Sultan Muhammad V


Sultan Muhammad V berangkat ke KL
Siti Nor Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Yang di-Pertuan Agong ke-15, Sultan Muhammad V tiba 7.50 pagi tadi dan melakukan Pemeriksaan Barisan Kehormatan di Istana Negeri, Kubang Kerian sebelum berangkat ke Istana Negara di Kuala Lumpur.

Baginda berangkat dari Istana Negeri pada 8.05 pagi menuju ke Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa.

Pemangku Sultan Kelantan, Tengku Dr Muhammad Faiz Petra tiba pada 7 pagi untuk mengiringi baginda.

Turut mengiringi baginda, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.

Seramai 107 anggota bersama tiga pegawai dari Rejimen Artileri Diraja Kem Desa Pahlawan yang diketuai Mejar Mohd Saiful Azly menyertai perbarisan kehormatan berkenaan.

Sultan Muhammad V dilantik Yang di-Pertuan Agong ke-15 berkuat kuasa hari ini bagi tempoh lima tahun menggantikan Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah yang menamatkan tempoh pemerintahan sebagai Ketua Negara untuk kali kedua semalam.

Baginda berangkat ke Kuala Lumpur menaiki pesawat khas dari Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa, 9.15 pagi tadi.

metro


Sultan Kelantan dilantik Yang di-Pertuan Agong ke-15
FMT Reporters
14 Oktober 2016

Manakala Sultan Perak Sultan Nazrin Shah pula dipilih sebagai timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh 5 tahun.



KUALA LUMPUR: Sultan Kelantan Sultan Muhammad V dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 menggantikan Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah mulai 13 Disember 2016 untuk tempoh 5 tahun, dalam satu pengumuman selepas Mesyuarat Majlis Raja-Raja Khas ke-243 di Istana Negara, hari ini.

Sementara itu, Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dipilih sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong mulai 13 Disember 2016 bagi tempoh 5 tahun.

Tengku Muhammad Faris Petra, 47, putera sulung Sultan Ismail Petra sebelum ini dilantik sebagai timbalan Yang di-Pertuan Agong pada 2011.

Perkhidmatan Tuanku Abdul Halim sebagai Yang di-Pertuan Agong yang berkuat kuasa bermula 13 Disember 2011 lalu akan berakhir pada 12 Disember ini.

Mesyuarat yang berlangsung selama sejam itu dipengerusikan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail bagi memilih Yang di-Pertuan Agong ke-15 dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

Selain Raja Perlis, mesyuarat itu turut dihadiri Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir, Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin, Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Sultan Muhammad V mempunyai 3 adinda iaitu Tengku Mahkota Kelantan Tengku Muhammad Faiz Petra, 37, Tengku Muhammad Fakhry Petra, 33, dan Tengku Amalin Aishah Putri, 27.

Baginda menggunakan gelaran Sultan Muhammad V selepas dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan ke-29 pada 13 September 2010.

Sultan Muhammad V yang diputerakan pada 6 Oktober 1969, mendapat pendidikan awal di Sekolah Sultan Ismail I sebelum melanjutkan pelajarannya ke sekolah antarabangsa Alice Smith di Kuala Lumpur.

Baginda kemudian ke Oakham School Rutland, England sehingga 1989 sebelum melanjutkan pengajian dalam bidang kajian diplomatik di St. Cross College, Oxford serta di Oxford Centre for Islamic Studies sehingga 1991.

Sultan Muhammad V ialah Canselor Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan gemar membaca, serta meminati sukan lasak seperti ekspedisi kenderaan pacuan empat roda dan kejohanan kuda lasak.

Baginda juga meminati sukan memanah, boling serta memelihara haiwan kesayangan seperti kuda, kucing, ayam dan burung.

Baginda juga Komander 506 Askar Wataniah berpangkat Brigadier Jeneral (Kehormat) dan turut melibatkan diri dalam pelbagai pertubuhan kebajikan dan sukan selain aktif berperanan dalam organisasi berkaitan dengan keselamatan dan ketenteraan.

Pemilihan Sultan Perak Nazrin Shah, 60, sebagai timbalan agong pula amat bertepatan dengan latar belakang pendidikan yang hebat.

Memperoleh Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Falsafah, Politik dan Ekonomi dari Universiti Oxford, ijazah sarjana dalam bidang Pentadbiran Awam dari Kennedy School, Harvad dan iIjazah doktor falsafah (PhD) dari Universiti Harvard.

Baginda sebagai diangkat sebagai Raja Muda Perak pada 15 April 1984 bertempat di Istana Iskandariah, Bukit Chandan dan ditabalkan sebagai Sultan Perak ke-35 bagi menggantikan ayahandanya pada 6 Mei 2015.

fmt 


Sultan Muhammad V selamat berangkat
ROSMIZA KASIM dan SAPINAH AB GHANI
13 Disember 2016

 Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V melambaikan tangan kepada rakyat jelata sebelum berangkat di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra hari ini. Foto Sinar Harian oleh: JAZALY AMRY JAAFAR

KOTA BHARU - Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V selamat berangkat ke ibu negara dari Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) kira-kira jam 9.10 pagi sebentar tadi.

Perjalanan pesawat yang membawa Sultan Muhammad V dijangka tiba satu jam kemudian untuk pengisytiharan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke 15 di Istana Negara.

Keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V akan disambut Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak selaku Pengerusi Jawatnkuasa Khas sambutan serta isteri, Datin Seri Raya Erom.

Baginda yang tiba di LTSIP kira- kira jam 8.50 pagi disambut Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, Speaker Dun Kelantan, Datuk Abdullah Yaakob serta pembesar-pembesar istana dan exco kerajaan negeri.

Upacara istiadat perbarisan kehormatan di LTSIP disertai 26 anggota dan dua pegawai Rejimen Kelima Alteleri Diraja Kem Desa Pahlawan yang diketuai Mejar Syauqi Mustafa.

Sebagai tanda taat setia rakyat Kelantan terhadap baginda ribuan penduduk memenuhi lapangan terbang bahkan beratur di sepanjang jalan bermula dari Istana Negeri Kubang Kerian lagi.

Rakyat jelatan setia menunggu ketibaan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V seawal jam 6 pagi lagi.

Keberangkatan baginda diiringi lambaian dan laungan Allahhuakbar serta selawat sepanjang jalan menyambut ketibaan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V di lapangan terbang tadi.

sinar harian

Keberangkatan KDYMM Seri Paduka Baginda YDP Agong Sultan Muhammad V dari Kota Bharu ke Istana Negara









Comments