30 Jun 2017

jalan terbaik

JALAN TERBAIK



jalan terbaik
itu pinta bersama pinta harapan
untuk bersama meneruskan langkah
mencari yang indah yang terbaik
yang meredakan sulit dan sakit
sepatutnya pula kita bersama
bergandingan meneruskan langkah
di jalan terbaik ini
menyaksi manis matahari dari gelap fajar
berbagi cerita bertukar kartu bahagia
untuk perlahan dibaca
menunggu fajar
siapa yang bisa meneruskan
atau terkunci
mati
sendiri



29 Jun 2017

Seni Mengarang Syair : Sumbangsih SN Zurinah Hassan




 Buku Puisi Melayu Tradisional, terbitan Pekan Ilmu 2012, dalam proses ulangcetak
 
 Disertakan dibawah ini sebuah esei berkaitan seni mengarang syair untuk rujukan bersama. Esei ini ditulis oleh Sasterawan Negara Zurinah Hassan

Esei ini merupakan sumbangsih berguna untuk rujukan bersama dalam memahami seni mengarang syair Melayu.




SENI MENGARANG SYAIR
BERPAKSI TEORI PENGKAEDAHAN MELAYU
Oleh: ZURINAH HASSAN.

Pengenalan:
Syair dan Pantun adalah dua subgenre kesusasteraan Melayu tradisi yang terus akrab dengan masyarakat hingga ke zaman ini. Bentuk puisi Melayu tradisional ini mudah dikenali oleh khalayak, juga masih dikarang dan disebarkan melalui pelbagai media umpamanya dalam acara acara majlis dan dijadikan senikata lagu. Bentuk bentuk yang lain seperti gurindam, seloka, nazam, lebih lebih lagi kitaah, rubayat, mathnawi, semakin jarang ditulis malah kian sukar dikenali oleh generasi muda. Pantun diterima sebagai ciptaan asli masyarakat Melayu, manakala bentuk bentuk puisi yang lain ini dikatakan muncul daripada pengaruh kesusasteraan asing terutama Arab dan India. Hal ini terjadi apabila tanah leluhur Nusantara ini pada suatu masa dahulu menjadi tempat persinggahan para pedagang dan pengembara yang menunggu munsun beredar dan musim bertukar. Di samping membawa pelbagai barang dagangan mereka turut membawa adat resam dan bahasa pengucapan, ekspresi seni termasuk puisi. Tidaklah diketahui bagaimana bentuk gurindam, seloka, nazam dan syair yang mula sampai di Nusantara.

Dari segi pengistilahan dan teknis perkataan syair dipinjam daripada istilah Arab, syi,ir namun kata sepakat dikalangan sarjana telah tercapai bahawa istilah yang dipinjam ini telah dicorak dengan ragam tempatan dengan mengubah suku awal syi kepada sya , lalu menjadi syair. Syair telah menarik perhatian Sarjana dan pengkaji seperti A. Teeuw (1966), Winstedt (1967:186), Hooykaas (1965: 72) Syed Muhammad Naguib al-Attas (1969:178) yang telah mengulas dengan panjang lebar struktur dan asal usul syair Melayu. Tulisan ini juga tidak bertujuan mengulas perselisihan pendapat antara para sarjana tempatan dan sarjana barat tentang perkara tersebut.






Pada asalnya semua terminologi syair, seloka, gurindam, nazam dan sebagainya bermaksud puisi iaitu karangan yang berangkap, sama halnya dengan erti puisi dalam Bahasa Melayu atau poetry di dalam Bahasa Inggeris. Namun begitu generasi ke generasi ia melalui perubahan dan istilah istilah tersebut merujuk kepada puisi2 tradisi Melayu yang mempunyai bentuk dan ciri-ciri tersendiri serta mengambil fungsi yang berlainan di dalam masyarakat Melayu. Perkataan syair di dalam Bahasa Melayu mendapat pengertian yang khusus iaitu:

· Mengandungi 4 baris dalam serangkap
· Dalam satu baris terdapat 4 perkataan dan mengandungi 8-12 sukukata
· Rima akhir syair adalah a-a-a-a
· Satu rangkap syair tidak dapat berdiri sendiri sepertimana satu rangkap pantun.
· Syair tidak mengandungi pembayang maksud seperti pantun

Seni dan teknik mengarang syair memperlihatkan bahawa ianya berpaksi kepada prinsip-prinsip Teori Pengkaedahan Melayu. Hal ini dapat dibuktikan melalui analisis isi dan pemikiran serta gaya penulisan syair. Pada umumnya tradisi mengarang syair Melayu ditandai oleh beberapa ciri penting yang mendasari penciptaan pujangga-pujangga silam yang lahir di daerah Nusantara, iaitu:.
· Memulakan syair dengan kalimah bismillah, memuji mensyukuri rahmat Allah
· Menyatakan tujuan bersyair iaitu sebagai peringatan demi kebaikan
· Merendah diri dan menyebut diri sebagai dagang yang hina, miskin dan bermusafir
· Selalu menyebut nama Allah dan Rasul di dalam isi syair.
· Menggunakan unsur alam dalam menyampaikan isi sajak.


TEORI PENGKAEDAHAN MELAYU

Teori Pengkaedahan Melayu merupakan sebuah teori yang di kemukakan pada tahun 1989 oleh seorang sarjana tempatan, iaitu Prof Datuk Dr. Hashim Awang. Menurut Hashim Awang (2002:2), teori ini mengandungi rumusan atau formula yang berupa prinsip-prinsip umum tentang karya atau teks sastera dan amalan-amalan yang berkaitan dengan kesusasteraan Melayu di mana pembentukannya adalah bertunjangkan realiti kehidupan dan keagamaan panghasil sastera.

Pendekatan-Pendekatan Dalam Teori Pengkaedahan Melayu

Teori ini terbahagi kepada dua pengkaedahan iaitu Pengkaedahan Alamiah dan Pengkaedahan Agama yang saling berkait antara satu sama lain. Dua pendekatan ini dibahagikan pula kepada tiga pendekatan. Tiga pendekatan yang ada di dalam Pengkaedahan Alamiah adalah Pendekatan Gunaan, Pendekatan Moral dan Pendekatan Firasat. Manakala tiga Pengkaedahan Agama pula ialah Pendekatan Dakwah, Pendekatan Kemasyarakatan dan Pendekatan Seni.

Pengkaedahan Alamiah merujuk kepada pendekatan yang berteraskan corak hidup masyarakat Melayu yang biasanya boleh dianggap sebagai masyarakat yang ‘mesra alam’. Hal ini bermaksud, masyarakat Melayu sering menjadikan alam sebagai sebahagian daripada diri mereka. Hashim Awang menyatakan bahawa, masyarakat Melayu sering menjadikan alam sebagai faktor untuk memberikan mereka pekerjaan, pengalaman, pengajaran dan kebajikan. Manakala, pengkaedahan keagamaan pula menggunakan pendekatan yang berteraskan akidah agama Islam. Maka, corak kehidupan masyarakat saling berhubung dengan pegangan agama mereka yang majoritinya beragama Islam. Mereka menjadikan Al-Quran dan hadis sebagai panduan.

Pendekatan Firasat

Pendekatan firasat berasaskan kepada tanggapan bahawa sastera adalah suatu kejadian alam yang dirakamkan dan dimanifestasikan dalam pengalaman hidup. Maka, dalam pendekatan ini, karya sastera di kaji untuk mencari dan menghuraikan pengalaman hidup, iaitu berhubung dengan peristiwa-peristiwa yang dilalui oleh manusia tertentu dan seterusnya. pengalaman tersebut dapat disingkap untuk mengibarat atau memberi ikhtibar kepada pembaca atau khalayak. Pendekatan ini berasaskan kepada tanggapan bahawa sastera adalah satu kejadian alam semesta yang memberikan dan memperkayakan pengalaman hidup sama seperti yang ada dalam pendekatan moral. Kejadian alam yang difokuskan di adalah keinginan dan imaginasi yang melahirkan mimpi. Bagi masyarakat Melayu, mimpi merupakan pengalaman hidup yang menarik dan bermakna dalam kehidupan. Mimpi sering diberikan perhatian untuk mendapatkan pengertian atau makna di sebalik kelahirannya. Maka, sastera perlu dilihat sebagai mempunyai sifat-sifat zahir dan batin atau yang disebut sebagai yang tersurat atau tersirat menjadi alamat untuk mendapatkan makna yang tersirat.



a) Pendekatan Gunaan

Pendekatan gunaan melihat sastera sebagai objek ciptaan yang sama dengan konsep penciptaan objek-objek lain ciptaan Allah. penciptaan yang dibuat mempunyai sebab, tujuan, dan fungsi yang tersendiri. Menurut Hashim Awang (2002), hasil karya yang dicipta akan diteliti dari sudut kegunaan atau manfaat penghasilannya kepada pembaca atau khalayak, dari aspek ekstrinsik dan intrinsiknya. Jenis atau bentuk kegunaan bergantung kepada pembaca yang menikmati atau mentafsirnya. Dalam hal ini, sastera Melayu, seperti pantun telah mengambil peranan sebagai media pendidikan, alat penawar jiwa, pengungkap perbilangan adat, serta panduan dan tatacara hidup bermasyarakat. Hal ini sama juga seperti objek ciptaan Tuhan, umpamanya sungai yang menjadi sumber air untuk menusia dan segala makhluk Allah.

b) Pendekatan Moral

Pendekatan Moral adalah ekoran daripada dasar yang terdapat di dalam pendekatan pertama. Namun, ia bukan sebagai kewujudan memberi kegunaan tetapi kejadian yang bersifat pengalaman hidup. Maka, dalam pendekatan ini, karya sastera dikaji untuk menyingkap dan menyatakan pengalaman hidup, iaitu berhubung dengan peristiwa-peristiwa yang dilalui oleh manusia-manusia tertentu dan seterusnya. Pendekatan ini dapat dilihat untuk mengibarat atau memberi ikhtibar kepada pembaca tau khalayak.

c) Pendekatan Dakwah

Pendekatan ini melihat sastera sebagai wadah untuk mempertingkatkan nilai ketakwaan seseorang insan terhadap Allah. Setiap karya yang sastera itu dianggap boleh menyampaikan persoalan-persoalan dan memaparkan sifat-sifat kemuliaan dan ketinggian kekuasaan Allah. Sastera di sini dapat diibaratkan sebagai ‘kitab’ yang dapat membantu insan menganali dengan lebih dekat, sifat dan diri Tuhan sehingga timbulnya pertambahan dan peningkatan rasa kecintaan dan kehormatan insan terhadap-Nya. Maka, karja sastera dilihat sebagai mampu menjelaskan kemurnian dan kelebihan agama Islam. Di samping itu, karya sastera juga dikatakan boleh memaparkan kesucian agama Islam dan menjadi alat mengembang agama Islam.

d) Pendekatan Masyarakat

Pendekatan ini memberi perhatian kepada aspek isi dan persoalan yang menjadi kebaikan dan keadilan dalam masyarakat seperti yang dituntut oleh agama. Sastera boleh dijadikan objek untuk menguraikan punca kepincangan masyarakat dan permasalahan yang diihadapi oleh masyarakat. Maka, dapat dilihat bahawa kepincangan yang dihadapi dalam masyarakat yang dipaparkan mestilah bertujuan untuk mencapai kesejahteraan hidup bermasyarakat dan pengukuhan keimanan serta ketaqwaan. Antara isu-isu yang dilihat ialah ketidakadilan, kemungkaran, penipuan, rasuah dan sebagainya. Boleh dikatakan bahawa, segala aspek politik, ekonomi, moral, pemikiran menjadi sebahagian daripada kehidupan masyarakat akan dijadikan subjek utama.

e) Pendekatan Seni

Pendekatan seni memberi tumpuan kepada unsur keindahan dalam sastera. Keindahan yang dimaksudkan ialah keindahan nilai etika yang sudah pasti pula tidak bertentangan dengan akidah serta ajaran Islam. Keindahan yang demikian sifat dan tuntutannya, menjadi objek penelitian untuk ditemukan dalam sastera menerusi pelbagai aspek atau unsur pembinaannya; bentuk harfiah dan dalamannya, gaya penceritaan, kaedah pendedahan tema dan watak, pemakaian sudut pandangan, atau gaya bahasanya. Apa yang dipentingkan daripada penggunaan pendekatan ini dalam penelitian sastera ialah menemukan segala-galanya untuk kemudiaannya menghasilkan ‘keindahan’ itu kembali, bagi memperkukuhkan tapak-tapak asas yang murni lagi suci,iaitu keimanan, ketakwaan, dan kecintaan kepada Allah

Hashim Awang mengatakan bahawa, karya sastera diukur daripada isi dan penyampaiannya. Isi yang baik adalah isi yang membawa nilai yang baik dan positif yang dapat memberi teladan kepada orang Islam secara khusus dan juga kepada bukan Islam. Daripada perspektif Pendekatan Seni, penyampaian unsur pisitif di dalam sesebuah karya ini tidak semestinya bersifat langsung, ia dapat disampaikan secara halus.


Seni mengarang syair Melayu

Prinsip prinsip Teori Pengkaedahan Melayu yang bertunjangkan alam dan agama Islam, jelas terlihat di dalam syair-syair yang dikarang oleh pujangga Melayu. Tulisan ini berpandukan beberapa syair tersohor Nusantara. Pilihan ini adalah untuk mengimbangkan penulisan syair yang lama hingga ke penulisan terkini.
1. Syair Perahu, karangan Hamzah Fansuri, penyair tasawuf agung Melayu di Aceh abad ke 17,
2. Syair Rakis, karangan Pengiran Md Salleh ditulis sekitar 1840han, diterbitkan semula oleh Pusat Sejarah Brunei, tahun 1983.),
3. Syair Asli Rejang Hari,karangan Al-Marhum Sultan Haji Omar Ali Saifuddien Sa’adu Khairi Waddien , Sultan bagi Negara Brunei Darussalam dengan menggunakan nama Muda Omar Ali Saifuddin
4. Syair Madah Permata karya Ibnu ‘Abdir- Raheem, 2001, ( edisi kedua 2014)., Dewan Bahasa dan Pustaka, Brunei.

Memulakan dengan kalimah bismillah dan memuji Allah dan Rasul.

Pada umumnya Pengarang syair akan bermula dengan menyebut nama Allah dan berselawat ke atas RasulNya diikuti dengan pengarang menyatakan niat atau tujuannya menulis syair.

Bismillah itu mula karangan
gurindam bayu nama timangan
kisah rencana dagang buangan
nestapa lara di gunung larangan
(Syair Rakis rangkap pertama)

kumulakan syair dengan bismillah
sambil bertahmid Alhamdulillah
Mensyukuri rahmat kebesaran Allah.
Atas nikmatnya yang tidak terjumlah
(Madah Permata: 3)

Bermula bismillah syair dicipta.
Mensyukuri Allah maha pencipta
Tuhan pentadbir alam semesta.
Rahmatnya luas merata rata.
(Madah Permata :2)



Menyatakan tujuan bersyair:

Sesudah melafazkan Bismillah, seorang pengarang,akan menyatakan tujuan beliau mengarang syair itu. Pengarang akan mengatakan bahawa beliau sedang menulis syair dengan sesuatu tujuan yang biasanya adalah untuk menyampaikan pesan ke arah kebaikan untuk masyarakat, negara, bangsa dan agama. Ini adalah selaras dengan penciptaan sastera Melayu sebagaimana yang telah disebutkan di dalam Teori Pengkaedahan Melayu, iaitu sastera dikarang oleh pengarang dengan penuh kesedaran akan peranannya sebagai pengarang, sepertimana beliau sedar akan kewujudan dan tanggungjawabnya sebagai insan ciptaan Allah. menyatakan bahawa tujuan syair. Permulaan atau rangkap satu Syair Bidasari berbunyi:
Dengarkan tuan suatu riwayat
Raja di desa Negeri Kembayat
Dikarang fakir dijadikan hikayat
Supaya menjadi tamsil-ibarat.

Syair Bidasari (Jamilah Haji Ahmad (ed.) 1989), ialah syair naratif atau syair cerita. Hal ini disedari oleh pengarangnya yang mengatakan bahawa syair tersebut ”dijadikan hikayat”, namun hikayat atau kisah yang terdapat di dalamnya bukanlah untuk hiburan semata-mata. Pengarang menyatakan bahawa beliau mengarang dengan tujuan menjadikannya ”tamsil ibarat”, menepati fungsi sastera sebagaimana diperjelaskan oleh Teori Pengkaedahan Melayu.

Mengarang hikayat dengan niat untuk menjadi teladan atau ibarat adalah selaras dengan prinsip teori yang melihat karya sastera sebagai sumber contoh teladan dan pengibaratan yang dapat membawa kebaikan kepada kehidupan manusia. Hal ini terbentuk oleh tujuan yang dinyatakan di dalam Al-Quran “Dan sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu ayat-ayat keterangan yang menjelaskan (hukum-hukum suruh dan tegah) dan contoh teladan (mengenai) kisah-kisah dan berita orang-orang yang telah lalu sebelum kamu, serta nasihat pengajaran bagi orang-orang yang (mahu)bertaqwa” (Surah An-Nur, ayat 34 ).

Hamzah Fansuri Pengarang Syair Perahu juga menyatakan bahawa tujuan menulis syair ialah untuk “membetuli jalan tempat berpindah”. Dengan ini pengarang memberi peringatan kepada pembaca yang mungkin tergelincir atau alpa, dalam kehidupan dunia yang penuh pancaroba ini.
Inilah gerangan suatu madah
Mengarang syair terlalu indah
Membetuli jalan tempat berpindah
Di sanalah iktikad diperbetuli sudah.

Kesedaran ini turut dilihat pada Muda Omar Ali Saifuddien yang menyatakan bahawa tujuan mengarang syair adalah untuk menyampaikan pesanan kepada anakndanya supaya mengenang jasa orang orang yang telah berbuat kebajikan.
Anaknda tuan mahkota Hassan
Kepada anaknda ayahnda berpesan
Hendaknya dikenang jasa berkesan
Pada mengingatkannya janganlah bosan.
(Syair Asli Rajang Hari: rangkap 91).

Ibnu Abdir Raheem menyatakan bahawa tujuan menulis syair ialah untuk direnung dan difikirkan
Syair bernama madah permata.
Kukarang untuk anakku tercinta
Sebagai bingkisan mutiara kata.
Menjadi penyuluh di gelap gelita
(Madah Permata: 3).


Memulakan syair dengan lafaz Bismillah diikuti dengan menyatakan dengan jelas tujuan bersyair adalah teknik mengarang yang berpaksikan Teori Pengkaedahan Melayu. Melafazkan nama Allah menandakan bahawa penyair Melayu menulis dengan niat bahawa setiap sesuatu yang dibuat mestilah kerana Allah. Melafazkan tujuan menulis boleh disamakan dengan menzahirkan dan meneguhkan niat di dalam melakukan ibadat. Mengikut Hashim Awang, “lazimnya pengarang Melayu memulakan penulisan dengan memuji kebesaran dan kekuasaan Allah, dikuti dengan ucapan salawat kepada Nabi Muhammad saw. dan kemudiannya dijelaskan niat dan tujuan murninya menghasilkan karya. Selepas itu barulah penulisan teks, atau penulisan karya sebenar terlaksana". (Hashim Awang,1993)
Hal ini juga membuktikan bahawa Pengarang Melayu sentiasa berpegang kepada pada hakikat bahawa Allah mencipta sesuatu dengan bertujuan, iaitu untuk memberi manfaat kepada manusia. Dan manusia dicipta untuk beribadah kepada Allah menepati ayat yang bermaksud “Tidak kucipta jin dan manusia melainkan untuk beribadat kepadaku”. Penciptaa syair membuktikan bahawa pemikiran pengarang dibentuk oleh ajaran Islam bahawa Manusia dicipta dengan tanggungjawab untuk memakmurkan bumi Allah dan menegakkan kalimah syahadah, iaitu menegakkan syariat Islam. Hal ini sangat lumrah dalam syair Ibnu Abdir Raheem.
Dengan kejadian sempurna dan indah.
Manusia diciptakan membawa risalah
Demi menegakkan kalimah syahadah.
Kalimah tayyibah lailahaillah
(Madah Permata:5)

Semuanya itu diciptakanAllah.
Yang maha pengasih lagi pemurah
Supaya manusia mengambil faedah.
Bagi mengukuhkan iman dan akidah.
( Madah Permata: 9).

Pengarang syair merendah diri.

Gaya penulisan syair seterusnya ialah Pengarang memperkenal dan menyebut dirinya sebagai miskin dan fakir. Dalam masa menulis itu pengarang menggambarkan diri sebagai sedang bermusafir, berdagang atau berkelana. Kata dagang membawa citra pengembara yang berada di tempat orang, justeru itu tidak berkuasa Ini adalah gaya merendah diri yang digunakan oleh pencipta pantun, sebagaimana yang digambarkan di dalam pantun berikut:
Kajang tuan kajang berlipat
Kajang saya mengkuang layu
Dagang tuan dagang bertempat
Dagang saya terbuang lalu

Pengenalan diri pengarang sebagai pengembara yang tidak berdaya itu tergambar di dalam Syair Rakis:
Namaku Misa Panji Larangan
dari kecil timang-timangan
sudah sekarang buang-buangan
di negeri orang keseorangan.

Di gunung larangan asmara guna
menyamar jadi papa kelana
segenap desa pantai saujana
membawa nasib tiada berguna


Gambaran rendah diri, berkelana atau bermusafir itu terdapat di dalam ungkapan buang buangan, membawa nasib tiada berguna, di negeri orang keseorangan, papa kelana,
Amalan merendah diri menjadi kelaziman pengarang syair tidak kira walaupun pada realitinya Pengarang adalah seorang Sultan yang memiliki kekayaan dan kuasa. Hal ini jelas dilihat dalam Syair Asli Rajang Hari karya Muda Omar Ali Saifuddein, iaitu nama yang digunakan oleh Al-Marhum Sultan Haji Omar Ali Saifuddien Sa’adu Khairi Waddien , Sultan bagi Negara Brunei Darussalam.
Kadar hanya menyusun sajak.
Dagang nin bukan yang pandai bijak
Hanya mengikutkan dakwat melajak.
Kalam berlari tiada berjejak.
(Syair Asli Rajang Hari: 495)

Rangkap ini memperlihatkan bagaimana seorang pengarang syair tetap menggambarkan keadaan dirinya sebagai tidak berkuasa dan tidak berdaya walaupun pada realiti kehidupannya adalah seorang yang memiliki kuasa. Citra ini dibawa oleh dua baris “Dagang nin bukan yang pandai bijak/Hanya mengikutkan dakwat melajak”. Pengarang mengaku dirinya bukan seorang yang bijak. dan hanya mengharapkan kuasa lain iaitu kuasa Allah untuk melajakkan kalam atau menggerakkan pemikirannya. Ini adalah suatu pengakuan terhadap kuasa Allah di dalam menggerakkan ilham yang menjadi pegangan dalam proses kreatif atau kepengarangan Islam.
Citra miskin dan dagang diteruskan oleh Ibnu Abdir Raheem.

Dengarlah anakanda muda jauhari.
Tiada harta yang dapat kuberi
Melalui syair ayahnda berperi.
Sebagai panduan di kemudian hari

PENGGUNAAN UNSUR ALAM SEBAGAI PERLAMBANGAN.

Citra alam menambah nilai estetika di dalam puisi Melayu khasnya puisi Melayu tradisi termasuk syair. Penggunaan unsur alam berkait rapat dengan Pendekatan Firasat, Teori Pengkaedahan Melayu, yang menggariskan bahawa penciptaan sastera adalah sebahagian daripada kejadian alam yang mempunyai makna atau maksud, atau berlaku dengan unsur kemisterian yang penemuannya itu hanya dapat dikerjakan melalui proses takbir atau tafsiran. Kemisteriannya itu terdapat dalam bentuk corak atau teknik penyampaiannya, seperti penggunaan bahasa yang berlapis dan pemakaian lambang terutama lambang dari unsur unsur dan objek objek alam dan alamiah, Kemisteriannya itu juga terdapat dalam corak persembahannya, maksudnya karya sastera itu mengandungi makna di sebalik apa yang berlaku. Ini bererti bahawa sastera itu mengandungi dua lapis makna, iaitu lapis makna yang tersurat dan lapis makna yang tersirat. Makna yang pertama adalah jelas, tetapi makna yang kedua memerlukan mata hati, atau pemikiran dan keintelektualan untuk memahaminya. Hal yang pertama itu dipenuhi dengan penanda atau alamat tertentu, yang terkandung dalam pemaparan pengisahan dan maklumat pada hasil karya sastera. Dari lapis yang tersurat ini akan dapat dicari makna yang tersembunyi. Makna yang tersembunyi itulah yang menjadikan sesuatu hasil karya sastera benar-benar bermutu (Hashim Awang, 2002:5).
Hal ini dianalisis melalui gaya pengucapan Syair Rakis.
Di gunung larangan asmara guna
menyamar jadi papa kelana
segenap desa pantai saujana
membawa nasib tiada berguna

Membawa nasib untung sendiri
meninggalkan rumah anak isteri
masuk segenap desa dan negeri
seperti orang hendak mencari

Seperti burung lepas tangkapan
terbangnya tiada lagi hinggap hinggapan
bunga dan buah tiada dimakan
daripada bagas kemasygulan

Sebut namaku dagang asmara
tiada tentu desa negara
bercerai dengan sanak saudara
membawa nasib untung ketara

namaku Misa Panji Larangan
dari kecil timang-timangan
sudah sekarang buang-buangan
di negeri orang keseorangan.

Setelah baris pembukaan “bismillah itu mula karangan”, pengarang Syair Rakis memperkenalkan dirinya dengan nama Gurindam Bayu dan Dagang Asmara tidak sebagai seorang Pengiran, keluarga diraja dan wakil pemerintah Brunei di Sarawak. Perkataan Bayu dan Dagang memberi gambaran kedudukan yang tidak tetap. Pengarang seterusnya menggambarkan keadaan dirinya yang nestapa, menjadi dagang buangan yang sedang membawa diri di segenap desa dan pantai yang saujana.
Syair ini diperindah dengan penggunaan imej alam seperti gunung, pantai, dan burung yang sedang terbang.. Terdapat unsur metafora gunung larangan yang membawa maksud suatu tempat yang terpencil dan penuh kesukaran ; pantai saujana memberi gambaran tempat yang sangat luas dan perjalanan panjang yang telah ditempuhi untuk mencari sesuatu. Penyair membuat misalan dirinya seperti burung yang sedang terbang tetapi tidak hinggap di mana-mana ranting dan tidak singgah untuk mematuk buah dan bunga. Pengarang syair menganggap dirinya sedang merana keseorangan. Gambaran ini adalah tepat untuk menimbulkan suasana cemas seorang yang sedang dalam pelarian atau sedang diburu. Pembaca tertanya-tanya adakah dia telah dianiaya dan disingkir daripada tempatnya yang hak. Adakah dia sedang diburu oleh musuh sehingga takut untuk berhenti atau berehat di mana-mana.

Terdapat unsur metafora gunung larangan yang membawa maksud suatu tempat yang terpencil dan penuh kesukaran ; pantai saujana memberi gambaran tempat yang sangat luas dan perjalanan panjang yang telah ditempuhi untuk mencari sesuatu. Penyair membuat misalan dirinya seperti burung yang sedang terbang dan oleh kerana berada di dalam kecemasan, tidak hinggap di mana-mana ranting dan tidak singgah untuk mematuk buah dan bunga.

Ibnu Abdir Raheem sebagai penerus tradisi kepenyairan Melayu turut menerapkan unsur alam di dalam syair syairnya. Terdapat citra alam yang diadun di dalam bentuk perlambangan, metafora, simile dan personifikasi sebagai perantara bagi membawa makna yang mahu disampaikan. Analisis penggunaan unsur alam dalam syair IAR dibuat berpandukan rangkap rangkap di bawah:
Allah ciptakan bulan dan bintang
siang dan malam pagi dan petang
Laut yang biru luas terbentang
bukan sekadar untuk dipandang
(Madah Permata: 24).

Allah ciptakan siang dan malam.
Yang satu terang yang satu kelam
Hikmatnya luas amat mendalam
Bukti keagungan khalikul alam.
(Madah Permata : 4).



Dua rangkap di atas merujuk kepada kejadian alam khasnya cakerawala, peredaran waktu dan hari, siang dan malam yang telah diatur oleh Maha Pencipta. IAR menyebut kejadian bulan dan bintang dan laut biru terbentang yang bukan semata-mata untuk dipandang tetapi mesti diperhati dan difikirkan. Kejadian bulan dan bintang juga dijelaskan di dalam ayat Al-Quran yang bermaksud; ”Dan Ia pula yang mencipta matahari dan bulan serta bintang-bintang semuanya tunduk kepada perintahNya” (Surah Al-A’raf, ayat 54). Mohd. Kamal Hassan, “Seni dan sastera yang dituntut oleh Islam mendapatkan visi hidupnya dan visi keindahannya daripada Al-Quran yang amat nyata memperlihatkan pertemuan yang sempurna antara kebenaran, kebaikan dan keindahan bahasa” (1981: 49).

Pertukaran malam dan siang adalah ketentuan Allah yang membuktikan kebijaksanaanNya. Pemikiran ini adalah selaras dengan maksud ayat “Bahawa sesungguhnya dalam kejadian langit dan bumi dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal (Surah Ali-Imran, ayat 190). Peredaran waktu adalah bukti kesempurnaan ciptaan Allah SWT dan rahmat yang dikurniakanNya. Hal ini diterangkan melalui ayat yang bermaksud, “Dan sebahagian daripada rahmat Allah itu ialah dijadikanNya bagimu malam dan siang, agar kamu dapat beriistirahat dan bekerja mencari rezeki kurniaNya, dan akhirnya agar kamu sekelian suka bersyukur” (Surah al-Qasas, ayat 73).
Penggunaan unsur alam juga terdapat di dalam bait:
Ingatlah wahai anakanda tersayang.
Payung yang buruk jangan dibuang
Dibawa berjalan di hari benderang.
Kemungkinan hujan menjelang petang.
(Madah Permata:23).

Pada rangkap ini terdapat simbolisme yang menarik. IAR menggunakan unsur cuaca untuk menerangkan tentang kehidupan manusia yang tidak dapat ditentukan atau diramal kerana segalanya berada di bawah takdir Allah SWT. Cuaca terang dikaitkan dengan waktu senang sementara hujan menandakan kesukaran. Keadaan cuaca yang tidak menentu mengingatkan manusia supaya berhati-hati.

Suatu simbolisme yang lumrah di dalam puisi Melayu, ialah laut dan lautan. Simbol laut dan dan perjalanan laut telah digunakan oleh pemikir Melayu untuk memahami dan menjelaskan konsep-konsep metafizik. Antara pemikir Melayu-Islam yang terkenal dalam mempelopori kaedah pemikiran simbolik ini ialah Hamzah Fansuri, yang menggunakan perahu yang belayar di laut sebagai perjalanan hidup manusia menuju ke akhirat di dalam syair Perahu yang termasyhur itu.
Wahai muda kenal dirimu
ialah perahu tamsil tubuhmu
tiadalah berapa lama hidupmu
ke akhirat juga kekal diammu.

Hai muda arif budiman
hasilkan kemudi dengan pedoman
alat perahumu jua kerjakan
itulah jalan membetuli insan
(Syair Perahu , sumber: Harun Mat Piah, 1997:255)

Aplikasi Pendekatan Firasat terhadap syair syair ini memperlihatkan bahawa hidup manusia umpama perjalanan menuju ke suatu pelabuhan yang telah ditentukan. Ibnu Abdir Raheem meneruskan simbolisme ini
Hidup bagaikan suatu pelayaran
penuh ranjau serta cabaran
jika berani menghadapi kesukaran.
pasti selamat sampai di pangkalan.
(Madah Permata: 27)

Di sini pengarang menggunakan laut bagi mengibaratkan bahawa hidup di dunia diibaratkan satu pelayaran yang pasti menempuh ombak, gelombang dan badai. Manusia harus tabah dan sabar disamping meningkatkan ilmu bagi menempuh segala rupa kesukaran. Pada laras yang lebih tinggi laluan ini mengandungi makna tersirat, iaitu kehidupan dunia adalah laluan ke akhirat, iaitu yang dilambangkan oleh IAR sebagai “Sampai di pangkalan”. Aspek ini selaras dengan ayat Al-Quran yang bermaksud, , “Allah yang memudahkan laut bagi kegunaan kamu supaya kapal-kapal belayar padanya dengan perintah-Nya, dan supaya kamu mencari rezeki dan juga supaya kamu bersyukur (Surah Al-Jaathiyah, ayat 12).

Pandangan yang diutarakan ini dapat dibandingkan dengan pemikir-pemikir Islam yang turut mengumpamakan kehidupan di dunia sebagai satu pelayaran di tengah lautan yang dalam. Syeikh Abdul Qadir Al Jailani berucap di Madrasah al-Ma’murah, 9 Zulkaedah 545 H. “Wahai anakku, dunia ini adalah samudera, dan iman adalah perahunya. Angin haluan adalah ketaatan, sementara pantai itu adalah ibarat akhirat” (2003: 157).Beliau juga mengucapkan:
Waspada dan hati-hatilah kamu terhadap gelombang samudera dunia, kerana tidak sedikit makhluk yang karam di dalamnya. Ia merupakan samudera yang sangat dalam, yang mampu menenggelamkan segala-galanya. Hanya sahaja Allah akan menyelamatkan daripada hempasan gelombang samudera itu (2003:44).

Beberapa rangkap syair IAR turut mengandungi perlambangan dari tumbuh tumbuhan. Antara bait yang paling berkesan dan memperlihatkan nilai estetika yang tinggi ialah:
Dunia ini ladangnya akhirat.
Benihnya iman serta syariat
Bunganya takwa serta ibadat.
Buahnya syurga di hari kiamat
(Madah Permata:26)

Rangkap ini mengumpamakan dunia sebagai ladang. Hasil tanaman adalah amalan yang akan diberi ganjaran di hari kemudian. Perlambangan ini memperlihatkan jalur pemikiran yang berakar umbi dan terbentuk oleh Islam. Menanam pokok atau berladang sering dijadikan simbol berusaha untuk mendapatkan ganjaran di akhirat. Ternyata pemikiran ini dipengaruhi oleh hadis Nabi Muhammad saw yang bermaksud: “Dunia adalah ladang akhirat. Barang siapa menanam kebaikan, maka dia akan memetik hasil keuntungannya. Dan barang siapa menanam keburukan, maka penyesalan adalah hasil yang akan dipetiknya” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim). Hadis dipetik oleh Abdul Qadir Al-Jailani di dalam bukunya Al-Fath Ar-Rabbani yang diterjemahkan sebagai Wahyu Agung oleh Muhammad Qodirun Nur (2004:35).


KESIMPULAN:

Seni mengarang dan tradisi penulisan syair Melayu adalah selaras dengan penciptaan sastera yang digariskan di dalam Teori Pengkaedahan Melayu iaitu sastera yang menjalankan fungsi dedaktik dan menyampaikan pesan ke arah kebaikan. Mengarang syair Melayu adalah proses kreatif yang berpaksikan amalan dalam kehidupan Islam yang menggariskan bahawa setiap perbuatan harus dilakukan dengan tertib, mengikut aturan dan hukum-hukum yang sudah ditetapkan. Teknik penulisan ini mengukuhkan pandangan Hashim Awang bahawa Pengarang Melayu sentiasa berpegang kepada pada hakikat bahawa Allah mencipta sesuatu dengan bertujuan, iaitu untuk memberi manfaat kepada manusia. Dan manusia dicipta untuk beribadah kepada Allah menepati ayat yang bermaksud “Tidak kucipta jin dan manusia melainkan untuk beribadat kepadaku”. Dengan adanya teknik atau keteraturan itu timbullah keindahan seni, atau estetika, dalam penciptaan sastera tersebut. Hal ini adalah bertepatan dengan tuntutan Islam sebagai agama yang mengutamakan keteraturan dan keindahan. Tuntutan ini dijelaskan melalui dua buah hadis nabi yang masing-masing bermaksud bahawa "Tuhan itu indah dan Dia sukakan keindahan" dan " Dari sudut Pendekatan Gunaan sastera dilihat sebagai suatu objek atau benda ciptaan yang sama dengan konsep penciptaan objek-objek lain ciptaan Tuhan. Kejadiannya atau penciptaannya itu mempunyai sebab, hikmah, fungsi tujuan, serta ukuran dan imbangannya. Sastera/syair dicipta supaya boleh dimanfaatkan oleh manusia sama seperti objek alam yang lain, bertepatan dengan firman Allah yang bermaksud: "Ia menciptakan langit dan bumi dengan ada faedah dan gunanya yang sebenar" (Surah az-Zumar, ayat 5).
Syair juga berisi seruan untuk anggota masyarakat supaya mengerjakan kebaikan, memberi motivasi kepada masyarakat untuk mempertingkatkan kedudukan dan kemuliaan diri sendiri dan saudara-saudara sebangsa dan seagama.Mengarang syair dijadikan kegiatan berdakwah iaitu kegiatan yang dituntut oleh Islam mematuhi seruan yang terkandung di dalam ayat yang bermaksud "Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan orang yang menyeru kepada kebaikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah daripada yang mungkar. Dan merekalah umat yang beruntung" (Surah Ali-Imran ayat 104).

RUJUKAN

Aminah Haji Momin, 2009, “Mencarukkan Syair Asli Rajang Hari dari perspektif sastera Islam, Pangsura, Jurnal Pengkajian Dan Penelitian Sastera Asia Tenggara , Januari- Jun 2009.
Ibnu ‘Abdir- Raheem, 2001, ( edisi kedua 2014)., Syair Madah Permata, Dewan Bahasa dan Pustaka, Brunei.

Pengiran Shahbandar Pengiran Md. Salleh Ibnu Pengiran Sharmayuda, Syair Rakis / kata pengantar Pehin Orang Kaya Amar Diraja Dato Seri Utama, Awang Haji Mohd. Jamil Al-Sufri bin Begawan Pehin Udana Khatib Dato Seri Paduka Awang Haji Umar, Pusat Sejarah Brunei 1983.
Zurinah Hassan, 2010, Unsur Alam dalam Puisi Melayu Moden, Bangi, Penerbit Ukm,
Zurinah Hassan, 2012, Puisi Melayu Tradisional, Pantun, Syair, Gurindam, Seloka, Kuala Lumpur. Pekan Ilmu,

interpretasi

kenangan hentian putra

Hentian Putra tinggal kenangan


BANGUNAN Hentian Putra yang menyediakan perkhidmatan bas dari Kuala Lumpur ke Kelantan dan Terengganu kini sedang dirobohkan untuk tujuan pembangunan. - UTUSAN ONLINE

Fauzi Suhaimi

30 April 2017 2:02 PM

KUALA LUMPUR 30 April - Kenangan warga kota dari Kelantan dan Terengganu yang berebut untuk mendapatkan tiket bas pada musim perayaan, ditinggalkan bas dan ditipu ulat tiket serta banyak lagi bagai terpadam sekelip mata.

Ini kerana, sejarah dan kenangan yang dicoretkan di Hentian Putra, Jalan Putra, di sini ketika dahulu seakan-akan lenyap selepas isu pemindahan hentian tersebut yang dipusatkan di Terminal Bas Selatan (TBS) pada Disember 2014.

Tinjauan Utusan Malaysia hari ini mendapati, kerja-kerja merobohkan bangunan itu giat dilaksanakan sejak dua hari lalu.

Menurut salah seorang bekas pengguna perkhidmatan itu, Mohd. Asyraf Mohamad Musa, sejarah itu kini hanya tinggal kenangan dan tiada lagi bunyi gema suara orang pantai timur khususnya pada musim cuti perayaan di hentian bas berkenaan.


“Saya pernah menggunakan perkhidmatan bas di hentian tersebut suatu ketika dahulu dan ia sudah pasti akan menggamit kenangan selapas melihat struktur bangunan itu sedang dirobohkan.” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE



Hentian Putra tutup, bas Pantai Timur ke TBS 1 Disember

21 November 2014

KUALA LUMPUR 20 Nov. – Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) mengumumkan perkhidmatan bas ekspres laluan Pantai Timur yang melibatkan perjalanan ke Pahang, Terengganu dan Kelantan di Hentian Bas Putra (HBP) dipindahkan ke Terminal Bersepadu Selatan (TBS), berkuat kuasa 1 Disember depan.

SPAD dalam kenyataannya berkata, tindakan tersebut diambil berdasarkan laporan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada awal Ogos lalu tentang keada­an bangunan HBP yang tidak lagi selamat kerana kerosakan pada struktur bangunan yang lama.

“Laporan itu dibuat berikutan beberapa siri mesyuarat yang membincangkan pelbagai isu seperti kesesakan lalu lintas di sekitar kawasan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dan bagaimana membendung aktiviti ulat tiket.

“TBS yang terletak di Bandar Tasik Selatan mempunyai kapasiti yang cukup untuk menampung keperluan perkhidmatan bas ekspres bagi laluan pantai timur dan operasi bas dapat dijalankan dengan lebih cekap serta teratur,” katanya.

Tambahnya, TBS menawarkan kemudahan yang selesa dan moden kepada penumpang serta memberi pelbagai pilihan ke pusat bandar seperti transit aliran ringan (LRT), KTM Komuter, KLIA Transit, bas dan teksi.

“Skrin paparan jadual perjalanan bas juga digunakan di terminal ini yang menyenaraikan jadual ketibaan dan pelepasan setiap bas dan dilengkapi sistem tiket berpusat yang dilihat mampu membendung aktiviti ulat tiket,” katanya.

“Selain itu, terminal ini juga mempunyai 500 kamera litar tertutup (CCTV) yang dipantau oleh polis bantuan, khidmat simpanan bagasi, mesin pengeluaran wang automatik (ATM), kedai serbaneka dan medan selera,” katanya.

utusanonline


Tutup Hentian Putra Januari 2015
Isnin, 13 Oktober 2014 12:48 PM
Oleh: ARIFFUDDIN ISHAK



KUALA LUMPUR: Operasi bas di terminal Hentian Putra akan ditamatkan dan dipindahkan ke lokasi baharu selewat-lewatnya Januari 2015.


Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk J Loga Balan Mohan bagaimana berkata, lokasi baharu hentian bas bagi laluan pantai timur itu masih belum ditentukan.

Menurut beliau, pada masa ini perkhidmatan bas di Hentian Putra hanya beroperasi di luar terminal kecuali kaunter tiket.

"Hentian Putra yang digunakan sebagai hentian bas ekspres pantai timur mengalami kerosakan struktur paip air buat kali kedua. Oleh itu operasi bas dari terminal itu dihentikan mulai 8 Ogos lalu.

"Pada masa ini operasi bas adalah di luar terminal kecuali kaunter tiket dan ruang menunggu," katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini, Isnin.

Beliau menjawab soalan Ahmad Baihaki Atiqullah (PAS-Kubang Kerian) yang ingin mengetahui sama ada kerajaan berhasrat untuk menaik taraf kemudahan Hentian Putra yang sudah lama dan uzur.

"Memandangkan terminal akan dipindahkan, DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) tidak mempunyai sebarang perancangan untuk menaik taraf kemudahan di terminal ini.

"Bagaimanapun penyelenggaraan biasa seperti tandas, penghawa dingin, lampu, surau dan kebersihan kawasan akan dilakukan seperti biasa sehingga tarikh pemindahan," katanya.

mstar




























28 Jun 2017

ceritera sang puteri

Ceritera raya seorang puteri raja

Oleh ADHAM SHADAN
Foto ZAKARIA IDRIS dan Ihsan Istana Arau


Di atas permaidani Istana Arau, Perlis, seorang puteri cilik berusia tujuh tahun asyik melakar idea rekaan baju rayanya pada sekeping kertas. Usai mencurah kreativitinya dengan lakaran pensel, rekaan itu diserahkan kepada tukang jahit yang diundang ke istana.

Di sisinya, bonda, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil. Menjadi kelaziman, setiap kali menjelang Aidilfitri puteri itu bersama beberapa ahli keluarganya berkumpul untuk membuat rekaan baju raya sebelum diberikan kepada tukang jahit.

Itu nostalgia Aidilfitri cucunda sulung Raja Perlis, Sharifah Khatreena Nuraniah Tuanku Syed Faizuddin Putra, 22, yang masih segar dalam ingatannya. Bayangkan, pada usia sekecil itu, Sharifah Khatreena sudah mereka busana Aidilfitrinya sendiri.

Sudah lumrah menjadi cucu sulung, Sharifah Khatreena juga begitu akrab dengan dua nendanya, Raja Perempuan Perlis, Tuanku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid dan Datin Nik Rahimah Wan Ahmad. Sharifah Khatreena gemar menyertai keberangkatan kedua-duanya mencemar duli ke kedai kain.

"Semasa kecil saya suka rekaan yang kembang-kembang. Mungkin orang fikir, apalah yang boleh diharapkan dengan hasil kerja kanak-kanak sekecil itu. Tetapi, apabila saya menunjukkan kepada bonda, Tuanku Lailatul Shahreen, bonda sentiasa memberikan sokongan. Menariknya, memang tukang jahit akan hasilkan seperti yang saya reka.

"Saya merupakan cucu sulung bagi keluarga kedua-dua belah ayahanda dan bonda. Saya mempunyai dua adinda tetapi jarak usia mereka agak jauh dari saya. Justeru, semasa kecil, saya lebih banyak masa bersama nenda-nenda yang juga penggemar fesyen," kata Sharifah Khatreena yang kini merupakan pemilik perniagaan pakaian jenama HHSK atau Her Highness Sharifah Khatreena.

Menemui puteri yang merupakan cucunda Tuanku Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail dan anakanda Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail itu di Kuala Lumpur baru-baru ini, beliau pada awalnya tampil ringkas dengan jubah rona hitam dan putih. Ia mencerminkan personalitinya yang suka bersederhana.

Biarpun di pangkal namanya terdapat gelaran Yang Amat Mulia, Sharifah Khatreena selesa membahasakan dirinya sebagai Ku Pah. Semasa sesi penggambaran beliau menggayakan dua baju rekaannya.

"Cita rasa fesyen saya untuk hari raya ialah kurung moden polos, sangat minimalis dengan elemen seperti renda atau batu-batu sequin.

"Baju kurung raya baharu tahun ini sudah siap. Buat dua pasang sahaja untuk dipakai pada hari raya pertama. Hari raya kedua dan seterusnya pakai baju-baju sedia dipakai oleh pereka-pereka Malaysia," tuturnya.

Kerja keras



BAGI Sharifah Khatreena, Aidilfitri ialah detik untuk merapatkan silaturahim dan merefleksi diri tentang nikmat kurniaan Ilahi.

Cerita penggemar warna-warna pastel ini, dari dulu sampai sekarang, setiap tahun, beliaulah yang menentukan tema warna pakaian raya keluarga.

Sharifah Khatreena boleh dikatakan seorang puteri raja yang agak berbeza daripada bayangan kisah dongeng yang segala-galanya serba tersedia. Seawal usia 16 tahun beliau sudah berdikari seorang diri untuk menuntut di sebuah kolej di Melbourne, Australia.

"Kalau jadi anak raja, persepsi salah orang macam apa yang ditonton dalam filem cereka. Ya, ia kehidupan yang mewah, Alhamdulillah, itu bahagian yang baik. Tetapi untuk mendapatkan sesuatu dengan senang-lenang hanya dengan meminta, itu bukan apa yang diajar keluarga sejak kecil.

"Saya dididik untuk berdikari dan kerja keras. Ya, memang saya perlu mengikuti status quo tapi saya juga selesa untuk bersederhana dalam pertuturan dan penampilan," katanya.

Ditanya mengenai makna Aidilfitri baginya, Sharifah Khatreena berkata, Aidilfitri ialah waktu untuk memohon keampunan ayahanda bonda, merapatkan silaturahim dan berkongsi dengan mereka yang memerlukan.

"Ia detik untuk kita bersyukur, menghargai nikmat dan muhasabah diri tentang kurniaan Allah kepada kita sekali gus menggembirakan mereka yang kurang bernasib baik," katanya.

Bukan omong kosong, Sharifah Khatreena membuktikannya. Sempena Syawal tahun lalu misalnya, Sharifah Khatreena menterjemahkan keluhuran jiwanya dengan menghadiahkan baju-baju rekaannya sendiri kepada tiga buah rumah anak yatim perempuan di Perlis.

Berjalan kaki



GAMBAR kenangan Aidilfitri keluarga diraja Perlis pada 2015. Dari kiri depan, Syed Sirajuddin dan Fauziah manakala Sharifah Khatreena (dari kiri belakang), Syed Faizuddin, Syed Sirajuddin Areeb, Lailatul Shahreen dan Sharifah Farah Adriana.

"Saya telah menjemput mereka ke butik saya di Arau, baju-baju yang hendak dijual sudah siap tergantung.

"Mereka macam terkejut apabila saya kata mereka boleh ambil mana-mana baju kurung yang mereka mahu. Selepas itu, mereka dijemput untuk berbuka puasa di istana bersama baginda Tuanku Raja Perlis.

"Saya mahu ia menjadi memori buat saya bersama mereka dan mereka bersama saya. Selain itu, sejak saya memulakan perniagaan, saya telah memperuntukkan 10 peratus hasil jualan kepada kebajikan," katanya.

Bercerita lanjut tentang hari raya, Sharifah Khatreena berkata, pada malam raya biasanya mereka sekeluarga akan berangkat melihat pencerapan anak bulan di Sungai Baru.

"Tiada apa-apa istiadat khusus mengenai perayaan di istana. Kami beraya lebih kurang sama dengan rakyat biasa. Cuma menjadi amalan kami sekeluarga pada malam raya pergi melihat pencerapan anak bulan di Sungai Baru.

"Pada pagi raya pula, kami akan berjalan kaki ke Masjid Negeri di hadapan istana untuk menunaikan solat hari raya manakala pulang dengan kereta berdasarkan sunah Nabi Muhammad SAW yang pergi dan balik dari solat hari raya mengikut jalan berbeza.

"Sebaik pulang kami utamakan menjamu rakyat jelata pada khemah yang tersedia di istana. Kami sekeluarga biasanya hanya benar-benar dapat menikmati juadah lebaran dan bermesra sesama kami selepas pukul 12 tengah hari," ujarnya.

Ijazah sarjana



KHATREENA (kanan) menyumbang baju raya rekaannya sendiri kepada anak-anak yatim yang dijemput ke butiknya, HHSK di Arau, Perlis sempena Aidilfitri tahun lalu.

Sharifah Khatreena berkata, beliau membesar dengan mengikuti keluarganya mendekati masyarakat, warga emas, golongan asnaf dan sebagainya. Jiwa rakyat dan kemanusiaannya yang terpupuk begitu terserlah dari segi jurusan pengajiannya.

Sharifah Khatreena merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Perhubungan Antarabangsa dan Politik dari Universiti Melbourne yang diterimanya pada 2015. Kini, pada usia semuda 22 tahun, beliau sedang mengikuti pengajian peringkat Sarjana dalam bidang Sosiologi dan Antropologi di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Beliau juga menyimpan impian untuk meneruskan pengajian sehingga ke peringkat Doktor Falsafah (PhD).

"Saya memang mementingkan pendidikan terutamanya tentang masyarakat dan kebudayaan, saya berharap dengan apa yang saya pelajari membolehkan saya menyumbang kepada masyarakat.

"Apabila saya mendampingi rakyat yang merupakan golongan pelajar dalam sesuatu majlis, mereka biasanya mahu bergambar, meminta tip-tip pembelajaran dan sebagainya. Mereka mengganggap saya sebagai role model," ujarnya.

KOSMONLINE

21 Jun 2017

BAM dan URTV

URTV melangkau lima dekad
Rosli Manah
20 September 2015


Sekitar majlis "Tribute Bahyah Mahmood " atau lebih dikenali sebagai Kak BAM yang merupakan bekas wartawan Utusan Melayu berkhidmat lebih 30 tahun sebelum bersara 20 tahun yg lalu , majlis diadakan dengan kerjasama Wartawan Dan Artis Prihatin Malaysia (Wartisma) di Saloma Bistro

MAJALAH Utusan Radio & TV (URTV) kini sudah berusia 45 tahun. Masih kekal menjadi wadah kepada peminat seni dan hiburan tanah air dengan paparan personaliti serta diari hiburan dari semasa ke semasa.

Ternyata keputusan pihak pengurusan Utusan Melayu (M) Bhd. menerbitkan sebuah majalah hiburan dengan terbitan perdana pada 15 Januari 1970 satu keputusan tepat.

Pihak pengurusan pada masa itu memikirkan perlunya ada sebuah majalah hiburan kerana tidak banyak majalah genre tersebut di pasaran ketika itu.

Sementelah pada masa itu majalah Utusan Film & Sport yang juga terbitan Utusan Melayu sudah diberhentikan penerbitan.

Untuk penerbitan URTV itu sekumpulan wartawan kanan di Utusan Melayu diberi tanggungjawab mengendalikannya dengan AR Kamaludin mengepalainya.

Sarimah Kian Improve. Itulah tajuk utama dengan seniwati Sarimah dipilih sebagai penghias muka hadapan dengan harga pengenalan 30 sen. Pada masa itu Sarimah antara pelakon hebat dunia perfileman Malaysia.

Sesuai dengan namanya, pengisian URTV pada edisi terawal juga mengangkat program televisyen (TV) yang ada pada masa itu. Program Juara Kugiran antara yang mendapat liputan meluas.

Sementelah program itu sendiri diilhamkan apabila melihat semaraknya kugiran yang mahu melangkah ke dunia muzik. URTV antara yang banyak mempromosikan kugiran yang muncul.

Antara kugiran tempatan yang mendapat liputan termasuk Orkes Nirwana, The Zurah, De Fictions dan banyak lagi. Penghibur di kelab turut mendapat tempat dalam URTV.

Pada tahun yang sama URTV juga membuat perubahan untuk memberikan kepuasan kepada pembaca dan harga dinaikkan kepada 40 sen senaskhah.

Dari semasa ke semasa, majalah dwi bulanan itu turut dinaikkan harga dengan harga terkini RM5.00 termasuk GST. Sejak Januari tahun ini URTV kini terbit secara bulanan.

URTV juga mengalami perubahan masthead sesuai dengan perubahan zaman yang dilalui. Daripada Utusan Radio & TV pada era 70-an diberi wajah baharu dengan singkatan URTV sejak era 1980-an hingga sekarang.

Perubahan masthead dianggap perlu untuk menjadikan URTV terus relevan dari zaman ke zaman dan nampak sentiasa segar untuk cita rasa remaja pada zamannya.

Motto URTV juga turut berubah. Kali pertama dengan motto Majalah Hiburan Untuk Semua dan pada era 1980-an hingga sekarang ditukar kepada Majalah Hiburan Paling Popular.

Tahun 1980-an boleh dianggap zaman kemuncak URTV. Pada masa itu golongan selebriti juga semakin bercambah dengan adanya stesen televisyen swasta dan pertambahan bahan tempatan di kaca TV.

URTV menjadi lebih selektif dengan hanya memilih nama-nama popular sebagai penghias muka depan dan pengisian dalaman. Sebab itu artis turut berasa tempias populariti apabila menghiasi dada majalah URTV.

Sepanjang 45 tahun ini banyak nama besar dalam bidang kewartawanan hiburan memberi sentuhan mereka kepada URTV. Antaranya Bahyah Mahmood (BAM), Juwie, Rosie Hashim, Norshah Tamby, Mustafa AR, Norbaya Musa, Muzlina Abu Bakar, Huzz, Fatimah Hassan dan ramai lagi.

Bahyah atau BAM menjadi nama yang sangat sinonim dengan URTV. Dia antara yang menjadi wartawan sejak awal dan menjadi peneraju URTV daripada pertengahan era 1970-an hingga 1990-an.

“URTV sebuah majalah hiburan yang layak dilabel sebagai majalah legenda kerana kebanyakan kita mengenali URTV dari generasi muda zaman 70-an sehingga anak muda hari ini mengenali dan mengikuti perkembangan hiburan melalui URTV,” kata bekas Pengarang URTV (2008-2014), Huzz.

Huzz yang juga pernah menjadi wartawan URTV pada 1993 hingga 2001, berasa bangga kerana pernah menerajui majalah yang pada awalnya dipelopori oleh bapanya sendiri, Allahyarham AR Kamaludin.

Wartawan generasi baharu URTV, Fadhil Abdollah atau nama penanya, Deel Anjer menganggap penglibatannya sebagai wartawan majalah tersebut sebagai satu penghargaan yang tidak ternilai harganya kerana majalah yang dikenali semasa masih kanak-kanak itu sebagai sebuah majalah yang gah.

“Saya rasa kerdil bila sebaris dengan nama-nama besar yang pernah menaikkan URTV, itu memberi saya semangat dan inspirasi untuk menghasilkan sesuatu yang boleh dijadikan rujukan selepas ini,” kata Deel yang menyertai URTV pada 2013.

utusanonline 


Bekas Wartawan Hiburan, Bahyah Mahmood Terima Anugerah

Oleh: MUHAMMAD ADNAN
13 April 2015

Bahyah (dua dari kiri) bersama Puan Sri Masnah Rais dan rakan artis yang hadir.

KUALA LUMPUR: Bekas wartawan hiburan tanah air, Bahyah Mahmood, 73, menjadikan keluarga sebagai pemangkin semangat dalam dunia kewartawanan hiburan sehinga menerima anugerah tribute yang dianjurkan khas oleh Persatuan Wartawan dan Artis Prihatin Malaysia (Wartisma) pada Ahad.

Bahyah atau lebih dikenali dengan gelaran Kak Bam menerusi ruang pojoknya "Syyhhh.. BAM" menerusi sisipan Pancaindera, Mingguan Malaysia suatu ketika dulu berkata suami dan anak-anak antara individu penting yang memberi sokongan tanpa henti terhadapnya sehingga kini.

"Anugerah ini saya kongsikan dengan semua wartawan hiburan dan juga ahli keluarga terutama suami tersayang, Ahmad Idris kerana sifatnya yang memahami jiwa saya dalam bidang kewartawanan.

"Begitu juga dengan anak-anak saya yang sentiasa memberi semangat untuk melakukan apa jua yang saya inginkan bagi kepuasan diri saya dalam menulis," katanya kepada mStar Online.


Puan Sri Masnah Rais menyampaikakn anugerah tribute kepada Bahyah Mahmod (tiga dari kiri) sambil disaksikan rakan-rakan artis.

Selain itu, Bahyah juga melahirkan rasa terharu kerana beliau menjadi wartawan pertama yang terpilih oleh Wartisma untuk menerima anugerah tribute tersebut.

Beliau turut berpesan agar wartawan masa kini perlu menjadikan profesion kewartawanan sebagai tanggungjawab besar dalam menabur bakti buat semua pihak.

"Saya tidak sangka untuk menerima penghargaan ini dan sangat berterima kasih serta berharap usaha Wartisma akan menjadi pencetus semangat dan pembuka jalan kepada peningkatan profesion kewartawanan khususnya dalam bidang hiburan.

"Sebagai wartawan, kita perlu menjadikan bidang yang kita cintai ini satu bakti yang disemai untuk mensejahterakan kehidupan orang lain dan berjasa kepada agama serta negara," katanya.

Disamping itu, penyanyi terkenal, Salamiah Hassan yang membuat persembahan pada majlis tersebut turut menyatakan tribute seperti ini perlu diteruskan untuk membalas jasa wartawan.

Salmiah juga menyifatkan Bahyah seorang wartawan yang sangat bagus dan antara yang menaikkan namanya di dalam insdusrti hiburan serta seorang yang pandai menyimpan rahsia.

"Majlis ini satu tribute yang patut digalakkan lagi bagi mengingati jasa wartawan kerana tiada wartawan maka artis tidak mampu berdiri sehingga kini.

"Sebagai seorang anak seni, kak Bahyah seorang yang sangat berhemah dalam penulisannya serta boleh dipercayai untuk menyimpan rahsia kerana saya selalu kongsi masalah peribadi bersamanya," katanya.

Bahyah berkhidmat selama 32 tahun bersama Utusan Melayu dan bersara pada Oktober 1997 dengan jawatan terakhirnya sebagai editor URTV.

Selain menjadi wartawan, beliau juga menyumbang dalam beberapa karya seni antaranya menulis lirik lagu Saloma, Salamiah Hassan, D.J. Dave dan Ebby Saiful serta menulis skrip untuk program Hiburan Minggu Ini di RTM pada 1976.

Bahyah yang dikurniakan bakat serba boleh turut menjadi pelakon dalam filem Sri Mersing pada 1961 dan sebauh lagi filem Sri Andalas pada 1966.

Majlis tribute Bahyah Mahmood yang diadakan di Saloma Theatre & Restaurant itu turut dihadiri oleh Puan Sri Masnah Rais, Datuk Yusof Haslam, Datuk Sonny Abdullah, Datuk Rosnani Jamil, Datuk Ahmad Fauzee, Mustafar A.R, rakan-rakan artis dan juga media.

mstar

20 Jun 2017

BAM pergi


Wartawan hiburan Bahyah Mahmod meninggal dunia
20 Jun 2017


KUALA LUMPUR 20 Jun – Wartawan hiburan veteran, Bahyah Mahmood atau lebih mesra disapa sebagai Bam menghembuskan nafas terakhir di Insitut Kanser Negara, Putrajaya pada pukul 5.20 pagi ini.

Allahyarham yang berusia 76 tahun meninggal dunia akibat kanser hempedu.

Jenazah Allahyarham Bam akan dibawa ke kediamannya di No 17 Lorong Enggang 3, Keramat di sini pada pukul 9 pagi sebelum dikebumikan di tanah perkuburan berdekatan.

Bam merupakan wartawan hiburan yang sangat disegani ramai khususnya dalam kalangan artis-artis popular era 80-an hingga 90-an.

Sepanjang berkhidmat dengan Kumpulan Utusan, Allahyarham Bam pernah menerajui majalah hiburan paling popular URTV.

Allahyarham Bam merupakan isteri kepada bekas Pengarang Mingguan Malaysia, Allahyarham Ahmad Idris yang meninggal dunia pada Februari tahun lalu. – UTUSAN ONLINE

utusanonline


Wartawan hiburan Bahyah Mahmood meninggal dunia
Wartawan Sinar Harian
20 Jun 2017


KUALA LUMPUR - Bekas wartawan hiburan popular tanah air, Bahyah Mahmood, 75, atau lebih dikenali dengan nama BAM, meninggal dunia akibat kanser hati di Institut Kanser Negara, Putrajaya. awal pagi tadi.

Menurut anak Allahyarham, Fadhila Ahmad, 47, ibunya menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 5.30 pagi di institusi rawatan sama arwah bapanya yang juga wartawan veteran Ahmad Idris meninggal dunia pada Februari tahun lepas.

"Arwah ibu saya sudah tiga bulan disahkan menghidap penyakit kanser hati dan sejak dua bulan lepas dia hilang selera makan.

"Susulan itu, arwah dimasukkan ke Institut Kanser Negara sejak seminggu lepas," katanya ketika ditemui Bernama di kediamannya di Taman Keramat di sini hari ini.

Fadhila berkata, Allahyarham merupakan seorang ibu yang penyayang, rajin bekerja dan pandai membahagikan masa untuk menguruskan rumah tangga walaupun sibuk dalam kerjayanya.



Fadhila, yang merupakan anak kedua daripada tiga beradik, berkata jenazah ibunya itu akan disembahyangkan di Masjid Al-Ansar dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Keramat selepas waktu Zuhur.

Allahyarham Bam mula aktif dalam bidang penulisan ketika di Singapura pada 1965 dan berpindah ke Kuala Lumpur pada 1967.

Allahyarham kemudian dikenali sebagai penulis ruangan hiburan sisipan Pancaindera, Mingguan Malaysia pada 1980-an dan memegang jawatan terakhir di Utusan Melayu sebagai Pengarang URTV sebelum bersara pada 1996.

Allahyarham juga pernah dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) pada 1991 sehingga 1993.

Allahyarham, yang merupakan antara pengasas Festival Filem Malaysia anjuran Persatuan Wartawan Hiburan (EJA) pada 1980, meninggalkan tiga anak perempuan dan lima cucu. - Bernama

sinarharian


Penghormatan untuk Bahyah Mahmood
Mustafar A.R.
15 Februari 2015


Selama ini hanya artis diberikan pelbagai anugerah. Tetapi jarang sekali wartawan hiburan yang turut menyumbang dalam pembangunan seni dan hiburan tanah air dihargai dan dikenang jasa mereka. Sedangkan wartawan hiburan menjadi perantara yang menghubungkan karya dalam dunia hiburan dengan khalayak khususnya peminat.

Memandangkan wartawan hiburan seringkali terlepas pandang oleh pihak tertentu dalam soal penghargaan, Wartawan Dan Artis Prihatin Malaysia (Wartisma) dengan kerjasama AF Cendana merancang menganjurkan satu majlis penghargaan kepada wartawan hiburan. Buat permulaan, program penghargaan yang dinamakan Tribute ini akan memberi penghargaan kepada bekas wartawan hiburan yang juga bekas Pengarang majalah URTV terbitan Kumpulan Utusan, Bahyah Mahmood atau nama penanya Bam.

Bam merupakan wartawan hiburan yang berpengaruh dan popular pada dekad 1970-an hingga 1990-an. Ketika era kegemilangannya Bam telah membantu menyemarakkan dunia hiburan dan menaikkan banyak artis.

Pelakon Sonny Abdullah yang bertindak sebagai pengerusi program tersebut berkata, penganugerahan itu bertujuan memberi penghormatan kepada golongan wartawan hiburan yang banyak menyumbangkan jasa dalam dunia hiburan tempatan.

Menurut Sonny, Bam dipilih kerana kegigihannya dalam penulisan sejak menceburkan diri dalam bidang kewartawanan di Singapura pada 1965, sebelum berpindah ke Kuala Lumpur pada 1967 hingga bersara pada 1996.

Kejayaannya mengilap begitu ramai selebriti hingga terkenal seperti Shatifah Aini, Sudirman, DJ Dave, Yusof Haslam, Hail Amir, Noor Kumalasari, Ogy Ahmad Daud, Rafeah Buang, Uji Rashid, Latiff Ibrahim, Dhalan Zainuddin dan Sarina Hashim tidak boleh dipandang ringan.

Bam juga turut bermain muzik, berlakon dalam filem Sri Andalas dan Sri Mersing, drama pentas Tun Mandan, menulis skrip untuk Hiburan Malam Minggu di RTM serta menulis beberapa lirik lagu termasuk untuk Saloma, DJ Dave dan Salamiah Hassan.

Bam juga merupakan salah seorang panel juri yang turut bertanggungjawab memberikan anugerah Seniman Agung P.Ramlee dan Biduan Negara Saloma. Beliau juga pernah dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Finas 1991-1993 dan salah seorang yang mengasas Festival Filem Malaysia anjuran Persatuan Wartawan Hiburan (EJA) pada 1980.

Menurut Sonny lagi, satu anugerah yang diberi nama trofi Anugerah Wartisma akan diberikan kepada Bam. selain trofi, Bam turut menerima wang tunai.

Tribute Bahyah Mahmood akan diadakan pada 12 April di Saloma Bistro, Jalan Ampang, Kuala Lumpur.

Bagi meriahkan lagi Tribute Bahyah Mahmood , Mekar Sejambak yang dipimpin oleh pelakon dan penyanyi Ahmad Fauzee akan mempersembahkan rangkaian lagu dan tarian termasuk Aduhai Dinda petikan filem Sri Andalas yang pernah dibintangi oleh Bam.

Lebih menarik lagi kata Sonny, dua lirik lagu ciptaan Bam akan dinyanyikan semula oleh penyanyi asalnya iaitu Kadangkala oleh DJ Dave dan Gelombang yang dipetik dari filem Tiada Esok Bagimu nyanyian oleh Salamiah Hassan.

Sonny juga berharap, pihak yang selama ini mendapat khidmat bakti daripada Bam tampil ke depan untuk sama-sama menjayakan Tribute Bahyah Mahmood.

Dia turut mengucapkan terima kasih kepada produser Yusof Haslam kerana awal-awal lagi telah memberi komitmennya untuk membantu menjayakan Tribute Bahyah Mahmood ini.

Beliau berkata, ini adalah permulaan, sekiranya berjaya dan mendapat sokongan banyak pihak, anugerah ini akan terus diadakan dengan memilih mereka yang benar-benar berjasa yang selama ini terpinggir sama ada dalam kalangan wartawan hiburan atau artis.

ini adalah permulaan, sekiranya berjaya dan mendapat sokongan banyak pihak, anugerah ini akan terus diadakan dengan memilih mereka yang benar-benar berjasa yang selama ini terpinggir sama ada dalam kalangan wartawan hiburan atau artis.

utusanonline



14 Jun 2017

Lailatul Qadar
















PERSIAPAN MEMBURU LAILATULQADAR
Mohd. Ali Muhammad Don


KETERUJAAN para Mukminin untuk memburu lailatulqadar sudah sam­pai ke kemuncak­nya. Menjelang 10 malam ter­akhir Ramadan terdapat satu malam yang ganjaran beribadah lebih baik daripada 1000 bulan ataupun menyamai kira-kira 83 tahun umur manusia.

Allah SWT berfirman maksudnya: “Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-Quran) ini pada lailatulqadar, dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran lailatulqadar itu? Lailatulqadar lebih baik daripada 1000.

Pada malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun berikut). Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!” (Terjemahan al-Qadr:1-5).

Sehubungan itu setiap Muslim diajak membuat persiapan menyambut ketibaan malam penuh kemuliaan tersebut dengan kesyukuran sambil berharap dianugerahkan segala ganjaran dan kelebihan yang dijanjikan oleh Allah SWT. Untuk itu juga beberapa perkara boleh dilakukan untuk pedoman bersama.

* Sucikan jiwa dan raga 
daripada dosa

Untuk meraih ganjaran malam al-Qadr seseorang selayaknya mengikhlaskan niat beribadah kerana Allah SWT, menyucikan jiwa daripada sifat mazmumah dan menghindari berbuat dosa dan nista.

Para Muslimin diajak bersungguh-sungguh menyempurnakan kewajipan puasa pada siang hari selain menjaga seluruh anggota dan pancaindera daripada maksiat. Apa yang menjadi makanan seharian juga penting untuk dititikberatkan terutama yang berunsur syubhat apatah lagi yang haram.

Ini kerana tanpa mujahadah dan komitmen bagaimana mungkin seseorang terpilih beribadah di malam lailatulqadar yang penuh dengan segala keajaiban.

* Banyak berdoa dan beristighfar

Muslimin yang mendambakan lailatulqadar turut diajak bermunajat memohon kepada Ilahi agar diberi kesempatan beribadah pada malam tersebut. Tanpa bantuan dan pertolongan-Nya kemungkinan tertidur, ditimpa sakit atau musibah. Malah tanpa bantuan dan inayah-Nya manusia yang lemah, leka dan cenderung melakukan dosa kemungkinan juga diselubungi sifat malas dan lebih rela tidur sepanjang malam.

Selain itu banyakkan beristighfar memohon keampunan dan keredaan Allah sehingga menimbulkan keinsafan dalam diri seraya membangkitkan motivasi untuk bersungguh-sungguh beramal demi mengingatkan masih sedikit ibadah yang telah dilakukan. Inilah juga kesempatan terbaik untuk setiap hamba memohon keampunan kepada Allah SWT daripada dosa silam yang membelenggu diri.

* Tetapkan ibadah tertentu untuk dikerjakan

Memandangkan tidak ada amalan khusus pada malam al-Qadr, setiap individu Muslim boleh merangka jadual ibadah sepanjang tempoh tersebut.

Lakukanlah apa sahaja yang termampu mengikut masa dan k­eadaan masing-masing. Boleh jadi seseorang menggunakan nikmat rezeki untuk berinfak selain iktikaf di masjid dengan melakukan solat sunat, bertadarus al-Quran, qiamullail dan lain-lain. Atau mungkin bagi yang sibuk bekerja syif malam bolehlah memperbanyakkan berdoa, berzikir dan beristighfar sambil berharap kurniaan dan pahala berlipat kali ganda.

* Senaraikan doa/hajat untuk dipohon

Supaya tidak terlepas peluang sekali seumur hidup seseorang digalakkan untuk menyediakan senarai doa dan hajat yang dipinta lalu dibaca pada malam-malam yang berkemungkinan besar terjadi lailatulqadar. Ini seperti saranan Nabi SAW supaya mencari lailatulqadar pada malam ganjil 10 yang akhir daripada Ramadan. Umat Islam juga sangat digalakkan memperbanyak berdoa.

Baginda Nabi Muhammad SAW diriwayatkan sangat bersungguh-sungguh menghidupkan malam tersebut sambil mengejutkan ahli keluarganya untuk sama-sama beribadah dan mengabdikan diri kepada Ilahi.

Terdapat juga amalan segelin­tir masyarakat yang beriktikaf di masjid sepanjang tempoh tersebut yang molek dicontohi.

Kesempatan berada di penghujung Ramadan adalah masa untuk bermuhasabah tentang ibadah puasa serta kebajikan lain yang telah dilakukan bimbang tidak diterima oleh Allah SWT.

Terdapat peringatan Nabi SAW tentang golongan yang berpuasa tetapi tidak memperoleh apa-apa daripadanya kecuali rasa lapar dan dahaga sahaja.

Umat Islam juga diingatkan supaya tidak terkesima dengan persiapan menyambut hari raya dan kesibukan pulang ke kampung halaman. Dikhuatiri lailatulqadar yang hanya satu malam dalam setahun bahkan mungkin peluang sekali seumur hidup berlalu begitu sahaja.

Dari sudut pandang lain, Ramadan kini beransur melabuhkan tirainya. Ini bermakna segala kemuliaan dan fadilat Ramadan juga akan mula sirna menje­lang ketibaan Syawal yang mulia. Maka beruntunglah golongan yang benar-benar dapat memanfaatkan Ramadan dengan ke­sungguhan yang tidak berbelah-bahagi. Marilah sama-sama kita berdoa semoga segala amal bakti termasuk puasa kita diterima oleh Allah SWT dengan sempurna. Ambil jugalah peluang terakhir di penghujung Ramadan untuk bermunajat dan berdoa moga dipanjangkan umur dalam ibadah dan terpilih untuk bertemu Ra­madan lagi pada tahun-tahun mendatang.

Bagi yang belum menunaikan zakat fitrah, eloklah bersegera menunaikan kewajipan sebelum tamat tempoh ditetapkan. Ini ke­rana kedudukan zakat dan puasa sama dari segi kewajipan untuk melaksanakannya.

Adalah tidak adil setelah ribuan ringgit dibelanjakan untuk membuat persiapan hari raya, golongan fakir miskin yang juga ingin bergembira di Aidilfitri dilupakan. Malah inilah antara kaedah yang diatur dalam Islam untuk merapatkan jurang miskin kaya sekali gus beribadah menggunakan nikmat rezeki kurniaan Ilahi.

PENULIS ialah Pensyarah Kanan, Akademi Pengajian Islam Kontemporari, UiTM Kampus Pasir Gudang Johor Darul Takzim.

utusanonline


13 Jun 2017

lampu yang bernyala




LAMPU YANG BERNYALA

Lampu yang bernyala itu
tak pernah bertanya
berapa orangkah yang pernah diteranginya saban malam
dan berapa pula yang berterima kasih
tidak ada apa mustahak baginya
yang ia peduli
ia harus bernyala
agar gelap tersisih
dan ramai yang mengambil manfaat dari itu
ia tak pernah meminta untuk berhenti bernyala
sehingga ia ditumbangkan dan dibuang

baginya lampu harus bernyala
sebagaimana kapal harus meredah ombak lautan



1 Jun 2017

selain kita bersama


selain kita bersama

selain kita bersama
untuk apa memberi sempat
pada ruang dan masa berdarah
menyinggung tuju menbadai arah
kita menjadi jauh dan terpisah
oleh rasa sakit hati dan amarah
mereka terus berselindung
di balik lalang dan daun
membunuh mesra membedil cinta
kita menjadi semakin kasar dan benci
pada persaudaraan pada persamaan
pada jalan hasrat yang sama kita bangunkan
semakin menjadi asing
dan merasa orang lain begitu dekat
mudah kita memutuskan mesra
menajam selumbar untuk menikam
sesama saudara

selain kita bersama
apa lagi yang mahu dipastikan
ini tempat kecil ini jalan sempit
kita harus selamanya bersama
mendaki dan menuruni
melupakan sekejap rasa tak selesa
tetapi memandang dengan simpati
dan kasih sayang

negeri dan tanah ini
memerlukan pembelaan
usah merasa jauh terasing