdekat anda.

utusanonline



Comments